"Arwah datuk Khaira orang ternama. Semua orang hormat dan patuh pada dia. Dia terlalu pentingkan pangkat dan harta. Sedikit pun dia tak pernah nak memahami sesiapa. Termasuklah anak-anak dan isteri dia sendiri. Tapi, datuk Khaira sangat beruntung sebab dapat seorang isteri yang memahami dia. Tak pernah ingkar mahupun membantah dengan arahan dan kehendak dia. Tapi disebalik itu semua, datuk Khaira tak pernah tahu sakit hati mahupun kesedihan seorang isteri. Arwah nenek Khaira selalu kena tinggal dengan arwah datuk Khaira sebab datuk Khaira sibuk menguruskan perniagaan keluarga. Kadang-kadang terpaksa ke luar negara dan tidak pulang berbulan-bulan. Namun, arwah nenek tak pernah merungut. Dia simpan sahaja perasaan dia dan dia pendam segala yang dia rasa kerana cinta dia terlalu kuat pada arwah datuk Khaira." Sofea mula membuka cerita. Menyingkap kembali kisah silam keluarganya.
"Tapi ibu dan pak long tidak seperti arwah nenek. Kami langsung tidak memahami kesibukan arwah datuk Khaira. Bagi kami, arwah datuk Khaira terlalu mementingkan diri dan mengabaikan keluarganya sendiri. Oleh sebab itu, ibu dan pak long lebih rapat dengan arwah nenek Khaira berbanding arwah datuk Khaira. Hinggalah kami meningkat dewasa, masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Pak long sibuk menguruskan hal syarikat di Malaysia, ibu pula sibuk menghabiskan masa di kolej. Ibu dipaksa mengambil jurusan perniagaan walhal ibu langsung tidak berminat. Tetapi disebabkan ibu takut untuk membantah, ibu akur."
Sofea diam seketika. Nafasnya digali dalam. Sementara matanya tidak lepas dari menatap ke arah kolam. Khaira Eryna yang sejak tadi hanya berdiri, kini mula melangkah mendekati Sofea sebelum melabuhkan duduk di sisi wanita itu. Menanti sambungan kisah daripada Sofea.
"Satu hari ibu pergi ke perpustakaan awam di bandar. Di situlah permulaan kisah ibu dan arwah baba Khaira. Di situ jugalah tempat di mana cinta kami mula berputik hanya dengan pertemuan yang pertama. Khaira pernah dengar cinta pandang pertama?" Sofea mula menyoal saat dia sedar anak gadisnya itu sudah berada di sisinya.
Khaira Eryna hanya mengangguk tanpa bicara. Namun, pandangannya masih terpasak pada wajah sang ibu. Tekun mendengar cerita daripada Sofea. Melihat balasan Khaira Eryna, Sofea senyum segaris.
"Dulu arwah baba selalu hantar barang dekat area perpustakaan. Satu hari masa ibu tengah berjalan nak ke perpustakaan, entah mana silapnya, ibu terlanggar dia masa dia tengah angkat barang. Untung barang-barang yang dia bawa tu tidak terhempap ibu, kalau tidak mesti dah lama ibu jalan tempang tak pun patah tangan atau kaki. Nasib baik juga arwah baba sempat elak. Sejak pertemuan tu, ibu keraplah terserempak dengan dia dekat situ. Lama-kelamaan arwah baba beranikan diri untuk berkenalan dengan ibu. Ibu setuju. Kami mula berkawan. Arwah baba selalu ambil ibu balik dari kolej kalau kerja dia dah selesai awal. Hubungan kami makin lama semakin rapat. Dalam diam ibu semakin tertarik hati dengan arwah baba. Sikap dia yang penyayang, caring dan dia sangat hormati ibu. Dia tak pernah ambil kesempatan pada ibu. Ibu ingat selama ni ibu yang bertepuk sebelah tangan. Rupanya arwah baba pun ada simpan perasaan yang sama pada ibu juga. Itupun selepas sambutan hari lahir ibu yang ke dua puluh. Masa tulah dia luahkan perasaan dia pada ibu. Waktu tu hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati ibu." Senyuman Sofea semakin melebar saat bayangan detik indah dia bersama Hakim suatu ketika dulu terlayar di ruang mata.
"Namun, kebahagiaan yang ibu rasa hanya seketika. Arwah datuk Khaira dapat tahu tentang hubungan ibu dan arwah baba. Dia menentang keras hubungan kami berdua. Tetapi, baba tak pernah putus asa. Dia sanggup beranikan diri berjumpa arwah datuk Khaira dan minta izin untuk memperisterikan ibu." Nada Sofea mula berubah sebak. Senyuman di bibirnya terus sahaja hilang. Yang tinggal hanya pandangan sayu di matanya.
"Arwah datuk Khaira berkeras. Tetap dengan keputusan dia. Dia tidak benarkan ibu berjumpa lagi dengan arwah baba. Setiap pergerakan ibu dikawal ketat. Arwah baba pernah kena pukul dengan orang suruhan arwah datuk Khaira sebab curi-curi jumpa ibu dekat kolej. Arwah baba cedera teruk. Ibu tak sampai hati tengok arwah baba macam tu. Akhirnya ibu ambil keputusan untuk berpisah dengan arwah baba. Tapi arwah baba tak boleh terima. Dia beranikan diri berjumpa arwah datuk tanpa pengetahuan ibu. Tanpa ibu sendiri tahu mereka berdua ada buat perjanjian."
"Perjanjian? Perjanjian apa?" Soal Khaira Eryna ingin tahu.
"Perjanjian yang ibu boleh berkahwin dengan arwah baba dengan syarat arwah baba kena sediakan sebuah rumah untuk ibu dan semua perbelanjaan ibu arwah baba mesti tanggung termasuk kos kolej ibu. Arwah baba kena benarkan ibu sambung belajar. Kami tidak dibenarkan mempunyai anak sehingga ibu habis belajar. Arwah baba kena cari kerja yang lebih baik daripada kerja yang dia ada masa tu."
"Habis tu arwah baba setuju?" Sela Khaira Eryna lagi.
Sofea angguk perlahan.
"Arwah baba setuju. Kami dinikahkan. Tapi majlis perkahwinan kami hanya dihadiri oleh ahli keluarga dalam majlis yang tertutup. Selepas sahaja ibu dinikahkan arwah baba terus bawa ibu balik ke rumah. Hidup kami tidak semewah mana. Tapi kami bahagia. Arwah baba kerja keras untuk sara ibu. Dia cuba tunaikan janji dia. Ibu kesian dengan arwah baba. Ibu ada juga beritahu dia yang ibu tak nak sambung belajar. Sebab kos untuk pelajaran ibu terlalu mahal. Ibu tahu arwah baba tak mampu. Tapi arwah baba berkeras dan halang niat ibu untuk berhenti belajar. Ibu akur. Tanpa diduga ibu disahkan hamil. Saat itu merupakan saat paling bahagia untuk ibu. Tetapi bukan untuk baba. Depan ibu dia senyum bahagia. Namun, disebalik senyuman dia ada terselit keresahan. Ibu boleh nampak dari air muka dia."
Khaira Eryna tekun mendengar. Dadanya terasa sebak tiba-tiba.
"Khaira jangan salah faham. Arwah baba gembira sangat bila dapat tahu ibu mengandungkan Khaira masa tu. Cuma sebab perjanjian dia dengan arwah datuk Khaira, dia jadi kusut. Dia minta ibu jangan beritahu sesiapa pasal kehamilan ibu. Bila ibu tanya kenapa? Dia bagi macam-macam alasan. Ibu cuma ikut sahaja kehendak arwah baba. Tapi perut yang semakin membesar tak akan mampu ibu sembunyikan. Akhirnya, berita tentang kehamilan ibu sampai ke pengetahuan arwah datuk Khaira. Waktu tu, arwah baba dah jadi tak senang duduk. Dia cuba kawal emosi dia depan ibu. Sebab dia tak nak ibu tahu. Tapi naluri seorang isteri sentiasa dapat membaca kesulitan seorang suami. Arwah baba akhirnya berterus-terang dengan ibu tentang perjanjian mereka. Ibu tak terkejut sebab ibu kenal arwah datuk. Tiada apa yang percuma bagi dia. Setiap perbuatan pasti dia inginkan balasan. Tanpa pengetahuan arwah baba, ibu pergi berjumpa arwah datuk Khaira. Ibu bersemuka dengan dia. Ibu minta dia jangan ganggu kehidupan ibu dan rumah tangga ibu."
Suara Sofea kembali bergetar. Dadanya terasa sempit. Air matanya mula bertakung di tubir mata. Peristiwa yang pahit itu kembali mencengkam hatinya. Dia terasa sebak.
"Arwah datuk Khaira bagi kata dua pada ibu. Sama ada balik ke pangkuan keluarga ataupun dia akan hancurkan hidup arwah baba dan anak ibu yang bakal dilahirkan. Arwah datuk Khaira orang yang berpengaruh. Dia boleh buat apa sahaja yang dia mahu. Mahu tidak mahu, ibu terpaksa terima. Ibu pilih untuk kembali kepada keluarga ibu. Tapi ibu ingatkan arwah datuk supaya tidak akan ganggu arwah baba dan anak ibu lagi. Arwah datuk tunaikan janji dia. Selepas ibu bersalinkan Khaira, ibu terpaksa pergi tinggalkan Khaira dan arwah baba. Ibu tak nak arwah datuk Khaira sakiti arwah baba dan Khaira. Ibu tak nak terus susahkan arwah baba. Ibu sanggup berkorban. Ibu tahu arwah baba boleh jaga Khaira dengan baik. Ternyata telahan ibu tak silap. Arwah baba memang jaga dan didik Khaira dengan baik. Tengoklah anak ibu sekarang. Cantik. Ramai orang yang sayangkan anak ibu." Tanpa sedar, air mata Sofea gugur ke pipi. Matanya tidak lepas dari menatap wajah mulus Khaira Eryna. Perlahan-lahan tangannya diangkat menyentuh pipi anak gadisnya. Pipi Khaira Eryna diusap lembut.
Khaira Eryna tidak menolak mahupun membantah. Dia hanya membiarkan sahaja perlakuan wanita di hadapannya itu.
"Auntie bahagia ke dengan keputusan auntie?"
Pertanyaan Khaira Eryna memberhentikan tingkah Sofea.Sofea kembali menurunkan tangannya. Kepala digeleng kecil.
"Mana ada seorang ibu pun yang bahagia saat dia terpaksa berpisah dengan anak dan suami. Lebih-lebih lagi saat anak itu baru sahaja dilahirkan. Rasa sakit rindu ibu pada anak dan suami ibu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Setiap kali breast ibu sakit sebab bengkak susu, setiap kali tu ibu tahu anak ibu tengah menangis dahagakan susu ibu. Setiap kali itu juga ibu akan menangis rindukan anak ibu. Baju Khaira, baju arwah baba yang sempat ibu bawa jadi peneman ibu setiap hari. Sedetik pun ibu tak pernah lupakan anak dan suami ibu. Ibu tahu tindakan ibu salah. Ibu ni ibu yang tak guna. Isteri yang derhaka. Sekarang ni ibu dah dapat balasan daripada tindakan ibu yang dulu. Sekali lagi ibu kehilangan arwah baba. Kali ini untuk selama-lamanya dan sekarang ni ibu juga bakal kehilangan anak ibu. Ibu terima. Ibu reda. Cukuplah ibu dah jumpa anak ibu. Ibu dah dapat tengok keadaan dia. Terima kasih kerana sudi dengar cerita ibu. Terima kasih kerana sudi luangkan masa untuk ibu. Dan terima kasih sebab tak larikan diri bila nampak ibu. Terima kasih banyak-banyak." Ucap Sofea. Air matanya yang masih mengalir diseka dengan hujung jarinya. Nafas ditarik dalam.
Dia sudah merasa lega. Semua yang ingin dia sampaikan pada anak gadisnya sudah dia luahkan segalanya. Kini, biarlah dia mengundur diri. Dia tidak mahu memaksa kerana kebahagiaan Khaira Eryna adalah kebahagiaan dia. Andai tiada dia di sisi gadis itu akan membuatkan gadis itu gembira, dia memilih untuk pergi. Cukuplah dia dapat melihat gadis itu dari jauh. Kerana doanya sentiasa ada mengiringi gadis itu selagi dia masih bernyawa.
Sofea sudah bangkit berdiri. Berura-ura untuk melangkah pergi. Namun, belum sempat kakinya melangkah, ada tangan yang melelar lengannya. Menghalang dia beredar dari situ. Lalu, Sofea menoleh ke sisinya.
"Ibu nak ke mana?" Tanya Khaira Eryna dengan linangan air mata.
"Khaira panggil apa tadi?" Soal Sofea seakan tidak percaya dengan apa yang dia dengari.
"Ibu, jangan tinggalkan Aira lagi. Jangan sesekali tinggalkan Aira." Rayu Khaira Eryna dalam sendu.
Tidak menunggu lama, tubuh Khaira Eryna ditarik dalam dakapan. Khaira Eryna membalas pelukan ibunya. Mereka saling berpelukan melepaskan segala kesedihan dan kerinduan yang selama ini dipendam.
"Tak, ibu tak akan tinggalkan anak ibu lagi. Aira anak ibu. Selama-lamanya anak ibu. Ibu sayang anak ibu."
Wajah Khaira Eryna dikucup berulang-kali. Melepaskan rindunya yang menggunung. Ucapan syukur tidak putus diucap di dalam hati. Tanda terima kasihnya pada yang Maha Esa. Tanpa sedar, beberapa pasang mata menjadi saksi penyatuan dua beranak itu.
Share this novel