Khaira Eryna melabuhkan duduknya di anak tangga hadapan rumah. Menikmati angin malam yang berpuput lembut menyapa kulit wajahnya. Rasa sangat tenang dan nyaman. Dia mengalihkan pandangannya ke arah dada langit yang hitam. Kelihatan taburan bintang-bintang kecil menghiasi langit. Berkelipan terang disimbahi cahaya bulan. Perlahan-lahan bibir mungilnya mengukir senyuman nipis.
"Cantiknya!" Bisik Khaira Eryna. Cukup hanya dia sahaja yang mendengar. Memuji keindahan ciptaan yang Maha Esa.
Tatkala itu, kejadian petang tadi kembali bergentayang di ruang mata. Kata-kata Danish Xavier terngiang-ngiang di telinganya. Seakan-akan sedang bermain-main di mindanya.
"Betul ke apa yang dia cakap petang tadi? Tapi...kenapa tiba-tiba? Sebab dia cemburu? Takkanlah..."Gumam Khaira Eryna sendiri.
Flashback...
Danish Xavier mula mengatur langkahnya menaiki anak tangga menuju masuk ke dalam rumah. Khaira Eryna yang berada di belakangnya sekadar memerhati. Terlalu banyak persoalan di mindanya. Terlalu banyak teka-teki yang terdetik di hati.
Sedar yang tiada sesiapa mengekorinya dari belakang, Danish Xavier kembali memusing tubuh. Mencari keberadaan Khaira Eryna. Kelihatan Khaira Eryna masih berada di hadapan rumah. Langsung tidak bergeming di tempat dia berdiri. Danish Xavier mengeluh halus. Dia kembali menuruni anak tangga sebelum menapak mendapatkan Khaira Eryna.
"Khaira, kau kenapa? Nak berjemur dekat panas ni ke?" Soal Danish Xavier dengan wajah yang sedikit berkerut menahan mentari petang.
Tersentak dengan sapaan Danish Xavier, Khaira Eryna kembali tersedar.
"Er, saya nak masuklah ni. Yang awak pun berdiri dekat sini, kenapa? Nak berjemur juga?" Giliran Khaira Eryna pula menyoal ingin menutupi rasa canggung tatkala berhadapan dengan Danish Xavier.
Khaira Eryna mula mengatur langkah masuk ke arah rumah Mak Esah. Namun, saat kakinya baru sahaja ingin mencecah anak tangga pertama, Khaira Eryna kembali berpaling memandang ke arah Danish Xavier. Danish Xavier mengangkat sebelah keningnya.
"Kenapa kau pandang aku macam tu?" Soal Danish Xavier.
"Kenapa awak cakap macam tu pada Luthfi tadi?"
"Aku cakap apa?" Danish Xavier pura-pura tidak faham.
"Awak nak saya cakap kuat-kuat dekat sini ke? Tak menyesal kalau orang lain dengar?"
Danish Xavier malas mengambil peduli kata-kata Khaira Eryna. Langsung tidak terkesan dengan ugutan gadis itu.
"Okay, fine! Kenapa awak mengaku yang awak tu....mmph..."
Tanpa sempat Khaira Eryna menghabiskan pertanyaannya, laju sahaja Danish Xavier berlari ke arah Khaira Eryna sebelum menekup rapat mulut gadis itu.
Khaira Eryna cuba meleraikan pegangan tangan Danish Xavier pada mulutnya. Tetapi sedikit pun Danish Xavier tidak mahu melepaskannya. Malah tutupan pada mulutnya semakin erat.
"Shuu....kalau kau diam, aku akan lepaskan tangan aku." Bisik Danish Xavier pada Khaira Eryna.
Khaira Eryna pantas mengangguk setuju. Kepalanya diangguk laju. Perlahan-lahan Danish Xavier menjatuhkan tangannya. Khaira Eryna yang terasa sesak untuk bernafas kini kembali lega. Nafasnya dihela dalam. Menjegilkan matanya memandang wajah Danish Xavier yang tiada riak bersalah.
"Saya dah tanya tadi. Tapi awak yang insist tak nak jawabkan? Tahu pula takut orang lain dengar."
Terdengar keluhan kecil meniti di bibir Danish Xavier.
"Penting sangat ke soalan tu yang aku nak kena jawab?"
"Mestilah penting. Awak dah buat Luthfi pandang serong pada saya. Mesti dia ingat saya ni perempuan yang tak jujur. Ish, masa bila pula kita ni bertunang? Bercinta pun tidak." Soal Khaira Eryna dengan nada yang cuba dikawal. Agar tidak didengari oleh orang lain.
"Aku sengaja buat macam tu supaya si budak bluti tu tak kacau kau lagi. Aku tak berkenan dengan dia. Cara dia pandang kau tu semacam je. At least, kalau dia tahu kau tunangan orang dia tak akan berani kacau atau contact kau lagi lepas ni."
"Nama dia Luthfi bukan bluti. Awak ni memang ada masalah dengan semua lelaki dekat luar sana ke apa? Semua lelaki yang nak berkawan dengan saya bermasalah di mata awak. Saya ni tak layak ke ada kawan lelaki? Saya bukan ada buat perkara tak baik pun dengan dia. Cuma berbual kosong."
"Aku tak kira. Nak tak nak kau kena dengar cakap aku. Lagipun mommy dah suruh aku jaga kau. So, kau kena terima semua keputusan aku. Dah, jangan nak persoalkan lagi. Aku nak naik atas. Nak mandi."
Khaira Eryna merengus geram. Jari-jemarinya dikepal erat. Mahu sahaja dicengkam leher lelaki itu saat ini. Namun, dia cuba menahan diri. Tidak mahu ada yang bermalam di hospital nanti.
Danish Xavier sudah mula mendaki anak tangga pertama. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia berpaling semula memandang Khaira Eryna.
"Untung aku mengaku kau tunang aku. Kalau isteri, kau rasa apa riak lelaki tu tadi?" Ujar Danish Xavier sinis sebelum kembali mengatur langkah masuk ke dalam rumah meninggalkan Khaira Eryna termanggu sendiri di situ.
End Flashback.
"Ee....geramnya aku!! Nasib baiklah dia tu anak mommy dengan daddy. Pangkat abang-abang dengan aku. Kalau tidak...dah lama aku cekik-cekik batang leher dia tu!" Rengus Khaira Eryna geram.
Tanpa sedar habis daun pokok bunga di tepi anak tangga itu dipetik. Bertaburan daun-daun kecil itu dilantai. Untung sahaja tidak togel pokok bunga itu dikerjakan oleh Khaira Eryna.
"Ya Allah! Khaira, kenapa bersepah ni?" Tegur Cik Moon di belakang Khaira Eryna.
Terhenjut bahu Khaira Eryna dengan teguran Cik Moon itu. Dia pantas menoleh ke arah belakang. Dadanya diurut lembut.
"Cik Moon, terkejut Khaira!"
"Cik Moon ni lagi terkejut tengok Khaira macam ni."
Khaira Eryna sudah berkerut kening. Tidak memahami maksud kata-kata Cik Moon itu.
"Khaira buat apa? Khaira duduk je dekat sini." Jawab Khaira Eryna polos. Langsung tiada riak bersalah.
"Tu...apa yang sampai bersepah dekat lantai tu? Bukan kerja Khaira ke?" Tegak jari telunjuk Cik Moon menghala ke arah lantai di kaki anak tangga.
Khaira Eryna mengalihkan pandangannya ke arah yang ditunjukkan oleh Cik Moon. Membulat bola matanya saat melihat daun-daun pokok bertaburan di atas lantai. Khaira Eryna menoleh pula pada pokok bunga yang terletak tidak jauh darinya. Habis rosak pokok bunga itu dikerjakan tanpa sedar. Mengetap bibirnya erat, Khaira Eryna berpaling semula ke arah Cik Moon yang sedang bercekak pinggang di belakangnya. Dia tayang sengih.
"Sorry Cik Moon. Tak sengaja. Khaira tak ada niat pun nak rosakkan pokok opah. Tangan ni yang gatal petik daun-daun tu. Cik Moon jangan marah. Nanti Khaira sapu."
Cik Moon menggelengkan kepala.
"Apa yang Khaira geram sangat ni sampai pokok opah jadi mangsa? Khaira marah siapa?" Soal Cik Moon seraya melabuhkan punggung di sisi Khaira Eryna.
"Tak ada marah sesiapa pun. Cuma...Khaira geram je tengok pokok bunga opah ni. Merimbun daunnya. Gemuk-gemuk pula tu." Khaira Eryna mencipta alasan.
"Ai, takkan sebab tu habis Khaira kerjakan daun pokok tu? Tengok gaya macam tengah lepaskan geram. Mengaku jelah Khaira...Cik Moon ni bukan nak menyibuk hal Khaira. Tapi kalau dah macam ni gayanya memang Cik Moon kena ambil tahu. Takut botak pula pokok bunga opah tu."
Lengan Cik Moon ditampar manja.
"Cik Moon...Khaira minta maaflah. Takkanlah Khaira nak botakkan pokok-pokok opah tu. Khaira tak sengaja nak buat semua ni. Khaira sebenarnya...mm...Khaira..." Kepalanya digaru kecil sambil bola matanya melilau melihat kiri dan kanan mencipta ayat yang sesuai untuk membalas.
"Khaira apa? Cuba cerita dekat Cik Moon. Mana tahu bila Khaira kongsi dekat Cik Moon, Khaira jadi lega." Pujuk Cik Moon yang masih setia di sisi Khaira Eryna.
Khaira Eryna mengeluh halus. Teragak-agak untuk berterus-terang.
"Macam berat je Khaira nak cerita. Kenapa mengeluh ni? Khaira ada masalah ke? Tak apalah kalau Khaira berat nak bercerita dekat Cik Moon, Cik Moon tak kisah. Cik Moon pun tak nak memaksa. Tapi kalau Khaira dah sedia nak bercerita, Cik Moon sedia jadi pendengar." Ujar Cik Moon sambil melurut lembut rambut panjang Khaira Eryna.
"Cik Moon, macam mana kita nak tahu sama ada orang tu suka kita atau sayang dekat kita?" Tanya Khaira Eryna. Matanya redup menatap wajah Cik Moon.
"Kenapa tanya soalan macam tu? Khaira ada minat dekat seseorang ke? Atau ada lelaki yang minat dengan Khaira?"
Khaira Eryna pantas menggelengkan kepalanya.
"Khaira cuma tanya je. Tak bermaksud apa-apa pun." Dalih Khaira Eryna.
"Tapi cara Khaira tanya tu macam Khaira yang alami. Betulkan tekaan Cik Moon?" Duga Cik Moon.
"Er...bukan Khaira. Kawan Khaira. Dia tanya Khaira hari tu. Tapi Khaira cakap Khaira bukan pandai pun bab-bab ni semua. Sebab tu Khaira tanya Cik Moon. Mungkin Cik Moon ada pengalaman Cik Moon sendiri sebelum ni? Cik Moonkan dah makan garam dulu sebelum Khaira."
Cik Moon ketawa kecil.
"Memanglah Cik Moon ni lebih tua daripada Khaira. Pengalaman hidup pun banyak daripada Khaira. Tapi kalau soal perasaan ni Cik Moon tak adalah berpengalaman sangat. Cuma pernah juga bercinta dulu. Malangnya tak kesampaian."
Khaira Eryna membesarkan kelopak matanya. Teruja dengan kata-kata Cik Moon sebentar tadi.
"Jadi Cik Moon pernahlah bercinta? Mm...macam mana Cik Moon boleh bercinta dulu? Cik Moon yang mulakan atau lelaki tu?" Soal Khaira Eryna ingin tahu. Anak matanya bersinar-sinar menanti jawapan.
"Mestilah lelaki tu yang mulakan. Takkanlah perigi cari timba. Jatuhlah maruah Cik Moon."
"Ceritalah Cik Moon. Khaira teringin nak tahu kisah cinta Cik Moon tu."
"Ala...malaslah Cik Moon nak buka cerita lama. Buat sakit hati je. Tapi yang Cik Moon boleh cakap kalau seseorang lelaki tu dah jatuh suka pada seorang perempuan, dia akan jadi lebih caring dengan perempuan tu. Jadi overprotektif. Kadang-kadang perempuan ni boleh rasa rimas."
"Habis tu kalau kadang-kadang lelaki itu macam annoying pula macam mana? Suka sakitkan hati perempuan tu. Tapi dalam masa yang sama dia ambil berat pasal perempuan tu juga. Cik Moon rasa dia suka dekat perempuan tu atau dia cuma anggap perempuan tu macam kawan biasa dia je?"
Cik Moon tatap wajah gadis di sebelahnya dengan kening yang sedikit berkerut.
"Annoying? Siapa?"
"Lelaki yang suka kawan Khaira tulah. Kadang-kadang lelaki tu macam ambil berat pasal kawan Khaira ni. Tapi Kadang-kadang lelaki tu suka sakitkan hati kawan Khaira. Bila kawan Khaira cakap dengan lelaki lain je mulalah dia macam marah lepas tu lelaki tu tak bagi kawan Khaira bercakap dengan lelaki lain. Lelaki tu cakap, lelaki dekat luar tu semuanya buaya. Tak boleh percaya." Luah Khaira Eryna bersungguh-sungguh.
"Lelaki tu pernah cakap apa-apa tak yang menunjukkan dia suka kawan Khaira tu?"
Khaira Eryna berjeda. Jari telunjuk dibawa mengetuk-ngetuk bawah dagunya. Seakan sedang memikirkan sesuatu.
"Ada! Dia pernah cakap yang dia sayangkan kawan Khaira. Tapi kawan Khaira tak pernah ambil kisah pun apa yang lelaki tu cakap selama ni. Sebab lelaki tu tak ada pula tunjuk yang dia serius sayangkan kawan Khaira tu. Monsun lelaki tu asyik berubah-ubah. Tu yang kawan Khaira tertanya-tanya kenapa lelaki tu layan dia macam tu? Kejap baik kejap tak. Entahlah. Khaira pun naik pening. So, apa pendapat Cik Moon?"
Giliran Cik Moon pula berjeda. Menghadam setiap bait cerita daripada Khaira Eryna.
"Okay, ini pendapat Cik Moon. Bagi Cik Moon bergantung kepada sifat lelaki tu sendiri. Contohnya macam Darwish. Dia jenis yang suka bergurau. Kadang-kadang tak ambil serius pun dengan apa yang dia cakap. Kemungkinan besar dia dah biasa cakap perkataan sayang kepada sesiapa sahaja dia rasa selesa dan rapat dengan dia. Berbeza pula dengan Danish. Dia jenis yang suka memendam rasa. Sukar untuk kita ramal apa yang ada dalam akal dan hati dia. Kemungkinan kalau dia cakap dia sayang seseorang tu maksudnya dia memang serius sayang. Cuma cara dia layan seseorang tu agak berbezalah. Itu pemerhatian Cik Moon. Contoh-contoh yang Cik Moon boleh bagi. Terpulanglah pada Khaira nak terima ataupun tidak."
Khaira Eryna angguk tanda faham.
"Masuk akal juga pendapat Cik Moon ni."
"So, lelaki tu macam mana orangnya? Macam Darwish atau Danish?"
Khaira Eryna tersentak. Terkejut dengan pertanyaan Cik Moon itu.
"Er...Khaira pun tak pastilah Cik Moon. Khaira bukan kenal sangat lelaki tu. Lagipun Khaira wakilkan kawan Khaira untuk tanya Cik Moon. Tak apalah, Khaira nak sapu daun-daun ni. Nanti takut opah bising pula." Khaira Eryna cuba mengelak. Tiada niat untuk membalas.
Khaira Eryna sudah bangkit dari duduknya. Baru sahaja dia mahu menapak turun dari anak tangga, tangannya sudah dilelar oleh Cik Moon. Khaira Eryna menoleh ke arah Cik Moon.
"Dah malam ni. Esok je baru kita sapu. Baik Khaira masuk tidur. Nanti opah tengok anak dara termenung dekat tangga malam-malam macam ni lagi dia bising. Dah, jom masuk. Cik Moon nak kunci pintu."
Tanpa sempat menunggu balasan daripada Khaira Eryna, tubuh Khaira Eryna sudah ditarik masuk ke dalam rumah. Khaira Eryna akur. Dia hanya menurut. Lalu meminta diri berlalu masuk ke dalam bilik tidurnya.
Share this novel