Chapter 53

Adventure Series 1746

Nasib baiklah aku dah makan nasi. Kalau tak, mahu tak lalu aku menghadap hidangan setelah mendengar kisah tragis ini. 

"Bagaimana Ong boleh terselamat selama Pol Pot dulu?" tanyaku. 

"Ong buang cermin mata, telapak tangan ong gosok ke dinding batu untuk kasarkannya dan ong berlagak gila. Hari-hari ong memakai bunga teratai. Ong lilitkan di atas kepala dengan tangkainya…"

Ketika ini semua tertawa. Aku terbayangkan Ong Idris seperti Dewa Zeus atau Dewa Apollo. 

"Tetapi sebenarnya memang ong nak kena bunuh juga sebab rupanya yang handsome, putih melepak… dan ada anak muridnya yang menjadi komunis mengenali ong…" Firman menambah. 

"Rupa handsome dan putih melepak kena bunuh?" soalku hairan. 

"Itu tandanya anak orang kaya atau orang berpendidikan… padahal bukan semua anak orang kaya putih melepak dan handsome," balas Firman. 

"Komunis bodoh!" kutuk Fatimah, marah nampaknya. 

Aku cepat-cepat melihat kulit dan telapak tanganku. Nampak gayanya akulah orang pertama yang kena bunuh! Firman seperti mengerti lantas tersenyum dengan matanya. Aku mencerlungnya. Alah, awak pun orang pertama yang akan kena bunuh juga! Rupa-rupanya orang kacak dan cantik memang tak selamatlah pada zaman Pol Pot.

"Mereka melarang kami beribadah. Ong hanya mampu menunaikan solat dalam hati setiap kali masuk waktu… bila Pol Pot tewas, ong qada semua solat dan puasa yang ditinggalkan."

"Ong ceritalah masa ong nak kena bunuh," pinta Fatimah. 

"Nak kena bunuh juga?" tanyaku hairan. 

Ong Idris tersengih. 

"Umur ong ini liat agaknya. Sudah beberapa kali percubaan untuk membunuh ong tetapi ong sentiasa terselamat."

"Sebab rupa ong itu, tak nampak gaya macam orang kebiasaan. Darah ningrat dam sunan itu di dalamnya menebal sangat… jadi kalau ong menyamar menjadi gila macam mana pun…" ulas Fatimah sambil tergelak. 

"Ong selalu amalkan zikir ayat seribu dinar sehingga zikir itu sebati dalam diri. Setiap kali komunis merancang hendak membunuh ong, Alhamdulillah, selalu tak jadi. Kali terakhir, sebuah kubur besar sudah digali dan ramai telah ditetak kepala dengan mata cangkul… ditendang masuk dalam kubur itu. Tiba giliran ong pula. Ong duduk melutut di pinggir kubur itu. Dalam hati ong, tak putus-putus berwirid ayat ini… berserah, inilah akhir riwayatku… hampir saja mata cangkul mengenai belakang leher ong, letupan bom dan tembakan bersimpang-siur… komunis terhenti dan mereka bertaburan melarikan diri. Rupa-rupanya askar Vietnam telah berjaya memasuki Kemboja dan berjaya menewaskan komunis…"

Saspensnya. Terasa nafasku terhenti. Memang betul-betul di hujung tanduk, nyawa di hujung mata cangkul! 

"Alhamdulillah… berpantang ajal sebelum maut. Jika Allah tidak mengizinkan maka tidak akan berlaku." Akhirinya. 

Semua menarik nafas lega. Macam betul sekali Ong Idris menceritakannya seperti tergambar di depan mata… macam menonton wayang. Ngeri dan menakutkan. 

"Tetapi sayangnya, ramai yang salah faham mengenai ayat seribu dinar ini, jadi ayat pelaris jualan pula. Sedangkan makna dan pengertiannya supaya kita bertakwa dan bertawakkal. Bukannya hanya menampal atau mengamalkan ayat ini untuk melariskan jualan tapi solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dan perniagaan terus dibuat atau sebagainya. Ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar. Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertakwa dan bertawakal. Begitu juga kalau kita membaca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertakwa dan bertawakal, tak guna juga."

Aku semakin kagum dengan butir bicara lelaki tua ini. 

"Kamu memang Melayu?" Peliknya soalan. Aku mengangguk, teragak-agak. 

"Melayu asli?" asaknya lagi. Huh? Aku terkebil-kebil. Dia tersengih. 

"Balik nanti, kamu ni bangsa apa, asal-usul mana dan agama apa?"

Aku sedikit terasa dengan soalannya. Aku tahu asal-usul aku. Keturunan Melayu Pattani dan agamaku Islam. Walaupun wajahku seperti anak Cina, tetapi aku tahu aku Melayu. Pakaian aku pun sempurna, atau sekurang-kurangnya aku cuba menutup aurat dengan sempurna, dengan dua tiga lapisan jubahnya. 

"Bila tau asal-usul, kamu akan lebih menghargai diri kamu dan apa yang kamu ada. Kamu akan jaga dan pelihara baik-baik. Kita orang Melayu, kalau tak mahu ambil peduli, sedikit demi sedikit, warisan, bangsa dan nama Melayu akan hilang dari dunia. Jangan Islam pun hilang sama kerana Islam sangat berkait rapat dengan Melayu. Tegaknya Melayu, inshalah tegaklah Islam."

Dia menyambung dengan lebih bersemangat. 

"Apa lagi yang dimiliki orang Melayu? Satu demi satu empayar Melayu jatuh dan dijajah. Dari empayar Kerajaan Melayu Champa, Langkasuka, Srivijaya… sehinggalah membawa kepada kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis. Terciptalah pantun, kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan, kalau sungguh bagai dikata, nyawa dan badan saya serahkan. Itu pantun untuk menggambarkan keberanian dan kepahlawanan hulubalang Melayu dalam mempertahankan Melaka. Banyak sejarah yang tak meriwayatkan dengan tepat. Melaka tidak semudah itu ditawan dan mengambil masa yang lama untuk betul-betul dijajah. Pahlawan-pahlawan Melayu ini tetap meneruskan perjuangan sehingga mereka berundur ke Johor. Tetapi tetap kembali dengan serangan yang lebih kuat ke atas Portugis. Kalaulah tidak kerana musuh dalam selimut dan tali barut, Melaka takkan jatuh. Setiap rakyat termasuk raja dan permaisuri, Tun Fatimah yang terkenal dengan semangat srikandinya, berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Tun Fatimah ini terkenal dengan kecantikan, kehalusan budi bahasa, bijak dan mahir dalam ilmu mempertahankan diri. Seni silat yang dijunjung tinggi, takkan hilang dari alam Melayu, tetap dipertahankan zaman berzaman."

Sambung ong lagi. "Sebaik sahaja kejatuhan Kerajaan Melayu Islam Melaka, ramai yang beranggapan akan terhapuslah pusat penyebaran dan dakwah Islam. Tetapi dengan kuasa Allah, semangat Islam yang tak pernah padam, satu kerajaan Islam jatuh, empat kerajaan Islam naik. Kesultanan Demak, Kesultanan Acheh, Kesultanan Banten dan Kesultanan Mataram. Pendeknya, pantun itu mengisahkan semangat orang Melayu pada masa terjatuhnya kota Melaka di tangan Portugis. Orang Melayu pada masa itu merupakan Melayu yang bersatu, itu Jawa, Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Selatan Thai dan Filipina. Bukan senang Portugis nak menjatuhkan Melaka sehingga terpaksa meminta bantuan luar. Beribu yang syahid di dalam peperangan tersebut. Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia. Tetapi pantun itu bila sampai pada generasi seterusnya, menjadi pantun cinta pula."

Kami semua tergelak. 

"Kalau roboh Kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan, kalau sungguh bagai dikata, nyawa dan badan saya serahkan. Padahal papan di Jawa itu bermakna, bantuan dan pertolongan yang diberikan oleh orang Jawa untuk membantu orang Melaka mempertahankan kota sehingga sanggup syahid demi Islam. Juga bermaksud kalau Melaka ini runtuh, maka orang Jawa akan menegakkan Islam, menyambung perjuangan Melaka…"

Aku mengukir senyum di luar sedar. Alhamdulillah, tidak mudah Islam dihapuskan rupa-rupanya. 

"Kalau kamu nak tahu mengenai sejarah Melayu Islam lebih lanjut, boleh tanya Firman. Pinjam buku dia. Dia banyak simpan. Salah satu buku terkenal ialah Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Apabila Portugis menakluk Melaka, salinan sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan telah dibawa bersama Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar, Sumatera pada 1528. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin penting kerana dia menceritakan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China, setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di dalam arkib negara tersebut."

Panjangnya penerangan dia. Ingat pula tu tarikh dan nama. Kalau ong ini berada di Malaysia, pasti boleh jadi pensyarah di bahagian Tamadun Sejarah Melayu Asia di salah sebuah universiti. 

"Ikut hati, ong nak pergi aje rampas semula segala catatan dan buku mengenai sejarah Melayu dan Islam di Eropah. Dahlah dia menjajah negara kita, habis khazanah negara diangkutnya. Salah seorangnya Stamford Raffles yang telah mencuri manuskrip dan Hikayat Sejarah Melayu. Sebab itu ramai anak muda sekarang buta mengenai sejarah. Sejarah ditulis oleh mereka yang menang, oleh pihak penjajah yang ingin memutarbelit fakta, bertujuan menjadikan bangsa Melayu lembu yang dicucuk hidung, tak menghargai agama dan bangsa sendiri. Paling ong terkilan bila ada penulis sejarah yang mengatakan bahawa orang Melayu tidak mempunyai sejarah. Kalau orang Melayu tak mempunyai sejarah, bagaimana orang Melayu boleh wujud? Keluar dari buih lembu?"

Kami tergelak lagi. Firman menambah. 

"Penulis sejarah itu bekas pegawai jajahan dan para orientalis yang menulis kerana kepentingan pihak mereka. Ramai ahli sejarah tempatan yang berjaya membuka topeng-topeng penulis-penulis itu. Sejarah perlu dikaji dan ditulis oleh kita sendiri, bukan orang lain. Barulah tepat. Padahal sebelum kedatangan penjajah Barat, orang Melayu dan maju dan ada sistem kerajaan dan undang-undang yang sistematik. Bukannya kita duduk di atas pokok. Sejarah kita lebih tua dan lebih gemilang. Ahli politik pun sama. Kerana kepentingan politik sanggup mengeluarkan kenyataan orang Melayu tak mempunyai sejarah dan bukan penduduk asal Tanah Melayu. Mereka tak ada hak ke atas tanah Melayu."

Ahli politik mana itu? Dalam hati aku meronta ingin bertanya tapi aku diamkan saja. 

"Sejarah membentuk masa kini. Sekiranya kita salah memahami sejarah, tentu saja kita salah faham mengenai masa kini kita. Akibatnya akan membawa kepada tindakan yang tidak dapat dijustifikasikan oleh sejarah pada hari ini. Jangan sampai anak cucu kita terhukum kerana kejahilan mak ayahnya apabila mengabaikan sejarah sendiri. Lagipun siapa yang tak minat sejarah, tak tau sejarah adalah mereka yang tak mengenal diri sendiri, kemuliaan bangsa dan keagungan agamanya," tambah Firman. 

"Panjang pula cerita pasal sejarah dengan kamu."

Ong Idris terseringai, menunjukkan gigi yang masih sihat dan kuat. Berbeza dengan Mai Masyitah. Kalau tak diberitahu itu isterinya, tentu aku ingat itu emaknya. Seperti menyedari apa aku fikirkan, Ong Idris terus menyambung. 

"Ong dah kahwin sebelum komunis masuk. Isteri ong meninggal kebuluran. Sebaik sahaja komunis jatuh, hakeem segera mengisytiharkan, kahwinilah mana-mana gadis, wanita dan balu… lindungi mereka. Maka ong pun kahwinlah dengan mai yang juga kematian suaminya. Anaknya ramai dan dia tiada sesiapa lagi kecuali seorang adik lelaki. Ong kahwin dengan mai, adik mai kahwin dengan kakak ong. Nasiblah siapa lebih tua, lebih muda. Kami tak fikir semua tu, yang penting nak selamat dan lindungi wanita-wanita kami. Ringkasnya macam nilah… kakak kahwin adik awak, adik awak kahwin kakak saya."

Aik. Bukan haram ke kahwin adik beradik ipar? Mereka hanya tersengih melihat aku yang bingung. 

Aku dibawa meronda ke ladang jagung pula.

"Firman, awak keturunan apa tadi? Wali? Kerabat diraja? Rasulullah?"

"Tak penting lah semua keturunan itu. Saya seorang yang tak punya apa-apa." Dia selamba saja menjawab. 

Cet. "Tapi ong cakap tadi… bukankah awak banyak menyimpan fakta sejarah?"

"Ya, hanya sekadar untuk pengetahuan, mengenali diri sendiri dan asal-usul. Tu je. Bukan nak bermegah-megah."

"Ceritalah sikit…"

"Tak ada apa yang menarik…"

"Apa yang tak menarik itu saya nak tau…"

"Dari mana saya nak mula? Kalau saya kata saya ini keturunan Iskandar Zulkarnain, awak percaya? Saya pernah bermimpi menunggang Bucephalus, kuda hebat Iskandar?"

Aku terkebil-kebil sekejap, menatap wajah yang kadang-kadang mudah bertukar riak. Tapi kebanyakan masa, Firman dingin kelihatan sedikit angkuh tapi sekejap aje. Selepas itu, mukanya seakan-akan tak beriak. Susah nak agak apa yang dia sedang rasakan dan fikirkan. Kadang-kadang, aku terperasan dia termenung jauh, menghela nafas lelah… kemudian air mukanya jernih semula. 

"Percaya tak percaya, awak cerita saja. Saya nak dengar."

"Kenapa tiba-tiba?"

"Sebab saya nak kenal awak. Kita akan bersama lama."

"Tak perlu kenal saya untuk bersama saya… profesional."

"Yeah…" Aku menjawab malas. 

Dia menahan senyum.

"Okeylah. Saya buka sikit mengenai saya. Tapi saya cerita pun, tak ada maksud apa-apa. Cerita sudah terkubur dalam lipatan sejarah. Menurut mama, saya dari keturunan Rasulullah SAW dari susur galur Siti Fatimah RA dengan Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA, keturunan yang ketujuh, sebelah nenda mama saya. Sedikit sebanyak gelaran ini memberi kebahagiaan tidak terperi. Tetapi kita manusia, sama saja di sisiNya… walau siapa kita, hanya amalan yang diperhatikan Allah. Lagipun kita semua memang keturunan nabi."

"Nabi?" keningku terangkat sebelah. 

"Nabi Adam." Selamba Firman menjawab lirikan mata nakal mengena. Cet. 

"Keturunan Wali Songo pula, dari sunan Maulana Malik Ibrahim, ketua wali songo yang dipercayai berdarah Arab dan berkahwin dengan Puteri Raja Champa. Sunan yang mulia ini menyampaikan dakwah di Champa sehingga ke Tanah Jawa. Bergabung dengan Wali Songo yang lain, mereka membina masjid yang mempunyai reka bentuk yang sama. Satu di Champa, satu di Kampung Laut, Kelantan, dan satu lagi di Demak."

"Wali songo itu maksudnya apa?"

"Sorry, lupa nak cakap. Wali songo atau Walisanga dalam Bahasa Jawa bermaksud Wali Sembilan. Mereka ialah penyebar agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-17. Kerabat diraja Champa pula… ini yang paling sedih…"

"Kenapa pula sedih?" 

"Saya tak mahu dikenali sebagai putera raja Melayu Cham. Apa gunanya seorang putera tetapi tidak mempunyai rakyat dan negara? Itu hanya gelaran yang tidak membawa apa-apa makna."

"Awak seperti kesal…"

"Taklah… saya tak kesal, malah saya lebih suka saya hanya menjadi orang biasa. Menjadi seorang putera atau pemerintah sangat membebankan. Mereka orang pertama yang akan dihisab di Padang Mahsyar. Itu sajalah, mengenai saya. Tak ada apa yang menarik. Hanya sejarah yang diperturunkan untuk pengetahuan anak cucu… juga sebagai iktibar. Jika negara sudah lenyap, pangkat dan gelaran apa pun tidak membawa apa-apa erti."

"Maknanya, kalau Kerajaan Melayu Champa masih wujud, awak mungkin ditabalkan sebagai raja?" 

Firman tergelak kecil. 

"Begitulah… tetapi semuanya itu tak bermakna. Saya rasa kalau wujud pun, tentu ramai yang akan ke depan, mengaku sebagai raja, berebut takhta. Saya tak mahu. Itu semua dunia…"

"Katalah… Kalau awak ditabalkan sebagai raja, awak tak mahu?"

"Jika diberi pilihan, saya tak mahu. Cukuplah saya menjadi raja kepada diri saya sendiri. Saya yang menguasai diri dan hidup saya…"

"Kenapa nama awak tak diletakkan nasab?"

Firman terhenti dan menoleh kepadaku. 

"Baba tak mahu letak… baginya, cukuplah kami saja yang tahu asal usul kami. Tak perlu diwar-warkan… lagipun sebelah mama, bukan sebelah baba. Syed tak syed, tak ada makna semua itu. Kita tetap insan yang berdarah merah."

Kami berjalan dengan senyap. Aku lebih senang melayan perasaan daripada memberi perhatian kepada Firman di sebelah.

"Nak makan jagung bakar?" tanya Firman, memecahkan kesunyian yang lama di antara kami. 

"Mana nak dapat?"

"Kita di mana sekarang?"

"Suka sangat tanya pelik-pelik. Benda dah tahu tapi nak tanya lagi. Di ladang jagunglah," jawabku hairan. 

"Di ladang jagung pasti ada jagung bakar."

Aku duduk di atas rumput, memerhati Firman dan Matt menyalakan api. Senang sangat rupa-rupanya. Cari aje ranting kayu, tongkol jagung dan daun kering. Api dinyalakan dengan lighter. Firman dan Matt tak merokok tapi ada lighter? Lawak juga. Jawapan Firman, lighter itu dapat gas bergerak. 

"Fatimah jaga api ni. Jom, ikut saya petik jagung."

Aku ditunjuk mana satu jagung yang sesuai untuk dibakar. Boleh dikenali melalui rupa dan warnanya. Sebanyak sepuluh tongkol aku petik dan Firman mengekor sambil memeluk jagung-jagung itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience