Bab 23

Drama Series 34153

Kelopak mata mula bergerak-gerak. Kening berkerut menahan kepala yang terasa memberat. Perlahan-lahan Khaira Eryna membuka matanya. Menyentuh kepala yang berdenyut. Dia cuba bangkit dari perbaringan. Dengan sedikit kepayahan akhirnya dia mampu menyandarkan batang tubuhnya di kepala katil. Matanya diliarkan ke arah ruangan bilik yang terasa asing baginya. Mengerdipkan matanya beberapa kali bagi menghilangkan pandangan yang masih berbalam-balam.

Khaira Eryna merenung ke arah jendela yang sudah terbuka luas. Cahaya mentari terbias masuk ke ruangan bilik itu. Telinganya menangkap bunyi kicauan burung dari arah luar. Mahu menjengah kudratnya seakan terbatas. Sudahnya dia hanya termenung sendiri sambil menggali fikirannya mengingati perkara yang berlaku sebelum ini.

"Kau dah sedar?"

Teguran lelaki di muka pintu bilik menyentak lamunannya. Khaira Eryna pantas menoleh ke arah suara tersebut. Semakin berkerut keningnya saat melihat kewujudan lelaki itu di situ.

"Awak? Macam mana awak boleh berada dekat sini? Kita dekat mana ni? Ni bukan rumah daddy dan mommy. Awak ada buat apa-apa ke pada saya?" Bertalu-talu soalan dilontarkan kepada lelaki itu. Sempat Khaira Eryna melihat pakaian yang dikenakan di tubuhnya. Malangnya pakaiannya bukan lagi pakaian yang dipakainya sebelum ini. Bukan gaun malam tetapi sepasang baju tidur satin. Melekap kemas di tubuhnya. Khaira Eryna menoleh semula ke arah Danish Xavier dengan pandangan tajam. Lalu menyilang kedua-dua tangannya ke dada.

"Awak...awak ke yang tukar baju saya?" Aju Khaira Eryna sedikit gugup.

Danish Xavier menarik senyuman nipis. Kakinya mula melangkah mendekati Khaira Eryna yang berada di atas katil. Kerusi kecil yang berada di almari solek ditarik, lalu diletakkan berhampiran dengan katil. Danish Xavier melabuhkan duduk di kerusi itu sambil merenung ke arah Khaira Eryna.

"Kau tak ingat ke apa yang berlaku pada kau malam tadi?"

Khaira Eryna menggeleng laju. Dia benar-benar tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku ke atas dirinya.

"So, kau tak ingat yang kau cuba goda aku? Kau hampir serahkan tubuh kau pada aku. Kau merayu minta aku bersama kau. Kita hampir sahaja terlanjur, Khaira. Untung sahaja aku masih ada iman. Jika tidak, mungkin keadaan kau tak seperti sekarang." Ujar Danish Xavier tanpa berselindung.

Terbuntang mata Khaira Eryna mendengarnya. Tak mungkin dia boleh berkelakuan seperti itu. Tidak, dia masih ada maruah! Dia bukan perempuan murahan yang mudah menyerahkan tubuh pada lelaki.

"Awak cakap apa ni? Jangan nak buat cerita. Saya bukan perempuan yang macam tu!" Nada Khaira Eryna sedikit meninggi. Menepis semua tuduhan Danish Xavier padanya.

"Aku tak tipu. Kau mungkin tak sedar. Tapi aku masih waras waktu itu. Buat apa aku nak reka cerita?"

Khaira Eryna menggeleng laju. Dia tetap mahu menolak kata-kata Danish Xavier. Sukar untuk diterima dek akal.

"Tak, tak mungkin!"

Khaira Eryna mula terasa sebak. Tidak pernah seumur hidupnya dituduh sebegitu rupa. Khaira Eryna merasa terhina. Dia cuba mengerah otaknya untuk mengingatkan kembali kejadian yang berlaku sebelum ini. Tetapi tiada satu bayangan pun yang muncul dalam fikirannya. Yang dia rasakan hanya rasa sakit di kepala. Pantas kedua-dua tangannya diangkat memegang kepalanya yang berdenyut. Dia mula mengerang kesakitan.

Melihat keadaan Khaira Eryna, Danish Xavier menjadi cemas. Dia bangkit dari duduknya, lalu mendekati Khaira Eryna. Melabuhkan punggung di birai katil. Tangannya naik memaut kedua-dua bahu Khaira Eryna. Niatnya hanya untuk membantu. Tiada langsung niat jahat di hatinya. Dia benar-benar risau melihat kesakitan yang dialami gadis itu. Danish Xavier mula rasa bersalah dengan apa yang diperkatakannya kepada Khaira Eryna sebentar tadi.

"Khaira, bertenang. Kau selamat. Aku tak sentuh kau pun. Damia dah letak dadah dalam minuman atau makanan kau. Dia dah buat kau tak sedarkan diri dan rasa teransang. Kau tak syak apa-apa ke masa dia bagi kau minuman atau makanan semalam?"

Khaira Eryna terpempan. Dia cuba untuk mengingati kejadian malam tadi. Perlahan-lahan peristiwa malam tadi terlayar di ruang mata. Dari dia mula diberi air minuman oleh Damia dan tidak lama kemudian kepalanya mula terasa memberat hinggalah saat dia tidak sedarkan diri. Perkara terakhir yang dia ingati hanyalah dia dipapah oleh Damia keluar dari majlis tersebut.

"Sekarang kau dah boleh ingat ke apa yang berlaku?" Soal Danish Xavier ingin tahu.

"Ya. Tapi tak semua." Balas Khaira Eryna.

"Damia ada minta Natasha ambilkan minuman untuk saya. Tapi tak lama lepas tu saya rasa pening. Kepala saya rasa sakit sangat. Saya minta Damia panggilkan abang Darwish. Saya cakap saya nak balik. Tapi Damia cakap masih awal lagi. Majlis pun belum tamat. Dia cakap dia nak tolong bawa saya masuk bilik dia untuk berehat. Lepas tu saya dah tak ingat apa yang terjadi." Sambung Khaira Eryna lagi.

Danish Xavier yang mendengar sekadar mengangguk kecil.

"Kalau aku lambat je sikit, aku rasa kau dah tak ada dekat sini."

Khaira Eryna berkerut kening.

"Apa maksud awak?"

"Kau hampir kena culik, Khaira. Damia upah dua orang lelaki untuk bawa kau pergi dari situ. Aku tak tahu apa motif sebenar mereka. Nasib baik aku sempat sampai tepat pada masanya. Kalau tidak, aku tak tahu apa akan terjadi pada kau." Luah Danish Xavier.

"Takkanlah Damia sanggup buat saya macam tu? Apa salah saya pada dia? Lagipun kami dah jadi kawan. Tak mungkin dia sanggup tikam kawan sendiri?"

Danish Xavier senyum sendeng.

"Khaira...Khaira. Aku dah bagi amaran pada kau. Jangan percaya pada sesiapa. Lebih-lebih lagi orang macam Damia dan kawan-kawan dia. Itu semua lakonan dia je untuk perangkap kau. Sebab tu aku berkeras tak bagi kau pergi ke parti tu. Tapi kau tetap degil. Kau langsung tak nak dengar cakap aku." Nada Danish Xavier berubah sedikit keras. Tetapi masih dikawal.

"Saya cuma nak bersangka baik. Lagipun Damia nampak ikhlas nak berkawan dengan saya. Saya tak sangka pula dia sanggup buat saya macam ni." Rintih Khaira Eryna. Wajahnya menunduk sayu. Air matanya gugur tanpa sedar.

"Yang penting sekarang kau dah selamat. Aku terpaksa bawa kau ke sini. Aku tak nak mommy dan daddy nampak keadaan kau semalam. Aku tak nak dia orang risaukan kau."

"Tak apa. Saya faham. Terima kasih sebab selamatkan saya. Tapi...awak tak jawab lagi soalan saya."

Danish Xavier berkerut kening. Keningnya diangkat tanda tidak faham.

"Awak tak jawab lagi soalan saya. Siapa yang salin baju saya? Saya harap orang tu bukan awak."

Danish Xavier ketawa kecil. Kepalanya digeleng.

"Aku masih sedar batas aku, Khaira. Lagipun aku tak berminat nak tengok badan papan macam kau ni. Langsung tak bernafsu." Danish Xavier sembunyi rasa. Walhal hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang terpaksa dia lalui malam tadi ketika berdua bersama Khaira Eryna. Menahan gelodak di jiwanya.

"Ooh...baguslah kalau macam tu. Kalau bukan awak, habis tu siapa? Girlfriend awak?" Tebak Khaira Eryna. Ingin sahaja dia menampar mulutnya. Laju sahaja mulutnya berkata-kata. Sedangkan hatinya terasa pedih saat menyebut perkataan 'girlfriend' itu. Harap-harap telahannya salah.

"A'ah. Girlfriend aku yang tolong tukar baju kau. Nasib baik dia datang tepat pada masanya. Kau mesti tak sabar nak berkenalan dengan girlfriend aku, kan?" Duga Danish Xavier. Seakan sengaja mahu membakar perasaan gadis itu.

Khaira Eryna cuba mengawal riak wajahnya. Tidak mahu Danish Xavier menangkap perasaannya kala ini.

"Khaira, Khaira dah sedar ke?"

Terdengar suara perempuan di hadapan pintu bilik. Mendengar sapaan itu, Danish Xavier pantas bangkit dari katil. Memberi laluan kepada wanita itu mendekati Khaira Eryna. Khaira Eryna pula pantas menoleh ke arah pintu.

"Cik Moon?" Soal Khaira Eryna. Riak wajahnya berubah ceria.

Cik Moon tersenyum senang. Dia menapak masuk ke dalam bilik. Lalu melabuhkan duduk di hadapan Khaira Eryna. Kekura tangan Khaira Eryna disentuh lembut.

"Alhamdulillah Khaira dah sihat. Risau Cik Moon tengok keadaan Khaira malam tadi."

"Er...teruk sangat ke keadaan Khaira malam tadi, Cik Moon?"

Cik Moon mengalihkan pandangannya ke arah Danish Xavier buat seketika sebelum beralih ke arah Khaira Eryna semula.

"Teruk juga. Yalah, bukan salah Khaira pun. Khaira tak sedar apa yang Khaira buat. Itu pun sebab Khaira di bawah pengaruh dadah. Tapi Cik Moon tak sangka kawan Khaira sanggup buat Khaira macam ni." Ujar Cik Moon yang jatuh simpati melihat nasib gadis di hadapannya itu.

"Tak apalah Cik Moon. Perkara dah lepas. Khaira tak nak ingat."

"Yalah, Cik Moon faham."

Khaira Eryna hanya membalas dengan senyuman.

"Khaira, tadi kau kata kau nak sangat jumpa girlfriend aku yang tukarkan baju kau tukan? So, inilah girlfriend aku yang aku beritahu tu." Celah Danish Xavier dengan senyuman sinis.

"Cik Moon?" Soal Khaira Eryna inginkan kepastian.

"Yalah Khaira, siapa lagi? Bila masa pula Danish ni ada girlfriend? Tak pernah pula Cik Moon nampak. Kalau Khaira nak tahu, Cik Moon yang uruskan Khaira. Cik Moon juga yang mandikan Khaira malam tadi sebab...."

Cik Moon tidak menghabiskan kata-katanya. Berkira-kira untuk menyambung bicara. Sekali lagi pandangannya dikalih ke arah Danish Xavier. Namun sedikit pun Danish Xavier tidak beriak. Hanya diam mengunci mulut.

"Sebab apa Cik Moon?" Tanya Khaira Eryna tidak sabar.

"Tak ada apa-apalah. Lain kali Cik Moon cerita. Apa kata Khaira pergi mandi bersihkan diri. Cik Moon dah masak ni. Kejap lagi kita boleh makan sama-sama."

"Ala...cerita jelah Cik Moon. Khaira nak juga tahu apa yang Khaira dah buat malam tadi." Pujuk Khaira Eryna.

"Apa kata Khaira tanya Danish sendiri. Rasanya Danish lebih tahu."

"Kalau macam tu, tak apalah. Lain kali jelah Cik Moon cerita. Khaira nak masuk bilik air dulu. Nak bersihkan diri." Khaira Eryna pantas mengelak. Daripada dia mendengar dari mulut Danish Xavier lebih baik dia menanti sahaja Cik Moon yang bercerita. Takut jika lelaki itu menokok tambah perkara yang tiada.

"Yalah. Lepas makan kita boleh kemas-kemas sebelum gerak balik. Cik Moon bukannya apa, takut nanti mommy kamu banyak soal. Takut Cik Moon tak terjawab je nanti." Meluahkan rasa tidak enak di hati.

"Cik Moon jangan risau. Danish dah suruh Darwish settlekan hal kita bertiga. Insya-Allah, mommy dan daddy percaya. Tugas Cik Moon cuma rahsiakan perkara yang dah terjadi pada Khaira." Danish Xavier cuba mengingatkan Cik Moon.

Cik Moon angguk laju. Memahami arahan anak majikannya itu.

"Kalau macam tu Cik Moon keluar dulu. Cik Moon nak siapkan meja makan."

Cik Moon terus mengangkat punggung sebelum berlalu keluar dari bilik tersebut. Melihat bayangan Cik Moon yang telah hilang dari pandangan mata, Khaira Eryna cuba untuk bangkit dari katil. Tubuhnya terasa melayang. Untung sahaja Danish Xavier cepat memaut tubuh Khaira Eryna daripada jatuh. Spontan, tangan Khaira Eryna berpaut pada bahu Danish Xavier. Kedudukan mereka menjadi sangat rapat. Hinggakan hembusan nafas Danish Xavier dapat dirasai menyapa di kulit pipi Khaira Eryna. Debaran di dada berdetak hebat. Mereka saling berpandangan.

"Kau okay ke? Nak aku papah kau pergi bilik air?"

Khaira Eryna pantas menggelengkan kepala. Dia cuba menstabilkan kedudukannya.

"Saya boleh jalan sendiri. Thanks again."

"Okay. Careful. Aku tunggu kau dekat sini. Kalau kau nak apa-apa panggil je aku. Baju kau, aku dah suruh Cik Moon sediakan dalam bilik air."

Khaira Eryna hanya tersenyum nipis. Lalu dia pantas berlalu ke arah bilik air. Dengan perlahan-lahan dia mengatur langkah. Danish Xavier sekadar memerhati dari tempat dia berdiri. Ingin memastikan Khaira Eryna selamat masuk ke dalam bilik air.

Khaira Eryna segera menutup pintu bilik air sebelum menguncinya dari dalam. Dia menyandarkan belakang tubuhnya di pintu. Nafas dihela panjang. Menenangkan debaran di dadanya. Usai sedikit tenang, Khaira Eryna melangkah ke arah singki yang berada di dalam bilik air tersebut. Baru sahaja dia ingin mencuci mukanya, tiba-tiba matanya menangkap sesuatu di atas kabinet singki bilik air tersebut.

Dengan pantas tangannya mencapai baju di atas kabinet singki tersebut. Dahinya sedikit berkerut saat melihat keadaan baju tersebut. Ketika itu juga matanya terus terbuka luas. Tiba-tiba bayangan kejadian malam tadi terus sahaja bergentayang di ruang mata. Wajahnya disembam pada baju tersebut sebelum dia menjerit sendiri menahan malu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience