Terasa bahu aku digoncang perlahan. Celik mata aje, langit sudah mula kelabu dan gelap, menandakan tak lama lagi, malam akan menjelma.
"Ai Angah suruh pindah kereta."
Fatimah menarik aku bangun, meloncat turun dari Peugeot. Firman dan Matt sibuk mengangkat beg kami ke dalam boot kereta. Wow, Mercedes 4 Matics. Kereta kegemaran Fatimah, sayup bintang ke langit. Aku menghenyakkan punggung dan menyandar lega. Alhamdulillah! Kereta lembu diambil alih oleh pemandu yang menghantar Mercedes dan Firman meluncur laju ke destinasi.
Mendaftar di Puncak Hotel. Wow! Aku berendam dan mandi puas-puas. Rasa bila bangun dari bath tub itu, hilang semua daki dan bau busuk badan selama ini bahana asyik mandi cowboy. Sambil memerah rambut, aku teringatkan Firman. Kepalaku tergeleng secara spontan dan bibirku mengukir senyum senget. Sikapnya berubah-ubah, perkataan yang keluar daripada mulutnya pun berubah-ubah. Kadang-kadang penuh dengan sindiran tajam, kadang-kadang penuh dengan madah pujangga. Macamlah dia baik sangat, tapi kalau datang otak sengal dia, sakit hati aku! Sama ada perbuatan, pandangan mata atau perkataannya. Bala besarlah mana-mana perempuan yang suka padanya. Kena tahan telinga dan hatilah. Memang sadis!
Masa untuk makan malam! Aku melantak puas-puas makanan Malaysia yang aku rindui. Firman, Matt dan Fatimah pun berselera makan. Aku teringat kepada Mai Tuan lalu aku berbisik kepada Fatimah. "Mai Tuan makan apa malam ini?"
Silap besar bila aku berbisik pada Fatimah. Suara dia seperti membuat pengumuman penting. Dan satu kafe terhenti makan tatkala mendengar pengumuman itu.
"Ada orang temankan mama tidur. Mama tak makan banyak pun sebenarnya, mama suka makan buah kurma dan susu. Cukup dua biji kurma dan segelas susu. Tapi jarang nak dapat sebab kurma susah nak dapat."
Aku mengangguk separuh faham. Adakah menepati soalan? Kira okaylah tu, sekurang-kurangnya hilang sikit kerisauan aku. Firman dan Matt makan dengan selamba macam tak ada apa-apa. Masing-masing masuk ke bilik. Firman dan Matt bilik berasingan. Aku berkongsi bilik, berbaring sambil berbual dengan Fatimah. Tidak berapa lama kemudian, satu dengkuran halus kedengaran.
Okay, line clear. Aku membetulkan beg sandang dan mengikat niqab ke kepala. Setelah selesai bersiap, aku melangkah keluar dengan penuh berhati-hati. Aku tak mahu Firman mendengar pergerakanku dari bilik sebelah. Laju aku membelah malam yang hidup dan meriah di Phom Penh. Aku berjalan kaki untuk mencari satu destinasi. Alamat aku dapatkan daripada Google Maps.
Terasa derapak tapak kaki yang memang aku kenal.
"Miss Hana…"
Refleks aku menoleh. Bala besar! "What are you doing out here? Where is Firman?"
Hah, sudah. Matt seperti sudah mengagak, lantas cepat saja dia menelefon Firman. Aku tak fikir panjang, cepat saja aku berlari.
Dari belakang aku dah boleh nampak Matt mengejar aku sambil menjerit nama Firman. Alamak, dia ni… Laju betul! Lautan manusia aku redahi, mencari satu destinasi.
"Hana?" Suara itu!
Aku berpandangan seketika dengan lelaki bermuka selekeh itu. "Quick. Hide here."
Aku mengikutinya. Kami bersembunyi di belakang gerabak gerai. Rupa-rupanya di belakang gerabak ini, ada juga ruang privasi. Mungkin sebab pasar ini memang tempat peniaga menjual dengan gerabak kut.
"Kenapa awak suka menyusahkan saya? Kenapa? Susah sangat ke mendengar kata? Awak ada di mana malam-malam begini? Kenapa tak beritahu awak nak kemana? Saya boleh temankan awak. Bila saya tanya, jawab! Jangan nak berlagak naif, my precious…"
Kami berpandangan lagi. Hong Keat memandangku sambil tersengih. "He calls you my precious. Is he your lover?" Aku memberinya jelingan maut. Hong Keat mengangkat tangan lalu melangkah keluar dari tempat persembunyian kami dengan penuh natural.
"Saya minta maaf, tapi saya rasa Hana tak suka awak. Dia nak kebebasan. Dia nak kemana saja tanpa awak. Dan dia tak mahu duduk dengan awak."
"Pergi jahannam dengan tak suka dia. Siapa awak nak beritahu saya benda tu? Abang dia dah serahkan dia kepada saya. Kerja saya tak melibatkan perasaan suka dan benci. Yang saya tahu, duit masuk dan tugas saya dilaksanakan. Dia akan diserahkan semula kepada keluarganya apabila misi berakhir."
Mereka berdiam diri seketika. Aku hampir terjerit apabila Firman mengilas tangan Hong Keat dan mengunci kakinya. Hong Keat cuba melepaskan diri, tetapi dia tidak berdaya. Apalah sangat nak dibandingkan dengan tubuh Asia Hong Keat dengan tubuh Arab Firman tu.
Aku teragak-agak ingin keluar. Hong Keat cuma seorang kawan! Dia bukannya pelajar seni mempertahankan diri, dia seorang penjual senjata tajam mempertahankan diri! Aku memegang kepala kuat-kuat, tak tahu nak buat apa. Nafasku turun naik kerana kerisauan yang amat.
"Lepaslah… Sakitlah…" Suara Hong Keat nampak macam dia tak melawak!
"Lepaskan dia. Kalau awak tak nak sakit dengan lebih teruk."
"Awak nak buat apa dekat saya? Family awak bukannya bodoh. Mereka akan tahu hal sebenar juga. Sekarang saya nak gari dan kurung awak berdua. Esok pagi-pagi saya akan hantar awak pulang ke Malaysia dan akan hantar lelaki ni ke pihak yang berkuatkuasa."
Ah… Sudah. Hong Keat meronta dan cuba melepaskan diri. Kakinya berjalan ke belakang mendekat gerabak dan dia menghentakkan kepalanya sekuat hati ke badan Firman. Dia berjaya berada di atas Firman, tetapi belakang sendi lututnya ditolak pantas dan dia meraung kesakitan. Kaki kirinya cuba menstabilkan tubuh. Firman mengilas tangan kanan Hong Keat dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang leher Hong Keat kemas. Dia mengunci pergerakan Hong Keat dengan memeluk kakinya menggunakan kedua-dua belah kaki. Hong Keat cuba menggigit lengan Firman tetapi peha Firman yang begitu kuat membuatkan Hong Keat mengaduh kesakitan. Memang sia-sia sahaja!
"Awak pilih yang mana? Silap pilihan, leher kenalan awak boleh patah atau dia akan pengsan kelemasan, tangan dia patah, atau tempurung lututnya beralih. Baik beri kerjasama." Tajam matanya memberi ugutan dan ancaman.
Hong Keat terbatuk-batuk. Firman melonggarkan sedikit pautannya. Hong Keat berjaya 'melepaskan diri' dengan tergelongsor dari tubuh Firman. Firman pantas memijak kaki Hong Keat, menghalangnya daripada melarikan diri. Dia memberikan hentakan yang keras ke kepala Hong Keat dan aku terasa seperti kepalaku yang dihentak.
Aku memejamkan mata, kemudian membukanya semula selepas beberapa saat. Akhirnya aku berjaya mengumpul kekuatan untuk berlari mendapatkan Hong Keat. Dia dan Firman berpandangan sesama sendiri, sebelum mata sepet Hong Keat terbuka luas seperti mendapat berita besar.
"You're that guy!" Dia menjerit sambil berpaut pada jilbabku.
Suasana hening sekejap.
"Hana, this is the guy. He's a liar. Dia berniat jahat terhadap you. You tak tahu ni. I rasa you tak boleh duduk dengan dia. You kena pecat dia. Family you tahu tak pasal master? Telefon mereka, beritahu perkara sebenar. Dia ni lah polis yang datang masa peristiwa malam tu!" What?
Perlahan-lahan Firman melepaskan Hong Keat. Dia terduduk lemah, lalu aku memberinya air mineral yang aku bawa dari hotel. Aku menepuk-nepuk dada yang terasa sesak. Kami terbatuk-batuk, dengan penderaan mental dan emosi terhadapku, dan penderaan fizikal terhadap Hong Keat. Aku menanyakan keadaan Hong Keat, sambil Firman menelefon Matt, memberitahu kedudukan kami bertiga dengan nada perlahan. Kemudian dia duduk berteleku.
Matt sampai dengan termengah-mengah. Dia kehairanan melihat kami bertiga yang membisu seribu bahasa. Matt duduk di sebelah Firman, bersedia untuk mendengar dan membuat keputusan. Antara dua orang yang telah didera oleh pengawal peribadi dan kenangan silam.
"Saya tak sangka… saya akan bertemu dengan awak, yang melihat kejadian pembunuhan itu. Hebatnya perancangan Allah. Patutlah instinct saya rasa awak sudah mengenali saya. Kata-kata awak… Layanan awak… Macam satu penganiayaan. Tapi apa masalah awak… Saya tak pasti. Tapi sekarang saya sudah faham." Aku langsung tidak memandangnya. Mataku kuyup separuh tertutup.
Firman melepaskan keluhan berat dan tetap menunduk. Tapi suaranya jelas dan tenang.
"Tidak ada kebetulan dalam Islam. Ini adalah takdir. Takdir yang kalau diberi pilihan, saya akan memilih untuk tidak berjumpa dengan Hana Zulaikha binti Hazman lagi…"
Hatiku tersentap. Entah kenapa aku terasa ada lagi kata-kata di hujungnya tetapi dia tidak meneruskan dan aku tidak meminta untuk dia meneruskannya. Aku jadi takut nak mendengarnya. Ayat yang hanya akan membuka pekung kesedihan dan trauma di dalam hati. Firman seperti menahan diri dari mengeluarkan perkataan dahsyat itu dan dia tahu aku seperti tidak mahu menerimanya. Satu pengertian yang halus termetri di antara kami tanpa sedar.
"Kenapa awak tidak memberitahu hal sebenar?"
Barulah mukanya diangkat dan merenung aku tanpa rasa.
"Itu adalah kisah silam dan kita tiada hubungan keakraban pun. Tak perlu saya nak mengungkit dan awak pun tak akan suka kalau saya cerita. Tapi untuk memuaskan hati awak, saya akan kisahkan hal keluarga saya. "Nama saya Firman Ebrahim bin Haji Sulaiman. Nama baba saya Haji Sulaiman bin Haji Yunus. Mama saya bernama Hajah Siti Aminah binti Haji Harun. Adik saya bernama Fatimah Az Zahra. Arwah abang saya bernama Faris Esmail. Arwah baba meninggal lima tahun lepas, arwah abang pula jatuh sakit tiba-tiba menyebabkan saya dipanggil pulang oleh Mama untuk menguruskan syarikat dan madrasah. Saya pulang dengan sangkaan sekejap saja. Tapi rupa-rupanya keadaan tidak semudah yang saya sangkakan. Saya mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun dengan harapan saya berjaya menyelesaikan segala masalah yang timbul. Kematian demi kematian memberi kesan yang bukan sedikit kepada mama. Arwah abang lebih rapat dengan mama berbanding dengan saya. Dia memilih untuk hidup dan berjihad di Kemboja sedangkan saya memilih untuk hidup di Malaysia. Saya cuba menggembirakan hati mama dengan menggunakan nama panggilan kesukaannya… padahal nama Firman itu sangat memalukan saya. Bila saya memberitahu mereka nama saya, reaksi pertama mereka ialah mentertawakan saya."
"Itu kisah di masa kecil… Tapi saya sangat bersyukur dengan nama ini. Ia memberi makna yang mendalam kepada mama saya. Doa dan pengharamannya untuk saya. Firman… Wahyu, mukjizat dan keagungan Allah."
Firman menarik nafas sekejap. Berat sekali dia hendak meneruskan kata-katanya.
"Saya tidak mahu mama menitiskan air mata walau setitik pun kerana saya. Motor dan jaket itu kepunyaan arwah. Saya takkan menjualnya kerana ia kenangan untuk mama. Tetapi yang paling memilukan saya… Setiap kali mama menatap mata saya, dia pasti akan menangis. Dia teringatkan abang. Kami memiliki sepasang mata yang sama. Tak tahan melihat tangisan seorang ibu, saya terpaksa mengubah mata saya supaya dapat mengurangkan duka dalam hatinya. Kemudian awak pun datang. Sebenarnya siapa saya tak penting. Yang saya tahu, saya dikehendaki untuk menjaga seorang gadis dari Malaysia. Hubungan kita terjalin atas dasar profesional. Nothing personal. Tidak melibatkan hati dan perasaan. Bodyguard dan orang yang perlu dijaganya."
Rasa bersalah mula menguasai diri. Aku lah dulu yang suruh dia jual motor dan jaket tu.
"Saya tidak pernah menipu. Saya terus kenal awak ketika kali pertama saya melihat awak walaupun awak berniqab. Awak tidak pernah mengenali saya sedangkan saya sentiasa di samping awak. Selama ini awak tak pernah melihat saya atau berbicara dengan hati awak. Awak jarang melihat saya dengan penuh perhatian, hanya dengan ekor mata sahaja. Awak tidak pernah fikir atau peduli mengenali hati dan perasaan orang lain. Awak hanya fikir diri awak saja. Awak boleh mengenali saya jika awak mahu. Saya tidak pernah berubah. Setakat mana saya boleh merubah diri saya hanya dengan penampilan luar? Cara, gaya dan percakapan saya tetap sama. Saya fikir awak boleh mengenali saya di hari pertama kita bertemu… Rupa-rupanya tidak. Dan itu tidak menjadi satu masalah bagi saya kerana saya tidak ada kena-mengena dengan awak. Saya dikenali di sini sebagai Firman dan itulah nama yang saya perkenalkan kepada semua orang."
Cara dia bercakap seolah-olah aku tidak wujud di depannya. Matanya kaku memandang ke depan.
"Inspektor Ebrahim tidak wujud di sini. Jika awak hendak melaporkan hal sebenar kepada keluarga awak, silakan. Saya sebenarnya tidak ada kepentingan dalam menjaga awak kerana wang bukanlah matlamat utama. Saya hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya oleh haji dan keluarga awak. Awak adalah beban kepada saya kerana menjaga seorang gadis bukan mahram adalah sesuatu yang sangat mencabar… apatah lagi jika dia sukar memberi kerjasama. Keengganan awak menerima saya, satu kesyukuran yang besar di pihak saya. Beban amanah terlepas dan saya tidak akan dipertanggungjawabkan di atas kegagalan saya menjaga awak. Tetapi sebaliknya, awak sendiri yang memilih untuk tidak mahu menerima saya."
Firman bangun dan berkata. "Cik Hana… Izinkan saya mengiringi awak pulang ke hotel. Awak boleh telefon abang awak dan beritahu hal sebenar. Jika sudah diberi kata putus oleh keluarga awak maka kita berdua bebas. Kalau ikut degil awak, saya boleh tinggalkan awak di sini. Rasanya awak akan lebih gembira jika saya berbuat demikian. Tetapi selagi akad penyerahan belum dilakukan semula kepada abang awak, saya tetap bertanggungjawab ke atas setiap inci tubuh awak. Jika berlaku apa-apa di sini sepanjang peninggalan saya, saya akan disoal sama ada oleh keluarga awak dan Allah SWT. Please untuk kali terakhir, tolong dengar kata saya. Kita pulang ke hotel."
Aku berdiri tegak dengan penuh perlahan. Firman dan Matt membantu memapah Hong Keat. Rasa itu… Mula menguasai lagi. Rasa terkurung, ibarat burung di dalam sangkar. Aku berdiri kaku sambil memeluk tubuh sementara Firman, Hong Keat dan Matt sudah mula menghilang. Otakku tidak dapat mencerna kemana mereka pergi. Yang aku tahu, di depan mataku, ada aku, yang hodoh kerana air mata. Dan wajah yang nyata ketakutan.
"Hana, jom."
Aku berjalan lambat-lambat sambil mengikuti Firman dan Matt menuju ke hotel. Aku didudukkan di atas sofa lobi dan tangan mula mendail nombor telefon abang dengan perasaan yang tak dapat ditafsirkan.
"Along…"
"Kenapa, Hana? Any update?"
Aku menahan sesak di dada, kerana risau aku tumbang di sini juga. Firman memandang aku tepat, menanti apa ayat aku seterusnya.
"Ada apa? Bukankah Hana berada di Hotel Puncak bersama Firman as you wish? Hana nak keluar jalan-jalan kan?"
Aku mengemam bibir, memang aku tak beritahu family aku langsung apa aku buat di sini. Gambar pun tak hantar.
Air mata mula mengalir di sebalik niqab hitam. Aku menundukkan wajah. Supaya tiada siapa dapat melihat aku.
"Hana…?"
"Hana nak tinggal di rumah Firman lama lagi… Nak tengok kampung dia lagi dan jalan-jalan di sana…"
Aku mengukir senyum dari hati walau air mata masih mengalir dan bertakung.
Muka Firman berubah, terkejut. Along tertawa kecil.
"Memanglah Hana tinggal dengan family Firman pun. Kan dah janji nak bagi Hana sihat? Along tahu, cara terbaik untuk Hana overcome trauma, stress dan mood disorder adalah dengan tinggal bersama keluarga angkat. Dia ada situ ke? Along nak cakap sekejap dengan dia."
Aku mengesat air mata dengan hujung lengan T-shirt lalu menghulurkan Honor kepada Firman. Kaki kemudian melangkah naik menuju ke dalam bilik. Aku membuka pintu bilik dan mengintai Fatimah yang sedang nyenyak. Aku membersihkan diri dan memegang kelopak mataku. Sakit dan lebam akibat menangis. Memang Firman dera aku cukup-cukup mentally and emotionally. Tak tahulah aku macam mana aku nak sembuh bak kata Along kalau dijaga oleh Firman.
Aku berendam di dalam bath tub, berendam dengan air suam bercampur dengan mandian aroma terapi. Bau lavender dan dan menghiasi bilik mandi. Lega dan enak sekali rasanya. Terdengar loceng pintu di bilik, aku tergesa-tergesa bangun dari bath tub kerana tak mahu Fatimah terjaga. Kain batik aku ikat beserta jubah mandi di badan. Kira cukup syarat lah tu! Tangan mula mencapai tuding instant. Cepat-cepat aku membuka pintu sebelum loceng kedua.
Firman berdiri di muka pintu, menyandar dengan siku kirinya. Tatkala terpandang saja wajahku, tangannya menutup dan mengusap matanya berulang kali kemudian menarik nafas panjang. Dia memandang wajahku kemudian menghulurkan Honor.
"Boleh saya buat satu permintaan tak?" pintanya lemah, tak bersemangat. Huh? Aku memandang dengan kening bertaut.
"Bolehkah awak tutup diri awak bila di depan saya? Depan lelaki lain tak apa, tapi tolonglah tutup di depan saya."
Huh? Tak faham. Apa maksud dia tutup? Ni tak cukup sempurna ke? Aku membetulkan letak tudungku, supaya kemas. Tudung ni pun labuh kut, sampai ke perut. Nak tutup macam mana lagi, ikat stail pocong ke?
"Tak faham…"
Firman sekali lagi mengenyeh matanya sambil mengeluh berat. Triggered pula aku melihat reaksinya. Macam saja nak beritahu yang dia tersiksa memandang aku.
"Tak nak bagi nampak bentuk badan dah, okay? Dan tutup muka awak. Jangan buka purdah awak."
Aku tak menjawab. Rasa terhina sungguh. Bukannya aku minta pun untuk dapat bentuk badan lekuk macam ni. Aku cuba menutup aurat dengan sesempurna yang mungkin, sampai muka aku sendiri. Kenapa, setiap kali tengok aku, nampak daging je ke? Apa, aku ni just big breasts with no personality ke? Nak suruh aku buat apa lagi, buat surgery, buang semua isi? Or tak makan, jadi anorexic? Sakit hati aku.
Aku mengalihkan wajah ke arah lain. "Itu je ke?"
"Ya, itu aje."
"Ok."
Dia terus berjalan menghala ke biliknya dengan mengucapkan salam tanpa berpaling lagi. Aku menutup pintu dan tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Cepat-cepat aku membuka pintu semula. Alah, Firman dah menghilang. Aku mengikat sweater ke punggung, kerana memikirkan apa yang dicakapnya tadi. Aku menekan loceng dan dia membuka pintunya. Firman membuka pintu dan reaksinya seperti tadi, dia mengenyeh-genyeh matanya. Stress pula aku tengok. Dia keluar dari bilik dan berdiri berdepan dengan aku. "Awak nak apa?"
"Saya nak beritahu sesuatu… Awak tak patut…"
Belum habis cakap, Firman pantas menarik aku masuk ke dalam biliknya. Bulat mataku. Kus semangat! Gaya macam nak memeluk aku aje. Aku bersedia dengan segala kemungkinan. Kutlah nak one-shot ke, nak kena struggle ke… Bila Firman masuk ke dalam bilik airnya dan mengeluarkan sehelai tuala kecil, ala-ala tuala lap peluh selepas bersenam. Dia melipat dan mengikatnya di wajah aku. Lega! Ingat dah kena hasutan shaythaan!
"Saya dah kata, tutup diri awak, tetapi awak degil. Awak keluar dari bilik awak berkeadaan macam ni, lelaki-lelaki tadi nyaris melihat wajah awak. Hana… Hana… Apa lagi bahasa yang awak nak saya cakap dengan awak? Kenapa susah sangat nak faham ni?" bisiknya keras.
Aku terkaku. Kemudian barulah dia perasan. Kami saling berpandangan di dalam kelam di dalam biliknya. Cepat-cepat dia menarik aku keluar dan membukakan pintu untuk aku. Pintu tu terkunci! Allah… Tadi tergesa-gesa sangat sampai tak perasan! Rasa nak tepuk dahi.
Puas jugalah aku menekan loceng sampai Fatimah membuka pintu.
"Awalnya ke sungai… Ayam pun tak berkokok lagi…" Dia membebel mamai sampai berjalan ke arah katilnya semula. Teragak-agak aku masuk, kerana malu dengan Fatimah. Sebelum aku menutup pintu, Firman segara menahan. "Apa awak nak cakap tadi?"
Aku ligat berfikir, sambil menggaru kepala yang gatal, mencari apa yang aku nak sampaikan tadi. Lupa habis, macam angin lalu. Oh ya!
"Firman, awak memakai contact lens kerana tidak mahu mama awak bersedih kan? Cara awak tidak membantu sebenarnya. Saya rasa mama awak lebih sedih. Kalau awak tidak mahu mama awak bersedih kerana kenangan abang awak ada di mana-mana, awak harus musnahkan apa saja yang berkenaan dengan abang awak. Awak sanggup musnahkan motor dan jaket abang awak? Mungkin awak sanggup… Tetapi awak sanggup musnahkan masjid dan madrasah? Awak sanggup menghapuskan kenangan dalam hati mai tuan mengenai abang dan arwah baba awak? Awak sanggup padamkan nama abang awak dalam hatinya? Tentu saja awak tidak sanggup kan… Kerana itu sajalah kenangan yang ada untuk dikenang dan boleh memberi senyuman kepada Mai Tuan. Walaupun dia menangis, sekurang-kurangnya dia menangis dalam senyuman kerana kenangan itu dan bukannya menangis dalam kedukaan tanpa kenangan. Jika awak yang meninggal, pasti Mai Tuan akan merasakan benda yang sama. Saya yakin ibu awak sayangkan awak, dan kalau dia kehilangan awak, pedihnya tetap sama. Kenangan awak ada pada abang awak, kenangan abang awak ada pada awak. Menerima kenyataan itu pahit, tetapi lebih baik daripada menafikan kenyataan."
Terakhir, aku memberi pesanan penaja. "Tolong trim elok-elok tau semak samun awak tu. Dan kemaskan rambut awak. Kalau awak nak saya tengok awak selalu. Okay, nite!"
Aku menutup pintu segera dan terus menuju ke bilik air untuk membilas badan. Tahap gatal nak mampus, bahana sabun yang melekit di tubuh tadi. Mandi tak berbilas punya pasal.
Share this novel