Khaira Eryna membuang pandang ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapan mata. Pagi-pagi lagi dia sudah meminta izin daripada Camilla dan Noah untuk menikmati pemandangan sawah padi yang tidak jauh daripada kawasan rumah cik Moon. Khaira Eryna terasa tenang. Rantai tangan yang terukir nama ibunya itu ditatap. Entah mengapa dia merasakan terlalu rindu pada kedua orang tuanya saat ini. Tanpa sedar air matanya mengalir di pipi.
"Ehem!"
Khaira Eryna tersentak. Dia pantas menyeka air matanya. Rantai tangan yang berada dalam genggamannya disimpan di dalam kocek hoodie yang dipakainya. Kembali menegakkan tubuh sambil membetulkan duduknya.
"Buat apa dekat sini sorang-sorang?" Tegur suara garau itu.
"Saja ambil angin. Bukan selalu dapat nikmati pemandangan macam ni. Dekat kampung saya pun tak ada bendang macam dekat sini."
Danish Xavier mengambil tempat di sisi Khaira Eryna. Manatap dalam wajah gadis itu.
"Kau menangis?"
Khaira Eryna meraba wajahnya. Pantas kepala digeleng laju.
"Mana ada."
"Habis tu...ni apa?"
Hujung jari Danish Xavier menyeka air jernih di hujung mata Khaira Eryna. Khaira Eryna pantas menepis lembut tangan Danish Xavier.
"Mata saya masuk habuk."
Danish Xavier tersungging senyum.
"Aku bukan bodoh sampai tak tahu beza antara mata menangis dengan mata yang masuk habuk? Baik kau beritahu aku kenapa kau menangis? Ada orang kacau kau?"
Khaira Eryna menggeleng lagi.
"Tak ada sesiapa pun kacau saya. Saya okay je."
Terdengar keluhan halus meniti di bibir Danish Xavier.
"Kau tahukan kau boleh kongsi semuanya dengan aku. Aku sudi jadi pendengar setia kau."
Khaira Eryna menoleh ke arah Danish Xavier dengan riak kurang percaya.
"Awak nak jadi pendengar setia saya?"
Danish Xavier pantas angguk kepala. Melihat balasan Danish Xavier, Khaira Eryna tertawa kecil.
"You must be joking. Danish Xavier sanggup pinjam telinga untuk gadis macam saya? Awak demam ke? Atau terlebih penat sebab memandu lama semalam? Sejak bila awak kisah pasal orang asing macam saya ni?" Soal Khaira Eryna sinis. Pandangannya dilontar semula ke arah sawah di hadapan mata.
"Sejak aku terima kau dalam keluarga aku. Sejak aku dah terima kau dalam hidup aku. Kau penting buat aku, Khaira."
"Ha? Awak cakap apa tadi?" Sekali lagi pandangannya beralih arah pada Danish Xavier. Sedikit terkejut saat mendengar bicara yang meniti di bibir lelaki itu tadi.
"Aku cakap apa?" Danish Xavier cuba mengelak. Pura-pura tidak tahu.
"Awak cakap saya penting dalam hidup awak?" Khaira Eryna kembali mengulangi kata-kata Danish Xavier sebentar tadi.
"Aku ada cakap macam tu ke?"
Khaira Eryna angguk.
"Saya rasa saya tak pekak lagi. Tak mungkin saya salah dengar."
"Mana ada aku cakap macam tu. Aku cakap kau penting dalam hidup mommy dan daddy. Kaukan dah jadi anak kesayangan dia orang. So sebagai anak lelaki yang baik aku kenalah ambil tahu tentang semua orang yang berkaitan dalam keluarga aku, termasuk kau. So, is there anything you want to share with me?" Soal Danish Xavier sekali lagi. Kali ini tatapan mata lelaki itu begitu dalam menjamah seraut wajah cantik di hadapannya.
"Tak ada. Kan saya cakap saya okay. Awak tak perlu risau. Mm...by the way, can I ask you something?"
"Apa dia?"
"Er...siapa yang angkat saya masuk dalam rumah semalam? Sebab saya sedar pagi tadi, saya dah ada atas katil. Dalam bilik tetamu. Daddy ke yang angkat saya? Atau abang Darwish? Atau pun....awak?" Duga Khaira Eryna.
Danish Xavier jeda. Pantas dia bangkit dari duduknya sebelum menapak menyusuri tali air ke tengah sawah. Melihat tingkah Danish Xavier, Khaira Eryna turut sama mengekori langkah Danish Xavier.
"Danish! Awak belum jawab soalan saya?"
Langkah Danish Xavier terhenti. Tubuhnya berpaling ke arah Khaira Eryna yang berjalan mengejarinya dari belakang.
"Penting sangat ke sampai kau kena ikut aku? Kau tahukan bahaya jalan dekat sini? Jangan salahkan aku kalau kau terjatuh dalam petak sawah tu nanti." Danish Xavier memberi amaran dengan kening yang berkerut. Roman wajahnya nampak serius.
"Saya tahu jaga diri saya. Sekarang saya nak dengar jawapan dari persoalan saya tadi."
Kini, Khaira Eryna sudah berhenti melangkah. Dia berdiri betul-betul di hadapan Danish Xavier. Merenung lelaki itu menunggu jawapan.
"Kenapa kau tak tanya yang lain dalam rumah tu tadi? Kenapa kau tanya aku?"
"Sebab tak siapa yang boleh bagi jawapan pada saya. Saya tanya mommy dan daddy, tapi dia orang cakap tak tahu. Tanya abang Darwish lagilah tak berjawab."
"Cik Moon? Opah?"
"Dia orang sibuk dekat dapur. Saya tak nak ganggu."
"So, aku jadi mangsa terakhir kaulah? Perkara tu tak penting pun. Yang penting kau dah selamat. Selamat berada dalam rumah. Dalam bilik tidur. Bukan kau kena tinggal tidur dalam kereta punkan?"
"Ya, saya tahu. Tapi takkanlah saya berjalan sendiri masuk dalam rumah tu? Saya bukan sleepwalking."
"Mana tahu kau dah penat sangat. Kau bukannya sedar pun kalau kau berjalan dalam tidur."
Danish Xavier kembali memusingkan tubuh sebelum mengatur kembali langkahnya menuju ke tengah sawah.Mendengar balasan lelaki itu membuatkan Khaira Eryna merengus kecil. Dia berjalan laju mengejari Danish Xavier. Namun, belum sempat dia memintas langkah Danish Xavier, kakinya tergelincir dari landasan tali air. Tubuhnya sudah melayang ke arah petak sawah. Khaira Eryna menjerit kecil. Matanya terpejam rapat.
"Be careful!"
Namun, nasib Khaira Eryna agak baik. Belakang tubuhnya sempat disambut oleh Danish Xavier. Khaira Eryna membuka mata. Jarak dia dan Danish Xavier terlalu rapat. Mereka saling bertatapan mata. Jantung sudah berubah irama. Akal melarang. Perasaan yang hadir cuba dibuang jauh. Namun hati seakan mengkhianati akal fikiran. Masa ibarat terhenti seketika buat mereka.
Angin berpuput lembut menyapa kulit wajah. Membuatkan rambut panjang Khaira Eryna berterbangan hingga menutupi sebahagian wajahnya. Lantaran itu, mereka berdua tersedar. Pantas dada bidang Danish Xavier ditolak. Menjarakkan kedudukan mereka berdua.
"Thanks." Ucap Khaira Eryna sambil menyelitkan rambutnya ke belakang telinga.
"Nasib baik aku sempat. Kalau tidak mandi lumpurlah kau jawabnya."
"Salah awak juga. Siapa suruh awak tak jawab soalan saya tadi?"
Bulat mata Danish Xavier mendengar tuduhan Khaira Eryna.
"Aku pula yang salah? Dahlah, jom kita balik. Nanti mommy risau pula tunggu dekat rumah tu."
"Awak tak nak jawab soalan saya ke?"
Danish Xavier sudah menepuk dahi. Dia fikir persoalan itu sudah tamat. Tetapi nampaknya Khaira Eryna bukan seorang yang tahu mengalah. Sekali lagi Danish Xavier mengeluh halus.
"Tak habis lagi ke? Dahlah, tak penting pun aku nak jawab soalan tu. Yang kau nak tahu sangat siapa yang bawa kau masuk dalam rumah malam tadi tu dah kenapa? Kau nak buat apa kalau kau tahu?"
"Saya nak ucap terima kasih. Lagi satu saya nak minta maaf dekat dia juga."
Danish Xavier berkerut kening.
"Kenapa kau nak minta maaf pula?"
"Sebab saya dah susahkan dia. Mesti dia penat terpaksa angkat saya." Khaira Eryna menunduk malu.
"Ala...badan papan macam kau ni, apalah sangat. Ringan macam angkat budak kecil je."
Khaira Eryna mengangkat muka. Tajam menatap ke arah Danish Xavier.
"Maksudnya...awak ke yang angkat saya malam tadi?"
Khaira Eryna mula rasa tidak keruan. Mahu sahaja dia menyorok menyelam di dalam petak sawah. Merendam wajahnya ke dalam lumpur. Dia boleh terima jika orang lain yang membantunya. Tetapi bukan Danish Xavier. Entah mengapa perasan malunya semakin menebal jika benar Danish Xavierlah orang yang membantunya malam tadi.
"Er...aku tak cakap pun aku yang angkat kau. Dah, jom balik. Lagipun aku belum breakfast lagi ni. Aku lapar." Danish Xavier cuba mengelak. Dia pantas memusing tubuh sebelum mengatur langkah untuk keluar dari kawasan sawah padi itu.
Khaira Eryna turut sama ingin menapak mengikut jejak Danish Xavier. Namun, baru selangkah dia menapak. Dia terjatuh. Pergelangan kakinya terasa sakit. Khaira Eryna mengaduh kesakitan.
"Auch!"
Langkah kaki Danish Xavier terhenti saat mendengar suara erangan di belakangnya. Pantas Danish Xavier menoleh. Terkejut melihat keadaan Khaira Eryna, dia segera berlari anak mendapatkan gadis itu.
"Khaira, kenapa ni?" Wajah Danish Xavier kelihatan cemas.
Khaira Eryna menggelengkan kepala.
"Tak tahu. Sakit bila nak berjalan tadi. Mungkin terseliuh masa tergelincir tadi agaknya."
"Habis tu, kau boleh jalan tak?"
"Boleh kot. Tak apa, saya cuba jalan perlahan-lahan."
Khaira Eryna menggunakan seluruh tenaganya untuk bangun. Dengan bantuan Danish Xavier, Khaira Eryna sudah kembali berdiri. Dia cuba untuk berjalan. Namun, sekali lagi tubuhnya hampir terduduk kembali. Untung sahaja Danish Xavier cepat bertindak. Menyambut tubuh Khaira Eryna dari terjatuh. Spontan kedua-dua tangan Khaira Eryna berpaut pada bahu Danish Xavier.
"Kau tak boleh berjalan ni."
"Tak, saya boleh. Saya cuba lagi." Khaira Eryna masih berdegil.
Tanpa menunggu lama, Danish Xavier terus bertindak mencempung tubuh Khaira Eryna. Khaira Eryna terjerit kecil. Membesar kelopak matanya melihat tindakan drastik Danish Xavier.
"Be good girl kalau kau tak nak aku campak kau dalam sawah tu."
Seakan tahu apa yang ingin dilakukan oleh Khaira Eryna, Danish Xavier terlebih dahulu memberi amaran. Khaira Eryna menarik muncung. Diam membisu tanpa sedikit pun mendongak memandang ke arah Danish Xavier.
Dengan berhati-hati, Khaira Eryna didudukkan di lantai pondok yang terletak di tepi sawah. Tempat yang sama mereka berteduh sebentar tadi. Danish Xavier duduk bertinggung sebelum mencapai sebelah kaki Khaira Eryna. Kaki gadis itu ditilik.
"Kaki kau ni bengkak sikit. Nanti aku minta tolong opah urut. Kalau dibiarkan nanti melarat pula."
"Eh, tak apa. Saya okay. Nanti saya sapu minyak, baiklah."
Danish Xavier menatap tajam wajah Khaira Eryna. Seakan mahu menelan gadis itu hidup-hidup.
"Boleh tak sekali kau jangan degil? Dengar cakap aku, boleh?"
Takut dengan renungan membunuh Danish Xavier, Khaira Eryna pantas angguk kepala. Akur dengan arahan lelaki itu.
"Dah, jom aku bawa kau balik."
Danish Xavier mahu mencempung semula tubuh Khaira Eryna. Sekali lagi, gadis itu menolak.
"Tak apa. Biar saya cuba jalan sendiri. Takkan saya nak biarkan awak dukung saya sampai rumah opah. Jauh tu."
"Habis tu, takkan aku nak biarkan kau dekat sini sorang-sorang? Tak jauh mana pun rumah opah tu. Macam aku cakap tadi, berat badan kau yang macam papan ni langsung tak memenatkan aku."
"Tapi..."
Belum sempat Khaira Eryna menghabiskan kata-katanya, tubuhnya sudah selamat dalam dukungan Danish Xavier. Pantas tangannya naik memaut belakang leher lelaki itu. Takut tubuhnya terlepas dari pegangan Danish Xavier.
Danish Xavier senyum senget. Wajahnya dirapatkan ke wajah Khaira Eryna sebelum membisikkan sesuatu pada gadis itu.
"Lepas ni kau boleh ucap terima kasih pada aku. Sebab masuk ni, dah tiga kali aku angkat kau macam ni." Bisik Danish Xavier sambil mengenyetkan sebelah matanya.
Khaira Eryna terpempan. Lidahnya jadi kelu untuk membalas. Bibirnya diketap rapat. Wajahnya membahang. Akhirnya, dia hanya mampu menunduk menahan malu. Danish Xavier yang perasan akan perubahan roman wajah gadis dalam dukungannya itu hanya mengulum senyum sambil membawa Khaira Eryna pulang ke rumah cik Moon.
Share this novel