Chapter 33

Adventure Series 1746

Aku duduk bersila sambil menghadap laptop. Jari menekan gmail.com. Ada beberapa e-mel dan informasi yang membuatkan aku mengeluh. Serta-merta otakku menjadi letih. Mataku turut menjadi berat, walhal sepatutnya aku dah tidur tadi. Berulang-ulang aku menguap dan mengelap air mata yang timbul di tubir mata. Aku menahan mulut dari terbuka dan cuba menutup mulut tetapi mataku kabur kerana air mata. Aku bergerak masuk ke bawah atap dan mula mencari tempat yang sesuai untuk berehat. Akhirnya kranium di kepalaku mula berdenyut-denyut dan tengkorakku seperti sedang ditikam dengan pisau rambo. 

Allah…

Terlampau stress, aku meramas kepala dan mengurut kepala agak kasar. Teroleng-oleng dan dilambung ombak kecil sungai, aku merasa loya lagi. Aku mengesot segara ke birai perahu dan termuntah. Fatimah segara memberi bantuan, menepuk dan menggosok belakang badanku. Matt memberhentikan perahu dan keadaan menjadi kecoh. Teruknya aku muntah. Sehingga cecair hempedu yang pahit turut keluar. Tiada apa lagi yang mampu keluar. Pahit dan payau. 

Mai Tuan menjamah dahi dan leher aku. Sejuk dan leher seperti ais tetapi dahiku basah kerana berpeluh. Mereka membuang tudungku dan aku disuruh berbaring. Firman bercakap dengan mamanya selepas mendengar keadaanku. 

"Mama, kokot dia… Angin tu. Semalam dia lewat makan dan tadi dia mabuk darat. Kemudian mandi, dia mandi dengan air tandas. Saya biarkan dia kesejukan dalam tandas itu." 

Pertama kali aku mendengar suara Firman kelihatan begitu resah, terutama sekali bila bercakap pasal aku. Tabir diikat kemas. Aku yang sedang terbaring lemas, nafas turun-naik, badan berpeluh lencun, dan tubuh yang menggigil dan meracau. Mereka menanggalkan pakaianku dan menukar dengan kain batik. Tubuhku terlalu letih, dan dalam kepalaku, aku hanya ingin mencari painkillers, tetapi mataku terlalu berat untuk terbuka. Aku mengikut arahan mereka dan meniarap. Badanku dilumuri dengan minyak tanah dan dua seretan seperti duit syiling diseret menegak ke belakang badanku. 

Pertama kali aku mendengar istilah kokot, dan mengetahui bahawa duit syiling boleh buang angin. Pening, loya, sakit dan pedih bersatu menimbulkan rasa derita yang tak terperi dalam hati. Aku menahan segala rasa itu… tangan kuat mencengkam kuat bantal di kepala, segala kenangan, kesusahan belajar, kenyataan yang aku dengar, segala tohmahan dan penghinaan yang menusuk ke dalam telinga, serta rasa terasing dan perasaan berbelah-bahagi terhadap keluarga. Rasa kejam itu menyapa lagi… seperti aku tidak diperlukan di mana-mana… 

Kesakitan di tubuh kian bertambah, dan jeritan yang tertahan-tahan lagi mula keluar. Aku menangis tersedu-sedan dan membiarkan hingus berwarna jernih mengalir keluar sambil merengek. Bukan kerana sakit di tubuh, tetapi sakit di dalam hati. 

Aku benci rasa itu. Aku tahu aku tak sepatutnya beremosi, kerana itu yang diberitahu oleh abah, tetapi aku keliru! Kenapa perasaan ini muncul? Kenapa Abah menyuruh aku untuk tidak beremosional? Adakah selama ini aku terlalu beremosional? Adakah selama ini hati aku memang busuk atau kotor? Adakah aku perasan hebat seperti yang diberitahu Firman dan yang lain? Aku tak tahu. 

Aku terus meraung dengan mata yang terpejam. 

"Ai Angah, mama… Kakak dah bangun." 

Fatimah mengelap peluh di kelopak mataku. Badan rasa lega tetapi terasa lenguh, sakit dan letih. Kepala terasa ringan dan lega manakala hati aku terasa tenang dan damai, ingatanku turut kabur. Apa yang berlaku tadi? Aku dah solat ke belum? Dah masuk waktu solat ke? Mata terkebil-kebil merenung atas dengan penuh kosong, kemudian wajah manis Mai Tuan menyapa pandangan. 

"Macam mana rasa badan?"

Tangan keibuannya menyentuh dahi dan leherku lembut. 

"Okay…" lemah aku menjawab separa sedar. Muka mereka pula kelihatan risau. Aku tak ambil pusing, mereka tak ada sebab untuk risau tentang kesihatan aku. Aku cakap rasa badan aku okay. 

"Enti okay ke tak ini? Nanti makan ya? Fatimah panaskan kuetiau sup yang Ai angah beli tadi."

"Aiwah ya mama."

Aku dibantu untuk duduk dan Fatimah menyuap perlahan kuetiau sup yang hangat itu je dalam mulutku. Wajah umi tiba-tiba menjengah di belakang retina dan aku terkedu. Tak semena-mena air mata mula membasahi pipi. Hangatnya kuetiau ini, tetapi yang membuatkan hatiku hangat ialah perasaan itu, kasih sayang. Dan imej umi menyuap nasi berlauk ikan kukus ke mulutku pada pukul 1 pagi sewaktu aku sedang demam, ketika umi sedang makan nasi dengan abah, yang baru pulang dari kerja. Imej itu menekan picu di hati menyebabkan air mata turun membanjiri wajah. 

Selesai membasuh muka dan membasuh mulut, aku mencari-cari cermin bedak kompak untuk melihat kesan air mata tadi. Aku membelek tubuh yang berbalut dengan kain batik, masha Allah! Penuh dengan kesan berbirat dan merah-merah! Macam baru lepas kena sebat di penjara. Aku melepaskan keluhan, kata mereka, itu angin. Kalau merah dan lebam maksudnya angin aku sangat kuat. Itu cara mereka mengeluarkan angin. Angin ini berbahaya, jika tidak dikokot segera boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti angin ahmar dan boleh menyebabkan kematian. 

Aku berbaring lemah dan mula memejamkan mata apabila lagu Pizza Mozzarella nyanyian Gyro Zeppeli berbunyi. Aku mendengus malas sebelum menekan butang hijau dan menekan butang pembesar suara. 

Firman. 

"Boleh saya masuk dan melihat awak?"

"Tak payah! Saya tengah berkemban, tak menutup aurat dan tengah letih. Saya baru saja nak pejam mata bila awak telefon saya."

"Tengah sakit pun ada masa nak cari gaduh dengan saya lagi. Macam mana rasa sekarang?" Suaranya kedengaran marah dan ingin tahu. 

"Okay…" Malas aku menjawab. 

"Dah makan kuetiau tu?"

"Hmm…"

"Sedap?"

"Hmm…" Mataku kian memberat. 

"Hana…"

Tiada jawapan. 

"My precious…"

Talian diputuskan. 

Alhamdulillah. Aku seperti telah isekai ke dunia baru. Segala program berjalan lancar di dunia buah kampung lagi, Po' Ceroh dan Po' Bahau. Keadaan yang daif dan merempat di mana-mana. Hanya sebuah dan dua buah rumah saja yang cukup syarat untuk dipanggil rumah. Program diseling dengan ceramah agama oleh Ustaz Zulkifli dan Ustaz Jamali. Ramai penduduk mengiringi pekarangan masjid. Seperti biasa, aku menyampaikan sumbangan, bersalam-salaman dan dilawat melihat sekitar kampung setelah selesai upacara penyampaian bantuan. 

Biasanya lawatan aku tak bersama ustaz-ustaz. Mereka ada program mereka sendiri, dijemput berceramah di rumah-rumah penduduk yang terpilih, berusrah dan bertemu dengan pelajar-pelajar pondok atau bekas pelajar dari Kelantan dan Pattani. Memang tak kena dengan jiwa aku, lagipun aku tak reti nak bersembang dengan pelajar pondok ini, apatah lagi lelaki. Dahlah sembang bahasa Cham, manalah aku nak faham. Kadang-kadang rasa macam slow learner lah pula. Ustaz buat lawak, jemaah semua ketawa. Ustaz bercerita mengenai sirah Rasulullah SAW, jemaah semua terharu, menangis, aku baru nak tergelak. Hendak menunggu Fatimah menterjemah macam tengok movie dengan subtitles yang timing slow. Movie dah played sampai sejam setengah, subtitles baru nak start. Slow sangat terjemahannya. Kekadang telinga aku boleh tangkap suara ketawa halus Firman, geli hati dengan muka blur aku. 

Sekali dua sesi ceramah yang tidak berguna itu, Firman mula memahami aku. Dia lebih suka membawa aku melihat sekitar kampung, menemui penduduk, melihat cara kehidupan mereka, dan yang aku suka ialah pemandangan alam. 

Kami sampai ke sebuah rumah. Astaga! Rumah ke pondok? Beratap rumduduk berdinding papan yang berlubang di sana-sini dan berlantai papan yang rongak. Aku dijemput naik tapi aku berasa serba-salah. Takut roboh pula, dah lah aku ini berat juga! Orang di dalam itu berjalan pun, berbunyi keriuk, lagilah cuak hati aku. 

Kami hanya duduk di pangkin buluh luar rumah dan menghulurkan sedikit sumbangan sambil berbasa-basi. Tuan rumahnya seorang lelaki warga lanjut usia, beria-ria mengajak kami berdua makan nasi dengan lauk istimewa. Firman mengangguk setuju. Isteri dan anak perempuannya kelam-kabut mencari telur itik yang dibela di sebelah rumah. Anak lelakinya ke sungai, segera menjala. Dalam setengah jam kemudian, dia pulang dengan tiga ekor ikan haruan. Mereka memasak di luar rumah dan mataku cekap menangkap cara mereka memasak. Senang betul aku lihat cara mereka memproses ikan haruan itu. Dipotong kepada tiga, empat bahagian, kemudian dimasukkan ke dalam air mendidih. Pucuk muda celagi di atas pokok di tepi rumah, dipatahkan dua, tiga tangkai. Dibasuh dan dilurut daunnya, kemudian dimasukkan ke dalam periuk. Gula dan garam diletakkan. Siap. Celagi muda dipetik, dihiris halus-halus, masuk ke dalam sos ikan dan ditambah hirisan lada. Diangkat setalam dan diletakkan di depan kami. 

Aku berkata kepada Firman. 

"Kenapa awak terima makan sini? Tak susahkan mereka ke?"

Nak makan pun rasa sendu. Tak sampai hati. 

"Kita raikan kemuliaan hati mereka nak menjamu kita. Kita sudi menjamah apa yang dihidang, itu sudah cukup membuatkan mereka berbesar hati."

Pinggan nasi sudah disua ke tanganku dengan sudu besi. Mereka sudah membaca bismillah dan makan. 

"Lauk apa ini?" Aku menunjuk kepada kuah ikan haruan. 

"To' mesam jeruk. Rasalah, sedap," jawab Firman. 

Mereka berkongsi menghirup kuah di dalam satu mangkuk sahaja. Aku menahan kembang. Isterinya asyik memerhati bila aku nak menyuap. Aku rasa serba salah pula, takut mereka berkecil hati. Tapi aku tak biasa. 

"Ini apa pula?" 

"Ini ikan budu atau bohok… Dicincang, digaul, dengan hirisan serai, bawang merah, cili padi, gula dan air limau nipis," terang Fatimah. 

"Mentah-mentah?"

"Asalnya mentah tetapi bila dah diperap dengan garam dan tapai nasi macam dah masaklah…" jelas Fatimah. 

Keningku terangkat. Firman menoleh ke arahku. 

"Pernah makan sushi?"

Aku mengangguk. 

"Kalau sushi ikan mentah awak boleh makan, apalah sangat bohok ini… Ia dah masak kerana cara perapnya…"

Aku tak ambil pusing. Ingat kalau minat sushi itu sushi ikan mentah saja ke? Aku makan sushi yang harga seringgit sekupang dekat Empire Sushi itu. Perisa telur goreng, crab stick, chicken floss dengan tuna Mayo. 

Firman dan yang lain terus makan. Nampak berselera sekali. Selera mereka lebih kepada ikan budu itu. Aku hanya menyuap nasi kosong. Isteri tuan rumah macam tak berpuas hati, mencedok sedikit ikan budu itu ke dalam pingganku. Beria dia mempelawa aku sambil mengangkat ibu jarinya. Aku mengukir sengih serba salah sambil menganggukkan kepala, cuba meyakinkan isteri tuan rumah yang aku tak jijik dengan makanan mereka. Firman seperti buat tak tahu saja. Aku menguis ikan budu itu ke tepi pinggan. Mata tuan rumah itu terarah kepadaku, menunggu aku menyuapnya. 

"Makan sikit, ambil hati mereka. Bersusah-payah mereka masak untuk kita," bisik Firman sambil mencedok sedikit ikan haruan ke dalam pingganku.

"Saya tak biasa makan ikan budu, perap dengan tapai nasi."

"Rasa sikit saja. Tak nak, tinggal."

Aku menyuapnya dengan teragak-agak… menghidu kuah ikan dan memakan nasi berlauk ikan. Mata mereka masih ke arahku. Firman pantas mencedok nasi di pingganku dengan sudunya dan terus menyuapku. Serentak dengan itu, seisi rumah ketawa keriangan. Aku tergamam dan mengunyah perlahan-lahan sambil menahan kembang tekak dan geram. Kemudian aku mengukir sengih kepada tuan rumah. Mereka tersengih-sengih memandangku sambil mengangkat ibu jari. Aku mengalihkan wajah, agar mereka tidak melihat mukaku yang mata sudah merah akibat air mata. Tangan menekup mulut, mengelap dengan hujung jari. Firman melirik aku dengan senyum nipis di hujung bibir. 

Fatimah dan Matt tertunduk-tunduk menahan ketawa. Aku menahan geram. Tiga suap yang sangat menyeksakan. Ikan budu yang meloyakan dan ketawa dan sengih-sengih yang menyakitkan. Serta pandangan mata yang tertumpu ke arahku. Jangan tengok aku! Leave me alone! Firman menarik pingganku dan dicurahkan ke dalam pinggannya.

"Firman… Awak makan sisa saya? Tak geli ke?"

"Nak geli apa? Lagipun tak elok membazir dan kecilkan hati tuan rumah. Sebiji beras amat berharga di sini." 

Aku menahan rasa pahit. Rasa menyesal pula, tapi aku suka je nasi itu. Cuma lauk yang aku tak biasa. Tambahan pula dengan pandangan tuan rumah macam aku ini pesalah jenayah, dan ketawa Fatimah dan Matt. 

"Hari itu awak beritahu saya awak tak pernah jaga hati orang, nanti diri sendiri dipijak. Pelik, sebab hari ini awak suruh saya jaga hati tuan rumah."

Firman menoleh ke arahku lalu tersenyum pedas. 

"Hari itu awak beritahu saya kena jaga hati adik saya, tapi hari ini saya kena beritahu awak untuk jaga hati tuan rumah."

Cis! Apa salahnya kalau aku tak nak makan apa yang dihidangkan? Bukannya aku menghina pun makanan itu, kalau ada orang suka, silakan. Aku cuma tak perlu makan sahaja. Kalau aku bawa belacan udang datang sini, suruh mereka makan, mereka nak makan ke? Nak lepas kastam pun tak boleh. Ada seseorang terhendap-hendap mengintai aku dari dalam rumah. 

"Siapa itu?" tanyaku kepada Firman. 

Firman bertanyakan kepada tuan rumah itu dan dia kelihatan keberatan hendak memberitahu. Lama kemudian, dia memanggil nama Hassan, dan perlahan-lahan, wajah itu mula menampakkan dirinya. 

Aku agak terpegun melihatnya. 

"Minta dia turun, Firman."

Permintaanku dipenuhi. Tetapi aku menunggu Hassan menurun seperti menunggu kucing bertanduk. Sepertinya dia kelihatan sangat pemalu dan sukar nak menemui orang. Akhirnya dia berdiri terpisat-pisat di belakang maknya. Berambut perang, bermata seakan-akan merah jambu dan kemerahan dan berbulu mata putih. Kulitnya putih melepak. Aku meniliknya lama-lama. Oh… Albino rupa-rupanya. Matanya tersepet-sepet menahan silau matahari. Rasa bersalah lah pula minta dia keluar. 

Tuan rumah bercakap perlahan-lahan dan bernada sebak. Firman menjelaskan. 

"Hana, ini anak bongsu mereka, berumur 14 tahun. Sangat pemalu kerana rendah diri. Selalu diejek sebagai anak bunian, dimakan sumpah atau maknya ada hubungan sulit dengan orang putih. Kena pula dengan keadaan dia yang suka menyorok dalam rumah."

"Dia kan albino, tak mempunyai warna atau pigmentasi dalam kulit. Mata dan kulitnya tak tahan kena sinaran matahari. Mereka boleh mati jika terdedah cahaya matahari berlebihan. Mudah terkena kanser kulit. Mata rabun tetapi mereka juga manusia biasa macam kita. Kenapa mereka fitnah dia sampai macam itu?"

"Hana, tak semua orang berpendidikan. Apa yang awak harapkan daripada orang di sini? Lagipun mana boleh tutup mulut orang."

Aku mendengus perlahan sebelum melepaskan keluhan berat. 

"Kita boleh beritahu keluarga ini kebenaran sebenar. Yang dia bukan anak bunian, atau maknya tak berzina dengan orang putih. Anaknya cuma albino, itu sahaja."

Firman memandangku dan mengangguk, mengerti apa yang aku maksudkan. 

"Kakak… Ayahnya kata anak dia pandai azan dan menyanyi. Dia suka lagu Melayu dan hafal banyak lagu. Radio temannya."

"Dia belajar apa di rumah?"

Dia banyak habiskan masa dengan menghafal Quran dan menyanyi," jawab Fatimah. 

"Adik boleh tak baca satu Surah, kakak nak dengar..." pintaku. 

Jenuh memujuk, dia tetap menggelengkan kepala sambil bersembunyi di belakang emaknya. Firman ke belakang sedikit dan mengusap bahunya perlahan. Firman kemudiannya menganggukkan kepala kepadaku. Dia datang dan duduk semula di pangkin. 

Satu suara yang perlahan dan malu-malu kedengaran. Semakin kuat dan kuat… jantungku berdegup lebih kencang. Aku hanya memerhati tangan putih merahnya yang memaut erat lengan maknya. Dia mengalunkan ayat suci Al-Quran sambil bersembunyi di belakang emaknya. Dan emaknya kelihatan begitu senang sekali mendengar alunan merdu suara anaknya.

"Demi waktu dhuha,"

"Dan malam apabila ia sunyi-sepi -"

"(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)."

"Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya."

"Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati."

Suaranya… masha Allah! Memukau seluruh pancaindera dan aku tidak mampu mengawal tubuhku, bangun berdiri dan menapak berhati-hati ke arah mereka berdua. Aku mengintai dan dapat memerhati dengan jelas, dia mengalunkan Surah Ad-Dhuha, sambil menunduk dan memaut lengan emaknya dengan penuh erat. 

Sebutir permata yang indah di bumi terpencil ini. Aku menahan sebak. Merdunya suara dia. Setiap ayat yang dibaca menusuk ke kalbu. Walaupun tanpa tarannum, aku dapat rasakan penghayatannya dan seluruh perasaan ditumpahkan ke dalam bacaan ini. Dengan suasana yang sejuk mencengkam, angin yang meniup lembut, geseran daun-daun, bunyi air sungai yang berolak, kicauan burung yang diselang-selikan dengan bunyi ayam dan itik, menyebabkan aku kerinduan dan kesyahduan yang amat. 

Aku tak terasa aku sedang berada di Kemboja, sebaliknya aku berada di Malaysia. Terbit rasa rindu meluap-luap kepada waktu itu, waktu Sheikh Ahmad menyuruh kami sekelas memperdengarkan hafazan Al-Quran masing-masing. Aku menahan diri daripada mengalunkan suara di depan Firman. Rasa seperti hendak menyantunkan Surah Abasa, tetapi aku menahan diri. Suara aku begitu mahal, tak semua orang boleh mendengarnya. 

"Awak okay?"

Aku mengangguk. 

Suara Firman di sebelah menyebabkan Hassan tersentak dan teralih semakin ke belakang emaknya. Sepertinya, dia enggan dilihat oleh kami berdua. 

"Awak nak dengar dia azan?"

Aku mengangguk lagi, penuh berminat. 

"Kita ke pangkin, dia takkan bersuara kalau dia tahu awak berdiri di sebelahnya dan memerhatinya. Hassan tak suka direnung. Dia rasa rendah diri kena pula masyarakat kita suka sangat merenung. Pantang saja ada yang pelik dan luar biasa, suka sangat mereka merenung kemudian mulut berbunyi. Perbuatan tersebut kurang manis, malah di luar negara perbuatan itu dianggap kurang ajar dan menghina."

"Saya tak berniat nak merenungnya kerana dia pelik. Saya hanya ingin mendekati seorang remaja yang mempunyai suara yang indah. Saya ingin mendengar dengan lebih jelas."

"Saya tau. Kita dekati dia pelan-pelan, baru dia tak terkejut. Mari."

Sebaik saja kami melabuhkan punggung di atas pangkin, suara azan mula bergema. Masha Allah! Aku menahan sebak sambil mengemam bibir. 

"Itu belum dengar suara Bilal bin Rabah, seorang hamba yang berkulit gelap, tetapi mempunyai suara berlian. Sehingga sekarang tiada seorang pun manusia yang boleh menandingi suara beliau. Azannya yang telah menarik hati umat Islam ke masjid… menarik hati orang memeluk Islam, dan mengikat banyak hati dengan kasih sayang. Seorang hamba yang dimerdekakan… Sangat mencintai Rasulullah SAW sehingga tidak mampu lagi mengalunkan azan kerana kerinduan yang mendalam kepada baginda SAW selepas kewafatan baginda. Namanya kekal menjadi sebutan dan setiap muazzin diberi penghormatan dengan panggilan bilal. Nama yang takkan putus dan lenyap dari dunia ini kerana pahalanya mengazankan dan mengiqamatkan kebesaran Allah SWT. Allah telah membalas kebaikannya di dunia, memuliakan dan meninggikan darjatnya dalam kalangan manusia dan malaikat… tidak perlu menunggu di akhirat."

"Rasulullah mendengar tapak kakinya di syurga."

Kata-kataku membuatkan Firman terdiam. Aku tidak tahu apa yang menyebabkan aku tidak menyampah seperti dulu dengan Firman. Aku berdehem untuk menghilangkan rasa janggal dalam hati. Rasa peliklah pula bila boleh bertahan dengan Firman tanpa dia mencari pasal dengan aku. 

"Sedap suara adik itu… Bacaan dia pun lancar. Saya harap Hassan diberi peluang untuk menyerlahkan suaranya ke peringkat antarabangsa. Beritahu mak ayahnya jangan biarkan tohmahan mereka mengganggu masa depan Hassan. Dia berhak berjaya macam orang lain. Kita perlukan lebih ramai penghafal Al-Quran dan bilal masjid."

Firman tersenyum dan menatap wajahku tanpa kata. Aku terdiam malu, walau wajahku tidak berhadapan dengan wajahnya. Rasa tak selesa dipandang begitu rupa. Tapi bibirku tetap menahan senyum daripada terus memekar. 

Inshalah, chapter akn dtg siap Ahad minggu depan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience