Mercedes 4 Matics meluncur laju mengekori Toyota Hilux yang dinaiki boleh dua orang ustaz di depan dan penuh dengan barangan dan manusia. Selamba aje orang kampung menenggek di belakang Hilux itu. Aku sorang je yang selesa, hanya bersama Firman. Kami tak bertegur sapa. Sekali-sekala aku menjeling memandangnya, ingin memancing reaksi.
Dia pula langsung tak ambil pusing.
Sepanjang perjalanan, aku lebih suka meninjau pemandangan sekeliling. Melihat kesibukan dan kesesakan bandar Phnom Penh sehingga kami sampai di destinasi yang hendak dituju. Jauh juga Kampong Cham ini. Tak sampai-sampai lagi. Penunggang motosikal ada yang bertopi keledar. Begitu juga dengan pembonceng di belakang. Kalau perempuan, duduknya mengiring, kelihatan sopan dan ayu. Pengangkutan awamnya juga menarik. Ada beca yang dipanggil cyclo dan tuk tuk.
Sampai juga kami di perkarangan Masjid Suei Tahen, Kampong Cham. Kami disambut riang oleh penduduk yang begitu ramai. Aku membalas senyuman mereka di balik niqab. Hati merasa girang dan berdebar. Apa yang menanti aku di sini?
Aku menunggu Firman untuk membukakan pintu untukku. Hari tu bukan main lagi cakap aku akan dilayan macam tuan puteri bagai. Tetapi dia tidak membukakannya, malah keluar dan berjalan selamba ke arah beberapa orang perempuan. Seorang lelaki datang dan membuka pintu. Aku terkulat-kulat keluar. Tetapi jubahku yang agak labuh menyukarkan pergerakanku. Dengan wayar headphone lagi. Aduh! Aku rasa nak menangis. Aku menarik wayar headphone. Tanpa sedar, aku terpijak hujung kain jubahku dan aku hampir terjatuh. Cepat-cepat aku menstabilkan badan. Rata-rata mata sedang memandang kelakuanku. Mana tak pelik, macam gagman!
Aku berjalan terkulat-kulat menghampiri kaum wanita. Mujurlah mereka terlebih dahulu menerpa ke arahku. Aku menyimpan wayar headphone ke dalam beg tangan dan headphone kusarungkan ke tengkuk.
Rasa sedih akibat diperlakukan sedemikian rupa oleh Firman hilang apabila kaum wanita mula menyalami tanganku. Semakin ramai yang mendekatiku lalu tanganku dicium. Terlalu ramai sehingga aku menarik tanganku dan menyalami mereka seperti biasa. Aku tak suka tanganku dicium oleh orang tua atau sebaya. Macam aku ni mulia sangat pula. Aku diiring masuk ke dalam masjid yang sudah tersedia seperti majlis perasmian.
Ustaz-ustaz juga disambut meriah dan dipeluk mesra oleh penduduk kampung. Suasana riuh dengan muka yang penuh dengan keriangan dan kesyukuran. Aku didudukkan bersama kaum wanita, bersimpuh mendengarkan ucapan yang langsung aku tak faham. Seorang anak gadis berdiri, perlahan-lahan menghampiri dan duduk di sebelahku. Tangannya dihulur untuk bersalam. "Kakak, nama saya Fatimah. Saya akan jaga dan tinggal bersama kakak."
Aku kaget sebentar bila melihatnya. Oh... Dia boleh berbahasa Melayu. Agaknya ini yang dikatakan oleh pengerusi majlis. Dengan Fatimah di sebelahku, maka menjadi mudah untuk aku memahami butir bicara mereka.
Setelah beberapa ucapan ringkas daripada imam merangkap ketua kampung yang dipanggil hakeem dan ucapan wakil ustaz iaitu ustaz Jamali, kami dijamu makan tengah hari. Lauk kami istimewa berbanding lauk orang kampung. Seekor ikan haruan besar yang dibakar, kari ayam kampung, daging goreng bersos lada hitam pekat, dan udang galah goreng. Air mineral dan air kelapa sebiji seorang. Aku menanggalkan niqab lalu menyimpannya ke dalam beg tangan. Ada juga mata-mata yang memerhatiku. Aku buat tak endah. Tengoklah muka aku puas-puas. Bukannya aurat pun. Selepas makan, beberapa orang kanak-kanak berpusu-pusu menimba air perigi bergilir-gilir lalu minum. Hatiku terusik seketika.
Aku memanggil salah seorang daripada budak lelaki yang sedang menunggu gilirannya di perigi. Budak itu kelihatan malu-malu denganku. Aku menghulurkannya air kelapaku. Teragak-agak dia mengambilnya. Senyumanku meyakinkannya. Dia lalu meneguk air itu dengan rakus. Terpancar keriangan di wajahnya. Dia mencium tanganku sebagai tanda terima kasih lalu berlalu mendapatkan kanak-kanak lain. Puas hatiku apabila dapat melihat wajah bahagia kanak-kanak syurga ini walau sekejap.
Kami semua dibawa meninjau keadaan masjid dan madrasah merangkap kelas kami. Hatiku tersayat apabila melihat keadaan kelas yang tersangat naif. Beratap genting separuh dan berlantaikan tanah. Macam tak siap aje. Papan hitamnya pula sudah usang dan berlubang di tengah-tengah. Lucu pula apabila melihat ustazah menulis tulisan di papan hitam tersebut dan menyambung tulisannya yang terputus di sebelah lubang sana.
Anak-anak murid perempuan kecil dan besar bersesak di dalam kelas. Sempit dan tidak selesa. Semuanya bertudung rapi. Dengan baju yang lusuh dan tudung yang entah apa-apa, sedaya upaya mereka cuba untuk menutup aurat. Muka masing-masing gembira ceria setiap kali menatap wajahku dan bersalaman.
Terakhir sekali, sebuah dorm. Hanya tikar mengkuang, sehelai selimut dan sebiji bantal. Tiada almari baju. Kain baju berselerak dan digantung pada tali rafia yang diikat hujungnya pada dinding. Beberapa helai baju terlipat berhampiran bantal. Penanda tempat tidur dan kawasan tuan baju itu. Anak-anak dari pelbagai usia berdiri menyambut kami. Seramai 20, 30 orang lelaki dan perempuan yang diasing dengan menggunakan dinding sekatan di tengah-tengah bilik.
Mataku tertancap ke arah beberapa orang yang cacat. Tiada lengan, tiada kaki dan ada yang buta. Yang peliknya, bentuk cacat mereka seragam. Macam mana ya aku nak gambarkan? Kalau yang tak ada tangan, seperti cacat mereka sekata dan sama panjang. Kalau lengan yang putus, maka ukuran lengannya yang berbaki sama dengan rakan yang senasib dengannya. Sama juga dengan cacat kaki. Paras lutut dan sama cacat mereka.
Tuan hakeem menerangkan kepadaku dengan bahasa Melayu pelat.
"Cik Hana, ini rumah anak terbuang."
"Anak yatim...?" Aku inginkan kepastian.
"Anak mangsa perang... Ada anak yatim. Anak terbuang, anak hasil zina."
Astaghfirullahal azim... Aku mengusap dada menahan sabar. Satu ayat yang aku tak suka dengar.
"Apa nama rumah ini?"
"Tak ada nama. Kami panggil rumah ini rumah anak terbuang."
Wajahku tegas. "Ini rumah wildan."
Aku betulkan. Muka hakeem dan yang lain memandangku agak kaget.
"Siapa menguruskan rumah ini?"
"Tuan imam, isteri-isteri kami, dan Fatimah."
Aku mengangguk. "Anak-anak ini dah makan ke belum?" Geleng. Aku mengeluarkan sehelai kertas lalu menulis beberapa bahan masakan di atas kertas tersebut. Beberapa keping wang dan kertas itu aku hulurkan pada seorang pemuda berdekatan. "Tolong belikan semua ini. Nanti saya nak masak. Budak-budak ini tak cerewet makanan kan?" Dapat kurasakan marah yang hadir daripada Firman. "Dapat makan nasi basi pun mereka dah bersyukur. Kami makan semua rezeki yang Allah berikan pada kami."
"Alhamdulillah, senang kerja saya. Mulai hari ini, rumah ini rumah Wildan. Anak-anak ini akan berada di syurga dan akan menjadi wildan. Mereka tidak terbuang di sisi Allah. Mereka layak ke syurga. Ingat tu." Tegas aku bersuara. Semua wajah tersenyum puas.
Aku menjamu anak-anak bidadari ini makan air tanganku. Kali ini nasi goreng tom yam pula. Ustazah dan anak-anak murid turut dijamu olehku. Licin masakanku dimakan oleh mereka. Rasa terharu pula. Selama ini di rumah tak ada siapa selain keluarga Along yang sudi makan masakan aku. Hari ini sekuali nasi goreng tom yam licin dimakan oleh anak-anak Wildan. Aku, Fatimah, isteri-isteri ustaz serta isteri tuan imam menyuap anak-anak yang tidak mampu makan dengan sendiri. Polos benar mereka. Mudah-mudahan apa yang aku lakukan dapat memberi peluang kepada mereka untuk merasakan kasih sayang seorang ibu.
Fatimah menunjukkanku sebuah banglo yang tersergam indah. Begitu kontra sekali dengan rumah-rumah di sekelilingnya. Aku mengukir senyum gembira. Beg-beg ustaz diangkut masuk ke dalam. Aik? Takkan kami berkongsi banglo pula?
Aku ditarik Fatimah. Kami berjalan selama 15 minit dan tiba di sebuah rumah kampung yang agak uzur dan usang. Bertiang tinggi, beratap dan berdinding rumbia. Masuk aje aku merenung lantainya, tanah lagi. Nampaknya sense aku memang kuatlah di sini.
Ruangan seluas lima kaki dan di sebelah kanan kami, tujuh anak tangga. Sneakers aku buka dan Fatimah mempelawa aku naik ke atas rumahnya. Aku menapak naik anak tangga itu dengan berhati-hati, takut papan anak tangga itu patah. Sejuk kakiku tatkala memijak lantai papan yang diketam kasar. Mataku melilau melihat sekeliling. Tiada bilik. Yang ada hanya sebuah katil yang dipasang tabir kain berwarna hijau di sebelah kiri. Sebuah buaian ranjut yang diikat ke tiang seri dan sebatang tiang lagi di sebelah kanan. Kelihatan bahagian dapur yang uzur dengan dapur tanah liat menggunakan kayu sebagai bahan bakar. Dua tempayan air berlakar seekor naga, periuk belanga tembikar, cerek yang hitam legam dan dapur berlantaikan papan dipaku agak berjarak. Kalau ada yang lalu dibawah, naudzubillahi min zaalik. Mudah-mudahan auratku tak terlihat.
Melihatkan rumah ini, hati tiba-tiba terkenang kampung di Kelantan dan Siam. Dah lama aku tak balik.
Aku menoleh ke arah Firman yang baru naik dan sibuk menyusun beg-begku dengan beberapa orang lelaki lain.
"Ini ke banglo yang dijanjikan untuk saya?" Angguk.
"Fatimah akan bantu awak. Selesakan diri."
Enam patah perkataan tanpa perasaan. Aku berdiri kaku melihat langkahnya menuruni anak tangga dan terus keluar. Kemudian masuk seorang perempuan yang agak berumur dan salamnya kami sambut. Mukanya berseri dengan mata yang bercelak cantik. Cemburu pula aku apabila melihat celaknya. Senyumannya mengendurkan ketegangan yang melanda. Fatimah menyambut tangan tua itu membantunya naik.
"Kakak… Ini mama saya Hajah Aminah. Kakak panggil aje mai tuan, ikut panggilan orang sini."
Aku menghulurkan tangan dan menunduk untuk menyalaminya, tetapi aku ditarik dan dipeluknya erat. Aku tergamam tetapi aku membiarkannya saja. Kemudian, kedua-dua belah tangannya memegang pipiku. Matanya menatapku lembut. Pandangan itu mengingatkan aku pada ustazah Wida, ibu Yaqrib di Malaysia. Aku hampir pitam dengan keindahan cahaya matanya.
"Ahlan... Ahlan... Ahlan wasahlan wa marhaban bik..."
Berbahasa Arab? Aku tersenyum malu. "Ahlan bik. Syukran laki." Ucapku perlahan.
Kedua-dua belah tangannya aku salam dan aku tunduk untuk mencium tangannya tetapi pantas tangannya ditarik.
"Ya binti... Rahimakumullah... Semoga Allah memberkati hidupmu nak."
Suaranya merdu, senyumannya manis, hangat dan lembut tangannya... Tangan seorang ibu. Sejuk hati melihat mukanya. Aku terpesona seketika.
"Mama, kakak belum duduk dan diberi minum." Fatimah sudah sedia membentangkan tikar mengkuang.
Mai tuan seperti tersedar. Kelam-kabut dia meminta maaf dan menyuruhku agar duduk bersimpuh di sebelahnya. Kemudian, Fatimah ke dapur dan dapat aku dengar dia sibuk menyalakan api. Pasti dia nak memasak air untukku. Aku mengambil peluang ini untuk pergi menukar pakaian, kemudian duduk bersembang dengan mai tuan.
"Ya binti… Kamu asal mana?"
"Saya dari Malaysia…"
"Mai tuan tau asalnya Malaysia… Negerinya apa? Kelantan?"
"Bukan… Kedah."
"Oh… Mai tuan fikir asal negeri Kelantan. Negeri serambi Mekah."
"Pernah ke Malaysia?" Tanyaku berbasa-basi.
"Malaysia bukan asing bagi kami. Tetapi dalam banyak-banyak negeri, Kelantan, serambi Mekah sangat dekat dalam hati."
"Kenapa serambi Mekah itu sangat dekat dalam hati mai tuan?" Soalan bodoh yang keluar. Saja nak tau.
"Kerana Kelantan ramai alim ulama' banyak pondok. Ramai orang berkain pelekat dan berjubah serban. Azan saja orang ramai berduyun-duyun ke masjid, seperti suasana di Mekah. Lagipun, orang Melayu Cham tak berduit untuk ke Mekah. Jadi hanya mampu merantau ke negeri lain di Malaysia. Kami dapat ke Kelantan pun sudah satu kesyukuran yang besar. Ibaratnya bagi kami, sampai ke sana seperti menjejakkan kaki ke Mekah. Dengan tempoh masa dan jarak... Wang yang harus dikumpulkan, seperti orang Malaysia yang hendak menunaikan haji ke Mekah. Hajat hati semua mak bapak di sini... Anak tak dapat belajar di Mekah, dapat menuntut ilmu pondok di Kelantan pun sudah cukup besar nikmat ilmu kepada mereka."
Aku terdiam. Speechless. Tak tahu nak cakap apa. Dalam hati aku mengukir senyum tawar. Sayang, terdapat orang Kelantan yang ekstrimis dan ada yang memilih untuk menagih dadah atau menjadi bohsia. Golongan ahli pondok hanya terdiri daripada golongan tua-tua di kampung sahaja. Kalau kampung itu didiami oleh golongan pondok pun, pasti ada golongan penagih dan bohsia dalam kampung tersebut.
Sebaliknya aku mengukir senyum manis. Mai tuan betul-betul mengingatkan aku pada ustazah. Aku kagum dengan kefasihannya berbahasa Arab dan Melayu. Setiap patah perkataan membayangkan Mai tuan bukan wanita biasa-biasa... Ops! Wanita tua biasa-biasa. Aku memandang wajahnya. Dia pasti sangat jelita di usia mudanya. Sisa kejelitaannya tetap terserlah walau sudah berumur.
Kedengaran bunyi motosikal dan Firman masuk ke dalam ruang rumah yang berlantaikan tanah. Dia kemudian mematikan enjin motosikalnya. Motosikal ditongkat dan dia naik ke atas. Pada masa yang sama aku mengukir senyum di luar sedar. Rumah begitu uzur, tetapi motosikal hebat dan bergaya. Sungguh tak sesuai seperti Beauty and the Beast. Rasa tak padan, miskin tetapi hebat dengan motosikal yang besar.
"Assalamualaikum ya mama... "
"Walaikummusssalam adik."
Mama? Adik? Seriously?!
Aku menahan tawa sambil melihat mereka berdua. Firman mengucup dahi mai tuan dan kedua-dua belah pipi tua itu. Firman bersila di sebelah mai tuan menghadap aku.
"Berhenti ketawakan saya. Tak pernah tengok anak mencium ibunya?"
Oh! Itu drama sebentar tadi ya! Tak adalah drama sangat sebenarnya sebab aku dah boleh agak rumah ini mesti rumah Firman punya.
Cuma tak sangka mai tuan dan Fatimah merupakan ahli keluarganya. Mereka bertubuh kecil dan sama tinggi dengan aku yang pendek ini sedangkan Firman bertubuh tinggi dan berbadan tegap. Oh ya, Firman dipanggil adik. Adik? Aku menguntum senyum lucu. Teringat arwah Amir. Pada masa yang sama, aku mengerling wajahnya. Dah tua, berjanggut dipanggil adik? Sungguh tak macho dan tak cukup lelaki okey! Keperempuanan dan manja semacam aje. Imej macho Firman sudah menghilang daripada pandanganku.
Tunggu sekejap. Aku... Panggil Firman macho? Aku mencuri memandang Firman sekilas. Mungkin aku memanggil dia macho sebab dia ditugaskan untuk menjaga aku kut. Yalah, lepas ni memang aku akan bergantung sepenuhnya pada keluarga ini. Itupun kalau dia memang betul-betul sudi nak izinkan aku bergantung padanya. Macam tadi. Huhu. Aku menyimpan rasa tawar dalam hati.
Share this novel