Sejak pertemuan pertama Fayyadh dan Khaira Eryna, sudah menjadi rutin bagi Fayyadh membawa gadis itu bersiar-siar di sekitar kawasan Cameron Highland memandangkan hotel yang didiami Khaira Eryna terletak tidak jauh dari kawasan tempat tumpuan para pelancong. Ditambah pula apabila Sofea dan Katrina sengaja memberi peluang dan ruang kepada Fayyadh untuk lebih rapat mendekati Khaira Eryna. Oleh itu, mereka berdua sering mencipta alasan untuk tidak menyertai Fayyadh dan Khaira Eryna kerana tidak mahu mengganggu mereka.
Fayyadh memakir keretanya setelah sampai di destinasi yang dituju. Hari ini dia membawa Khaira Eryna ke Cameron Highland Flora Park. Sebelum sampai di sana, mereka perlu menaiki truck di pick up point. Sampai sahaja di flora park tersebut, mata mereka dijamu dengan pemandangan bunga-bungaan yang sangat cantik. Pelbagai jenis dan pelbagai warna. Khaira Eryna merasa sangat teruja. Telefon pintar tidak lepas dari tangannya. Menangkap gambar dan merekod video. Fayyadh yang melihat tingkah Khaira Eryna turut mengorek senyum, terhibur dengan keletah gadis itu.
"Khaira, nak saya ambilkan gambar awak tak? Banyak tempat yang cantik-cantik dekat sini. Rugilah kalau tak ada gambar awak dalam tu." Tawar Fayyadh.
"Er... Tak apalah. Susahkan awak pula. Lagipun saya boleh je ambil gambar sendiri." Tolak Khaira Eryna lembut.
"Tak susahkan pun. Saya yang tawar diri untuk jadi pemandu pelancong awak sementara kita dekat sini. Jadi, tak salah kalau saya menyandang tugas sebagai fotografer awak pula. Kalau nak saya jadi fotografer untuk seumur hidup awak pun saya sanggup." Fayyadh berseloroh.
Riak Khaira Eryna berubah. Bukan dia tidak faham akan maksud tersirat kata-kata Fayyadh itu. Walaupun kedengaran seakan satu gurauan, namun tidak bagi Khaira Eryna. Khaira Eryna menggeleng laju. Sekali lagi menolak pelawaan Fayyadh.
"Saya rasa lapar. Dengar cerita tempat ni ada cafe yang menarik dan cantik. Kata orang makanan dia pun sedap." Khaira Eryna pantas mengubah topik. Cuba berdalih. Tidak selesa apabila Fayyadh terus mendesak. Dia juga tidak mahu memberi harapan mahupun membuka peluang buat lelaki itu memulakan sebarang hubungan dengannya. Takut jika lelaki itu meletakkan harapan dalam hubungan mereka.
"Cafe yang atas bukit tu ke? Kalau cafe tu memang dah viral. The Views Cafe. Memang makanan dekat situ sedap-sedap. Desert pun ada banyak pilihan. Mesti awak suka. Marilah kita ke sana. Sambil-sambil tu awak boleh nikmati pemandangan kawasan taman ni dari atas sana."
Mendengar kata-kata Fayyadh, Khaira Eryna kembali teruja. Terbayang kecantikan cafe dan makanannya yang pernah dilihat di laman sosial media sebelum ini. Tanpa berlengah Khaira Eryna mengekori langkah Fayyadh menuju ke cafe tersebut.
"Awak, dah bersedia ke nak daki ni? Mesti awak dah tahukan kalau kita nak ke cafe tu kita kena daki anak tangga yang tinggi ni." Fayyadh menoleh ke arah Khaira Eryna seketika.
"Er... Tahu. Tak apa. Saya boleh. Setakat dua ratus lima puluh satu anak tangga je. Tak sampai lima ratus lagi. Jomlah. Nanti lambat sampai, lambat pula kita balik." Balas Khaira Eryna dengan bangga. Tanpa menunggu lama, Khaira Eryna terlebih dulu memulakan langkah menyaingi langkah Fayyadh.
Melihat tingkah Khaira Eryna itu, Fayyadh hanya mampu menggeleng kepala.
"Perempuan kalau bercakap memang tak pernah nak kalah.Nasib baik cantik. Nanti kita tengok siapa yang mengadu penat." Bisik Fayyadh dalam hati. Lalu dia melangkah laju mengejari Khaira Eryna.
Tangan dilayang mengibas wajah. Peluh menitik dari celahan rambut segera dilap dengan tisu. Nafas yang sudah turun naik menahan lelah cuba dikawal kembali. Perlahan-lahan dia menarik dan menghembus nafasnya.
"Penat ke cik Khaira kita ni?" Sela Fayyadh di belakang yang sedang tersengih berpeluk tubuh.
Khaira Eryna pantas menggeleng kepala. Mengawal riak wajahnya agar kelihatan bersahaja.
"Tak penat pun. Biasa je. Dahlah, jom kita masuk. Tekak saya haus."
Tanpa menunggu balasan daripada Fayyadh, Khaira Eryna terlebih dahulu masuk ke dalam cafe. Mengitari sekeliling kawasan cafe yang dikenali sebagai 'the glass house cafe' itu membuatkan rasa penatnya terus hilang. Tidak sia-sia Khaira Eryna mendaki anak tangga yang tinggi untuk sampai ke sini. Lebih-lebih lagi saat matanya terpasak pada peti pameran kek yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pencuci mulut. Kecur jugalah air liur Khaira Eryna saat itu!
"So, Khaira. Sekarang ni awak nak order apa? Ada banyak pilihan makanan. Hari ni turn saya belanja awak."
Khaira Eryna mengerling Fayyadh di sebelah.
"Bukan hari-hari ke sejak awak teman saya keluar berjalan ni memang awak yang selalu belanja? Bila saya nak bayar, awak tak benarkan. Awak kata nanti nampak awak tak gentleman pula kalau saya yang belanja. Tak begitu Encik Fayyadh?" Giliran Khaira Eryna pula yang menyindir.
Fayyadh tidak mampu membalas. Sekadar tersengih kecil memaparkan barisan giginya yang tersusun cantik.
Melihat menu di hadapan mata membuatkan Khaira Eryna sendiri sukar untuk memilih. Semuanya kelihatan sedap dan cantik. Tidak mahu membiarkan yang lain menanti lama, Khaira Eryna akhirnya memilih minuman Passi L'mon, Spaghetti Bolognese sebagai hidangan utama dan Signature Cocoa Garden sebagai pencuci mulut. Setelah itu, giliran Fayyadh pula memesan makanan.
Sambil menunggu makanan sampai, sempat juga Khaira Eryna menangkap beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan. Merakam video pendek pemandangan kawasan Flora Park dari atas cafe. Benar-benar membuatkan jiwanya berbunga riang.
"Kalau ada ibu, mommy, daddy dan yang lainkan lagi best. Lebih-lebih lagi kalau ada dia." Desis hati Khaira Eryna.
Teringat akan cinta hatinya itu, pantas Khaira Eryna membuka aplikasi WhatsApp. Baru sahaja hujung jari-jemarinya ingin menaip sesuatu di skrin telefon pintarnya, tiba-tiba skrin telefonnya bertukar gelap. Khaira Eryna mengeluh halus.
"Adoi... Time nilah kau nak mati. Yang kau pun satu Khaira, kenapalah lupa nak cas sebelum kau gerak tadi? Powerbank pun kau boleh tertinggal. Ni kalau si dia call kau tak dapat. Masak kau nak menjawab." Lirih Khaira Eryna sendiri.
"Khaira, kenapa ni?" Sapa Fayyadh yang menjengah Khaira Eryna di luar cafe.
"Phone mati. Baru ingat nak call ibu tadi."
"Kalau macam tu pakai je handphone saya. Kalau awak nak pakai untuk ambil gambar pun saya izinkan." Tawar Fayyadh sambil menghulurkan telefon pintarnya pada Khaira Eryna.
"Eh, tak apalah. Lagipun kejap lagi kita dah nak balik. Apa kata kita pergi makan. Mesti makanan kita dah sampai." Tolak Khaira Eryna sebelum mengatur langkah masuk semula ke dalam cafe.
Melihat penolakan Khaira Eryna, Fayyadh akur. Dia turut sama mengekori langkah gadis itu ke dalam cafe.
"Wah, cantiknya food presentation dia! Macam sayang pula nak makan." Bersinar-sinar mata Khaira Eryna saat melihat hidangan makanannya di hadapan mata.
"Nah!"
Khaira Eryna mengangkat wajah melihat ke arah Fayyadh yang duduk berhadapan dengannya. Keningnya sedikit berkerut.
"Kenapa awak bagi handphone awak dekat saya?" Soal Khaira Eryna polos.
"Mesti awak teringin nak tangkap gambar makanan-makanan ni semuakan? So, ambil phone saya ni, tangkap gambar seberapa banyak mana yang awak nak. Nanti awak bagi nombor phone awak dekat saya. Saya forward semua gambar-gambar tu dekat awak."
Khaira Eryna berkira-kira untuk menerima pelawaan lelaki itu. Namun kerana keinginannya untuk menyimpan memorinya di situ lebih daripada rasa bimbangnya, Khaira Eryna akhirnya menerima tawaran Fayyadh. Telefon pintar Fayyadh bertukar tangan. Melihat senyuman gadis di hadapannya itu cukup membuatkan hati Fayyadh berbunga-bunga. Dalam diam Fayyadh bersyukur kerana akhirnya dia dapat mendekati Khaira Eryna dengan lebih rapat lagi setelah mereka bertukar nombor telefon nanti. Jenuh juga Fayyadh cuba meminta nombor telefon gadis itu sebelum ini. Ada sahaja alasan yang diberikan padanya untuk mengelakkan diri.
"Okay done! Nah, telefon awak. Nanti awak jangan lupa hantar gambar-gambar tu pada saya tau. Nombor saya, saya dah save dalam telefon awak." Ujar Khaira Eryna sambil menghulurkan semula telefon pintar Fayyadh pada lelaki itu.
"Oops, lupa pula! Terima kasih ye awak." Ucap Khaira Eryna dengan senyuman nipis.
"Sama-sama kasih awak." Balas Fayyadh sambil tersenyum lebar.
Sedar akan keterlanjuran tingkahnya, Khaira Eryna pantas mematikan senyuman. Dia kembali fokus pada makanannya sebelum menikmati makanannya dengan penuh berselera. Lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang dingin. Perut memang sudah sedia lapar untuk minta diisi.
Sedang asyik menikmati makanan, telefon pintar Fayyadh berbunyi. Tertera nama Sofea di skrin telefon. Lantas Fayyadh menghulurkan telefonnya kepada Khaira Eryna.
"Khaira, your mother call. Mungkin dia tak dapat call awak. Sebab tu dia telefon saya."
Tidak menunggu lama, Khaira Eryna mengambil telefon pintar di tangan Fayyadh. Pangggilan segera dijawab.
"Assalamualaikum, ibu."
"Waalaikumsalam. Aira, kenapa ibu call handphone Aira tak dapat?" Soal Sofea sedikit bimbang.
"Maaf, bu. Telefon Aira mati. Tadi lupa nak cas. Ada apa ibu? Kejap lagi Khaira balik hotel."
"Ooh, ye ke? Risau ibu. Nasib baik ibu teringat yang Fayyadh ada dengan Aira. Kurang sedikit bimbang ibu. Tak ada apa. Ibu cuma nak beritahu yang kita ada tetamu. Nanti Aira terus balik hotel, ya?"
"Tetamu? Siapa, bu?"
"Adalah. Rahsia. Ibu tunggu Aira dekat cafe hotel tau. Take care. Ibu letak dulu."
"Baik, bu. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."
Panggilan ditamatkan. Khaira Eryna menyerahkan kembali telefon pintar kepada Fayyadh. Dia mula memikirkan kata-kata ibunya tadi. Hatinya tidak putus-putus bertanya akan gerangan tetamu yang ada bersama ibunya.
"Khaira, awak okay ke? Ibu awak cakap apa? Awak nampak risau."
"Tak ada apa-apa. Ibu kata ada tetamu nak jumpa dengan saya. Lepas ni kita balik hotel terus, ya?"
"Okay. Tak apa. Awak habiskan makanan awak dulu. Tinggal sikit je lagi tu. Sayang tak habis. Membazir."
Mendengar kata-kata Fayyadh itu membuatkan Khaira Eryna tergelak kecil. Fayyadh sudah berkerut dahi.
"Kenapa awak ketawa? Saya ada buat lawak ke?" Soal Fayyadh yang kelihatan 'blur'.
"Tak. Tiba-tiba saya teringatkan seseorang. Cara dia cakap sama macam awak cakap. Tak ubah macam seorang bapa nasihatkan anak dia."
Fayyadh menggeleng kecil sambil tersenyum senget.
"Kalau boleh saya tahu, siapa orang tu? Mesti dia penting dalam hidup awakkan? Atau seseorang yang istimewa dalam hidup awak?"
Ketawa Khaira Eryna mati. Perlahan-lahan kepalanya diangguk.
"Penting sangat. Dia pun salah seorang yang menjadi kekuatan saya. Yang selalu bagi semangat pada saya. Dia juga selalu ada bila saya perlukan seseorang untuk meluah."
"Beruntungnya dia. Saya harap saya akan ada tempat dalam kehidupan awak macam orang tu suatu hari nanti." Ujar Fayyadh tanpa sedar. Jauh di sudut hatinya ada perasaan cemburu yang bertandang.
"Saya dah habis makan. Awak pun samakan? Rasanya kita dah boleh gerak sekarang. Takut ibu dan tetamu tu tunggu lama pula." Sekali lagi Khaira Eryna cuba berdalih. Tidak mahu memanjangkan perbualan mereka tadi.
Fayyadh hanya menurut. Mereka mula bergerak meninggalkan Flora Park itu sebelum kembali ke tempat parkir kereta untuk pulang ke hotel semula.
Khaira Eryna ingin mempercepatkan langkah masuk ke dalam hotel. Belum sempat dia melangkah pergi, Fayyadh menyeru namanya dari arah belakang. Khaira Eryna pantas menoleh.
"Awak masuk dulu. Saya ada panggilan nak jawab. Sekejap lagi saya pergi jumpa ibu awak."
Khaira Eryna hanya angguk kepala. Dia kembali meneruskan langkahnya ke cafe hotel. Melihat sahaja kelibat ibunya di dalam cafe, Khaira Eryna segera mendekati si ibu.
"Ibu, sorry lambat. Mana tetamu kita tu?" Soal Khaira Eryna tidak sabar.
"Ada. Dia orang tengah ambil makanan. Kejap lagi dia orang datang balik. Aira duduklah dulu. Fayyadh mana?"
"Dia dekat luar. Tengah jawab panggilan sekejap. Ibu, siapa tetamu kita tu?"
Sofea senyum segaris.
"Sabarlah. Kejap lagi Aira akan tahu. Eh, panjang umur. Tu pun dia orang."
Khaira Eryna segera menoleh. Spontan riak wajah Khaira Eryna berubah saat melihat gerangan yang sedang berjalan ke arahnya.
"Mommy! Daddy!" Khaira Eryna terjerit kecil. Dia terus berlari anak mendapatkan ibu dan bapa angkatnya.
"Rindunya! Macam mana mommy dan daddy tahu Khaira dengan ibu dekat sini?"
Camilla Ketawa kecil.
"Kalau ya pun teruja nampak kami, bagilah mommy dan daddy duduk dulu. Tangan mommy dan daddy ni penuh makanan."
Khaira Eryna tersengih menampakkan giginya. Kepala yang tidak gatal digaru kecil.
"Sorry... Sorry... Sini Khaira tolong. Jom kita duduk."
Khaira Eryna menemani Camilla dan Noah mengambil tempat di meja yang Sofea duduki.
"Ibu Khaira call mommy cakap anak dia merengek nak mommy dan daddy datang bercuti sekali. Sebab tu kami datang. Takut banjir Cameron Highland ni nanti." Seloroh Noah.
Semua yang ada di situ melepaskan tawa. Khaira Eryna menepuk lembut bahu Camilla.
"Suka kenakan Khaira." Rajuk Khaira Eryna.
"Daddy yang cakap bukan mommylah." Camilla sambung ketawa.
"Tapi tak kisahlah. Apa pun yang mommy dan daddy nak cakap. Anyway, thanks ibu. Ni kejutan paling bermakna untuk Aira." Khaira Eryna memeluk manja lengan Sofea.
"Anything untuk anak ibu." Balas Sofea.
"Mommy dan daddy datang berdua je ke?"
"Tak, kami datang berempat." Balas seseorang di belakang Khaira Eryna.
Khaira Eryna bangkit dari duduknya sebelum menoleh ke belakang. Saat itu jantungnya seakan terhenti. Lidahnya kelu. Hanya mata yang mampu berbicara.
Share this novel
bila nak sambung ni