"Kelas Cik Hana bermula jam lapan hingga sebelas pagi. Ajar BM, BI, Iqra' dan Pendidikan Seni. Saya dimaklumkan yang Cik Hana sangat berbakat dalam bidang muzik dan tarian. Jumaat, Sabtu dan Ahad cuti." Ustaz Zulkifli menghulurkan jadual.
Aku tersengih malu. Adeh… Tak sangka rumours yang aku pandai menari sampai ke telinga ustaz. Malu! "Saya tak adalah pandai sangat ustaz. Suka-suka aje main. Banyak juga cuti. Berapa orang guru di sini?"
"Tolak kita bertiga, ada empat orang guru sahaja, dengan bilangan anak murid, tua dan muda seramai 200 orang. Tetapi bilangan itu bertambah dan berkurang."
"Macam mana tu?"
"Pekerjaan utama orang di sini ialah nelayan dan petani. Ada yang berhenti sekolah kerana terpaksa ke sungai atau bendang… Membantu mak bapa mereka mencari duit, jaga adik, buat kerja di rumah, tak ada buku, tak ada alat tulis, tak ada baju yang sesuai untuk ke sekolah… Pelbagai seribu alasan… Eh, bukan alasan… Tapi masalahnya… Kemiskinan dan kedaifan…"
Aku mengangguk. Noted.
"Kelas tak ikut umur, campur-campur. Mengajar pun ikut pandai-pandai aje. Oh ya, lupa nak cakap. Ong tuan itu panggilan untuk ustaz dan mai tuan itu panggilan untuk ustazah…"
Aku teringatkan Mai tuan.
"Jadi maksudnya… Mama Firman tu ustazah?"
"Cik Hana tak tahu ke? Mai tuan tu ustazah tersohor di Kemboja ini, sumber rujukan kami."
Kedua-kedua keningku terangkat. Hebat!
"Kelas kadang-kadang dibatalkan. Tapi selalunya dibatalkan." Eh? Pening kepala aku dengar ustaz ni cakap. Bahasa dia, suka hati aje dia cakap.
"Kenapa dibatalkan?"
"Guru-guru di sini tak dibayar gaji, berbeza dengan guru sekolah kebangsaan dan menengah Khmer. Orang kampung bersedekah apa yang ada tapi berapa banyak sangat yang dapat dihulurkan, kalau sama-sama daif. Jadi untuk meneruskan hidup, ong tuan dan mai tuan lena ke sungai atau bendang. Jika ada tenaga, kelas akan digantikan pada waktu petang atau malam."
Aku tak memberi reaksi. Kepala kuangkat dan aku melihat kelas berbumbung separuh ini.
"Macam mana bumbung tu boleh jadi macam tu?"
"Bumbung itu diterbangkan angin tahun lepas. Musim hujan dan ribut. Musim inilah…"
Sampai sekarang tak berganti? Biar betul!
"Berapa kosnya?"
"Taklah mahal… Dalam USD 200," jawab Ustaz Zulkifli sambil tersengih.
Aku tak ambil kira langsung. Hmm… Memang murah. Aku mampu lagi ni.
"Okay, kira semua kos kerosakan. Keperluan sekolah saya akan sponsor. Nanti senaraikan yang perlu. Tolong beritahu saya dekat mana nak beli katil, tilam dengan almari baju untuk anak-anak Wildan. Lagi bagus kalau boleh masukkan kipas dan lampu. Saya akan bantu setakat mana yang mampu."
"Saya akan tanya Firman… Minta izin dari dia dulu. Elektrik tu mustahil. Banyak belanja."
Aku pelik. Aik, "Kenapa?"
"Sekolah, masjid dan kampung ini didirikan oleh keluarga Firman. Arwah nenek moyang dari beratus tahun lampau menurun ke arwah datuk, baba dan abangnya yang mengurus. Sejak kematian abangnya, keadaan jadi tak terurus. Firman mengambil alih dan sedang mengumpul dana untuk membangunkan semula warisan keluarganya, warisan Islam dan dakwah yang menjadi akar umbi keluarga mulia mereka."
Keluarga mulia?
"Apa maksud ustaz?"
"Mereka tak bercerita apa-apa dengan Cik Hana?"
"Kitorang tak rapat lagi sampai tahap tu." Aku tersengih.
"Rupa-rupanya Cik Hana tak tahu. Tapi saya tak pelik. Jarang mereka nak membuka cerita tentang diri mereka. Mereka satu keluarga yang aneh…" Terhenti pula kata-kata Ustaz Zulkifli.
Aku menunggu dengan saspens. Tadi keluarga mulia sekarang keluarga aneh pula? Keluarga Edward Cullen? Minta simpang! Dahlah dalam remang senja semalam aku nampak Firman macam nak makan aku je. Dia pun tak habis-habis nak acah-acah macam ada orang nak ngap aku. Keluarga Firman pula berkulit cerah lain macam dengan Mai tuan dan Fatimah yang mempunyai warna mata yang cantik.
"Banglo untuk saya tu, rumah Firman ke?"
"Banglo untuk Cik Hana sedang dalam kerosakan dan sedang diperbaiki. Buat masa ini, Firman menawarkan rumahnya untuk sementara waktu.
"Siapa translator saya?" Aku mahukan kepastian.
"Fatimah adik Firman itulah orangnya. Firman pula, tentulah Cik Hana dah tahu apa jawatannya. Dia paling banyak merangkap jawatan… Senang cakap… Your P.A. la…"
Wow, Dua beradik tu dapat tender. Fatimah okay lagi, tapi Firman… Kronik!
"Tak ada orang lain dah ke ustaz?"
"Merekalah yang paling sesuai. Dari keluarga yang terhormat, amanah dan sangat baik. Tidak susah bagi Cik Hana nak bergaul dengan mereka. Mereka bukan berketurunan Cham asli."
"Habis tu, keturunan apa?"
Keturunan alien… Lost in space!"
LOL. Lawak hambar. Nak gelak ke tidak? Aku tersengih serba salah sambil memandang Ustaz Zulkifli yang masih sedang ketawa. Ustaz Zulkifli ni boleh dikatakan sebagai ustaz yang moden. Sekali-sekala dia senang berbahasa Inggeris dengan aku dan sangat mesra alam. Bukan ke dia ni dah bertunang? Haih. Aku memandang ke arah wajah yang bersih dan bercukur itu. Tubuhnya kurus sangat. Kalau dia berisi sikit mesti dia tegap. Segak ustaz ni. Tunangnya mesti seorang yang warak juga.
"Seriuslah sikit ustaz…"
"Diorang tak cerita apa-apa ke?"
"Tadi kata alien, sekarang ni panggil orang pula?"
Ustaz Zulkifli tergelak.
"Mereka bukan jenis yang suka membangga diri dengan kekayaan, keturunan atau kedudukan. Mereka sangat merendah diri dan berakhlak mulia."
Berakhlak mulia? Mai tuan dan Fatimah, ya. Tapi Firman, berkahak mulia lagi adalah!
"Firman sekeluarga berketurunan Melayu, Melayu Cham dan Arab Saudi. Semua anak-anak Mai tuan dilahirkan di Malaysia. Haji sengaja memilih keluarga Firman untuk menjaga Cik Hana di sini. Senang, satu negara, satu bangsa dan satu budaya. Mereka fasih berbahasa Arab, Melayu dan Khmer. Firman dan arwah abangnya fasih dalam berbahasa Melayu dan Perancis. Mereka sempat bersekolah di Arab Saudi semasa kecil selama tujuh tahun. Balik ke Malaysia dan menetap di Kuala Lumpur selama 10 tahun, bersekolah dan masuk universiti. Arwah abangnya ambil A-Level, kemudian sambung belajar ke UK ambil law course. Kemudian, arwah pulang ke Kemboja, menguruskan syarikat pelancongan dan masjid ini dengan babanya."
"Banyak juga ustaz tahu pasal mereka."
"Mereka keluarga terkenal. Banyak jasa mereka kepada perkembangan dakwah dan penyebaran Islam di Kemboja. Tunggu, belum cukup banyak lagi… ada lagi saya nak cerita. Baba Firman keturunan Melayu dan Arab Mekah dari Kelantan. Nenek moyang sebelah baba Firman merantau ke Kemboja untuk menyebarkan dakwah Islam. Bertemu jodoh dengan mama Firman yang berketurunan Melayu Cham dan Arab Madinah. Nenek moyang mama Firman dari sebelah Arab Saudi berdagang sambil berdakwah di Kemboja beratus-ratus tahun dahulu. Lebih tepatnya, Firman sekeluarga berkuturunan Melayu Champa yang berasal dari Yunan, China bercampur dengan darah Melayu Kelantan dan Arab Saudi.
Sat! Aku berfikir seketika. Banyak persoalan ni! Pertama, kenapa nak asingkan negeri Kelantan dengan negeri-negeri Melayu lain? No offense, aku pun mix dengan Kelantan juga, tapi bukankah semua negeri di tanah Melayu sama je? Lagi satu? Mana satu yang Arab ori ni? Mama dia ke arwah baba dia? Ah! Persetankan semua tu. Aku tak kisah pasal nasab Firman. Aku cuma nak dia berhenti dari menjadi pengawal peribadi aku! Aku dapat rasakan kami berdua tiada tarikan kimia, fizik, apatah lagi tarikan biologi. Lagipun nama aje pengawal peribadi, tapi cara dia bercakap dengan aku tu mengalahkan suami! 24 jam kami bersama dah bermacam keluar dari mulutnya. Lama-lama bernanah telinga aku menadah perkataannya yang hot and spicy itu. Lebih baik aku buat sesuatu untuk kekalkan Matt sebagai pengawal peribadi.
Firman? Aik? Siapa Firman? Tak kenal pun.
"Cik Hana… Bantu kami bungkus dan kira barang-barang derma ini."
"Baik!"
Ustaz Zulkifli memandangku, dua kehairanan kemudian tergelak lagi. Aku mengukir sengih serba-salah lagi. Malu, kantoi berangan!
Kami mengira bilangan al-Quran, Muqaddam, alat tulis, kain pelikat, telekung solat, tudung dan beg sekolah. Sepuluh buah kampung terpilih untuk menerima sumbangan daripada dermawan Malaysia. Umi mengamanahkan aku untuk meninjau masjid dan sekolah yang daif untuk diberi bantuan peribadi. Kemudian, Along berpesan agar aku menghantar laporan dan gambar terperinci. Aku juga harus memastikan bantuan sampai ke tangan mereka yang layak. Tak ada kroni, pilih kasih atau pilih rupa. Biar Rosyam Noor aje yang buat!
Setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, rombongan kami akan bertolak ke kampung tersebut. Pelbagai agenda telah diatur untuk menyambut ketibaan kami. Ustaz Jamali mencadangkan agar misi itu disegerakan. Lagi cepat bantuan sampai, lagi Bagus. Okay, aku ikut saja apa yang dirancang.
Kotak makanan yang berisi Milo, beras, susu, coklat, biskut, tepung dan gula disusun. Sumbangan peribadi aku yang paling istimewa ialah sepuluh kotak besar coklat untuk diagihkan kepada kanak-kanak. Riuh sekejap bilik kami beroperasi. Firman dan Matt entah dari mana munculnya, turut sana membantu. Nasib baik ada tenaga lelaki yang kuat seperti mereka.
Kotak coklat aku cuba angkat keluar dari bilik. Ramai sangat dan aku rasa tak selesa. Bekerja tanpa pendingin hawa apatah lagi kipas membuatkan peluh merembes keluar dua kali ganda dari tubuhku dan bau badan makin kurang menyenangkan berbanding biasa. Rasa t-shirt muslimah yang aku pakai sudah basah di bahagian celah ketiak. Sesekali aku menyingsing lengan baju. Mujurlah aku memakai handsock. Aku bersusah payah cuba untuk mengangkat lima lagi kotak.
Gaya Firman seperti menghalau aku menyebabkan aku ke tepi. Cermin mata hitamnya disangkut di leher T-shirt. Kotak seberat lima puluh kilogram itu diangkat dan diletakkannya di kaki lima. Angin sejuk di luar amat menyamankan. Aku menghembus nafas lega. Fatimah disuruh oleh Firman agar mengambil bungkusan plastik untuk diisi coklat.
"Berapa kotak nak diangkat keluar?"
"Cukuplah satu aje. Saya nak beri kepada kanak-kanak di sini. Sembilan kotak lagi di kampung lain pula."
Firman menarik gelang getah dari pergelangan tangan dan mengikat rambutnya ke belakang. Aku memalingkan muka ke sebelah, menyembunyikan senyuman. Geli hati melihat Firman.
"Awak ketawakan saya?" Dahsyat dia ni, aku tutup muka pun dia perasan.
Aku tidak menjawab.
"Lain kali bagi duit dan pakaian. Mereka lebih memerlukannya berbanding coklat…" Pelekat di kotak ditorehnya dengan pisau lipat.
Coklat Cadbury dengan pelbagai perisa menarik minat beberapa kanak-kanak yang terintai-intai dari jarak lima kaki. Aku menggamit tetapi mereka enggan bergerak. Hanya tersipu-sipu, sedangkan dari anak mata mereka aku tahu yang mereka mahu. Malu tapi mahulah ni kiranya. Aku mengeluh perlahan. Firman memanggil mereka. Baru mereka berani datang. Aku membahagikan coklat itu sama rata. Sekotak coklat manalah cukup untuk semua. Jadi aku mengajar mereka untuk mengepak coklat itu supaya dapat dibahagi dengan yang lain. Aku menoleh memandang Firman.
"Lihat tak senyuman mereka? Kegirangan dalam anak mata mereka? Saya tahu coklat bukanlah keperluan mereka. Tetapi jika diberi wang, belum tentu ibu bapa tersebut akan membeli sesuatu yang sesuai untuk jiwa kanak-kanak. Kalau diberi pakaian, boleh jadi mereka tidak pekenan. Coklat adalah hadiah terbaik untuk pembinaan jiwa dan minda seorang kanak-kanak. Kemiskinan dan kedaifan tak menafikan hak mereka untuk bersuka ria, menikmati alam kanak-kanak dengan cara tersendiri… Bermain… Berkawan… Dan sekurang-kurangnya menikmati sekeping coklat kesukaan semua kanak-kanak. Walau sekali seumur hidup, Insha Allah tindakan ini akan mendorong mereka untuk menggembirakan orang lain."
Firman berhenti mengambil coklat dan memandang tepat ke arah wajahku.
"Setiap kali saya terkena bipolar attack, saya akan membeli sekurang-kurangnya sekeping coklat untuk membantu saya. Perasaan ketika itu, tak tergambar dan masih saya ingat walau dah berpuluh-puluh keping coklat saya makan. Hanya yang mengalami akan memahaminya, dan saya mahu mereka merasakan perasaan yang sama. Berkongsi rasa yang sama dengan saya walau sesiapa pun mereka, sedaif dan semiskin manapun mereka. Jangan pernah menafikan hak mereka sebagai kanak-kanak. Disayangi dan dilindungi…"
Fatimah yang sudah lama tercegat di depan tidak aku hiraukan.
"Saya ada baca sedikit mengenai Kemboja, pak cik Google yang beritahu. Peperangan yang kejam itu telah banyak merenggut banyak zaman kanak-kanak yang tak berdosa ini. Untuk saya mengembalikan keindahan zaman kanak-kanak itu mustahil tetapi saya boleh memberi sedikit kegembiraan yang hilang itu dengan cara saya. Coklat dan tak lama lagi saya akan membawa mereka menerokai keindahan yang mengasyikkan, kasih sayang yang akan ditumpahkan ke dalam sebuah lagu… Irama…"
Suasana hening seketika. Mata kami saling menatap walau di mata aku bukanlah wajah Firman. Imej seorang lelaki bengis menampar seorang budak perempuan menyambar bagaikan petir. Sekali dengan wajahku turut merasa perit tamparan itu. Aku memegang pipi di luar sedar.
Bunyi derap kasut mengalihkan perhatian kami. Ustaz Jamali merenung tajam dengan langkahnya yang agak kelam-kabut.
"Maaf, saya terlambat. Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu, Firman?"
"Di dalam banyak lagi… Ustaz masuklah," balas Firman sambil menyambut huluran salam Ustaz Jamali.
Semakin ramai pula kanak-kanak yang mula berani memunculkan diri. Tak menang tangan aku menghulurkan coklat kepada mereka. Tanganku direbut, disalam, dan dicium. Aku mula rasa tak selesa. Autistik attack pula ke? Aku jadi tak keruan!
Firman menoleh. "Kenapa?"
"Boleh awak mereka minta beratur? Dan nak minta tolong ganti saya…"
"Awak tak senang dengan mereka?"
Aduh dia ni! Ke situ pula yang difikirkan! Aku terdiam. Di antara hati yang tak senang dan otak yang tak senang kerana autisme spectrum disorder.
"Saya rasa… Tak selesa dicium tangan macam ni. Saya rasa seperti dimuliakan, sedangkan saya sebenarnya tak layak…"
Aku melarikan pandangan daripada Firman. Aduh! Time-time macam ni la autisme nak masuk campur! Tapi memang betul pun apa yang aku rasa. Cuma orang normal boleh je ignore faktor tu dan fikir benda lain. Tapi orang autistik macam aku ni memang tak selesa duduk dalam kerumun. Rasa macam nak throw tantrum aje!
Dalam hati aku menahan sayu. Aku tak layak! Aku seorang pendosa! Banyak dosa.
"Tak apalah. Kakak mungkin penat. Ai angah sajalah yang bagi."
Aku memberi senyuman terima kasih kepada Fatimah. Alhamdulillah, ada orang faham!
Share this novel