Tiara membelek-belek beg tangan berjenama yang tersusun cantik di atas rak. Rambang matanya ingin memilih. Lelaki yang sedang duduk di sofa dikerling seketika. Melihat lelaki itu leka dengan telefon pintar di tangan, Tiara mengeluh halus. Lalu, dia melangkah mendekati lelaki itu. Bahu lelaki itu disentuh lembut.
"Dan, you ni busy sangat ke? Dari tadi I tengok you sibuk dengan handphone you je. I minta you pilih barang pun you buat endah tak endah. You ada masalah ke?" Soal Tiara yang sedikit terasa dengan perlakuan tunangnya itu.
Danish Xavier mengangkat wajah. Merenung wanita yang sedang berdiri di hadapannya dengan pandangan yang kosong.
"You pilihlah apa sahaja yang you suka. Pasal harga I tak kisah. I bukan pandai pun nak pilih barang-barang perempuan ni. I ikut je apa sahaja pilihan you." Balas Danish Xavier dengan suara mendatar. Riak wajahnya hanya bersahaja.
"At least you tunjuklah sikit effort you. I tengok I je yang sibuk uruskan hal kahwin kita. You langsung tak ambil peduli. Boleh tak untuk kali ni you tunjuk yang you betul-betul nak kahwin dengan I. Buat macam pasangan lain. Saling bantu-membantu. Sama-sama cari barang hantaran. I kadang-kadang cemburu tengok pasangan lain tu. Yalah, ada yang bergaduh sebab tak sependapat nak pilih barang. Ada sesi pujuk-memujuk. Tapi dengan you ni... You ikut je apa yang I nak, yang I pilih. You tak boleh ke pilihkan untuk I?" Keluh Tiara panjang lebar. Melontarkan segala ketidakpuasan hatinya.
Danish Xavier menarik nafas panjang. Dia memujuk hatinya agar terus bersabar melayan kerenah Tiara. Dia tidak mahu memanjangkan hal yang remeh-temeh seperti ini.
"Tiara, you ajak I keluar, I keluar. You ajak I beli barang, I ikut je. Mana you nak pergi, I bawa. Apa sahaja kehendak you, I ikutkan. Apa yang you tak puas hati lagi? You sepatutnya bersyukur sebab I tak argue apa-apa dengan you. You tahu I ni busy, so I harap you boleh faham keadaan I. You sambunglah pilih barang. I tunggu you dekat luar." Ujar Danish Xavier yang terus sahaja bangkit dari duduknya. Lalu, melangkah laju keluar dari butik tersebut.
Melihat perlakuan Danish Xavier membuatkan Tiara hilang kesabaran. Mood membeli-belahnya juga sudah hilang sama. Lantas dia turut sama mengatur langkah mengekori langkah Danish Xavier ke arah luar butik.
Danish Xavier yang perasan seakan ada seseorang mengekorinya dari arah belakang segera menoleh.
"Kenapa you keluar? Bukan you nak beli handbag ke?" Soal Danish Xavier yang pelik dengan tingkah Tiara.
"I dah tak ada mood. Apa kata kita pergi somewhere else. I nak release tension." Tiara terus berlalu menuju ke arah kawasan lif. Dia benar-benar perlukan tempat untuk bertenang. Tidak mahu angin monsunnya membawa bencana pada hubungan dia dan Danish Xavier.
Danish Xavier pula hanya menurut. Malas mahu berbahas. Lalu dia mengekori Tiara menuju ke arah lif.
Danish Xavier membelok keretanya ke arah bahu jalan. Untung sahaja kawasan yang mereka tuju memang bukan kawasan laluan orang ramai. Maka, kawasan itu menjadi kawasan yang sesuai untuk melepaskan keletihan dan menenangkan akal fikiran yang serabut. Lebih-lebih lagi dengan pemandangan kawasan yang menghijau yang terletak betul-betul di atas bukit.
Tanpa menunggu lama, Tiara terus sahaja keluar dari perut kereta saat kereta Danish Xavier sudah berhenti di bahu jalan. Pintu kereta dihempas sedikit kuat. Seakan melepaskan amarah yang terpendam. Danish Xavier yang melihat sekadar geleng kepala. Dia turut sama keluar dari perut kereta sebelum berjalan mendekati Tiara.
Pandangan dilontarkan ke arah kawasan menghijau di hadapan mata. Sesekali terbit keluhan kecil dari bibir Tiara. Mendengar keluhan wanita itu, Danish Xavier berkerut kening.
"Macam penat sangat je you ni. Mengeluh dari tadi. Kalau you letih, I boleh je hantar you balik. Jangan paksa diri. Nanti kalau you sakit, parents you salahkan I pula." Ujar Danish Xavier senada. Riak wajah Tiara di sisi sedikit pun tidak diendah.
"Ya, memang I letih. Tapi bukan letih sebab hal kahwin kita. I letih sebab you!" Nada Tiara sedikit meninggi. Ingin sahaja dihambur kemarahannya saat ini. Namun memikirkan dia perlu menjaga hubungan mereka, Tiara cuba sehabis baik untuk bersabar.
"Sebab I? I buat apa dekat you? I rasa I tak ada masalah dengan you." Balas Danish Xavier selamba.
"Dan, I perasan sejak pertama kali kita jumpa selepas bertahun-tahun kita tak berhubung hinggalah kita dah bertunang dan dah nak kahwin pun tak lama lagi, layanan you dengan I masih sama. I dapat rasakan yang you macam terpaksa buat semua ni. I boleh rasa yang hati you sebenarnya tak ada langsung rasa sayang mahupun cinta pada I. I nak you jujur, Dan. You ikhlas nak kahwin dengan I sebab you sayangkan I atau you nak tutup kekecewaan you?" Duga Tiara. Dia berharap telahannya silap. Dia takut untuk mendengar kebenaran yang meniti dari bibir Danish Xavier. Namun, dia sudah bertekad. Dia perlukan kejujuran lelaki itu.
Danish Xavier berjeda seketika. Dia memusing tubuh sebelum melangkah mendekati keretanya. Lalu batang tubuh disandarkan di badan kereta sambil matanya merenung Tiara dari jauh. Tiara yang melihat tingkah Danish Xavier pantas mendekati lelaki itu.
"Kenapa you tak jawab? You takut nak jujur dengan I? Atau you risau kalau-kalau jawapan you akan buat I terluka? Dan, perbuatan you selama ni pun dah banyak menghiris hati I. So, I dah lali dan I tak kisah. Just tell me the truth. I nak tahu perasaan you pada I sebelum kita teruskan semua ni. Please... I'm begging you, Dan." Lirih Tiara dengan suara yang sayu. Air mata yang bertakung ditahan daripada mengalir. Matanya tunak memandang Danish Xavier. Menanti jawapan daripada lelaki itu.
"Fine, I jujur dengan you! I sebenarnya tak ada langsung perasaan sayang mahupun cinta pada you, Tiara. Maafkan I. I ingat lepas I ikat tali pertunangan dengan you, I boleh belajar untuk sayangkan you. I dah cuba, Tiara. Tapi setiap kali I cuba, hati I seakan menolak. I tahu cara I salah. I dah buat you jadi objek untuk I lupakan cinta hati I. I tak boleh nak fikir cara lain. Yang I boleh fikir kalau I kahwin dengan perempuan lain, mungkin perlahan-lahan perasaan sayang dan cinta I pada dia akan pudar. Mungkin lambat-laun I boleh lupakan dia. Tetapi I silap. Semakin I cuba lupakan dia, semakin I rindukan dia. I cuba kuatkan diri bila nampak dia dengan lelaki lain. I cuba tak endahkan dia, sakitkan hati dia, buat dia benci pada I. Malangnya, hati I yang sakit, I yang merana. Lebih-lebih lagi bila setiap kali I nampak dia menangis kerana kekasaran I. Tiara, bodoh ke I ni? Melepaskan dia sebab nak buat orang lain gembira, bahagia?" Tanpa sedar air mata lelakinya tumpah setitis demi setitis. Danish Xavier akhirnya kalah dengan perasaannya sendiri.
Tiara terkedu. Pertama kali dia melihat Danish Xavier dalam keadaan seperti itu. Menangis kerana seorang perempuan. Malah, jika sebelum ini Danish Xavier pernah ada hubungan dengan perempuan lain dan pernah juga putus, keadaannya tidaklah seteruk ini. Terlalu istimewakah gadis itu dalam hidup lelaki ini? Tiara dicuit rasa cemburu. Alangkah bagus jika gadis itu adalah dirinya.
"Tak, Dan. You tak bodoh. Mungkin ada hikmah disebalik setiap yang berlaku. Dan, you tahu I dah lama sukakan you, sayang you. I tak kisah siapa pun perempuan yang ada dekat hati you. Yang penting you dah jujur dengan I. Itupun dah cukup baik untuk I. Mungkin pahit untuk I telan, tapi at least you tak tipu I. I berterima kasih pada you sebab dah berterus-terang dengan I. Sekarang I lega. I dah tahu kenapa layanan you pada I tak macam layanan seorang tunang kepada tunangnya. I tak kisah. Kita teruskan semua yang kita dah rancang. Lagipun majlis kita dah tak lama je lagi." Tiara cuba melakar senyuman. Walaupun ia hanya senyuman yang dibuat-buat.
Danish Xavier sedikit tersentak dengan keputusan Tiara. Dia tidak menyangka Tiara akan menerima pengakuannya dengan lapang dada. Malah, ingin meneruskan majlis perkahwinan mereka tanpa ada niat untuk menunda mahupun membatalkan majlis itu.
"Are you sure, Tiara? You sanggup hidup dengan lelaki yang langsung tak ada perasaan sayang pada you? You tak takut kalau you makan hati nanti? I tak nak you menyesal. Lagipun I terima kalau you nak putuskan pertunangan kita. I..."
"No! I tak nak! I nak kita teruskan. Full stop!" Bidas Tiara tanpa sempat Danish Xavier menghabiskan bicara. Tangannya diangkat memberi isyarat supaya Danish Xavier tidak meneruskan kata-katanya.
"Tapi..." Danish Xavier cuba untuk berbicara. Namun, sekali lagi Tiara memotong.
"Dahlah, Dan. I penat. Jom balik. Lain kali baru kita sambung cari barang hantaran." Tanpa sempat menanti balasan daripada Danish Xavier, Tiara terus sahaja membuka pintu kereta sebelum memboloskan diri ke dalam perut kereta lelaki itu.
Danish Xavier menghela nafas panjang. Dia akur. Mungkin ini yang terbaik. Dia sendiri yang memulakan segalanya. Jadi, dia perlu menghabiskan segala yang dia telah mulakan. Tanpa berlengah Danish Xavier turut sama masuk ke dalam perut kereta sebelum memandu keretanya untuk membawa pulang Tiara ke rumah ibu bapa wanita itu.
Sampai sahaja di perkarangan rumah banglo tiga tingkat milik keluarga Tiara, Danish Xavier pantas memberhentikan keretanya. Tiara yang duduk di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan sudah membuka pintu kereta untuk melangkah keluar. Tiba-tiba niatnya dibatalkan. Pintu kereta kembali ditutup. Dia menoleh ke arah Danish Xavier di tempat pemandu. Danish Xavier yang melihat sekadar mengangkat sebelah keningnya.
"Kenapa?" Tanya Danish Xavier pelik.
"Boleh I tahu siapa perempuan yang ada dalam hati you tu? I bukannya apa, sekadar nak ambil tahu perempuan yang bertuah dapat berada di hati you. Itupun kalau you tak kisah." Pinta Tiara.
Tanpa memikirkan sebarang muslihat atau akibat, Danish Xavier hanya berkata jujur.
"Khaira Eryna. Anak angkat mommy dan daddy I."
Tiara tidak terkejut. Bahkan dia hanya melakar senyuman tipis. Kepalanya diangguk kecil.
"Okay. I sebenarnya dah boleh agak. You tak nak masuk ke jumpa my parents?" Pelawa Tiara.
"Tak. Sorry, I ada kerja nak buat. Mungkin lain kali. Tiara, thanks sebab memahami." Tolak Danish Xavier lembut.
"It's okay. I yang nak teruskan. By the way nanti bila kad undangan perkahwinan kita dah siap, I'll let you know. Drive safe. Bye..." Ucap Tiara sebelum keluar dari perut kereta.
"Okay, bye." Balas Danish Xavier pendek.
Saat pintu kereta ditutup, Danish Xavier terus memandu keretanya laju keluar dari perkarangan banglo keluarga Tiara. Tiara sekadar menyoroti bayangan kereta Danish Xavier hingga hilang daripada pandangannya. Tanpa sedar ada air jernih yang mengalir di pipinya. Perlahan-lahan tangisannya semakin pecah. Tidak mahu sesiapa sedar akan keadaannya, pantas dia berlari laju masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup rapat. Tubuhnya dihempas di atas katil. Di situ, dia menangis semahu-mahunya. Melepaskan rasa kecewa, sakit hati, cemburu, sedih dan marahnya. Biarlah dia lepaskan segala-galanya sendiri. Dia yakin selepas ini dia perlu usaha keras untuk mendapatkan hati lelaki yang bernama Danish Xavier.
Share this novel