Firman menghampiri aku yang sedang asyik bersila sambil menonton Saekano. Aku mengangkat kepala sebaik sahaja bayangnya menghampiri. Laptop cepat-cepat aku pusingkan ke arah lain. Jangan dia nampak apa yang aku nampak sudah.
"Dah habis cas?"
"Sikit lagi. Kenapa?"
"Tak ada hal." Dia menjawab separa serius.
"Kalau tak ada hal, pergilah cari hal untuk dibuat."
"Dah pandai main kasar nampak. Jangan buat hal dengan saya."
"Siapa yang ajar saya? Nampak saya aje tanya saya apa hal. So awak pun samalah. Awak mesti cari saya kalau nak buat hal."
Firman tersenyum pedas.
"Saya nak beritahu awak satu perkara…"
"Boleh tak awak duduk? Dah lah tinggi, berdiri pula. Lenguh tengkuk saya."
"Dalam masjid ini, tak baik kalau kita duduk dekat-dekat."
"Kalau nak jaga, dekat mana-mana pun tak elok dekat-dekat. Takkan dalam masjid pun nak galak? Agak-agaklah. Kalau takut sangat saya buat hal dengan awak, apa kata awak duduk jauh-jauh… Jerit aje nak cakap apa dengan saya. Lagi bagus naik atas mimbar masjid itu, pegang tongkat dan bercakap dengan saya guna mikrofon."
Aku menumpukan perhatian kepada Saekano semula.
"Okay!"
Firman berlalu dan melangkah naik ke atas mimbar, memegang tongkat dan mula berdehem sambil memegang mikrofon. Mengucap panjang aku melihatnya. Bukan boleh sangat lelaki ini!
"Cik Hana, saya ada satu permintaan dengan awak. Pesta air akan berlangsung tak lama lagi. Setiap petang kami ada latihan intensif. Saya nak Cik Hana jangan merayau lepas balik kelas. Terus balik dan duduk saja dalam rumah. Kalau boring sangat, boleh datang ke tepi sungai melihat kami. Dengan pesanan, dilarang menggedik, cubaan menggoda atau bermain mata dengan saya. Saya masih insan suci dan teruna. Tetap maintain Sweet 17,tak pernah nampak tua. Berbeza dengan orang itu, kalau bangun tidur, muka macam umur 50 tahun."
Aku mengetap gigi. Dada ini sikit saja nak meletus! Haih, sabarlah hati. Dengan selamba aku mengemas laptop dan kabel dan melangkah keluar dari pekarangan masjid. Anak mataku bersahaja saja tapi dalam, siapa yang tahu? Huh!
"Cik Hana! Saya rasa awak tertinggal barang. Ada sulaman nama awak dan bentuk carrot yang comel. Bila ditekan lembut…" Kemudian dia tergelak.
Aku tak ambil pusing. Walaupun semua orang kampung termasuk aku tak faham, tapi aku yakin mesti ada orang yang faham, contoh, Ustaz Zulkifli. Allah… Rasa nak meraup wajah. Aku terus naik ke Bilik Gerakan, dengan harapan tak ada siapa nampak aku. Tiba-tiba lagu Pizza Mozzarella berbunyi.
"Awak kat mana?" Suaranya seperti menahan gelak.
"Carilah sendiri. GPS kan ada…"
"Okay, nanti saya datang. Tunggu saya… My precious."
"Ya. Sudah semestinya my handsome bodyguard… Love you…"
Talian aku matikan. Huh! Geram!
Firman bercekak pinggang dan mengecilkan matanya ke arahku. Aku menyandar ke dinding dan menongkat kaki ke dinding. Tangan kanan bercekak pinggang dan tangan kanan memutar-mutar kunai macam helikopter. Sebesar-besar tulisan aku tulis dengan kapur di dinding. "FIRMAN SAYANGKAN HANA". Rasa macam ada cacing tanah merangkak dalam lapisan epidermis saja melihatkan tulisan itu. Tapi aku berpuas hati dengan tulisan itu. Aku tersengih memandangnya.
"Rasanya awak lupa awak berdepan dengan saya. Di Malaysia ke, di Kemboja ke, di mana ke… Hana sangat unpredictable, as cunning as a fox."
Aku mendekatinya. Aku menyimpan kunai ke dalam jubahku. Aku mengerlingnya sekilas.
"Bye my bodyguard. Awak memang ghost pepper! Tapi saya ini carolina reaper. Charming bodyguard… I'm your precious..."
Aku berjalan mendekatinya apabila terasa beg galasku ditarik dengan kasar. Allah! Aku menoleh macam penari balet. Tangan pantas memegang beg laptop. Dia melepaskan tali beg sebelum mendekatiku. Aku menahan debar yang menggila bahana terkejut.
"Tak guna… Nasib baik barang saya tak terhentak. Kalau tak meninggal awak saya kerjakan." Aku berbisik tanpa suara. Nafasku turun naik.
Firman tersengih lanun.
"Petang ini dan setiap petang, saya tahu awak dan Fatimah ada di tepi sungai melihat saya berlatih. Bawa air untuk saya minum. Bye my precious. Saya ghost pepper? Awak silap, awak yang ghost pepper, saya yang carolina reaper. Siapa yang memakan saya, pasti sakit."
Firman menjauhiku dan berjalan masuk ke dalam bilik gerakan. Aku terkaku memandangnya sambil terkebil-kebil. Aku menumbuk dinding dengan tangan kiri. Carolina reaper konon! Aku ini habanero tau!
Tiga buah perahu yang panjang dan agak besar, dikayuh seramai 34 orang di kiri dan di kanan. Perahu itu diketuai oleh seorang ketua di kepala perahu. Aku tak tahu mana satu perahu yang dinaiki oleh Firman tapi tak susah nak mencarinya. Dia seorang saja berambut gondrong. Rambutnya diikat samurai.
Semuanya serentak mengayuh sambil berdiri, menjerit kata-kata semangat. Mengikut apa yang dijeritkan oleh ketua di depan. Kemudian semua duduk, bersedia. Gendang mula dipalu dan ketua menjerit kuat. Perahu dikayuh dengan laju oleh para peserta.
Menarik. Aku berjalan hampir ke tebing. Mata mencari Firman di celah yang lain. Itu pun dia! Tegap dan gagah sekali. Mengayuh dengan penuh bersemangat. Kedengaran jeritan sokongan daripada penonton di tepi tebing. Aku berlari anak mengejar kelajuan perahu Firman bersama anak-anak yang lain. Fatimah sudah jauh aku tinggalkan. Tangan cepat merakam video bagi setiap gerakan. Semakin lama semakin jauh dari kampung.
Sekarang aku berada di mana? Terpinga-pinga sekejap. Tetapi kaki masih mengikut ke mana perahu Firman menghala. Aku dah keletihan. Perahu gagal aku ikuti kerana di depanku berderet rumah bertiang tinggi beratus buah di tepi tebing sungai. Aku harus melalui di celah-celah tiang itu tetapi aku tak tahu ke mana perahu Firman akan berhenti. Sudahlah aku tak berani lalu, risiko!
Aku berpatah balik. Hanya perlu berjalan lurus, ikut arah yang aku datang tadi. Takkan sesat punya! Aku menoleh sekejap ke arah perahu Firman yang telah menjauh. Seperti ternampak Firman berdiri dan terus terjun ke dalam sungai.
Eh…? Dia nak ke mana? Aku menudingkan jari ke arah diri sendiri dengan muka tak percaya. Sahih dah. Firman memanjat naik ke tebing dan berjalan ke arahku sambil termengah-mengah. Merah muka dan bibirnya menatap diriku. Air di mukanya dikesat dan dia bercekak pinggang, bercakap dengan nafas yang semput.
"Awak nak ke mana?"
"Nak balik…"
"Nak balik ke nak merayau?"
"Nak baliklah! Awak ini dah kenapa?"
Firman mengerling aku sekejap, membuka t-shirtnya, kemudian memerah sekuat tenaga. Aku memalingkan wajah ke arah lain. Tak tahu nak tengok ke mana. Bukan tak pernah aku melihat dia berbaju… Atau melihat lelaki tak berbaju… Atau otak biru dan seumpamanya… Aku cuma tak selesa. Sudahlah dia duduk dari jarak dekat denganku. Bajunya dikibas kuat beberapa kali kemudian disarungkannya semula. Aku memalingkan wajah, takut terkena tempias air sungai.
"Saya tak pernah percayakan awak. Saya tak mahu awak merayau. Tak sangka awak nak mengekor. Kalau tak dipesan, macam-macam awak buat. Saya nak berlatih pun tak senang."
Aku memandangnya dengan mata yang terjojol.
"Oh, jadi awak terjun dari perahu… Awak berhenti berlatih… Berenang ke sini semata-mata nak pastikan saya tak merayau?"
Firman mencerlung aku tajam.
"Hana, awak tanggungjawab saya."
"Hana, awak tanggungjawab saya." Aku mengajuk cogan katanya itu dengan nada menyampah. No one cares!
"Susah sangat ke nak faham? Kalau ada apa-apa berlaku pada awak… Saya yang kena! Saya hantar awak balik sekarang!"
"Sikit-sikit nak ugut nak hantar saya balik. Sikit-sikit nak hantar balik."
"Apa yang awak merepek ini? Saya hantar awak balik rumahlah. Ke nak sangat balik Malaysia? I would love to do it right now! Bukan nak berterima kasih saya berenang jauh semata-mata nak pastikan awak tak sesat dan selamat. Dengan cuaca yang sejuk dan angin kencang begini…"
Aku menjelingnya kemudian melepaskan keluhan. Bibir yang kelihatan merah dah kelihatan agak biru. Firman kesejukan. Aku menanggalkan bahagian luar jubahku.
"Nah!"
"Buat apa?"
"Pakai."
Firman berpeluk tubuh, tanda enggan memberi kerjasama.
"Saya tak pakai baju perempuan. Lagi satu saiz kecil. Saiz M. Saya XL."
Jubah aku letakkan atas tubuh Firman, walau bibir mengukir senyum mengejek.
"Eleh. Eksyen macam tahu semua saiz pakaian saya. Ini saiz M untuk Pak Arab je, tapi Malaysia mestilah besar sikit. Alah, tak payahlah nak tsundere sangat. Awak pakai baju Fatimah hari itu okay aja."
"Okay, saya terima tawaran itu. Macam mana dengan awak? Tak sejuk."
Aku membetulkan tali pinggang di bahagian dalam yang menyimpan kunai. Tudung labuh aku kemaskan dengan brooch di bahagian bawah. Agar tudung itu tak terbang, kalau tak memang dah wassalam. Jubah yang aku pakai itu selalunya dua lapis, material sama. Jadi memang la musykilah.
"Perangai… Tak menyempat." Firman menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatahku.
"Alah… Awak ini! Bukannya ada orang pun! Awak sorang je! Kan tadi awak yang cakap, saya tanggungjawab awak? Takkanlah tengok saya adjust jubah pun dah naik stim? Pelik."
"Habis itu awak ingat saya apa?"
"Bodyguard. Bercakap macam suami." Aku mengangkat kepala daripada jubah di badan.
Satu senyuman di hujung bibirnya.
"Susah nak betulkan kepala gadis Malaysia ini. Nasib baik seorang, kalau sepuluh orang?"
"Kalau sepuluh orang?"
"Kalau sepuluh orang macam awak, saya haramkan masuk Kemboja kerana boleh mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara."
Aku tergelak. Sampai tahap itu.
"Suka menggedik dan menggatal. Tak aman lelaki di Kemboja kecuali lelaki yang mantap seperti saya saja yang tak terkesan."
Aku mengukir senyum tawar. "Awak dengan lelaki lain sama sahaja. Asyik-asyik ingat saya ini galak, kering macam gurun Sahara. Hello, saya ada autism okay…"
"Kalau dah nama lelaki, title sami atau ustaz pun entah ke mana. Gara-gara Bon Om Tou Water Festival tahun lepas, tahun ini ketua sami melarang sami-sami menyertai Perayaan Festival Air lagi. Ada sami yang membawa HP, dan mengambil gambar mereka meminum arak, menari, berpeluk dan bercium. Tertangkap oleh ketua sami maka mereka dikuarantin dan disuruh bertaubat. Menyucikan diri dari dosa sebelum masuk semula ke dalam pagoda."
Aku mengulum senyum.
"Teruk sangat ke pergaulan muda-mudi semasa perayaan di sini?"
"Teruk… Lebih kurang sama saja dengan Sambutan Tahun Baru di Malaysia atau apa-apa pesta di sana. Bergaul bebas, sembilan bulan kemudian, bayi dijumpai merata-rata."
Aku mengukir senyum tawar. Faham.
"Saya tak pernah bawa Fatimah ke Phnom Penh lebih-lebih lagi untuk perayaan seperti ini."
"Heh… Patutlah dia excited sangat hari itu."
"Tahun lepas lagi teruk. Malam terakhir perayaan, 354 orang mati terpijak di jambatan. Perempuan paling ramai. Mati yang sia-sia. Terlalu bebas, bersesak lelaki dan perempuan, minum dan mabuk. Ada percikan elektrik, mereka panik dan fikir jambatan nak roboh. Mereka pun mula berasak-asak dan tolak-menolak. Ada yang jatuh, dipijak dan terpijak. Berlapis-lapis."
"Teruknya… Awak ada ke masa itu?"
"Ada… Ikut Lumba Perahu Naga masa siang. Malam itu kami semua tidur dalam perahu. Sedang menyaksikan perarakan berahu berhias, pertunjukan bunga api… Masa itulah tragedi berlaku. Kami dapat melihat dan mendengar jerit-pekik mereka di atas jambatan. Ada yang terjun jatuh ke dalam sungai. Mereka berkayuh dan selamatkan mereka. Mana yang sempat je."
Heh… Rasa peliklah pula dengar Firman bercerita macam biasa begini. Sebelum ini perangainya selalu nampak bongkak, kebudak-budakan atau celupar. Hari ini, dia nampak tenang dan serius sekali.
"Tahun ini dibatalkan dan perlumbaan itu."
"Lah… Bukan awak kata ada ke? Habis itu tadi itu apa?"
"Baru tahu perlumbaan dibatalkan sebab berlakunya banjir besar di kampung-kampung lain. Tadi itu cuma suka-suka nak lepaskan gian, dah berlatih bermati-matian tapi tak dapat nak join. Harap-harap pasukan saya tak kalah kerana seorang pesertanya terjun sungai."
Aku ketawa kecil mendengarnya.
"Firman… Awak tak perlu pun datang kepada saya. Saya boleh pulang sendiri."
Firman merenung aku tepat.
"Hana… Awak segala-galanya bagi… Kami. Awak tanggungjawab saya."
Yikes. Kenapa aku rasa macam dia nak cakap aku segala-galanya bagi dia ya? Ke aku yang kuat perasan? Hmm… Aku melepas nafas berat.
"Nasib baik kampung kita tak pernah banjir. Banglo awak sekarang sedang dibaiki dan pada masa yang sama, ada beberapa keluarga menumpang teduh kerana rumah mereka rosak teruk dipukul ribut. Saya tak sampai hati nak minta mereka keluar. Tunggulah beberapa minggu lagi, bila rumah mereka siap, kita pindah masuk."
"Kenapa awak tak nak saya tinggal bersama mereka?"
"Boleh ke? Sudahlah sesak, bercampur aduk lelaki perempuan tetapi mereka bersaudara jadi tak ada hal lah."
"Hmm… Tapi kesian Mai Tuan dengan Fatimah. Mereka terpaksa tidur di bawah dan berkongsi rumah yang kecil itu bersama saya. Kalau mereka tidur di atas katil, awak tidur di mana?"
"Cuba teka?"
"Di dalam buaian itu?"
Firman mengangguk.
"Itu tempat tidur saya. Kat sini tua muda tidur dalam buaian. Baby lagilah… Memang senang ditidurkan dalam buaian. Mereka lebih nyenyak dan tidur lebih lama. Tidur dalam buaian ini membuatkan kita berasa selamat, dilindungi seolah-olah dipeluk."
Dipeluk? Seronoknya! Teringin pula aku nak tidur dalam buaian itu. Aku memang suka tidur dipeluk, dalam buaian pula itu. Tapi dipeluk Firman? Erghhh! Firman seperti kehairanan apabila melihat kening aku bergerak-gerak tak tentu pasal. Aku tak ambil pusing. Perlu ke dia tahu pasal monolog aku? Janganlah dia ingat aku ini galak ke apa!
"Awak ingin dipeluk dan dilindungi? Tidurlah dalam buaian itu, bayangkan saya memeluk dan melindungi awak. Awak pasti hangat dalam pelukan kasih sayang saya."
Aku memandangnya dengan kening yang berkerut. Eerghhh! Tolonglah! Minta simpang! Cringe! Aku rasa macam ada cacing sampah merangkak dalam kulit aku. Ya Allah!
Firman dijerit dari sungai dan kami berdua serentak menoleh. Kumpulan Perahu Naganya menghampiri tebing. Firman memandangku dengan mata yang bersinar umpama bintang di langit.
"Nak buat sesuatu yang tak terfikir tak?"
Bunyi macam menarik tapi aku harap bukan benda pelik-pelik.
"Apa?"
"Mari…"
Firman membawa aku mendekati Perahu Naga. Dengan susah payah aku melangkah masuk. Semua peserta memandang aku ralit. Aku menganggukkan kepala tanda sapaan hormat. Tanganku berada di bahagian perut. Firman bercakap kepada ketua yang memukul gendang. Dia beralih dan menghulurkan kayu pemukul kepadaku. Teragak-agak aku mengambilnya. Tanganku memegang kepala perahu, berdiri mengimbangkan diri di dalam perahu yang teroleng-oleng ini. Dari jauh nampak kecil tapi mashalah, besar sungguh, luas dan panjang.
"Hana pukul gendang. Mereka akan mendayung mengikut rentak pukulan gendang dan jeritan awak. Lagi laju awak memukul, lagi laju mereka mendayung. Lagi kuat awak menjerit, lagi bersemangat mereka berjuang."
Aku memandang Firman dengan mulut ternganga. Eh? Aku sorang je ke atau air mata aku bertakung ini? Gembiranya!!! Alhamdulillah!
"Nak jerit apa?"
"Saya bagi perkataan mudah. Senang awak ikut. Sa, dua, kelau, gho!"
"Apa itu?" Aku menyoal ingin tahu. Bukan boleh sangat Firman ini, entah-entah dia suruh aku cakap benda pelik-pelik. Macam aku sayang Firman ke apa.
"Sa, satu. Dua, dua. Kelau, tiga, Gho, laju! Okay? Faham? Cuba sebut."
Aku sebut berulang-ulang macam budak tadika sampai Firman berpuas hati.
"Okay, lagi laju awak sebut, lagi laju mereka mendayung… mula-mula sebut lambat-lambat dulu. Bila mereka dah dapat rentaknya… Baru awak mula. Sebut laju. Faham?"
Aku mengangguk polos. Malu pula, Firman merakam dengan telefon bimbitnya. Semua peserta berdiri dulu apabila terdengar jeritan daripada ketua. Mereka mengulang apa yang dijerit dengan sekuat hati. Nasib baik aku tak terterjun ke dalam sungai. Terkejut dengan jeritan gemuruh dan semangat kayuhan mereka. Sudahlah aku tak reti berenang! Mataku melorot ke Firman yang sedang asyik merakam. Malunya!
Hampir sepuluh kali mereka menjerit sambil berdiri dan mengayuh, perahu meluncur tenang, mereka semua duduk dan mula bersedia. Firman mengangguk kepala kepadaku. Aku masih berpaut erat kepada kepala perahu dengan tangan kiri. Tangan kanan mula mengetuk kanan. Aku kena jerit sekarang ke? Semua tergelak faham. Firman tersengih dengan smartphone di tangan. Aku mengulum senyum malu.
"Satu! Dua! Kelau! Gho!"
Serentak dayungan diangkat dan dibenam ke dalam air, didayung dengan penuh semangat.
"Satu! Dua! Kelau! Gho!"
"Satu! Dua! Kelau! Gho!"
Makin laju dan kuat. Aku sudah tak ambil pusing tentang Firman dan kamera.
Penat menjerit, aku duduk di sebelah gendang, ketua pula mengambil alih. Aku mengeluarkan telefon pintar, dan merakam semuanya. Pemandangan Kampung Cham yang cantik dan asli… Gambar aku… Pastikan ada! Firman… Bolehlah… Dia sudah bertukar kedudukan. Mendayung dengan begitu gagah sekali. Pandangan mata kami bertemu sebelum aku melarikan pandangan mataku. Tetapi dapat aku rasakan dia tersenyum ke arahku. Aku memandangnya lagi. Merah menyala dengan peluh yang menitis laju. Erghhh… Aku tak tahulah badan dia jenis bau busuk atau tak bila berpeluh. Aku harap lepas ini dia tak melekat sangat dengan aku dengan bau peluhnya itu.
Share this novel