Hujan bersama tiupan angin menyambut ketibaan hari pertama aku mengajar. Sarapan pagi, bubur nasi dengan lobak asin. Sekali lagi, aku hanya makan bubur nasi, sebab itu saja yang aku biasa makan. Aku makan sebab lapar saja. Lama-lama di sini, bosanlah selera aku! Aku perlu mencari kedai makan, segera! Aku nak rasa benda lain juga!
"Awak! Hujan ni!"
Aku melaung pada Firman yang sedang duduk berdiang di unggun api, di bawah rumah usang. Fatimah berdiri di sebelahku membatu.
"Saudara! Hujan ni!"
"Kakak... Ai angah tak dengar tu."
Alasan! Kenapa Matt menoleh dan mencuit Firman kalau benar-benar tak dengar? Suka sangat dia buat perangai acuh tak acuh! Aku berlari anak ke arah mereka diikuti Fatimah.
"Awak! Hujan!"
"Saya Firman la..."
Loyar buruk pula.
"Hujan... Hujanlah..." Aku hulurkan tangan dan menadah air hujan kemudian aku renjis ke mukanya. Firman tersentak dan berdiri.
"Kalau hujan nak suruh saya buat apa? Nak tahan hujan? Nak alihkan hujan?"
"Awak ni kan, memanglah. Mana payung? Kereta hari tu dekat mana? Hantar kami ke madrasah. Habis Asus saya nanti."
Matanya melihat beg galas yang tersandang di belakang aku. Aku berharap sangat agar dia memahami. Hai la... Dia duduk sambil memanaskan badannya semula. Geram betullah dengan dia ni!
"Pergi ajelah dengan Fatimah. Apa nak takut? Hujan air je, bukannya mati pun kena air. Orang dekat sini selamba je ke hulu ke hilir dalam hujan, tak ada siapa pun yang mati."
Dia ni! Aku menoleh ke kiri dan ke kanan kemudian ternampak tempayan di tangga dapur rumah Mai Tuan. Aku berpatah balik lalu mencedok air dengan gayung, menuju semula ke arah Firman. Mereka yang lain memerhati aku kehairanan. Laju saja aku menyimbah air ke muka Firman. Dia segera bingkas bangun dan merenung marah.
"Apa nak takut? Air kan? Mati tak? Dah mati ke belum?" Mata aku terjojol kerana menahan geram. Gayung aku hempas ke tanah. Tapi laju pula dia mengelak dari terkena gayung!
Puas hati aku bila melihat muka Firman bertukar merah, sama ada kesejukan atau kemarahan. Memang aku gagal dalam bab membaca air muka orang! Lagipun peduli apa aku! Awal-awal bukan main lagi janji menanam tebu di bibir. Nak jaga aku konon!
Fatimah berjalan dengan serba salah mengikut langkah lajuku. Mesti dia tak tahu nak sokong siapa, aku atau abangnya? Aku memeluk kemas beg galas, berjalan terbongkok-bongkok dan selaju yang boleh. Janganlah ia basah sebelum aku sempat nak mengecasnya di masjid.
Tiba-tiba kepalaku terasa dipayungi. Aku mendongak. Pelepah pisang?
"Tak ada payung ke?" Aku senyum sumbing, tiba-tiba aje rasa cuak dengan fiil Firman yang terus berubah baik ni.
"Inilah payungnya, mesra alam... Sejuk mata memandang, hijau," balas Firman selamba.
"Tak perlu payungkan saya. Semua orang tengok. Macam jiwang je." Aku berhati-hati menerima kebaikannya yang pelik ni.
"Orang ada mata, biarkan saja."
Fatimah tergelak kecil sambil tangannya turut memayung dirinya dengan daun pisang yang dihulurkan oleh Firman. Matt berjalan di belakang kami selamba saja. Beria Firman memayungkan aku, sedangkan dia sendiri pun basah. Basah kerana aku menyimbahnya sebentar tadi. Aku rasa dia sengaja memain-mainkan aku tadi. Agaknya kalau sehari tak kenakan dia, mahu nazak dia. Aku ni talian hayat dia kut. Sekali dia dapat bergaduh dengan aku, nyawanya bertambah panjang. Sadis betul! Tak suka betul dengan orang macam ni! Kalau tengah bercinta, logikla juga. Masalahnya, aku dan dia ni strangers!
Sampai di depan madrasah, aku menurunkan purdah, dan mengelap mukaku dengan tapak tangan. Apalah sangat yang diharapkan dari payung pelepah pisang Firman yang acah-acah romantik tu? Aku dan Asus basah juga! Diiringi oleh Fatimah, aku diperkenalkan kepada murid-muridku. Keadaan yang sejuk dan basah menyebabkan suasana sunyi dan kaku. Lantai tanah sudah mula becak. Titisan hujan menembusi atap genting yang bocor di sana dan di sini. Muka-muka yang penuh harapan aku perhatikan. Bercampur kecil dan besar. Dari umur tujuh tahun hingga ke lima belas tahun. Ada dalam lima belas orang yang berusia enam belas tahun sehingga dua puluh lima tahun. Bersesak dan duduk berhimpit-himpit. Lima puluh kesemuanya. Dan beberapa orang tua yang berumur empat puluh, lima puluh dan enam puluh ke atas.
Fatimah memperkenalkan aku kepada mereka. Rupa-rupanya lima belas orang yang lebih dewasa itu merupakan anak murid Fatimah. Dia juga salah seorang guru di sini, mengajar al-Qur'an, tajwid dan bahasa Arab. Murid yang berpangkat mak dan nenek itu rupa-rupanya hanya pemerhati. Mereka sangat teringin melihat aku dari dekat. Kalau aku izinkan, mereka juga ingin belajar bersamaku. Aduh! Aku menggenggam tangan yang berpeluh sejuk. Aku mengambil semangat dan menenangkan diri dalam suasana yang tidak terjangka ini. Macam mana nak mengajar orang yang lebih dewasa daripada aku? Macam mana nak mendidik kanak-kanak?
"Belasah aje, kakak. Mula-mula aje mereka ghairah nak belajar. Lama-lama mereka bosanlah. Siapa nak jaga anak dan buat kerja rumah kalau mak nenek semua dekat sini..." bisik Fatimah.
Okay, belasah aja. Kelas bermula!
"Kakak boleh bercakap Melayu dengan mereka. Ada juga faham tetapi tidaklah tinggi sangat yang mereka faham. Kami menggunakan bahasa Melayu campur bahasa Cham dengan Khmer. Kitab dan buku rujukan semuanya dalam bahasa Melayu. Antara syarat menjadi guru di sini harus mahir dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu, lulus ujian bertulis dan membaca jawi."
Tiba-tiba aje aku merasa diraikan sebagai orang Melayu. Bahasa Melayu menjadi syarat utama untuk menjadi guru di sini, dijadikan bahasa pengantar dan rujukan. Satu kelebihan besar bagi mereka yang boleh dan bertutur dalam bahasa Melayu di sebuah negara asing. Tak ke istimewa itu? Kalau macam ni, betullah kata Hang Tuah, tak akan Melayu hilang di dunia.
Selesai membahagikan sama rata buku tulis dan alat tulis, pelajaran pertama kami pada hari ini ialah membaca ABC. Rasa lawak pula seperti mengajar di tadika. Seperti mengajar orang dewasa pun ada, macam dalam cerita Pendekar Bujang Lapok.
"Kakak, mereka nak panggil apa kakak ya? Cikgu boleh?"
"Cikgu?" Aku bertanya semula.
Fatimah memberitahu kelas, mereka mengulang sebutan cikgu itu. Kuat-kuat dan berirama. Tapi yang aku dengar... Cikku! Cikku! Cikku!
"Nanti... Nanti... Fatimah, tak perlu panggil cikgu... Kakak bukan cikgu. Panggil saja..."
Sebenarnya aku rasa janggal sangat dipanggil cikgu. Ditambah pula dengan pelat mereka. Kalau tersalah panggil memang boleh jadi ciku! Memang tak boleh!
"Mai tuan?" usul Fatimah.
"Apa maksud Mai tuan?"
"Mai itu nenek, tuan itu tuanlah. Orang yang mahir dalam ilmu, ringkasnya makna mai tuan itu seperti ustazah."
Apa? Nenek?! Apa makna ringkasnya, aku tak peduli. Maksudnya nenek itu berderau darah aku!
"Panggil Cik aje..." Aku sarankan panggilan yang selalu dipanggil oleh masyarakat kepadaku. Lebih selesa.
"Cik aje?"
"Ya. Cik aje."
Fatimah memberitahu kelas. Panggilan Cik aje! Cik aje! Cik aje! Bergema!
Ya Allah! Rasa macam nak hantuk kepala ke dinding.
"Bukan Cik aje! Cik! Cik! Saja... Cik... Tak ada aje."
"Panggil Cik J la senang!"
Aku mengetap bibir. Tapak kaki itu. Firman menyandar senget ke pintu kelas dengan kedua-dua belah tangannya di dalam poket. Aku memandangnya sekilas.
"Apa maksud Cik J?" Cepat-cepat aku bertanya sebelum Fatimah membuka mulut mengumumkannya.
"Cik Joyah! Or Cik Jongang!"
Serta-merta kapur yang aku pegang terbelah dua.
"Fatimah beritahu mereka, panggil kakak Cik! Okay?"
Aku menjarakkan sebutan okay, takut jadi cik okay pula! Barulah betul sebutan satu kelas! Lega! Derapan tapak kaki Firman berlalu pergi. Mataku mengerling ke arah pintu kelas yang kosong. Keypochi je!
Selesai kelas, semua bangun dan berebut nak bersalaman denganku. Fatimah menterjemahkan mana yang sempat dalam suasana hiruk-pikuk.
"Kakak, mereka kata kakak cantik sangat."
"Kakak, mereka kata tangan kakak comel..."
"Kakak, mereka kata dahi kakak licin... macam cermin.
Dahi licin? Biar betul penterjemah aku ni!
"Kakak, mereka kata mata kakak cantik dan warnanya macam biji buah mata kucing."
Biji buah mata kucing? Masha Allah!
"Nampaknya hujan tak berhenti. Kalau macam ni, mungkin banjir."
Wajah resah Fatimah aku perhatikan.
"Selalu ke banjir?"
"Bukan kampung kita, tapi kampung lain tapi kalau banjir, selalunya terputus jalan. Tak boleh pergi mana… Tiga hari atau lebih. Kadang-kadang seminggu. Yang seksanya, terputus bekalan makanan, kehabisan beras, silap-silap ada yang mati kebuluran. Sebelum kakak datang, dah banjir dan ribut." Sedih nada suara Fatimah.
"Tak ada agensi yang bantu ke?" Soalku pelik.
"Mana nak bantunya. Rakyat ramai yang miskin. Kami di pedalaman… Bantuan nak sampai tu lambat. Orang kata kalau orang sakit nazak, meninggal dulu baru tok kadi sampai."
"Aik? Tok kadi?"
"Eh silap! Doktorlah! Hehehe…"
Aku ketawa kecil. Tapi aku macam terbau nasi minyak aje! Kemudian gelak tawa kedengaran bertambah kuat pula. Aku agak kehairanan sambil melihat manusia lain yang berteduh bersama kami. Apa yang mereka ketawakan?
Oh… Dua pasang kaki yang berjalan menjawab kehairananku.
Firman dan Matt datang dengan beberapa helai daun keladi gergasi. Sungguh gentlemen mereka berdua menghulurkan daun keladi itu kepada siapa yang sudi.
"Okay my precious. Shall we?"
Aku memalingkan wajah ke sebelah dalam keadaan yang sangat tidak selesa. Jiwang betullah!
"Fatimah dan Matt dah ke depan. Jom balik."
Firman sudah memayungkan aku dan kami sama-sama meredah hujan. Fatimah dan Matt laju aje dengan daun keladi sehelai seorang. Nasib baik hujan tak lebat sangat. Aku mendongak, memandang Firman yang sedia memegang batang keladi sekilas. Dia selamba aje dalam hujan. Hati-hati sekali nampaknya dia, seperti tidak mahu setitik pun air hujan mengenai aku. Rambutnya yang diikat stail samurai sudah basah lencun. Satu usaha yang sia-sia dan aku langsung tak ambil pusing.
"Mana payung daun pisang tadi?"
"Nama pun payung mesra alam… Terlebih mesralah. Pakai sekali dah bersepai."
Aku ketawa kecil.
Jeda.
"Awak pegang keladi ni tak gatal ke?"
"Gatal keladi apalah sangat. Ada cara nak hilangkan gatal, ada ubatnya. Orang gatal susah nak ubat."
Aku tersenyum senget. Macam perli aku je! Firman hanya tersenyum nipis dan menunduk melihat aku. Dia cepat-cepat mengalihkan pandangannya tatkala mataku memandangnya.
Aku memandang permandangan di sekeliling, kerana terasa janggal. Ya Allah! Cringe! Perasaan yang paling aku tak suka. Awkward. Aku menggigit bibir tanpa sedar. Ketawa kecil tak berbunyi terlepas dari mulut. Ibarat cacing pita berkeliaran keluar dari ususku. Pedih dan perit!
Sampai ke rumah, aku membuka baju dan aku diberi kain basahan. Fatimah melayani aku seperti puteri raja. Aku diiringi masuk ke dapur, dan menuju ke tempat mandi bertabir dengan selimut. Satu tempayan yang penuh diisi dengan air panas suam-suam kuku.
Aku disuruh duduk berlunjur dan Fatimah memandikan aku, menyabun dan menyampu rambutku. Terasa tak selesa dengan layanan istimewa ini, lalu aku bertanya Fatimah.
"Kenapa kakak dimandikan?"
"Ai angah yang suruh… Dia takut kakak demam. Kakak kan tak biasa dengan cuaca di sini. Berhujan dan berembun. Di Kemboja ni, kalau jatuh sakit, susah nak sembuh."
Aku mengangguk faham. Memang lega bila dapat mandi air panas. Selesai menunaikan solat Zohor, semangkuk bubur terhidang di meja makan. Agak pelik buburnya ini. Aku menyudunya dan mencicipnya ke mulut. Rasanya nostalgik.
Fatimah dan Mai Tuan tersenyum senang melihat aku berselera makan. Badan aku yang dah berpeluh tadi mula banjir.
"Bubur apa ni?"
"Ini bubur lambuk stail Cham. Kami panggil Bu Hang, bubur pedas. Ramuannya isi ikan dibakar, ditumbuk kasar bersama lada hitam, sedikit halia, bawang putih dan bawang merah. Masukkan dalam bubur bersama suun dan buah petola. Bila nak dihidangkan, tabur sedikit tauge dan daun bawang. Biasanya kami masak kalau badan terasa tak sedap. Bagus untuk memanaskan badan dan mengeluarkan angin."
Thank you for reading it
Share this novel