Aku enggan makan walau diajak beberapa kali oleh Fatimah. Mood nak bersuka ria dah hilang. Telefon bimbit aku matikan. Aku berpesan dengan Fatimah, aku tak mahu diganggu. Jangan sesiapa masuk ke dalam khemah. Aku memejamkan mata yang terasa berat. Ubat sudah mula menunjukkan taringnya. Bibir melepas keluhan tanpa sedar.
Terasa pipi aku ditepuk beberapa kali. Kemudian badan aku digoncang dengan kasar. Suara kecoh mula menerpa gegendang telinga. Aku diangkat dan diraba. Pipiku ditepuk lagi berulang kali, disertai dengan tangisan yang nyaring. Sakitnya badan aku diperlakukan dengan begitu kasar. Tetapi mata terlalu berat hendak dibuka.
"Hana! Hana! Buka mata!!!"
"Ai angah, apa kita nak buat ini?!"
Semakin nyaring dan semakin kecoh. Cet!! Nak tidur pun tak boleh! Satu pelukan yang erat dan hampir melemaskan aku, menyebabkan mataku terbuka kecil. Kemudian, mindaku menjadi siuman.
"Ai angah!!! Kakak dah sedar!!!"
Firman pantas mencelikkan lagi mataku dengan lebih luas dengan jarinya. Mulutku dinganga dengan kasar dan jarinya mula mengorek. Hak tuih! Aku meludah, hampir nak tercekik! Apa hal ini??? Mataku semakin membesar bila nampak muka Firman dan Fatimah di atas mukaku. Matt dan yang lain di hujung kaki. Aku tersentak dan bingkas berdiri, terundur beberapa langkah ke belakang. Kemudian terduduk jatuh kerana hilang kawalan. Firman cepat menerpa dengan Fatimah. Aku mengangkat tangan sambil mengundur mengesot.
Mataku terkebil-kebil memandang ke hadapan.
Apa dah jadi? Tadi tak silap lepas makan ubat aku terlelap dalam khemah. Sekarang aku berada di atas pasir, di tepi laut pula tu. Aku mengigau ke? Huh, nasib baik tidur dengan jubah tadi. Mataku dah mencerlung. Tak padan! Tak perlulah nak keluarkan aku masa tengah tidur tadi untuk tontonan awam! Ingat sleeping beauty ke?! Firman dan yang lain memandang aku kehairanan.
"Awak okay?"
"Okay apa?"
Aku menjawab geram.
"Kakak… Tadi kakak tidur tak bangun-bangun. Kami jumpa botol ubat kosong. Kakak telan habis ya? Kakak nak bunuh diri ya?" Fatimah bertanya dalam esakan yang kuat.
Aku mengeluh malas. Jari memicit dahi yang terasa sakit.
"Kan kakak dah pesan, jangan ganggu kakak."
"Tidur apa dari pukul dua petang sampai sepuluh malam?! Langsung tak dipanggil bila digerak… Dikejut!!!"
Aku menjeling Firman. "Apa masalah awak ini? Takkan selama ini awak tak tahu yang saya telan ubat? Memanglah botol itu kosong, dekat hampir sebulan saya telan ubat itu."
Firman berwajah lega. Legalah pula lanun ini!
"Fatimah balik ke khemah. Pergi tengok anak-anak. Takut ada yang menangis kerana kecoh tadi."
Fatimah memandang muka aku dan Firman bersilih ganti, ragu-ragu.
"Kakak tak ada apa-apa. Baliklah…" Firman menolak Fatimah dengan lembut.
Matt dan yang lain melangkah pulang dengan sesekali menoleh ke arah kami. Aku memeriksa jubah dan tudung yang dah berpasir. Memang kena basuhlah jawabnya. Pandai pula dua-beradik itu pakaikan tudung dekat aku tadi. Cuma sayang, aku dibawa keluar. Sepatutnya tak berlaku pun adegan Fatimah menangis tadi. Kalaulah ajal aku dah sampai, dipeluk oleh Firman pun boleh jadi penyebab datangnya malaikat maut. Ajal ini dia bukan kira. Kalau aku nak sangat pun, belum tentu Allah izinkan aku pergi.
Aku berjalan ke khemah bilik air, membersihkan diri dan duduk di meja panjang. Aku mencari kalau ada makanan yang disimpan untukku. Tak ada pun! Telefon berbunyi dan aku berjawab malas.
"Datang sini…"
"Tak ingin saya tengok muka awak."
"Tak payah tengok. Datang saja. Awak lapar."
Aku meninjau ke luar sebelum berdiri. Seusai solat, aku menapak keluar. Dari jauh lagi aku dah nampak Firman berdiri dengan kedua-dua belah tangannya berada di dalam poket seluar memerhati dari situ. Tajam. Aku mengeluh sambil langkah semakin mendekat. Kami berjalan dengan senyap. Dalam 15 minit, kami sampai ke sebuah gerai kecil. Gerai ke? Tak tahu nak panggil apa. Penjualnya hanya duduk di atas sebuah bangku kecil. Makanan yang dijual diletakkan di atas sebuah meja kecil seperti meja Jepun. Untuk pelanggan, disediakan bangku kecil juga dan diatur berderet. Macam main masak-masak masa dulu-dulu. Lampu yang digunakan hanyalah lampu gasoline.
Kami duduk berdepan dengan penjual dan aku melihat apa yang ada untuk dimakan. Tak ada lagi yang menarik perhatianku, tambah lagi dengan cahaya yang suram. Mujurlah ada limpahan lampu jalan.
"Nak makan apa?"
Aku mengangkat bahu.
"Saya order dan awak cuba makan."
Kelihatan dua biji pisang separuh masak, dibakar di atas dapur arang, kemudian diangkat, diletakkan di atas papan alas. Pisang itu diketuk sehingga leper sedikit, disiram dengan sedikit air garam, dicucuk dengan lidi, dibakar semula sekejap. Setelah siap, pisang itu disuakan kepada kami. Aku mengambilnya dengan teragak-agak. Penjualnya tersenyum kepadaku, bercakap seolah-olah mempelawa aku, cuba rasa… Mengi mengi, katanya berulang kali.
"Apa dia kata?"
"Mengi tu sedap."
Aku mengangguk lalu cuba menggigit tapi masih panas. Firman meniup pisangnya, kemudian dicubitnya sedikit dan disuakan untukku. Aku mengambilnya dan menyuap ke dalam mulut. Ermm… Sedap juga. Perlahan-lahan aku cuba menghabiskannya. Firman membayar dan kami melihat makanan di gerai lain pula.
"Sotong kering, Firman…"
Dia mengangguk. Kami duduk dan menunggu penjual membakar sotong, digelek dan diberi sos cili. Sedap dan pedas.
"Mengi?" Penjual tanya aku.
"Mengi…" Aku cuba menjawab sesengau yang mungkin.
Mereka semua tergelak. Firman cuma tersenyum, dan aku terlihat seperti sesuatu di bibirnya, tapi tak jelas. Satu lagi gerai kami singgah, aku memerhati penjual memasak kuih ban chiau seperti kuih ketayap tetapi berintikan daging cincang dan anak udang. Firman mengajar aku makan dengan setnya. Daun salad dibuka lebar, dialas dengan daun kaduk, diletakkan sedikit ban chiau, kemudian diletakkan timun, daun selasih dan digulung. Kuih itu dicicah dengan sosnya. Aku masukkan ke dalam mulut dan mengunyah. Mmm! Mengi!
Tiga biji ban chiau aku makan. Kenyang. Firman membawa aku menyusuri pasar malam dan kami berjalan sepanjang kedai dan restoran yang lebih mewah. Sesekali Firman membawa aku jauh dari melintasi beberapa restoran. Aku sangka itu makanan untuk bukan Islam. Kami sampai ke sebuah kedai cenderamata dan aku membelek patung wayang kulit mereka. Corak dan warna lebih mewah dari patung wayang kulit di Malaysia. Mungkin kerana mereka masih berpegang teguh kepada Hindu dan Buddha maka unsur-unsur itu lebih ketara. Malaysia lebih banyak mengubah suai patung wayang kulit kepada kebudayaan setempat dan Islam. Aku membelek hasil kraftangan laut mereka pula. Cahaya lampu elektronik memudahkan aku meneliti dan tudungku tersangkut pada serangkai lampu dari kulit tiram.
Firman cuba melepaskannya tapi gagal. Aduh! Tersangkut pula? Penjual memberikan gunting dan refleks aku mengelak apabila muncung gunting itu sudah hampir mengena hujung tudungku.
"Firman! Jangan gunting sembarangan! Habis rosak tudung saya!"
"Duduk diam-diam, nanti kena cucuk gunting…"
Aku menepis gunting dan menoleh ke belakang. Tangan penuh cermat menarik hujung tudung agar tidak terkoyak. Wajahku berkerut menahan sakit. Hatiku tersentap mengingatkan punca kenapa badanku terasa sakit. Tangan masih berbalut dengan kain. Hatiku bagai terasa disayat. Aku cuba melegakannya dengan memberi sepenuh tumpuan kepada bucu tudungku. Akhirnya berjaya. Cepat-cepat aku menarik tudung ke belakang, bimbang berlanggar lagi.
"Jangan risau. Saya dah periksa tudung awak. Tak akan tersangkut dah."
Aku mengukir senyum sambil menghembus nafas lega. Tudung yang terlampau labuh aku sinsing ke atas bahu. Tali di pinggang aku ketatkan, bimbang sekiranya jubah aku terselak pula. Bunyi dentingan loceng menarik perhatianku. Beberapa ekor rama-rama mengelilingi beberapa bilah logam, berjuntaian dengan manik berkristal yang menarik. Hanya ada dua warna sahaja. Biru dan silver.
"Aeolian bells… Suka?"
Firman bertanya dan aku asyik mendongak melihat. Aku mengangguk.
Firman membuka ikatannya dan menghulurkan kepadaku. Penjual mendekati kami dan wang bertukar tangan. Firman membayar. Aku mengeluarkan beg dompetku, ingin menggantikan wangnya.
"Tak perlu. Hadiah dari saya…"
Tanganku menunjuk kepada satu lagi loceng angin yang berwarna silver. Penjual membukanya dan menyerahkannya kepadaku. Aku menunjukkannya kepada Firman.
"Tak payahlah… Awak dah banyak hadiahkan saya."
"Ambil saja bukannya mahal pun untuk awak menolaknya. Biar ada sepasang. Ada temannya."
Aeolian bell itu bertukar tangan. Firman mengambilnya dengan diam. Kami berjalan pulang dan sekali lagi Firman beberapa kali mengelak dari berjalan di depan restoran mewah tadi.
"Kenapa tak jalan terus aje?"
"Itu restoran bukan Islam."
"Oh… Nampak macam restoran Melayu je."
"Restoran ini jarang yang menjaga kebersihan. Kadang-kadang air pinggan mangkuk yang dibasuh, mereka simbah saja ke jalan. Tentu awak tahu kan apa yang mereka makan. Saya tak mahu pijak sebab saya tak mahu sertu. Nanti timbul was-was. Daripada timbul was-was, baik saya cuba elak setakat yang mampu."
"Sertu?"
"Lebih dikenali sebagai samak dalam kalangan orang Melayu. Tetapi perkataan tepatnya sertu. Samak itu ialah membersihkan dan mengeringkan kulit binatang. Kulit yang biasanya dijadikan gendang, kompang dan sebagainya."
"Pasal pijak tadi. Macam mana kalau tak tahu? Kalau tak boleh nak elak?"
"Kalau tak tahu atau tak boleh elak tak apalah. Tapi kalau was-was baik sertu."
"Hmmm… Mesti orang lain fikir renyah."
Tak susah kalau kita sanggup dan teliti. Buat setakat yang mampu. Islam tak menyusahkan."
Kami semakin menghampiri pantai. Kelihatan seorang penjual tebu menjual potongan tebu di dalam plastik. Firman membeli dan kami duduk makan di atas pasir menghadap laut.
"Semalam kenapa awak melarang saya membeli tebu?"
"Sebab tak tahu penjual itu orang Islam atau tak. Penjual tadi itu orang Islam."
"Macam mana awak tahu dia orang Islam?"
"Takkan awak tak perasan dia memberi salam kepada kita?"
Tak dengar! Manalah aku tahu! Aku tengok muka lebih kurang aje!
"Bising sangat dekat pasar malam tadi. Saya tak dengar. Lagipun kalau setakat tengok muka saja mana nak tahu."
"Saya kenal dia sebagai seorang Islam dari salam yang diberi, pemakaian dan air mukanya. Air muka seorang Islam ada sedikit kelainan, ada cahaya dan sinarnya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi kalau dia seorang yang kuat beribadat dan memiliki hati yang suci."
"Saya rasa teori itu tak boleh dipakai. Semua orang ada air mukanya yang tersendiri. Lagi satu, awak yakin sangat ke yang awak ni spesial, sehingga boleh baca air wajah orang? Warak sangat ke diri awak itu? Lagipun semua orang boleh berpura-pura jadi Islam, nama dan sebagainya, tapi di hati sudah murtad, sudah tidak beriman. Dan kita tak tahu identiti agama mereka, sebab bagi mereka itu hak mereka dengan Tuhan."
"Terpulanglah awak nak cakap apa. Bagi saya, ada pertalian halus di antara hati-hati orang Islam tanpa disedari. Bila bertemu sesama Islam walau tak kenal di antara satu sama lain tapi kita boleh agak, dia seorang Islam. Tapi kalau penjual tadi menipu, itu antara dia dengan Allah. Apa yang kita makan dikira halal kerana kita tak mengetahuinya. Tanpa sengaja."
"Tapi kenapa hal dia bukan Islam jadi isu? Kalau di Malaysia, makan saja kalau jiran bukan Islam yang masak."
"Di negara sini, status halalnya sangat diragui. Kita tak boleh terus makan dan minum tanpa mengetahui siapa penjual, siapa tukang buat dan siapa tukang masak. Memang betul tebu itu tumbuhan tetapi yang menjual itu bukan Islam. Pada zahirnya, tebu itu kelihatan bersih tetapi suci ataupun tidak?"
"Suci maksud awak? Pisau dengan bekas memasak?"
"Betul. Kalau penjual itu bukan Islam, pasti dia menggunakan pisau dia. Selain dari memotong tebu, apa lagi yang dia gunakan dengan pisau itu? Dia menggunakan papan landas untuk memotong tebu. Selain dari tebu, apa lagi yang dia potong di atas papan landas itu? Dia menggunakan gayung untuk membasuh tebu di dalam bekas atau raga. Selain dari tebu, apa lagi yang dia basuh dengan menggunakan bekas yang sama? Kalau dia membasuh daging babi? Daging anjing? Sebab itu saya was-was. Jadi lebih baik tak beli dan makan. Tak mati kebuluran pun. Banyak lagi makanan halal yang boleh dimakan di sini."
"Tapi kalau kita tak nampak dan tak tahu, tak apa kan? Kat Malaysia pun macam itu juga. Takkan kita nak pergi selongkar setiap restoran dan nak membelek setiap bahan dan label yang digunakan?"
"Memang itu yang kita seharusnya lakukan tetapi di Malaysia keadaan agak selamat dan ringan walau kadang-kadang itu was-was juga. Kita ada tanda halal, JAKIM, ramai orang Islam dan makanan halal merata-rata. Orang dan penjual Islam pun ramai. Kat sini kena lebih berhati-hati. Setiap apa yang kita makan akan tumbuh menjadi daging. Setiap daging yang tumbuh dari yang haram hanya api neraka yang dapat menyucikannya. Jangan fikir makanan haram itu datang dari daging babi saja… Hasil yang kita dapat dari yang haram, kita beri kepada keluarga kita makan sama saja dengan haram daging babi malah lagi hina dan keji."
Aku terhenti makan. Tak lalulah pula.
"Hmm?"
"Rasuah, claim overtime, atau tuntutan yang bukan hak, membuat tuntutan palsu… Menipu duit, makan bunga, makan duit anak yatim, makan hasil sedekah dan sumbangan… Tak buat kerja betul-betul. Masuk pukul lapan balik pukul lima tetapi berapa ramai yang betul-betul jujur bekerja? Tolak makan, berbual, bergosip berFb, main telefon, berTwitter… Tinggal beberapa jam sangat bekerja? Hasil yang kurang suci ini, diberi makan dan belanja kepada anak untuk membeli buku, pakaian dan sebagainya… Bila tiba-tiba anak itu liar, sosial, memberontak, tidak mendengar kata, sumbang mahram, berpeleseran… Cuba fikir dari mana sumber mak ayahnya?"
"Susah sembang topik macam ini dengan awak. Sudahlah waktu makan pula itu. Lagi satu, faktor tingkah laku anak-anak itu banyak. Contoh sekiranya anak itu diabaikan dan didera, atau kurang pendidikan. Kadang kalau diberi makanan halal pun kalau tidak thayyiban tak guna juga. Zaman sekarang orang dah tak amal halal dan thayyiban ini. Halal itu adalah, tapi thayyiban, macam makanan berzat, seimbang, menjaga kesihatan dah tak ada."
"Tak susah kalau hati mahu. Segala apa yang diperintahkan Allah tidak pernah menyusahkan kita sebagai hambaNya. Bukan Dia yang memerlukan kita, kita yang memerlukan Dia. Awak fikir hal awak tidur lama tadi sudahlah…"
Aku mengalihkan pandangan, langsung tak menjawab.
"Esok kita check out pukul 12 tengah hari. Kita terus pulang ke kampung. Saya hanya mahu singgah di Masjid Besar Phnom Penh untuk solat jamak dan makan di Restoran Malaya. Lepas makan, kita terus pulang."
Kami bingkas bangun dan berjalan bersama ke khemah. Hati agak hampa kerana aku berhajat hendak ke rumah Kak Fatin sekejap.
"Kenapa tak nak berlama sikit kat Phnom Penh?"
"Saya penat."
Suara Firman lain macam aje. Aku terhenti. Firman menoleh apabila perasan aku tidak berjalan di belakangnya. Dia melangkah semula ke arahku.
"Kenapa?"
Aku menggeleng laju.
"Tak ada apalah."
Firman mengalihkan pandangan, melihat laut di belakangku. Seperti ada rasa di matanya. Rasa yang sangat dalam.
"Pedihkan kena air laut?"
Dia tetap membisu.
"Firman… Awak kasar sangat." Aku menahan getar di dada.
"Sakit… Pedih… Lebih dalam hati. Jasad tak rasa apa walau dibakar… Dicencang…"
"Awak ni kuat perasan sungguh… Awak ingat semua perempuan yang peramah, layan awak dengan baik, ajnabi atau tak semua tergila-gilakan awak ke? Sama juga macam Brian itu. Awak tahu tak yang sebenarnya dia itu gay? Awak ingat kalau saya layan lelaki itu ini dengan baik, saya kemaruk nak tidur dengan mereka ke? Awak ingat semua perempuan macam itu?"
Suaraku meninggi buat kali kedua, aku rasa hampir satu pantai ini boleh dengar tegasnya suaraku itu. Walaupun nadanya bergetar. Aku mengemam bibir menahan pedihnya kata-kata keluar.
"Hari pertama awak nak ke kampung saya, saya melihat Shahnaaz menyentuh awak. Matt pula ketika awak di pantri pejabat saya…"
Aku mencerlung mata memandang Firman, macam kucing yang sedang memerhati gerak-geri mangsa. Darah menitik dari ibu jari yang sengaja dicucuk ke bilah pisau di dalam kocek jubah. Patutlah dia kasar sangat dengan aku ketika hendak mengangkat bagasi. Patutlah dia lain sangat ketika aku dibawa ke Psar Thmei. Rupa-rupanya dia fikir aku berkelakuan sumbang dengan Shahnaaz ataupun Matt.
"Oh… Jadi awak ingat saya suka ke mereka layan saya macam itu? Awak ingat saya ini macam itu? Layan orang dengan baik sebab nak dapat semula ganjaran begitu? Awak ini spesis kalau adik awak sendiri dicabul, mesti akan bising salahkan adik awak dulu baru nak bising cari siapa pensalah."
"Jangan awak nak mencabar maruah adik saya!"
"Oh. Adik awak boleh pula nak melenting. Saya yang konon amanah awak ini tak boleh pula awak nak pertahankan. Saya tahulah saya ini hina sangat di mata awak, Firman. Dan saya tak kisah pun. Awak pun bukannya mulia sangat di pandangan saya, dan saya yakin, awak bukannya kisah pun."
Firman mengeluh lemah.
"Saya tahulah susah kita nak terangkan orang supaya hormatkan kita. Tapi awak tengoklah dimana pakaian saya yang mendedahkan aurat. Saya dah buat sehabis baik, sama macam adik awak. Lagi satu, dalam dunia ini tak ada manusia yang seronok bila dicabul atau diperkosa. Orang gila pun tak suka, Firman."
Firman merenung aku, terkejut. Dalam samar gelap, mata kami bertentang sesaat. Nasib baiklah dekat sini tak ada elektrik sangat!
"Kenapa awak lari dari rumah dulu?"
Pertanyaan Firman membuatkan lidahku kelu. Peristiwa beberapa tahun dahulu diungkit kembali buat kali yang entah ke berapa. Aku mengeluh berat.
"Kenapa Hana?"
Matanya menatapku dengan pandangan lebih dalam. Wajahku terasa hangat. Aku cuba melarikan anak mata tetapi matanya yang tajam itu begitu membuatku resah sekali.
"Sa… Saya tak ada jawapan tepat. Itu bukan urusan awak."
"Tetapi kenapa Shahnaaz begitu risau sekali? Mereka semua asyik menelefon saya, bertanyakan hal awak."
Aku cuba menjaga reaksi wajahku. Hati begitu gelisah sekali. Sekali-sekala aku mencuri pandang ke arah wajahnya. Cis! Dia masih tak berhenti memandang aku! Pandanglah ke arah lain!
"Seorang gadis takkan melarikan diri dari penjaganya… Melainkan kalau dia berasa tidak aman di situ…" tambah Firman lagi.
Hatiku kian goyah. Suaraku keluar perlahan, ibarat emas, mahal sekali.
"Bukan macam itu… awak salah faham…"
"Salah faham lagi? Saya rasa saya dah cukup kenal awak."
Dia mengasak lagi. Hatiku sudah meronta-ronta agar bebas daripada soalan itu.
"Apa jawapan yang harus saya berikan? Sebenarnya saya pun tak ingat kenapa saya buat begitu. Yang saya ingat ialah kenangan saya dengan sensei, setiap saat bersama dia saya rasa hati, jiwa dan minda saya terbuka. Tiada asap dan kabus yang mengkaburi fikiran dan hati saya…"
Jawapan yang sangat memilukan hati sendiri. Terasa macam hati ini ibarat kertas. Direnyuk-renyuk dengan kasar.
"Awak dipukau?"
Aku mencerlung Firman tajam. Firman memberi pandangan yang lebih menikam.
"Awak tak pernah memandang orang lain dengan hati awak. Tak pernah meminta maaf dengan apa yang awak lakukan dan… Awak lupa semua kenangan dengan keluarga awak?"
"Firman… Sudahlah itu. Saya penatlah dengan asakan awak. Kenangan saya dengan sensei itu sangat istimewa di memori saya jadi saya tak nak cakap pasal itu. Perasaan saya kepada orang lain tidak ada kaitan dengan awak. Awak pun bukannya mak ayah saya atau suami saya."
Jawapan yang berdolak-dalik. Hatiku lelah. Aku akui aku bukanlah anak yang baik sangat, tapi aku lebih selesa berdiam. Sejak dilahirkan, aku mengalami kesukaran untuk meluahkan perasaanku serta isi hatiku. Tambahan pula, sejak diberi diagnosis, orang tuaku begitu mengongkong diriku. Sejak kecil, mereka menganggap aku sebagai anak istimewa. Istimewa dari segi genius kerana kemampuanku untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Sedangkan itu merupakan simptom autism. Tetapi aku tak kisah pun. Cuma semenjak aku mendapat diagnosis daripada doktor kehidupanku mula berubah. Kemudian bergantung dengan ubat dan mendapat gelaran OKU pula. Payah untuk aku menyuarakan isi hati aku dengan kata-kata. Aku mengeluh berat sebelum menumpukan semula perhatian ke arah Firman.
"Hana… Kefahaman awak mengenai adab dengan ibu bapa perlu dibetulkan. Satu hari nanti kita boleh bercakap panjang lebar mengenainya. Cuma sekarang ini, saya juga ingin minta maaf dengan apa yang berlaku siang tadi…"
Dia terhenti. Keningku berherot. Reti pula minta maaf! Mahal sungguh perkataan itu di lidahnya.
"Maaf… Kata-kata yang sangat mudah dilafazkan. Tidak setimpal dengan apa yang awak lakukan pada saya…"
"Apa bezanya dengan awak? Ada awak meminta maaf daripada keluarga awak?" bidas Firman.
Aku tak menjawab. Haih, penat aku! Sengaja aku mengunci mulut. Lagi dilawan lagi tak mengalah dia.
"Firman… Benda itu sudah lama, saya pun mahu lupakan dan pandang ke depan dari peristiwa pahit itu. Hal saya dengan keluarga saya awak jangan risau. Pandailah saya selesaikan. Saya tidak suka bila masalah peribadi saya menjadi masalah orang lain. Seolah-olah saya ini membebankan pula. Ini hal peribadi saya. Awak tak perlulah risau."
Pandangan matanya kembali lembut.
"Mereka semua sayangkan awak dan risaukan awak."
Entah kenapa walau sudah mendengar kata-kata itu, hatiku tetap sepi. Rasa kosong, seperti tiada apa yang menapak di hatiku. Apa yang menyebabkan kekosongan itu?
"Hana, saya harap awak faham… perasaan saya bukan sekadar perasaan seorang bodyguard kepada majikannya. Perasaan ini lebih kepada rasa tanggungjawab seorang lelaki Islam kepada seorang wanita Islam. Saya bukan saja bertanggungjawab kepada keselamatan awak tetapi lebih kepada ingin menjaga kesucian dan maruah awak. Saya anggap awak… Hana… Awak sangat berharga dalam hidup… Kehormatan awak seperti Fatimah. Jika Fatimah berkelakuan seperti awak dan didekati oleh lelaki lain, saya juga akan bertindak yang sama."
Sekali lagi dia menyedarkan aku bahawa dia hanya menjalankan tanggungjawabnya. Tetapi kenapa dia seperti teragak-agak bila bercakap? Tak laju seperti peluru yang sentiasa diacukan pistolnya ke arah aku!
"Maafkan saya… Bila saya marah, apa saja boleh keluar dari mulut saya. Itu kelemahan saya bila berdepan dengan awak. Saya tahu awak sangat terluka… Kepedihannya lebih dirasai saya. Memang saya tak aman lepas apa yang saya cakap. Setiap jam saya meminta Fatimah melihat awak. Bila dia memberitahu saya awak langsung tak sedar bila dikejutkan makan dan solat, dah lapan jam awak tak bergerak, saya dah tak boleh bertahan. Lebih-lebih lagi bila ternampak botol ubat tidur di bawah katil lagi kami panik."
Aku tersenyum pahit. Mungkin yang dia nampak itu anti-depressant aku kut.
"Saya kalau tidur, memang tidur mati. Susah nak bangun. Melainkan kalau saya dah kunci jam dan guna lagu kuat-kuat untuk alarm."
"Memang tidur mati. Agaknya kalau bom meletup pun awak tak sedar. Fatimah dah meraung. Matt dan yang lain berlari mencari kereta untuk membawa awak ke hospital… Saya mencempung awak, dengan harapan… Terjumpa sesiapa atau kereta yang…"
Kata-katanya terhenti lagi. Firman mengusap dagunya perlahan. Aku merasa kesunyian dalam hatinya. Aku pun turut terasa.
"Percutian ini hampir meninggalkan kenangan pahit… Saya… Kami hampir kehilangan awak. Jika itu terjadi… Dunia saya… Err… Dunia Fatimah… Akan menjadi gelap selamanya, hidup saya… Akan… Fatimah sangat takut… risau awak…"
Aku mengukir senyum tawar. Terasa seperti Firman begitu jujur malam ini. Seperti aku dapat melihat ke dalam isi hatinya. Pertama kali dalam perkenalan kami, Firman jujur di depan aku. Hatiku agak sedikit kesal kerana lidahku tak mampu berkata jujur sepertinya. Isi hatiku masih terbuku.
"Tak apalah Firman, tapi sekali lagi awak keluarkan kata-kata seperti itu lagi… Saya akan bunuh…"
"Awak akan bunuh diri?"
"Kenapa pula saya nak bunuh diri? Rugi saja, kalau saya keluarkan surat pun, bukannya boleh buat apa pun. Saya dah mati dah. Lagipun saya yakin walau lepas saya mati tak semestinya orang akan berbuat baik dengan saya. Jadi sia-sia saja saya bunuh diri saya." Aku berlagak tapi tetap ada nada sendu di dalam ayat.
"Jadi awak nak bunuh apa?"
"Saya akan bunuh karier awak, saya bunuh syarikat pelancongan awak… Awak, saya akan pecat dan status awak akan bertukar. Siang awak jadi hamba saya, malam awak jadi abdi saya. Hamba abdi. Tidak akan dimerdekakan selamanya. Faham?!"
Aku cuba berlucu. Firman tersenyum tetapi payau. Aku turut mengukir senyum senget. Suasana terasa janggal.
"Alangkah baiknya kalau…"
Dia terhenti lagi dan lagi.
"Kalau apa Firman?"
Satu keluhan berat dilepaskan diikuti dengan lafaz istighfar perlahan.
"Firman?"
"Jika saya berdiam, itu bererti saya memilih untuk tidak menjawab. Bukan semua benda senang nak dijelaskan… Bukan semua masalah senang nak dirungkaikan. Kadang-kadang berdiam diri lebih baik daripada berkata-kata… Hanya Tuhan yang tahu hati saya."
Faham. Firman merenung aku yang langsung tidak beriak. Dunia kami berbeza kerana itulah masing-masing tidak memahami diri masing-masing. Aku menahan rasa lesu di dalam jiwa.
Masuk ke dalam khemah aku hampir terjatuh melihat Fatimah yang berdiri di depan katil.
"Maaf kakak… Saya duduk atas katil kakak tanpa izin."
"Tak apa… Ada apa, Fatimah? Anak-anak semua dah tidur?"
"Dah… Boleh saya cakap sikit dengan kakak?"
Lain macam saja. Apa hal ini? Aku mengangguk dan kami duduk di atas katil saling menghadap.
"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Sebenarnya saya kurang faham… Kakak dan Ai Angah…"
Fatimah seperti kebingungan dan serba salah.
"Saya kurang bijak, tak seperti abang-abang saya. Sekolah pun hanya setakat SPM. Lebihnya hanya belajar dengan mama dan baba. Kepala saya tak masuk belajar. Lebih kepada al-Quran dan agama. Mama dan baba pun tak memaksa bila saya sering gagal dalam peperiksaan. Mereka tau saya tak mampu. Saya tak seperti orang lain… Kurang bijak…"
Itu yang diulangnya. Seperti dia terasa merendah diri dan mengganggu apa yang dia nak cakap kepadaku. Mungkin dia terasa aku akan memandang rendah pada dirinya dan tidak akan menerima apa yang dia mahu katanya hanya kerana status pendidikannya.
Aku mengusap bahunya perlahan.
"Tak apa Fatimah, cakaplah apa saja."
Mukanya berubah riak, lega.
"Kakak… Saya nak minta maaf bagi pihak Ai Angah. Kalau dia selalu berkasar atau marah kakak. Saya pun tak faham kenapa Ai Angah agak pelik sikit… selalunya dia tak macam ini. Mungkin kerana dia jarang bersama kami. Sebenarnya saya lebih rapat dengan Ai Along. Ai Angah lebih banyak di Malaysia… Hanya pulang bercuti sekali-sekala. Kali ini dia duduk lama sikit, mungkin selamanya. Dah tak ada siapa nak uruskan madrasah dan masjid."
Dia diam sekejap. Matanya tertunduk ke bawah.
"Takut saya melihat kejadian hari ini… Tangan kakak berdarah… Kemudian kakak bergaduh dengan Ai Angah… Saya hanya mampu menangis, melihat dari jauh, berdebar gila… Sangat mengerikan…"
Fatimah kelihatan sedih.
"Saya tak faham apa sebenarnya. Saya sayang ai Angah dan kakak. Saya suka ai angah berbaik. Bila bergaduh, saya risau dan takut sangat. Bila kakak tidur dan tak bangun-bangun, ai angah gelisah sangat. Dia nak saya jenguk dan kejutkan kakak sentiasa. Matt dan saya tanya dekat Ai angah dan kami ditengkingnya. Kali terakhir saya masuk ke dalam khemah dan kejutkan kakak… Saya terpijak botol ubat. Hati saya dah kecut. Terus bagi botol itu pada Ai Angah… Dia kata itu Xanax, ubat tidur."
Huh? Aku menyeluk beg sandang dengan wajah penuh kerutan. Tangan menyentuh botol epilim. Ini, Xanax?
"Ai angah terus masuk khemah dan cuba kejutkan kakak. Kakak langsung tak sedar. Ai angah macam orang kebingungan, dukung kakak ke hulu, ke hilir, menjerit meminta tolong sesiapa yang berdekatan, sesiapa saja yang ada kenderaan… Saya menangis kerana tak pernah tengok Ai angah macam itu. Kakak tahu, saya terperanjat bila ai angah begitu cemas dan tak tentu arah, menjerit dan memaksa Matt mencari apa saja untuk membawa kakak ke hospital. Kami semua panik takut kakak mati… Teruk kami nanti. Pertama kali saya melihat ai angah yang tenang… Begitu kelam-kabut. Sehingga bila Matt kata Ai angah mesti cuba bantu ubatkan kakak. Ai angah hanya terduduk, meriba dan memeluk kakak erat. Saya menangis melihat ai Angah jadi macam itu… Dia tak pernah macam itu…"
Aku boleh merasakan kesedihannya dengan ceritanya yang lintang-pukang, berulang-ulang. Suasana yang boleh aku bayangkan. Agaknya Matt suruh Firman membuat CPR tetapi lain pula yang dia buat. Nasib baik aku tak mati kelemasan. "Tak apalah, Fatimah. Benda dah lepas…"
"Saya tak sedap hati kalau tak cakap dengan kakak. Saya minta kakak jangan apa-apakan ai angah… Jangan buat laporan polis. Kasihanilah kami. Kami tak ada sesiapa. Ai angah tak tahu saya jumpa kakak. Kalau dia tahu, mesti marah. Ai angah tempat kami bergantung. Kami tak mahu apa-apa terjadi kepada ai angah. Kakak jangan benci ai angah ya, dia baik sebenarnya. Tolonglah kakak maafkan kami kalau kami tak mampu menjaga kakak. Lepas ini kami akan lebih menjaga kakak. Kalau nak apa, nak buat apa, cakap aje. Saya akan cuba ikut. Kalau saya ada buat salah, kakak tegur ya… Nak marah pun tak apa… Tapi jangan marah ai angah… Kakak boleh marah saya…"
Aku berasa kasihan terhadap Fatimah. Nampak dia terlalu ingin mempertahankan Firman tetapi dia tak tahu macam mana nak cakap agar aku boleh memaafkan dan melupakan apa yang terjadi. Aku memegang tangannya, sejuk. Kasihan pula aku. Mata bundarnya berair, merenungku polos.
"Kakak, ai angah tak tentu hala tadi… Saya tak pernah tengok dia macam itu. Selalu dia tenang dan tau apa dia nak buat. Tapi tadi bila dia melihat dia panik, saya bertambah takut dan risau… Tentu sesuatu yang buruk terjadi kepada kakak… Syukur sangat kakak sedar…" Suaranya menggeletar, menahan pilu.
"Dah, dah. Tak ada apa, jangan risau…"
Aku memeluk dan cuba menenangkan Fatimah. Terasa dia menggigil dan seperti anak kucing yang kehilangan ibu. Kasihan pula aku… Kekurangannya tidak diendahkan. Demi kasihnya kepada seorang abang, dia sanggup merayu. Dengan sendirinya, hatiku berjanji tidak akan mengapa-apakan Fatimah dan melindungi keluarganya.
Baru terasa betapa Firman sangat diperlukan oleh keluarganya. Diperlukan oleh masyarakatnya. Dan aku selalu tidak menjaga air muka Firman. Kalau terasa nak marah, aku marah. Terasa nak tengking, aku tengking. Terasa nak bantai, aku bantai. Aku juga jarang memikirkan perasaan mai tuan, Fatimah dan Matt. Apa perasaan mereka apabila melihat aku selalu bertekak dengan Firman. Tapi rasa-rasanya keadaan masih selamat, aku tak adalah jahat sangat… Menjaga juga air muka Firman dan dia pun bukannya menjaga air muka aku. Kadang-kadang aku rasa kami berdua sama-sama jahat. Tapi sekurang-kurangnya aku sedar diri lah juga!
Share this novel