Bab 34

Drama Series 24421

"Sejak bila?" Lain yang ingin dibalas, soalan lain pula yang meniti di bibirnya. Mahu sahaja Khaira Eryna mengetuk kepalanya sendiri. Hatinya sudah mula tidak keruan. Terkejut dengan pengakuan Danish Xavier.

Danish Xavier mengusap belakang tengkuknya yang tidak sakit. Menghilangkan rasa canggung antara mereka.

"Er....sejak pertama kali aku nampak kau dekat vila. Waktu makan malam tu. Sejak tu aku dah mula sukakan kau."

"Tapi bukan waktu tu awak macam bencikan saya ke?" Duga Khaira Eryna.

"Tak, aku tak benci kau. Cuma masa tu aku cuba nak buang perasaan aku pada kau. Sebab aku rasa kau terlalu muda untuk aku. Lagipun masa tu kau masih belajar lagi. Jadi aku ingat rasa suka yang aku rasa tu cuma mainan perasaan aku je. Tapi lama-kelamaan perasaan suka perlahan-lahan berubah jadi sayang. Akhirnya, tanpa aku sedar aku sebenarnya dah jatuh cinta pada kau. Sekuat mana aku cuba tolak perasaan ni, ia tak akan hilang. Malah semakin hari, perasaan sayang aku pada kau semakin bercambah. Kali ni, aku tak nak tipu diri aku lagi. Aku tahu mungkin susah untuk kau terima. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang ni. Tapi macam aku cakap tadi, aku tak paksa kau untuk terima. Cukup untuk kau tahu perasaan aku pada kau." Luah Danish Xavier. Dia menghela nafas lega.

Khaira Eryna melorek senyuman nipis. Wajah Danish Xavier ditatap tanpa lepas.

"Terima kasih." Ucap Khaira Eryna.

"Ha?" Danish Xavier berkerut kening.

"Terima kasih sebab menyayangi saya dan mencintai saya. Tapi... saya rasa saya tak layak untuk awak, Danish. Mungkin awak boleh dapat perempuan yang lebih baik daripada saya. Yang lebih sepadan dengan awak. Saya banyak kekurangan. Macam yang awak cakap, mungkin saya terlalu muda untuk awak?"

"Tak. Itu dulu. Tapi sekarang tak lagi. Aku faham kalau kau tak boleh terima aku. Aku juga faham kalau kau sebenarnya bencikan aku. Yalah, aku selalu buat kau sakit hati. Aku juga mungkin terlalu tua untuk kau. Aku..."

Tanpa sempat Danish Xavier menghabiskan kata-katanya, jari Khaira Eryna sudah berlabuh di bibir Danish Xavier. Mematikan bicara Danish Xavier.

"Saya tak cakap pun saya reject awak. Lagipun umur awak cuma enam tahun lebih tua daripada saya. Awak tak nampak tua pun." Khaira Eryna kulum senyum.

Serta-merta riak wajah Danish Xavier berubah. Bibirnya melakar senyuman lebar. Seakan tidak percaya dengan balasan yang diterima daripada Khaira Eryna.

"Maksudnya... kau terima aku?"

Perlahan-lahan Khaira Eryna angguk kepala. Danish Xavier senyum bahagia. Ingin sahaja didakap tubuh kecil gadis itu. Namun, sedar akan batas antara mereka, Danish Xavier menahan diri.

"Thank you Khaira sebab tak buat aku bertepuk sebelah tangan."

Khaira Eryna angguk dengan senyuman manis terukir di bibir.

"So, awak kata tadi nak cerita pasal ibu saya. Sekarang ni saya rasa saya dah bersedia untuk mendengar."

"Aku akan cerita. Tapi sebelum tu, boleh tak kita balik resort? Ada sesuatu yang aku nak bagi pada kau. Lagipun kesian dekat Jasmin sebab lama tunggu kita dekat sana."

"Awak nak bagi apa?" Soal Khaira Eryna ingin tahu.

"Sesuatu yang penting untuk kau. Aku yakin lepas ni, kau sendiri yang offer diri untuk ikut aku balik semula ke KL." Tebak Danish Xavier dengan riak penuh yakin.

"Okay. Kita tengok. Kalau tidak, awak kena pujuk saya sampai saya setuju untuk ikut awak balik ke KL." Cabar Khaira Eryna pula.

"Aku terima cabaran kau. So, boleh kita gerak sekarang? Aku dah penat jadi perhatian orang-orang dekat pantai ni."

Sedar sejak tadi perlakuan mereka diperhatikan, Khaira Eryna pantas ingin menyusun langkah pulang ke arah resort. Namun, saat melihat tangannya masih lagi dalam genggaman Danish Xavier membuatkan Khaira Eryna berdehem sedikit kuat.

"Kenapa? Kau sakit tekak ke? Kau nak demam ke?" Riak Danish Xavier berubah cemas.

Khaira Eryna menggeleng laju.

"Awak... awak memang tak nak lepaskan tangan saya ke? Kita nak balik resort ni. Saya dah malu bila orang-orang dekat sini tak habis-habis pandang kita." Ujar Khaira Eryna dengan wajah yang sudah membahang.

Mendengar kata-kata Khaira Eryna, Danish Xavier pantas meleraikan pegangan tangannya. Tanpa menunggu lama, mereka berdua segera mengatur langkah menuju pulang ke resort. Kali ini dengan perasaan yang berbunga-bunga.

Flashback...

SEMBILAN BELAS TAHUN LEPAS.

"Terima kasih Pia. Terima kasih dengan hadiah yang tidak ternilai ni. Abang tak mampu nak balas pengorbanan Pia. Terlalu banyak yang Pia dah korbankan untuk abang. Terima kasih sayang." Ucap Hakim seraya melabuhkan kucupan hangat di ubun-ubun sang isteri. Matanya jatuh ke wajah comel yang berada dalam dukungan si isteri.

"Abang... kenapa cakap macam tu? Pia ikhlas hidup dengan abang. Bukan Pia seorang sahaja yang berkorban, abang pun dah banyak berkorban untuk Pia. Macam-macam abang dah buat untuk bahagiakan Pia. Lagipun Aira ni anugerah yang terindah Allah berikan buat kita."

"Aira?"

Sofea angguk kepala dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

"Nama anak kita. Khaira Eryna Binti Hakim. Abang lupa ke kita dah tetapkan nama ni kalau anak kita yang lahir ni perempuan?"

Hakim tepuk dahi.

"Sorry Pia. Abang hampir terlupa. Sekali lagi terima kasih. Abang tak tahulah apa yang akan terjadi pada abang kalau Pia tak ada dalam hidup abang."

Sofea meraih tangan suaminya.

"Selagi Allah panjangkan umur Pia. Insya-Allah Pia akan sentiasa ada dengan abang."

Mendengar kata-kata sang isteri, Hakim senyum senang. Lantas tubuh Sofea ditarik dalam pelukannya. Menikmati saat bahagia mereka bersama puteri kecil yang baru lahir ke dunia.

********

"Pia, apa yang Pia tengah buat ni? Pia nak pergi mana? Kenapa Pia simpan baju-baju Pia dalam beg?" Soal Hakim sambil mengendong Khaira Eryna yang tidak berhenti menangis sejak tadi.

Sofea tidak membalas, sebaliknya tangannya ligat memunggah semua pakaiannya ke dalam beg. Air mata ditahan dari mengalir. Tangisan Khaira Eryna langsung tidak dihirau. Dikeraskan hati dari menoleh.

"Pia, abang tanya Pia ni? Abang rasa Aira lapar ni. Dia nak susu. Pia susukan dia dulu. Nanti kita bincang." Ujar Hakim dengan nada lembut. Sedikit pun dia tidak marah mahupun meninggikan suara. Dia yakin pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh isterinya hingga bertindak sedemikian. Bunga Sofea yang dia kenali bukanlah seorang wanita yang keras hati.

"Abang susukanlah dia. Bancuh susu untuk dia sendiri. Pia dah tak boleh nak bagi susu Pia pada dia. Mulai sekarang, abang kena belajar untuk uruskan Aira sendiri. Begitu juga dengan hal-hal dalam rumah ni."

Hakim semakin tidak mengerti. Dahinya berkerut. Tangannya tidak berhenti menepuk-nepuk lembut punggung Khaira Eryna agar anaknya reda dari terus menangis.

"Apa yang Pia nak cuba sampaikan ni? Pia call abang suruh balik. Lepas tu Pia buat tak endah dengan abang dan Aira. Kalau Pia ada masalah, Pia kongsi dengan abang. Kita selesaikan bersama. Itukan janji kita." Pujuk Hakim.

Sofea tidak mengendahkan kata-kata sang suami. Zip beg ditarik menutup beg pakaiannya. Kelopak mata dipejam seketika. Seakan mencari kekuatan untuk berhadapan dengan suaminya. Walau apapun yang berlaku, dia perlu tekadkan diri. Apa sahaja yang dia lakukan saat ini adalah untuk kebaikan anak dan suaminya. Walaupun hati tidak rela, namun dia terpaksa.

"Abang, maafkan Pia." Bisik Sofea di dalam benaknya.

Tanpa menunggu lama Sofea terus sahaja bangkit dari katil sebelum menapak mendekati Hakim. Bersama beg pakaian dijinjit di tangan.

"Pia minta maaf. Pia tak boleh terus hidup dengan abang. Halalkan makan minum Pia selama Pia hidup dengan abang. Jaga Aira baik-baik. Sekali lagi Pia minta maaf. Pia nak minta abang lepaskan Pia. Dengan cara baik."

Hakim terpempan. Tidak dia menyangka perkataan itu akan dilafazkan di bibir sang isteri.

"Tapi kenapa? Apa salah abang? Pia tak kesian pada Aira ke? Dia masih kecil. Dia perlukan Pia. Abang pun perlukan Pia. Tolong jangan tinggalkan kami." Rayu Hakim.

Sofea menggelengkan kepala. Seboleh-bolehnya riak wajahnya dikawal. Seakan tidak langsung terkesan dengan rayuan Hakim padanya. Matanya melirik pada Khaira Eryna yang sudah lena di dukungan suaminya. Hatinya meronta ingin mendakap, memeluk dan mengucup puteri kecilnya. Namun, Sofea tahan diri.

"Cukup abang tahu jodoh kita sampai di sini. Pia nak balik rumah papa. Papa lebih perlukan Pia. Pia pergi dulu."

Sofea mula menapak, berura-ura untuk keluar dari bilik. Namun, baru sahaja kakinya mahu melangkah pergi, tangannya pantas dilelar oleh Hakim. Sofea menoleh ke arah Hakim.

"Kenapa tiba-tiba? Bukan Pia dah janji nak hidup semati dengan abang? Kenapa baru sekarang Pia nak tinggalkan abang? Sebab abang tak mampu berikan kemewahan pada Pia? Kalau sebab itu, abang sanggup bergolok-gadai untuk Pia." Sekali Hakim cuba memujuk. Tapi kali ini nadanya sedikit tegas.

Sofea menggeleng laju. Tangannya dileraikan dari pegangan Hakim. Dia sudah bulat hati dengan keputusannya. Mungkin ini pengorbanan dia yang paling besar dia lakukan dalam hidupnya. Terpaksa berpisah dengan lelaki yang dicintai dan anak yang masih baru mahu mengenal dunia.

"Bukan kemewahan yang Pia mahukan. Percayalah, Pia akan merindui abang dan anak kita. Pia rayu pada abang untuk lepaskan Pia dengan cara baik. Terima kasih sebab hadir dalam hidup Pia. Bahagiakan Pia selama Pia hidup dengan abang. Pia pergi dulu. Tolong peluk cium Aira untuk Pia."

Sofea pusing tubuh. Tanpa menoleh, kaki diayun laju meninggalkan suami dan anaknya. Tanpa dapat ditahan, air matanya deras mengalir. Semakin diseka, semakin laju ia gugur di pipi. Matanya menoleh ke arah rumah yang dia diami selama dua tahun bersama Hakim buat kali terakhir. Lalu cermin tingkap kereta dinaikkan sebelum mengarahkan pemandunya memandu meninggalkan perkarangan rumah usang itu.

End flashback..

Air mata Khaira Eryna berjujuraian. Diari berkulit hitam yang diberikan oleh Danish Xavier itu ditutup. Lalu dibawa ke dadanya. Kelopak matanya dipejam. Rasa sakit di hati menahan sendu.

Melihat tangisan sahabatnya itu, Jasmin turut merasa sayu. Bahu Khaira Eryna dipaut sebelum tubuh gadis itu ditarik dekat dengan tubuhnya.

"Khaira, sabar. Aku faham perasaan kau."

"Aku tak sangka sakitnya perasaan ditinggalkan. Sekarang aku boleh rasa apa yang arwah baba rasa. Aku tahu kenapa baba reka cerita pasal ibu aku. Sekarang aku tak salahkan baba sebab tipu aku. Dia tak nak aku bencikan ibu. Dia tak nak aku fikir buruk pasal ibu. Sebab dia terlalu sayangkan ibu. Tapi aku perlu tahu kenapa ibu tinggalkan kami dulu? Aku perlu tahu, Jasmin!"

Jasmin angguk kepala. Menyokong segala keputusan yang bakal dibuat oleh sahabatnya itu.

"Sekarang ni kau tenangkan diri dulu. Lepas tu baru kau fikir apa yang patut kau buat." Pujuk Jasmin menenangkan Khaira Eryna.

Khaira Eryna meleraikan pelukan Jasmin. Menoleh ke arah Jasmin dengan pandangan yang Jasmin sendiri tidak dapat mentafsir. Jasmin mengangkat kedua-dua keningnya.

"Aku dah buat keputusan. Aku nak balik KL malam ni juga!" Ujar Khaira Eryna tegas. Air matanya diseka.

Jasmin membulatkan mata. Sedikit terkejut dengan keputusan yang diucap oleh sahabat baiknya itu.

"Malam ni?" Soal Jasmin inginkan kepastian.

Khaira Eryna angguk laju.

"Tapi Khaira, dah malam ni. Bahayalah balik malam-malam macam ni. KL tu bukannya dekat. Empat jam lebih juga nak sampai sana itu pun kalau memandu kereta sendiri. Kalau naik bas mungkin lewat sikit. Tapi mana ada tiket bas waktu macam ni." Terang Jasmin.

"Kau jangan risaulah. Akukan ada driver." Balas Khaira Eryna sambil senyum sendeng.

"Maksud kau... abang Danish?"

Khaira Eryna tidak membalas. Sekadar melakar senyuman lebar sebelum pandangannya dihala ke arah pantai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience