"Ai Ngah, minta buah teratai!" Fatimah melaung. Nasib baik aku tak tergolek jatuh. Terkejut aku dengan suara halusnya tiba-tiba. Firman berlari anak kemudian melonjak naik secara tiba-tiba dan duduk di sebelah aku. Refleks aku menjauhkan diri sambil memejamkan mata. Letih.
"Kakak tak nak rasa buah teratai?" Pelawa Fatimah.
Aku membuka mata lalu memandang Fatimah dengan ekor mata. Mula-mula aku memang berminat, cuma tak selesa, sebab Firman di sebelah. Tapi aku teringin sangat lah pula apabila melihat mereka berdua berselera mengunyah.
"Sedap tak Fatimah?"
"Sedap kakak… Lagi sedap daripada kacang tanah. Cubalah…"
Firman langsung tak memperlawaku. Apalah sangat yang nak aku harapkan daripada lelaki yang suka menghentam aku dengan kata-kata.
Fatimah datang menyelinap di sebalik aku dan Firman. Huh, Alhamdulillah. Dia memberikan aku setangkai buah teratai dan menunjukkan cara untuk mengopeknya. Bijinya aku kopek daripada kelopaknya yang berwarna hijau tua. Saiz sebesar ruas jari kelingking. Aku menyiat kulitnya dan kelihatan biji yang berwarna putih kekuningan. Aku terus memasukkan biji itu ke dalam mulut dan mengunyahnya perlahan. Aku meludahkan sebahagian yang ada di dalam mulutku. Pahitnya! Apa ni?! Fatimah menahan tawa. Aku merenung bahagian yang pahit itu dengan kening yang berkerut. Fatimah menjauhkan diri daripadaku dan berlari duduk di depan semula.
"Lain kali jangan terus masuk mulut. Belah dua dulu dan buang empulur tengah… Nampak tak yang berwarna hijau sikit tu? Ni macam hati dia. Pahit kalau termakan. Baca bismillah dulu… Baru kunyah."
Aku menelan air liur yang pahit. Firman meletakkan biji teratai yang telah dikopek di atas telapak tanganku. Aku hanya memandangnya tanpa bicara.
"Makanlah… Saya bukan bagi racun. Bukan bom C4. Cuba hidu, ada bau badam tak? Bom C4 bau dia macam badam. Kalau tak bau badam tu, confirm biji teratai. Saya dah buang hatinya… Rasanya sedap dan manis… Sebagaimana rupanya, sesuci dan seputih isi teratai."
Air liur yang memang dah pahit bertambah pahit. Aku mengucap istighfar lagi sebelum membaca bismillah.
Ermmm… Sedap, rangup, manis dan kelat sikit. Firman mengupaskan lagi untuk aku. Terasa seperti dia sedang memujuk aku pula. Lagi sedap daripada kacang tanah.
"Buahnya serba guna, kalau yang lebih tua biasanya dikeringkan dan boleh disimpan lama. Dijadikan bubur manis, masuk dalam lai chi kang panas atau sejuk dan kadang-kadang disira. Makanan kegemaran ramai di sini."
Betullah orang kata, jauh perjalanan luas pengalaman.
Peugeot berhenti lagi. Firman menuju ke sebatang pokok yang rimbun yang berhampiran sebatang anak sungai yang mengalir tenang. Firman membuka jaketnya dan mula mencangkung mengambil wuduk. Sehelai tikar mengkuang dibentang dan dia mula bersembahyang.
"Jom kakak, kita solat dulu. Jamak qasar berimam."
"Ai Angah awak dah solat dah tu…"
"Dia solat sunat qabliah…"
Cet! Aku mengangguk dengan senyum nipis. Tak beritahu aku dulu! Selesai sembahyang, Fatimah menyalami tangan abangnya. Firman mengucap doa dalam loghat Arab yang susah aku nak faham dan adiknya turut mengikuti ucapan doa tersebut.
Perjalanan diteruskan kembali. Firman pula menjadi pemandu. Setelah beberapa lama Matt pula nak duduk berlunjur. Aku mengesot rapat ke arah depan, memberi ruang kepada Matt yang nak duduk berlunjur di belakang. Fatimah sudah tersengguk-sengguk mengantuk. Aku memberi perhatian kepada pemandangan di depan mata sambil merehatkan tanganku di atas tempat duduk depan.
Klung klang! Klung klang! Loceng di leher Peugeot menghasilkan bunyi yang agak deras. Aku menutup telinga secara refleks lalu mengukir senyum memandang dua ekor lembu jantan itu, yang berwarna putih cerah, atau bak kata Firman, pearlescent white. Kasihan pula melihat lembu ini. Mujurlah pemandunya seorang yang bertimbang rasa. Diberi rehat, minum dan makan. Kemudian barulah perjalanan diteruskan semula. Aku membetulkan letak jilbab agar tidak mengikut bentuk dada.
"Nak cuba drive?" Firman memperlawa.
"Boleh ke?"
"Ada lesen antarabangsa?"
Geleng.
"Biasa lefthanded drive. Setahu saya awak mengiri."
Aku ketawa kecil sebelum menjawab. "Awak righthanded drive kan, jadi awak mesti menganan."
Kelihatan bibirnya mengorak senyum sedikit.
"Jom… Hati-hati ke depan, nanti awak tersembam."
Aku bangun dan berdiri dengan hati-hati, memaut dinding Peugeot dan perlahan-lahan melangkah ke arah Firman. Setelah berjaya mengambil tempat di sebelahnya, Firman menghulurkan tali pemegang kepadaku. Melihatkan aku sudah boleh mengendalikan Peugeot, cambuk pula dihulurkan kepadaku.
"Pukul mereka. Tapi jangan kuat sangat. Sekadar mereka boleh merasa dan memahami arahan kita."
Aku membaca bismillah dan selawat sambil menyentuh kulit Peugeot. Setelah itu, barulah aku memukul sedikit dengan cambuk. Lulus cemerlang! Mereka menyahut dan berjalan dengan lebih teratur. Aku tersenyum puas.
"Tahniah kerana berjaya memandu kereta pertama di dunia."
"Bukan ke kereta pertama tu Motorwagen ciptaan Carl Benz orang Jerman itu?"
"Sebelum kereta modern itu, kereta inilah kereta pertama di dunia… Ada roda. Lepas tu barulah kereta keldai dan kereta kuda."
Aku tak menjawab. Aku tak ada bukti nak menyangkal dan mengiyakan kenyataan itu. Kring! Kring! Kring! Terkejut aku dengar. Rasa macam nak ketawa pula, sebab dah lama tak dengar. Firman menyeluk poket seluarnya. Aku memandang Nokia legend yang berikat gelang getah itu dibawa ke telinga. Rasa bersalah pula, sebab aku rasa macam telah memperkecilkan martabat hartanya hari itu. Tak apa, nanti aku ganti balik.
"Hebat awak berlawan hari tu. Tapi Jet Li lagi hebat." Aku memulakan perbualan apabila Firman menyimpan Nokia legend miliknya.
"Kenapa dia lebih hebat?"
Dia juga berambut panjang seperti awak, diikat kemas ke belakang. Dari awal filem sampai ke akhir, rambutnya tak kusut, bajunya jarang koyak, kemas terpelihara… Dan ajaibnya dia tak pernah kena luku atau kena belasah dengan lawannya. Jarang tengok muka dia cacat akibat luka dan selalu maintain… Hebatlah…"
Aku tersengih dan dia tersenyum, mesti dia faham apa yang aku cakap.
"Dalam filem bolehlah… Hero selalu menang dan tak pernah kalah… Selalu bantai lawan… calar pun tak. Tapi kalau in real life… Kena tumbuk kat perut, berpintal habis segala urat saraf."
Aku mengukir sengih penuh serba salah.
"Sorry ya… teruk ke awak kena? Dekat mana mereka tumbuk awak?"
"Tak ada apalah."
"Sorry juga ya kerana telah mengotorkan baju awak…"
"Fatimah dah buang, dah koyak rabak. Kesian dia. Sayang betul dia dengan baju pink tu…"
Huh?
"Awak rembat baju Fatimah?"
"Salah ke? Adik-beradik kan boleh berkongsi. Lagipun, real men wear pink!"
Nah bro. Code red. Dalam wardrobe wanita, banyak benda ada. Bukan sekadar baju, yang di dalam, sanitary, dan macam-macam. Yang aku risau berlaku privacy invading atas alasan 'adik-beradik'. Kalau sama jantina tak apalah. Kekadang pun sama jantina pun macam-macam kes boleh berlaku. Apatah lagi Fatimah tu anak dara. Refleks aku sedaya upaya cuba menjauhkan diri daripada Firman.
"Seronok tak drive Peugeot?" Firman tiba-tiba bertanya.
Aku buat muka di sebalik purdah.
"Seronok… Akhirnya tercapai juga impian saya untuk memandu kereta idaman saya."
Dia tergelak tetapi aku gelak dengan nada monotone. Memang tak lucu langsung!
"Kenapa awak suka Peugeot?"
"Tak ada siapa cakap yang saya suka Peugeot. Saya pun tak pernah tengok rupa kereta Peugeot yang sebenar depan mata dan tak pernah berminat. Tapi setahu saya Peugeot tu maskot dia singa kan? Hah, kira boleh lah tu. Saya memang peminat big cats pun. Dulu saya ambil Biologi sebab ingin bekerja sebagai doktor haiwan. Big cats memang attractive, cute dan handsome, macam kucing saya di rumah. Berbulu lebat dan best kalau kena cium. Tapi singalah yang paling best di mata saya. Cuba awak tengok singa, berbulu lebat, bermisai dan bergaya. Mukanya ganas-ganas manja dan matanya so… Menikam kalbu. Kalau saya melihat mata mereka… Lebih-lebih lagi kalau kami bertentangan… Saya nampaknya so handsome and attractive. Macam nak minta saya mencium dan memeluknya. Mereka kan territorial, so mereka memang sangat berkarisma dan protective. Ngauman singa dikatakan boleh didengari dari jarak empat batu. Hebatkan! Saya teringin nak tengok dari dekat-dekat. Rasa Best sangat bila peluk, tidur sekali. Cuma dia berat la, bila dia atas badan saya."
"Nak bela singa? Macam tak nak bagi orang datang ke rumah aje. Cara menggambarkan rupa binatang tu pun macam menggambarkan lelaki aje."
Hati aku dah sedap. Macam nak terkena lagi tu.
"Seperti seseorang yang saya kenal. Saya macam boleh agak… Awak nampak singa tu macam… Macam saya? Hana! Saya kena berhati-hati dengan awak. Awak memiliki daya imaginasi yang ganas dan liar. Rupanya selama ini awak ingin memeluk dan mencium saya!"
Aku rasa nak tepuk dahi. Geramnya, Ya Allah!
"Jangan nak perasanlah! Saya cakap tentang kucing saya di rumah!"
Perang bermula! Aku mencampakkan tali pemegang kepadanya. Dia mengelak sambil ketawa kecil. Aku beralih ke tempat belakang semua dengan penuh geram.
Firman mengerling aku dengan gaya bersahaja pula.
"Saya nak bela anjing…"
"Bukan urusan saya." Malas aku menjawab.
"Saya nak bela anjing yang boleh saya peluk dan cium…"
Aku mengerutkan kening. "What?"
"Anjing laut…"
Dia mainkan aku lagi rupanya! Aku menyelongkar beg sandang, mencari Honor. Tak jumpa pula!
"Dalam poket jubah awak."
Perbuatanku terhenti. Sibuk je! Macam mana dia tahu aku sedang mencari Honor?!
Aku mengalihkan muka ke arah yang lain seboleh mungkin sambil menekan punat play. Layan lagu Aimer lagi seronok. Beg pakaian aku peluk dan aku memejamkan mata. Walau halilintar membelah pun, jangan haraplah aku nak buka.
Malas nak melayan singa perasan yang sengal tu. Muka macamlah beriman sangat. Sekali dia buka mulut macam rifle tentera Amerika Syarikat. Main tembak aje. Tak ada nak dimulai dengan bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah.
Bibirku mengukir senyum rindu, membayangkan wajah polos itu…
Share this novel