Suasana hening.Tanah yang masih merah ditatap sayu.Tangisannya kembali pecah hingga mengeluarkan esakan halus.Jasmin yang setia di sisi pantas merangkul bahu sahabatnya.Cuba menenangkan Khaira Eryna.Tanpa sedar ada seseorang yang memerhati tingkah gadis itu dari jauh.
"Khaira,sabarlah.Aku faham perasaan kau.Aku tumpang simpati dengan apa yang dah berlaku."
"Kau takkan faham,Min.Aku dah hilang semuanya.Aku hilang ibu aku saat aku dilahirkan.Sekarang ni,aku dah hilang ayah aku.Satu-satunya ahli keluarga yang aku ada.Aku dah hilang tempat bergantung.Tempat bermanja.Tempat untuk aku luahkan perasaan aku.Tak ada orang yang boleh sayang aku macam mana ayah aku sayangkan aku."Luah Khaira Eryna dalam sendu.
"Kau ada aku,Khaira.Kau boleh je kongsi segala-galanya pada aku.Walau apapun yang terjadi kau tetap akan jadi kawan baik aku.Kau tak keseorangan."
Bahu Khaira Eryna diusap lembut.Atiqah,ibu kepada Jasmin yang turut berada di situ pantas mendekati Khaira Eryna.Dia melabuhkan duduknya di sisi gadis itu.
"Betul apa yang Min katakan tu.Khaira tak keseorangan.Khaira masih ada kami.Kami pun dah anggap Khaira macam anak kami sendiri.Apa kata Khaira balik rumah auntie dan uncle.Kami boleh jaga Khaira.Tak adalah Khaira rasa sunyi."
"Tak apa auntie."
Air matanya diseka.
"Khaira tak nak susahkan auntie sekeluarga.Lagi pun auntie,uncle dan Jasmin dah banyak tolong Khaira dan ayah Khaira selama ni.Khaira tak nak bebankan auntie dan uncle.Jangan risau Khaira boleh berdikari sendiri.Khaira akan biasakan hidup tanpa ayah Khaira.Khaira kena kuat,kan?"Tolak Khaira Eryna lembut.
"Khaira janganlah macam ni.Khaira tu perempuan.Takkanlah auntie dan uncle nak biarkan Khaira hidup sendiri dalam rumah tu.Makan,pakai Khaira nanti macam mana pula?Sekolah Khaira?"
Khaira Eryna menunduk.Bermain-main dengan hujung selendang yang dipakainya.
"Khaira ingat Khaira nak berhenti sekolah."
Tiga pasang mata yang berada di situ terpana saat mendengar kata-kata Khaira Eryna sebentar tadi.Namun,belum sempat Atiqah membalas,ada suara garau lain yang terlebih dahulu mencelah.Semua mata terarah pada gerangan itu.Seorang lelaki yang usianya lebih kurang usia Hakim sedang berdiri di hadapan mereka.
"Saya tak benarkan Khaira berhenti sekolah.Itu bukan keinginan Hakim."Ujar lelaki asing itu.
Kaca mata hitamnya dibuka.Lalu,dia mengorak langkah mendekati Khaira Eryna dan yang lain.
"Maaf kalau kedatangan saya ini mengganggu kamu semua.Saya Noah."
Noah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zakri,ayah Jasmin.Huluran tangan Noah disambut.Melihat kehadiran lelaki asing di hari pengebumian bapanya,sedikit sebanyak memberi tanda tanya di benak Khaira Eryna.
"Tuan ni siapa?Tuan kenal Khaira?"Tanya Khaira Eryna dengan kening yang bertaut.
"Tak perlu Khaira bertuan-tuan dengan uncle.Panggil sahaja uncle Noah.Itu rasanya lebih mesra.Uncle kawan lama baba Khaira.Merangkap kawan baik dia.Kami pernah belajar bersama dahulu."
"Tapi,Khaira tak pernah pun nampak uncle sebelum ni?"
Dari duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang,kini Khaira Eryna sudah pun berdiri berhadapan dengan Noah.
"Kami dah lama tak berjumpa selepas uncle sambung belajar di luar negara dulu.Sampailah tanpa sengaja uncle terserempak dengan baba Khaira masa di hospital.Kali kedua kami berjumpa seminggu yang lalu.Baba Khaira telefon uncle minta jumpa dia."Terang Noah.
Khaira Eryna menoleh memandang ke arah Jasmin dan kedua orang tua sahabatnya itu.Seakan meminta bantuan pada mereka.Melihat pandangan Khaira Eryna itu,Zakri pantas mencelah.
"Noah,apa kata kita berbual di rumah Khaira.Matahari dah meninggi.Kebetulan kami pun memang nak hantar Khaira balik.Khaira,mari kita balik."Ujar Zakri.
Khaira menggeleng kecil.Matanya melirik pada pusara Hakim.Berat rasa hatinya untuk meninggalkan pusara itu.
"Khaira,kita balik dulu.Lain kali kita datang lagi.Khaira kena berehat juga.Semalaman Khaira tak tidur.Khaira kena cukup rehat.Kalau tidak nanti Khaira sakit."Pujuk Atiqah yang sudah berdiri di sisi Jasmin dan Khaira.
Wajah Khaira Eryna mendung.Pusara bapanya ditatap lama.Keluhan berat meniti di bibirnya.
"Tak boleh ke Khaira stay dekat sini sekejap?"
Atiqah dan Zakri saling berpandangan.Lambat-lambat Zakri menganggukkan kepalanya.
"Uncle bagi ruang pada Khaira.Tapi Khaira jangan lama sangat.Cuaca tengah panas ni.Uncle dengan auntie tunggu dekat kereta.Jasmin,mari kita tunggu dalam kereta."
"Tak apalah papa.Min nak teman Khaira."Ujar Jasmin.
"Min,aku okay.Aku nak bersendirian sekejap.Kau pergilah ikut papa dan mama kau tunggu dalam kereta.Jangan risau.Aku boleh jaga diri."
Jasmin akur dengan permintaan Khaira Eryna.Lambat-lambat dia mengorak langkah mengekori Atiqah dan Zakri.Noah yang sejak tadi berdiri di sisi pusara sahabatnya turut mengekori yang lain.Memberi ruang kepada gadis itu untuk bersendirian seperti mana yang dipinta.
Khaira Eryna kembali duduk di atas tikar mengkuang yang dihamparkan di sebelah pusara bapanya.Tanah merah yang ditaburi bunga itu ditatap dalam.Setitis air jernih kembali menitis ke pipinya.Pantas air matanya diseka.
"Baba....Terima kasih dah jadi ayah yang terbaik selama Aira hidup dengan baba.Maafkan Aira kalau sepanjang hayat baba,Aira ada sakiti hati baba.Aira sayang baba sangat-sangat.Aira akan cuba hidup berdikari.Aira akan cuba tidak menyusahkan sesiapa.Baba tenanglah di sana.Nanti Aira datang lagi.Aira balik dulu baba."
Tangisannya cuba ditahan.Lambat-lambat Khaira Eryna bangun dari duduknya.Tikar mengkuang digulung sebelum dia mengatur langkah ke arah kereta bapa Jasmin yang sedang menantinya.
Namun saat dia sampai di tempat parkir kereta,bayangan kereta Zakri sudah tiada.Mata Khaira Eryna meliar memandang kiri dan kanan jalan andai dia yang tersalah pandang.Tetapi malangnya telahannya tepat.Zakri sudah pun pulang meninggalkannya.Khaira Eryna sudah berura-ura untuk berjalan kaki pulang ke rumah.Tiba-tiba telinganya menangkap suara seseorang menyeru namanya.Khaira Eryna pantas berpaling ke belakang mencari punca suara itu.
Dari jauh kelihatan Jasmin sedang melambai-lambaikan tangan padanya.Khaira Eryna lega.Dia segera berlari anak mendapatkan Jasmin.
"Aku ingat kau dah tinggalkan aku."
Jasmin tersungging senyum.
"Takkanlah aku nak tinggalkan kawan baik aku ni.Papa dengan mama je yang dah balik.Tapi aku dah minta izin diorang untuk temankan kau."
"Ooh...So kiranya kau teman aku balik rumah jalan kakilah.Kau okay tak?"
Jasmin sudah berkerut kening.
"Kenapa nak jalan kaki?Buat apa kita susahkan diri kalau kemudahan dah ada depan mata."Balas Jasmin dengan kening yang dijongketkan.
"Kemudahan?Maksud kau teksi?Grab car?"
Jasmin geleng kepala.
"Ish,bukanlah!Ni,kereta uncle Noah.Dia janji dengan papa aku tadi nak tolong hantar kita balik rumah kau.Lepas tu papa minta tolong aku kemaskan beg baju kau sekali."
Khaira Eryna berkerut kening.
"Kenapa aku nak kemas baju pula?Min,aku dah cakap tadikan aku tak nak duduk rumah kau.Aku tak nak susahkan keluarga kau."
"Ya,aku tahu.Kau tak duduk dekat rumah aku,sebaliknya kau akan pindah ke rumah uncle Noah."
Mulut Khaira Eryna sudah melopong.Terkejut dengan kata-kata Jasmin.
"Kau kalau nak bergurau pun tak kena masa ni,Min.Kenapa pula aku kena ikut uncle Noah tu?Aku tak kenal pun dia."
Jasmin menjongket kedua-dua bahunya sebagai isyarat tidak tahu.
"Pasal tu kau kena tanya sendiri dengan uncle Noah.Sebab tadi papa aku cuma pesan suruh aku tolong kau pack barang je.Aku tak tahulah apa yang uncle Noah beritahu papa aku tadi.Dahlah.Panas ni.Kita balik rumah dulu.Nanti kita bincang balik dengan uncle Noah."
Khaira Eryna hanya menurut.Pintu kereta mewah di sisi mereka dibuka sebelum mereka berdua memboloskan diri ke dalam perut kereta.Melihat kedua-dua gadis itu yang sudah berada dalam kenderaannya,Noah mula memandu keretanya menuju ke rumah sewa arwah Hakim.
Sampai di rumah,Jasmin dan Khaira Eryna pantas keluar dari kereta.Mereka mempelawa Noah masuk ke dalam rumah.Tetapi Noah menolak.Tidak manis rasanya dia berada di dalam rumah itu memandangkan tiada lelaki lain di situ.Noah meminta izin untuk beristirahat di pangkin rumah.Khaira Eryna sudah berura-ura untuk menapak masuk ke dalam rumah.Namun,baru sahaja tubuhnya berpaling ke belakang,Noah kembali menyeru namanya.Khaira Eryna menoleh semula ke arah Noah.
"Khaira,nanti Khaira pack baju-baju Khaira dan barang keperluan Khaira.Uncle nak bawa Khaira balik rumah uncle."
Khaira Eryna tidak terkejut dengan kata-kata Noah sebaliknya dia tertanya-tanya dengan permintaan lelaki itu.
"Uncle,Khaira tak nak duduk dengan uncle.Khaira boleh je duduk sendiri."Khaira Eryna menolak pelawaan Noah.
"Khaira,dengar cakap uncle.Mulai hari ini,uncle akan jaga Khaira.Khaira di bawah tanggungjawab uncle.Uncle tak suka memaksa.But,please...Don't refuse.Dengar cakap uncle.Ini bukan sahaja kemahuan uncle,tetapi juga amanah dari arwah baba.Mmm....Baba tak ada cakap apa-apa pada Khaira ke pasal uncle sebelum dia meninggal?"
Khaira Eryna hanya menggelengkan kepala.
"Tak apa.Nanti kita akan kenal lebih rapat lagi.Uncle rasa baba ada tinggalkan surat untuk Khaira.Sebab sebelum baba balik dari jumpa uncle hari tu dia ada cakap yang dia akan tinggalkan pesanan pada Khaira nanti.Tapi uncle tak pastilah pesanan apa yang dia maksudkan.Mungkin Khaira boleh jumpa sesuatu dekat bilik baba atau baba ada bagi surat atau apa-apa sahaja pada Khaira sebelum ni?"
"Rasanya tak ada."
Noah berjeda seketika.Nafasnya dihela dalam.
"Macam nilah.Uncle tahu Khaira mesti rasa was-was dengan uncle.Uncle langsung tak berniat jahat pada Khaira.Uncle ikhlas nak ambil Khaira tinggal dengan uncle.Jasa arwah baba Khaira pada uncle terlalu banyak.Uncle tak mampu nak balas.Sekurang-kurangnya dengan menjalankan amanah arwah baba ni,sedikit sebanyak uncle dapat balas jasa arwah baba Khaira melalui Khaira."
Khaira Eryna menoleh memandang ke arah Jasmin.Cuba meminta pendapat daripada sahabatnya itu.Jasmin tersenyum nipis.Perlahan-lahan kepalanya diangguk kecil.Bahu sahabatnya itu disentuh lembut.
"Khaira,ada baiknya kau dengar cakap uncle Noah.Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk kau.Percayalah.Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.Jom,masuk.Aku tolong kau kemas."
Khaira Eryna berjeda seketika.Lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu.Akhirnya,Khaira Eryna akur.
"Tapi sebelum tu,Khaira kena pulangkan kunci rumah ni pada tuan rumah dulu.Khaira kena beritahu dia yang Khaira nak pindah."
"Tak apa.Pasal tu Khaira tak payah risau.Uncle dah uruskan semuanya.Khaira pergilah masuk kemas barang dan bersiap."
Khaira Eryna hanya menurut.Dia mula menapak masuk ke dalam rumah bersama Jasmin.
"Er...Min,kau masuk dulu dalam bilik aku.Aku nak pergi dekat bilik ayah aku sekejap."
"Kau nak buat apa?Nak kemas barang ayah kau ke?Kalau nak kemas aku boleh je tolong sekali."
"Eh,tak apa.Barang ayah aku tak banyak pun.Aku boleh kemas sendiri.Lagi pun ada barang lain yang aku nak cari."
"Barang?Barang apa?"Soal Jasmin hairan.
"Ntahlah.Kata uncle,ayah aku ada tinggalkan pesanan untuk aku.Mungkin ada surat atau diari yang dia tinggalkan dalam bilik tu."
"Kalau macam tu,jomlah aku tolong kau.Kita cari sama-sama."
"Yalah.Terima kasih,Min.Sebab kau selalu ada bila aku perlukan bantuan."
Jasmin tersenyum kecil.Bahu Khaira dipaut.
"Itulah gunanya kawan.Sentiasa ada waktu susah mahupun senang.Cepatlah kita kemas barang.Nanti lama pula uncle Noah tunggu dekat luar tu."
Khaira Eryna menepuk dahi.
"A'ahlah.Hampir lupa pula pasal uncle Noah."
Khaira Eryna pantas menarik lembut tangan Jasmin menuju ke bilik arwah bapanya.Daun pintu ditolak perlahan-lahan.Kaki diatur melangkah masuk ke dalam bilik.Katil usang arwah bapanya ditatap sayu.Khaira Eryna mendekati katil itu.Punggung dilabuh duduk di situ.
Melihat wajah mendung sahabatnya,Jasmin pantas menapak mendekati Khaira Eryna.Dia duduk di sisi Khaira Eryna.Jari-jemari sahabatnya dicapai,lalu digenggam kemas.
"Khaira.Kau okay tak ni?"
Khaira Eryna senyum hambar.
"Okay.Cuma sebak sikit sebab teringatkan arwah ayah aku."
"Khaira,aku tahu kau kuat.Jom kita start kemas.Sementara aku masukkan barang-barang arwah ayah kau dalam kotak,kau carilah barang yang kau nak cari tadi tu."
Khaira Eryna hanya menurut.Dia mula mengatur langkah ke arah almari buku di hujung katil.Pintu almari dibuka.Buku-buku lama yang ada di situ dikeluarkan,lalu dimasukkan ke dalam kotak yang sudah tersedia satu persatu.Usai mengemas almari buku,Khaira Eryna beralih pula pada meja sisi yang berhampiran dengan katil.Laci meja itu ditarik.Tetapi malangnya ia berkunci.Khaira Eryna berdecit halus.Kepala yang tidak gatal digaru kecil.Khaira Eryna mencuba sekali lagi.Masih tidak dapat dibuka.Melihat tingkah sahabatnya itu,Jasmin berjalan mendekati Khaira Eryna.
"Khaira,kenapa ni?"
"Laci meja ni berkunci.Aku nak tengok kalau ada barang-barang ayah aku dalam ni.Aku nak simpan."
"Biar aku cuba pula.Mana tahu laci ni tersekat ke."
Khaira Eryna memberi laluan kepada Jasmin.Kini, giliran Jasmin pula cuba menarik laci meja itu.Jasmin cuba menarik laci itu keluar dengan sekuat hati.Tetapi masih gagal.Jasmin mengeluh berat.
"Yalah,laci ni kunci.Kau dah cari ke kunci laci ni? Mana tahu ayah kau ada simpan dekat mana-mana."
"Sejak aku kemas dari tadi,aku tak perasan pula.Rasanya macam tak ada.Min,kau ada perasan apa-apa kunci dalam almari baju ayah aku tak?"
Jasmin menggeleng laju.
"Apa kata kita cuba cari dekat meja solek tu.Mana tahu ayah kau ada simpan kunci tu dekat situ."
Mata mereka terarah pada meja solek yang berdekatan dengan pintu bilik.Mereka bergegas ke arah meja solek itu.Cuba mencari kunci laci meja tersebut.
"Tak adalah..."Keluh Khaira Eryna.Peluh di dahi dilap lembut dengan hujung lengan baju kurungnya.
Jasmin mengitari sekeliling ruangan bilik itu.Mencari-mencari tempat kemungkinan kunci itu disimpan.Akhirnya mata Jasmin terarah pada leher Khaira Eryna.Selendang yang membaluti kepala Khaira Eryna sudah lama dibuka.Terserlah leher jinjang Khaira Eryna yang putih mulus.
"Kejap!Khaira,apa yang dekat leher kau tu?"
"Leher aku?"
Khaira Eryna meraba-raba lehernya.Tangannya mula menyentuh rantai leher yang membaluti lehernya.
"Maksud kau,rantai ni ke?"
"A'ah.Mana kau dapat rantai tu?"Soal Jasmin inginkan kepastian.
Rantai yang berkalung seperti bentuk kunci itu disentuh.
"Arwah ayah aku yang bagi sebelum dia sakit tenat.Dia kata hadiah untuk aku.Kenapa,Min?"
"Er...Cuba kau buka laci tu dengan loket kunci kau tu.Sebab aku tengok bentuk kunci tu macam sepadan dengan lubang kunci laci tu."
Mendengar kata-kata Jasmin,Khaira Eryna pantas membuka rantai lehernya.Kunci bersaiz kecil yang tergantung di rantai leher itu dibawa ke arah meja sisi semula.Perlahan-lahan kunci itu dimasukkan ke dalam lubang kunci laci tersebut.Kunci itu diputar dengan berhati-hati.
"Klak!"
Laci itu sudah terbuka.Khaira Eryna dan Jasmin saling berpandangan sebelum bibir mereka mengorek senyuman lebar.
"Khaira,cubalah tengok ada apa dekat dalam tu sampai arwah ayah kau kena kunci laci ni."Ujar Jasmin tidak sabar.
Khaira Eryna membuka luas laci meja tersebut.Saat itu,matanya tertancap pada sekeping gambar seorang perempuan yang sedang tersenyum manis.Gambar itu diambil keluar dari laci itu sebelum ditatap dalam.Jasmin yang masih setia berada di sisi Khaira Eryna turut mencuri pandang gambar tersebut.
"Gambar siapa ni?"Tanya Jasmin dengan kening yang berkerut.
Khaira Eryna jongket bahu.
"Aku tak pastilah,Min."
"Cuba kau pusingkan gambar tu.Mana tahu belakang gambar tu ada tulis sesuatu."
Khaira Eryna hanya menurut.Lambat-lambat gambar di tangannya dipusingkan.
"Bunga Sofea...Cinta hatiku."
Tulisan di belakang gambar itu dibaca.Lalu,Jasmin mengalih pandangannya pada wajah Khaira Eryna.
"Khaira...Kalau tak silap ni nama ibu kau,kan?"
Khaira Eryna hanya mengangguk kecil.Gambar wanita itu diusap lembut.Tanpa sedar air matanya kembali menitis.
"Ini pertama kali aku tengok wajah ibu aku,Min."Khaira Eryna menahan sebak.
"Tapi...Kenapa ayah kau sembunyikan gambar arwah ibu kau?Kau tak rasa pelik ke?"
"Ntahlah.Mungkin ayah aku ada sebab dia sendiri.Tak apalah.Sekurang-kurangnya aku dapat juga tatap wajah ibu aku yang selama ni aku rindu."
Bahu Khaira Eryna ditepuk lembut.Cuba menenangkan sahabatnya.
"Dah,tak mahulah sedih-sedih.Sekarang kau tak perlu lagi nak bayangkan macam mana rupa arwah ibu kau.Gambar tu kau simpan.Mm...Ada barang lain lagi ke dekat dalam tu?"Soal Jasmin lagi.
Khaira Eryna mengintai ruang di dalam laci itu sebelum dia terpandang sepucuk surat berwarna putih tersimpan kemas di situ.Lalu,surat itu dicapai.Isi kandungan surat itu dibaca satu persatu.Walang hatinya saat membaca isi surat tersebut.Jasmin yang berada di sisi Khaira Eryna turut merasa sebak.
Share this novel