Pagi-pagi lagi aku merenung laut di depan mata. Rasa sedih pula nak berpisah. Tak puas berseronok, kemudian terganggu kerana pergaduhan dengan Firman. Akhirnya kami berdamai. Kadang-kadang aku tak faham dengan status hubungan kami. Kalau baik itu macam belangkas, boleh bergurau dan merapu, tapi kalau bergaduh itu macam nak berbunuhan.
Perbualan dengan Fatimah semalam membuatkan aku berazam. Aku akan cuba lebih bersabar dan bertahan dengan Firman. Bila difikirkan kembali, bagus juga aku beralah dan berlembut dengan Firman demi misiku. Aku harus bijak dan bertenang. Perlahan-lahan merancang dan menyusun strategi. Jangan tersilap langkah, nanti musnah segala yang aku rancangkan selama ini. Dan Firman orangnya yang akan aku perlukan untuk membantu misi itu. Dia tak perlu tahu. Lebih selamat dia tak tahu. Bila dia dah tahu pun, semua dah selesai dan dia dah terlambat.
Pandanganku halakan kepada pekerja resort. Awal pagi lagi dah mula membersihkan kawasan pantai, menyapu daun-daun dan mencakar sampah. Segala sampah sarap dikutip dan dikumpul. Ada beberapa pencakar sampah yang tersandar di pokok. Idea sengalku mulalah datang!
Aku menapak ke dalam khemah, mengeluarkan laptop, dengan wayar semua. Aplikasi piano dan gitar aku pasang. Dan tangan membuka buku tulis. Aku menatap bait-bait lirik tersebut. Jari mula menekan papan kekunci, mengeluarkan nada. Kepala aku jenguk, melihat ke bawah. Aku tak ambil pusing. Jari menekan lagi, mengeluarkan irama. Segala perasaan yang terpendam terlepas keluar. Melankolik, pahit dan manis, tawar, kegembiraan, kepahitan, dialunkan dalam satu nada.
Bibir mula menyanyi tanpa sedar. “Hatiku rebah, bangun kembali. Engkau hadir, bawaku pulang… Bersama. Ingin aku peluk bintang, mencium angkasa. Dalam rebahku terusik, mengenangkanmu…”
Aku membuka mata. Tangan mula menconteng buku nota. Hampir siap! Jari menekan papan kekunci lagi. Mengubah suai sekiranya ada nada yang tak kena. “Inginku peluk angkasa, bersama. Mencium bintang. Bawaku pulang… aku terusik, mengenangkanmu…”
Terasa getaran di dalam beg sandang. Aku mengagau beg, mencari sumber getaran. Tanpa melihat nama pemanggil aku menekan butang hijau.
“Sedap…”
Serta-merta aku menjenguk ke arah bukit pasir dan mendongak. Firman memerhati dari bawah.
“Cuma agak kurang macho dan stylo kalau nak dibandingkan dengan saya.”
“Angkat bakul kain sendiri nampak…”
Kami berbalas senyum.
“Jom, naik. Dia lebih sedap didengar jika didengar dari atas.”
Aku mematikan panggilan lalu berjalan dan memanjat sambil membawa telefon. Agak sukar. Firman menyuruh aku menyimpan telefon di dalam beg dan dia menarik aku naik.
"Awak basah?"
"Saya berenang lagi."
"Pagi-pagi lagi dah berenang?"
"Saya suka… Lagipun kejap lagi nak check-out."
Aku mengeluarkan telefon lalu mengambil gambar skrin telefon yang tertulis semua not-not lagu. Firman hanya memerhati.
"Kenapa awak menyanyi?"
Pertanyaan Firman membuatkan aku terdiam. Tak tahu nak jawab apa. Kami sama-sama memandang ke bawah, melihat laptopku. Kabel bersepah di sekitar laptop, dengan tetikusnya dan papan kekunci.
"Kenapa Hana?"
Aku menoleh ke arah Firman yang sedang menatapku. Aku memegang tali beg sandang dengan kemas. Aku membuka mulut cuba bercakap tetapi hanya beberapa gerakan bibir yang terbuka dan tertutup tanpa suara. Mataku larikan dan sesekali terpandang Firman yang asyik memerhati reaksi serba salahku.
“Awak suka menyanyi?”
Aku menelan malu.
“Sa… sa… sa… ya suka bermain alat muzik. Muzik membantu saya meluahkan perasaan yang terpendam di da… da. Satu hari nanti saya berha… rap dapat menulis dan mencipta sebuah lagu.”
“Kenapa awak menyanyi?”
Sudah dua kali Firman membuat aku malu dan tergagap nak menjawab. Yang lidah ini pula kenapa nak kelu, dan kenapa kepala terasa kosong? Cis!
“Sa… Saya seronok bermain air semalam. Lagipun saya tak plan pun nak menyanyi… Tiba-tiba aje, idea spontan… Tak sangka… Bait-bait lirik itu yang datang.Maaf kalau awak tak suka. Kejap lagi saya kemas alatan saya.”
“Hana… Awak berdiri di sebelah sini, membelakangkan wajah saya.”
Aku mengikut arahan Firman. Dia mengambil gambar wajah aku berlatarkan pantai dan ombak. Aku menyuruh Firman berdiri dalam keadaan yang sama dan aku turut mengambil gambarnya. Beberapa kali aku mengambil gambar. Aku melihat satu gambar yang seakan-akan hidup. Firman dan pantai di belakang.
Firman membetulkan rambutnya yang ditiup angin dan berkalih ke arahku. Kemudian pandangan kami jatuh ke atas air yang mula menyentuh pasir. Rasa sayu pula.
“Terima kasih, Hana. Awak sungguh berbakat walau lagu itu hanya sekejap. Saya dendangkan lagu itu di perdu hati saya. Saya takkan lupakan saat-saat melihat seorang gadis begitu tekun dan asyik di bawah sana. Dan saya tak sangka suara itu begitu merdu sekali. Bakat awak begitu luar biasa sekali. Saya berharap awak menjadi seorang komposer lagu yang hebat. Bila awak terkenal nanti, ingatlah saat ini. Kita pernah bersama… dan saya merasa dihargai, telinga saya dapat mendengar nyanyian merdu awak.”
Kami sama-sama duduk dan menatap laut yang terbentang luas. Sesekali kami berbalas pandang dan senyum. Kami membisu dalam seribu bahasa. Ada yang nak dibicarakan tetapi tak tahu apa. Ada yang nak diluahkan tetapi lidah kelu. Ada rasa yang ingin dikongsi tetapi hati tidak pasti. Apa yang pasti aku senang sekali bersama Firman ketika ini.
Hari persekolahan yang sibuk bagiku. Fatimah menghulurkan jadual. Aku menelitinya. Bagus. Setiap hari ada latihan untuk persembahan Tilawah Al-Quran. Tanpa bertanya aku dulu?
Loceng rehat berbunyi. Aku berjalan di celah-celah pelajar lelaki yang semuanya segak dan kemas. Mereka terus menepi dan memberi jalan apabila ternampak aku. Sedikit senyuman tanda terima kasih aku lemparkan tanpa melihat sangat wajah mereka atau tak memandang mereka. Hanya berjalan dengan teratur, wajah serius, kepala ditundukkan, dan mata ke lantai. Pantang aku menoleh atau memandang ke kiri dan ke kanan seperti memerlukan perhatian. Gaya mesti ada kelas, anggun dan tegas. Tak mahu nampak murah. Itu perempuan terdesak atau gedik. Bila berjalan di tengah-tengah lelaki ini memang terasa sangat. Boleh rasa orang cat called, tengok kita dari atas sampai bawah, dan memang nak cepat.
Bilik Firman aku jenguk. Ada beberapa orang lelaki sedang sibuk bekerja. Tak nampak pula Firman. Aku berjalan semula ke kelas, melalui kelompok beberapa pelajar lelaki tadi. Sekali lagi mereka kelam-kabut menepi apabila ternampak aku. Hampir ke tangga, aku bertukar fikiran. Aku berpatah balik ke bilik Firman. Sekali lagi kelompok pelajar lelaki tadi kelam-kabut menepi dan terdengar beberapa gelak kecil. Geli hati kut melihat aku ke hulu ke hilir tanpa henti dalam beberapa saat.
Aku lalu di depan bilik Firman dan aku masuk. Baru aku teringat. Ada sesuatu yang hilang? Aku mengundur setapak ke belakang dan menoleh ke sebelah kanan. Mana contengan di dinding hari itu? Aku keluar dan meneliti, lantas aku tersenyum senget melihat kertas kajang ditampal dengan sellotape bagi menutupnya. Tanganku mula tak berpuas hati, menarik koyak kertas itu dan beberapa pelajar lelaki lain mula tertarik ingin melihat. Hahahahah.
Semasa aku sibuk mencari pen dan kertas untuk menulis mesej di meja Firman, satu suara menegur. Aku mengangkat kepala sekilas kemudian menunduk, mencari… err. Cepat aku mengangkat kepala semula. Hampir tersebut wow tapi aku mengawalnya.
“Kalau tak buat hal memang tak sah.”
Firman melangkah ke arahku sambil mencerlung tajam. Tapi rasanya tak adalah tajam sangat. Terasa ada kemesraan dan kelembutan di matanya. Gelak ketawa riuh kedengaran di luar.
“Puas hati, meeka ketawakan saya?”
Aku hanya memandang tanpa bersuara. Mata tak berkelip memandangnya. Rambut pendek bergunting kemas, berkemeja putih berlengankan panjang dilipat sehingga ke siku. Dia memang kelihatan segak. Nasib tak kus semangat tadi!
“Awak ke mana? Puas saya cari awak.” Aku bertanya tanpa rasa, seperti biasa.
“Ada kat luar tadi.”
Aku mengerutkan kening.
“Kat luar? Tak nampak pun.”
“Macam mana nak nampak kalau berjalan itu tunduk macam penjenayah saja. Laju pula itu, macamlah ada paparazzi.”
Oh! Aku faham.
“Awak ada di luar bersama pelajar-pelajar tadi? Saya tak perasan.”
“Menunjukkan saya ini tak dimakan usia. Baya belasan tahun aje…”
“Oh, please lah…”
Dia selamba tak beriak.
“Cari apa di meja saya?”
Dia terus duduk di kerusinya dan mendongak memandang aku di sebelahnya.
“Nak tulis mesej. Saya tak mahu hadir petang ini untuk latihan.”
Firman mencapai majalah Time di depannya, dan membelek satu persatu setiap helaian.
“Kenapa tak mahu hadir?”
Matanya tak memandang aku, tetap ke majalah. Entah kenapa aku terasa dia dah sedikit berubah. Tak macam Firman yang biasa aku kenal. Sekarang perwatakan dia dah sebiji Inspektor Ebrahim. Serius, formal tetapi tetap bergaya. Kacak itu tak payah cakaplah. Tapi dengan penampilan sekarang dia memang kacak. Tapi… Entah-entah dia pun sedang mengawal macho.
"Saya tak boleh. Saya dah cakap hari itu saya tak tahu apa-apa mengenai kesenian Islam. Tak ada idea. Takkan nak menyanyi dan menari lagu K-pop?"
"Apa salahnya kalau guna K-pop?"
Aku tergelak sinis.
"Logik ke nak guna K-pop untuk majlis agama macam itu?"
"Logik tak logik kita logikkan."
Malas aku nak melayan. Memang takkan menang punya. Yang penting aku dah memberitahu. Aku mula melangkah kaki untuk beredar.
"Miss Hana… That was so rude of you. We haven't finished yet."
Terhenti langkahku di depan muka pintu. Aku menoleh. Matanya tetap menatap majalah Time.
"I think we're done."
"No. We are done after the tilawah ends. And you will be on stage with me."
Mataku terkelip-kelip, mulut membulat dan wajahku berkerut membantah.
"Apa maksud awak saya akan berada di atas pentas? Menjadi pengarah persembahan pun saya tak setuju, awak nak saya buat persembahan? Don't make such a ridiculous statement!"
Firman bangun, membawa majalah Time dan mendekati aku.
"I don't care. You're in. Baca majalah itu."
Firman mencampakkan majalah Time di atas kerusi jati. Dia kembali duduk di kerusinya lalu menulis sesuatu. Aku melihat sekilas, terperanjat. Muka depan adalah wajahku. Sedang bersandar pada motosikal Firman, meneguk air tuak dan memandang jauh ke bendang. Tertera tajuk besar My Golden Heart Precious. Aku membelek lembaran di dalam, mencari muka surat. Ada beberapa keping gambar lagi dan sedikit laporan mengenai misi.
"Next time, I want more coming issues about Cham, anyway thanks. You did a great job."
"Firman, siapa ambil gambar ini? Laporan dan cerita, tentu saja dari saya…"
"Saya yang ambil. Saya hantar kepada keluarga awak. Mereka hantar ke Time… Minta dimuatkan untuk edisi bulan ini. Ada lagi beberapa keping. Itu yang terbaik. Mereka yang pilih."
Hati aku mula berapa tak puas. Aku menghampiri meja Firman.
"Berapa banyak gambar saya awak ambil? Kenapa tak minta izin dulu dengan saya? Saya tak suka…"
Firman bangun dari kerusi, berdiri sambil bercekak pinggang di depanku.
"Ada awak minta izin nak ambil gambar saya?"
Aku terkedu. Firman menurunkan tangannya, semakin mendekat. Rama-rama di dalam perut mula berasa cuak.
"Ada awak minta izin nak melihat saya? Memerhati setiap langkah saya? Memikirkan saya setiap saat?"
Dia semakin mendekat. Matanya memukau aku. Telapak tangan kanan aku tahan kukuh di atas meja menahan gementar di dalam perut gara-gara rerama sedang mengepak galak.
"Firman…" Suaraku keluar seperti berbisik. Dia terus merenungku, menanti dan rama-rama sudah naik ke jantungku.
"Awak jangan dekat sangat dengan saya…"
Firman seperti tersedar, menjauhkan sedikit dirinya. Aku menarik nafas, cuba menghalau rama-rama turun ke perut semula.
"Saya seorang artis…"
"So, kalau seorang artis ada lesen boleh buat apa saja? Membayang, berfikir dan berkhayal mengenai saya setiap saat?"
Aku cuba berlagak tak hairan lalu menjawabnya dengan tenang.
"Itu memang lumrah pemikiran seorang artis. Tapi statement memikirkan apa saja mengenai awak setiap saat… Satu kenyataan yang terlampau perasan."
"Saya yakin awak memikirkan saya setiap saat kalau tak, takkan gambar saya begitu hidup? Seorang artis hanya menggambar apa yang dia suka, wajah kesayangan…"
Telefon aku berbunyi. Lagu Pizza Mozzarella mengiringi setiap kata-kataku kepada Firman.
"Dia wajah kesayangan saya yang saya fikir setiap saat… Memahami saya. Apa dalam fikiran saya adalah hak saya. Hak saya nak fikir, bayang dan khayal. Apa dalam kepala saya ada kelasnya tersendiri. Kelas teratas, sangat istimewa dan kelas biasa, biasa-biasa saja terdiri dari alam, objek dan manusia. Yaqrib kelas teratas… Awak kelas biasa. Kelas objek atau manusia untuk art saya semata-mata. Hana hanya kepunyaan Yaqrib. Hana hanya menikmati keindahan ciptaan Tuhan dan salah seorangnya… Salah satunya… Awak. Dan awak patut rasa diri awak bertuah kerana Hana takkan memandang sesuatu yang biasa-biasa melainkan kalau ada sesuatu yang luar biasa."
Aku menjawab panggilan tunangku sambil berjalan keluar. Tetapi apa yang ditanyakan oleh Yaqrib dan apa yang dijawab oleh aku seperti tidak senada. Ada rasa dalam hati bila ayat terakhir aku luahkan kepada Firman. Rasa berkecil hati. Hairan? Aku berkecil hati dengan diriku sendiri.
Share this novel