Chapter 29

Adventure Series 1746

Ternampak seperti ada dua susuk tubuh yang aku kenal. Jauhnya mereka jalan sampai ke madrasah ini. Refleks bibirku tersengih penuh ceria hingga ke anak mata. Pantas aku meminta Fatimah agar memanggil mereka. Fatimah meletakkan kedua-dua belah tangan di mulut lalu melaung. Mereka berpaling dan segera berjalan ke arah kami.
Dari jauh lagi, si ayah sudah memberikan senyuman dan si anak seperti malam, tertunduk-tunduk. Tetapi matanya seperti merenung aku. Bibirku mengukir senyum walau mataku langsung tidak melihat wajah mereka. Hanya melihat ke hadapan, sambil tangan melambai-lambai. Dia turut segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.
Comel! Aku suka melihat mereka berdua. Ada aura kasih sayang seorang bapa dan anak. Apatah lagi masa aku berminat dengan anaknya, bapanya begitu seronok, seperti bangga dengan anaknya. Mak dengan ayahku tak buat macam itu. Tak kisahlah untuk aku atau kakak. Aku tak tahulah apa kejayaan perlu aku capai untuk buatkan mak dengan ayah aku bergembira bila orang berminat dengan aku.
Panau di wajah budak itu langsung tidak menganggu pandanganku. Aku belanja semua orang yang ada. Aku berniat nak habiskan semua jualan air tuak mereka dan menggembirakan anak murid aku. Sedih pula apabila memikirkan tentang child labour. Sepatutnya budak itu pergi ke sekolah dan dapatkan pendidikan yang bagus, serta bermain sukan. Riuh semua minum dan mereka seperti tak menang tangan melayan. Beberapa anak muridku ada yang sudah menghabiskan dua gelas. Apabila aku membayar untuk gelas seterusnya baru aku teringatkan Firman.
"Fatimah, tak tanya ai angah nak minum ke tak?"
"Terlupalah kakak. Lagipun dah habis. Sukalah pak cik tu."
"Dah habis minum baru teringatkan saya?"
Refleks aku berpaling. Firman menyandarkan badannya, senget dan santai di daun pintu, manakala kedua-dua belah tangannya di dalam poket. Hari ini rambutnya diikat sejemput di depan. Lawaklah rupa dia hari ini. Dah pelbagai fesyen rambutnya diikat.
Akhir-akhir ini aku tak tahu kenapa aku jadi termalu sendiri apabila wajah kami bertentang. Kadang-kadang aku teringin nak menampar muka aku sendiri, kerana frustrations. Dia bukan lelaki idaman aku! Kenapa aku nak rasa self-aware sangat?! Buat bolayan je!
Tapi tak boleh salahkan diri aku juga, aku memujuk diri sendiri. Aku tinggal serumah dengan dia, hari-hari aku tengok dia, aku habiskan hampir 24 jam setiap hari dengan dia. Tak mustahil kalau aku boleh rasa apa-apa bila melihat wajahnya.
Kemunculan pertama Firman, macam Beauty and the Beast. Awal-awal, muka berjambang, selekeh dan mulut laser. Sekali ditonyoh dengan limau purut, daun bidara, dan bunga jasmin. Dua tiga kali tonyoh, muncul muka putera kacak. Terlampau kacak sehingga menyilaukan mata sesiapa yang melihat dengan sinaran mata dan gigi yang seperti berlian memancar indah! Aku ketawa sendiri memikirkannya. Lucu!
Cuma yang tak tahannya adalah stail rambutnya yang quirky! Kadang-kadang dia ikat  pony style, kadang-kadang stail samurai, kadang-kadang ikat di tengah dan dilipat dua, kadang-kadang ikat stail sup bunjut Adabi, ikat tengah kemudian dibunjutkannya. Kadang-kadang ikat stail pokok kelapa rendang, ikat tengah dan dibiarkan begitu saja. Yang paling tak tahan apabila dia mengikat rambutnya ke sisi belah kanan depan, sebiji macam Jojo Siwa. Paling stress kalau dia bercekak rambut. Hati terasa dia sengaja menyakitkan hati aku. Sudah tahu aku tak suka gaya rambutnya lagi dibuatnya! Jangan dia bersanggul sudahlah! Bercucuk sanggul lintang lagi! Minta simpang!
"Setitik pun tak tinggal untuk saya?"
Firman sudah berada di depan. Aku tersentak daripada fikiran. Fatimah sibuk menjelaskan tapi tak dihiraukan oleh Firman. Akhirnya adiknya berlalu pergi. Aku terasa seperti Fatimah berkecil hati. Aku melihat dia keluar dari bilik darjah. Kemudian aku memberi semula perhatianku kepada Firman di depan.
Firman… Tak baik tau buat macam itu. Awak patut melihat muka Fatimah bila dia bercakap dengan awak. Jangan buat tak tahu."
"Hati Fatimah ke hati awak? Saya tak pernah peduli nak jaga hati sesiapa. Terlampau menjaga sehingga kadang-kadang diri dipijak. Pasal Fatimah jangan risau. Saya kenal adik saya. Awak kata tak baik buat macam itu? Lebih baik tuju kepada diri awak sendiri, cuma awak lebih sedikit… Tak pandai menjaga hati wanita, lelaki, tua dan muda."
Firman mengambil gelas buluh dari tanganku dan meneguk air tuak sambil matanya mengerling ke arahku. Tangan kirinya bercekak pinggang dan dia meneguk habis. Ingat hot sangatlah tu! Aku memandangnya sesaat, perasaanku bercampur-baur, macam pasembor. Aku tak faham lelaki ini. Aku mencari Fatimah. Itu pun dia sedang bercakap dengan pak cik, si penjual air tuak. Aku mengeluarkan dompet duitku dan mengeluarkan duit untuk membayar.
"Fatimah, cuba tanya pak cik ini kenapa anak dia tak pergi sekolah?"
Jawapan yang aku dah tahu. Rasa bersalah lah pula tanya. Fatimah menterjemah, menjelaskan pak cik itu tak mampu untuk menyekolahkan anaknya.
"Okay, beritahu pak cik itu… hari-hari dia boleh datang berjualan di sini. Ada orang tak puas minum sebab itu lidahnya berbisa…"
Sempat lagi aku mengusik Firman yang sudah berdiri di sebelahku yang mahu memulangkan gelas buluh kepada pak cik itu. Dia mengambilnya dengan hormat dan anaknya membasuh gelas itu dengan air yang dibawa di dalam bekas buluh besar.
"Bagi tahu dia juga, anaknya mesti ke sekolah. Kakak akan bayar yuran dia di sini."
Air muka pak cik itu berubah ceria. Berkali-kali dia mengucap terima kasih. Aku mengeluarkan USD 10 dan menghulurkan duit kepada anaknya. Aku bertanyakan nama dan umurnya. Ringkas aje. Ahmad, lima tahun. Duit yang aku hulur langsung tidak diterima olehnya. Sebaliknya, dia menoleh ke arah ayahnya, dan bertanyakan sesuatu. Ayahnya meminta maaf dengan penuh teragak-agak dan penuh kekok. Aku memandang dengan penuh serba-salah.
"Dia kata, ibunya melarang menerima sedekah."
Kening kiriku terangkat dan bola mataku membulat.
"Kenapa?"
Firman bertanya dan Ahmad menjawab perlahan.
"Ibunya kata… Dia hanya boleh menerima duit daripada hasil jualan air tuak atau hasil kerja yang dilakukannya. Menerima duit tanpa berbuat apa-apa itu adalah sedekah. Ibunya tak mahu dia menerima sedekah kerana tidak mahu keturunan mereka dibiasakan menerima sedekah."
Mataku mencerlung memandang Firman.
"Awak biar betul. Saya beri duit ni dengan niat hadiah. Bukan sedekah. Ada beza antara sedekah dengan hadiah. Tak ada salah menerima kebaikan orang lain."
"Ai angah cakap betul, kakak." Fatimah membela.
Muka Ahmad aku pandang sesaat dengan penuh tak percaya. Siapa ibunya? Daripada mana ajaran yang tak masuk akal ini? Kalau keluarga ahlul bait logiklah juga. Lagi satu, tindakan seperti itu boleh membawa fitnah. Tiada salahnya dalam menerima kebaikan orang lain. Seperti prinsip keluarga Firman saja, cuma Firman ada sebabnya. Keluarganya ahlul bait, bak katanya.
"Kemiskinan dan penderitaan membuat anak-anak kecil di sini cepat matang dan cepat dewasa. Jangan terkejut dengan senario ini. Lagi lama awak duduk sini, lagi banyak awak akan nampak. Sekarang tutup mulut awak. Nanti nyamuk masuk."
Aku buat muka. Macamlah dia ada x-ray vision, boleh nampak mulut aku di sebalik purdah ini! Nyamuk pula!
"Duit ini hadiah, bukan sedekah."
"Dia tak mahu terima dan awak tak boleh paksa dia. Jangan memaksa kehendak awak ke atas orang lain. Sekali lagi saya ingatkan, duit awak tak sentiasa laku. Ia tak boleh membeli semua yang awak nak, lebih-lebih lagi hati manusia. Kekuatan dan keteguhan hati seorang miskin tidak awak tahu melainkan awak melihat dan berbicara sendiri dengan mereka. Bukan semua orang miskin memandang wang walau mereka sangat memerlukannya."
Kata-kata Firman agak menghiris. Kepalaku menunduk tapi dapat aku rasakan renungan penuh perasaan itu pada kepalaku yang berbalut tudung hitam. Mataku ditalakan ke arah rambut tempurung Ahmad yang berwarna seperti hitam keperangan. Kepalanya bulat dan berbaju kemeja lusuh tanpa tiga butang di atas. Matanya bercahaya penuh jernih. Berseluar pendek dan bertali rafia sebagai tali pinggang. Kelihatan juga sepasang paha dan betis yang berwarna sawo matang, kusam dan berselut. Sepasang selipar Jepun yang sudah haus, dan bertali yang sudah putus sebelah.
"Firman… Fatimah… Beritahu dia, saya nak dia bekerja dengan saya. Betul-betul, saya ambil dia sebagai intern dan beri tunjuk ajar dan ambil dia sebagai pekerja saya di sekolah. Saya akan bayar berdasarkan untung jualan dan gaji setiap hari saya bayar USD 5 untuk kerja dia."
Dua beradik itu memandang aku penuh hairan.
"Hana nak buat apa?"
"Susah nak explain sekarang. Please, tolong beritahu dia, saya nak tau dia setuju ke tidak."
Sebaik sahaja Firman memberitahu, Ahmad tersenyum. Seronoknya…
Hari ini aku menyambut ketibaan pekerjaku merangkap anak muridku yang baru, Ahmad. Dari jauh lagi dia sudah kelihatan tersenyum sambil diiringi ayahnya yang sedang mengandar air tuak. Di tangannya ada beberapa barang yang aku pesan semalam. Setiap anak murid bersalaman denganku kecuali Ahmad. Dia hanya menunduk hormat kepadaku. Aku begitu teruja dengan kehadirannya di sini. Dia tak macam Firman, banyak cakap, dan dia tak masuk air, macam Fatimah.
Fatimah membawanya ke kelas murid lelaki. Semasa subjek Pendidikan Seni, murid lelaki akan masuk ke kelasku. Aku sendiri yang meminta agar dibenarkan murid bercampur dan Firman seperti biasa membantah, tetapi akhirnya mengalah juga.
Kami berdebat hebat. Tak semudah itu dia hendak menurut kehendakku, kalau tidak disertakan dengan hujah yang bernas dan boleh mematahkan hujahnya.
"Seni tidak terbatas dan tiada had. Semua orang berhak belajar, tak kisah lelaki atau perempuan. Lagi satu, percampuran itu penting supaya nanti bila dah baligh, tak akan buat teruk macam tak pernah tengok lelaki. Gatekeeping dan censorship bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik kanak-kanak. Adalah lebih baik kalau kita sendiri mendidik mereka betul-betul daripada mereka mendapat pendidikan dengan cara yang salah."
Alhamdulillah! Aku terus mendapat persetujuan! Aku tak nak terlalu berharap sangat, tapi aku rasa sebab Firman sudah mula mengakui ilmu agama yang aku belajar.
Waktu rehat tiba. Ada apa yang nak dimakan di kantin? Kantin sekolah yang berupa pondok kecil tanpa dinding atau lebih tepatnya dipanggil gerai. Apa yang dijual ialah buah-buahan yang dicucuk dengan lidi. Buah ciku, jambu air, jambu batu, hirisan tembikai yang disapu sedikit garam, kuih bom, kuih topi, satu dan dua kuih lagi. Aku tak tahu nama dan hanya tahu makan je. Anak murid aku berbelanja dan bermain dengan riang.
Permainan mereka pun biasa-biasa saja. Bermain dengan alam. Apa yang ada di sekeliling mereka. Percuma. Aku suka memerhati mereka bercanda sesama sendiri. Dunia anak-anak yang ceria. Ada satu persamaan yang aku lihat pada kanak-kanak di seluruh dunia. Mereka suka bermain, berkawan dan bergurau. Penuh dengan kasih sayang. Ketawa dan senyum riang-ria gembira.
Satu lagi persamaan ialah menangis. Menangis satu cara untuk menyampaikan emosi. Satu tangisan yang tak tahu nak diterjemahkan dengan perkataan. Apa yang mereka ingin beritahu? Hanya Tuhan yang tahu. Kisah mereka, dan kisah aku juga.
Aku menghampiri sekelompok kanak-kanak yang sedang bermain agak berjauhan dari pekarangan sekolah. Nun… di bawah pokok sana. Dalam redup bayangan pokok, mereka berkumpul dalam keadaan terbongkok-bongkok. Kadang-kadang sorakan keriangan bergema. Apa ya? Aku mula berminat ingin tahu.
Mereka terhenti apabila aku sudah tercegat di belakang mereka. Semua mata mendongak melihat aku, yang sedang berpeluk tubuh ala-ala komandan sarjan. Aku meminta mereka agar tidak menghiraukan aku. Penerjemah aku tak ada pula itu. Mujurlah mereka faham bahasa itik serati aku ini.
Mereka mencabut sehelai rambut budak perempuan yang panjang. Mataku membulat melihat perbuatan mereka. Rambut itu dijulurkan ke dalam sebuah lubang di tanah yang agak menimbun, kemudian sedikit air dituangkan dan keluarlah seekor binatang, menyelamatkan diri daripada lemas, berpaut pada rambut tadi. Mereka menarik rambut itu dengan berhati-hati, cekap tangan menangkap binatang itu. Seekor cengkerik! Cengkerik itu dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik, diikat dengan getah dan ditebuk lubangnya untuk pengudaraan agar cengkerik itu tidak mati kelemasan. Terpegun sejenak aku. Bijak! Tak sangka aku, tak belajar Sains pun tahu basic!
Aku beralih ke arah kepada kumpulan lain pula. Banyak juga lubang cengkerik di sini dan mereka menggunakan teknik yang sama untuk memerangkap cengkerik itu. Dah habis air! Aku yang turut menyertai mereka juga sudah hilang mood. Dah habis! Salah seorang daripada mereka bangun dan membuka seluarnya. Nak tercabut jantung aku. Speechless aku apabila satu pancutan yang deras dan berwarna kuning menuju tepat ke lubang cengkerik itu.
Astaghfirullahalazim! Mujurlah aku sempat mengelak. Dahsyat sungguh budak ini! Tak malu betul! Depan aku dia buka seluarnya. Tadi bukan main lagi Firman marah sebab kelas campur! Dalam hati aku bercampur-baur, geram, marah, traumatized. Spontan aku menghidu bau pakaian dan tudung aku, bimbang terpercik pewangi mesra alam itu. Kedengaran bunyi ketawa dari belakang yang tertahan-tahan di belakang. Mataku mencerlung. Ketawanya bersatu dengan ketawa budak-budak tadi. Aku mengemam bibir, menahan geram. Tubuhku mengeras, langsung tidak berganjak daripada kedudukanku.
"My precious bukan terkejut beruk lagi… Tapi terkejut cengkerik!"
Ketawa mereka bersambung dan Firman mendekat, cuba menghidu aku.
Aku berganjak sedikit, mengelakkan diri sambil mengalihkan pandangan mata. Tak selesa, aku tak faham apa yang lucu sangat. Aku tak faham! Dia tak benarkan pelajar bercampur, tapi dia boleh ketawa dengan insiden ini. Dalam hati, aku berharap agar ditinggalkan bersendirian sekejap.
"Hancing!" Firman menutup hidungnya pantas.
Aku mengemam bibir, air mata sudah mula bertakung di bening mata. Langsung tak memberi reaksi.
"Balik nanti mandi dan syampu betul-betul. Jangan terjun sungai. Mati semua ikan."
Kemudian Firman memarahi anak tadi, lantas dia menyorok di belakang kawan-kawannya. Mereka menyambut dengan gelak ketawa yang lebih deras. Agaknya Firman mengugut hendak memotong anu kerana Firman buat isyarat seperti gunting dan memotong sesuatu. Satu suara yang kecil dan nyaring menyebabkan semua terdiam. Ahmad entah dari mana datang, berkata sesuatu dan semua mata memandangnya. Dia melepaskan semua cengkerik, sambil cuba dihalang oleh kanak-kanak lain dan berlaku sedikit pergelutan. Bulat mataku memandang Ahmad jadi kicap dikerjakan mereka.
Refleks kami meleraikan mereka. Firman cuba menahan yang lain daripada mengapa-apakan Ahmad. Aku berdiri di hadapan Ahmad dan melemparkan sebilah kunai sebagai ugutan. Suasana yang tegang bertukar janggal pula, apabila majoriti kanak-kanak yang lain memandangku ketakutan. Alhamdulillah, ketegangan dapat kami kawal. Firman mengarah mereka semua masuk ke kelas.
"Ahmad tegur kenapa menzalimi haiwan. Dia kata jangan aniaya dan mereka berhak hidup. Ada mak ayah dan adik-beradik. Dia lepaskan, mereka yang lain marah. Cengkerik itu mainan mereka, dibuat laga atau lumba lari. Ada juga yang menjualnya kepada orang Khmer untuk digoreng seperti yang Hana nampak hari itu."
Aku mengangguk faham sambil mulutku melopong. Tapi aku harap budak-budak itu faham yang tindakan mereka kencing pada lubang itu, bukanlah tindakan yang baik. Serta cara mereka menangkap cengkerik itu sangatlah sketchy. Kalaulah mereka ini betul-betul menghargai agama, dan bukannya hipokrit.

Alhamdulillah, dah habiskan chapter ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience