Bab 30

Drama Series 23172

Khaira Eryna mengatur langkah keluar dari kereta. Tidak betah berlama-lamaan di dalam kereta bersama Danish Xavier. Sebal dengan sikap Danish Xavier yang selalu menyakitkan hatinya.

Khaira Eryna menapak ke arah villa. Riak wajahnya cuba dimaniskan. Melapangkan dada dan cuba melupakan segala yang terjadi sebentar tadi. Kaki laju diatur ke dalam villa sambil mata mengitari keadaan sekeliling. Ligat mencari kelibat ibu angkatnya. Namun, melihat ke setiap ceruk kawasan dalam villa, keberadaan ibu angkatnya masih tidak ditemui. Lalu, dia menapak ke arah dapur. Mencari Cik Moon untuk bertanyakan keberadaan Camilla. Melihat sahaja susuk tubuh wanita separuh abad itu, Khaira Eryna pantas melangkah mendekati Cik Moon.

"Cik Moon!" Sergah Khaira Eryna.

Terenjut bahu Cik Moon kerena terkejut. Spontan, kepalanya menoleh ke arah Khaira Eryna. Cik Moon mengurut dadanya lembut.

"Khaira, ingatkan siapalah tadi! Terkejut Cik Moon. Bertuah betul budak ni." Marah Cik Moon. Dia menarik muka masam. Merajuk!

Khaira Eryna melepaskan tawa. Geli hati melihat wajah cemberut Cik Moon. Tangannya dibawa memaut lembut bahu wanita itu sebelum melentukkan kepalanya di situ. Melihat tingkah Khaira Eryna, roman wajah Cik Moon terus sahaja berubah. Bibir mengukir senyuman. Sikap manja Khaira Eryna membuatkan rajuknya cepat sahaja terpujuk.

"Sorry Cik Moon....Khaira gurau je. Janganlah marah..." Meleret suara Khaira Eryna memujuk.

"Nasib baik Cik Moon tak ada sakit jantung. Kalau tidak tadi tak pasal-pasal Cik Moon jadi arwah sebab mati terkejut. Awal balik? Selalu kalau matahari belum terbenam, batang hidung tak nampak lagi." Sindir Cik Moon.

Khaira Eryna angkat kepala. Mencebik bibir saat mendengar sindiran Cik Moon.

"Cik Moon ni saja je nak sindir Khaira. Khaira balik lambat salah. Balik awal pun salah?"

Cik Moon ketawa kecil. Kepalanya digeleng.

"Cik Moon tak cakap salah pun. Cuma pelik je. Ialah...orang tukan tengah larikan diri daripada Danish. Selalu kalau balik, masuk pun macam pencuri. Ni siap sergah Cik Moon lagi. Khaira balik naik apa?" Soal Cik Moon. Tangannya ligat mengemas pinggan dan mangkuk yang sudah siap dilap ke dalam kabinet.

Khaira Eryna sekadar memerhati sambil bersandar di tepi kabinet dapur. Bibirnya tersungging senyum.

"Kalau Cik Moon pandai, Cik Moon tekalah." Khaira Eryna berteka-teki.

Cik Moon yang sudah selesai menyusun pinggan dan mangkuk, menapak ke arah meja. Punggung dilabuhkan di kerusi. Pandangannya beralih pada Khaira Eryna. Dahinya berkerut. Seakan sedang berfikir.

"Cik Moon, nanti buatkan Danish air boleh?" Sapa Danish Xavier.

Cik Moon tersentak. Sekali lagi dadanya diurut. Terbang segala jawapan yang berlegar di fikirannya.

"Ni lagi sorang. Boleh tak bagi salam dulu? Terkejut Cik Moon."

Danish Xavier tayang sengih. Belakang leher digosok. Khaira Eryna tahan senyum melihat tingkah Cik Moon itu.

"Sorry Cik Moon. Danish tak sengaja."

"Tak apalah. Cik Moon tak ambil hati pun. Kejap lagi Cik Moon buatkan airnya."

"Kalau macam tu Danish naik bilik dulu bersihkan diri. Kejap lagi Danish turun semula." Ujar Danish Xavier sebelum mengatur langkah ke arah tangga villa. Sempat dia melirik ke arah Khaira Eryna yang berada di sisi kabinet.

Khaira Eryna yang perasan akan pandangan Danish Xavier hanya menggulingkan mata. Melihat Danish Xavier yang sudah beredar, pandangan Cik Moon kembali terpasak pada wajah Khaira Eryna.

"Kenapa Cik Moon pandang Khaira macam tu?"

"Cik Moon rasa Cik Moon dah dapat jawapan."

"Maksud Cik Moon?"

"Khaira balik dengan Danish, kan?"

"Mana Cik Moon tahu? Cik Moon main tembak jekan?"

"Ala....Cik Moon tahulah. Bukan baru setahun dua Cik Moon kerja dekat sini. Dah bertahun. Dah masak sangat dengan perangai orang dalam villa ni. Danish tu jarang balik awal sejak Khaira pindah keluar dari sini. Tiba-tiba muncul awal dekat sini, mesti ada sebab. Kalau bukan pasal Khaira, pasal siapa lagi? Betul tak?"

Khaira Eryna mengeluh halus. Kepalanya diangguk. Cik Moon tayang senyum. Dia kembali bangkit berdiri sebelum menapak ke arah kabinet semula. Dua mug kosong dicapai. Tangannya mula ligat membancuh air buat Danish Xavier dan Khaira Eryna.

"Pandainya Cik Moon ni. Okaylah...Khaira mengaku Danish yang bawa balik Khaira. Cik Moon..."

Cik Moon menoleh.

"Panjang seru nama Cik Moon. Ada apa?"

"Tak ada apa-apa. Cuma nak tanya, Cik Moon nampak mommy tak?"

"Dari tadi balik, baru sekarang nak tanya pasal puan?"

"Sebenarnya dari tadi Khaira nak tanya. Nampak Cik Moon terus lupa." Ujar Khaira Eryna dengan sengihan. Menampakkan susunan giginya yang cantik.

"Ada tu dekat taman. Tapi...puan ada tetamu."

Kening Khaira Eryna bertaut.

"Tetamu? Siapa? Cik Moon kenal?"

"Tak kenal. Tapi tadi Cik Moon dengar nama dia Sofea. Khaira kenal ke?"

Lambat-lambat Khaira Eryna angguk kepala.

"Kalau macam tu Khaira pergi jumpa dia orang sekejap."

Khaira Eryna memusing tubuh. Belum sempat kakinya melangkah, panggilan Cik Moon membuatkan dia kembali berpaling.

"Ada apa Cik Moon?"

Cik Moon pantas menayang mug di tangannya.

"Cik Moon bawa mug tu ke taman boleh?" Pinta Khaira Eryna sambil mengerdipkan mata.

"Yalah. Kejap lagi Cik Moon hantarkan. Cik Moon hidang kuih sekali."

"Terima kasih Cik Moon."

Cik Moon hanya mengorek senyum membalas kata-kata Khaira Eryna. Setelah itu, Khaira Eryna kembali mengorak langkah menuju ke taman mini villa tersebut.

"You cakap apa ni, Sofea? You jangan nak bergurau dengan I." Wajah Camilla sudah berubah riak.

Sofea yang berada di hadapan Camilla menunduk wajah. Tidak berani mengangkat muka menatap sepasang mata milik Camilla. Cuba mencari kekuatan untuk berterus-terang.

"Maafkan I Camilla. I tahu apa yang I akan beritahu you ni akan mengejutkan you. Tapi I dah tak boleh simpan perkara ni lagi."

"Tapi kenapa baru sekarang?" Nada Camilla berubah tinggi. Nafasnya turun naik menahan amarah.

Khaira Eryna yang mendengar turut berhenti melangkah. Dia membatalkan niat untuk menyapa Camilla dan sofea. Melihat suasana tegang antara mereka membuatkan Khaira Eryna tertanya-tanya. Pelbagai persoalan mula muncul di benaknya. Khaira Eryna pantas menyembunyikan diri di sebalik tabir pada pintu gelangsar. Memasang telinga, mencuri dengar.

"Sebab dulu I tak ada keberanian nak berterus-terang dengan you. I tengok Khaira terlalu bahagia dengan you dan keluarga you. Tapi I tak mampu lagi nak tanggung perasaan rindu I pada dia, Camilla. You seorang ibu. You pasti tahu apa yang I rasa." Lirih Sofea. Air matanya mula gugur membasahi pipi.

Khaira Eryna semakin tidak keruan saat namanya meniti di bibir mereka. Dia benar-benar ingin tahu. Detak jantungnya sudah berubah irama. Seakan ada sesuatu yang akan terjadi. Perasaan kurang enak mula menjalar di dadanya. Namun, perasaan yang datang cuba ditepis jauh. Dia kembali memasang telinga.

"I....I faham perasaan you. Maafkan I sebab I tinggikan suara dengan you. I terkejut. I tak sangka secepat ini you akan datang mengaku semuanya." Kini suara Camilla sedikit kendur.

Sofea angkat wajah. Memandang tepat ke arah Camilla.

"You tahu?"

Lambat-lambat Camilla angguk kepala.

"I baru je tahu. Noah dah ceritakan semuanya pada I. I tahu masa ini akan tiba. Tapi I tak jangka secepat ini."

"Khaira tahu?" Soal Sofea lagi.

"Tak. Dia masih tak tahu."

Sofea beriak kecewa.

"Jadi dia masih beranggapan yang ibunya sudah mati? Walhal ibu yang kandungkan dia selama sembilan bulan sepuluh hari itu masih bernyawa." Keluh Sofea.

Camilla menyentuh kekura tangan Sofea. Dia jatuh simpati pada Sofea. Serta-merta amarahnya terus sahaja padam.

"Sofea, you kena faham. Bukan mudah Khaira nak terima semua ni. Dari dulu dia hanya tahu yang ibu kandung dia dah meninggal dunia. Dia langsung tak tahu apa yang terjadi pada you dan Hakim. So, you tak boleh salahkan dia. Dia mangsa, Sofea."

Khaira Eryna yang berada di sebalik pintu gelangsar sudah menggenggam tangan. Dia tidak salah dengar. Benar mereka sedang membahaskan tentang dirinya. Lebih tepat lagi tentang kewujudan ibu kandungnya. Rasa sebak mula mencengkam diri. Juring matanya sudah memberat. Bila-bila masanya air matanya boleh gugur. Sebaik mungkin dia cuba bertahan.

"I pun mangsa, Camilla. I rindukan anak I. I nak peluk cium dia. Sembilan belas tahun I hilang anak I. Sembilan belas tahun I merana rindukan anak I. Izinkan I jaga dia, Camilla. I nak tebus semua masa yang I pada dia. Cukup sembilan belas tahun yang menyakitkan. I nak anak I semula. I nak Khaira. Khaira Eryna anak I, Camilla." Rayu Sofea. Kedua-dua tangan Camilla digenggam kemas.

Kali ini Khaira Eryna benar-benar terkedu. Terpempan dengan kebenaran yang menyapa di gegendang telinganya. Nampaknya telahannya sebentar tadi tepat. Ibu kandungnya masih hidup. Yang paling memeranjatkan adalah wanita yang dikenali sebagai Dato' itu adalah ibu kandungnya sendiri. Ibunya yang disangka sudah mati rupanya masih hidup. Malah kelihatan hidup lebih baik berbanding dirinya dan arwah bapanya.

Khaira Eryna tidak mampu lagi bertahan lama di situ. Lantas kakinya mengorak langkah laju keluar dari villa. Tanpa sesiapa pun menyedari pemergiannya. Langkah panjang diatur keluar dari kawasan villa tersebut. Tanpa arah tuju Khaira Eryna terus berlari. Fikirannya buntu. Hatinya kosong. Rasa dikhianati selama bertahun-tahun. Ditipu dan didustai. Khaira Eryna tidak dapat terima. Air matanya jatuh berderaian. Semakin diseka, semakin laju ia mengalir.

Saat mata menangkap sebuah bas di hadapan mata, Khaira Eryna mempercepatkan lagi langkah kakinya. Mengejari bas tersebut. Tanpa berlengah dia terus memboloskan diri ke dalam pengangkutan awam itu. Ke mana destinasi yang akan dituju? Dia tidak hirau. Yang penting dia mahu lari jauh dari semuanya. Hingga tiada sesiapa pun dapat menjejak. Telefon pintar di dalam begnya dicapai sebelum peranti itu ditutup. Dia perlukan ruang. Dia perlukan masa untuk menghadap semuanya. Ya, dia perlu bersendirian buat sementara waktu. Jauh dari sebarang gangguan.

Cik Moon menatang dulang ditangan. Kakinya melangkah ke arah taman mini. Melihat kelibat Cik Moon yang mendekat, cepat-cepat Camilla dan Sofea menyeka air mata. Dulang yang berada di tangan, Cik Moon letakkan di atas meja sambil matanya meliar melihat sekeliling. Sedar akan perlakuan Cik Moon itu, Camilla pantas menyoal.

"Kak Moon cari siapa? Kenapa ada tambahan mug?"

"Untuk Khaira."

"Untuk Khaira? Dia dah balik?" Soal Camilla lagi. Riak terkejut terpamir di wajah Camilla.

Cik Moon angguk kepala.

"Tapi mana dia?" Camilla dan Sofea saling berpandangan.

"Tadi dia kata nak jumpa puan dekat sini. Kenapa? Dia tak ke sini ke?"

Camilla dan Sofea menggeleng laju.

"Mungkin dia naik bilik agaknya." Camilla cuma sedapkan hati yang tiba-tiba bergetar hebat. Cuba berlagak tenang.

Sofea di sisi seakan memahami perubahan riak wajah Camilla turut sama berdebar-debar. Harap-harap sangkaannya meleset. Khaira Eryna memang benar berada di biliknya.

"Kalau macam tu biar saya pergi tengok dia." Ujar Cik Moon. Dia segera menapak ke dalam villa semula. Menuju ke arah tangga.

"Eh, Cik Moon nak ke mana?" Soal Danish Xavier yang kebetulan sedang menuruni anak tangga.

"Cik Moon nak panggil Khaira. Tadi dia kata nak jumpa puan dekat taman. Tapi masa Cik Moon hantar air tadi, tak nampak pula kelibat dia.Tu ingatkan dia ada dekat bilik." Terang Cik Moon dalam resah.

"Tapi Danish lalu depan bilik dia macam tak ada orang pun. Mm....tak apa. Cik Moon tunggu dekat sini. Biar Danish pergi tengok. Kalau betul dia ada dekat bilik, Danish akan minta dia turun."

Cik Moon sekadar angguk kepala. Matanya tidak lepas memerhati langkah Danish Xavier kembali mendaki anak tangga hingga hilang dari pandangan mata.

Pintu bilik Khaira Eryna yang terbuka sedikit ditolak lembut. Suasana suram bilik itu membuatkan Danish Xavier yakin gadis itu tiada di situ. Namun, untuk menyedapkan hati, Danish Xavier melangkah juga masuk. Nama Khaira Eryna diseru berulang kali. Tetapi tiada sebarang sahutan. Ruang bilik air yang terdedah dijengah. Kosong. Tiada sesiapa di situ. Katil Khaira Eryna masih kemas dan rapi. Tiada tanda ada sesiapa menceroboh masuk ke dalam bilik itu. Pantas Danish Xavier menapak keluar. Langkahnya diatur ke tingkat bawah.

"Macam mana?" Soal Cik Moon saat melihat tiada kelibat Khaira Eryna yang mengekori langkah Danish Xavier.

"Tak ada. Bilik dia kosong. Cik Moon dah cuba cari dekat kawasan kolam renang, dapur?" Giliran Danish Xavier pula bertanya.

"Dah. Cik Moon terfikir juga tadi. Tapi Cik Moon dah cari. Khaira tak ada dekat sana. Manalah budak ni pergi. Risau Cik Moon."

Tanpa menunggu lama, Danish Xavier berlari anak ke arah pintu utama. Lalu daun pintu dibuka. Mencari kasut yang dipakai Khaira Eryna sebentar tadi. Malangnya, sangkaannya meleset. Khaira Eryna tiada di situ. Bayangan kasutnya juga sudah hilang. Kini dia sedar. Gadis itu sudah pergi. Pergi tanpa pengetahuan sesiapa.

"Kak Moon, kenapa ni? Saya dengar kecoh-kecoh tadi." Sela Camilla yang muncul dari arah pintu gelangsar bersama Sofea.

Cik Moon tidak membalas. Hanya diam tanpa suara. Wanita itu tampak begitu gelisah.

"Khaira mana?" Sofea pula bertanya. Matanya meliar mencari gadis itu.

"Khaira dah pergi."

Camilla dan Sofea beralih pandangan ke arah Danish Xavier yang sedang menapak mendekati mereka.

"Apa maksud Danish?" Camilla sudah tidak senang hati.

"Kasut Khaira tak ada. Dia dah keluar. Ke mana? Danish pun tak tahu. Cik Moon, Khaira tak ada cakap apa-apa ke tadi?" Tanya Danish Xavier.

"Tak ada. Cik Moon ingat dia ada dengan puan tadi. Tak sangka pula dia keluar macam tu je." Luah Cik Moon dengan riak kecewa.

"Camilla, you rasa dia ada terdengar ke pasal apa yang kita bincangkan tadi?"

Camilla menoleh ke arah Sofea. Lambat-lambat dia mengangkat bahu tanda tidak tahu.

"Bincang? Bincang pasal apa, mommy? Auntie?" Soal Danish Xavier ingin tahu. Seakan dapat menangkap apa yang sedang berlaku.

"Pasal hal tu nanti mommy akan beritahu Danish. Tapi buat masa sekarang kita kena cari Khaira. Mommy risau kalau Khaira betul-betul lari. Macam mana kalau dia hilangkan diri? Tak nak balik ke sini?" Camilla sudah memikirkan hal yang bukan-bukan.

"Camilla, I minta maaf. Kalau I tak datang sini. Sebut pasal hal tu. Mesti semua ni takkan terjadi. Semuanya salah I." Sofea rasa bersalah. Bimbang akan keselamatan anak kandungnya itu.

"Perkara dah jadi, Sofea. Tak apalah, apa-apa pun kita kena cari Khaira juga. Danish, tolong mommy cari Khaira." Rayu Camilla. Tanpa sedar air matanya gugur. Risau di hatinya bukan kepalang.

"Mommy jangan risau. Bawa bertenang. Biar Danish cuba cari Khaira dekat rumah sewa dia. Mungkin dia dah balik ke sana. Mommy telefon Darwish dan daddy. Yang lain biar Danish uruskan. Apa-apa Danish akan update. Danish rasa Khaira tak pergi jauh." Ujar Danish Xavier. Menenangkan perasaan ibunya juga perasaan dia sendiri.

"Yalah. Hati-hati. Jumpa atau tidak, Danish kena beritahu mommy. Sekurang-kurangnya kita boleh ikhtiar cara lain."

"Baik, mommy. Danish keluar dulu. Cik Moon, tolong tengok-tengokkan mommy."

"Danish jangan risau. Cik Moon ada jaga mommy."

Mendengar kata-kata Cik Moon, Danish Xavier terus sahaja mengatur langkah keluar dari villa sebelum keretanya dipandu menuju ke rumah sewa Khaira Eryna. Matanya tidak lepas mengitari sekeliling kawasan mencari jejak Khaira Eryna.

"Camilla. I balik dulu. I akan cuba bantu cari Khaira. Tapi kalau you ada khabar pasal Khaira, please inform I. I perlu tahu."

"You jangan risau. Apa-apa perkembangan pasal Khaira, I akan beritahu pada you. You baliklah rehat. Insya-Allah kita akan temui Khaira."

"Yalah....I pun harap perkara yang sama. You pun jaga diri." Ujar Sofea sebelum menapak keluar dari villa dengan rasa sebak dan gelisah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience