Chapter 54

Adventure Series 1746

Aku mendongak apabila terdengar suara dari atas. Seekor helang terbang melayang rendah mengejar seekor burung kecil. Burung itu berjaya ditangkap, helang itu laju mengepak ke arah sebatang pokok besar. Bertenggek dan mula mematuk burung kecil yang dicengkam kemas di kukunya. Aku menarik nafas ngilu. Tak suka dengan apa yang aku lihat. Kenapa harus ada kekejaman dan pembunuhan di dunia ini? Kenapa tidak Tuhan menjadikan dunia ini aman damai? Kenapa Tuhan tidak menjadikan semua manusia penuh dengan kasih sayang saja? Tidak perlu ada sikap benci dan permusuhan? 

Satu kritikan yang menampar mukaku sendiri. Aku memandang lelaki di depanku. Firman sedang memandang ke arah pokok yang sama. Menyedari dirinya diperhati, dia menoleh ke arahku. Renungan matanya lembut tetapi memikat. Bencikah aku pada lelaki ini? Aku sendiri tidak faham. Dia hanya menjalankan tugasnya. Beberapa tongkol jagung jatuh dari pelukan Firman. Aku menunduk untuk mengutipnya. Firman hanya berdiri membatukan diri. Aku membawa jagung itu dan berjalan ke arah Fatimah dan Matt yang sedang sibuk menambah kayu api. 

"Hana…"

Aku menoleh dan menunggu Firman. Kesan pisauku sudah hilang tapi sekarang bertambah dua kesan lagi… lebih menyedihkan. Hatiku tersayat tiba-tiba. Firman… 

"Awak suka sini?"

"Kenapa tanya macam tu?"

"Keadaan di sini… biasanya orang luar, lebih-lebih lagi anak gadis tak akan bertahan lama. Seorang diri pula itu. Semakin lama saya semakin mengagumi awak. Dulu saya fikir awak tak jujur, seperti ada sesuatu yang membawa awak ke sini. Bukan misi ini tujuan utama, ada sesuatu yang lain."

Aku ketawa kecil. Pula dah! 

"Walau apa pun tindakan saya, masalah yang awak hadapi di sini, awak tetap bertahan. Tidak pernah menyebut nak pulang ke Malaysia kecuali sekali dulu. Saya tidak tahu apa sebab awak boleh bertahan tetapi sekarang saya yakin dengan ketulusan hati awak. Terima kasih Hana kerana sanggup bersama kami. Saya bersyukur dipertemukan dengan awak. Malaysia patut berbangga mempunyai seorang anak gadis yang berhati waja seperti ini. Walaupun mempunyai kecacatan mental tetapi siapa sangka di sebalik kekurangan itu, terselit kekuatan dan semangat yang kental. Dunia boleh bergoncang dengan tangan awak."

Aku tergelak mendengarkan ayatnya. Jiwang nak mampus! 

"Awak… Kalau mengutuk saya, kaw-kaw. Tak ada ampun, tak pernah puji saya. Tapi bila puji saya, melampau pula. Dunia siapa yang saya bergoncang? Dunia saya sendiri pun huru-hara… Masih tak tentu arah. Saya tak tahu nak hala hidup saya ke mana…"

Firman merenungku, hairan. 

"Bukankah awak sudah ada segala-galanya?"

"Awak ingat bila dah ada segala-galanya, semua masalah hilang ke? Entahlah… Hati saya, saya pun tak faham. Kadang-kadang saya rasa kosong sangat… sepi. Walaupun ramai yang menyayangi saya… pelikkan? Yalah Firman. Dah lama perasaan itu hilang sekejap. Tapi bila perasaan itu datang… peritnya yang amat. Hanya Tuhan yang tahu."

"Awak boleh cerita kat saya…"

"Macam mana saya nak cerita kalau saya sendiri pun tak faham apa sebenarnya dalam hati saya?"

"Dalamnya laut, dalam lagi hati manusia walau dia hanya sekeping hati yang kecil tetapi apa yang di dalamnya sangat menakjubkan. Tidak terduga. Tersimpan berjuta rasa. Kalau hati sendiri pun, tidak memahami, apa diharap pada hati orang untuk memahami?"

"Firman kalau awak berayat rama-rama, saya mula pening. Kata-kata banyak yang tersirat dan saya tak faham."

"Berayat rama-rama?"

"Ya… kata-kata indah, simbolik, perumpamaan. Apa sahaja yang keluar dari mulut awak. Saya ini tak faham sarkastik… Hanya faham ayat dari literal sahaja."

"Saya rasa saya faham. Tetapi lebih baik tukar kepada ayat menghelang… lagi power."

"Ambil ayat menaga teruslah… naga merlin tu."

Kami tergelak. 

"Firman… Awak dah okay? Tak sakit? Saya nampak awak macam biasa sedangkan saya rasa awak parah juga."

"Calar sikit aje…"

"Bukan sikit… luka itu akan mengambil masa untuk sembuh dan pasti meninggalkan parut. Firman, maafkan saya. Sebenarnya mulut awak ini begitu menakutkan saya semalam."

"Salah saya. Tak apa, hanya luka di luar badan bukan luka dalam hati. Awak segala-galanya bagi kami. Saya dah janji dengan abang awak, jangan ada sedikit pun calar pada adiknya. Apa rasanya jika orang yang diamanahkan untuk menjaga adiknya menyebabkan adiknya luka atau terkorban? Lebih baik saya luka… demi untuk awak, Hana. Saya sanggup apa saja."

Terharu pula aku. Along memang tak silap memilih kawan. Kami saling berpandangan dengan senyuman. 

Aku duduk di atas rumput, lembut seperti permaidani sambil memerhati Firman dan Matt membakar jagung. 

"Bakar jagung macam itu aje? Dengan kulitnya? Tak dibasuh dulu? Tak ada racun serangga ke?"

"Mana ada racun? Sini orang jarang guna racun. Lebih selamat, bebas dari bahan kimia. Bakar jagung macam ni lah, lagi sedap, bersih dan manis. Kejap lagi awak cuba…"

Firman membalik-balikkan jagung. Selamba aje dia dengan tangan yang tak beralas atau menggunakan penyepit. Tak panas ke? Matt datang dengan dua tongkol jagung yang bagi aku dah hangit dan rentung. Dikoyakkan kulitnya. Isi jagung yang masak sekata dan berasap panas terserlah. Tak hangit pun. Bau yang sangat menyelerakan hingga menusuk hidung. Untuk aku dan Fatimah. Kami mengambilnya dengan mulut yang mengaduh kepanasan tetapi dengan selera yang terbuka, isi jagung kami ratah. Ermm… manis! Sedap! Pertama kali makan jagung yang dibakar dengan cara begini. Tak perlu disapu mentega atau garam, kemanisan dan kelazatannya tak tercerita. Terasa sangatlah jagung, jagung itu! 

"Tak terkata?" Firman menegur aku yang tak menoleh ke kiri dan ke kanan, menghabiskan tongkol yang ketiga. Dia yang tukang bakar belum menjamah sedikit pun. Aku pula yang kejam tak bereaksi. Lagi syok menghadap jagung ni. 

"Aduh!"

Aku terjerit bila tangkai jagung menyinggah di kepalaku. Firman dan Matt tergelak. Aku menggosok kepala sambil menjeling. 

"Apalah ai angah ni? Main baling-baling pula!" Fatimah mengomel. 

"Balinglah… Makan tak pelawa orang. Macam tak pernah jumpa jagung bakar. Tangan kami ni hampir masak disalai api… sebiji jagung pun tak masuk ke mulut."

"Siapa suruh bakar jagung sedap sangat? Dah suruh kami makan, kami makanlah," balas Fatimah, membela aku. 

Firman membaling ke arah Fatimah pula. Fatimah menjerit marah. Tangannya menggagau mencari senjata untuk membuat balingan balas. Bertalu-talu Fatimah membaling tetapi berjaya dielak oleh Firman dan Matt sambil tergelak riuh. Aku menahan tangan Fatimah. 

"Biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Kita santaukan dia aje!!!"

Firman tergelak dengan lebih kuat. 

"Bunyi macam beriman sangat… tapi hujungnya kejam gila!"

"Baru tau saya kejam ke? Cara saya membunuh orang juga sangat kejam. Orang yang saya nak bunuh akan tertawa keriangan sebelum mati dalam keazaban yang teramat."

"Macam mana tu?"

"Saya geletek sampai mati."

"Tak adalah kejam, mati dalam iman… mati sambil ketawa."

Takkan menang punya kalau bertikam lidah dengan Firman. Matt yang tak faham apa pun boleh turut sama tergelak seolah-olah faham aku sedang ditembak bertubi-tubi oleh Firman. Fatimah macam biasalah. Cepat saja membelot kepada abangnya. 

"Kakak…. Itu tak cukup kejam. Kakak ikat orang itu kat pokok yang banyak kerengga. Letak sarang kerengga dalam seluarnya, itu baru kejam. Lagi best, kakak picitkan air kencing kerengga kat mata orang tu. Azab pedih sebelum mati tu!"

Dia mengekek gelak. Aku merenung wajah cantik di depan. Boleh tahan kejam juga Fatimah ni! 

"Tapi bagus juga nasihat awak tu. Biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Umpama kalau pipi kiri ditampar, hulurkanlah pipi kanan. Adilkan, kedua-dua belah sakit. Kalau orang baling batu, kita balas dengan senyuman manis dan lemparkanlah bunga ros ke arahnya… tapi pastikan pasunya dilemparkan sekali. Lagi Bagus cangkul, pencakar, pengorek, lemparkan kesemuanya. Sekali harung. Sweet revenge!"

Akibat tak dapat tahan dengan nasihat merapu Firman, aku tergelak sampai hampir terbaring. Fatimah terkekeh-kekeh sambil memegang perut. Melarikan diri jauh sambil terbatuk-batuk. Matt turut tergelak kerana lucu melihat rupa kami. Satu lagi tongkol jagung dibukakan oleh Matt untukku. Aku mengangkatnya kepada Firman. 

"Ini… ada satu lagi. Nak?"

"Kejap lagilah saya makan. Tangan saya kotor. Malas nak bangun basuh tangan. Sungai jauh."

Aku bangun dan duduk bertinggung di sebelah Firman yang masih sibuk membalik-balikkan jagung. Jagung aku suakan ke mulut Firman. Dia mengelak. Enggan. 

"Tak nak makan, saya suapkan Matt."

Mendengar nama Matt, Firman terus membuka mulut, menggigit sedikit isi jagung. Aku terpaksa menggenggam kemas tangkai jagung takut terlepas. Firman menggelengkan kepala. 

"Dah… terima kasih."

"Sikit lagi. Kalau boleh habiskan."

"Cukuplah tu, nanti awak lenguh."

"Untuk awak, saya tak pernah lenguh."

Firman berkalih, merenung aku. Menggigit kemudian menggelengkan kepalanya. 

"Cute sangat awak makan. Macam tikus."

"Aku menghabiskan sisa jagung. Firman terangkat kepala. 

"Kalau saya tikus, awak maknya."

Terhenti aku. Aku mak tikus pula! Jagung aku gigit dengan penuh perasaan. Dengan niat, aku mak tikus sedang menggigit dan mengerit bibir Firman sekuat hati. Geram! Mulutnya tak pernah tak menjawab! 

Selesai berkelah dengan jagung bakar, kami berjalan pulang ke rumah Ong Idris tapi mengikut jalan lain. Kami melalui padang rumput yang luas dan saujana mata memandang. Firman kata ini padang rumput khas yang ditanam untuk dijalankan projek menternak lembu dari New Zealand. Merupakan kepunyaan rakyat Khmer yang menetap di sana untuk memberi penghidupan baru kepada rakyat dengan menyediakan peluang pekerjaan. Aku sengaja menjinjing kasut, ingin merasa kelembutan dan kedinginan rumput di tapak kaki. 

"Ini memang betul-betul makan angin sampai perut saya kembung. Saya rasa sejak saya sampai di Kemboja, cuaca sangat dingin dengan angin yang sentiasa bertiup."

"Dah musim dia. Musim sejuk berangin, paling selesa. Tiba musim panas, merasalah awak kepanasannya. Menggeletik sampai tak senang duduk. Masa mandi pun boleh berpeluh."

"Mandi pun berpeluh?"

"Tak tau nak cakap. Awak rasalah sendiri baru faham apa yang saya maksudkan. Kalau mandi di sungai dengan baju… awak tak payah perah. Balik aje ke rumah dengan pakaian basah itu, baru separuh perjalanan, baju dah kering di badan. Air sungai menyusut dan mengering sehingga satu kilometer dari rumah kita."

"Biar betul? Air sungai yang hanya 300 meter dari rumah kita menyusut sehingga satu kilometer?"

"Tiada yang tak betul melainkan betul-betul belaka." Mukaku yang terkejut dipandang dengan senyuman geli hati Firman. Tangannya menyeluk poket seluar. 

"Nah, ini brooch awak."

Aku memerhati butang kerongsang yang dihulur Firman dengan rasa jijik. 

"Awak ambil? Dah sertu?"

"Saya suruh Matt ambil dan saya sertu. Samak itu membersihkan kulit binatang dan menjemurnya sampai kering. Sertu itu yang tepatnya. Ambillah… brooch itu dah bersih dan suci."

Aku enggan. Tetap merasa jijik walau dah disertu. 

"Tak apalah, saya tak nak sebab dah disentuh si ekor pintal. Walau dah disucikan, saya tetap merasa dia kekal jijik dan kotor. Buang sajalah."

"Awak tak sayang?"

"Kalau nak beri untuk orang lain pun tak apa. Anggap hadiah daripada saya. Saya boleh beli lain, banyak lagi di rumah. Barang itu tak ada sentimental value sangat pun."

Firman terdiam. 

"Kalau boleh pegang singa, saya nak pegang. Tak dapat singa, anjing pun tak apa. Tapi anjing itu najis mughallazah la pula. Sedangkan dia cute sangat."

"Siapa kata tak boleh bela anjing."

"Saya tahulah boleh bela dengan syarat untuk menjaga tanaman tu."

"Boleh. Kalau bertujuan untuk menjaga tanaman, ternakan dan berburu. Hanya untuk itu. Yang menjadi kesukaran untuk membelanya sebagai binatang kesayangan. Kita boleh sentuhnya kalau sama-sama kering. Tetapi tidak semudah itu nak menjaganya kerana badan anjing sentiasa berpeluh dan air liurnya sentiasa keluar. Tengok sajalah anjing yang suka menjulurkan lidahnya. Kita tidak boleh mengambil mudah, menyentuh anjing tanpa keperluan. Ulama sendiri pun berbeza pendapat mengenai hukum membela anjing, haram dan makruh. Malaikat juga dikatakan takkan memasuki rumah yang membela anjing. Saya rasa kerana anjing ini tabiatnya yang suka menjilat. Jenuh nak sertu semua barang yang disentuhnya. Susah nak dijaga tahap kebersihan dan kesuciannya. Jika dia sampai menyusahkan dan menimbulkan was-was sehingga nak beribadat pun tak senang, baik tak payah bela. Bela kucing lagi baik. Tapi awak jangan salah anggap pula saya membenarkan anjing dibela."

"Takkan saya bela pula. Lagipun kenapa nak menyusahkan diri pula? Dekat rumah kami dah ada kucing, perlu ke nak tambah anjing? Lagipun, jenuh nak sertu tangan lepas latih anjing-anjing itu. Orang kata, tak ada beban, batu digalas."

Beberapa ekor pepatung terbang melintasi kami. Begitu jinak sekali macam tak takut dengan orang. Firman dengan cekapnya menangkap salah seekor darinya. Diusap lembut dengan jari telunjuknya. Dia menghadap satu arah, memejamkan mata dan melepaskan pepatung itu tinggi ke atas. Aku tersenyum melihat satu pandangan yang begitu sangat sesuai untuk dijadikan bahan lukisan aku nanti. Beberapa ekor rama-rama turut menyibuk. Asyik sekejap aku memerhati keriangan mereka. 

"Awak suka rama-rama?" tanya Firman tiba-tiba. 

"Suka sangat. Seorang haiwan yang sangat simple tetapi begitu indah kejadiannya. Asal dari ulat beluncas, tidak dipandang malah dibenci kerana kegatalannya… Dia mendiamkan diri dalam bentuk kepompong. Setelah beberapa lama, menjelmalah seekor rama-rama yang sangat cantik. Menjadi pujaan hati sehingga ditangkap dan diawet dalam bingkai kaca. Sayangnya rama-rama ini hayatnya sangat singkat. Walaupun begitu, jasanya sangat banyak. Dia mengindahkan alam ini, menceriakan hati yang melihatnya, lambang cinta dan mendebungakan bunga-bungaan sehingga menghasilkan makanan kepada mereka yang lain. Saya harap saya juga seperti rama-rama ini. Biarlah hidup saya singkat tetapi ada sesuatu yang telah saya sumbangkan."

Firman merenung aku tanpa berkelip. Ada riak kebingungan dan persoalan. Aku tak mahu dia membuka mulut, terus aku menyambung. 

"Saya teringin sangat melihat rama-rama cermin atau Glasswing Butterfly atau Greta Orto dengan lelaki yang saya cintai. Kepalanya lut sinar dan kita boleh nampak dengan jelas, apa di sebaliknya. Rama-rama ini umpama saya dan lelaki itu. Saya nampak segalanya tentang dia, tiada rahsia antara kami. Dia juga nampak segala-galanya tentang saya."

"Seorang haiwan? Bukan seekor?" Akhirnya dia bersuara juga. 

"Ya, seorang haiwan kerana kadang-kadang haiwan lebih bersifat manusia dari manusia itu sendiri…" balasku, pedih dengan rahsia sendiri. 

Firman semakin diam tanpa sebarang bunyi. Hanya matanya menatap wajahku dan sesekali teralih mendongak ke atas melihat kawanan rerama dan pepatung yang berterbangan di sekeliling kami. 

"Rama-rama bukan lambang cinta. Dia lambang kehidupan. Setelah beberapa lama dia dalam kepompong, dia akan bersusah payah keluar. Selepas itu, terbang bebas dan memukau pandangan dengan keindahan dan lemah-gemalai kepaknya. Ada saintis yang cuba memudahkan dia keluar dengan menggunting kepompongnya. Rama-rama yang dibantu keluar ini lembik dan tidak berdaya terbang. Akhirnya mati. Samalah dengan kehidupan yang kita lalui. Merasai susah payah akan lebih membuatkan kita kuat dan tabah."

Kami berpandangan, sebelum aku mengalihkan anak mata ke arah lain. Pandanganku halakan kepada jeritan dan lambaian Fatimah dan Matt yang sedang berteduh di bawah pokok yang rimbun. Begitu luas padang rumput ini ada hanya sebatang pokok? Aku membuka langkah panjang-panjang, meninggalkan Firman jauh di belakang. 

"Hana!"

Aku menoleh. Firman mengibarkan tinggi kain batik di tangannya. Macam kenal aje kain batik itu. Coraknya sama macam kain batik yang aku pakai. Sama?! Cepat aku menunduk. Mengucap panjang aku bila melihat bahagian bawah ku kosong. Hanya sepasang kaki yang berbalut seluar slack hitam. Mana kain batikku?!

Mata pantas menala kain batik di tangan Firman. Cis! Kain batikku terlondeh tanpa aku sedar! Tertinggal jarak jauh pula tu! Dikutip oleh Firman! Aduh! Nasib baik aku memakai seluar di dalam kalau tidak harus innalillah! Rasa nak benamkan saja muka ke dalam rumput!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience