Kami menghadiri makan malam. Aku telah berjasa besar. Memotong nasi himpit dengan jayanya. Kami menghadap hidangan dan Firman hanya menjamah sedikit. Alasannya, dia sudah kenyang tapi aku tahu sebabnya. Seleraku turut terbantut walaupun aku merasakan yang aku tiada kaitan dengan perasaan Firman. Fatimah membisikkan perlahan kepadaku, memaklumkan bahawa Firman sangat menggemari nasi himpit dan kuah kacang sebenarnya… Walaupun pada malam ini dia tidak menjamahnya.
Aku membawa beberapa ketul nasi himpit ke luar dan mendapatkan Firman yang sedang duduk di buaian. Air liur yang terasa pahit aku telan. Aku tak faham, dan stress. Kenapa aku kena bawa nasi himpit ni ke Firman? Kenapa aku kena pujuk dia? Bukan urusan aku kalau dia nak berkecil hati! Aku tak faham! Aku melepaskan keluhan lagi. Angin malam begitu sejuk, tetapi dia boleh duduk di luar berseorangan.
"Kalau nak jadi patung, dalam rumah pun boleh," komennya sinis seperti biasa. Aku melepaskan keluhan lagi, sambil memaparkan riak wajah serius yang bersahaja. Aku mendekatinya seraya menghulurkan pinggan, dengan tangan yang lurus, macam pembaris.
"Apa ni? Macam nak terima scroll ja."
Aku ketawa kecil. Dengan senyum sumbing. "Nasi himpit untuk awak."
"Saya dah kenyang."
"Saya nak awak makan."
Firman melemparkan pandangan helang.
"Saya fikir awak hanya tahu memerintah dan mengarah. Memang tak pandai menawan hati orang."
Riak wajahku berubah. "Memang pun. Saya tak ada sebab dan keperluan untuk menawan hati awak. Benda tu tak masuk akal di dalam kepala saya."
Mataku memandangnya sekilas. "Tapi saya nak awak makan sikit. Kalau tak makan nanti masuk angin. Saya tak nak awak jatuh sakit. Dan saya tak nak awak menyesal, hanyalah sebab awak koyak, awak sanggup tak makan makanan kegemaran awak. Awak sendiri cakap, dekat kampung susah nak dapat. Jadi makanlah, nanti menyesal. Lagipun awak tak perlu susah hati, ini bukan masakan saya. Saya hanya potong nasi himpit ini sahaja. Tengok tu, mereka tersenyum dekat awak, meminta awak memakan mereka."
Firman menunduk, melihat. Tak nampak senyumannya tapi itu bukan urusanku. Dia mengambil pinggan dari tanganku, membaca bismillah dan mula menyucuk.
"Saya nak makan hidungnya dulu, boleh?"
"Tak kisah. Bukan urusan saya. Nak makan bahagian mana pun boleh."
"Saya nampak rupa nasi himpit ni macam muka awak."
Aku menjulingkan biji mata. Mula dah… Firman menyucuk nasi himpit bahagian lain dan makan dengan enak.
"Cantik. Nasi himpit dipotong elok, bentuk empat segi. Macam dah biasa potong sebelum ni."
Wow, Firman memuji aku… Aku buat muka toya. Tak berminat dengan pujian dia.
"Terima kasih."
Aku menunggu sehingga dia habis makan, dan kemudian bingkas bangun dengan pinggangnya di tangan. Menuju ke dapur. Diikuti dengan senyum sumbing Firman, yang aku tahu sengaja nak cari pasal dengan aku.
Selesai makan malam di rumah Kak Fatin, Firman membawa kami menyusuri Sungai Mekong dengan bot yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang. Bot yang sangat sederhana, tapi unik keadaannya. Dua tingkat. Tempat duduk untuk pemandunya terbuka dan dia hanya duduk di atas kerusi plastik seperti yang terdapat di gerai makan. Tempat duduk untuk penumpang, disusun kerusi plastik memanjang di sebelah kiri dan kanan. Di tengah tengahnya diletakkan meja makan yang dipenuhi buah-buahan dan air gas. Sesuai untuk mengisi perut tengah malam.
Aku berpaling dan melihat Firman yang sedang duduk berpeluh tubuh dan berdiam diri. Mungkin kepenatan. Fatimah di sebelahnya asyik menikmati makanan, manakala Matt sedang asyik berbual dengan pemandu bot.
Aku naik ke tingkat atas. Tiada sesiapa pun, hanya aku seorang. Alunan zikir Mevlan Kurtishi, sambil ditemani desiran angin dan percikan sungai dan beberapa kerusi malas.
Malam yang gelap tanpa berbintang, walau mata aku galak mencari bintang itu. Cahaya lampu menyinari dari pelbagai bangunan dari daratan dan cahaya lampu bot melimpah. Terkadang, aku terpaksa mengecilkan mata kerana silau. Aku berdiri sendirian menghadap sungai yang terbentang luas. Melihat ombak kecil yang terbelah bahana enjin bot, dan melihat cahaya lampu yang datang dari darat. Suasana yang begitu kontra. Rumah bot usang tanpa cahaya, dan bandar yang melimpah dengan cahaya sehingga silau mataku.
Terasa seperti ada tapak kaki berjalan, lantas aku menoleh. Kami hanya membisu, dan mataku melihat ke arah Firman yang sedang mengambil tempat di kerusi malas jauh di sudut sana. Dia melunjurkan kakinya sambil berpeluk tubuh. Kepalanya menunduk, ingin tidur barangkali. Kepalanya terangkat apabila terdengar nada dering yang kami kenali. Kak long ingin berbual kerana dia sunyi. Aku memberitahunya bahawa aku sibuk dan mujur dia memahami. Aku tidak menipu, aku ingin menggunakan masa yang ada untuk berfikir dan merenung kembali.
Tangan kembali memegang birai bot dan menyandar. Sesekali jantungku hampir meloncat kerana risau aku akan terjatuh ke dalam sungai. Aku melepaskan nafas. Selangkah demi selangkah, misi semakin hampir. Esok kami akan mendaftar keluar dan bermulalah pengembaraan yang sebenarnya, yang aku idam-idamkan. Semoga aku mendapat kekuatan untuk tidak koyak mental sehingga misi itu berjaya. Aku ingin bertahan hingga ke akhirnya. Aku tidak ingin menyesal lagi, seperti dulu.
Earphone disumbat semula ke dalam handbag. Mataku menghadap sungai dan mendengar bunyi kocakan air. Seperti jantungku sekarang. Yang berdegup kencang penuh teruja dengan kesusahan yang akan aku alami, teruja dengan apa yang aku bakal hadapi dan mengalami satu perubahan dan peristiwa yang belum pernah aku lalui. Aku menyembunyikan senyum di belakang purdah.
Kami masuk ke dalam Sovanna Shopping Centre setinggi enam tingkat. Firman menyuruhku membeli-belah di kompleks ini sahaja. Lain-lain pusat membeli-belah, lain tahun saja. Puas hati tak puas hati, dia tak ambil port. Jumpa tak jumpa barang yang aku cari, gasak katanya. Kami perlu pulang segera ke Kampung Cham dan dia tidak suka pengembaraan bermula pada waktu petang, kerana tak mahu tiba pada waktu malam. Kami sampai pada awal pagi, tetapi Sovanna hanya dibuka pada pukul sepuluh pagi, jadi dia hanya memberiku 3 jam untuk membeli-belah.
"3 jam je? Tapi kompleks ni besar. Mana cukup 3 jam nak jelajah kompleks ni."
"Banyak sangat songeh! Dua jam!"
Aku ketawa sambil meramas dahi.
Ketawaku mati apabila Firman mengangkat tangan dan mengembangkan kelima-lima jarinya. Talk to my hand, faham! Aku mencebik, faham sangat dengan taktik intimidasi yang digunakan polis dan tentera.
Mataku bertambah berpinar apabila Firman menunjukkan isyarat jari ke pergelangan tangannya. Masa berjalan! Ya Allah… Acahnya dia! Bukannya pakai jam pun! Aku meminta Matt mengikut aku dan mulut laju bertanyakan di mana kedai telefon bimbit, kedai jam, butik lelaki dan tempat membeli barang masakan. Fatimah pun ikut kelam-kabut denganku. Hanya Firman yang berjalan selamba di belakang.
Pertama kali, aku merasakan seperti rancangan realiti TV Korea di mana selebriti harus shopping mengikut masa tertentu. Pilih barang huru-hara. Barang yang aku nak ambil pun kadang tak jadi. Yalah, dah masa berjalan! Ingat aku ni menteri ke jenis ambil, lepas tu sweep Credit card? Aku pakai duit aku tau!
Alhamdulillah, aku tak bankrap lagi. Aku juga telah membeli bahan memasak, dan air fryer serta microwave. Memang puas hati betul. Harga pun jauh lagi murah bahana matawang. Terakhir… Mataku melilau di bahagian kedai kecantikan.
"35 minit lagi." Firman mengumumkan.
Aku mencebik sambil melangkah masuk ke drugstore.
"Dekat sini ada pembersih kewanitaan tak?"
Firman merenung aku, kaget.
"You want to be intimate with me?"
Rasa macam nak tepuk dahi dan lari masuk dalam tong sampah.
Aku menarik Fatimah masuk sambil membisikkan kepadanya apa yang aku mahukan. Kepada Matt, aku menyuruhnya tunggu bersama Firman. Rambang mataku melihat barang kosmetik yang dijual. Aku menahan pedih, setengah jam lagi! Tak sempat menengok brand apa, aku hanya main sambar aje produk yang aku perlukan. Tolonglah, jangan bagi kulit aku jadi bermasalah.
Matt menolong membawa beg berisi bahan makanan. Tercungap-cungap aku berjalan mendapatkan Firman. Matanya hampir terbeliak melihat banyaknya beg yang berada di tangan Matt.
"Tingkat paling atas ada apa?"
"Food court and game." Balas Firman.
"Saya nak tengok."
"Nak buat apa? Makanan semua tak halal. Dan game… takkan tak tahu game apa?"
"Saya nak tengok. Alang-alang dah sampai sini. Bukan senang nak sampai sini."
"Awak dah habis shopping?"
"Kisah pula awak. Tadi bukan main lagi cakap nak bertolak balik awal. Saya beli keperluan je tu tau. Majoritinya makanan dan bahan masakan. Harapkan awak… Tunggu tahun depan lah kita dapat makan yang selesa. Walhal zuhud tu bukannya menolak dunia."
"Okay… 15 minit saja. Tak ada apa yang menarik. Biar Matt bawa barang ke kereta dan tunggu kita. Kesian dia, takkan nak usung barang ke hulu ke hilir."
"Faham… Jom Fatimah, ikut kakak."
Kami bertiga berjalan bersesak naik ke tingkat atas. Memang betul tak ada yang menarik, at least kalau nak dibandingkan dengan Malaysia. Sampai di depan game court, aku hanya mampu beristighfar melihat pemakaian gadis-gadis Khmer. Macam pelacur Cina. Minah Salih pun ada harga diri yang lebih mahal daripada tu.
Ada seorang gadis berselipar putih, berbaju baby doll, kembang bertingkat kelabu putih paras paha dan bertali halus… sejuk macam ni pun boleh pakai macam tu, mesti panas dosa. Dia seronok melayan game ditemani seorang lelaki mat Saleh, boyfriend dia lah tu. Sesekali tangan lelaki itu merayap meraba punggungnya. Tangan gadis itu menolak manja-manja, malu tapi mahu kononnya dan akhirnya membiarkan… Sambil tangannya turut meramas tangan boyfriend kesayangannya penuh mesra.
Satu adegan yang biasa aku lihat, di media fiksyen. Hatiku merasa menyampah melihat perempuan itu, rasa macam nak penampar dia pun ada. Aku memang menyampah melihat perempuan yang menjerit geli dengan topik seks, yang berlagak malu dengan topik seks, hakikatnya dia sendiri suka benda tu. Dia sendiri enjoy, tapi bila ada wanita yang terang-terang mengaku fetishes, dia orang pertama yang menghentam wanita itu. Ya, hipokrit.
Mataku terperasan riak Firman dan Fatimah yang hairan. Fatimah aku faham lagi, tapi takkan Firman tak faham kut? Bukan ke dia dah biasa ke dengan advanced teknologi, dan jenayah seksual di Malaysia? Fatimah menarik tangan Firman. Firman seperti tersedar, cepat berjalan, bersaing dengan aku.
Brooch aku longgar. Aku terhenti sekejap membetulkannya, sebelum tubuh terkaku akibat suara geli-geli di sebelah aku. Aku mengerling. Wanita tadi ada bersama boyfriend mat Salihnya. Satu peristiwa yang menghairankan berlaku apabila biji mata gadis itu terjojol tatkala bertembung dengan Firman dan Fatimah. Keningku terangkat, cantik. Matanya membulat macam watak anime, sekali dengan fesyen rambut itu, macam cosplay pun ada.
Cepat-cepat dia menundukkan wajahnya lalu menarik tangan boyfriendnya sambil menuruni eskalator. Kami yang ingin turun juga hanya menyorot langkahnya dari belakang. Sesekali wajah boyfriendnya tertoleh ke arah kami berkali-kali. Apabila disoal dan wanita itu enggan menjawab, satu tamparan hinggap di wajahnya. Refleks aku berada di dalam posisi bersiap sedia. Aku merasa terancam dan mujurlah Firman cepat melarang tegas.
"Jangan sibuk hal orang."
"Awak kenal dia?"
Firman tidak menjawab, hanya berwajah tegang. Matanya menatap tajam wanita yang dilempang beberapa kali oleh boyfriendnya lalu diheret pergi dengan tangisan di wajah. Dia menjerit nama Firman kut! Aku menoleh ke arah dua beradik itu, mencari jawapan melalui mataku. Hanya mampu melihat Fatimah yang sedang menangis dan wajah Firman yang merah menahan marah.
"Firman… Fatimah…?" Akhirnya aku terpaksa akur. Selagi mereka tidak memberitahu, mata ku yang boleh melihat dalam gelap, melihat dengan begitu cekap, pun tidak akan mampu untuk memahami masalah dan solusi masalah tersebut.
Firman tidak mempedulikan pertanyaanku, dia melangkah laju keluar. Aku yang masih terpinga-pinga hanya mampu memimpin tangan Fatimah keluar. Matt menjadi pemandu dan kereta meluncur keluar menuju ke Kampung Cham. Fatimah terus menangis dan Firman memandang ke luar tingkap sambil menggenggam tangannya erat sepanjang perjalanan. Kepala semakin sakit, dan akhirnya aku memutuskan untuk memasukkan beberapa pil putih ke dalam mulutku. Berharap agar sakit kepala ini hilang.
Kali ini, Firman sengaja menggunakan feri untuk menyeberang ke Kampung Cham. Tidak menggunakan jambatan macam biasa. Dia berdiri di sudut, merenung Sungai Mekong. Side effects ubat mula menghentamku. Firman nampak terganggu dengan peristiwa tadi tapi mataku yang kuyu lebih penting. Sempat aku menghadiahi Matt telefon bimbit dan dompet sebagai ganti rugi tempoh hari. Matt kelihatan gembira, dan aku hanya tersengih dengan mata yang separuh bernyawa.
ya, mmg tak ikut schedule. admin malas nak ambil draft novel Thunder tu dkt almari. so hari ni, post yg ni dulu.
Share this novel