Satu bunyi menyebabkan kami berdua menoleh serentak! Binatang apa ini? Hitam semacam aje. Berjalan dalam 10 kaki.
"Hana! Lari!!!"
Aku bertahmid dalam hati. Lepas satu, satu. Aku harap ini hanya mimpi. Tanganku sempat mencapai pisau Firman dan berlari mengekornya. Binatang itu laju mengejar kami. Firman tertoleh-toleh melihat aku. Kami sampai ke kawasan berbukit. Firman tangkas melompat dan memanjat. Dia dah berada dalam kedudukan yang stabil dan selamat. Aku yang terkial-kial nak memanjat dengan kain ini. Firman menghulurkan tangannya. Aku melojakkan diri dan berjaya mencapai tangannya. Tangan kanannya memaut batu di sebelahnya manakala tangan kirinya cuba menarik aku.
"Firman! Cepat!!!"
"Apalah yang berat sangat ni!!!" Firman mengetap gigi dan cuba sedaya upaya menarik aku naik. Tapi masih gagal.
"Berat?!!! Awak tu yang tak cukup kuat okay!!!"
Mataku membulat tatkala melihat darah dari lengan Firman mengalir turun deras. Dan kami berdua tahu apa akibatnya.
"Firman! Swing me! Swing me!!!"
Firman menghayunkan aku dan pisau lipat aku cacakkan ke celah rekahan batu. Serentak dengan itu, darah sudah sampai ke telapak tangan Firman. Aku terhayun dan terlepas… Mendarat jatuh ke atas hamparan batu sebelah kanan kami. Aku terpisah dari Firman dan rendah sikit darinya tetapi cukup tinggi dari jangkaan makhluk hitam itu. Kami berdua terduduk kelegaan! Aku melepaskan rasa lelah dan cemas.
"Babi!!!"
"Apa ini? Tak eloklah cakap macam itu!" Terkejut aku dengan suara tempikan Firman.
"Saya bukan menyumpah! Saya marah babi kat bawah tu!"
"Apalah yang kasar sangat? Tak ada perkataan lain ke nak panggil dia?!"
"Perkataan lain apa?! Dah dia memang babi!" Firman tergelak.
Aku mendengus. Aku terpaksa menjerit bila bercakap kerana jarak kami.
"Awak ini memang kasar! Perkataan itu tak sesuai bila diucapkan. Lebih sesuai panggil khinzir! Lebih lembut dan sopan!"
"Khinzir itu pun maksudnya babi! Perkataan bahasa Arab! Bahasa Melayunya babi! Kena panggil babilah!"
"Susahlah nak cakap dengan awak!"
Aku membetulkan tudung yang tak jadi dan senget.
"Awak patut angkat saya dan biar saya panjat naik dulu! Baru awak panjat naik! Ni, dia tinggal kat belakang!"
"Lebih selamat kita panjat dulu! Kita tak sanggup nak melihat di bawah kain dia!"
Aku termalu sambil menahan gelak. Berkita, berdia pula! Kalau tak mengejek aku, tak sah!
"Sempat lagi fikir macam tu! Bukan nak selamatkan saya dulu!"
"Bukan nak fikir! Benda itu datang sendiri! The moral of the story, berpakaian biar kena dengan tempatnya!"
"Tau pun! Dia yang tak bagi kita tukar pakaian! Tak patah balik ambil senjata kita!"
Aku berkata dengan geram.
"Yalah, kita salah!"
Aku tergelak. Dia ini!
"Akhirnya, mengaku juga! Ingat janji awak! Awak takkan menyakiti saya lagi!"
Tiba-tiba butang kerongsang di belakangku terjatuh dan terpelanting. Elok aje di depan makhluk hitam yang bertaring itu.
"Firman!!!" Aku kelam-kabut, duduk membongkok melihat ke bawah.
"Biar ajelah, bukan rezeki awak. Kejap lagi kita turun ambillah!"
"Nanti dia sentuh! Saya tak mahu sertu. Kalau dah sertu pun saya geli!!!"
"Biar ajelah!"
"Firman, turunlah ambil. Pergi lawan dia! Ambil brooch saya!"
"Malas!"
"Lah, malas? Tadi sanggup nak bunuh diri kerana nak dapatkan kepercayaan saya, sekarang pergilah ambil brooch tu… nanti tudung saya terselak. Dahlah tak banyak brooch saya bawa ke sini, hari itu dah hilang satu."
"Itu sebab nak dapat kepercayaan awak, bukan sebab nak dapat kepercayaan babi itu! Biar ajelah! Lagipun, siapa kata saya nak bunuh diri? Saya acah aje!"
Aku menghentak kaki! Aduh! Firman tersengih, relaks aje dia memerhatikan aku. Yang di bawah dah mula menghampiri brooch aku.
"Oh no! Ya Allah! Tolonglah jangan bagi dia sentuh brooch tu!!!"
Tak menjadi! Cuba doa lain pula!
"O Allah, please…"
"I know I'm not that pious but…"
"Ya Allah, tolonglah! Nanti brooch tu kotor. Engkau Tuhan yang mencintai kebersihan."
Binatang itu semakin mendekat, mula menundukkan wajahnya.
"Firman! Bahasa Cham Kemboja panggil apa binatang ini?"
"Entah!"
Warghh!!! Aku karate juga dia ini karang!
"Ya Allah! Jangan!!! Pergilah kau! Pergi! Shoo! Shoo!"
Pertama kali aku ternampak Firman tergolek-golek dengan suara yang kuat dan berdekah-dekah. Mukanya merah padam. Nampak sangat dia tak dapat menahan geli hati dengan aksi aku. Aku terduduk kecewa. Dalam hati bagai digaru-garu. Geli hati dengan reaksinya… terjangkit ketawanya dan aku turut sama ketawa kecil.
Aku memerhati babi hutan itu. Besar betul dia. Saiz anak lembu. Mahu azab kalau disondol dengan taringnya yang tajam. Silap-silap mati disiat dan ditikam. Nasib baik Firman menyuruh aku lari. Kalau aku jumpa, tentu-tentu aku tak kenal. Biasa yang aku lihat berwarna merah jambu. Kacak sikit dari yang hitam.
Pandangan aku beralih kepada Firman. Dia sedang memandang aku. Apa mimpi ini? Tiba-tiba aje senyum kepada aku. Aku membalas senyumannya dengan cuak. Tangannya menunjuk ke pipinya. Aku meraba pipi. Terasa kesat. Baru aku faham. Firman suruh mengelap mukaku kerana ada kesan darahnya. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, terlihat ada takungan air di lopak kecil pada batu tempat aku duduk. Aku tarik bucu tudung, mencelupkannya ke dalam air. Aku mencium baunya untuk memastikan air bukan air kencing gajah.
Okey! Aku duduk menghadap Firman semula dan mula mengelap pipi. Firman mengisyaratkan hidung pula. Aku mengelap hidung dan kemudian Firman mengangkat ibu jari menunjukkan dagunya. Aku mengelap dagu. Kemudian kening, kelopak mata, bibir, rahang dan dahi hasil bantuan Firman yang menjadi cerminku.
"Mudah-mudahan Matt akan jumpa kita! Banyak jejak kita tinggal… Kalau tak hujanlah. Tapi carikan kain awak sudah banyak membantu! Nasib baik, awak tak tukar pakaian, kalau tak… lagi payah nak cari awak!"
Ya, nasib baik. Alhamdulillah. Aku menggelengkan kepala bila teringat perselisihan kami yang mengerikan tadi. Nyaris berbunuhan. Err… pembetulan, aku yang hampir membunuhnya!
"Kita nak ke mana sebenarnya Firman?!"
"Saya nak bawa awak ke sebuah kampung! Awak tentu suka! Mereka mengusahakan atap nipah, jerami, dan lalang! Ada yang menenun kain sutera! Buat kuih dan mengait! Daun-daun nipah kami potong dan jual kepada mereka!"
Terdengar seperti satu suara. Firman berdiri dan segera mengisyaratkan aku agar bersembunyi di celah batu. Jari diletakkan ke bibirnya. Dia membuat isyarat genggaman tangan dengan ibu jari ke bawah. Aku cepat-cepat menyorok dan membuat isyarat tangan kepada Firman, gaya tak faham apa yang dia maksudkan. Firman beria-ria membuat lagi isyarat itu. Apa ya? Apa benda lah dia cakap ini? Genggaman tangan dan ibu jari ke atas, aku fahamlah. Thumbs up! Okay! Tapi yang ini ibu jari ke bawah. Firman mengisyaratkan lagi! Firman mengetapkan rahangnya dan menunjuk penumbuk. Cis! Main kasar nampak! Dia membuat isyarat bintang dan meletakkan pada dahinya. Ini bahasa isyarat polis tentera mana ini? Macam dia bantai aje asal aku faham. Dan aku sudah faham! Musuh! Komunis! Perutku dah seram dan aku mendiamkan diri, menyorok sambil mata tetap mengawasi Firman.
"Uh! Big brother!"
"Uh!!! Big brother!"
Matt! Firman keluar dari tempat persembunyian dan menyahut. Satu tembakan dan babi hutan itu menggelupur tumbang. Matt berlari bersama Yusoff dan beberapa orang lagi. Satu lagi tembakan dan babi hutan itu senyap.
Firman mula memanjat turun diikuti oleh aku. Matt sudah sedia menunggu dan menyambut aku.
"Don't touch her. She can do it on her own unless it's an emergency case. I've told you many times so I do not need to repeat it. Is that clear?" tegas Firman, melarang bila Matt cuba membantu aku.
Kami berdua terdiam. Matt mengangguk. Kasihan pula kepada dia. Tentu dia malu. Tak apalah, aku pun boleh berjalan sendiri.
Sampai ke kampung ini sudah hampir senja. Aku mandi dan membersihkan badan ala kadar. Aku menukar pakaian kotor dengan terpaksa meminjam baju dan kain batik milik anak dara hakeem di kampung ini. Pakaian mereka tidak jauh beza dengan Fatimah. Berbaju kurung, berkain batik dan bertudung labuh. Purdah aku tak pakai bahana sudah kotor. Aku berkemban dan menghadap cermin. Membelek tubuhku, mana yang luka atau lebam. Baru aku perasan, Firman banyak bertahan dan menepis, dia langsung tidak menyerang aku. Kalau tidak, naya aku dikerjakannya. Firman tu bukan boleh, dia profesional, bukan macam aku. Cuma badan aku agak sakit kerana bergolek jatuh dan tersembam sebanyak dua kali.
Sesekali aku membetulkan kain batik yang hampir terlondeh. Walaupun di rumah dah biasa berkain batik, di kampung ini lain. Kalau di rumah terlondeh tak ada orang nak tengok. Jadi senang nak perbetul. Di kampung ini ramai. Suara riuh mula kedengaran dan dua kepala menjenguk aku.
"Kakak!"
Fatimah masuk dan menerpa aku. Dia memeluk aku erat. Mai Tuan menggosok perlahan kepala dan mencium pipiku kiri dan kanan.
"Binti dah kelihatan macam Fatimah. Dengan pakaian seperti ini kelihatan seperti anak Melayu Cham. Nampak manis sekali."
Aku tersenyum. Pakai macam ini? Sekejap saja.
"Mana beg pakaian kakak, Fatimah?"
"Ai angah sedang mengangkatnya. Kejap lagi sampailah."
"Binti tak apa-apa? Risau mai Tuan tahu kamu sesat dalam hutan tadi. Nasib baik Firman telefon dan beritahu semuanya telah selamat."
Telefon? Aku baru teringat. Firman ada telefon bimbit dan kenapa dia tidak menelefon Matt semasa kami di dalam hutan tadi? Ataupun aku tak perasan dia ada menelefon Matt? Patutlah senang dan sekejap sangat Matt mencari dan menjumpai kami. Tetapi pistol Firman? Keadaan kelam-kabut, aku tak perasan sama ada Firman sempat mencapai pistolnya ataupun tak.
"Kakak… mari saya ajar betulkan ikatan kain batik kakak."
Tak perasan pula dia longgar. Nasib baik Fatimah tolong betulkan. Malas aku!
"Mari kita ke dapur, bantu apa yang patut," ajak Mai Tuan.
Kami mengekorinya sebelum Firman memanggil Fatimah bertanya mana satu bilik kami. Fatimah bergerak ke arah abangnya dan mereka masuk ke dalam bilik untuk meletakkan beg-beg aku. Firman keluar. Dia mengerling aku sekilas yang sedang duduk bersama perempuan-perempuan lain di dapur. Dia tak membalas senyuman aku. Senyumku melebar kerana dia tak cam aku!
Fatimah keluar dari bilik dan duduk bersama aku.
"Kakak, saya dah susun beg dan pakaian kakak. Kalau nak bertukar, pergilah. Nampak kakak tak selesa."
Aku mengangguk lalu bangun. Aku berjalan terkepit-kepit sambil menahan ikatan kain di pinggang takut terlondeh. Betul-betul sopan dan ayu, langkah puteri Melayu plastik!
Masuk ke dalam bilik, aku bernafas lega. Aku mengangkat beg ke atas katil. Kedengaran satu suara di belakang.
"Fatimah saya penat sangat…" Suara itu berbahasa Arab.
Badanku dipusing dan kedua kepalaku ditarik dengan kedua-dua belah tangan. Aku memejamkan mata rapat apabila sepasang bibir hampir menguncup ubun-ubun kepalaku. Kedua-dua belah tanganku terangkat kaku.
Terasa desahan nafas yang panas. Mataku masih terpejam tapi tangan cepat menumbuk perut Firman dan dia terkebelakang. Firman ketawa kecil. Lepas itu dia baru perasan!!! Dan riak mukanya berubah. Aku membuka mata dan masing-masing menelan payau.
Cepat-cepat Firman menolak aku ke atas katil dan dia bergegas keluar! Aku tersandar dengan mulut terbuka. Dia yang masuk bilik ini, tapi aku pula yang ditolaknya! Cet! Yang aku ini kenapa pula nak pejam mata tadi? Patut aku bagi penumbuk paling kuat tadi biar termuntah isi perut dia. Dah alang-alang dia serah diri dekat aku. Aku duduk semula di atas katil dengan wajah tak puas hati. Geram betul.
Anwar Ibrahim's speech gave me motivation to write agane.
Share this novel