Badan dan muka rasa melekit tetapi aku cuba menahan diri daripada mandi. Aku hanya menukar baju kurung dan membawa beg telekung, mengekori langkah Firman dan keluarganya. Sepanjang jalan kami berangguk dan berbalas salam dengan ramai jemaah yang menuju ke tempat yang sama. Sesekali kami berhenti kerana kami disapa. Beberapa mak cik tanpa segan silu memeluk aku dan menangis. Fatimah menterjemahkan bahawa mereka sangat bersyukur dengan kehadiranku di sini. Seorang mak cik tua bercakap panjang lebar dan didengari oleh yang lain.
"Kakak, mak cik ni cakap, jangan takut melihat kedaifan kami di sini. Kami bukan nak minta wang atau harta orang Malaysia, orang Kemboja yang sudah kaya-raya di sana. Kami perlukan senaskhah al-Quran, Muqaddam, sepasang telekung, baju kurung, kain pelekat, baju Melayu dan tudung untuk kami beribadah dan menutup aurat. Kami minta tenaga pengajar untuk bantu kami mendidik anak-anak supaya menjadi umat Islam yang berjaya di Malaysia."
Aku menelan air liur sambil terdiam.
"Sampaikan salam kepada orang Malaysia. Orang Kemboja serata dunia... Pulanglah, lihatlah keadaan kami, umat Islam yang jauh ketinggalan dari segala-galanya. Pulanglah, kuatkan semula pegangan akidah yang sudah mula longgar..."
Heh. Aku tersenyum sumbing disebalik purdah yang aku pakai. Aku bukanlah orang yang layak mendengar rintihan mereka. Benda apalah sangat yang boleh aku tolong. Walaupun mereka nampak ketinggalan, namun kepetahan mereka berkata-kata amat mengkagumkan. Mungkinkah kerana penderitaan dan kemiskinan yang melampau menyebabkan mereka begitu petah dan tajam dalam bersuara? Seperti Firman, yang begitu tajam mata dan lidahnya?
Mai tuan berkata sesuatu dan akhirnya aku terlepas daripada hurungan orang ramai. Azan Maghrib mula berkumandang dan semua memanjangkan langkah, tidak mahu ketinggalan takbir yang pertama. Kami berada di saf tengah. Mai tuan dan kami dipanggil ke saf depan. Aku tersengih lalu mengucapkan terima kasih. Ada yang bangun dan memberikan tempat untuk kami, tetapi mai tuan dengan lembut menolak.
Aku agak berasa pelik tetapi tidak mahu bertanya. Aku segera menyarung telekung. Rasa serba salah pula menguasai diri apabila melihat telekung mereka yang sederhana dan usang sedangkan telekungku pula daripada material kapas dan berwarna putih bersulam merha jambu. Lembut dan nyaman.
Selesai saja iqamat, semua bangun dan mengangkat takbir mengikut imam. Sedap bacaan dan fasih sekali imam ini. Bacaannya sederhana, lagunya sedap dan sangat menusuk kalbu. Tidak ada bunyi pelat atau lidah orng Cham seperti bacaan Melayu yang biasa aku dengar. Bergema amin daripada para jemaah, deras dan bersemangat membangkitkan semangat jihad dalam diri. Alangkah bagusnya kalau kekuatan umat Islam sekarang menyamai suara amin ini. Aku terus terlupa bahawa aku bersendirian di sini, tanpa umi, abah dan keluarga. Aku tak berasa asing. Terasa diri begitu lemah dan hina menghadap Tuhan.
Aku tersentak dengan deringan nyaring telefon bimbit di dalam beg. Aik? Seingat aku, aku silent phone tadi. Allah! Aku terlupa yang aku kunci jam! Hilang kekhusyukanku. Resah dan aku mengharapkan alarm agar terus berhenti. Akhirnya dia berhenti. Aku menghembus nafas lega. Baru nak berdiri untuk rakaat kedua, alarm berbunyi lagi. Terdiam sekejap imam sebelum menyambung semula bacaannya. Kali ini suaranya dikuatkan lagi seperti hendak berlawan dengan bunyi beep beep telefon.
Sembahyang aku jadi huru-hara. Perasaan bercelaru, malu bercampur dengan rasa bersalah. Ketika tahiyat akhir, alarm berbunyi lagi! Sebaik sahaja aku menyapu muka cepat-cepat aku menggagau Honor dan memadam alarm. Apabila aku mengangkat muka, terasa banyak mata-mata yang memandangku. Aku tersengih serba salah.
Aku mendengar ceramah Ustaz Zulkifli yang diberikan dalam bahasa Cham tanpa rasa. Aku dan dia belum berkenalan dengan lebih rapat lagi. Hanya bertentang mata sekilas dan menganggukkan kepala sekilas ketika terserempak selama seminggu di sini. Sempat juga aku terdengar cerita mereka ketika makan malam di hotel tempoh hari. Ustaz Zulkifli masih muda, berkulit cerah, manis dan sedap mata memandang. Memang kalau set-set muka ustaz macam tu ke? Beliau lulusan Universiti di Madinah dalam bidang dakwah. Seorang lagi, Ustaz Jamal lulusan dari Universiti Cairo dalam bidang syariah dan hadis. Beliau agak berumur sikit, mungkin dalam 40an. Bertubuh rendah, berkulit sawo matang dan air mukanya agak serius.
Kedua-duanya merupakan anak pelarian Cham yang telah memasuki Malaysia pada tahun 1975. Ibu bapa mereka berjaya melepaskan diri daripada kekejaman Pol Pot, mendapat perlindungan daripada Perkim di bawah naungan perdana menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mereka diberi gelaran pelarian dan kemudian pemastautin, diberi kemudahan untuk bersekolah dan mencari rezeki dengan bebas di Malaysia. Mereka merupakan antara anak Cham yang bersungguh-sungguh belajar terutama sekali dalam bidang agama. Mereka melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading di luar negara dan pulang dengan kejayaan.
Walau bagaimanapun, tidak semua anak pelarian Cham mengambil kesempatan untuk menuntut ilmu. Lebih ramai yang ghairah berniaga dan mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan. Mereka dikenali di Malaysia kerana rajin berniaga, berusaha keras dan pandai menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat Melayu. Mereka juga tidak terlibat dalam kes-kes jenayah. Hmm... Ustaz Zulkifli pandai memikat jemaah. Tiada yang mengantuk, masing-masing terangguk dengan khusyuk. Sesekali hadirin tertawa sopan.
"Kakak, esok pagi-pagi kita pergi madrasah. Ustaz pesan ada meeting."
Angguk. Pandangan aku halakan ke depan. Firman berjalan beriringan dengan mai tuan sambil tangan mai tuan dipautkan ke lengannya, sementara lampu suluh berada di tangan sebelah. Fatimah laju melangkah sambil menggenggam erat tanganku. Aku yang berhati-hati melangkah, sebab gelap, jadi aku banyak gunakan tapak kakiku untuk melihat jalan. Kami hanya ditemani oleh lampu suluh oleh beberapa jemaah yang sehaluan dengan kami. Ada yang membawa jamung daripada daun kelapa dan ada yang selamba katak saja berjalan di kegelapan malam.
Sesampai sahaja di rumah, aku segera menekan nombor telefon kak long. Baru beberapa saat, warning memberi tahu bateriku tinggal lagi 20 percent mula kelihatan. Aduh! Aku nak cas telefon aku, tapi mana ada elektrik di rumah ini. Hanya yang ada, pelita ayan sahaja. Aku turun ke depan rumah dan pergi mendapatkan Firman yang sedang bermalasan di atas pangkin.
"Awak, dekat mana nak cas handphone?"
Dia buat tak endah sahaja.
"Awak... Dekat mana nak cas handphone?"
Lagi tak hairan. Aduh, mamat ni apahal pulak...
"Hello... Dengar tak... Dekat mana nak cas telefon... Handphone saya dah nyawa-nyawa ikan dah ni..."
Aku menggawang-gawangkan tanganku di hadapan mukanya.
"Tak reti bagi salam ke? Orang hutan mana yang tak reti adab sangat ni? Pakaian bukan main lagi branded tapi otak tak ada brand."
Ya Allah... Dia kata aku tak ada adab. Aku terdiam sebelum menjawab.
"Assalamualaikum, saudara. Saya nak tanya, dekat mana nak cas telefon?"
"Awak ni langsung tak pakai otak. Lain kali, bagitau jantung hati awak tu, jangan telefon orang waktu tengah solat."
"Mana awak tahu dia yang call? Mana awak tahu itu handphone saya?"
Dia memusingkan mukanya, merenung aku dalam samar-samar malam. "Kesian, muka cantik tapi bimbo rupa-rupanya."
Astaghfirullahal azim, sabar Hana. Kalau tak mengenangkan mai tuan dengan Fatimah yang berada di luar rumah, mau aku juuken mamat ni.
"Siapa lagi yang nak pakai telefon canggih kalau bukan outsiders? Orang sini orang kampung, mana tahu semua tu, couple... Dumb... Nampak sangat tak pernah pergi masjid. Tak tahu adab. Awak tahu tak ada yang qadha solat gara-gara boyfriend awak tu."
Aku menggigit bibir. Ya, memang aku salah. "Okay, saya minta maaf. Lagi?"
"Buat apa minta maaf pada saya?"
Memang dia takkan mengalah. Aku pun bukanlah orang yang suka berperang mulut ni. Badan melekit, letih dan rindukan keluarga menyebabkan aku berlembut.
"Handphone saya dah nak mati..."
"Kalau nak mati, pergilah tanam!" Potongnya dan segera bingkas berdiri menuju ke rumah usang di sebelah. Aduh, susahnya bercakap dengan orang macam ni.
"Awak, saya tak habis lagi cakap. Dekat mana saya nak cas handphone saya ni?" Aku bersuara perlahan, mengekorinya sambil mengetap gigi. Risau mai tuan mendengarnya.
Langkahnya terhenti dan dia memandang aku semula.
"My precious, awak sedar tak yang awak berada di mana? Cuba awak lihat di sekeliling awak..." Mataku melihat ke arah tundingan jarinya di sekeliling kawasan kami berdiri.
"Cuba awak lihat ada tak rumah di sini yang berlampu kalimantang atau yang paling koman pun berlampu mentol berwatt 5? Awak perasan tak yang suasana dekat sini sunyi dan gelap?"
Aku hanya memandang Firman tanpa perasaan.
"Tapi kat masjid tadi ada lampu dan kipas..."
"Itu generator, digunakan bila perlu. Bila jemaah semua pulang, generator akan ditutup. So kalau nak charge apa-apa tu ggu hari siang, awak boleh tumpang generator masjid. Ada faham?"
Cet, macam tu je pun. Dia besar-besarkan isu sampai nak insult aku teruk-teruk. "Ooo, faham."
"Lagi satu, jangan mengekor lelaki dalam gelap."
Aku terkaku seketika. Membulat biji mataku. Kemudian aku mengukir senyum sumbing.
"Thank you very much for your concern."
"Jangan percaya kepada mana-mana lelaki. Tak kira sama ada saya ini bodyguard awak ataupun boyfriend awak. Kalau ada peluang awak takkan terlepas. Jadi perempuan ni, jangan terlampau berani dan jangan terlampau takut. Silap langkah, awak takkan tahu apa yang boleh saya lakukan terhadap awak."
Firman melangkah, mendekati aku. Aku mengukir senyum sumbing dan memandangnya ke dalam anak mata. Walaupun cahaya bulan dalam keadaan samar-samar, jelas kelihatan wajah terkejut Firman. Satu suara yang lembut memanggil Firman. Wajahku berubah menjadi tak berperasaan seperti biasa apabila Firman menyahut panggilan mai tuan dan memimpin tangan ibunya menuruni tangga.
"Kakak, mari kita ke sungai. Lepas mandi... Kakak tentu tidur lena."
Fatimah sudah membantu membawakan tuala, kain batik, dan peralatan mandiku. Kami berjalan menuju ke sungai sambil diiringi oleh Firman.
thank you for reading. terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca.
Share this novel