Satu usapan yang lembut dan hangat di kepalaku.
"Allah…"
"Assalamualaikum kakak…" suara Fatimah sayup-sayup kedengaran.
Aku berkalih ke arah suara itu. Melihat Fatimah yang tersenyum bimbang.
"Kita di mana?"
"Di bilik hotel… Kakak dah sihat? Nak makan apa?"
Mataku terkebil-kebil sambil kedua-dua jari memicit di tengah-tengah antara kening. Apa yang telah berlaku? Macam mana aku boleh sampai ke bilik hotel?
"Saya ambilkan air untuk kakak ya?"
Aku mengangguk tanpa berfikir.
"Ini airnya…" Fatimah menunjukkan aku gelas. Aku meneguknya sekali sebelum memandang air ini dengan muka berkerut. Ada sesuatu yang tidak kena di air ini! Mataku sempat memandang sekeliling. Banyak mata-mata memandangku penuh fokus. Aku tak boleh nak menambah curiga di dalam hati mereka. Aku meneguk air itu tanpa menghiraukan apa-apa. Fatimah agak terkejut.
"Nak lagi?"
Aku menggeleng dengan wajah penuh serba salah.
Kepalaku bertambah pening. Tubuhku semakin loya dan mula memaksa diri supaya memuntah segala isinya. Aku menggagahkan tubuh supaya berdiri dan apabila isi sudah berada di esofagus, pantas aku melarikan diri ke bilik air. Fatimah membantu memapahku dan menepuk belakang tubuhku yang sedang mengeluarkan isinya ke atas lantai bilik air. Telingaku menangkap suara Firman memberi arahan agar aku muntah habis-habisan. Kalau dia tak beritahu pun aku tahu. Memang ni sisa makhluk halus tadi. Dah lah macam-macam warna keluar! Aku berjalan terhuyung-hayang ke katil dan menapak naik. Aku menghela nafas dalam-dalam. Baru aku perasan pakaianku telah ditukar. Fatimah mengambil tempat di sebelah dan dia memegang kedua-dua belah tanganku.
"Tangan kakak sejuk, ai ngah."
"Kejap lagi okaylah tu. Fatimah, buatkan teh untuk kakak ya."
Firman mengambil kerusi dan duduk berdekatan denganku. Aku manahan perasaan dalam hati.
"Hana…" panggilnya lembut.
Aku membisu, tetap menunduk.
"Kenapa sengih?"
Tak tahu nak menjawab apa. Dan tak berminat.
"Jangan layan sangat perasaan tu. Lain kali jangan jauh dari saya."
Aku tak menjawab. Hanya diam membisu.
"Pandang saya…"
Tak mahulah pandang-pandang. Apa cerita ni nak buat macam drama TV3? Aku masih lagi mengukir sengih serba-salah. Malu! Aku harap rahsia keluarga besarku tak terbongkar. Aku dah tak nak ingat dah lagi pasal hal itu! Peduli apa aku kalau moyang aku boleh mengawal haiwan! Itu bukan kekuatan sebenar dia! Itu adalah tipu daya syaitan!
Firman mengeluh sedikit.
"Okaylah… Mungkin awak rasa serba tak kena. Awak tak sedar apa yang awak cakap dan buat. Awak dipukau tadi."
Cepat-cepat aku menggerakkan mata, memandang Firman dengan air muka penuh bersalah. Tak sangka aku lelaki sadistik pun ada rasa bersalah. Tapi aku tak gembira pula, sebaliknya aku turut berduka walau dengan sebab yang berbeza.
"Maafkan saya… Saya tersilap. Sepatutnya saya tak tinggalkan awak. Tapi saya tak tinggalkan awak pun sebenarnya. Awak tetap dalam perhatian dalam jarak tujuh hingga sepuluh kaki. Saya terkalih sekejap dan bila para pelancong itu melepasi awak saya melihat awak dalam pelukan Matt. Nasib baik Matt ada. Fatimah cuba pimpin awak tapi awak enggan melepaskan Matt. Matt yang dukung dan bawa awak ke kereta. Kami bawa awak ke Masjid Besar Phnom Penh. Awak diambil kan air wuduk dan dimandikan oleh Fatimah dengan tunjuk ajar saya. Susah betul Matt nak lepaskan pelukan awak. Jangan risau, aurat dan kehormatan awak terjaga. Maafkan saya sekali lagi. Jika awak rasa saya tak boleh menjaga awak, saya sanggup dipecat."
Aku menahan gelak dalam hati. Sambil minta maaf dan sanggup dipecat pun ada unsur contradiction ooo… Lagi satu, kehormatan terjaga apanya kalau aku enggan melepaskan pelukan Matt, a.k.a. bukan mahramku?! Tapi ini bukan salah Firman, walau dia rasa bersalah pun. Ini adalah ujian daripada Allah.
"Tak apalah, bukan salah awak. Allah kata kun fayakun. Apa identiti orang yang pukau saya tadi tu?" Soalan bodoh. Tapi aku nak tahu juga, apa masalah orang tu dengan aku. Tadi, masa jumpa tukang sihir tu, aku tak mampu nak tanya banyak sangat.
Firman mengalihkan pandangannya, melihat ke depan. "Biasalah, orang jahat ada di mana-mana. Di pasar itu saya lupa nak pesan, hati-hati dengan pick-pocket. Kadang-kadang mereka menggunakan cara halus untuk mendapatkan duit. Mungkin mereka berkenankan hand bag awak. Lagipun awak memang kelihatan seperti bukan orang di sini… Nampak berada dan luar biasa sekali penampilan awak, itu yang membahayakan. Mereka sentiasa tajam dan menanti peluang. Terlalai sekejap saja, ada peluang, terus mereka rembat. Kebetulan saya berdiri jauh dan Matt terkepung oleh pelancong. Masa itulah mereka bertindak. Dah profesion mereka… Dan mereka bukan seorang. Mereka bergerak berkumpulan. Ada back up. Sebab itu bila awak jatuh, mata saya hanya kepada awak. Jangan awak hilang dan jauh dari saya walau sekelip mata. Saya boleh ajar dan kejar mereka tetapi diri awak segala-galanya. Barang hilang boleh diganti."
Aku menelan air liur yang terasa pahit. Tah adalah luar biasa sangat penampilan normal aku. Jubah labuh dan tudung labuh. Niqab atau purdah. Itu sahaja. Fesyen aku pun tak ekstravaganza sangat.
Baru aku perasan.
"Mana baju yang saya pakai awal-awal tadi?"
"Ada, kakak…"
Fatimah datang dan menghulurkannya. Aku menyelongkar jubahku. Dan melihat stok simpanan bilah yang tajam dan banyak. Aku melepas nafas lega.
"Saya lapar."
Firman mengangguk. Dia bangun dan membuka pintu keluar.
"Solat jamak dulu… Sekarang dah Asar. Saya order makanan ke bilik."
"Saya nak makan di luar. Depan istana."
Firman terhenti dan berpandangan dengan Fatimah.
"Okay… As you wish…"
Bersiar-siar di sekitar Phnom Penh bagi aku sangatlah menyesakkan. Berbagai kenderaan dari yang tradisional hingga ke moden. Di sini seperti tidak ada undang-undang. Siapa cepat dia dapat. Kena pandai mencelah dan mengelak. Kenderaan tidak dihadkan jumlah penumpang dan barang, selagi boleh sumbat, sumbat. Aku memerhati sebuah van yang terpaksa diikat pintunya dari terburai barang-barang di dalamnya. Sendat dengan penumpang dan ada yang beriba dengan pemandu. Biar betul! Harap-harap selamatlah penumpang tu. Setakat pemerhatian aku, ada sebuah motosikal itu ditunggang satu keluarga. Leka saja aku mengira, lapan orang. Wau. Masha Allah!
Kenderaan utama di sini ialah motosikal. Beribu… Entah-entah berjuta. Mencelah, merempit, mencilok dan seperti mereka yang menguasai jalan raya. Kenderaan lain terpaksa mengalah dan memberi laluan. Motosikal digunakan semaksimum yang mungkin dan yang paling menarik sekali, turut disewakan. Cakap saja ke ulu banat mana, pandai-pandailah pembonceng belakang mengawal dan membaringkan diri bila sampai di selekoh.
Firman mengingatkan aku, motosikal dia adalah kenderaan rasmi aku. Dia akan memboncengkan aku ke mana saja, tetapi aku tak digalakkan ke mana-mana. What? Dia tidak suka memboncengkan orang kerana dia selalu terlupa ada orang di belakang! Nasiblah kalau aku tergolek di mana-mana. Paling mengujakan aku, Modenas ada di mana-mana. Memang besarlah biji mata aku yang sepet ni setiap kali nampak Modenas dan barang buatan Malaysia.
Menarik juga melihat gaya polis trafik mereka. Seperti orang menari lagaknya dengan wisel di mulut. Mesti penuh sample DNA mereka dekat wisel tu. Agak-agaknya dah boleh ujian DNA dah kut dengan hanya sebiji wisel. Aku ketawa perlahan.
Firman menghentikan kereta di Samdech Sothearos Boulevard yang terletak tidak jauh dari Tasik Tonle Sap. Phnom Penh terletak tidak jauh dari pertemuan tiga sungai utama iaitu Sungai Tonle Sap, Sungai Mekong dan Sungai Bassac. Matt ada hajat rupa-rupanya. Para penganut Buddha ada upacara agama di sebuah kuil di tepi sungai itu. Harapanku menggunung. Mungkin aku boleh bertemu Hong Keat and the gang lagi.
Mereka membeli seekor burung seperti ciak rumah. Burung itu dilepaskan dengan niat penyucian dosa dan jiwa. Ibaratnya dosa mereka terlepas dengan terlepasnya burung tersebut. Tak masuk akal bagi aku, tapi aku faham perasaan itu.
"Firman, saya nak beli beberapa ekor burung."
"Awak nak buat apa?"
"Adalah…"
Beritahu saya dulu awak nak buat apa, baru saya pertimbangkan… Boleh atau tak boleh. Lagipun tak elok ikut upacara mereka…"
"Tak ada siapa yang ingin menjadi syirik dan kafir. Saya ingin membebaskan burung-burung itu sahaja, kasihan mereka."
"Burung itu akan bebas juga. Pasti ada yang akan membelinya."
"Tapi saya ingin membelinya."
Firman mengalah. Sebanyak 33 ekor burung dibelinya mengikut permintaan aku. Rasanya kami pembeli terbanyak dan banyak mata yang memandang kami, hairan. Aku yang berjubah longgar dan bertudung labuh serta tertutup semua kecuali biji mata beria-beria membeli burung daripada kuil. Seekor demi seekor aku lepaskan. Terbanglah kau wahai burung… Terbang dengan bebas. Carilah diri kamu yang sebenar. Aku faham apa yang kamu rasa… Bila perasaan itu datang menyiksa.
Mereka mengepak tinggi, seakan-akan aku mendengar laungan kemerdekaan, riang dan bebas. Merdeka! Satu harga yang sangat mahal, bagi diri dan jiwa yang terbelenggu. Aku berdoa, suatu hari nanti Islam juga akan merasa kebebasan dan kemerdekaan itu. Dari rasa keliru kerana jari-jemari ditunding ke arahmu, atas sebab yang bukan pilihanmu.
Udara yang dingin beserta tiupan angin semakin kencang menandakan hari semakin beransur petang. Firman membawa kami meronda di depan perkarangan Istana Diraja atau Royal Palace, atau dalam Bahasa Khmer, Preah Barom Reachea Vaeng Chaktomuk. Aku tak berminat nak masuk dan melawat. Aku lebih berminat dengan pemandangan di Dataran Phnom Penh (Riverside Square) di tebing Sungai Mekong. Sungai yang ditembak untuk mengelakkan hakisan. Seni bina di dataran ini juga menarik. Cukup berseni dengan nilai ukiran tradisional Khmer yang tinggi. Berderet perempuan duduk berniaga jagung rebus dan telur. Menarik cara mereka berniaga. Sederhana sangat. Hanya sebidang tikar dihidangkan untuk pelanggan mereka. Bebas nak duduk di mana saja.
"Hana nak rasa makanan orang di sini?" Firman bertanya.
"Boleh juga."
Kami duduk di atas tikar sambil menunggu order. Ramai betul manusia di sini apatah lagi pelancong. Penjual memberi salam, menghantar lima jantung jagung rebus, sepiring kecil garam, dan satu pinggan telur rebus, tiga biji telur ayam. Seorang penjual lagi menghantar tiga biji telur itik rebus kepada Matt.
Firman mengoyakkan kulit jagung, lalu menghulurkan kepada aku dan Fatimah. Fatimah menyuruh aku menyapu sedikit garam pada jagung itu. Baru ada umph katanya. Betul juga. Sangkaan aku, jagung ini dibakar dengan unsalted butter. Berlemak, manis dan sedap.
Selesai makan jagung, aku nak mencapai telur itik. Firman berdehem. Aku terhenti, kerana terganggu fokus. Matt mengambil telur itik itu dan memecahkannya sedikit di atas. Hati-hati dikopeknya sedikit demi sedikit, kemudian dihirupnya. Nampak macam menarik. Ralit pula aku memerhatikannya. Kemudian, satu sudu kecil diciduk ke dalam telur itu. Dia mengeluarkan isi telur tapi yang aku nampak ialah bukan kuning atau putih telur. Seperti janin. Embrio. Anak itik yang tak cukup bulan?! Matt memasukkan ke dalam mulutnya dan makan dengan berselera. Aku menahan muntah. Kemudian baru Matt perasan ada beberapa helai bulu anak itik itu di bibirnya. Dia memasukkan ke dalam mulutnya dengan selamba dan sambung mengunyah. Euww, jijiknya! Geli aku!
Aduh! Satu tepukan yang kuat hinggap di dahiku. Firman selamba saja mengupas kulit telur ayam dan menghulurkannya kepada Fatimah. Fatimah mencicahnya dengan sedikit garam. Dia makan dengan berselera. Aku menggosok dahiku yang sakit. Stress betullah duduk dengan dua orang pengawal peribadi aku ni! Seorang makan janin haiwan dan seorang lagi menghentak dahiku dengan telur. Aku memilih untuk bangun dan berjalan kaki ke sungai. Aku menahan muntah dan menyeka air mata yang bertakung.
"Hey, come on lah… Takkanlah nak bunuh diri pasal telur." Firman pantas mengekor.
"Tak ada siapa yang nak bunuh diri. Awak ni teruk. Suka hati aje cakap pasal bunuh diri macam pergi drive pusing bandar."
"Saya tak mahu awak hanyut melihat Matt makan. Awak mudah terbawa-bawa."
"Perlu ke nak beritahu yang saya nak bunuh diri?"
"Itu aje yang saya terfikir, spontan. Nak makan ke tak telur ni?"
Firman menunjukkan dua biji telur ayam di tangannya. Aku memandang telur itu dengan wajah keruh sebelum melepaskan keluhan pahit.
"Firman… Apa Matt makan tadi?"
"Seperti yang awak nampak. Makanan kegemaran kebanyakan penduduk Khmer."
"Eei… Tak geli ke makan anak itik tak menjadi tu?! Dah lah direbus hidup-hidup, tak ada apa lagi dah ke nak makan?!"
"Dah itu makanan mereka, kita tak boleh nak kata apa."
"Eeeii! Geli saya! Nak termun… Adoi!"
Satu tepukan lagi di dahi aku. Aku mencerlungnya tajam. Tak nampak ke yang aku tengah loya dan nak muntah ni?! Sengaja je ambil kesempatan. Dahlah tubuh aku tengah lemah lagi, bahana kena sihir tadi. Dia mengupas telur, kemudian ditunjukkannya kepadaku.
"Awak hanyut lagi. Nah, makan ni… Tak lama lagi Maghrib. Banyak lagi tempat kita nak pergi ni."
Aku tidak mengambil telur yang dihulurkannya. Sebaliknya aku menunjuk telur yang belum dikupasnya. Firman menghulurkan kepadaku.
"Cuba awak lihat kulit telur ni… Macam ada bunga." Jari telunjukku menunjuk pada bunga di tapak tangan.
Firman menunduk sedikit dan pantas aku menampar telur itu ke dahinya! Memang kena tepat di titik Chakra di dahi, terbaik! Aku masih berbisa! Bulat matanya terkejut, kemudian bibirnya tersenyum nipis. Aku mengupas telur di tangan.
"Untuk bodyguard saya… Yang sangat berbisa… Power… Dan…"
Mata kami bertentang sesaat, sebelum aku menumpukan kembali pada telur di tangan.
"Dan apa?"
Aku mengerutkan dahi, berfikir.
"Entah. Saya pun tak tahu."
Sebenarnya aku main cakap je. Aku harap nanti tak adalah salah faham konon yang aku sukakan dia ke hapa. Aku menghulurkan telur yang aku kupas dan Firman menghulurkan telur yang dikupasnya kepadaku. Kami duduk berhadapan Sungai Mekong sambil menikmati pemandangan. Firman memasukkan telur rebus itu ke dalam mulutnya. Aku memandang telur di tangan. Mata meliar, mencari sesuatu.
Kening Firman terangkat melihat telatahku. "Awak cari apa?"
Aku tak menjawab. Seorang budak lelaki berpakaian kuning yang tidak berjahit, hanya kain, aku gamit dengan tangan. Budak itu kelihatan teragak-agak memandangku. Dia memandang sami yang agak dewasa sebelum kedua-duanya berjalan mendapatkanku. Telur rebus di tangan aku berikan kepada budak itu. Budak lelaki itu memandangku dengan muka ceria sambil merapatkan kedua-dua tapak tangannya tanda bersyukur sambil menunduk ke bawah. Aku mengukir senyum penuh makna. Memang tahu sangat sistem sami Buddha. Mereka hanya makan apa yang orang beri, sebagai tanda bersederhana. Aku faham maksud tu, tapi manusia bukanlah suka memberi sangat pun. Apatah lagi memberi dengan niat sekadar ingin menggembirakan orang lain. Sami Buddha yang lebih senior itu turut melakukan hal yang sama sebelum bertutur kepada budak yang memegang telur rebus itu dalam bahasa yang aku tak faham. Tapi aku faham nada tu, mesti peringatan, makan hanya waktu tertentu sahaja. Simpan dulu. Senyumku mula menampakkan barisan gigi walau terlindung di balik purdah. Mataku memandang mereka yang menapak pergi ke kuil.
"Firman… Kemboja ni sebenarnya tak lah boleh dikatakan negara yang depresi sangat. Tengok bandar Phnom Penh ni berkembang maju dengan pesatnya. Ramai manusia dan pelancong. Nampak kerajaan Kemboja bersungguh-sungguh nak membangunkan bandar ini. Pakaian wanitanya pun boleh tahan. Dahsyat sungguh pakaian mereka, seksi gila."
"Memang up to date. Sampai kami selalu buat lawak. Nak beristighfar ke nak beralhamdulillah."
Aku tergelak kecil mendengarkan lawak itu.
"Tambah lagi seorang di sebelah saya ni. Nasib baik pakaiannya tutup semua, cuma kadang-kadang saja muka dibuka dan ditutup," kata Firman sinis.
"Bukan selalu. Takkanlah nak berpurdah di rumah. Lagipun saya menutup aurat dengan sempurna. Apa lagi yang kurang?"
"Nanti jawablah dengan Mungkar dan Nangkir macam tu…"
Aku menelan pahit di mulut dan dada. Jawapan yang sama, tak membantu aku langsung.
Alhamdulillah, berjaya published. tak sangka yg ni akan ambil masa lg lama. thanks for reading.
Share this novel