Chapter 7

Adventure Series 1746

Hidangan yang sangat ringkas. Gulai ayam kampung yang hanya dimasukkan bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan cili padi. Tiga batang serai dititik dan sedikit daun selasih ditabur di atasnya. Terdapat juga sepiring kecil sos ikan yang dicampurkan dengan cili padi yang telah dipotong dan diperah sedikit limau nipis. Itu saja.
Dua talam berhidang dan satu diangkat turun Fatimah dan diletakkan di atas pangkin di depan rumah. Untuk Firman rupa-rupanya. Dia bersila makan sambil ditemani mai tuan. Satu talam lagi untuk kami bertiga. Aku memandang ke arah talam nasi tersebut dengan pandangan anticipated. Tak sabar nak tahu bagaimana makanan orang Kemboja rasa.
Mai tuan menapak naik dan duduk bersimpuh di hadapan hidangan.
"Kenapa tak makan dulu?"
"Tunggu mama..." Balas Fatimah.
"Jemput makan binti..." Aku mengukir senyuman terima kasih.
"Kejap ya, mama. Fatimah nak kemaskan ai ngah makan tadi." Fatimah yang mula hendak bingkas bangun, duduk semula apabila mai tuan bersuara lembut.
"Ai ngah dah angkat talamnya ke dapur. Dia suruh kita makan sahaja. Dia nak ke masjid berjemaah Maghrib dan Isyak. Kita semua disuruh ikut."
Serentak dengan itu, terdengar cucuran air di dapur. Bunyi pinggan dan sudu berlaga. Dia membasuh pinggan rupa-rupanya. Aku mengangkat pinggan besi yang berwarna kuning cair, pinggan yang kosong tanpa ukiran bunga atau corak. Segenggam nasi aku jemput dan bawa ke mulut. Dengan lafaz bismillah, aku memasukkannya ke dalam mulut. Aku mengunyah perlahan. Cuba merasai gulai tersebut. Mai tuan dan Fatimah makan dengan rancak sekali. Satu sudu gulai ayam hendak diletakkan mai tuan ke dalam pingganku tetapi aku menolaknya dengan serba salah.
"Eh, tak apa. Makanlah..."
"Kenapa?" Mereka kehairanan.
"Kakak tak suka makan makanan bersantan." Ceritaku.
Muka mereka kelihatan kecewa.
"Kalau cakap tadi, kami boleh bakar ayam untuk kakak. Tak perlu bergulai." Fatimah terhenti makan.
"Eh, tak apa. Tak perlu bersusah-susah. Kakak makan saja apa yang dimasak. Jangan risau."
"Tapi kami masak ni istimewa untuk kakak. Sayangnya, kakak tak suka makan. Kalau kami tahu kakak tak suka makan gulai, kami ambil kelapa banyak sikit, perah santan dan jadikan minyak. Tapi lambat pula nak goreng ayam. Bakar lagi cepat. Tak apalah, kakak. Nanti kalau kami ada duit lebih kami beli minyak masak. Lepas tu kami goreng ayam untuk kakak ya." Dia seperti memujuk aku pula.
Aku terdiam sambil menahan rasa pahit di dalam hati. Aku seperti menyusahkan pula. Sedangkan tidak terdetik walau satu niat pun di dalam hatiku untuk menyusahkan mereka. Aku tahu mereka susah dan aku biasa hidup susah tapi sebelum ini kerenahku tidak pernah menyusahkan keluargaku yang susah atau Abah yang miskin. Abah relaks aje layan kerenah aku yang telah dimanjakan oleh Umi. Mungkin mereka tidak pernah terdedah kepada anak yang biasa hidup senang kut.
"Tak apalah... Bukan selera kakak, nak buat macam mana. Jangan dipaksa. Makan cepat nanti ai angah lambat menunggu kita." Lembut suara Mai tuan memujuk Fatimah.
Rasa sedikit ralat, tapi aku nak buat macam mana. Dah terlajak cakap. Aku menyuap nasi ke dalam mulut lagi. Suasana senyap. Hanya suara Sami Yusuf bergema di telinga melalui earphones. Hilang rasa pahit dalam hati. Mereka pun seperti terbantut selera, mungkin berkecil hati.
Aku berdiri bersendirian di pinggir sungai. Nafas yang panjang aku hela. Aku cuba menenangkan kerasahan di dada. Udara di sini segar dan nyaman. Aku mengemaskan jacket separas lutut. Sejuk semakin terasa dengan matahari yang mula menyusut turun. Cahaya orennya memancar indah dan lama-kelamaan warna merah mengambil alih pula. Ayat ruqyah berputar di bibirku, perlahan.
"Lain kali apa yang kami masak, makan saja. Jangan banyak songeh."
Aku menoleh sekilas kemudian melemparkan pandangan ke depan semula. Aku lebih senang melihat manusia di depan yang sibuk mandi dan membasuh.
Diam. Tiada jawapan keluar dari mulutku.
"Awak jangan berlagak sangat. Tadi awak cakap awak makan apa saja yang kami masak tetapi awak menolak pelawaan mama saya."
Aku berpeluk tubuh, menahan dingin waktu senja.
Aku lalu melepas nafas berat, menahan sabar. "Baiklah." Penuh sarkastik aku menjawab. Memang tak ikhlas langsung.
Firman berjalan ke depan dan menunduk melihatku. Aku keraskan mata, langsung tak mengangkat muka melihatnya. Hanya melihat baju Melayunya yang tak berbutang. Akulah lelaki ni, tahu tak sekarang ni waktu Maghrib? Jagalah sedikit pandangan tu!
"Kita berpijak di atas Bumi yang sama, melihat matahari yang sama. Air muka awak... Seperti kami menghidang najis untuk awak makan. Begitu sarcastic dan pathetic."
"Bagaimana awak tahu rupa saya macam mana? Awak menghendap saya?" Dan lagi satu, aku tak rasa macam tulah! Aku cuma tak suka makan gulai aje! Takkanlah itu pun nak tak puas hati dengan aku kut!
"Saya berada di dapur dan melihat segala perlakuan awak semasa makan tadi."
Membulat mata aku kerana terkejut dan marah. That's sexual harrassment! "Saya tahu awak bodyguard saya tapi jangan melampau. Jangan nak perhatikan setiap inci tubuh saya, setiap pergerakan saya..."
"Memang itu tugas saya!"
Gila. Lelaki ini memang gila.
Aku berjalan ke arah sungai tapi Firman menghalang.
"Apa awak cakap?!"
"Tak ada apa!" Aku memberi senyuman sarkastik kepadanya.
Dia bercekak pinggang, mencerlung aku tajam. Pandangan sekilas aku berikan, tanda aku tak sudi menatap wajahnya.
"Saya datang ke sini bukan sebagai sukarelawati tetapi sebagai seorang manusia. Saya ada rahsia hidup saya tersendiri yang awak tak tahu. So don't judge me and expect less from me." Kali ini aku memandang ke dalam matanya dengan pandangan dingin.
"Sebelum awak datang, awak tak baca, tak kaji dulu?  Mana letaknya akal awak? Di niqab dan purdah awak yang sekejap pakai, sekejap buka? Oh, maaf. Saya terlupa yang awak ni pesakit mental. Saya dimaklumkan yang awak datang ke sini ada misi khas. Melihat, mendengar dan menyebarkan kepada dunia luar tentang keadaan kami yang sebenarnya. Kalau sekadar mendengar tanpa melihat, apa gunanya? Melihat tanpa merasai lagi tak berguna. Nak faham penderitaan kami, awak harus duduk dan bergaul dengan kami. Tidur, makan dan mandi dengan cara kami. Barulah laporan, gambar atau berita yang dihantar lebih berjiwa, lebih manusia."
Aku memejamkan mata sejenak. Hanyalah sekadar gulai ayam yang aku tak suka makan tu, isu jadi besar sampai macam ni. "Awak ni tak faham-faham ke? Awak tau tak apa yang ada dalam fikiran saya? Saya tak kisah kalau awak nak menghina saya. Saya sedar siapa saya. Lagipun, awak bukannya kenal saya pun. Tapi saya rasa adalah lebih baik kalau awak fokuskan pada permintaan abang saya iaitu jaga saya baik-baik agar saya tak jadi gila sebelum habis tugas saya di sini."
Aku mengangkat muka, lalu memberi senyuman perlian kepadanya.
"Sebaik sahaja abang awak mengupah saya dengan akad penyerahan adik kesayangannya, automatik awak kepunyaan saya. Setiap pergerakan awak akan saya awasi. Semuanya dalam pemerhatian saya. Demi keselamatan dan kebaikan awak."
"Wau, sampai begitu sekali awak mengawal saya. Why not just say, saya mandi dan tidur pun awak nak perhatikan saya? Mata saya berkelip, dada saya berombak, rambut saya terkeluar..."
"Memang itupun saya akan lakukan. Sekarang, ikut saya. Masuk rumah. Jangan duduk di luar rumah waktu senja."
Aku buat tak tahu, aku tak ada sebab untuk mengikut arahannya. Dia bukannya suami aku.
"Tak apa. Ini hari pertama awak di sini. Saya beri peluang awak but bodoh dengan apa yang saya suruh."
Dia kata aku bodoh? Dapat bini yang lagi bodoh daripada aku baru dia tahu. Laaa... Aku mengaku aku bodoh pula!
"Tetapi mulai esok jangan mimpilah awak nak bergerak seinci tanpa saya dan nak buat apa-apa tanpa izin saya. Amanah yang diberi oleh Along awak sangat besar. Bila permintaan Along awak, jangan biarkan seekor nyamuk pun berjaya menggigit awak, it's not a joke at all. I take it seriously and will always do!"
Aku memalingkan wajah ke sebelah, mengemaskan pelukan pada badan. Aku mendengus kasar sambil menjawab. "I'd take it as very funny... Kalau kambing bolehlah."
"Kakak!" Suara Fatimah menyebabkan kami berpaling. Dia berjalan sambil membawa dua buah baldi.
Firman melepasi aku sambil berbisik perlahan.
"I'll take it as a challenge. Whether you like it or not, kambing lebih senang dikawal berbanding awak. So you'd better give your full co-operation or I'll make your days look like a nightmare."
Baldi di tangan adiknya diambil dan dia mula meniti menuju ke pelantar. Baldi dikuak sekejap di atas permukaan air dan diselamkannya. Agak-agak dah penuh, kedua-dua baldi itu diangkat naik ke darat dan dia langsung menuju ke rumah.
"Kakak, mari kita ambil wuduk. Kita nak berjemaah di masjid. Ada program istimewa untuk kita malam ini daripada ustaz."
Aku mengangguk dan mula menurut langkah Fatimah. Dia nak buat hidup aku umpama mimpi ngeri? Wajahku tak berubah reaksi. Uuu, seramnya... Tak sabar aku nak rasa mimpi ngeri itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience