Chapter 49

Adventure Series 1746

Sampai di pelantar, dah berpuluh perahu menunggu kami termasuk Matt. Matt di perahu lain. Lebih kurang sama saja perahu-perahu ini. Agak kecil dan kurus. Aku termengah-mengah bertanya.
"Kita nak ke mana Firman?"
"Cari daun nipah."
"Cari daun nipah? Dengan berpakaian begini? Sungguh tak sesuai!"
"Apa pula tak sesuainya? Asal menutup badan cukuplah."
"Firman, pakaian saya ini mahal. Dengan kasut sukan pink lagi. Kalau kotor, koyak, rosak, susah…"
"Apa fungsi kasut itu?"
"Nak melindungi dipakai di kakilah… Tu pun nak tanya ke?"
"So, logiklah kalau dia kotor ke, rosak. Dah memang dia duduk kat kaki."
"Firman, saya tak ada kasut lebih okay…"
"Kasut baru ke kasut lama ke, tempatnya tetap di kaki. Letaklah sesuatu di tempat yang sepatutnya. Kasut walau termahal mana pun, tempatnya tetap di kaki… Bukan di kepala. Kopiah, tudung, selendang walau semurah mana pun tempatnya tetap di kepala… Di atas. Kedudukan yang termulia. Maka muliakanlah suruhan Allah. Taatilah perintahNya."
Tangan Firman menarik hujung tudung agar turun ke bawah. Aku terpaku melihat keindahan mata dan kelembutannya menutup auratku. Aku menoleh melihat tangannya yang masih memegang bucu tudungku. Firman segera melepaskan dan berjalan menuju ke sebuah perahu usang. Aku meletakkan brooch di belakang baju. Dengan baju kurung modern dan beg sandang, terkial-kial mengimbangkan diri di dalam perahu. Aku duduk berdepan dengan Firman.
Firman mula mengayuh dan perahu lain mula bergerak keluar satu persatu. Berpasang-pasangan, lelaki perempuan, tua dan muda. Terdengar dentingan loceng angin. Aku menoleh. Hadiah kepada Firman tergantung di atas muka pintu rumah perahu Firman. Menyedari apa yang aku lihat, Firman bersuara.
"Merdukan bunyinya…"
"Ya, merdu…"
"Kenangan dari Hana Zulaikha. Nasib baik saya tak jiwang orangnya tapi Fatimah suka."
Senyuman berlagak aku balas.
"Jangan ek sangat. Macam ayat coverline je. Guna nama Fatimah pula, kenapa tak kata saja hati awak dah saya sentuh? Bila saya pulang ke Malaysia… Awak akan mengingati saya setiap kali mendengar dentingannya…"
"Oh ya? So my precious, kali ini apa erti hadiah awak pula?"
"Dentingannya adalah bisikan rindu saya kepada awak, yang sentiasa mengalunkan nada merdu… Nama awak… Firman… Firman… Firman…"
Mata Firman menatapku, lembut dan memikat. Pancing sudah mengena!
Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Bala!
"Firman! Saya tertinggal barang! Patah balik!"
"Malaslah. Nanti hujan tak sempat pula."
"Firman… Patah balik! Kunai pun tertinggal!"
Hidungku terasa pedih.
"Apa yang melekat sangat dengan pisau itu? Sampai tak boleh nak berpisah langsung? Logik ke nak bawa masuk ke dalam hutan nipah?"
Aku menahan bibir yang bergetar.
"Patah balik! Nyawa saya tertinggal!"
Firman tak layan dan terus mendayung dengan selamba. Aku menghentak kaki ke dayung sampan.
"Hentaklah. Bocor nanti."
Amaran kerasnya. Aku menjeling tajam plus cuak. Badan aku memang berat dan aku pun tak pandai berenang.
"Jelinglah, juling nanti."
Aku mendengus menyampah.
"Tarik mukalah. Cepat tua nanti."
Aku wachaa karang! Dia ingat aku tak bawa kunai aku tak berbisa la ni! Aku mengeluarkan bluetooth headphone besar gedabak lalu menyeluknya ke kepala. Sengaja aku tak melayannya. Rasa aman dari melihat mukanya, dan mendengar suaranya. Tak pernah dia nak beralah denganku. Asyik nak menang aje. Pancing langsung tak mengena rupa-rupanya!
Baik aku melayan pemandangan sekeliling. Perahu kami menyusuri sungai yang semakin sempit. Agak tersekat-sekat bila bertembung dengan berlonggok-longgok tumbuhan air yang terapung. Perahu di depan kami seperti membuka laluan mereka yang di dalam perahu sibuk membantu menguakkan air dengan menolak tumbuhan itu ke tepi.
Pelik. Gemuk, pendek dan daunnya bulat-bulat. Batangnya macam kembung. Bunganya cantik berwarna ungu cair. Aku mengambil kesempatan dengan membongkok sedikit ke sebelah perahu dan tangan cuba mencapai untuk memetik bunganya. Cantik!
Ada ulat-ulat kecil. Aku melalukannya di atas air, cuba menghilangkannya. Aku memeriksa setiap kelopak. Kalau ada sketch book, bolehlah aku menulis kejap. Mulalah aku nak melayan perasaan. Warnanya seperti bunga Iris. Mencium baunya, tak adalah wangi tapi seperti ada rasa masam kelat manis.
Setiap bunyi binatang aku cari dan kelihatan monyet-monyet yang bergantungan. Ada yang mendukung anaknya sambil melompat dari satu dahan ke dahan yang lain. Ada seekor, dua monyet yang agak besar mengangkat kening kepadaku. Macam jantan aje, gatal semacam. Aku tersenyum sendiri, tatkala melihat burung yang berbagai rupa dan warna bertenggek di atas dalan.
"Tengok monyet pun boleh tersenyum?" tegur Firman. Sibuk aje!
"Taklah… Saya tengok bapa monyet sedang mengajar anaknya berTweet."
"Pandai awak, faham bahasa monyet. Dari dulu lagi saya cuba memahami apa yang monyet-monyet itu bersembang kat atas pokok… Rupa-rupanya berTweet."
"Pandailah, sebab selama ini saya bergaul dengan saudara mereka yang sedang mendayung sampan. Mereka kirim salam dan tanya bila saudara mereka itu nak join mereka chit-chat kat atas pokok."
Firman mengangkat dayung dan pantas memercikkan air sungai ke mukaku.
"Firman!!!" Aku terjerit sambil mengelap muka. Ikutkan hati, mahu saja aku simbah balik. Tapi aku tak mahu bergerak sangat, takut perahu terbalik! Reda sajalah.
"Itu namanya bunga keladi agas atau keladi bunting."
Aku menarik muka masam. Tak tanya pun. Firman hanya beriak tenang. Aku buat-buat tak hairan.
"Bunga itu boleh dimakan. Sedap dicicah dengan sambal belacan. Dibuat ulam. Sesuai untuk orang yang nak cantik."
Auta ke fakta? Jangan-jangan dia menyindir aku.
"Daunnya berbentuk love, boleh dimakan juga. Sesuai untuk orang yang bercinta."
Aku ini sebenarnya nak percaya apa yang dia cakapkan, tapi berdasarkan pengalaman aku dengan dia… Aku tak percayakan dia. Dia suka kenakan aku! Aku lihat dia sekilas tapi gaya dia tersenyum lain macam aje. Aku merenung wajahnya dengan teliti. Dia memang tersenyum tetapi seperti senyuman nakal. Terasa matanya merayap ke seluruh wajah dan badanku. Merinding bulu roma. Aku cuba bertenang dan mengalihkan pandangan, kembali menikmati keindahan alam. Tetapi terasa pandangan mata yang masih menikam, lalu aku menoleh ke arahnya semula. Memang betul. Dia tetap memerhatikan aku. Hanya sesekali dia melihat ke arah lain. Tenang dan rileks sekali dia mendayung. Mata kami kembali bersabung. Sesekali kelihatan segaris senyuman nipis di hujung bibir. Dia suka menahan gelak dan dia juga suka menahan senyum. Aku rasa dia ni cukup menjaga dan mengawal macho. Tak mahu melampaui batas dalam segala-galanya. Tetapi bila dalam tak terjangka, dia boleh tersenyum dan tergelak. Lupa pula hendak mengawal macho dia itu. Bajet tenang dan stylo. Akhir-akhir ini dia kelihatan kemas dan segak. Baju dan seluarnya sentiasa bergosok. Sambil menunggu gadjet aku dicas, Fatimah menggosok baju dan seluarnya sebaik saja kami habis kelas. Kami sama-sama menumpang generator masjid. Walaupun pakaiannya biasa-biasa saja, hanya t-shirt atau kemeja yang tak berjenama, dia tetap pedas. Hmmm… Pedas? Kalau datang mood pedas dia, memang berpijarlah aku kena. Tak kira dah aku ini perempuan, memang dia bagi cukup-cukup. Dan waktu itu, dia tidak kelihatan seperti lelaki budiman, tapi seorang yang lelaki tak bertamadun.
"Kenapa awak tengok saya tak berkelip? Dah terkena persona saya?" Mulutku tak menahan lagi.
Firman tersengih, sinis.
"Saya tengok orang yang perasan. Mukanya begitu riak sekali. Mentang-mentang memakai kasut berjenama dan baju butik, nampak angkuh dan perasan cantik."
"Apa masalah awak ini? Seronok ke kutuk orang? Kalau awak nak belilah sendiri."
"Apa pula tak mampunya? Setakat Burberry, Calvin Klein, Abercombie dan apa saja dari brand yang awak bangga sangat tu, saya boleh beli di Vietnam saja. Tak perlu ke London."
"Jadi belilah. Tak perlu nak gelar orang lain yang pakai branded item angkuh."
"Balik nanti, awak check belakang leher baju awak. Tengok made in mana. Jangan terperanjat sudah kalau terbaca Made in Vietnam."
"Who cares?"
"Orang yang pakai itulah. Arwah abang saya pernah belajar di UK. Apa saja mengenai UK dalam poket saya. Saya nak beli jersi bola Arsenal, Liverpool atau Chelsea, saya beli kat Vietnam aje. Kilangnya di situ kerana labor cost lebih murah. Jadi tak payahlah awak nak berlagak sangat. Setakat pergi shopping di London kerana branded stuff itu, saya tak hairan. Saya juga boleh shopping dengan quality yang sama, tapi harga yang lebih murah. Jimat kos dan masa."
Jahat gila mulut! Aku tak kisahlah! Hati terasa ingin menjerit. Lagipun benda ini aku dah tahu. Semua orang yang tahu perniagaan tahu kilang pakaian begini dibuat di Bangladesh dan Vietnam.
"Balik nanti kita kutip bunga dan daun itu. Sesuai sangat untuk awak makan. Orang yang hangat bercinta. Tertinggal senjata macam nak kiamat. Tak berhenti berbalas mesej cinta. Hebat! Tak tahu dekat mana dalam jubah itu awak simpan benda tajam awak. Tahan pula sakit itu. Mereka patut ambil awak sebagai duta. Solat pun bawa sekali senjata tajam."
Mulutku berdesir ketika aku asyik menatap mukanya. Aku terus terkena!
"Firman… Awak mengintip segala gerak-geri saya ya! Kalau saya pandai berenang, dah lama saya terjun balik ke rumah."
"Depan mata… Siapa-siapa pun nampak. Kalau awak pandai berenang pun, saya takkan lepaskan awak begitu saja. Dengan pakaian macam itu, berapa jauh awak boleh pergi? Jangan sombong sangat, awak perlukan saya."
Aku melarikan wajahku ke arah lain!
Kami sampai ke deretan hutan nipah. Banyak pokok yang tumbuh sepanjang tebing yang berlumpur dan becak. Pelepah san pucuknya seakan-akan muncul dari lumpur. Pokoknya seperti terendam di dalam air. Perahu yang lain mula mendekati tebing dan mengikat tali ke pancak kayu yang sudah sedia tercacak. Mereka turun dan mengharungi air paras lutut menuju ke pokok nipah. Setiap seorang membawa parang panjang dan guni. Perahu kami terus meluncur ke depan.
"Firman, kenapa tak berhenti sini?"
"Matt akan ambil daun nipah, kita cari kayu api dan pucuk hutan. Amin akan bawa mama dan Fatimah. Semua akan menyusul."
Alamak! Dia nak membawa aku mencari kayu api dan pucuk hutan? Dengan berpakaian macam ini? Nasib baiklah aku berkasut sukan juga. Nasib baik juga aku tak memakai jubah labuh ke lantai. Rasa macam nak menangis memikirkan nasib pakaian yang akan kotor dan rosak selepas ini. Hailah…
Melihat muka yang pedas di depan, aku cuba berlagak macam tak ada apa-apa. Apa fesyen pun kalau pandai digayakan dalam keadaan bagaimanapun, tetap stylish. Yang penting aku mesti tenang. Automatik, aku akan kelihatan anggun. Lagipun dia yang mengajak aku tanpa memberitahu nak ke mana.
Kami sampai ke satu tempat yang agak jauh sikit dari hutan nipah tadi tetapi tetap ada pokok nipah yang tersesat sepokok dua. Firman merapatkan perahu ke tebing. Nasib baik ada titi kecil. Perahu diikatnya ke pancang kayu dan aku melangkah turun dengan berhati-hati. Aku meniti perlahan sambil mengangkat kain baju kurung yang aku pakai tinggi sikit. Tebing agak becak, aku terpaksa menggunakan payungku untuk menongkat langkah.
"Tunggu situ! Jangan gerak sehingga saya datang!" laung Firman bila melihat aku dah laju ke depan. Aku mendengus. Aku dah biasa masuk ke dalam hutan. Apa nak hairan? Tahulah aku membawa diri. Sambil menunggu Firman meniti, aku tertarik kepada serumpun pokok nipah. Aku mendekat dan menelitinya. Pertama kali aku melihat spesies ini. Ada pucuk hijau muda, hijau tua dan pucuk kering. Tangan mula memanjang, cuba menyentuh dan merasa.
Satu sentakan yang keras, aku ditarik pantas ke belakang dan seekor binatang terpelanting jauh. Darah bersemburan.
"Saya dah kata, tunggu!!! Kenapa degil sangat?!"
Tergamam dengan apa yang aku nampak dan tempikan keras Firman.
"Sini tempat dia. Warnanya bertukar mengikut keadaan. Kalau dia berlingkar di daun hijau, dia bertukar warna hijau. Kalau daunnya berwarna coklat, dia bertukar warna coklat. Kapak ini tidak takut dengan bunyi dan manusia. Setiap kali nak menghampiri pokok nipah, perhatikan dulu. Ambil sebatang kayu, ketuk-ketuk dan lihat keadaan. Dah clear baru mula menakik pelepahnya. Kalau terserempak memang kena cantas aje kepalanya!"
"Dah tahu tempat ini berbahaya kenapa bawa saya?"
"Tak akan berbahaya kalau awak dengar cakap saya! Bila saya suruh tunggu, tunggu!!!"
Aku menarik muka masam lalu menggosok perlahan bahu dan lenganku. Rasa nak tercabut anggota badanku akibat disentak Firman. Tudungku dah tak teratur dan herot. Hidung menahan rasa pedih. Firman buat tak hairan dan terus berjalan. Dia berpaling dan mengerling aku tajam. Isyarat aku wajib mengekorinya.
"Saya tak suka ikut awak. Saya nak balik. Saya tak tahan dengan awak."
"Saya pun tak tahan dengan awak! Mama dan Fatimah akan datang sini kejap lagi. Selesai tugas saya. Jaga awak macam nak meletup dada menahan sabar. Kita akan ke sebuah kampung dan bermalam di sana. Fatimah akan bawa kelengkapan awak. Sekarang ikut saya!"
Langkah rakusnya aku ikut perlahan. Sampai ke sebatang pokok yang agak kering, Firman mula mencantas, memilih mana yang sesuai untuk dibuat kayu api. Cekap sekali dia dengan parangnya. Aku teringat cara dia menarah buah kelapa pada hari itu. Dia memiliki kemahiran yang tinggi dalam bermain pisau dan parang. Setiap kali menakik dan menebang, setiap kali itu mulutnya berbunyi. Setiap kali dia mencantas dan memangkas, setiap kali itu mulutnya berbunyi.
"Apa yang awak bebelkan? Mengalahkan perempuan pula. Berleter tak habis-habis!"
Firman menoleh dan mencerlung aku.
"Saya dah tak tahu nak buat apa dengan apa dengan awak. Tak tahu nak jaga macam mana lagi. Nak bawa awak ke mana, semua tempat yang selamat pun dah jadi macam tak selamat. Suka sangat buat hal. Tempat yang ada orang, tak ada orang, sama saja! Di mana ada Hana, di situlah tiris! Huru-hara!"
Mukanya merah padam dengan peluh yang berjejaran. Menitis di muka, mengalir ke leher dan dadanya. Basah lencun badannya. Sepatutnya dia kelihatan seksi dan macho tetapi disebabkan dia sedang membebelkan aku, dia kelihatan seperti nenek tua yang sedang bersongel tembakau besar terselit di bibir atasnya!
"Menjaga awak seorang lebih baik jaga lembu kambing sekandang! Awak tau tak, nak bagi kambing dengar cakap, senang saja. Saya buka t-shirt saya yang berpeluh ini. Lap aje ke mukanya, kampung itu akan patuh. Ikut hati saya, sekarang juga buka baju dan saya lap ke muka awak. Lagi bagus, sebelum lap, saya lap dulu ketiak saya… Kasi aroma lebih! Awak akan patuh dan taat kepada saya, seperti kambing. Menyerah diri, rela dibuat apa saja… Digomol, dipeluk, dicium selepas itu tidak meronta walau disembelih!!!"
Aku menarik nafas sesak. Tak sangka perkataan ini yang akan keluar dari mulutnya.
"Awak ini dah kenapa?! Ada ke saya sexual harassed awak? Yang tak puas hati dengan saya sampai tahap ni…! Muka nampak baik dan beriman, cakap itu bukan main lagi bagi nasihat bagai. Kadang-kadang itu menggedik dengan saya, kadang-kadang itu bukan main lagi nak beriman depan saya. Kadang-kadang merapu, bercakap mereng. Baca ruqyah itu banyak-banyak sikit, buang jin dalam badan awak itu!"
Firman menghampiri aku dengan parang yang digenggam kemas. Mukanya tegang dan keras. Aku menelan seram.
"Mulut tu jaga. Di sini hutan. Tak ada orang hanya kita berdua. Saya boleh buat apa saja dengan awak. Menjeritlah macam mana sekalipun, tak ada siapa yang datang. Tak ada siapa yang dengar. Saya dah cakap berapa kali. Dengan lelaki jangan berani sangat. Jangan terlalu mencabar. Awak tak tahu apa yang mereka boleh lakukan pada awak. Awak hanya selamat dengan saya. Tapi kalau awak tak ubah perangai awak, dengan saya pun awak tak selamat. Kalau tak hormat saya sebagai hamba awak, sekurang-kurangnya hormat perasaan saya. Jangan sedap sangat mulut memanggil saya gila. Awak belum tahu gila saya macam mana. Dan awak tak sanggup melihat kegilaan saya itu!!!"
Dengan itu Firman berpusing, lantas menebang dan menakik menggila. Aku terundur ke belakang kerana risau dengan kayu-kayu yang berterbangan. Risau terkena serpihan atau ranting yang terpelanting. Tak perlu aku melihat dia gila. Sekarang pun dia sedang menggila mengerjakan pokok-pokok itu. Setiap kali dia menakik, setiap kali itu aku terasa seperti ditakiknya. Setiap kali dia menetak, aku menahan pedih seolah-olah aku yang ditetaknya. Sesekali dia menoleh dan mencerlung aku tajam. Matanya merah dan menikam. Tertikam tepat ke jantungku!
Aku menelan rasa seram. Teringat keganasan dan kekejaman komunis Pol Pot yang aku saksikan di Muzium Tuol Sleng. Teringat cerita Hakeem dan Firman. Mereka sudah biasa melihat keganasan dan pembunuhan. Sudah kebas melihat air mata dan darah. Sudah lali dengan tangisan rayuan dan jeritan. Hidup mereka, suasana mereka dilingkungi dengan keganasan dan kezaliman. Tidak mustahil sedikit sebanyak walaupun mereka tidak jahat, mereka juga boleh bertukar kerana kezaliman dan kekejaman yang diperlakukan ke atas mereka. Tidak mustahil mereka bertukar menjadi lebih kejam dan zalim, sebagaimana komunis memperlakukan mereka. Mereka akan membalas lebih kejam kepada komunis itu. Teringat kata-kata Firman… Sekali aku buat dia, sebelas kali dia akan membuat aku.
Terasa satu ketakutan yang amat apabila aku terlajak mengutuknya gila. Dan sekarang Firman betul-betul menggila di depanku. Pokok-pokok menjadi mangsa! Bagaimana kalau kegilaannya itu dilepaskan kepadaku?!
Aku terundur lagi. Lintasan demi lintasan berada dalam fikiran. Mata seperti ternampak-nampak Firman menghampiri aku, memeluk dan mencium aku dengan rakus. Memaksa aku. Kami bergelut dan dia menyentuh aku. Ganas dan tanpa perikemanusiaan. Dia betul-betul menggila. Aku dikasari tanpa sentuhan yang lembut atau kasih sayang. Selepas itu dia mencapai parang…
"Kembalikan anak saya!"
"Tolong! Saya merayu… Kembalikan anak saya."
"Anakku, di mana anakku… Kasihanilah saya, kembalikan dia… Sayang, umi janji takkan buat lagi. Umi minta maaf… Umi sanggup buat apa saja asalkan anak umi pulang… Tolonglah tuan, saya merayu."
Aku memeluk kemas dan terus memeluk. Hanya tangisan dan rayuan pilu tidak diendahkan… Tidak dipedulikan. Sebak dan tidak berdaya.
Di sini aku… Di sana dia… Di belakang kenangan pahit… Di depan masa depanku yang kelam… Di sekeliling hutan… Aku tidak akan membiarkan kenangan pahit itu berulang lagi. Cukuplah hanya sekali melalui… Merasai… Melihat… Dan menderita.
Betul kata Firman, jangan terlalu berani dengan lelaki. Jangan mengekor lelaki. Jangan percaya kepada lelaki. Walau siapa pun Firman… dia tetap lelaki!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience