Chapter 38

Adventure Series 1746

Hari ini projek aku gagal. Nak bezakan antara penyu dan kura-kura, anak muridku tak tahu rupanya. Kura-kura mereka tahu, tetapi mereka tidak tahu mengenai penyu. Nasib baik mereka kenal kura-kura, senanglah sikit aku nak melukis penyu di papan hitam. Teringat pada laptop, aku membuka Youtube dan mencari gambar penyu. Aku menunjukkan kepada mereka rupa penyu dan haiwan laut yang lain. Bersesak mereka berdiri di belakang aku. Rupanya laut pun mereka tak pernah tengok! Astaga. 

Yang paling memeranjatkan, ada nenek yang tak pernah melihat laut, tak tau apa itu laut dan tidak pernah keluar dari Kampung Cham seumur hidup. Rupa-rupanya yang tak pandai bercakap Khmer pun ada. Bukan aku seorang. Fuh. Fatimah bertanya kepada mereka, apakah impian mereka. Mungkin kerana sudah teruja melihat pemandangan laut yang cantik dan biru, majoriti menjawab, mereka sangat ingin menemui laut. Aku tersenyum lucu. Menemui laut? Hanya Ahmad yang memberi jawapan yang berbeza. Dia ingin menemui Nabi Muhammad SAW. Jawapan yang membuatku kagum. Ahmad, Firman yang awak selalu jumpa itu keluarga Muhammad tau. Banyak kali lagi disebut-sebut orang. Perangai dia pun macam dia sedar diri je. Berlagak. Tapi aku hanya mampu bermonolog sahajalah. 

Aku mengetuk pintu bilik gerakan. Firman mengangkat muka dan mengisyaratkan aku masuk. Aku duduk di kerusi kayu jati yang keras kematu. Aku menunggu dia selesai bercakap di telefon bimbit. Matt kemudian mengangkat sekotak kain pelekat yang disedekahkan kepada pelajar yang baru mendaftar. Sejak akhir-akhir ini makin ramai yang mendaftar untuk belajar. Mungkin kerana madrasah ini mula dilengkapi kemudahan belajar. Umi telah memperkenalkan aku kepada Tuan Bukhari, pengasas Yayasan Bukhari dan projek membesarkan madrasah dan masjid telah berjaya diluluskan. Lori-lori yang membawa pasir dan batu mula keluar masuk masjid dan madrasah. 

"Ya Cik Hana… Ada apa hal?"

"Tengok saya aje tanya ada apa hal."

"Awak takkan jumpa saya kalau tak ada hal atau nak buat hal."

Aku buat muka. 

"Saya nak awak bawa anak-anak murid saya ke pantai. Saya nak bawa mereka berkelah. Kos saya tanggung."

Firman merenung aku dari kerusinya dengan wajah tak berkelip. 

"Awak ingat pantai itu dekat ke?"

"Jauh pun takkanlah sampai nak rentas negara."

"No!"

Kedengaran satu kuasa veto! Aku rasa nak tepuk dahi. Jadi apa tujuannya aku datang ke sini? Dan dia sibuk dengan telefonnya lagi. Tak sempat nak berkata apa, aku berjalan menghampirinya. Bercakap beria nampak. Aku merampas telefon dari tangannya. Oh, suara perempuan. 

"Maaf, Firman sedang sibuk!" Aku bernada tegas dan terus memutuskan talian. Firman bingkas bangun dan cuba merampas telefon bimbitnya tetapi aku pantas memasukkannya ke dalam beg sandang. 

"Awak ini kenapa? Langsung tak ada rasa hormat. Saya sedang bercakap dengan pegawai kebudayaan hari itu…"

"Peduli apa saya kalau awak tengah bercakap dengan nenek kebudayaan pun! Hari itu bukan main lagi cakap nak berkawan sahaja. Ini sampai dah keluar kuasa veto mengalahkan suami. Mana nafkah saya!"

Firman menghampiri aku sambil bercekak pinggang. 

"Bagi balik!"

"Melainkan awak menimbang perkelahan itu."

Firman mencerlung ke arahku. 

"Awak nak saya berkasar?"

"Macamlah saya kisah sangat. Selama ini awak tak pernah tak berkasar dengan saya."

"If I have to…"

"Then go ahead. I do not care." Aku memandangnya dengan renungan helang yang tajam. 

Aku menunggu. Tak ada apa pun. Dia selamba aje ke mejanya semula, mengeluarkan kotak Redmi dari dalam laci dan selamba saja telefon Nokia 3310 ditekannya. Geramnya! Patut aku simpan saja telefon itu! Masih bernyawa lagi rupa-rupanya! 

"Awak… Saya nak bawa anak murid saya pergi berkelah." Aku cuba berlembut. 

Firman mengembangkan tapak telapak tangan kirinya. Talk to my hand konon! Sikit-sikit angkat tangan! Tahulah dia itu pegawai polis! Ingat aku kisah ke?! Dia terus bercakap dan buat tak tahu saja. Sekali lagi aku cuba menganggu, tetapi dia bingkas bangun, mengelak. Dia terus bercakap sambil tersenyum. Ya ke pegawai kebudayaan itu? Bukan main mesra je, bukan ke dia ini spesies set-set beriman ke? 

Aku membuka beg galas dan mengeluarkan komputer riba. Tangan menyumbat earphone lalu aku membuka podcast. Sengaja aku membuka volume semaksima yang mungkin, melepas geram. Firman menghampiri dan cuba mematikan laptop, tetapi aku pantas menepis tangannya. Mujurlah hari ini aku memakai sarung tangan. Firman terhenti dan mengecilkan matanya kepadaku. Tetapi aku buat bolayan. 

Kemudian aku tertawa kuat. Lawaklah Connor dengan Garnt ini! Kerusi Firman sudah selamat aku kebas. Aku menekan bahagian recommendations pula. Haha! Ada orang dah mula buat meme pasal bahas ayam goreng itu! Firman mencampakkan telefon bimbitnya ke atas timbunan baju sedekah dan bercekak pinggang melihatku. Dia tengah marah lah tu. Peduli apa aku. Tadi masa aku bising dekat dia, dia buat bolayan saja. Sekarang ini, alang-alang tunggu dia, baik aku melayan Trash Taste. Aku tak berganjak walaupun aku tahu Firman sedang mendekat. Mata kuangkat melihatnya apabila tangannya sudah mula berada di atas bucu meja.

"Okay Firman? Dah selesai? Boleh kita pergi?"

Dia tak menjawab malah semakin dekat. Apa ke hal ini? Matanya semakin tajam dan dia menetapkan rahangnya. Aku melihat bibirnya dengan mata yang terbeliak. Wajahnya merah dan nafasnya kencang. Ya Allah! Minta simpang! 

"Firman… Awak ini dah kenapa? Buang tabiat ke?" Aku dah tak tahu nak tengok mana. 

"Awak jangan selalu mencabar…"

Kepalaku sudah bergerak ke kiri, menjauhi suaranya yang lemak berkrim itu. Aku mengangkat tangan setinggi paras telinga, dan mataku masih menghala ke hadapan, ke abdomennya.

"Dah berapa kali saya cakap, jadi perempuan itu jangan terlalu berani dan jangan terlalu takut. Hati-hati dengan seorang lelaki."

Aku mengemam bibir apabila dia menunduk dan mataku sedang memandang zip seluarnya yang masih tertutup. Aku mengalihkan pandangan ke sebelah kiri. 

"Awak ini biar betul nak buat dekat sini? Lagi satu saya ingatkan awak, badan saya sangat busuk, sebab peluh. Kalau awak nak saya bagi dengan tangan sahajalah."

"Awak dah terlalu mencabar kelelakian saya. Kalau saya menolak, bererti saya dayus."

Aku memandangnya dengan kening terangkat. "Betul ini?" Niat nak bertanya tetapi suara tak keluar pula. 

"Awak pilih yang mana? Nak cara kasar atau cara ganas?"

"Heh… Tak sangka awak ini betul-betul sadistik orangnya."

Aku menolak kerusi dan berdiri. Tubuhnya berada sedikit jauh daripada tempat aku duduk, cuma sebab dia tinggi aje. Aku memandangnya dengan mata batu. Lalu aku melangkah melangkau meja dan menghampirinya. 

"Meh sini seluar awak. Saya buka zip." Dia memandangku dengan mata terbeliak dan refleks dia menjauh apabila tanganku sudah mula menyentuh zip seluarnya.

"Heh… Terkejut?"

"Lain kali jangan buat muka. Di sini bermaksud awak mengajak saya bertumbuk."

Kening kiriku terangkat. 

"Oh… Patutlah ayat awak sadistik semacam…"

"Memang saya nak bantai awak. Melampau sangat. Sekali dua tak apalah. Sekali lagi awak buat, tahulah keluarga awak bayar bil hospital."

Aku tersenyum malu. 

"Heh… Jadi awak mengakulah ini yang awak lelaki sadistik?"

"Kalau dah perempuan itu melampau sangat tak apalah. Tak selamanya lelaki nak mengalah kalau asyik nak diperbodohkan. Lainlah kalau awak halal untuk saya. Lain caranya untuk ajar isteri."

"Heh… Sekarang ini dah ada kemungkinan untuk kita jadi halal pula?" Aku bersuara tanpa perasaan. 

"Apa sibuk nak tahu? Dahlah kuat perasan."

Aku menjulingkan mata. Nasib baik dia bercakap semula dengan telefon gelang getahnya. Dia mengisyaratkan untuk aku mengemas semula laptop. Aku buat bolayan dan terus melayan podcast. Selesai bercakap, Firman memandang aku dengan marah. 

"Kenapa tak kemaskan?"

"Laptop saya, suka hati sayalah. Sudahlah tak nak bawa budak-budak ini pergi berkelah. Hari itu sembang, konon nak didik anak-anak Kemboja. Ceh."

"Saya tak ada masa dengan permintaan merepek awak itu. Banyak benda saya kena settle. Perlumbaan Perahu Naga tak lama lagi. Persembahan untuk Tilawah Quran. Lawatan Sheikh dari Dubai…"

"Perlumbaan Perahu Naga?! Wow! Kenapa tak beritahu saya? Bila? Dimana?"

"Saya tak berhutang laporan dengan awak. Lagipun bukan urusan awak nak tahu segala aktiviti saya. Awak hanya perlu tahu yang saya bodyguard awak, itu aje."

Aku mencebik bibir. Nak bercakap guna kuasa veto bagai. Nasib baik aku ini penyabar orangnya, cewah! 

"Yalah, kalau macam itu, saya beritahu Tuan Bukhari yang awak ini bukanlah orang yang amanah. Awak tak mahu memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak di sini. Saya juga akan beritahu keluarga saya supaya jangan menyumbang ke sini lagi dah… Apa gunanya, orangnya tak amanah…"

"Awak ingat senang ke? Laut itu jauh. Makan masa berhari. Belanja banyak. Ramai yang nak ikut nanti. Kerja saya dekat sini banyak. Kos tinggi. Lebih baik wang itu digunakan untuk pembangunan kampung dan madrasah. Pendidikan lebih penting daripada benda macam itu, sia-sia."

"Perkelahan juga merupakan satu pendidikan. Mereka boleh beriadah, atau bersukan. Ada anak murid kesayangan awak itu yang tak kenal laut, tak kenal penyu. Tak pernah mengenal dunia… Oh ya, mereka bukan kesayangan awak, sebab benda macam ini awak tak pernah peduli."

"Itu takdir mereka. Kalau diberi pilihan, beras atau berkelah. Mereka pasti akan memilih beras."

"Takdir boleh diubah. Kalau macam itu apa gunanya kitab amal kita? Malaikat di kiri dan kanan kita? Kalau macam itu, saya tak payah datang sini, duduk je terperuk dalam bilik, yalah. Takdir, saya ada masalah mental."

"Susah betul nak bercakap dengan awak ini…"

Firman duduk, mendengus dan menundukkan kepalanya. 

"Tak susah kalau awak cuba memahami. Firman… cuba awak dengar apa saya nak cakap. Ego awak itu simpan untuk yang halal bagi awak nanti."

Lambat-lambat Firman mengangkat kepala dan melihat aku. 

"Kenapa saya datang sini? Kenapa saya terus berkeras nak duduk di sini? Walaupun terpaksa didera oleh lelaki yang sadistik ini?"

Mukanya terus bergerak, mulutnya bergerak hendak bertanya, tetapi aku menghalakan pisau kunai ke tepi bibirnya. 

"Sejak akhir-akhir ini saya perasan, perangai dan watak saya berubah 90 darjah. Awak tahu, inilah kali pertama saya menjejakkan kaki keluar seorang diri dengan keizinan keluarga. Saya mengenal indahnya dunia… Nyamannya udara… Seronoknya keluar… Kenapa saya tidak merasakan demikian ketika kesempatan itu makin memendek?"

Firman terpaku. Aku memejamkan mata dan melemparkan pandangan ke luar tingkap. Ke arah pohon yang rendang di luar. 

"Saya ingin mereka rasakan apa yang saya rasa sewaktu kita keluar berjalan-jalan dulu. Perkelahan ini bukan satu perkara yang sia-sia. Inshalah, perkelahan ini merupakan salah satu pendidikan terbaik. Membawa anak-anak ini keluar dari kampung akan membuka minda, mengosongkan fikiran mereka, melihat dan mengenal alam ini. Bukan kah Allah sendiri menyuruh kita berkelana? Mencari ilmu? Ilmu itu bukan di bilik darjah sahaja… Alam sekeliling juga ilmu, seperti sains. Al-Quran juga banyak menyebut fakta Sains di dalamnya. Mendengar dari mulut saya saja tak sama dengan merasainya sendiri. Macam yang awak kata, pengalaman dengan hidup dan melalui suasana itu lebih berjiwa."

"Kalau awak berkeras sangat… Lain kali saja… Tunggu bila…" Suaranya perlahan. "Tunggu bila apa? Tunggu bila semua orang kaya? Tunggu bila keadaan stabil. Tunggu itu, ini, akan menyebabkan anak-anak itu sudah besar… Lagi satu, awak pun tahu Firman… Ajal tidak mengenal usia… Entah-entah saya pun…"

Aku tak boleh nak meneruskan kata. 

"Kenapa Hana cakap macam ini… Seolah-olah…"

Dia juga tak boleh meneruskan kata-kata. Aku mengukir senyum nipis. Tak sangka akan ada orang bersedih dengan pemergianku. 

"Saya cuma ingin mereka merasai kemanisan yang telah saya rasai tempoh hari, hari itu. Lagipun masa itu begitu kejam. Saya pun orang yang benci berputus asa. Alang-alang saya mampu ini, biarlah…"

Firman berdiri dan berjalan ke tingkap. Dia merenung ke luar, kemudian dia berpaling. Tangannya dimasukkan ke dalam poket, bandar disandarkan dan kakinya disilang. Matanya tepat ke arahku. Rasa seram sejuk. 

"Hana… Banyak belanja. Bukan senang nak bawa mereka. Mereka pun tak pernah keluar dari sini. Susah… Pantai yang tercantik ialah Pantai Otres tetapi pantai itu terlampau jauh ke Selatan, di Sihaknouville, Kampung Som. Kampung Cham ke Phnom Penh pun dah 132 km memakan masa tiga jam. Jarak Kampung Som dari Phnom Penh 230 km, empat jam. Tujuh jam perjalanan untuk ke sana. Silap-silap 10 jam. Mereka tak biasa berjalan jauh, naik bas. Nanti ada yang mabuk atau sakit. Menyusahkan awak saja nanti. Melainkan kita sampai ke Phnom Penh, rehat sehari kemudian baru sambung perjalanan."

"Sewakan bas yang terbaik. Saya dimaklumkan ada bas dari Malaysia yang selalu disewakan oleh syarikat pelancongan… Kejap. Bukankah awak ada syarikat pelancongan? Awak patut lebih tahu. Okay, awak anggap sahaja saya ini pelanggan awak dan saya bersedia membayar perkhidmatan awak. Saya nak awak sediakan salah satu pakej penginapan dan percutian yang terbaik dan berpatutan untuk kami. Semuanya awak uruskan. Aturkan segala aktiviti dan saya tahu… Semuanya siap. Kami sampai ke sana nak makan, tidur dan bersuka ria."

Reaksinya? Dia mengusap dahinya berulang kali dan memejamkan mata. Macam menyusahkan aje permintaan aku ini. Bukannya dia yang tanggung. Kan aku dah kata, aku bayar? 

"Firman?"

Dia mengeluh kuat. Aku mengulum senyum. Pertama kali aku jumpa orang perniagaan yang tak suka terima pelanggan. 

"Firman… Saya tahu syarikat awak perlukan pelanggan… Nah, ambillah peluang ini."

"Saya bukan fikir pasal duit. Saya fikirkan keselamatan awak dan budak-budak itu. Susah kita nak kawal kalau apa-apa berlaku."

Aku pun malas nak meminta lagi. Laptop aku kemaskan dan earphone aku sambungkan ke telefon di dalam beg. Lagipun kejap lagi nak solat, aku kena tukar pakaian. Alang-alang Firman masih di bilik gerakan. Aku menggalas beg dan mula melangkah keluar apabila Firman memanggil aku. 

"Hana, petang ini kita bincang. Pilih hari apa nak pergi."

Aku berpusing lipat maut dengan muka terkejut. Bibirku mengukir senyum selebar alam. 

"Ya Allah! Thank you, Thank you. Alhamdulillah, saya yakin awak ini masih menjaga kebajikan anak-anak murid saya."

Firman mendekat. 

"Saya bukan menunaikan permintaan mereka tetapi permintaan awak. Dah tahu fiil awak. Tak dapat hari ini, bukan main lagi mengungkit macam kita ini sudah kahwin. Minta nafakah bagai, lepas itu gelar saya sadistik. Penat saya nak layan kerenah awak."

"Maaf. Tapi dah awak nak guna kuasa veto aje dengan saya. Manalah saya tak bising. Setahu saya, suami je yang ada kuasa veto sampai nak tengok saya memanjang. Ayah saya ke, along saya ke, tak ada sampai macam itu. Awak sorang aje. Lagipun, bukannya seumur hidup pun. Nanti saya pergi nanti amanlah hidup awak. Tadi bukan main lagi bersedih hati bila saya cakap saya nak pergi." Aku mengukir senyum mengusik di hujung ayat. 

"Jangan terlalu yakin sangat, Cik Hana. Saya tak mudah rindu atau mencintai sesiapa. Kerja saya tak melibatkan hati dan perasaan."

"Betul, tetapi selagi awak ada hati selagi itu awak akan mempunyai perasaan. Tak payahlah nak jadi tsundere sangat dengan saya, kan saya dah cakap, saya ini licik orangnya. Oh ya lupa…"

Aku mengeluarkan Redmi dari dalam beg sandang.

"Panasnya…"

Aku hulurkan pada Firman. Bila dia nak mengambilnya, aku pula melarikannya. Kemudian aku titiskan beberapa hand sanitizer dan mengelap telefon dengan kain mengelap kaca mata. Kemudian barulah aku hulurkan padanya.

"Saya kasi panas lagi, dengan alkohol sebagai tanda terima kasih dan permohonan maaf saya untuk mr. Bodyguard kesayangan saya. Hot and spicy siap."

Aku berjalan keluar dengan penuh keyakinan dan ketawa kecil. Kemudian aku terserempak dengan Ustaz Zulkifli dan memberi ucapan selamat ketika berselisih dengannya. 

"Halu, Ustaz!"

Terdengar seperti ada bunyi benda jatuh dan aku menoleh. Ustaz Zulkifli sedang dibantu oleh Firman berdiri dengan susah payahnya. Aku tersenyum malu. Ustaz Zulkifli terpelecok? Firman merenung aku tajam, memberi amaran. Aku tersengih serba salah dan membuat tanda menyusun sepuluh jari memohon maaf. Aku melawak-melawak aje dengan Firman. Manalah aku tahu Ustaz Zulkifli nak ambil serius apa aku cakap! Ngeee…

As promised... heheh. mmg dh planned nak upload 2 chapters seminggu utk make up sbb tak upload lama. tp minggu lps penulis tgh high, sbb side effects ubat. Alhamdulillah, hr ni blh menulis. inshalah, minggu ni akan publish 2 chapters lg, chapter 39 dgn chapter 40.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience