Sunyi. Ruang ketenangan. Aku melepas keluhan di luar sedar. Selepas insiden perang mulut terbesar dalam sejarah aku dan Firman tempoh hari, aku dah tak banyak bercakap. Hanya berbasa-basi dan lebih tenggelam bersama smartphone. Kak long menelefon pun, aku tak angkat dan kalau dia Whatsapp pun, aku bluetick sahaja. Tak ada mood nak reply. Setiap langkahku mandom dan perlahan. Fatimah kekadang sibuk bertanya kenapa aku berjalan perlahan sangat tapi aku tak menjawab kerana lagu Dokkoisho yang berdentum di telinga.
Di dalam kelas, aku hanyut bersama anak muridku. Mengajarkan kepada mereka huruf-huruf hijaiyah, cara membaca Surah Ad-Dhuha dan bermain alat muzik sambil menyanyi bersama. Berkongsi rasa yang sama walaupun itik bercakap dengan ayam. Hanya ilmu yang menyatukan kami. "Kakak tak sihat ya?" Fatimah menyapa risau.
Aku mengukir senyum dengan anak mata.
"Fatimah nampak kan… Kakak telan pil banyak mana. Kakak mana pernah sihat. Cuma kebelakangan ini saja kakak senyap sikit."
"Ooo… Saya ke sungai dulu ya. Nak bantu ai angah kandar air." Fatimah yang polos mengangguk faham. Fuh, nasib baik dia tak bertanya banyak.
Aku memandang kosong Fathul Bari yang terpampang di skrin smartphone. Hajat hati nak menggunakan privasi yang ada ini untuk murajaah kitab terbantut bahana tak boleh fokus. Sudah hampir setengah jam mukasurat yang sama tak berkalih-kalih langsung. Akhirnya aku menutup aplikasi kitab Fathul Bari dan membuka Nanogram. Entah bagaimana puzzle Nanogram berjaya menggerakkan sel-sel otak aku. Aku mendengus geram. Bukan senang nak dapat privasi untuk menghafal kitab! Haih, tapi hari ini bukan harinya. Aku terpandang satu susuk tubuh yang merimaskan, lalu aku membuka music player dan menghentam telinga dengan Dokkoisho sekuat yang mungkin. Posisi tubuh juga aku alihkan menghadap kanan. Patutlah aku tak boleh fokus. Rupa-rupanya dia yang kehulu kehilir, merimaskan aku.
Haih, sorrylah umi, abah. Nampaknya lepas balik dari program ini Hana akan kekal jadi macam dulu lagilah! Bayang-bayang keceriaan itu macam tinggal harapan saja.
Kami melipat dan mengemas kain dan baju. Firman memberi salam dan masuk berdiri berhampiran motosikalnya. Aku memandangnya sekilas sebelum memfokuskan pandangan pada baju di depan mata.
"Esok pagi-pagi kita akan bertolak. Awak nak ikut laluan darat atau laluan air?"
Aku tak menjawab. Tak berminat dengan soalannya.
"Okay, laluan air," putusnya.
Aku tak menjawab. Malas. Tak ada kepentingan. Dia tanya pun dia sendiri yang putuskan. Jadi apa fungsi aku menjawab? Aku ini miliknya, katanya tempoh hari. Firman keluar, dan aku hanya memandang tubuhnya dengan ekor mata.
"Fatimah, mana cardigan kakak yang ada butang pink itu?"
Kami menyelak setiap lipatan baju dan seluar yang tertimbun.
"His… takkan tak ada pula? Masa basuh di sungai tadi ada," sungut Fatimah.
"Masa jemur tadi ada tak?"
Fatimah terdiam sekejap, berkerut mukanya cuba mengingat.
"Rasa-rasanya ada…"
"Tak apalah, dah lewat. Tidurlah."
Puas membalikkan badan, mataku tetap tidak mahu terpejam. Cardigan kesayangan itu asyik terpampang di depan mata dan hatiku bertambah resah kerana aku tahu yang cardigan itu hilang dan aku tak nak fikirkan tentang cardigan itu! Haih, dah beritahu Fatimah tak perlu basuh, tapi Fatimah degil juga nak membasuhnya. Aku bangun dari katil perlahan-lahan, lalu melihat keadaan sekeliling. Mai Tuan dan Fatimah sudah lena diulit mimpi.
Sweater aku sarung. Pintu dapur aku buka dan aku melangkah turun tangga dengan berhati-hati, menuju ke sungai. Setiap sudut aku jengah. Tak nampak pun. Kemana lah benda alah itu pergi? Dah lah itu cardigan pertama yang aku jahit. Sudah jatuh ditimpa tangga sungguh aku hari ini.
Aku meninggalkan pelantar sungai yang tidak pernah sunyi. Sentiasa ada manusia, sayup-sayup suara dan lampu pelita dari rumah perahu yang teroleng-oleng ditolak angin malam dan kelihatan ombak kecil daripada sungai. Aku membetulkan tudung hitam yang berterbangan sedikit ditiup angin. Aku berpeluk erat menahan kesejukan. Sampai di bawah pokok berhampiran banir besar, satu suara menegur. Aku tak terperanjat kerana memang dah boleh mengagak gerangannya.
"Kenapa tak ajak Fatimah atau saya temankan?"
Aku tak menjawab kerana tak berminat. Kaki terus berjalan.
"Tak nampak masuk tandas pun. Awak mencari sesuatu ya?"
Diam. Menjawab pun tak guna, tak ada manfaat pun. Imej yang begitu aku kenal itu menghentikan langkahku. Aku berpaling dan Firman mengibarkan cardigan kesayanganku. Refleks aku mencapai dan Firman laju melarikannya.
"Cakap dulu dengan saya, baru saya pulangkan baju ini."
Kalau macam itu baik tak payah bagi! Aku buat muka. Desperate sungguh nak bercakap dengan aku! Nampak sangat loner! Sedih sungguh!
Firman berjalan seiringan dengan aku dan dia menghadang aku. Aku terhenti dengan penuh geram dan aku hanya mendiamkan diri. Malas nak bercakap dengannya, sebab aku dah tahu apa yang akan keluar. Wajahku diselubunginya dengan cardigan. Dua lengan diikat di belakang kepala. Dah jadi mask fesyen apa entah.
"Fatimah tercicir baju ini di pelantar pagi tadi. Saya terjumpa, terus saya kenal sebab ada jahitan yang tak professional, ada butang warna macam-macam. Paling lucu bila perasan logo brand dekat belakang baju."
Aku menahan senyum. Kaki mengatur langkah masuk ke rumah. Tak berminat, sebab tak ada manfaatnya berlucu dengan dia.
Aku dipimpin oleh Matt menaiki rumah perahu. Mai Tuan dan Fatimah dipimpin oleh Firman. Perahu mula didayung oleh Firman sambil berdiri keluar dari pelantar dan menuju ke kawasan lebih dalam. Sampai ke kawasan sungai yang sesuai, Matt mula menghidupkan enjin Johnsson, laju menuju Kampung Prey Kuchay.
Aku berpaling ke belakang. Kelihatan satu lagi rumah perahu diikat di buritan rumah perahu yang kami naiki. Perahu itu untuk Firman dan Matt. Bila bersambung macam ini bagus juga, jimat masa dan tenaga.
Kami sampai juga di Pengkalan Kampung Prey Kuchay. Aku memanggilnya pengkalan kerana ia lebih besar dari pelantar di Kampung Firman. Banyak perahu dan bot yang berlabuh. Pangkalannya rendah di gigi air tetapi kami harus menaiki tebing sungai yang tinggi untuk ke kampung. Satu lagi kelainan kerana kampung Firman permukaan tanahnya landai, sama paras dengan sungai. Kemudian satu dua kepala muncul, sehinggalah berpuluh-puluh kemudian semakin banyak.
Terkejut aku! Tak sangka! Penduduk kampung sedang menunggu ketibaan aku rupa-rupanya. Sebaik sahaja Matt mematikan enjin, tepukan tangan dan suara riuh-rendah ketawa memecah ruang. Aku merasa terharu dan keliru. Aku membetulkan beg galas dan memaut tangan Matt erat. Cuak! Mujurlah dia membantu aku naik dan memanjat tebing. Curam dan basah menyebabkan beberapa kali aku hampir tergelincir dan Matt menggenggam kemas tanganku. Habis kasut sneaker aku berselut. Dahlah sneaker pink pula itu! Firman mengekor dari belakang tapi Mai Tuan dan Fatimah selamba saja memanjang tebing. Untunglah! Cemburunya aku! Mereka dah biasa kut, aku memujuk diri sendiri. Akhirnya, berjaya juga kami sampai ke atas tebing dan aku diserbu. Mereka berebut bersalaman dan keadaan mula tak terkawal, bertolak-tolakan. Entah macam mana, aku terundur kaki tidak terpijak di atas tanah lagi. Jeritan cemas beberapa orang membuatkan aku hilang fokus! Aku tak mampu mengawal tubuh, bila-bila masa saja, aku akan tergolek ke bawah dan selamat masuk ke dalam sungai. Sepasang tangan menahan belakang badan aku dan sepasang tangan di atas cekap menangkap kedua-dua belah tanganku. Mataku bergerak di luar sedar.
Firman! Firman menolak badanku ke atas dan Matt menarik pantas, lalu aku terdorong ke dalam pelukan Matt. Pelukan Matt begitu kemas dan aku dibawa keluar dari kerumunan ramai. Firman sudah berada di depan kami. Tangannya menghalang mereka yang terus mengasak dan mulutnya meminta jalan. Aku yang tak tahu nak buat apa dan otak yang jem hanya mengikut langkah Matt. Sesekali Firman menoleh ke belakang dan melihat keadaan aku.
Sampai ke kawasan yang agak selamat, Fatimah dan Mai Tuan mencelah lalu memeluk aku.
"Ya Allah, nasib baik tak jadi apa-apa. Nasib baik adik sempat sambut. Kalau tak, tak tahulah apa jadi."
"Kakak okay? Ya Allah muka kakak pucat!"
Pucat ke aku? Entah. Tapi kalau dalam situasi macam ini, aku rasa mana-mana pesakit Autism pun akan throw tantrum.
Sebuah kerusi dari mana entah diberikan kepadaku. Aku didudukkan dan segelas teh panas dihulurkan kepadaku. Cekap dan pantas sekali orang kampung di sini. Mereka duduk bercangkung dan ada yang bersila di atas tanah, terkebil-kebil menantikan aku bersuara atau menggerakkan tubuhku seinci. Dalam hati aku berdoa, Tuhan, lindungilah aku!
Firman menunduk, bercakap perlahan.
"Buka beg sandang awak itu. Nanti tak selesa."
Aku masih tidak bergerak dan memberikan apa-apa reaksi.
Firman mengeluh.
"Awak masih terkejut. Beg itu menjadi satu beban kepada awak. Biar saya bawa atau awak tak percayakan saya?"
Aku menjeling Firman tajam. "Awak adalah ancaman kepada saya. Tiada faedahnya saya percayakan awak." Bibirku bergerak di sebalik purdah tanpa suara.
Kali pertama mata kami bertentang. Walaupun hanya selama satu milisaat, tapi dari dalam anak mataku sudah cukup menggambarkan apa yang aku rasa. Aku bersyukur kerana dia terasa. Semenjak dua menjak ini, aku cuba melihatnya hanya sekadar lelaki sadistik. Tapi tiada belas kasihan kepada lelaki yang mengugut jenayah dan bangga kerana bebas daripada tindakan undang-undang. Apatah lagi lelaki yang bersuara hebat kononnya mementingkan agama, hakikatnya bangga berniat jenayah.
Firman mengangkat muka dan menghadap orang kampung dan berkata sesuatu. Beberapa suara kedengaran.
"Mereka minta maaf kerana kejadian tadi. Sekarang awak dipersilakan ke Masjid Mukarramah. Ustaz semua dah sampai tiga jam lalu dan ramai lagi orang kampung sedang menunggu awak di sana. Untuk majlis perasmian dan upacara menyampaikan bantuan."
Dengan kata-kata itu, kami semua bergerak ke destinasi. Sepanjang jalan, aku disapa dan disalam. Aku hanya menunduk sedikit dan bersalam mana yang aku mampu. Rasa macam jadi wakil rakyat pula. Perwatakan dan pakaian mereka sama seperti di kampung Firman. Tidak ada seorang perempuan pun yang tidak memakai baju kurung dan tudung. Yang lelakinya, mestilah berkopiah putih dan berserban, berbaju Melayu atau kemeja, berkain pelikat atau berseluar. Muka mereka gembira dan manis-manis semuanya. Satu yang aku perasan, dalam kalangan penduduk Cham yang aku jumpa dan kenali, mereka sangatlah menjaga adab dan batas. Yang lelakinya hanya menunduk dan melihat aku sekilas saja. Jarang aku melihat lelaki dan perempuan mereka bersembang gebang dan beramah mesra. Bagus, masih memelihara ikhtilat.
Kami sampai di pekarangan masjid yang sudah bersiap dengan khemah dan kerusi. Aku duduk bersama Firman, ustaz dan ketua kampung di atas pentas. Beberapa ucapan dan salah seorangnya Firman yang berucap. Aku mengeluh tanpa sedar lalu menyumbat earphone ke dalam telinga. Lagu Conqueror daripada IA berdengung di telinga. Aku rasa yang duduk sekeliling aku pun boleh dengar lagu itu, bahana aku pasang kuat sangat. Malas nak dengar ucapan Firman, lagipun bukan bercakap untuk aku. Bercakap untuk penduduk dan bercakap secara profesional. So mestilah ada zahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih itu. Walhal bukan main lagi ungkit pasal media yang kononnya aku angkut. Macamlah aku ini anak artis. Cet. Mempersoalkan keikhlasan aku, menghina ilmu aku. Ingat senang ke nak tasmik hafazan sampai lulus?! Dia nak banding ilmu aku daripada Al-Azhar ini setanding dengan ilmu penduduk kampung. Kalau macam itu penduduk kampung di Kelantan atau di Kedah yang hisap dadah tapi pergi madrasah setiap hari pun boleh jadi ustaz macam itu. Ingat sama ke kualiti mengaji di kampung dan mengaji di Al-Azhar?! Dan memperlekehkan Sheikh aku!... Okay, dia tak kata apa-apa pasal Sheikh aku tapi still… Ilmu aku itu daripada mereka kut. Also siapa dia nak mempersoalkan keikhlasan aku? Aku beribadah kerana Allah bukan sebab dia! Tak ada sebab aku nak buktikan keikhlasan aku dekat dia, hakikatnya tak ada kewajiban pun! Aku yakin kalau aku mempersoalkan dia hal yang sama, dia akan berpendapat yang sama.
Para ustaz akan bermalam di kampung ini dan esok lusa kami akan ke kampung lain pula. Para ustaz menggunakan Toyota Hilux yang disewa khas oleh Firman dan untuk aku hanyalah perahu sahaja! Sengaja dia nak mengenakan aku! Semalam dia bagi pilihan untuk pergi laluan darat, tapi dia sendiri tentukan laluan air untuk aku. Haih, nasiblah aku tak menjawab, walau kalau aku menjawab pun dia tetap aku teruskan keputusan dia seorang demi maslahat umum, katanya.
"Hakeem tanya awak nak tidur sini? Mereka dah sediakan rumah dan makan."
Aku ingin membuka mulut untuk menjawab, tetapi lidahku kelu dan suaraku tidak keluar.
"Okay, kita tidur dalam perahu," putusnya.
Aku mendengus kasar, kali ini dengan bunyi, demi ekspresi. Aku tak reti nak tunjuk perasaan, jadi aku buat macam itu sajalah.
Dalam pukul tiga petang, aku dibawa meronda sekitar kampung. Ramai yang mengekor dan menyambut. Mujur tak ada kompang dengan bunga manggar, kalau tidak orang ingat selamat pengantin baru dah aku. Coklat juga dibawa dan diagihkan. Dah agak jauh berjalan, yang mengekor pun semakin berkurangan, termasuklah coklat di tangan, haha. Kami melalui kawasan padang dan belukar. Entah siapalah yang melabur di kawasan ini, Firman pantas memberi arahan dan mujurlah aku tak terpijak. Kemudian, deretan rombongan kami yang panjang dari kepala sampai ekor, menyumpah menjerit dan marah kepada tukang labur itu. Aku hanya tersenyum nipis kerana situasi begitu janggal. Apatah lagi dengan hati yang tak keruan, kerana dah boleh lupa hasil pelaburan itu. Lebih baik tak tahu daripada tahu! Sekarang aku nak muntah memikir.
Sengih serba salahku meleret sehingga Firman mula beri perhatian. Dia menghadiahkan senyum nipis kepada reaksi aku. Automatik aku melarikan anak mata daripada melihatnya. Tengok muka dia langsung tak beri manfaat! Lebih baik tengok langit. Kami sampai ke sebuah kampung. Ada beberapa penduduk yang bila ternampak saja aku, mereka menghampiri, duduk di atas tanah dan mengangkat sembah. Aku terpinga-pinga kehairanan. Matt berhenti, dan membalas dengan cara yang sama penuh hormat. Aku menepuk dahi, baru teringat! Itu adalah cara orang Khmer memberi hormat! Allah… Nasib baik… Aku merapatkan kedua-dua belah tangan dan membalas mesra. Kawasan rumah mereka juga uzur dan dhaif. Ada kandang khinzir di bawah rumah masing-masing. Mengingatkan aku pada kawasan pedalaman di Filipina. Anak-anak yang comot dan berbogel berkeliaran dan bermain. Mereka juga mendekati kumpulan kami. Truly, spirits of Asean!
Salah seorang lelaki tua dari mereka bercakap. Matt tolong menjawab.
"Mereka tanya awak dari mana? Rupa awak agak pelik bagi mereka. Dengan pakaian dan cara pembawaan diri. Rasanya awak bukan dari sini. Matt dah tolong jawabkan bagi pihak awak."
Muka Cina kacukan Siam ini dia boleh kata bukan orang sini! Ya lah kan. Aku berpurdah. Manalah dia nak cam muka Amoi aku. Lol.
Tumpuanku beralih arah kepada wajah-wajah tidak berdosa di depan mataku ini. Wajah mereka lebih kurang serupa dengan wajah Ahmad masa pertama kali jumpa. Malu-malu tapi perlu. Salah seorang anak kecil mereka menghampiri beberapa orang anak Cham yang mengekori kami sejak tadi. Dia melihat dengan pandangan penuh makna ke arah coklat yang berada di tangan dan di mulut anak-anak Cham.
"Masih ada coklatnya?"
Aku memandang Firman. Dia jelas kehairanan. Memanglah, dah berhari-hari tak bercakap ini kali pertama dia dengar suara aku.
"Ada lagi tapi dah tak banyak."
"Berikan kepada kanak-kanak Khmer ini."
Firman tersenyum mengerti dan aku memalingkan wajah lagi. Kali ini entah mengapa wajahku terasa hangat, macam duduk bawah kotetsu. Sabar Hana! Jangan dilayan sangat perasaan itu! Matt segera mengagihkan kepada kanak-kanak di situ. Sekali lagi aku dikerumuni lelaki perempuan tua dan muda. Firman cukup tegas dan memberi penerangan bahawa hanya perempuan sahaja yang dibenarkan menyentuhku. Huhu, kenapa hari ini Firman begitu selamat? Mereka berjabat tangan dan berterima kasih dengan hadiah coklat itu. Aku menghulurkan not 100 USD kepada senior kampung dengan harapan dapat membahagikan duit itu sama rata, walau aku tahu tak banyak manapun.
Kedengaran bunyi bisik-bisik kehairanan dari arah penduduk Cham yang mengikut rombongan dari tadi. Mestilah mereka mempersoalkan, adakah tindakan aku itu halal atau haram?
"Firman, beritahu mereka yang kanak-kanak Khmer ini layak mendapat coklat itu. Coklat itu ialah hadiah peribadi saya dan tiada kena-mengena dengan duit zakat. Duit zakat dan duit derma ada pada awak. Maka hukumnya halal."
"Mereka tertanya-tanya kerana pemberian coklat itu. Mereka risau awak memberi wang derma kerana ditakuti wang zakat. Itukan hak orang Islam. Tapi mereka…"
Aku tak ambil pusing. Tadi aku dah beritahu, coklat itu halal untuk orang Khmer kerana hadiah atau derma peribadi aku. Duit zakat pula di tangan dia, jadi tak ada sebab aku nak gelabah bagai.
"Mereka cuma kehairanan kerana awak begitu baik melayan dan menderma kepada orang Khmer. Selama ini pun, kami memang hidup aman damai dengan mereka. Sama-sama menderita, diseksa dan dibunuh di zaman Pol Pot dulu."
Aduh! Perit hatiku! Baru saja nak eksyen drama TV3! Kenapa nak tukar jadi plot Bersamamu pula?! Aku memegang dada tanpa sedar. Sakit punya pasal. Sampai terbongkok badan aku.
"Bagus juga awak dah cakap dengan saya. I miss you… My precious."
Entah kenapa, hati aku bertambah sakit. Entah kenapa. Aku merenungnya dengan penuh sakit hati. Nadanya kedengaran begitu sinis di telinga aku, walau aku tahu, dia enjoy buat begitu dengan aku. Tapi aku benci. Aku benci lelaki sadistik macam ini, yang sengaja nak menyakitkan kita untuk kepuasan dan keseronokan dirinya. Dan aku sakit hati sebab tadi aku rasa selamat bersama Firman! Huh! Aku menampar muka dengan tangan kiri. Bangkit!
"Hati-hati dengan nama panggilan awak. Takut nanti terbawa-bawa pula, walhal saya ini milik orang. Awak mesti seronok kan bila saya buka mulut? Sebab bagi awak, bila saya bersuara itu kemenangan bagi awak. Bagi saya bersuara atau tak, sama saja. Dalil, tengoklah tadi. Apa gunanya tanya saya kalau awak dah ada keputusan sendiri?"
Firman tersenyum. Aku menjulingkan mata ke langit. Nampak dah keyakinan dia yang kata dia akan menang.
"Kita tengok nanti siapa yang terbawa-bawa." Suaranya tenang dan jelas bila membalas kata-kataku.
Entah kenapa aku merasakan yang dia berkata benar. Bukan lagi sembang gebang macam sebelum ini. Hatiku mula resah. Apa masalah engkau ini hati… Berdiam diri lah. Dan otak, bawalah diri ini menerawang jauh-jauh. Masa aku tak nak kau nak buat hal, masa aku perlukan kau, kau tak nak ikut pula… Cis!
"My precious, we've got to move. Semua orang sedang menunggu dan menantikan kita."
Aku tersedar ke alam nyata. Lepas ini aku kena ingatkan diri lagi, Firman adalah ancaman! Sendu. Aku nak menjauhkan diri dan mengelak dah tak boleh! Pasal kami tinggal serumah!
Firman menggelengkan kepalanya melihat aku yang tidak memberi sebarang reaksi.
"Cik Hana… Please… Kalau nak bergaduh tunggu masa yang sesuai. Sila hormat orang kampung yang sedang memerhati. Kalau tak nak jaga air muka saya, sila jaga air muka awak sendiri."
Apa yang Firman cakap itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Semuanya tak penting. Premis satu, aku tak berminat nak bergaduh. Premis dua, aku nak jauhkan diri dengan ancaman aku, dan premis tiga, no one cares!
Aku mengangkat kepala apabila terperasan yang Firman sedang mengangkat kening memandangku. Refleks aku mengangkat kening memandangnya semula, walhal aku tak faham langsung apa yang dia sedang cuba untuk sampaikan.
Agak lama juga aku berdiri kaku, tak berganjak. Akhirnya Firman membuka mulut. Sangkaan aku, mungkinlah dia nak terangkan apa yang berlaku antara kami berdua, sebab takut orang ramai risau, kan. Tiba-tiba saja semua bersorak dan ketawa riang. Khmer dan Cham. Automatik mataku yang sepet terbuka luas. Macam baru bangun tidur. Apa dah jadi ini?
"Firman, awak cakap apa?"
"Saya beritahu, awak merayu saya membawa awak pergi ke mana saja. Di sini, permintaan itu bermaksud awak melamar saya dan saya terima."
Wait what? Buat pertama kali, mulutku melopong. Dengan dua sebab, pertama, belajar budaya baru dan yang kedua, dasar lelaki sadistik. Buat pertama kali dalam sejarah, aku menyesal bersangka baik dengan orang. Aku mendengus geram. Firman mendekat, bercakap perlahan.
"My precious… Jerat tak pernah lupakan pelanduk. Firman tak pernah lupakan Hana."
Aku hanya mampu memandang ancamanku itu mengernyitkan mata sebelum mengenakan cermin mata hitamnya dan berlalu pergi. Lututku tak mampu bergerak, sebelum aku ditarik oleh Fatimah yang tak henti-henti mengulum senyum.
Cis! Dia nak gelar diri dia jerat, konon nak tangkap aku. Sorrylah Firman, Hana ini anak murid Namikaze Sensei tau. Dia nak main dam ular dengan aku, tak apa. Aku boleh tukar setting otak ke hundred percent survival mode demi dia. Tunggu! Nak main shiver-shiver sangat!
kpd pembaca yg still follow travelog ni. sorry sbb plan nak update awal, tp kerana masalah kesihatan tertangguh-tangguh. Alhamdulillah hr ni berjaya update.
Share this novel