Chapter 43

Adventure Series 1746

Segala misi bantuan telah berjaya disampaikan. Sekarang masa untuk bersuka ria! Tiada lagi episod murung dan air mata. Hari Isnin hari pertama hari persekolahan tetapi… dengan percutian tiga hari dua malam! Yayyy…! 

Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap menunggu bas di perkarangan madrasah. Seramai 30 orang murid saja yang mengikut kami. 10 perempuan dan selebihnya lelaki berumur dari 9 tahun hingga ke 15 tahun. Ahmad mendapat layanan istimewa. Dia sanggup dijaga oleh Amin. Para murid diiringi oleh Firman, Matt, Amin, Yusof, Fatimah dan aku. Firman memutuskan, kami terus ke Sihanoukville dan cuma singgah untuk makan sekejap di Restoran Malaya di Phnom Penh. 

Hari ini bersemangat betul aku, lebih-lebih lagi berpakaian ala-ala lelaki zaman dahulu. Lapisan luar jubah menutup jubah seperti pakaian lepas mandi dan diikat dengan kain. Di dalam, aku mengenakan seluar longgar. Tudung labuh berwarna hijau aku padankan dengan niqab hitam. Semuanya aku design sendiri dengan kemahiran menjahit aku, warna hijau dan kuning. Kasut sukan berkain keras berwarna hijau kepala itik aku padankan dengan stokin hitam. Jubah begini begitu selesa, Hana! Dengan mudah aku boleh mengeluarkan pisau dari celah-celah jubah, puas hati betul aku. 

Sengaja aku tak memakai busana Muslimah, ingin menikmati pengembaraan kononnya. Aku berjalan menuju ke bas sambil menggosok lengan jubah yang kembang di hujung. Jam tangan aku ikat dan aku hampir terjatuh apabila melihat seperti kembar aku berada di depan mata. Cuma lebih tinggi, berbiji halkum, sasa, dan menampakkan rambutnya. Firman! 

Kami bertemu di pintu bas dan aku hampir menjerit kepadanya. 

"Kenapa pakai sama? Pergi balik tukar baju."

Firman tersengih, mengejek. 

"Kenapa pula nak tukar?"

Bibirku berdesir. Satu keaiban yang besar kalau berpakaian sama dengan lelaki ajnabi. Kalau di majlis atau tempat formal lagilah malu. Paling sadis kalau ramai orang perasan. Karang tak pasal-pasal menjadi buah mulut. Yang paling aku bimbangkan, tak pasal-pasal aku dituduh bercinta dengan dia sebab pakai baju sama! Minta simpang! 

"Saya arahkan awak tukar. Saya tak mahu sama dengan awak."

"Contact lens awak rosak ya? Tak tahu nak bezakan diri awak dengan saya?"

"Maksud saya pakaian awak itu. Kenapa awak buat tak faham? Please Firman… Balik, tukar. Saya malu. Nanti orang fikir bukan-bukan."

"Orang Cham di sini tak macam orang Malaysia… Atau orang-orang di New York, Paris dan Milan. Mereka tak terfikir pun nak kritik dan tak tahu apa pun pasal fesyen. Bukan satu dosa pun kalau berpakaian sama melainkan kalau ada yang nak menyerupai lelaki, tidak menutup aurat dengan sempurna…"

Rasa macam kena tikam dengan tombak dari belakang, tapi aku tak faham. Enjin bas dah lama dihidupkan, hanya menunggu kami berdua yang masih bertekak. 

"Nanti kalau orang fikir kita bercinta macam mana?"

"Nak bercinta apanya? Awak punya branded, saya punya cikai. Awak perempuan, saya lelaki. Awak ada, saya tak ada. Banyak sangat cakap, saya cancel percutian ini."

Jawapan yang sangat sadistik, berunsur lucah dan berbaur ugutan membuatkan aku melangkah naik ke atas dengan rasa sebal. Baru aje nak eksyen design pakaian sendiri terus merundum jatuh. Sepanjang perjalanan, semuanya riang dan gembira. Asyik melihat pemandangan luar dan bercerita apa yang mereka nampak. Firman dan yang lain duduk di bahagian depan. Aku dan Fatimah duduk di bahagian belakang sekali. Mood kembali ceria. 

Di dalam bas, Firman memberi taklimat mengenai apa yang boleh dan yang tak boleh. Kemudian dia bersoal jawab dengan anak-anak. Tiba-tiba kedengaran bunyi nada dering Aaron Smith. Tak sempat nak menjawab helo, Firman dah memberi arahan jika aku mendengarnya, hanya menjawab hmmm… Jika ada soalan, Whatsapp saja kepada dia. Pelik! Tapi aku tak ambil pusing. Rupa-rupanya dia terjemah apa yang dia cakap tadi. Pada masa yang sama, dia banyak menekankan yang dia lebih risaukan aku daripada anak-anak. Aku hanya mampu berhmmm tanpa sepatah kata. Selepas itu dia siap memberi amaran kepada aku, kalau aku tak mendengar katanya, dia akan mengambus aku separuh badan ke dalam pasir. Sekali lagi aku berhmmm. Tapi hmmm yang bernada geram. Hampir 10 minit bercakap, dia meminta aku waw alif taa sin alif paa paa. 

Huh? Berkerut wajahku mendengar ayatnya.

WhatsApp! 

Cet! Aku menaip geram dalam telefon. 

You're hot! Stay cool and stylo. Hugs and kisses.

Kemudian aku spam dia dengan emoji lidah terjelir dengan mata terkatup banyak-banyak. Tapi terkantoi dengan Fatimah yang memandang skrin kehairanan. Aku ketawa geli hati. Aku bagi emoji penumbuk banyak kali. Dam! Dam! Dam! Suka cari pasal dengan aku, dahlah baju warna sama! 

Sampai juga kami di Pantai Otres. Firman mengarahkan kami turun dahulu. Segala beg, mereka akan angkut dan dibawa ke bilik penginapan. Honor aku selitkan ke dalam beg sandang. Aku, Fatimah dan anak-anak berdiri terpaku. Masha Allah! Cantiknya laut di sini. Bau air masin, deru angin kencang, bunyi ombak, dan pemandangan yang amat memukau! Kami berdiri sebaris dan saling memegang erat tangan di antara satu sama lain. 

Semua menjerit dan mula berlari ke pantai. Mereka melompat ombak dan merebahkan diri ke dalam air laut. Kemudian ramai-ramai meludah dan menjerit, masin! Aku tertawa geli hati dengan reaksi mereka. Hai lah… kesian lah pula. Hempasan ombak ke pantai yang menghasilkan buih seperti sabun cuba ditangkap oleh anak-anak itu sedaya-upaya. Hatiku sayu. Melihat keterujaan mereka. Kasihan. Mulalah masing-masing bermain air dan saling menyimbah. Ketawa dan menjerit keriangan. Aku sudah menanggalkan lapisan luar jubahku. Firman sudah turun ke laut dan mengawasi keadaan bersama Matt. Kami tidak dibenarkan ke kawasan yang lebih dalam dan hanya boleh bermain di gigi air, memandangkan sekarang ombak kuat dan musim hujan. Aku membaling beg sandang kepada Firman, dia menangkap dan menyarungnya ke bahu.

Setelah puas bermain, kami dibawa ke kawasan resort di tepi pantai bukan ke bilik. Aku agak kehairanan. Tapi kaki terus mengikut langkah Firman. Masha Allah! Aku tak percaya apa yang aku lihat! 

Beberapa khemah besar berwarna coklat cair. Firman membuka zip dan aku terpegun melihat susun atur di dalamnya. Berkarpet penuh warna merah dengan katil bersaiz king berwarna putih. Ditabur kelopak ros merah yang berbentuk dua hati. Wangian ros memenuhi segenap ruang. Macam set berbulan madu saja. 

Cepat saja aku menuju ke katil. Meraba dan mencium wangian kelopak ros yang semerbak. Lembut dan nyaman. Suasana yang aku rindu dengan katil yang empuk dan nyaman. Baru aku teringat, aku masih bersama Firman. Apabila aku menoleh ke belakang, aku melihat dia sedang memerhatikan aku. Dahsyat aku ni! Terlampau teruja sampai terlupa dia berada di sini? Seperti bilik hotel lima bintang, cuma bezanya tiada bilik air. Tiada bilik air??? 

"Firman… Mana bilik airnya?"

"Your wish is my command…" Firman membongkok dan mempelawa aku keluar. Macam gaya Sebastian pun ada. 

Kami sampai ke sebuah khemah yang hanya bersebelahan saja tetapi agak kecil. Zip khemah dibuka dan aku menjerit keriangan. Firman memejamkan mata, menahan bingit suaraku. 

"Firman!!! Tell me! It's real. It's not a dream!"

Aku menjelajah seluruh bilik air yang pelik ini. Jakuzi dan bathtub berlantai marmar berwarna hijau pekat. Dengan suluhan lampu yang sangat cantik dan romantik. Dengan sebesar-besar cermin, sinki dan tabletop. Tidak ada pintu gelongsor kaca tetapi hanya bidai kayu berukir cantik kayu jati motif bunga kemboja yang menutup ruang jakuzi, bathtub dan tandas. 

Bijak sekali orang yang merekanya. Dari luar hanya kelihatan sebuah khemah usang tetapi di dalamnya… Nah! Sebuah bilik air yang mewah seperti di hotel lima bintang tetapi berkonsepkan moden kombinasi tropika. Bau wangi bunga ros lagi dan kelopaknya ditaburkan merata-rata, di dalam bathtub dan jakuzi. 

"Cantik, Firman. Saya suka. Terima kasih, sayang awak lebih."

Aku terus ke sebalik bidai dengan penuh teruja. Aku menanggalkan jam tangan dan meletakkannya di atas sinki. Aku membuka ikatan kain di pinggang, dan mencabut tudung. Pakaian, tudung dan purdah aku sangkut ke bidai. Aku terus masuk ke dalam jakuzi dan bersandar dalam kelegaan. Ya Allah… Nikmatnya dapat mandi dengan air suam yang bersih. 

"Firman… Minta Fatimah bawakan baju dan barangan saya. Dia tahulah…"

Aku memejamkan mata. 

Puas berendam dan membersihkan diri, aku mengambil tuala yang tersangkut lalu berkemban dan menjengukkan kepala. Khemah terzip kemas. Beberapa helai pakaian aku terletak rapi di atas meja yang diapit dengan dua buah kerusi kayu jati bersama cermin mata hitam. Aku mengeringkan rambut dan mengenakan pakaian. Cuma rasa agak pelik sikit, agak kurang sesuai pakaian aku pada kali ini. Tapi tak apalah, hentam sajalah. Bukan nak kemana pun, hanya bersiar-siar di tepi pantai. 

Seluar track lebar berwarna hitam dengan sehelai kain hitam dan t-shirt muslimah berwarna oren, dipadankan dengan set tudung dan purdah emas. Ya Allah, peliknya! Sudahlah seluar ini kembang, nampak gemuk kaki aku! Aku membuka zip dengan penuh cermat. Kelihatan satu suasana yang mengharukan. Anak-anak kecil dan besar sedang menunaikan sembahyang beramai-ramai di atas pantai, lelaki dan perempuan manakala Yusuf sebagai imam. Baru aku teringat, aku pun belum sembahyang lagi. 

Aku masuk ke dalam khemah dan menunaikan sembahyang Jamak Takhir. 

"Assalamualaikum kakak… Jom kita makan."

Aku berpaling sambil melipat sajadah. 

"Fatimah… Beg-beg kakak mana?"

"Ada di sini… Eh, teralih pula!"

Teralih? Bila masa beg itu diangkat masuk ke dalam khemah? 

Fatimah mengangkat beg itu dan membuka zipnya. Hendak disusun pakaian ke dalam almari. 

"Tak apalah, Fatimah. Malam nanti kita susun. Tapi lain kali ingat ya… Warna pakaian kakak. Fatimah harus pilih betul-betul. Kakak dah ajar kan mana yang sesuai, mana yang sepadan."

"Bukan Fatimah… Ai Angah yang ambilkan untuk kakak."

Eh?! 

"Ke… Kenapa pula dia yang ambil?"

"Masa Ai Angah minta ambil baju untuk kakak, Fatimah pun sedang mandi dengan anak-anak di khemah satu lagi. Fatimah beritahu Ai Angah ambil saja dan beri segera kepada kakak. Takut kakak masuk angin dan kesejukan macam hari itu."

Allah! Rasa nak tepuk dahi. Macam mana aku nak tengok muka Firman nanti? Entah apalah yang dia nampak dalam beg aku tadi! 

Satu hidangan yang menyelerakan terbentang di atas meja panjang. Aku hanya memandang laut di belakang dan langsung tak memandang Firman yang mengawasi keadaan. Pelik pula cara makanan dihidangkan kepada kami. Meja yang panjang, dibentangkan plastik di atasnya. Nasi dicedokkan dan diletakkan di atas plastik macam itu saja. Beberapa keping daging bakar sebesar tapak tangan, beberapa ekor ikan goreng garing, jeruk tauge dan akar teratai, serta sambal lada. Itu aje. Tak ada kuah. Tercekik karang! Semua membaca doa makan, kemudian aku perlahan-lahan menyuap nasi dan daging lalu mengunyah dengan penuh bersusah-payah. Tak biasa. 

"Sedap tak kakak? Ini cara makan yang diamalkan oleh arwah baba. Makan berjemaah tapi tak guna dulang. Semua mesti makan habis, tak boleh tinggal walau sebiji nasi." Fatimah yang duduk di hujung sana, seperti biasa membuat pengumuman. 

Banyak ini. Boleh habis ke? Nasi yang banyak ini macam mana aku nak habiskan? Aku belum menelan lagi tetapi mereka semua sudah makan dengan penuh berselera. 

"Ai Angah mari makan dekat meja kami. Banyak ini… Nanti tak habis."

Firman datang dan duduk setentang dengan aku. Tangan aku yang sedang mencubit ikan, aku larikan lalu aku mengambil nasi dan menyuapnya ke dalam mulut. Kepalaku sengaja aku tundukkan, sedari tadi lagi aku cuba mengelaknya. Aku mencubit daging bakar tetapi gagal kerana daging terlalu liat. Nak mencubit ikan pun gagal, garing dan banyak sangat tulang. Kenapa susah sangat ini nak makan? Dekat Malaysia tak ada pun aku nak susah nak makan. Cet! 

Beberapa isi ikan diletakkan di depanku. Aku mengangkat muka. Firman menggigit jarinya. Terkena isi ikan kut semasa mencubit isi ikan untuk aku. Turut serta, seketul jeruk akar teratai dan sedikit sambal lada. Kemudian dia mengoyakkan daging bakar kepada beberapa keping yang kecil lalu diletakkan di depanku juga. 

Aku memberikannya sedikit senyuman terima kasih. Ermm… Sedap daging bakar ini. Mereka yang lain sudah selesai makan. Fatimah mengelat apabila segera bingkas bangun, meninggalkan kami berdua menghabiskan makanan. Firman menguis setiap butir nasi dan mengambil sisa ikan lalu ditompokkan di depan kami. Rasa belas pula melihat caranya. Sangat tertib dan menghargai setiap butir nasi dan makanan. 

"Kalau awak dah kenyang, jangan paksa diri." Firman menegur. 

"Tak apa, saya bantu awak habiskan…"

Firman menolak sedikit nasi ke depanku. Dia meletakkan daging dan isi ikan untukku. Dia hanya meratah sisa-sisa yang tertinggal di tulang dan kepala ikan. Aku berbagi isi ikan dan daging dengannya. 

"Kenapa? Tak suka?"

"Bukan tak suka. Saya makan isi, awak tak ada lauk…"

"Saya nak yang terbaik untuk awak, segala-galanya untuk awak. Lebih daripada isi pun saya sanggup beri kepada awak jika saya mampu. Saya sanggup lakukan apa saja untuk awak, my precious."

Aku memandang Firman dengan kening sebelah kiri yang terangkat. Tanganku sudah terhenti menyuap, manakala dia masih menyuap selamba. Kemudian, dia mengangkat muka dan merenung aku. 

"Itu satu tanggungjawab yang harus saya pikul. Satu amanah."

Aku dah kata! Tanggungjawab overboard! Mengalahkan suami aku! Huargghhh! Sudahlah ayat romantik semacam! Meremang bulu roma aku! Nasib baik nasi tak terkeluar dari mulut. 

"Saya dah kenyang…" Aku bangun dan mencari air basuh tangan. Mataku melilau mencari tandas. Ketika aku berjalan menuju ke khemah, aku terpandang Firman menguis sisa nasi dan laukku lalu disuap dan dihabiskannya. Licin. Satu rasa yang aneh hadir dalam hatiku. 

Aku berjalan sekejap di tepi pantai. Seluar kembang tadi tadah bertukar dengan petticoat. Matt mengekor aku. Rasa hairan pula dengan reaksi Matt sekarang. Dia dah jarang berjalan di sebelahku, tetapi selalu di belakang dan hanya sesekali berbalas senyum kalau aku memandang wajahnya. Dia hanya bercakap bila ditanya. Dah tak macam dulu, lebih mesra. Betul-betul aku rasa diekori oleh assasin, sharpshooter, atau sniper. 

Beberapa penjual tebu mendekati aku. Menarik. Tebu dipotong kepada ruas yang lebih kecil dan dimasukkan ke dalam plastik. Murah saja. Tangan dah mula nak mengeluarkan dompet apabila Aaron Smith menyanyi. 

"Jangan beli tebu itu?"

Refleks aku menoleh. Gila sungguh lelaki ini, macam stalker aku pun ada.

"Tengok sebelah kiri awak…"

Tak payah cakap banyak. Allah… Firman berada di atas jetski… mengekor dan hanya di sepanjang aku sahaja apabila aku berjalan. Cet, nampaknya aku terpaksa meningkatkan ilmu seni mempertahankan diri dengan air. Memang betul apa yang dia cakap, dia memang akan selalu memerhatikan aku. Pendek kata, sexual harassment. 

"Awak… Jangan jatuhkan telefon ke dalam laut. Saya sayang telefon itu."

"No worries. I won't."

Tiba-tiba aje matanya tersenyum ke arahku. Aku memandang ke arah lain. Automatik tangan menyentuh pipi yang terasa hangat. Dia ini dah kenapa! 

"Nak naik tak?"

"Nak…! Yay…!"

"Tunggu saya datang…" 

Aku menganggukkan kepala dengan kedua-dua belah tangan ke udara. Jetski dah sampai dan Matt menolong aku untuk naik. Firman menghulurkan aku jaket keselamatan untuk aku pakai. 

"Firman! Saya tak pandai berenang!" Aku bersuara kaget sambil terkial-kial di atas jetski. 

"Saya akan jaga awak! Pegang kuat-kuat jaket saya! Ready?!"

"Hai…!"

"Okay… Here we go!"

Ya Allah! Aku hampir-hampir menjerit macam pontianak. Malu aku! Gayat betul, dengan lambungan jetski dan hempasan ombaknya. Akhirnya, kami berhenti sekejap di tengah laut, sama-sama memerhati matahari terbenam. Firman menoleh kepadaku. 

"Masha Allah…" ucapnya perlahan. 

"Hmm." Maha Suci Allah yang menciptakan sesuatu tanpa sia-sia. 

Mataku tidak berkelip melihat keindahan matahari yang semakin menyembunyikan dirinya. Jaluran sinarnya begitu indah sekali… Mewah dengan pelbagai warna yang bertukar. Sekejap kuning keemasan, sekejap merah jingga, merah pekat, kelabu… Awan yang pelbagai bentuk… Matahari yang terlindung membiaskan cahayanya, bertebaran dan berjaluran seperti kelopak mata seorang dara yang pemalu. 

"Firman tengok… Matahari itu seolah-olah seperti bidadari dan awan itu seolah-olah kipas yang menutup wajahnya kerana sifat malu, dan jaluran itu seolah-olah dia begitu malu apabila bertembung pandangan mata dengan kita."

Aku menoleh kepada Firman apabila terasa Firman seperti tidak mendengarnya. Pertama kali aku dapat melihat anak matanya dari jarak dekat dan… Aku amat terpegun melihat keindahan mata Firman. Susah untuk aku terima, mata yang cantik ini milik seorang lelaki yang berperangai perasan bagus seperti Firman. Dari dalam matanya aku dapat melihat gadis bertudung dan aku mula terperasan sesuatu… Gadis itu ialah aku! Akulah bayang-bayang dalam matanya! 

Seperti tersentak, Firman mengalihkan pandangan dan berbisik perlahan. Aku turut mengalihkan wajah yang terasa hangat. Rama-rama di dalam perut begitu ghairah, seolah-olah teruja kerana perasaan di dalam hati ini. Sengaja mengusik tuan empunya hati. Tanpa sepatah kata, Firman terus merenung ke arah matahari terbenam, manakala aku terus memandang ke laut yang jernih, melihat jaluran bidadari itu di air masin. 

Alhamdulillah. terima kasih kepada yg sentiasa mengikuti perkembangan Travelog, yg menambah novel ini ke dalam list buku anda, yg rate novel ini dsb. maaf sbb tak upload ikut schedule. penulis lupa nak makan ubat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience