Buku yang dibawa oleh Ahmad sudah selamat mendarat di atas meja guru. Semua anak murid buat tak hairan dengan hadiah yang aku tempah khas dari Malaysia untuk mereka. Buat tak hairan ya? Tunggu… Jeng jeng jeng!
Aku mengedarkan buku-buku tersebut dengan bantuan Ahmad ke semua pelajar. Rata-rata pelajar membuat bunyi "woah" apabila buku sudah berada di depan mata. Mana taknya, English Readers buku 1, dengan warna jingga yang menyerlah!
Mula-mula aku ajar mereka supaya menulis nama terlebih dahulu. Macam-macam ragam ada, kalau yang pandai menulis itu baguslah. Ada yang pandai menulis tapi tak reti mengeja, ada yang tak pandai menulis langsung, pegang pen pun tak pernah! Sekotak pen Test Good tajaan aku telah selamat dikendurikan oleh mereka. Nasib baik cukup, itu pun kadang-kadang hilang. Kemudian aku membekalkan masing-masing mengikut kumpulan segulung pembalut lutsinar dan pita pelekat. Aku menunjukkan cara-cara membalut buku kepada mereka. Mujurlah Ahmad ada, dan dia banyak membantu. Kecoh sekejap kelas, maklumlah pertama kali mendapat buku baru. Bahasa Inggeris pula itu. Ada yang sudah berangan nak belajar di Amerika. Mujurlah aku berpurdah, kalau tidak mesti dah kantoi yang aku ketawa.
Aku berjalan memantau sambil menolong apa yang patut. Apabila selesai membalut, masing-masing sibuk membelek buku dengan teruja. Tak cukup lagi kejutan, aku memasang cakera padat ROM dan menghubungkan laptop dengan pembesar suara boleh bergerak. Masing-masing bersorak kagum apabila mendengar suara Jane yang sedang bercakap dari dalam CD. Bismillah, kelas Bahasa Inggeris bermula.
Kelas tamat. Aku mencelah dalam diam bersama kumpulan anak murid yang mula bertebaran menuju ke rumah masing-masing. Langkahku perlahan mengikuti Ahmad dari belakang tanpa dia sedar. Aku mengekor dia keluar dari kampung dan berjalan menuju ke rumahnya mengikut laluan bertanah merah. Ahmad berpaling dan automatik langkahku terhenti. Dia terus berjalan tanpa menghiraukan aku.
Satu tarikan di beg sandang menyebabkan aku hilang fokus dan terpusing ke belakang.
"Awak nak ke mana?!" Firman sudah berada di belakang, termengah-mengah dan merah mukanya.
Aku tak ambil pusing. Malas nak layan. Mataku sudah tertangkap ke arah Ahmad yang sudah mula hilang dari pandangan. Firman menarik tali beg sandangku sekali lagi apabila aku mengatur langkah sekali lagi.
"Hana… Awak ini memang tak reti bahasa ke? Nak kena lagi macam malam itu? Saya dah tak tahu nak buat apa lagi dengan kepala batu awak."
Aku membetulkan tali beg sandang bahana ditarik Firman dengan kuat. Mujurlah beg ini boleh tahan kukuhnya, kalau tak memang dah arwah. Aku hanya berdiri memandang Firman dengan pandangan tanpa perasaan.
"Balik sekarang! Kalau tak…"
Aku tak menjawab. Hanya menanti Firman habis cakap.
"Kalau tak apa? Awak nak buat saya jadi lauk awak lagi ke?" Dengan penuh nada mendatar aku menjawab.
"Jangan cabar. Kalau keadaan memaksa lebih daripada sentuh pun saya boleh buat."
"Heh… Awak nak buat apa?"
"Saya akan gari dan pikul awak pulang."
"Awak ini nampak macam warak sangat, tak sangka awak minat benda kinky." Aku mengukir senyum mengejek.
"Jangan cabar."
"Firman, nak buat benda kinky dengan saya itu malam ini pun boleh. Saya sibuk sekarang. Nak pergi rumah Ahmad."
Aku mula mengatur langkah lebih laju, sambil deria telinga dan telapak kaki aku fokuskan agar aku dapat mengejar Ahmad yang dah menghilang.
"Awak baliklah dulu! Nanti saya menyusul!" jeritku sambil menoleh.
Firman bercekak pinggang, mengangkat kedua-dua belah tangannya kemudian menyepak batu di tepi jalan. Marah sungguh dia. Kedengaran satu jeritan mengaduh dari semak samun di celah bendang, keluar seorang lelaki yang mungkin sedang melabur. Dia menjerit marah kepada Firman, mengangkat sebatang kayu dan mengejar Firman. Aku menoleh lalu tersengih geli hati.
Firman memecut laju ke arahku. Ironi. Firman berlari melepasi aku, manakala sengihku masih belum padam. Firman terhenti dan menjerit kuat ke arahku.
"Larilah monyet! Dia balun awak nanti!"
"Kenapa pula saya? Awak yang tendang sampai kena dia!"
"Tunggulah situ kalau nak kena!"
Aku mengukir senyum lucu sambil mata mengikut lelaki itu yang mula menyasarkan aku. Hati mula rasa tak sedap apabila melihat reaksi amarahnya. Ah sudah… Gajah turun minyak ini!
Aku terus memecut laju mendapatkan Firman. Firman menunggu sambil tersengih. Aku sampai di depan Firman dengan penuh tercungap-cungap.
"Translator! Translator! Mohon translate. Awak yang tendang batu itu! Kenapa pula saya turut dikejar dia?!"
"Tak ada maknanya nak translate. Selamatkan diri dulu!!!"
Cis! Tak guna betul! Dia yang salah, aku pun kena bertanggungjawab pula. Dalam hati aku dah mencebik penuh jangkal. Hari ini saja sudah dapat senaman percuma. Dia memecut lebih laju daripadaku, dan semakin menghampiri Ahmad yang berjalan seperti biasa. Firman pantas mengangkat Ahmad dan mendukungnya sambil berlari bersama. Sudah agak jauh berlari masuk ke dalam laluan kecil, melalui celah-celah pokok kelapa laut, Firman dan aku terhenti kelelahan. Kami termengah-mengah menggapai angin. Aduh! Semput! Tak pernah aku lari selaju ini!
Lelaki itu sudah jauh kami tinggalkan. Firman ketawa meledak sambil aku menjelingnya dengan pandangan yang tak tertafsirkan. Ahmad memandang kami berdua penuh terpinga-pinga.
"Firman… Bagitahu Ahmad… Yang saya nak… Per… Pergi rumah ke… Keluarganya… nak berke… Berkenalan… Hah…! Dengan keluarganya." Ucapku sambil termengah-mengah mencari nafas.
Suasana di kampung Ahmad kelihatan uzur dan dhaif. Rasa tak percaya saja, yang rumah seperti ini masih wujud. Rumah dari jerami keseluruhan dan bumbungnya sangat rendah. Ahmad memberi salam dan menaiki tangga dari kayu nibung. Kedengaran satu suara yang lembut, dan kelihatan tiga kepala sedang menjenguk. Muka persis Ahmad tetapi lebih cerah dan agak comot sedikit. Kesemuanya perempuan, bertudung litup. Berusia dalam lima tahun ke bawah.
Ahmad mempelawa kami naik tetapi Firman enggan. Dia cuma berdiri di luar rumah dan aku hanya mampu duduk di muka pintu. Rasa segan dan menyusahkan pula. Kelihatan keadaan di rumah yang cukup pencahayaan kerana dinding dan bumbung yang jarang-jarang. Ringkas sangat rumahnya, hanya berlantaikan buluh, kelambu besar berwarna kusam digantung dan dilipat di tepi dinding, terus bersambung dengan dapur, itu sahaja. Tak ada bilik dan tak ada pemisah. Cuma ada tabir berwarna biru tua di sekeliling kawasan kelambu. Tempat tidur untuk mak dan ayah Ahmad agaknya, melibatkan dari bantal yang tersusun rapi dengan tikar mengkuang. Kemudian satu lagi kelambu yang kecil untuk seorang diikat dan dilipat juga. Untuk Ahmad mungkin.
Mak Ahmad duduk bersimpuh di tengah ruang rumah, bertudung labuh sampai ke lantai. Dia tidak bergerak dan aku mula rasa tak selesa. Aku nak masuk pun macam tak pasti, sebab aku tak faham bahasa Cham, dan Firman pula enggan masuk.
"Firman, awak tak nak naik?" soalku dalam penuh tak selesa dan janggal.
"Suaminya tak ada, awak sajalah yang masuk…"
Mak Ahmad bercakap sesuatu kepadaku.
"Firman, saya tak faham… Datanglah sini."
Firman menghampiri dan duduk di sekitar tangga rumah saja. Mak Ahmad menunduk sedikit dan berkata lagi.
"Dia tak izinkan saya masuk sebab suaminya tak ada. Dia tanya awak siapa? Pergilah salam dengan dia…"
Aku memandang Firman dengan kening yang terangkat. Jadi aku kena naik ke rumahnya? Aku memandang keluarga Ahmad dengan muka penuh keliru. Kaki teragak-agak memijak tangga. Satu kaki kiri berada di atas satu anak tangga, dan bunyi "kriuk!" mula kedengaran. Refleks aku mengecilkan tubuh dan terhenti kerana berasa cuak.
Firman menarik nafas panjang dan menggeleng kepala.
"Saya pun dah penat bergaduh dengan awak, lebih-lebih lagi di depan tuan rumah macam ini…"
Firman bercakap dan Mak Ahmad tersenyum sedikit kepadaku. Gayanya seperti menyuruh Ahmad menyediakan sesuatu kepada kami berdua. Satu gerakan yang membuatkan aku terpempan. Mak Ahmad dengan susah payah mengesot ke arahku. Ahmad masuk ke dapur dan keluar dengan dua belah gelas di tangan. Adik-adiknya duduk rapat dengan maknya, turut sama berdiri dan bergerak mendekati kami. Sejuk tangannya ketika bersalam denganku. Sekali lagi aku hampir pitam kerana malu yang amat depan perempuan berwajah jernih ini.
"Dia minta maaf kerana lambat salam awak, dan tak suruh anaknya salam awak. Dia mengalami alahan yang teruk kerana hamil dan bahagian bawahnya ngilu kalau bergerak ke sana ke sini."
"Bahagian bawah?" Aku bertanya dengan wajah berkerut.
"Hana… Dia tak ada kaki. Kedua-dua belah kakinya hancur terkena serpihan periuk api ketika dia kecil-kecil dulu. Masa itu dia menggembala lembu dan mencari pucuk putat bersama kakaknya. Kakaknya terkorban. Kerana kemiskinan, dia lambat mendapat rawatan dan jangkitan kuman, kedua-dua belah kakinya telah dipotong sehingga ke bahagian paha..."
Terasa mataku mulai berkaca, aku memejamkan mata dan kaca itu pecah berkecai. Aku mengesat air mata yang jatuh dengan hujung jari. Kenapa aku menangis? Adakah mereka inginkan aku bersedih? Kenapa aku kena bersedih? Bukannya dia seorang sahaja yang hidup tersiksa dari kecil. Kusangka kaca itu berkecai kerana ini kali pertama aku melihat mangsa keganasan dengan mata kepalaku sendiri. Hatiku merasa berbelah-bahagi. Kalau ngilu kenapa mengandung? Aku mengeluh sambil mengurut kening, tak baik kata begitu, Hana. Mungkin kemiskinan haid agaknya.
Ahmad menghulurkan dua buah gelas kepada kami. Kami hanya merenung air di dalam gelas tanpa suara. Airnya berwarna kelabu dan berbau asap api. Adik perempuan Ahmad mengeluarkan dua pinggan nasi. Kami menyambut pinggan nasi yang dihulur. Aku memandang pinggan nasi itu dengan pandangan kosong dan sepiring garam kasar diletakkan di hadapan kami.
"Kalau awak nak makan nasi itu, makanlah. Saya tak sampai hati," Firman berkata perlahan.
"Makan dengan apa?"
"Itulah lauknya… Garam. Sama ada awak tabur ke dalam nasi atau awak gigit garam itu sambil menyuap…"
Pertama kalinya aku merenung wajah Firman tak berkelip, tapi mulutku terbuka sedikit.
"Kenapa tidak berlaukkan gula?" soalku tanpa sedar.
"Mereka tak mampu, gula lebih mahal. Kalau awak nak tau, itulah kebiasaan lauk di sini… ada beras sudah bersyukur… Lauk tak penting. Paling kurang, beras dijimatkan dengan dibuat bubur."
"Firman, saya pun tak sampai hati nak makan. Awak beritahu mak Ahmad, terima kasih saja. Lebih baik nasi itu diberikan kepada anak-anaknya."
Wajah mak Ahmad kelihatan hampa bila Firman bercakap sesuatu dengannya. Kemudian satu senyuman tersungging di bibirnya bila Firman mencubit sedikit nasi dan memakannya. Aku mengukir senyum tawar, tahu Firman hendak mengambil hati dan menghargai pelawaan mereka. Rasa bersalah pula sebab aku tak makan, tapi kenapa pula aku kena rasa bersalah? Firman pun tak sampai hati nak makan, bukan aku sorang saja! Pinggan nasi diserahkan kepada Ahmad dan adik-adiknya. Tengok itu! Tadi aku dah beritahu! Nasi itu beri ke anak-anaknya saja! Firman menyuruh Ahmad dan adik-adiknya makan serta jangan segan dengan kami. Arghhh! Aku menahan geram dalam hati. Setelah emaknya mengangguk, Ahmad mencampurkan nasi ke dalam satu pinggan dan menggaulnya dengan sedikit garam. Disuapkan adik-adiknya sehingga mereka menggelengkan kepala, kekenyangan. Aku melihat sambil menelan air liur, rasa laparlah pula. Aku tak tahu kenapa, melihat adegan menyuap antara abang dan adik-adik itu membuatkan nasi berlaukkan garam kelihatan menyelerakan. Mereka makan dengan riang, tanpa bersungut dan kerut di wajah seolah-olah nasi dan garam itu begitu enak. Terakhir, barulah Ahmad menyuap nasi itu ke mulutnya, menghabiskan sisa-sisa nasi. Aku memandang dengan hati yang hangat, cemburunya aku. Aku pun teringin juga merasakan kasih sayang seperti itu. "Pandangan mataku beralih kepada mak Ahmad semula."
"Firman… saya nampak dia begitu sukar nak mengesot dengan tudung labuhnya itu. Bolehkah awak beritahu dia… cara untuk bertudung lebih selesa… Dia hanya akan berada di rumah, jadi tak apa kalau buat macam ini, dia akan selamat. Tak ada ajnabi akan melihat aurat dia, dan mengapa-apakan dia."
Aku menarik tudung separas bahu. Bahagian bucu tudung di depan aku simpulkan. Simpulan itu membuatkan tudung bidang 60 aku kelihatan singkat dan lengan jubahku terdedah. Kalau aku buat kerja dapur pun, aku akan buat macam ini. Memang cukup syarat.
Firman menterjemahkan lagi dan wanita itu menjawab dengan lancar. Perkataan Firman seterusnya membuat aku tak terkata apa.
"Dia kata hukum menutup aurat itu wajib. Wajib ke atas semua perempuan tua, muda yang telah akil baligh dan wanita yang sempurna akal fikirannya. Bagi dia, hukum tetap hukum. Sama ada dia cantik ataupun tidak, cacat ataupun tidak, dia tetap nak menjalankan perintah Allah. Bukan Allah menyebut dalam al-qur'an, wajib menutup aurat kerana cantik atau hodoh, cacat atau sempurna… tetapi Allah berfirman dengan bermaksud, 'wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Al-Ahzab, ayat 59)"
Terasa seperti aku yang makan nasi berlaukkan garam tadi. Masin dan kasar. Aku mengukir senyum tawar sambil mengeluh berat.
"Dia cakap macam itu kan? Awak tak main-main kan?"
"Kenapa saya harus berbohong dengan ayat Allah? Itulah yang keluar dari mulutnya, awak sendiri yang dengar…"
Ya, aku yakin dia membaca dalil itu. Tapi ironinya ayat itu buat aku rasa nak menangis! Kenapa aku nak menangis? Aku menutup aurat dengan sempurna! Ya, aku digelar kurang upaya tapi aku ingin menutup aurat! Aku ingin menunaikan perintah Allah! Kenapa aku terasa seperti sedang ditoreh dengan kertas pasir? Kerana aku tetap diugut rogol walau aku menutup aurat?! Aku tak faham! Semua ini tak masuk akal! Aku menumbuk-numbuk dada berkali-kali, menahan perasaan.
Keadaan menjadi kekok di hadapan mak Ahmad. Dia kelihatan resah, mungkin kerana suaminya masih belum tiba di rumah. Firman juga sudah turun ke tanah. Aku meminta diri dan menghulurkan beberapa keping wang yang berada di dalam dompet. Sekali lagi keningku terangkat. Mak Ahmad mengucapkan terima kasih kepadaku dan menggelengkan kepala. Aku berasa tak puas hati. Rasa menyesal lah pula datang dengan tangan kosong. Hatiku meronta-ronta ingin memberi macam-macam! Tuala wanita, susu formula dan pelbagai lagi.
"Firman, nanti kita datang lagi ya? Saya tak puas hati, sebab hari ini saya datang dengan tangan kosong. Lagi satu, bolehkah kalau saya ambil anak perempuannya jadi anak murid saya? Saya ada ijazah, saya boleh ajar anak perempuannya. Saya ajar seikhlas hati selama saya berada di sini."
Mak Ahmad menggelengkan kepala dan Firman menerangkannya.
"Dia tak rela berpisah dengan anak-anaknya sendiri. Selagi Allah masih memberi kekuatan dan kemampuan, mereka suami isteri tetap akan membela anak-anak mereka hingga ke akhir hayat. Lagipun, dia nak mendidik anaknya sendiri. Dia ingin jadikan mereka hafiz dan hafizah. Mereka suami isteri hafiz dan hafizah."
Heh… keningku terangkat sebelah kiri. Aku tak tahu nak beri reaksi macam mana. Bagi aku, menghafal al-Quran memang satu perkara yang mengkagumkan. Tapi bagi yang dah lalui perjalanan menghafal al-quran, tak adalah hebat sangat. Yang hebat itu kalau hafiz dan hafizah yang kekal istiqomah dengan hafalan mereka, bukan sekadar menghafal untuk dapat sijil Syahadah. Tapi aku yakin, bagi mereka yang beriman dan tidak berpeluang untuk menghafal Quran, pastilah mereka cemburu dan malu. Cemburu kerana bukan semua mampu menghafal Quran. Malu kerana mereka hidup senang, tak perlu susah hati fikir esok nak makan apa, kerja apa, tapi tak mampu nak fikir cara untuk lebih dekat dengan Tuhan. Apatah lagi kalau mereka dididik dengan latar belakang agama, dan belajar asas agama. Pengakhirannya nanti nak jumpa Tuhan juga. Monologku terhenti apabila mak Ahmad bercakap dengan tenang.
"Dia minta maaf kerana kita tidak menjamah apa-apa di rumahnya walaupun setitik air. Dia faham mungkin kita tak lalu. Dia berharap kita tidak pulang dengan tangan kosong atau perut kosong. Ambillah sesuatu dari rumahnya… paling kurang mengambil wuduk…"
"Firman, awak jangan melebih…"
Firman tak mempedulikan aku yang berasa cuak. Dia melangkah ke arah tempayan di kaki tangga, membuka jaket dan mula mengambil wuduk. Aku memandang Firman dengan perasaan seperti pasembor. Firman boleh berwuduk tanpa masalah kerana dia lelaki, dia tidak berpurdah, berhijab berstokin seperti aku. Apatah lagi di tempat terbuka seperti ini. Takkan nak buka tudung depan Firman kut?!
Mungkin faham aku enggan, mak Ahmad menunjukkan pokok kelapa. Firman memanjat dengan pantas dan menurunkan setandan kelapa muda. Ahmad menghulurkan parang dan aku melopong melihat kemahiran Firman menarah buah kelapa itu. Tak sampai tiga minit, dua biji kelapa tersedia! Firman seperti mengerjakan rambut di kepala dan sekarang kepala itu botak, bersinar-sinar. Dari cara dan kecekapannya bermain dengan parang, aku nampak bukan buah kelapa yang ditarahnya tetapi seperti buah limau bali sahaja lagaknya. Anak buluh kecil di sebelah, dicantas Firman dan dua ruas berukuran sejengkal dipotong Firman menyerong. Selepas itu, kami memberi salam, mengucapkan terima kasih dan melangkah pulang. Aku harap janjiku terhadap diriku tertunai.
Separuh perjalanan, kami berhenti dan duduk di atas pohon kelapa laut yang tumbang, berteduh di bawah pohon yang sama. Firman menyucuk batang buluh itu di bahagian tompok bahagian lembut kelapa. Wow! Straw semula jadi! Jari telunjuknya menekap hujung atas buluh, ditarik keluar dan dihembus kuat. Cara membersihkan dalaman buluh. Informasi menarik! Buah kelapa dihulurkan kepadaku. Kami sama-sama menikmati kesedapan air kelapa segar ditemani sapaan angin yang bertiup lembut.
"Macam mana awak boleh perasan saya?"
"Mata saya tidak pernah lupa memerhati awak. Setiap pergerakan saya awasi. Saya kebetulan keluar ke koridor dan nampak awak sudah jauh. Kalau saya panggil Matt atau Fatimah mungkin awak dah hilang. Laju aje…"
Firman kemudian merenung aku, suaranya bergetar penuh serius.
"Tolonglah Hana, beri kerjasama. Saya hanya manusia biasa. Tak tahu berapa lama saya boleh bersabar dengan awak. Saya tak akan mengangkat tangan kepada perempuan kerana itu sikap lelaki dayus, tetapi jika awak terus mencabar saya… menyerang saya… Saya terpaksa mempertahankan diri. Saya tak faham kenapa awak begitu sukar dikawal dan sukar nak faham? Awak seperti nak memusnahkan diri awak sendiri. Penyerang berani mati. Kamikaze. Bom atom yang akan meletup bila-bila masa. Saya tak nampak orang atau keadaan di sini yang akan menjadi ancaman kepada awak tetapi diri awak sendiri yang membahayakan nyawa awak. Tidakkah awak menghargai diri awak? Nyawa yang dikurniakan oleh Allah kepada awak? Jiwa awak tak suka saya… tak mahu menerima saya… Fikirkan, apa yang saya buat ini hanya untuk menunaikan tanggungjawab. Fikirkan mereka yang menyayangi awak, abah awak… Umi awak… Shahnaaz, keluarga awak, tunang awak… Tolonglah fikir walau sekali pun."
Aku memandang ke depan. Hati terasa seperti sedang disentap, oleh apa? Kata-kata Firman? Persetankan. Kata-kata Firman tak pernah tak menyakitkan. Bibir ketawa kecil memikirkan gelaran yang diberi oleh Firman, kamikaze. Tetapi hati terasa seperti sedang ditarik, dirobek-dirobek dan ditikam apabila memikirkan semua itu.
"Hana…"
Aku memandang Firman yang sedang menunduk melihatku. Rasa tak selesa dipandang sebegitu rupa, aku mengalihkan pandangan ke tempat lain.
"Apa yang saya buat hanya untuk menjaga dan melindungi awak. Saya bukan nak menyusahkan awak."
"Saya tak percayakan awak. Saya tak pernah percayakan awak, saya boleh jaga diri saya sendiri, dan awak sendiri cakap tak ada apa pun yang boleh mengancam keselamatan saya di sini. Ancaman saya ialah awak. Hanya awak." Suaraku dingin, tetapi pedih itu tetap terasa. Aku benci perasaan ini. Benci emosi ini. Benci.
"Saya hanya marah. Kadang-kadang saya pun tak faham dengan diri saya… Saya mudah tersinggung dengan awak. Maafkan saya."
Aku tak beriak. Mujur aku berpurdah, kalau tak buat malu aje kalau dia nampak muka cengeng aku. Jari-jemari menyeka air mata yang sudah bertakung di tebir mata.
"Saya tertipu rupanya. Lagak awak seperti langsung tidak terkesan dengan apa yang telah berlaku di antara kita. Awak begitu serius, licik dan pandai berlakon. Walaupun bibir awak tak pernah mengeluarkan kata-kata kesat dan awak hanyalah seorang yang jujur, terlampau jujur, hati awak juga sama seperti saya. Maafkan saya."
Aku tak bersuara. Hanya ketawa kecil, seperti orang gila. Ketawa itu lama-kelamaan menjadi lebih kuat, sehingga dapat didengari olehnya.
"Hana… Maafkan saya. Saya kesal dengan apa yang saya pernah cakap dekat awak."
Melihat aku terus tidak menghiraukannya, Firman mengambil buah kelapa dari tanganku. Dia menghentakkannya ke batang kelapa laut. Sekali hentak, buah kelapa itu terus terbelah dua. Dengan menggunakan straw buluh tadi, dia mencakar isi kelapa muda itu. Dia berjalan ke arah serumpun mengkuang, mengeluarkan pisau lipat, memotong sedikit, dilipat dan diikat menjadi bentuk sudu dengan ditusuk lidi dari daun kelapa laut muda.
Kami menikmati isi kelapa dengan senyap. Tetapi aku lebih banyak menguis-nguis isinya. Tak lalu, walhal aku tahu kelapa ini sedap dan susah dicari. Sesekali para petani yang berada di bendang mengangkat kepala melihat kami berdua. Sesekali juga, basikal dan motosikal melintas di hadapan kami.
Aku membuka aplikasi kitab Fathul Bari dari dalam smartphone. Niat ingin membaca terbantut dan aku menekan butang homescreen semula.
"Sejak hari itu… Asyik buka sekejap sahaja, kekadang hanya dibiarkan terbuka… dan kemudian keluar."
Rasa malulah pula apabila ditegur. "Bukan urusan awak. Saya tak boleh fokus."
"Maafkan saya, Hana. Saya tak pernah… Susah saya nak gambarkan perasaan saya…"
Firman menukar posisi duduk dan dia mencangkung di hadapanku. Tapak tangannya dirapatkan, menyusun sepuluh jari.
"Saya minta maaf atas segala kata-kata saya tempoh hari. Apa yang saya cakap, saya tarik balik. Apa yang saya ingat, saya hanya ingin menyakitkan awak sesakit-sakitnya. Tetapi rupa-rupanya awak lebih berjaya membuatkan saya sakit dengan tindakan awak… Dan saya juga langsung tak gembira dengan apa yang saya ucapkan pada awak."
Aku tak menjawab. Nafas berat aku hela. Aku tahu, memberi kemaafan itu wajib. Tetapi adakah aku perlu abaikan segala kesedihan, kesakitan yang aku alami? Adakah aku perlu tekan butang on dan off pada hati aku? Adakah hati aku ini ibarat alat kawalan jauh, perlu tekan butang on, untuk abaikan segala kesakitan dan jadi kuat, dan tak beremosi? Kemudian tekan butang off jika aku ingin bersedih? Adakah aku tak layak untuk bersedih untuk tersentap dengan kata-kata manusia? Adakah itu tandanya aku ini lembik?
"Keadaan dan suasana di sini sangat melelahkan saya. Banyak perkara yang saya kena pantau. Kehadiran awak… Sangat bererti… Kepada mereka di sini. Setiap masa dan ketika saya sentiasa risaukan awak, resah dan gelisah. Entah apa lagi yang awak nak buat… saya takut saya gagalkan tanggungjawab."
"Saya ingin tanya… Adakah saya tak layak untuk bersedih? Adakah hati saya ini macam alat kawalan jauh? Bila bersedih, saya tekan butang dan terus jadi macam biasa? Adakah saya tak patut terasa hati dengan kata-kata orang? Adakah itu maksudnya saya ini lembik orangnya?"
Entah kenapa soalan itu mula terkeluar dari bibir. Entah kenapa aku merasakan yang bertanyakan soalan itu adalah satu kesilapan. Tapi aku benar-benar ingin tahu. Malu bertanya itu sesat jalan, kan…?
"Maafkan saya kerana gagal menjaga dan menjadi seseorang yang boleh diharapkan oleh keluarga awak. Kalau awak sudi, saya ingin menjadi kawan awak. Tetapi kawan yang profesional. Bodyguard tetap menjadi keutamaan saya. Kawan bila diperlukan tapi jangan mempergunakan saya sebagai kawan. Saya menawarkan diri hanya untuk menghilangkan rasa sepi dalam hati awak."
"Maksudnya awak ingin saya gunakan awak untuk hilangkan rasa sepi dalam hati saya? Bukan ke awak tak nak saya pergunakan awak ke?"
Berkerut kening Firman berfikir.
"Masa inilah ayat-ayat tangkap lentok tak datang ketika saya memerlukannya." Aku tersengih kerana tak selesa dengan situasi janggal ini.
"Awak ini memang tak reti nak lembutkan hati perempuan. Jangan complain kalau lepas ini awak anggap saya ini hati keras ke apa." Separuh serius aku bersuara. Aku tak berniat nak melawak, sebab aku rasa ayat aku ini terlalu jujur, dan aku tak rasa bersalah langsung. Apa salahnya jujur? Tetapi entah kenapa dada aku sakit, walaupun aku tak faham kenapa.
Aku membuang pandangan jauh ke depan. Aku menarik nafas panjang dan mencuri pandang ke arah Firman. Mata kami bertentang sesaat, sebelum kami berdua serentak mengalih pandangan masing-masing. Aku harap dia tidak salah faham. Aku melarikan pandangan bukan sebab malu dengan jantina Firman, tapi aku memang tak boleh buat eye-contact. Mata aku sangat sensitif, sampai boleh melihat dalam gelap, serta boleh melihat benda yang susah nak dilihat oleh orang yang bukan pesakit autism.
Aku memandang belakang kepala Firman lama.
Dia mengangkat kepala. Mungkin sebab aku tengok dia macam nak telan orang.
"Maafkan saya? Dunia akhirat?" Berulang kali dia meminta maaf.
Aku tersenyum. Rasa luculah pula. Bila tengok Firman minta maaf, apatah lagi selepas aku mengkategorikan dia sebagai ancaman. Ketawa kecil aku terlepas tanpa sedar… Muka Firman berubah.
"Ada sesuatu dalam kepala awak bila muka awak macam ini… nakal dan nak mengena." Cuak pula dia! Ketawa aku bertambah kuat dan makin panjang.
"Saya boleh maafkan awak tapi dengan syarat, awak kena tulis satu sajak meluahkan perasaan awak pada saya."
"Jangan mengarut." Mata Firman terkejut tapi dia tersenyum.
"Kalau macam itu impian kita untuk berlaku gencatan senjata hanya boleh ditanam bawah tanah lah… Sayang."
"Saya tak hairan. Memang awak tak boleh diberi peluang. Dapat peluang aje dah mula menjerat."
"Awak cakap macam saya ni manipulatif sangat. Saya nak awak bersajak je, freestyle. Tentang perasaan awak pada saya. Tak semestinya perlu romantik, saya cuma nak tahu apa perasaan awak pada saya. Tak semestinya perasaan kita pada orang lain perlu romantik. Baru sajak dah melatah, cuba kalau saya suruh awak bersyair."
"Mana belajar prinsip ini?"
"Sendiri punya prinsip!" Aku ketawa di hujung ayat.
Aku mengeluarkan buku notaku dan sebatang pen Test Good. Aku menulis tajuk, 'Aku telah Berdosa'.
"Nah. Saya bagi modal percuma. Awak boleh guna untuk brainstorming. Lepas itu awak bersajak ikut suka hati awak. Sajak ini dia nada bebas, tak macam syair. Lagi satu, dia tak ada banyak teknik sangat. Jadi awak tak payah risau kalau tak pernah menulis sebelum ini."
Firman melarikan mukanya!
"Firman, saya dah beritahu sajak ini bebas, tak ada teknik yang susah macam syair. Awak boleh freestyle macam mana pun. Saya tak faham kenapa awak tak nak buat, tadi bukan main lagi bersungguh memohon maaf dengan saya."
"Awak nak buat apa?"
"Nak buat apa? Saya nak tahu isi hati awak, itu saja."
"Peliklah orang seni ini…"
"Pelik apa? Ini salah satu cara menunjukkan perasaan. Apa salahnya untuk tahu macam mana awak rasa tentang saya? Kalau tak nak, jangan mimpilah kita boleh ada gencatan senjata lepas ini."
Aku menyuakan buku nota dan pen itu kepada Firman. Dia mengelak sambil tergelak, berdiri dan menjauhkan diri. Aku berdiri, cuba mendekatinya. Firman semakin jauh, mengundur.
"Awak jangan nak apa-apakan saya! Berdosa!"
"Ay… Menakutkan sangat ke sajak ini? Saya cuma nak tahu isi hati awak. Lepas ini saya berjanji akan mematuhi gencatan senjata dengan awak."
"Janji?"
"Inshalah…"
Firman mendekat, mencari anak mata aku. Jantungku berdegup kencang, dan aku tak tahu nak tengok dekat mana.
"Janji yang awak akan mendengar kata saya?"
"Inshalah!"
"Betul?"
"Wallahua'lam!"
"Okay, laksanakan OPS Penyerahan Buku Nota!"
"Baik tuan!"
Aku menabik Firman. Lama betul, baru dia membalas tabik hormat aku. Luculah pula, teringat masa zaman kawad kaki kontinjen Pandu Puteri dulu, dengan kawad kaki Hari Sukan dulu.
Lama juga aku menunggu Firman brainstorming. Rasa macam lawaklah juga, bila Firman duduk diam dan berfikir. Entah kenapa, aku pun tak tahu.
"Tak sangka saya awak kena berfikir lama sampai ini untuk tahu kesalahan awak pada saya."
Aku ketawa kecil, dan pen mula berlari di atas kertas. Akhirnya, siap juga sajaknya. Wow! Alhamdulillah!
"Boleh tahan ayat awak. Macam orang perempuan punya fantasi je."
"Tak habis-habis dengan perempuan dia itu. Punyalah seksi dan maskulin ini perempuan?"
Aku ketawa besar mendengar soalan itu. Sampai air mata bertakung di tubir mata. Mashalah…
Firman menahan tawa. Ketawaku mati apabila mataku mula fokus pada sajak yang ditulisnya.
"Maafkan aku,
Kerana telah menyakitimu.
Dengan lidahku,
Izinkan aku,
Untuk merawat hatimu."
"Bagus tak?"
Aku mengukir senyum. "Awak tak faham kehendak saya. Atau mungkin saya yang tak faham isi hati awak."
Kecewa sungguh hati aku. Aku tak kisah tentang kemaafan dia. Aku memang akan maafkan dia selagi dia memohon maaf dari dulu lagi kerana itu wajib. Cuma aku nak tau apa perasaan dia tentang personaliti aku. Kecewa sungguh.
"Kaca ini berkecai,
Ditusuk dan ditikam.
Jatuh berderai,
Tanpa sedar.
Kain ini diperah,
Air menitis tumpah,
Sehingga kering-kontang.
Hati ini lelah."
Spontan sajak itu keluar dari bibirku, tanpa sedar. Terkejut juga aku. Tak sangka mulut aku boleh spontan bersajak. Tapi macam sedih juga bila memikirkan isi sajak itu.
Bibirku mengukir senyum nipis lalu pen di tangan Firman aku capai. Aku menulis sajak itu di atas buku nota dan menandatangani kertas itu. Kertas itu kemudiannya aku suakan ke Firman. Firman membaca sajak itu tanpa suara dengan senyum penuh makna. Aku tak berminat dengan makna di sebalik senyumnya itu. Aku sudah penat.
Firman merenungku dalam-dalam dan terganggu, aku mengangkat muka. Pandangan kami bertemu dan refleks aku mengalihkan pandangan. Senyum nipis Firman itu menghadirkan kelegaan dalam hatiku. Alhamdulillah, gencatan senjata sudah mula kami persetujui. Kami berjalan pulang dan mula berbual penuh mesra, sebagai saudara seislam. Mengingatkan aku pada ustaz-ustaz yang aku anggap macam abang sendiri di Malaysia. Aku rindu perasaan itu. Perasaan kasih sayang itu. Hatiku hangat dan berada di musim panas, berbunga riang. Dalam hati, aku mengucap syukur.
Alhamdulillah, maaf sgt2 sbb dh lama tak update Travelog. admin mengalami burn-out. inshalah lps ni akan maintain consistent upload.
Share this novel