Aku menghirup teh susu perlahan, tanganku mengacau bahagian bawah minuman tersebut. Aku menghirup lagi dan mengacau lagi. Apabila aku mulai sedar yang air tidak melalui straw lagi, aku meletakkan cawan plastik di atas rumput. Mata asyik melihat buku nota di atas riba dan Fatimah yang sedang ralit mengutip bunga kecil di padang pinggiran sungai. Entah bunga apa, tetapi berwarna kuning cantik, berceratuk halus, tinggi beberapa sentimeter, dan pokoknya menjalar rapat ke bumi. Seperti pokok tutup bumi. Sesekali pandangan aku arahkan ke sebelah kanan. Melihat Sungai Mekong yang luas dengan beberapa perahu yang berulang-alik. Tangan mula menekan pad kekunci laptop, tak jadi! Tak jadi!
"Dari tadi belum siap?"
Aku memandang tuan empunya badan sekilas sebelum melarikan anak mata dan mengemam bibir malu. Dekat sangat! Dia berdiri betul-betul di hadapanku, kemudian dia menundukkan tubuhnya, melihat skrin laptop kemudian menekan pad kekunci, not sol pada piano. Aku membulatkan mata. Pantas aku menarik laptop dan membuka sheet baru untuk muzik.
"Mmm!" Aku menjerit marah tanpa perkataan.
Selamba aje dia berlalu pergi, menyertai adiknya. Menunduk dan memetik bunga dan menyerahkan kepada Fatimah. Satu perasaan yang halus menyerap ke dalam kalbu. Fatimah ketawa riang dan Firman menarik adiknya dan mengucup kepalanya perlahan. Terdengar suara laungan lantas mata semua tertumpu kepada lambaian tangan Mai Tuan di atas pelantar kayu di tepi sungai. Sebuah perahu yang sarat dengan tebu hitam sedia menanti pelanggan. Firman dan adiknya berkejaran ke arah Mai Tuan.
Hatiku mula berasa melankolik. Rinduku mula bertunas. Melihatkan keluarga itu… Aku cemburu. Salahkah kalau aku cemburu? Aku melepas keluhan. Kalau Firman tahu ini, mesti dia akan keluarkan ayat sinis sebab 'oh… Aku ada segalanya! Ada keluarga! Ada duit! Aku patut bersyukur!' Haih. Aku seorang manusia, bukan wali Allah, maksum pun bukan. Bukan ke patut dia yang tunjukkan contoh yang baik pada aku? Aku merengus kasar. Bukan main lagi mengungkit kerabat diraja dia. Aku melepas keluhan lagi sebelum mengerlingnya sekilas.
Perasaan ini mati. Aku duduk di atas sebatang kayu mati. Merenung kosong sungai di depan mata. Kemudian pandanganku jatuh ke atas seekor belalang yang sedang menjamu selera. Enak mengerit perlahan helaian daun tutup bumi tadi.
"Jauh mengelamun? Ingat boyfriend ke?"
Aku memandangnya dengan muka keruh sebelum menurunkan volume muzik.
"Tak adalah, ralit tengok belalang ini…"
"Ralit tengok belalang ke rindukan seseorang?"
Aku memandangnya lagi.
"Boleh tak awak jangan berlatih ilmu batin saya pada saya seorang saja?! Dahlah semua kekasyafan awak tak betul."
"Apa pula tak betulnya. Tiba-tiba aje belalang yang sekecil lidi itu awak boleh perasan tetapi tebu sebesar paha gajah ini awak tak perasan? Dah sejam saya hulurkan tebu ini di batang hidung awak tapi awak tak buat pandang pun."
"Boleh tak jangan melebih bila bercakap itu?"
Aku mengambil tebu dari tangannya dengan segera. Membelek-belek tebu sebesar ibu jari kaki. Firman sudah sedap mengoyak dan menghisap tebunya. Hai la… Macam mana nak makan ini? Tak reti. Minum air tebu yang lepas dimesin itu biasalah. Firman berhenti mengoyak tebunya apabila perasan aku tekun memerhati kekuatan giginya.
"Kenapa? Tak pernah tengok orang makan tebu?"
"Tak. Macam mana ya nak makan?"
"Gigit dengan gigilah, takkan dengan kaki pula."
Aku tak tahu kenapa, tapi aku merasakan yang dia sedang melayan aku seperti orang yang bodoh.
"Yalah. Manalah tahu, kalau awak ada kelebihan macam burung helang, boleh koyakkan daging dengan kaki."
Aku menjawab malas. Matanya seperti sedang menahan senyum.
"Okay… Gigit hujung sini kuat-kuat… Kemudian tarik… Sampai hujung dia terkoyak."
Aku terkebil-kebil memandangnya.
"Saya kopekkan untuk awak, mahu?"
Aku mengangguk laju. Firman mengambil tebu dari tanganku dan mula mengoyak kulitnya. Wow! Ganasnya! Aku memandangnya tanpa berkelip. Sekejap saja beberapa ruas tebu sudah terbogel.
"Sekarang awak boleh gigit, patah, kunyah dan hisap. Kemudian sepahnya awak buang."
Aku ketawa kecil perlahan.
"Okay… Okay… Terima kasih…"
"Nampak dari gayanya macam tak reti apa, maklumlah awak orang bandar. Baik saya ajar dulu sebelum awak tenung lagi tebu itu. Lainlah kalau awak tak kisah, saya gigit dan suap ke dalam mulut awak…"
Aku buat muka di luar pengetahuan Firman. Agak-agak kalau aku beritahu aku teringin nak ada keluarga yang sihat macam keluarganya, mesti dia akan kutuk aku, suruh aku bersyukur. Tengok! Dia stereotaip semua orang bandar sebagai jakun!
Firman mengukir senyuman di pinggir bibir apabila melihat aku seperti cemberut. Macam dia tahu-tahu aje apa yang ada dalam fikiranku. Di belakang purdah itu ada macam-macam monolog!
"Awak pernah terfikir ke, dalam dunia ini ada orang yang lengkap segalanya?"
"Kenapa?"
"Sebab… Even saya, yang awak anggap ada segalanya, aset beribu, ada keluarga, pun cemburu dengan keluarga awak yang sihat."
"Awak ini tak habis-habis… Asyik pesimis aje."
"Tak adil tau awak… Setiap kali bila saya cuba mencari pertolongan… Ini yang saya dapat. Saya yang pesimis! Saya yang patut berubah! Apa masalahnya pada diri saya?"
"Taklah. Takkan awak tak tahu apa masalah awak? Awak tak pernah terfikir ke, yang awak asyik patah balik ke belakang? Sampai bila awak nak hidup dalam masa silam? Cuba awak fikir, cara untuk improve hidup awak, kemudian awak cari sendiri, dan mula lakukan itu. Cuba gunakan nikmat kebijaksanaan awak itu untuk menyumbang pada agama."
"Haiii…! Soalan? Adakah maksud awak kebaikan saya sebelum ini tiada makna langsung?"
"Kenapa tanya saya? Kebaikan awak itu untuk Allah. Bukan saya yang akan menilai kebaikan awak."
Aku tak membalas. Habis itu apa tujuan dia mengutuk aku? Kenapa dia menilai aku macam-macam? Kenapa kita ada manusia yang suka memberi komen kepada perbuatan masing-masing? Bukan kah tujuannya kita nak menghukum semua perbuatan orang lain. Aku rasa tak adil, kalau dia asyik mengutuk keburukan aku tapi langsung tak mengiktiraf kebaikan aku.
Aku melepas keluhan. Betul, segala pujian milik Allah, segala kebaikan itu daripada Allah, tetapi hatiku meronta. Tunggu kejap, kenapa aku ingin dia mengiktiraf kebaikan aku? Aku menampar wajah dalam hati. Betul kata dia, aku tidak perlukan pengiktirafan dia untuk membuktikan keimanan aku! Di akhirat nanti aku akan menjawab pada Allah juga! Bertemu Rasulullah SAW juga! Tapi adakah aku berhak merasa marah pada kutukannya terhadap agamaku?
"Awak cantik kalau berkeadaan biasa, menolong orang lain, kelihatan tenang dan tidak sarkastik."
Aku buat muka. "Awak handsome kalau diam, berkarisma dan bercakap benda yang baik-baik…" Aku bersuara malas dengan mata yang kuyu.
"Ni saya malas. Kalau cakap, pandai. Tapi tak nak dengar orang lain cakap."
Aku ketawa terbahak-bahak. Perangai macam budak-budak!
"Heh… saya sorang je yang kena dengar dan patuh awak. Apa yang saya cakap semuanya tak relevan dan objectively salah di telinga awak."
"But you're no damn good for me." Firman mengutuk aku selamba.
Pelik. Aku sudah move on daripada konflik tadi, sekarang ini aku tak rasa apa-apa pun apabila dikutuk olehnya. Mungkin sebab aku dah faham, perangai budak-budaknya.
"Insulting me does not make you cute! Kalau awak memiliki saya, awak bertambah handsome, dan kaya. Hidup awak semakin bererti, hati awak semakin ceria…"
"Semakin serabut adalah…" balasnya.
Aku mengesat air mata akibat terlalu banyak sangat ketawa. Aku menyeluk beg tangan, lalu mengeluarkan kotak telefon dengan berhati-hati. Mood Firman baik. Aku harap dia suka. Aku mengeluarkan RedMi model terbaru.
"Nah…"
Firman nampak seperti langsung tak berminat, malah langsung tak memandang kotak itu. Matanya terpaku memandang ke sungai di depan.
"Firman…"
Aku melambai-lambaikan tangan di depan mukanya. Dia menoleh. Aku meletakkan kotak telefon itu di atas ribanya. Firman mengalihkan pandangannya ke depan semula. Langsung tak hairan.
"Firman… Ini hadiah, bukan sedekah. Sebagai tanda terima kasih saya pada awak, kerana telah setia bersama saya selama ini. Saya sayangkan awak."
Firman menoleh lipat maut, dengan mata dan mulutnya sedikit ternganga. Aku terus berpandangan dengannya, walaupun mataku tak memandang matanya, bersungguh-sungguh dengan apa yang aku cakap.
"Saya sayang awak sebagai adik-beradik. Awak macam abang saya, walaupun saya tahu, saya tak layak nak gelar diri saya keluarga awak. Saya tak terasing di sini, rasa macam saya sebahagian daripada penduduk kampung di sini…"
Segaris senyuman tipis di hujung bibir Firman.
"Perasan… Siapa sayang awak? Saya hanya menjalankan tanggungjawab."
"Tak payah nak tsundere dengan kuudere sangatlah dengan saya! I repeat, insulting me doesn't make you cute!"
Wajahnya dipalingkan ke sebelah, menahan ketawa lucu mungkin.
"Firman… Let's make a peace and truce, shall we… Saya penat lah nak melabur duit dan tenaga untuk membeli senjata berperang dengan awak."
Akhirnya Firman tersenyum juga dan menggelengkan kepalanya. Tangannya mencapai telefon bimbit itu dan mula membelek.
"Mudah sekali awak melafazkan kata sayang. Hati-hati, jangan diucapkan sembarangan. Nanti orang salah faham dan sayang itu menjadi terlalu murah, dan tidak ada nilainya lagi."
"Kalau sayang je ingat nak kahwin. Sayang itu banyak maksud, boleh jadi sayang sebab saudara seislam, sayang sebagai kawan, sayang sebagai adik-beradik."
Aku melepaskan nafas berat, sebelum memandangnya dengan pandangan tajam.
"Saya hanya lafazkan sayang saya pada awak kerana kita dah kenal lama. Awak kenal siapa keluarga saya, dan keluarga saya tahu hubungan kita. Saya tahu, awak bukan seorang yang kuat perasan. Awak takkan salah faham dengan saya, dan awak faham maksud sayang saya. Tak lebih daripada itu. Saya nak beritahu awak sesuatu. Saya dah masukkan ringtone istimewa untuk kita berdua, jadi kita akan tahu kalau salah seorang daripada kita telefon masing-masing. It's a cool gadget, spec dia bagus. Lebih bagus daripada telefon saya, rezeki awak. Nanti awak boleh tukar nama, Inspektor Gadjet, bukan lagi Inspektor Ebrahim." Aku ketawa di hujung di ayat.
Aku menghidupkan telefon tersebut, lalu memberitahunya nombor telefon aku, dan semua benda lain yang penting. Alah… Dia tahulah. Dia pernah tinggal di Kuala Lumpur, takkanlah pegawai polis langsung tak reti guna telefon pintar kut. Sekarang polis pun pandai main Tik Tok, Tinder bagai. Aku mendail nombor telefon dia, lagu kesukaanku berbunyi. Dia mendail nombor aku, lagu yang sama. Aku menghulurkan Firman sebelah fon telinga dan memainkan lagu Aaron Smith, Dancin Krono Remix. Kami berkongsi mendengarnya, aku menggerakkan kepala mengikut rentak dan dia tergeleng sambil melihatku.
"Seronok kan lagu ini? Kalau tak suka, kita boleh tukar lagu default aje."
"Bolehlah… Kenapa pilih lagu ini?"
"Entah… Saya suka liriknya…"
Firman mengeluarkan telefon bimbit bergelang getahnya. Seperti ada kesayuan dalam hatinya dan entah kenapa aku turut merasakan perasaan itu.
"Saya sayang semua barang saya. Saya menghargai dan menjaganya… Tetap saya akan gunakan walau dah buruk. Selagi barang itu masih berfungsi."
Aku mengambil telefon antik itu lalu menyimpannya ke dalam kotak, kemudian mengikat kotak itu dengan riben.
"Nah… buat peluk tidur. Masukkan dalam mimpi."
Kami berbalas senyuman dan aku ketawa kecil dengan ayat sendiri.
Firman mengangkat telefon bimbit RedMinya. Aku mengambilnya lalu memasukkan ke dalam poket jaketnya. Kemudian aku menepuk-nepuk tanganku seolah-olah membuang kekotoran daripada tanganku.
"Yang ini simpan dalam hati awak. jangan hilang dan rosakkan. Seumpama awak menghilang dan merosakkan hati saya. Guna dengan cermat, seperti awak menjaga hati saya."
Sekotak jam tangan bertali kulit warna coklat aku hulurkan padanya. Firman merenung jam itu lama, tanpa perasaan.
"Saya harap awak suka. Polo Club. Brand cikai aje, tak macam Rolex. Ganti jam tangan rosak hari itu."
"Ini… Saya nak anggap sebagai apa pula?" soal Firman kehairanan.
"Ini jantung saya. Setiap detak, saat, minit dan jam, adalah degupan jantung saya. Jangan biarkan detak jantung saya berhenti. Awak suka ke jadi pembunuh? Firman… Terimalah. Ini hadiah saya untuk awak sebagai seorang kawan."
Firman diam lama. Akhirnya kotak jam tangan itu bertukar tangan. Firman hanya memegang, dan aku hanya memandang. Aku tak ada hak nak memaksanya. Faham dia tak selesa menerimanya.
"Lega saya bila awak menerima hadiah itu. Sebab saya tahu awak akan memanfaatkannya untuk kebaikan."
Ayat itu aku akhiri dengan senyuman yang manis. Melihatkan Firman masih tidak memberi reaksi, aku mengemas laptopku dan semua barang-barang yang lain. Aku menerima panggilan daripada Kak long dan aku tumpang gembira apabila dia memberitahu Along akan ditukarkan ke Perlis. Cita-citanya tercapai. Berkhidmat lebih dekat dengan keluarga itu rezeki. Begku galas dan aku berjalan sendiri menuju ke rumah, meninggalkan Firman yang masih terpaku merenung sungai. Pelik, selalunya dia tak pernah berenggang daripadaku. Menunggu Fatimah dan Mai Tuan barangkali.
Hari ini operasi menulis huruf-huruf hijaiyah. Atau lebih tepat lagi, mengenal huruf hijaiyah. Senang sangat mereka mendengar nyanyianku. Tanpa sedar, belajar sangat digemari oleh lapisan masyarakat dan umur. Ilmu tidak mengira perbezaan manusia, dan memerlukan wang untuk berkongsinya. Seawal usia kanak-kanak yang mumayyiz, malah bayi pun, apabila kita mula bertanya dan ingin tahu, bermulalah proses belajar. Setiap proses kehidupan merupakan proses pembelajaran. Kadang-kadang ramai orang tak faham yang kesilapan juga memberi kita pengajaran. Orang yang bijak menggunakan kesilapannya untuk belajar benda baru. Kadang-kadang ibu bapa tidak faham, sifat ingin tahu anak-anak itu bagus untuk proses pembelajaran. Alangkah bagusnya kalau ibu bapa memanfaatkan masa mereka untuk proses pendidikan anak-anak. Melayan keletah anak-anak.
Sebagaimana manusia terawal, mereka juga belajar. Kalau tidak, bagaimana tamadun boleh tercipta? Tamadun Islam yang tercipta di padang pasir yang tandus itu juga firman Allah yang pertama ialah "Bacalah!" Allah menyuruh kita belajar! Dan lihatlah sejarah zaman kekhalifahan Islam! Jadi kenapa hendak meremehkan pendidikan kepada kanak-kanak?
Betapa mudahnya hendak mula menuntut ilmu. Hanya bermula dengan sebuah buku, atau sebuah kuliyah. Kemudian mencatat nota-nota penting. Pilihlah subjek yang disukai… Bahasa, Seni, Matematik, Sains, Agama, Sejarah, dan banyak lagi. Kemudian pilihlah! Sirah ke, Nahu ke, Programming ke, Biologi ke, Kimia ke, Nuklear Fizik ke… Kemudian, belajarlah.
Setiap hasil pembelajaran mereka aku lekat ke dinding sebagai hiasan. Saja, kekadang, aku suka baca semula penulisan mereka. Ada yang teruja, membawa pulang hasil kerja mereka ke rumah kerana ingin menunjukkan kepada keluarga mereka. Aku juga mengajar mereka perbezaan huruf Jawi dan huruf Hijaiyah. Huruf hijaiyah ada 26, dan huruf-huruf jawi lebih berfokuskan sebutan bahasa Melayu. Contohnya, pa, nga, dan nya.
Mujurlah anak-anak itu tak malu bertanya. Sedaya-upaya aku mencuba untuk memuaskan dan memahamkan mereka. Teruja sungguh mereka untuk datang ke depan dan menulis contoh-contoh mufradat atau perkataan.
Ketika masa rehat, sangat menyeronokkan bagi mereka. Kadang-kadang aku menggelengkan kepala melihat permainan mereka. Ada yang membawa periuk belanga mini dari tembikar. Main masak-masak di pekarangan sekolah. Pandai pula mereka menghidupkan api dan memasak nasi di dalam periuk kecil itu. Kreatif mereka bermain. Tanah dijadikan beras, helaian daun dipetik dan dihiris, digoreng di dalam kuali seperti sayur. Kotor dan comot tetapi mengingatkan aku pada zaman kanak-kanak aku sendiri. Aku pun pernah main macam itu juga. Cuma tak adalah sampai tahap itu sekali.
Mereka akan membersihkan diri apabila dipanggil oleh ustaz atau ustazah masuk ke dalam kelas. Praktikal solat dan wuduk sentiasa dilakukan di dalam masjid. Bacaan dan hafalan surah lazim dilagukan beramai-ramai. Sangat mengagumkan, anak-anak serawal usia 5 tahun boleh menghafal 30 surah lazim dengan lancar dan fasih.
"Merdu tak suaranya?" Pertanyaan Firman mengejutkan aku. Syakir yang baru selesai memperdengarkan bacaan Qurannya keluar menyertai kawan-kawannya untuk bermain.
"Sedap. Lancar sekali bacaannya."
"Itu belum dengar yang lebih dewasa… Awak pasti menitis air mata mendengarkan kemerduan bacaan mereka."
"Heh… memang semua orang di sini menghafal Quran ya?"
"Ya, itu salah satu cara untuk menampung kekosongan muqaddam. Kami juga tidak mahu al-Quran hilang daripada dada anak-anak Islam di sini. Yang lebih dewasa, menghafal al-Quran mengajarkannya kepada orang lain. Itulah cara yang terbaik untuk diamalkan zaman-berzaman lebih-lebih lagi selepas zaman regim komunis Pol Pot. Masjid dimusnahkan, ulama dan para ustaz dibunuh, al-Quran dan Muqaddam dihina dan diinjak, dijadikan sebagai kertas lap kekotoran dan dibakar. Penganut Islam tidak dibenarkan sembahyang, mengaji, berpuasa dan segala aktiviti berkaitan Islam. Mereka yang didapati melakukannya atau mencuri melakukannya, akan disiksa atau dibunuh dengan kejam. Mereka yang tidak berdaya, hanya mampu berniat sembahyang dalam hati. Menghafal al-Quran secara senyap-senyap seberapa banyak juzuk yang boleh. Sebaik sahaja Pol Pot berjaya diusir, gerakan pertama yang dilakukan oleh penduduk Islam ialah kembali ke masjid, mendirikan solat atau membersihkannya. Mencari al-Quran atau cebisannya. Dilekat dengan gam nasi, cuba diselamat dan dikumpulkan mana yang ada. Terakhir sekali, dikumpulkan mereka yang menghafal. Dicatat segala hafalan mereka dan dijadikan catatan untuk rujukan ramai. Sesiapa yang ingat apa-apa surah atau pembetulan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Dan ajaibnya dalam tempoh yang singkat, sebuah Al-Quran yang lengkap dapat disempurnakan. Bila tiba bantuan Al-Quran ke Kemboja, perkara pertama sekali dilakukan ialah meneliti dan memeriksa kesahihan naskhah Al-Quran bertulisan tangan dan hasil hafalan tadi. Didapati seratus-peratus tepat."
Wajah Firman bertukar riak setiap kali menceritakan kesukaran yang perit itu. Heh… Aku hanya mampu mengerlingnya tanpa suara. Kekejaman rejim Pol Pot tidak ada perbezaan tarafnya. Mereka bukan sahaja memusuhi agama Islam dan umatnya, mereka juga memusuhi kesemua bangsa dan agama. Kristian, Buddha dan Hindu. Bangsa Khmer, Cina, India, Thai, Arab dan orang asli. Semuanya disiksa dan dibunuh tanpa banyak bicara lebih-lebih lagi mereka yang enggan menerima ideologi dan menyokong perjuangan mereka.
"Alhamdulillah… Kekejaman dan penderitaan tidak berjaya membunuh 100 peratus jiwa Islam ini. Komunis juga gagal mencabut jiwa Islam dari dalam hati mereka yang benar-benar ikhlas dalam bertakwa kepada Allah."
"Komunis juga begitu kejam ketika darurat di Tanah Malaya. Bagaimana anggota polis yang hanya seramai 18 orang menghadapi 180 orang Komunis ketika peristiwa di Bukit Kepong dahulu." Aku menambah.
"Kehebatan anggota keselamatan kita. Mereka tetap wira dalam mempertahankan negara."
Aku mengukir senyum senget. Jelas di wajah Firman riak bangga dan terharu dengan semangat kental anggota polis.
"Firman… Awak berada di situ ke masa zaman peperangan itu?" soalku, setelah mendengar ceritanya.
"Saya belum lahir lagi tentulah saya selamat."
Huh? Aku memandang jari. Berapa umur Firman?
"Mama dibawa Baba ke Malaysia pada tahun 1973. Mereka baru bernikah. Sampai di sana, mama berada lama sikit kerana baba ingin memperkenalkannya kepada seluruh kaum kerabatnya di Malaysia. Kebetulan Kemboja bermula huru-hara pada tahun 1974, arwah datuk menghalang mereka kembali ke Kemboja. Firasat arwah datuk tepat apabila Kemboja jatuh ke tangan Komunis pada tahun 1975. Saya dilahirkan pada tahun 1980. Untuk mendapatkan pendidikan terbaik seawal usia tujuh tahun, kami dihantar belajar ke Madinah, tanah asal usul sebelah mama. Bila berusia 14 tahun, kami berdua kembali bersekolah di Malaysia. Tinggal dengan saudara sebelah baba."
"Heh… Kalau macam itu, macam mana awak boleh cerita pasal komunisme sampai macam itu sekali?"
"Kami tak pernah terputus hubungan dengan keluarga di Kemboja. Sebaik sahaja komunis kalah, baba dan mama kembali ke Kemboja, menyambung semula legasi perjuangan dakwah Islam. Mama dan baba selalu menceritakan kepada kami sama ada melalui surat atau kiriman video. Kami selalu diingat dan disedarkan oleh penderitaan orang Islam di sini. Malang sungguh nasib Kemboja. Sebuah negara yang kaya dengan intan permata, emas dan perak, dan hasil pertanian yang subur hancur musnah dalam tempoh empat tahun Komunis memerintah. Hanya kerana memakai cermin mata atau mempunyai tapak tangan yang halus, sudah cukup menjadi alasan untuk dibunuh. Komunis tidak mahu ada golongan elit, intelek, cerdik pandai atau orang kaya. Mereka dianggap akan menyusahkan dan mengajak rakyat memberontak kepada pemerintahan Komunis. Pol Pot lebih rela membiarkan rakyat yang tidak berilmu untuk hidup dan bekerja untuknya seperti lembu dan kerbau. Ideologi yang kejam. Kononnya berjuang sama rata dan semua adalah tuan. Tiada kasta, hamba, atau golongan hamba. Penipuan yang licik. Siapa kata peperangan akan menguntungkan pihak itu dan merugikan pihak ini? Tiada siapa yang menang, kalah menjadi abu, menang menjadi arang. Bila berlaku peperangan, tiada siapa yang terlepas. Peluru tidak bermata, dan tidak mengenal sesiapa."
Perang yang menzalimi rakyat kerana perebutan kuasa. Masing-masing mendiamkan diri, kerana suasana yang begitu suram antara kami berdua. Tiba-tiba aku teringatkan seseorang.
"Firman, saya nak tanya sesuatu perkara. Kenapa wajah Syakir selalu lebam? Kakaknya pun sama. Minggu lepas tak ada, minggu ini ada… Semalam tak ada, hari ini ada…"
Firman terdiam lama.
"Rumah dia dalam perahu ya?" Aku bertanya lagi.
"Sebab rumah dia dalam perahulah saya tak boleh buat apa…" Suara Firman merendah.
"Kenapa Firman?"
"Kemiskinan boleh membuat seseorang bapa tertekan, seorang ibu hilang waras. Mereka adik-beradik selalu dipukul. Rumah buruk yang saya selalu tumpang tidur itu ialah rumah mereka. Semasa mereka berjiran, ada malu juga ketika mereka memukul anak-anak. Tapi sejak mereka berpindah ke dalam perahu, kami tak boleh buat apa-apa."
"Maksud awak, mereka mangsa dera?"
Firman mengangguk.
"Kenapa tak buat sesuatu? Tak ada siapakan yang nak membela?"
"Nak bela macam mana? Masing-masing mempunyai masalah yang sama. Kemiskinan, tiada pekerjaan, anak yang semakin bertambah tetapi makanan berkurang. Saya dan mama hanya boleh menasihati, membantu mana yang boleh dibantu, tetapi bila dah selalu sangat dibantu… Mereka pun naik malu. Jangan terbaik, mereka berpindah ke rumah perahu, boleh menjala. Hasilnya dijual atau ditukar dengan beras… Atau apa yang ada."
"Tapi sayang… Ada rumah tetapi pindah ke perahu pula. Awak tak bantu baiki rumah mereka?"
Mungkin soalan aku bodoh, tetapi Firman tenang menjawabnya.
Kampung kami dilanda hujan ribut kencang sebelum awak datang. Beratus rumah rosak… Apa yang kami pentingkan masa itu, nyawa, makanan, minuman dan pakaian. Mana-mana rumah yang boleh kami baiki, kami baiki. Saya tak cukup wang untuk membantu semua orang. Saya faham dan hidup ala kadar. Keluarga Syakir memilih untuk duduk di dalam perahu, kerana kosnya lebih murah. Tak ada apa sangat yang nak dibaiki kalau dibandingkan dengan sebuah rumah. Dan awak kena tahu, beratus lagi keluarga seperti Syakir di luar sana. Fikirkan beban dan tanggungjawab saya nak membiayai semua sedangkan saya tak dibayar gaji atau elaun. Apa yang saya bantu dari duit saya sendiri… Lama-lama bukit pun habis ditarah…"
Aku hanya mendengar dengan riak tak percaya. Biar betul? Sampai macam ini?!
"Tetapi sepanjang saya berada di sini, saya hanya melihat keriangan dan ketawa anak-anak. Muka baik dan beriman, yang selalu menutup aurat dan berjemaah di masjid… Lelaki mahupun perempuan…"
"Itu bagi mereka yang reda dan bersabar. Tersenyum walau apa saja yang melanda tetapi jangan melihat sekadar permukaannya saja. Walau air kelihatan tenang… Jangan tak tahu, di bawahnya penuh gelora dan kekotoran tersembunyi. Ada juga penduduk kampung ini yang berjudi, minum arak, melanggan pelacur, samseng…"
Kedua-dua belah keningku terangkat tinggi.
"Hari itu bising, kata tak nak ke sekolah kerana tak ada duit lah, nak makan lah…"
"Awak fikir Iblis tak pernah lupa menggoda anak cucu Adam? Lucifer akan bersimpati apabila melihat kemiskinan dan kefakiran? Iblis, syaitan lagi menambah kekuatan mereka untuk menggoda dan memperdayakan manusia… Bersekedudukan, kahwin campur tanpa bertukar agama dan melahirkan anak yang cacamarba. Tidak betah dengan pandangan orang kampung lain, bosan dinasihati oleh Hakeem dan Tuan Imam, malu dengan saya dan mama, mereka berpindah jauh dari kampung ini. Atau terus ke Phnom Penh, tenggelam dan hanyut dengan bangsa lain, sehingga tidak dikenali identiti dan agamanya lagi…"
"Heh…"
"Itulah kenyataannya Hana dan bilangannya semakin lama semakin ramai. Saya semakin risau. Bayangkan beban kami. Bagaimana kami nak hadapi semua ini dengan tenaga dan wang ringgit yang terbatas?"
"Tapi kalau dibandingkan dengan Malaysia… Rasanya seperti lebih kurang juga."
"Betul, lebih kurang. Tetapi Malaysia lebih baik kerana ada sistem pendidikan. Sistem pendidikan Malaysia antara yang terbaik di dunia. Dalam keluarga kita tak tahu, adakah perompak, pembunuh, pendidik, pendakwah dilahirkan? Pendidikan lah yang akan menentukan kemanakah hala tuju anak-anak ini ketika mereka membesar. Saya berharap orang Cham juga akan mendapat sistem pendidikan sama sebagaimana penduduk Malaysia. Tetapi niat hati saya lebih daripada itu. Saya mengimpikan satu sistem pendidikan yang lebih bersepadu… Lengkap dunia akhirat. Akademik dan agama. Saya mahu lahirkan satu bangsa yang mantap akal fikiran dan fizikalnya tetapi bersepadu dengan pembangunan kerohanian yang berpaksikan iman dan sahsiah. Kita boleh lihat, berapa ramai yang cerdik pandai tetapi korup… Melanggani pelacur, memeriahkan hari-hari malam di night club… Kita tidak perlu ilmuan yang seperti ini. Lama-lama hancur negara."
Aku bertafakur seketika, berfikir sejenak. Rasa macam nak ketawa pun ada. Sistem pendidikan di Malaysia antara yang terbaik di dunia? Nah… Kalau sistem pendidikan agama, aku rasa Mauritania. Seawal usia lima tahun, sudah menghafal al-Quran, kemudian Kitab Muwatta Malik, dan seterusnya Matan Al-Ajurumiyyah. Itu asas. Seterusnya belajarlah apapun. Mungkin kerana mereka bertutur dalam bahasa Arab, tetapi kalau inginkan pendidikan agama yang sempurna, di mata aku itulah salah satunya. Imam 4 Mazhab juga menuntut seperti itu. Al-Quran dahulu, kemudian Hadis, kemudian Bahasa Arab dan akhirnya memilih Fiqih dan Tauhid. Tapi entahlah, cita-cita Firman bagaimana.
"Saya tak tahu lah sistem pendidikan macam mana yang awak mahukan. Tapi di Malaysia pun masih banyak kekurangan… Saya tak akan gelar sistem di Malaysia salah satu sistem yang terbaik di dunia. Tapi sistem pendidikan agama, pendapat saya yang terbaik adalah di Mauritania. Bergantung pada selera tekak awak."
Aku bercakap tentang selera tekak aku sebenarnya.
"Betul tetapi perlu ditambah dos dan dimantapkan lagi. Setelah segala usaha dilakukan oleh ibu bapa, keluarga, masyarakat dan kerajaan. Kalau masih ada anak muda yang masih lalai dan leka… Itu memang sendiri cari pasal lah namanya."
Aku ketawa kecil mendengarkan ayat Firman. Rasa lucu pula. Sendiri cari pasal, haha.
"Kalau terapkan sistem pendidikan Islam di sekolah pasti ada geng-geng yang kononnya liberal lah, feminis lah, LGBT lah, yang menganggap orang kita ini rasis, atau Islam lah agama yang terpaling menindas… Entahlah… Banyak lagi kepincangan sebenarnya…" Aku mengeluh di hujung ayat.
"Tak ada masalah. Mereka boleh ada masa untuk belajar asas ideologi mereka atau agama mereka sendiri. Belajar Pendidikan Moral. Dah lama kan sistem itu ada. Kadang-kadang saya rasa bangsa India atau Cina itu lebih baik daripada kita. Mereka lebih terdidik dan mempunyai nilai moral yang tinggi. Saya lebih senang bergaul dengan mereka. Mereka lebih memahami, lebih terbuka, malah menghormati agama kita. Ada yang menegur bila orang Melayu yang minum. Lucu… Orang agama lain mengingatkan orang Islam tentang larangan agama itu sendiri. Tengok Matt. Walau dia bukan Islam, dia tau apa yang boleh, tak boleh. Dia selalu bagi laporan dekat saya tentang siapa yang buat hal."
"Hmm… Ya, tapi bukan semua. Bergantung juga. Tetapi setakat ini yang konon terpaling tertindas semua itu orang Islam sendiri. Yang menyebabkan masalah Islamofobia itu merekalah. Harap nama saja Islam tapi perangai mengalahkan Dajjal."
Perbualan kami terhenti sekali lagi apabila riuh suara anak-anak mengganggu. Kami segera bergegas keluar. Ustaz Jamali, Ustaz Zulkifli dan Fatimah sedang meleraikan pergaduhan.
"Kenapa ini?!" Firman bersuara lantang.
"Tidak ada apa, Firman. Hal budak-budak. Ahmad menegur kawan-kawannya, tetapi mereka tak mahu dengar. Ahmad hendak dipukul."
"Boleh tahan ganas budak-budak ini. Sikit-sikit hendak pukul orang. Ini mesti pengaruh mak bapak ni..."
Walaupun aku bersuara perlahan tetapi Firman menoleh dan tersenyum mengusik.
"Periuk mengata belanga hitam."
Huh? Aku memandang Firman dengan muka kelam tak faham.
Firman hanya tersenyum nipis. Semua beransur ke kelas sebaik sahaja loceng berbunyi. Firman menggamit beberapa orang budak termasuk Ahmad kemudian dia bertanya. Ahmad bersuara perlahan tetapi tegas.
"Dia kata, tak baik main-main dengan tanah. Kita asal daripada tanah. Mati pun akan kembali ke tanah. Tanah itu ada rasa, ada perasaan, sakit dan sedih. Tanah ketawa dan tersenyum. Apabila tanah itu dibakar saja-saja… Main-main… Tanah menangis."
Firman terjemahkan setiap butir bicara Ahmad. Oh, sesi pengakuan dan luahan. Aku tersentak seketika dengan ayat Ahmad.
"Janganlah bakar dia. Sakitlah dia. Kita kan dari tanah. Bakar tanah macam bakar kita." Ahmad melarang.
Rasa macam nak ketawa tapi aku tahan. Tak baik. Tapi Ahmad patut cakap macam ini dekat kroni-kroni projek gondolkan hutan simpan itu, sahih mereka insaf!
"Sebab dia ini pelik sikit. Selalu tegur kami. Itu tak boleh, ini tak boleh. Tak padan dengan usia. Kami selalu pulaukannya sebab mulutnya itu. Tak best main dengan dia. Lembab, tak pantas berlari, slow dalam segala-galanya. Kalau tengah main, dia datang, kami semua buat tak layan." Kawan-kawannya mengadu kepada Firman.
"Kasihannya daun itu. Sakitlah dia kena hiris macam itu. Kenapa kamu petik dia buat main-main macam itu? Mesti mak dia cari dia." Ahmad melarang.
"Kami gelak kuat-kuat… Apalah bodoh punya orang. Mana daun ada mak?" adu kawan-kawan dia lagi.
"Cengkerik yang kami tangkap, kalau terpatah kaki, atau terputus badan, penjual biasanya tak mahu, kami penyet ramai-ramai."
"Janganlah pijak dia! Jangan seksa dia! Jangan bunuh dia!" Ahmad menegah.
"Berdosa tangkap katak dan tikus, jual dekat orang. Haram duit itu. Haram buat belanja makan ais krim…" nasihat Ahmad lagi.
"Dia menegur kami yang sibuk menangkap katak untuk dijual. Peduli apa kami!" Kompelin terakhir.
Firman bercekak pinggang dan memberi kata-kata tegas. Semua menikus dan menganggukkan kepala. Selesai sesi soal siasat, aku menahan senyum memikirkan apa yang dibicarakan oleh Ahmad. Cuba kalau dia cakap macam itu dekat menteri-menteri kita? Agak-agak kena angkutlah jawabnya.
"Kesian Ahmad. Dia budak baik. Apa yang dia cakap ada benar dan logiknya," keluh Firman.
Hohoh… Ada benar? "Firman, tak bolehkah awak atau ustaz nasihatkan anak-anak yang lain? Jangan kacau Ahmad…"
"Dah saya nasihatkan tadi. Siap dengan amaran keras lagi."
"Firman… Kalau saya nak taja mainan untuk mereka, awak marah tak?"
"Kenapa pula nak marah? Awak nak belikan apa?"
"Bola sepak, kayu hoki, set catur, raket badminton, bulu ayam untuk sepak raga, jaring… raket pingpong..."
"Dah, dah. Cukup dengan bola sepak dan set catur. Utamakan pembangunan kelas dan masjid. Bilik air dan tandas."
Aku mengerling Firman dengan hujung mata. Pertama kali melihat Firman tersenyum lebar. Aku mengangguk-angguk puas hati. Hari ini aje, esok-esok tahulah. Bukannya kami boleh melaksanakan gencatan senjata lama.
Chapter 38 WIP
Share this novel