Chapter 22

Adventure Series 1746

Boleh tahan pejabat pelancongan milik Firman. Tak adalah daif sangat. Yang hairannya, kenapa keluarga Firman tinggal dalam suasana daif macam tu? Rasa macam kurang menyenangkan, ofos bukan main gah, bosnya bukan main bergaya, tetapi wanita di rumah tinggal dalam kedaifan. Memang aku awal-awal cancel! Aku menghembuskan nafas semangat sambil melihat susun atur di dalam pejabatnya. Sederhana tapi elegan. Sedap mata memandang. Gabungan warna hitam dan putih, macam tahi cicak. Dinding keseluruhan dicat dengan warna putih dan pintu utama berwarna hitam berplat silver tertulis Al-Fayruz Travel. Memang cantik. Bendera Malaysia, Kemboja, Arab Saudi dan beberapa negara Arab lagi berkibar megah. Terdapat juga bingkai gambar KLCC, Petronas Twin Tower, Angkor Wat, Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjid Kristal dan pelbagai lagi masjid yang menarik di seluruh dunia.
Di atas meja di depan sofa tetamu, terdapat satu gubahan bunga teratai. Kelihatan hidup seperti terapung cantik. Kreatif dan menarik. Pasu bonsai dan bunga kemboja diatur di kiri dan di kanan sofa, bunga lambang Kemboja. Ada dua buah bilik yang berdinding kaca dan bersaiz besar. Satu memuatkan empat orang staf dan kesemuanya lelaki. Mereka sibuk bekerja dengan komputer di depan. Sebuah lagi bilik untuk Firman. Tidak ada langsir mahupun tirai dan bilik itu terbuka. Semua orang boleh nampak di antara satu sama lain. Cuma ada satu ruangan yang dipisahkan oleh dinding di sebelah kanan. Mungkin pantri atau tempat bagi staf melepak.
Matt keluar dari bilik dan memberitahu bahawa Firman hendak berjumpa dengan aku.
"Duduklah…" pelawa Firman. Aku Agak terpegun melihat penampilannya. Dia bertali leher dan berkot. Jambangnya tersusun rapi dan rambut telah berkilat bahana pomade.
"Maaf, saya pun tak sangka. Tiba-tiba saja dapat panggilan daripada Kementerian Kebudayaan Kemboja. Tiga orang pegawainya akan datang jumpa saya dalam pukul 9 sekejap lagi. Awak boleh tunggu kejap tak? Sambil tu, pilih mana tempat yang awak nak pergi bila kita ada masa nanti. Malam ni ada jemputan majlis…"
Dia mencampakkan beberapa risalah di depanku. Kasar! Teragak-agak aku memandangnya. Firman sibuk membuat panggilan telefon, sesekali matanya menatap laptop di depan mata dan menaip laju. Biliknya sederhana saja tapi menangkap mata. Berbau lavender yang segar. Terdapat juga sekeping gambar dia beruniform polis. Aku mendekat dengan penuh minat. Hmm… tubuh kembali duduk seperti biasa. Risalah berkenaan tempat menarik di Kemboja aku belek. Walaupun dalam hati berbuku geram dan menyampah. Minta maaf pun kasar nak mampus!
Gambar dia menerima ijazah semasa di USIM, bersama pasukan bola sepak di USIM, bersama Along and the gang, dan ada gambar pasukan perbarisan, seperti ada kawad berirama. Barangkali group menari di bawah seliaan dia. Ada juga gambar konvoi motosikal besar, hmm… Boleh nampak sengih muka Along dalam tu. Gambar Upacara Perbarisan Tamat Latihan PULAPOL. Oh… Dia mengetuai perbarisan sebagai Pegawai Pemerintah Baris rupa-rupanya… Patutlah berlagak ke tahap langit ketujuh. Orang hebat rupa-rupanya pada zaman USIM dan PULAPOL.
"Apa yang awak kutuk saya dalam hati?" dia masih menunduk dan menulis.
Cet… Kantoi!
"Tak ada apa pun. Tengok gambar awak dengan Along ni ha."
"Tak payah nak cong saya. Tengok air muka awak pun saya dah boleh agak, sama ada awak sedang terpukau dengan saya atau sedang mengutuk saya." Dia masih menunduk tapi mulut macam tu juga. Tembakan daripada Glock 19!
Aku menjulingkan mata ke langit. Tak kuasa aku nak terpukau! Kedengaran suatu ketukan di pintu. Matt membuka dan memberitahu Firman bahawa pegawai itu sudah datang.
"Hana nak dengar sama atau nak duduk luar?"
Firman bangun dan menghampiri aku. Bau minyak wangi kuat menusuk ke hidung. Aku mengalihkan pandangan, rasa sangat tidak selesa, kerana aku dan dia bukan mahram.
"Saya kat luar saja. Lagipun, bukan faham."
"Kami boleh cakap bahasa Inggeris…"
Aku menggelengkan kepala sambil memberi senyum plastik. Was-was kalau dia baik semacam. Aku tak pernah percayakan lelaki yang sadistik. Pintu dibuka oleh Matt dan muncul dua orang lelaki, seorang separuh umur, seorang lagi dalam lingkungan 30-an, seorang perempuan muda, berbaju blouse bersulam putih tangan pendek dan berkain seperti kain tenun songket. Cantik. Kedua-dua lelaki itu bersut kemas dan mereka serentak merapatkan kedua-dua belah tangan, cara mereka menyapa tanpa bahasa. Senyuman pula manis terukir. Firman melakukan yang sama, menyambut mereka dengan mesra, berjabat tangan dan memperkenalkan aku kepada mereka.
Aku menyapa mereka dengan cara yang sama lalu meminta izin untuk keluar. Aku menyertai Fatimah yang asyik memerhati gambar-gambar masjid. Aku menoleh ke arah bilik Firman. Dia menghadap kami dan rancak berbincang. Aku memerhati wajah Fatimah pula. Dia ada iras Firman sedikit. Mukanya sangat lembut dan tenang. Tetapi jika dibandingkan dengan Mai Tuan, Mai Tuan jauh lebih cantik. Firman banyak menyerupai Mai Tuan kecuali mata. Aku tak perasan sangat warna mata Firman, tapi yang aku pasti renungannya tajam dan dalam. Walaupun aku tak tengok dia, boleh rasa laser tu.
"Saya rindukan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Tak tahu nak cakap bagaimana indahnya ketika berada di sana…"
"Pernah ke sana?"
"Setiap tahun… Cuma tahun ini dan tahun lepas tak dapat pergi."
Aku dah betul-betul kehairanan. Parents aku yang banyak duit tu pun, mampu pergi sekali je, macam mana pula Fatimah boleh pergi setiap tahun? Tak masuk akal! Tapi tak berani nak bertanya. Bukan hal aku. Fatimah beralih kepada gambar Masjid Agha pula di sebelah depan pintu masuk. Aku masih merenung gambar Masjidil Haram. Kedengaran satu irama yang begitu familiar. Labbaikallah! humma labbaik! Hah… Hembusan nafas keluar perlahan dari bibir. HambaMu datang Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. Suara lelaki-lelaki yang menuturnya juga sangat bersemangat, sangat nyaring, walaupun angin kencang padang pasir bertiup dan haba panas hampir membakar kulit. Ribut pasir yang indah, bahang panas yang menambah semangat, aku seperti dipanggil. Ingin sekali aku memakai ihram dan menyertai rombongan itu, walau mata menjadi merah kerana debu panas. Walau tubuh menjadi lelah kerana keringnya tekak dan dahaga. Ingin sekali…
Terasa satu sentuhan. Aku tersentak, kini aku berada di pejabat Firman semula. Mata cepat melihat tangan yang menyentuh belakang bahuku. Aku menggerakkan tubuhku segera. Terasa seperti Matt semakin kurang sopan.
"Are you okay Miss Hana?"
Aku menampar muka semula sebelum memandangnya. Serta-merta aku cuba untuk fokus akan suasana sekeliling. Dalam hati aku berterima kasih dan merasa bersalah. Dia hanya risaukan aku.
"I'm okay…"
"Are you sure? Let me get you a drink. You look pale and uneasy. Maybe a cup of hot tea can make you feel better."
Matt menarik tanganku ke belakang. Refleks aku menarik tanganku sekuat hati sambil kaki mengekorinya perlahan. Rasa terancam tapi mulut terkunci. Akal aku masih belum pulih sepenuhnya. Satu ruang seperti ruang rehat untuk staf dengan sofa. Meja makan dengan untuk sepuluh orang dan kabinet dapur. Aku duduk bersandar sambil termangu-mangu di sofa. Aku masih lagi seperti dalam keadaan sedang berhalusinasi.
Satu gelas yang berisi teh panas disua ke wajahku. Aku memejamkan mata. Kepanasan dan haruman teh seperti terasa menusuk ke jiwa. Lega dan menenangkan. Terasa seperti ada bunyi hentakan lembut di depanku dan bau minyak wangi kuat menusuk ke hidung.
Terasa seperti ada bunyi hentakan mug di atas kabinet. Dan kedengaran air paip mencurah-curah dari sinki.
Apa bunyi tadi? Wajahku berkerut sedikit. Mindaku ingin berehat, mataku senang dalam keadaan terpejam. Yang aku pasti cawan teh itu tidak lagi berdekatan dengan wajahku.
Boleh aku dengar sayup-sayup kedengaran suara Firman dan Matt berbicara. Bunyi derapan tapak kaki menjauhi kami. Itu tapak kaki Matt. Firman di ruang ini hanya mendiamkan diri. Jarang benar aku berada dengannya dan dia tidak bersuara. Harap-harap perkara ini tidak sampai ke pengetahuan umi dan abah. Aku bernafas penuh resah kerana tapak kaki Firman mula menjauhi aku.
Suasana pasar yang ramai dan sesak. Aku rimas. Firman pula berdiri begitu jauh sekali.
"Boleh tak kita balik? Saya rasa rimas dan tak selesa di sini."
Dia bercekak pinggang dan matanya ke depan saja. Angin sejuk bermain-main dengan rambutnya yang sudah mula menutupi dahi.
"Cik Hana nak shopping tempat macam mana?"
Sekejap Cik Hana, kejap Hana, kejap my precious. Betul-betul split personality. Susahnya bercakap dengan orang yang macam robot. Muka macam tak ada perasaan. Mata di belakang cermin hitam yang kaku. Tiba-tiba saja hari ini aku rasa macam panas membara. Dengan bodyguard yang hanyalah bodyguard. Baiklah!
"Saya tak ada mood shopping dekat tempat ramai macam ni. Saya nak ke tempat yang sunyi dan tak ramai orang."
"Cik Hana pernah ke kubur?"
Aku mengangkat kening. Soalan apa ni?
"Pernah ke perpustakaan? Masjid? Dewan kuliah? Bilik prep? Gua? Padang pasir? Laut? Air terjun? Sungai? Jeram?"
Tak sempat nak jawab, bertalu-talu soalan menembak. Aku hanya mampu memandangnya dengan muka kelam tak faham.
"Di mana kita berada sekarang?"
"Awak ni dah kenapa? Pop quiz satu juta dolar ke? Semua tempat tu ada yang saya dah pergi ada yang belum. Sekarang kita sedang berada di Central Market atau Pasar Thmei yang berdekatan dengan Russian Market, Phnom Penh, Kemboja negara yang bersempadan dengan Thailand, Laos, dan Vietnam. Russian Market pun nama aje Russian tapi mereka tak cakap bahasa Rusia pun," jawabku dalam hati yang panas.
"Tau pun berada di mana. Kalau datang sini, awak membeli-belah. Kalau nak sunyi, pergi masuk kubur."
Firman menarik Fatimah masuk ke Central Market, meninggalkan aku dan Matt terbata-bata. Aku dan Matt saling berpandangan, manakala Matt hanya mengangkat bahu. Aku memberitahu Matt tak perlu mengekor mereka. Biarlah saja kedua-dua beradik itu nak menghala ke mana. Hati tiba-tiba merasa sebal. Panas hati dari tadi masih belum hilang dan silap besarlah aku kalau menyangka Firman akan memahami. Matt pun jadilah! Tak kenal maka tak cinta!
Betul juga kata Firman. Keadaan di pasar ini memikat hati aku. Susun aturnya kemas dan bersih. Banyak barangan kraftangan yang dijual. Menarik hasil seni dan ukiran mereka. Matt menunjuk kepadaku satu-persatu sambil memberi penerangan. Aku sangat tertarik dengan hasil tenunan sutera mereka, berbagai corak dan warna-warni yang memukau.
Selepas itu aku dibawa Matt melihat hasil pertukangan emas dan perak pula. Cantik hasil ukiran mereka. Seni halus yang tinggi berunsur Buddha dan Hindu. Banyak batu-batu permata yang dijual. Aku lebih berminat dengan seni pembuatan senjata, tetapi takkanlah aku nak ajak Matt tunjuk benda tu kut! Matt memperlawa aku membeli barang kemas. Di sini, harganya lebih murah. Kalau batu delima berharga USD 50, di Malaysia dah berharga dalam RM 300. Aku menggelengkan kepala, tak berminat. Mulut sempat mengucapkan terima kasih kepada penjual yang hingar menawarkan harga. Aku tak memakai sebarang barang kemas. Aku suka jongkong emas yang simpan tu. Kalau yang melekat di badan, aku rimas kecuali seutas jam tangan dan sebentuk cincin tunang. Itupun untuk menjaga hati bakal mak mertua.
Seorang lelaki tua Khmer datang menghampiri aku dengan membawa dua, tiga bentuk cincin bermata ruby. Aku melayan dia sekadar budi bahasa. Pandai juga dia berbahasa Inggeris pasar. Mungkin dah biasa berurusan dengan pelancong. Beberapa cincin ditunjukkan kepadaku, aku memandang sekilas sebelum tersengih memohon maaf. Tidak berminat. Satu bentuk cincin yang dipakai di jari manisnya disua ke mukaku, tepat mengenai anak mata.
"Look at this ring…"
Tiba-tiba segerombolan pelancong berkulit putih melalui celah-celah kami. Aku memegang beg sandang di bahu yang labuh dengan tangan. Mataku seolah-olah digam, melihat cincin itu, seperti ada satu daya tarikan.
"Look at this red ruby…"
Kepalaku automatik tertunduk. Tangannya yang menyua itu pun hampir menyentuh hidungku.
"Can you see a beautiful dancing lady in this ring? In this red ruby?"
"I can't see her."
Hah, jumpa! Bukan perempuan cantik, tapi perempuan yang mempunyai wajah yang berkedut, tua, yang mengenakan jubah hitam, dan di sekeliling wanita itu, kelabu kerana kabus dan asap, tetapi aku boleh nampak bayang tengkorak. Di atas permata merah itu seperti ada tompok merah… Darah? Astaghfirullahal azim!
"Allah…" Aku menyambut lemah sebelum terasa badanku disambut.
Kepalaku berpinar-pinar dan pening. Sakit di bahagian belakang kening membuatku tak mampu membuka mata. Di depanku ini ada sebuah rumah usang, di tengah-tengah bukit yang tidak bertuan.
Aku terus berjalan, menepis ranting kayu di hadapan, dan menuju ke rumah usang itu. Di kiri dan kanan mayat bergelimpangan. Sama ada itu adalah jelmaan makhluk halus atau mayat manusia yang betul. Entah kenapa, tiada rasa ngeri di dalam hati. Yang ada hanyalah keinginan untuk masuk ke rumah usang itu.
Inilah kenapa aku tak puas hati dengan rumah usang milik Firman! Rumah mereka berdua lebih kurang. Aku memasuki rumah, tanpa mengetuk pintu. Eh? Terasa seperti rumah ini sebenarnya luas… Dimensi apa ni? Aku berjalan, di kiri dan kananku lembaga hitam besar berbunyi.
"Oh… Cantiknya…!"
Sedap ni kalau dapat makan!"
Aku menahan perasaan dalam hati. Mata tertancap ke arah seorang perempuan berwajah muda yang pucat di tengah-tengah kerumun mereka.
Langkahku terhenti apabila ada satu benda tajam menyentuh tengkukku. Aku memandang dengan ekor mata. "Jangan beritahu sesiapa," bisiknya di telingaku. Nafasku turun naik. Tengkukku dibelah dan sesuatu azimat dimasukkan ke dalam tengkuk itu. Sakitnya!
"Oh… Inilah yang lebih cantik daripada aku tu…?" Lembaga hitam mula mengelilingi aku. Berdiri di belakangku. Tengkukku dibelah semula. Hanya Tuhan yang tahu betapa pedihnya tubuhku menahan sakit. Azimat dikeluarkan kembali. Aku tak cakap banyak, terus berlari keluar. Dalam keadaan nafasku yang tercungap-cungap. Sehingga mataku terpejam.
Mataku terbuka luas. Apa yang berlaku?! Nafasku turun naik, begitu panik. Tangan meramas dada. Kening berkerut-kerut menahan sakit di celah-celah kening. Rasa mual mula menguasai. Tiada apa yang keluar dari mulut. Tubuhku terasa berat yang teramat.
"Jangan paksa, perlahan-lahan…"
Aku melihat wajah di depanku. Rasa malu yang teramat. Macam nak ambil plastik sampah dan tutup kepala selama sebulan.
"Firman."
"Yes, my precious…"
Aku memejamkan mata semula. Nafas kian stabil.
"Tidurlah, saya akan jaga awak."
"Apa yang berlaku…?"
"Tidurlah. Jangan risau. Saya akan jaga awak dan lindungi awak selamanya."

admin upload atas dasar tanggungjawab kepada pembaca, itu aje. dan akan terus upload, inshalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience