Beg peralatan kecantikan kubuka dan Fatimah kelihatan teruja. Tangannya membelek sekeping demi sekeping koleksi face mask aku. Riuh mulutnya bertanya itu dan ini. Aku menjelaskan mana yang patut. Malas nak menyebut brand apa, dia main hentam aja menyebutnya. Kadang-kadang aku rasa Fatimah ni sengaja buat perangai kartun. Kalau tak mengenangkan yang dia ni adik Firman, dah lama aku tarik hidungnya. Nampak macam lurus, sekali keluar perkataan daripada mulutnya, mengalahkan mortar. Sama macam abangnya.
"Kakak, semua barang kakak warna sama ya?"
"Ya. Fatimah suka? Kalau suka, kakak boleh tolong belikan."
"Boleh juga. Tapi tak mahulah yang sebiji macam kakak. Nanti tak cam, mana satu barang Fatimah. Hehehe…"
Aku menampar lengan Fatimah lembut, geram dengan perangai loyar buruknya. Fatimah ketawa sampai terkeluar air mata, manakala aku mengetap bibir.
"Apalah yang diketawakan oleh dua orang anak dara ni sampai bergegar rumah?" usik Mai tuan, turut sama tersenyum. Aku mengukir sengih sebagai reaksi. "Kuatnya baru losyen kakak… Tak pening ke letak benda ni dekat muka? Dahlah berminyak pula tu. Ada yang macam tanah liat?"
Aku menggelengkan kepala dengan mulut Fatimah yang sama laju membelek produk kecantikan aku.
"Kakak tersalah bawa banyak sangat. Sini kan panas. Kakak bawa sebab nak elak kulit terbakar. Kakak tak pakai sebab muka kakak senang berpeluh. Kakak tak tahu yang dekat sini elektrik tak ada."
Aku melepas nafas dalam. Betul. Orang senang macam aku, mana nak faham yang ada orang hidup melarat sampai macam ni.
"Losyen dengan minyak wangi kakak semua bau sedap-sedap dan wangi. Tapi macam tak berguna je. Fatimah rasa buat apa nak sapu losyen banyak-banyak dengan sembur banyak-banyak. Bukannya orang boleh cium dan bau pun."
"Tak ada orang nak ghairah, tak apa. Asalkan kakak puas hati. Yang penting luar cantik, dalam pun cantik. Pakai ni untuk kepuasan diri. Contohnya kalau kakak pakai scrub pemutih kulit ni, kakak akan rasa sangat puas hati lepas cuci. Bila pakai losyen, badan akan berbau wangi dan kakak akan rasa lebih senang dengan tubuh kakak. Kulit kakak akan lebih lembap dan kakak akan rasa lebih gembira. Muka pun tak rasa kotor. Yang penting, Fatimah kena kenal diri sendiri, tau keperluan apa, dan mesti cintakan diri sendiri dulu baru boleh mencintai orang lain. Paling utama, hiburkan hati kita. Tak guna membahagiakan orang lain, kalau hati kita menderita. Manja dan belek puas-puas badan kita. Mesti tampil menyenangkan dan berketerampilan. Walau tiada siapa yang tahu apa kita letak di kulit, yang penting penjagaan kulit menyebabkan semangat kita sentiasa up…"
Malas aku nak cakap banyak-banyak. Fatimah nampak macam tak berminat dan tak faham. Beberapa orang lelaki memberi salam dan seperti biasa, Mai Tuan dan Fatimah kelam-kabut mencari tudung. Mereka masuk dengan sopan dan tertunduk. Malu-malu dan mengangguk hormat kepadaku. Mai Tuan menunjuk ke arah guni beras dan kotak makanan yang aku bagi pada pagi tadi. Mereka mengangkat kesemuanya. Pelik! Nak dibawa ke mana?
"Kenapa nak dibawa keluar?"
Mai Tuan dan Fatimah membisu tiba-tiba, seperti serba-salah mahu menjawab. Aku tidak perlu tunggu lama untuk mengetahui siapa dalangnya. Firman segera aku cari di sebelah rumah usang. Kakiku yang tidak beralaskan apa-apa memijak tanah. Aku tidak boleh naik ke atas kerana gelap.
Tubuhku berdiri tegak macam tugu negara, menunggu dia.
"Kenapa suka sangat tak berpurdah bila keluar?"
Bahuku terkucil sedikit kerana terkejut. Suara itu dari jauh, dari bawah rumah, tapi tuannya tak dapat aku kesan. Aku mendekati bawah rumah itu sambil mengecilkan mata. Salah satu buaian bergerak dan bayangan menghampiriku. Firman berbungkus dengan kain selimut nipis. Aku memperbetulkan tudung yang lintang-pukang ditiup angin malam.
"Kenapa barang itu semua dibawa keluar?"
Tanpa menghiraukan pertanyaan aku, Firman membuka selimut yang membaluti tubuhnya. Dia menutup wajahku, diselimuti dan diikatnya kemas. Aku menahan geram sampai tak terkata.
"Okay, sekarang apa my precious tak puas hati?"
"Awak tidur di bawah rumah? Siapa lagi yang bersama awak?"
"I'm your bodyguard, remember? Matt. Sepupu saya, Amin dan Yusof turut membantu."
"Teruk sangat ke keadaan di sini sampai saya perlu dikawal dengan begitu rapi?"
"Teruk tak teruk, saya hanya menjalankan tugas. Menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Now tell me… Apa yang membuatkan awak keluar lagi?"
"Penat nak ulang soalan yang sama. Jawab saja yang apa saya tanya."
"Apa tujuan Cik Hana memberi kami makanan semua itu?"
"Itu semua adalah sedekah daripada keluarga saya. Untuk keluarga awak."
"Kami tak menerima sedekah."
"Saya tak faham. Keluarga awak layak menerima sedekah sebab awak orang susah."
"Orang susah? Bagaimana Cik Hana menilai orang susah di Kemboja? Mungkin dua hari di sini bersama kami maka Cik Hana menilai kami sebagai orang susah. Tunggulah beberapa hari lagi, saya akan bawa Cik Hana menjelajahi Kemboja… Baru Cik Hana boleh menilai siapa fakir dan siapa miskin."
Firman melangkah pergi.
"Kenapa awak sombong sangat? Satu perkara yang hina ke nak mengaku yang diri itu miskin? Hina sangatkah menerima sedekah orang? Jatuh ego sebagai lelakikah kalau menerima bantuan orang? Awak rela membiarkan Mai Tuan dan Fatimah hidup dalam keadaan macam tu? Tak ada makanan? Malahan awak sanggup membiarkan mereka hidup dalam keadaan daif tetapi awak sendiri memakai motor besar dan berjaket mahal. Mereka bukan sahaja memerlukan perlindungan awak, tetapi mereka juga layak menerima makanan yang baik dan pakaian yang baik, apatah lagi kalau awak mampu. Jual saja motor itu. Belikan keperluan untuk dua orang wanita yang paling berhak disayangi awak di dalam itu. Gaji yang awak dapat, kemana awak belanjakan?"
Beberapa langkah sahaja Firman sudah berada di depanku semula. Matanya begitu tajam dalam samar-samar malam.
"Awak terlampau banyak bercakap tanpa mengetahui kedudukan sebenar. Jaga lidah awak. Jangan sampai suatu hari nanti awak menyesal dengan ketajaman lidah yang tak bertulang itu. Baru datang dua hari dah nak tunjuk pandai. Jangan fikir duit awak yang banyak boleh mengelabui mata semua orang. Bukan semua orang miskin hadap sangat duit orang kaya macam awak. Orang miskin lebih ramai yang hidup bermaruah… Lebih rela mati secara terhormat daripada hidup mengemis dan merendahkan nilai diri kepada orang kaya. Dari awal lagi niat sudah tak ikhlas… Satu kapal angkut wartawan dan stesen TV… nak tunjuk pada seluruh dunia keputihan hati awak."
Dia melangkah pergi kemudian berpatah balik.
"Sampai sekarang saya masih lagi tak faham kenapa awak beria sangat nak datang sini? Nak merempat bersama kami? Awak seorang perempuan dan menyusahkan kami semua untuk melindungi dan menjaga awak. Tahukah awak haram seorang perempuan berjalan tanpa mahram? Saya dipaksa untuk terlibat dalam benda haram ini. And you know why I called you my precious? Sebab awak berharga ratusan ringgit. Mak ayah awak bayar saya beberapa ringgit untuk melindungi awak. Hairan, sayang anak tapi merelakan anak ditinggalkan di sini seperti menyerahkan anak ke mulut buaya."
"Bukan urusan awak untuk tahu sebab musabab saya datang ke sini. Laksanakan tanggungjawab awak dan jangan jadi hipokrit. Bukan main lagi meleteri saya. 'Jaga lidah awak', awak cakap? Awak meludah ke wajah awak sendiri." Aku membuat bunyi meludah ke tanah.
Firman mendekat sambil bercekak pinggang.
"Apa awak cakap?"
Pekak ke dia ni?
"Saya cakap awak hipokrit!"
"Adik… Binti?" Mai Tuan melarang lembut.
Entah sejak bila dia datang. Termalu pula aku. Tangan aku dan Firman ditariknya. Kami berdua didudukkan atas pangkin macam orang bersanding pula! Tapi sanding stail P. Ramlee dengan Sarimah dalam Tiga Abdul. Seorang menghadap timur, seorang menghadap ke barat. Firman dan aku segera mengesot menjauhkan diri dengan jarak tiga kilometer sejam.
"Dengar sini anak yang baik-baik. Berbicara yang manis-manis. Berbincang yang elok-elok. Kalau mama dengar suara meninggi atau siapa yang marah, mama panggil Matt mandikan kamu berdua dengan air tujuh tempayan."
Mai Tuan beredar masuk selepas aku dan menganggukkan kepala. Tapi anggukan aku palsu semata-mata. Dalam hati rasa nak ketawa. Jaga lidah awak, dia cakap? Siapa yang menghina? Nak tunjuk pandai dia cakap? Bruh, dalam hati rasa macam nak facepalm.
"Kami dari keturunan keluarga Haji Sulaiman tidak menerima sedekah. Itu wasiat dari nenek moyang. Kami hanya menerima hadiah. Sedekah itu untuk orang yang tidak mampu dan miskin. Saya tidak pernah menganggap diri kami miskin kerana saya masih mempunyai mama dan adik, tanah, rumah, perniagaan dan kerja. Walau saya tidak sekaya awak. Yang kedua, haram bagi kami makan minum harta atau sedekah yang diamanahkan kepada kami untuk disampaikan kepada mereka yang sepatutnya. Di kampung ini, saya bertanggungjawab atas segala-galanya. Saya yang mencari dana. Haji Nik Abdul Kadir ialah kenalan lama arwah baba saya. Dia telah mengamanahkan saya menghulurkan bantuan kepada mereka yang berkelayakan. Jadi apa awak fikir, jika saya sendiri mengambil bantuan itu? Mengagihnya kepada mama dan adik saya? Kami telah mengambil hak orang lain. Memakan harta yang bukan hak kami."
Speechless. Reaksi muka aku pun tak terkata, tak dapat diolah dalam perkataan. Antara nak senyum senget atau nak buat muka toya. Aku faham tak menerima sedekah,Nabi SAW tidak menerima sedekah, baginda menerima hadiah. Tapi isteri baginda Aisyah RA mengaku keluarga baginda miskin, tak ada hal pun. Tak jatuh sedikit pun kemuliaan keluarga Muhammad SAW. Tapi kalau dah miskin tu mengaku jelah. Tak hina pun mengaku diri tu miskin!
"Kalau awak betul-betul miskin, anak-anak awak kelaparan, awak tetap tidak akan menerima sedekah?"
"Jika sudah sampai ke peringkat tulang empat kerat saya ini tidak mampu bergerak lagi, saya terbaring sakit mungkin saya akan terima. Tapi dari sejarah keluarga kami, setakat ini masih belum ada yang menerima sedekah. Kami masih boleh hidup. Selagi Allah memberi kudrat dan akal untuk berikhtiar dalam mencari rezeki Allah."
Aku mengeluh perlahan. Nak buat macam mana, dah itu prinsip dia. Macam bergaduh di Twitter. Cuma dengan lelaki yang berprinsip. Okaylah tu. Matanya sentiasa ke depan bila bercakap. Dia jarang memandang tepat ke mukaku kecuali kalau kami bergaduh.
"Cik Hana, awak fikir senangkah memegang amanah? Memberi kepada yang hak? Menahan hati dan nafsu dari mengambil hak orang?"
"Entahlah. Terpulang…"
"Bagi saya senang kalau hati dan nafsu kita jinakkan, kita didik… Seterusnya jangan pernah terdetik inginkan sesuatu bukan kepunyaan kita… Jumpa duit di tengah jalan pun jangan kutip. Sayyidina Umar Al-Khattab ketika mengagihkan makanan kepada mereka yang berhak, anakandanya yang masih kecil telah menggigit sebiji kecil. Sayyidina Umar terus mengorek keluar dari mulut anakandanya dan dipaksa muntah. Khalifah Umar Abdul Aziz sedang menulis urusan negara bertemankan sebatang lilin, anakandanya datang menghadap. Khalifah bertanya urusan peribadi atau urusan negara? Anakandanya menjawab, urusan peribadi. Serta-merta api lilin dipadam khalifah. Anakandanya hairan dan bertanya, kenapa dipadam. Khalifah menjawab, lilin itu dibeli dari hasil kutipan wang rakyat untukku menjalankan urusan negara dan hal yang berkaitan dengan kebajikan rakyat. Jika kau mahu membicarakan urusan peribadi, maka lilin ni selayaknya dipadamkan. Ia hanya untuk mereka yang berhak sahaja."
Aku tak menjawab.
"What's the point of cakap semua ni?"
"Kalau pemimpin lain tidak mahu amanah, kita boleh amanah. Tidak boleh menjadi Sayyidina Umar atau Khalifah Umar Abdul Aziz, sekurang-kurangnya kita cuba mencontohi akhlak mereka yang mulia… Sebagaimana mereka mencontohi suri teladan yang teragung iaitu Nabi Muhammad SAW."
"Saya tak nak compare diri saya dengan mereka. Saya sedar di mana saya. Bukan senang untuk saya capai level itu."
"Kerana nabi manusialah kita senang nak ikut. Allah utuskan nabi dari kalangan manusia kerana nabi bersifat seperti kita. Nabi makan, minum, sakit, menangis, rindu dan berkahwin. Tetapi dengan adab dan batas yang telah diaturkan Allah. Kalau nabi sebagai manusia boleh buat, kenapa tidak kita? Allah tidak pernah membebankan kita. Kalau diutuskan nabi dari kalangan malaikat, mampukah kita mengikuti dan mencontohi malaikat? Sedangkan malaikat asal kejadiannya pun sudah lain daripada kita, cahaya. Kerja mereka hanya beribadah… Beribu-ribu tahun, beribu-ribu sujud, tiada lelaki dan perempuan, tiada nafsu. Mampukah kita mengikuti mereka? Sedangkan kita disuruh solat lima waktu sehari semalam pun liat. Mampukah kita membendung perasaan suka dan cintakan seseorang? Mampukah kita daripada menahan nafsu dari bernikah dan beranak-pinak bila sampai masanya? Sebagaimana Nabi Adam AS yang kesunyian dalam syurga, dikelilingi segala kemewahan. Niat saja dapat… Tetapi baginda AS tetap sunyi dan sepi sehingga diciptakan Allah, Siti Hawa dari tulang rusuk baginda AS ketika baginda tidur. Sedar-sedar saja, Siti Hawa sudah berada di sisi baginda dan perasaan sepi itu lenyap. Itulah fitrah dan keindahan kejadian yang dijadikan Allah istimewa untuk ciptaanNya yang terbaik iaitu manusia. Cinta itu fitrah. Cinta itu anugerah daripada Allah. Menolak cinta ibarat menafikan fitrah ciptaan Allah. Bercinta, ingin dicintai, dan mencintai boleh. Tetapi harus dengan batas-batas yang telah ditetapkan Islam. Bercinta dengan penuh bersyariat, terpelihara dan memelihara. Semua perasaan, semua nafsu dan semua niat yang tidak elok, kita mampu bendung sebagaimana para nabi dan syuhada, alim Ulamak dan para solihin membendungnya dengan mengekang dan mengikat nafsu, menjinakkannya dengan kalimah Allah. Allah memberi kita akal untuk berfikir dan menilai."
Hujan mula turun rintik-rintik. Firman bangun dan berjalan ke rumah usang.
"Pergilah masuk… Assalamualaikum."
"Walaikumsalam." Antara didengarnya atau tidak. Aku menahan senyum lucu. Cinta itu fitrah. Cinta itu anugerah dari Allah. Dari hanya bercekau pasal derma, dia melalut sampai ke cinta.
"Bukan urusan awak untuk tahu sebab musabab saya datang ke sini. Laksanakan tanggungjawab awak dan jangan jadi hipokrit. Bukan main lagi meleteri saya. 'Jaga lidah awak', awak cakap? Awak meludah ke wajah awak sendiri." -Hana-
Share this novel