Bab 40

Drama Series 34153

Nafas ditarik dalam sebelum perlahan-lahan dihembus keluar. Menikmati udara segar dan dingin di pagi hari. Pemandangan bukit-bukau yang penuh dengan tanaman pokok-pokok teh yang menghijau benar-benar menjamu mata. Ditambah pula saat bersarapan dengan teh O panas bersama classic scone yang disapu dengan jem strawberi dan butter berserta makanan sampingan yang lain. Dinikmati penuh berselera.

"Sedap tak Aira? Aira ada nak pesan makanan lain ke?"

Pertanyaan si ibu menyentak Khaira Eryna yang sedang leka menyuap scone di mulut. Khaira Eryna menggeleng kecil.

"Tak apalah ibu. Makanan yang ni pun belum habis lagi. Terima kasih ibu sebab bawa Aira bercuti dekat sini. Aira dah lama teringin nak datang sini."

"Sama-sama, sayang. Ibu nak bawa Aira bercuti di luar negara, Aira tolak. Nak juga bercuti dalam Malaysia. Dekat sana pun banyak tempat-tempat yang berhawa dingin. Lebih dingin dari tempat ni."

Khaira Eryna senyum segaris.

"Tak apalah, bu. Lain kali kita pergi. Kalau boleh Aira nak habiskan travel dalam Malaysia dulu. Baru kita pergi luar Malaysia. Lagipun dekat negara kita ni masih banyak tempat-tempat yang menarik."

Sofea angguk kepala, ikut bersetuju dengan kata-kata anaknya itu.

"Yalah, bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walau banyak mana kelebihan dekat negara luar tu tetap lebih baik negara kita sendiri."

"Betul. Aira setuju. Ibu... Lepas ni kita nak ke mana?" Soal Khaira Eryna teruja.

"Ibu tak kisah. Aira beritahu je ibu Aira nak pergi mana. Nanti ibu bawa. Ibu nak habiskan masa ibu yang terluang ni untuk anak ibu. Walaupun ibu tahu yang ibu tak dapat nak gantikan semua masa ibu pada Aira masa Aira kecil dulu. Tapi sekurang-kurangnya ibu tak ralat bila ibu boleh penuhi masa cuti ibu dengan Aira. Aira, ibu minta maaf dengan apa yang dah terjadi. Kalaulah ibu boleh putarkan masa ke masa silam..."

Sofea tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Nadanya sudah berubah sebak. Namun, kesedihan yang hadir ditepis jauh. Tidak mahu merosakkan masa gembiranya bersama Khaira Eryna.

"Ibu... Dahlah. Aira dah tak nak ibu ingat semua perkara lama tu. Ibu dah janji nak mulakan hidup barukan? So, ibu kena selalu happy. Ibu bahagia, Aira tumpang gembira." Khaira Eryna cuba memujuk si ibu. Memaut lengan Sofea dengan lembut sebelum melentokkan kepalanya di bahu si ibu. Tidak mahu ibunya terus hanyut dengan rasa bersalah.

Sofea menguntum senyum. Satu kucupan kecil dilabuhkan di kepala Khaira Eryna sambil tangannya naik memeluk tubuh anak gadisnya dari sisi.

Usai beberapa ketika, pelukan dileraikan. Khaira Eryna kembali membetulkan duduknya. Menyambung semula suapannya. Begitu juga dengan Sofea.

"Sofi?" Sapa seorang wanita yang berdiri tidak jauh dari meja mereka.

Sofea yang mendengar namanya diseru segera mengangkat wajah. Wajah wanita itu diamati. Dia seakan mengenalinya. Tetapi dia tidak pasti di mana mereka pernah bertemu sebelum ini. Sofea bangun dari duduknya.

"Ya, saya. Kita macam pernah berjumpa. Tapi maaf saya tak berapa nak ingat." Ujar Sofea dengan riak bersalah. Akalnya masih digali cuba mengingati gerangan yang berada di hadapannya.

Khaira Eryna turut memberhentikan suapan makanannya. Sekadar memerhati tingkah ibu dan wanita asing itu.

"You tak ingat I ke? Kita belajar sama-sama dekat Australia dulu. I, Katrina." Terang Katrina cuba mengimbau kenangan lama dia dan Sofea.

Serta-merta kenangan lama Sofea ketika belajar di luar negara dulu menjengah di ingatan. Sofea mengangguk laju. Pantas bibirnya menarik senyuman lebar.

"Now, I dah ingat. Kat, kan? Kita sama fakulti dulu."

"Ingat pun. Lamanya I tak jumpa you..."

Katrina mendekati Sofea. Saling bersalaman sebelum saling berpelukan. Sofea membalas pelukan sahabatnya itu dengan lapang dada. Siapa sangka setelah bertahun-tahun mereka boleh berjumpa di situ.

"You buat apa dekat sini? Bercuti ke?" Soal Katrina usai pelukan dileraikan.

"Yup. I bawa anak perempuan I bercuti. Saja nak luangkan masa bersama dia. You pula buat apa dekat sini? Bercuti juga? You seorang je ke?" Giliran Sofea pula bertanya.

"Taklah. I ikut anak bujang I. Dia ada meeting dekat sini. Bosan duduk dekat rumah, tu yang ikut dia. Kejap, ni anak perempuan you ke?" Tanya Katrina inginkan kepastian. Pandangannya beralih ke arah Khaira Eryna. Tidak lepas matanya memandang wajah cantik gadis yang duduk tidak jauh darinya itu.

"Ya, kenapa? You ingat dia anak orang lain ke? Dia anak kandung I."

Katrina menggeleng laju.

"Bukan itu maksud I. I tak sangka you ada anak perempuan yang cantik macam dia. Ni ke anak you yang terpisah dengan you dulu?"

Sofea tidak membalas. Sekadar angguk kepala dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

"Alhamdulillah... Tak sangka you dapat bersama semula dengan dia. Tapi... You berdua je? Mana your hubby?"

Serta-merta senyuman Sofea mati. Wajahnya berubah mendung.

"Dia dah tak ada, Kat. Dia dah meninggal sebelum I sempat jumpa dia." Lirih Sofea.

"Sorry, Sofi. I tak bermaksud nak buat you sedih. By the way, you tak nak kenalkan anak you dengan I ke?" Kerana rasa bersalah, Katrina pantas menukar topik perbualan. Tidak sanggup melihat kesedihan sahabatnya itu.

"It's okay, Kat. Sorry, I yang cepat emosi. Er...Aira, mari sekejap."

Khaira Eryna yang mendengar namanya diseru oleh Sofea pantas mengangkat punggung. Dia menapak ke arah ibunya.

"Ya, bu."

"Ni ibu nak kenalkan kawan ibu masa ibu belajar dekat Australia dulu. Auntie Katrina. Kat, ni anak I, Khaira."

Dengan sopan Khaira Eryna menghulurkan tangannya pada Katrina. Katrina pula menyambut huluran tangan gadis di hadapannya dengan senang hati.

"Cantik namanya. Secantik orangnya juga. Berkenan auntie dengan Khaira ni. Sejuk je hati auntie bila tengok Khaira."

Khaira Eryna simpul senyum. Wajahnya sedikit menunduk. Terasa malu dengan pujian yang diberikan oleh Katrina.

"You ni puji melambung sangat. Naik malu anak I." Celah Sofea di sisi Khaira Eryna.

"Buat apa nak malu. I cakap perkara yang betul. Mesti anak you ramai peminatkan?"

"Yang tu I tak pasti pula. Maybe, kawan biasa tu ramai. Yang istimewa, rasanya belum ada. Betul tak, Aira?"

Khaira Eryna tersentak kecil. Wajahnya diangkat. Memandang ke arah Sofea dan Katrina silih berganti. Mahu sahaja dia bercakap jujur. Namun, saat teringat akan janjinya dengan Danish Xavier, dia terpaksa akur. Kepalanya diangguk perlahan.

"Er... Betul ibu. Lagipun Aira tengah sibuk study. Tak ada masa nak fikir semua tu."

"Tak apalah. Mungkin satu hari nanti Khaira akan bertemu dengan lelaki idaman Khaira. Mana tahu silap hari bulan Khaira jadi menantu auntie?" Katrina berseloroh.

Sofea melepaskan tawanya. Manakala Khaira Eryna hanya mampu tersenyum tawar membalas kata-kata gurauan Katrina.

"Dahlah tu. You dah makan ke? Apa kata join kita orang sekali?" Pelawa Sofea.

Katrina bersetuju. Mereka kembali mengambil tempat di meja makan. Baru sahaja melabuhkan duduk, tiba-tiba datang seorang lelaki menyapa mereka. Sofea dan Katrina menoleh. Khaira Eryna yang baru mahu mengalihkan pandangannya terhalang saat telefon pintarnya berbunyi. Menandakan ada notifikasi mesej masuk di telefonnya. Khaira Eryna mengeluarkan telefon pintarnya sebelum melihat gerangan yang menghantar mesej tersebut. Melihat sahaja nama yang tertera di skrin telefonnya, bibirnya kembali mengorek senyuman.

"Yad, ingatkan dah lupa mama dekat sini." Sindir Katrina pada lelaki itu.

Lelaki yang berdiri di sisi meja mereka hanya tersengih memaparkan sebaris gigi yang tersusun cantik. Hanya kelihatan santai dan segak dengan t-shirt berkolar jenama Polo dipadankan dengan seluar Denim berwarna biru muda. Rambutnya hitam tersisir rapi. Kaca mata hitam yang menutup sepasang matanya dibuka. Memberi senyuman manis pada Sofea sebelum pandangannya jatuh pada gadis di sisi Sofea yang leka dengan telefon pintar di tangan.

"Sofea, kenalkan. Ni anak lelaki I, Fayyadh. Cuma tulah. Dia sibuk memanjang sampai mama dia pun kadang-kadang dia terlupa." Ujar Katrina seakan terasa hati dengan anak lelakinya itu.

"Sorry, mama. Yad jumpa client tadi. Maaf buat mama tunggu lama."

"Dahlah tu, Kat. Kesian anak you ni. Bagi dia duduk. Lagipun you dengan I je tadikan. Tak adalah you keseorangan pun." Sela Sofea.

"I saja je nak buat dia rasa bersalah. Untung I terserempak dengan you dekat sini, kalau tidak memang I melangok sorang-sorang dekat sini. Tunggu apa lagi, memang Yad nak berdiri je dekat situ ke? Tak nak duduk?"

Mendengar kata-kata Katrina, Fayyadh segera menarik kerusi sebelum mengambil tempat di sebelah Katrina.

"You berdua nak pesan apa? Kita boleh makan sama-sama. Ramai macam ni baru seronok."

"I tak kisah, Sofi. Tak apa. Biar Fayyadh yang ambil order. You sambunglah makan. Dah sejuk makanan you tu."

Sofea akur. Dia kembali menyambung suapan. Namun saat sedar akan tingkah Khaira Eryna yang leka dengan telefon pintar di tangan, Sofea pantas menegur anaknya.

"Aira, busy betul dengan telefon tu. Makanan dah sejuk. Mari sambung makan."

Khaira Eryna segera menyimpan telefon pintarnya ke dalam beg. Angkat sahaja kepala, matanya tertancap pada seraut wajah yang agak asing baginya. Melihat lelaki itu yang tidak lepas dari menatapnya, cepat-cepat Khaira Eryna mengalih pandangan.

"Yad, janganlah tenung anak dara orang macam tu. Naik segan Khaira. Maaflah Khaira. Kalau anak auntie dah buat Khaira rasa tak selesa."

"Eh,tak apa auntie. Khaira okay je."Khaira Eryna berdalih. Walhal dia sememangnya tidak selesa dengan pandangan lelaki di hadapannya itu.

"Ni anak auntie. Fayyadh nama dia. Yad, ni Khaira. Anak auntie Sofea." Katrina memperkenalkan Khaira Eryna kepada anak lelakinya.

Fayyadh yang sejak tadi memang berminat ingin mengetahui tentang gadis di hadapannya itu terus sahaja menguntum senyum. Tangannya dihulur tanda salam perkenalan. Khaira Eryna yang teragak-agak ingin menyambut huluran Fayyadh akhirnya menerima juga salam perkenalan lelaki itu apabila melihat tatapan mata Sofea dan Katrina padanya. Fayyadh menarik nafas lega.

"Lama ke auntie dengan Khaira bercuti dekat sini?" Soal Fayyadh ramah. Cuba menghilangkan rasa canggung antara mereka. Namun matanya sempat mencuri pandang pada Khaira Eryna.

"Lama tu tak lama juga. Dalam empat hari macam tu." Balas Sofea.

Khaira Eryna sekadar menjadi pendengar. Dia lebih selesa kembali menjamu selera daripada beramah mesra dengan orang yang dia tidak berapa kenali.

"Ooh... Baguslah kalau macam tu. Kebetulan Fayyadh dengan mama pun memang ada dekat sini seminggu. Bolehlah kalau kita semua keluar bersama. Kalau bercuti ramai-ramai lagi seronokkan?" Fayyadh memberi cadangan.

Mendengar cadangan lelaki itu Katrina dan Sofea pantas angguk setuju.

"Kalau macam tu tak adalah mama habiskan masa mama sorang-sorang dekat bilik. Ada peneman mama kali ni." Katrina senyum gembira.

Tidak lama kemudian makanan yang dipesan tiba. Mereka bersama-sama menjamu selera. Fayyadh yang seakan tertarik hati dengan Khaira Eryna tidak putus-putus berusaha cuba menarik perhatian gadis itu untuk berbual mesra dengannya. Khaira Eryna yang tidak mahu dilabelkan sebagai seorang yang sombong akhirnya turut sama berbual dengan Fayyadh dan ibunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience