Bab 24

Drama Series 28132

Kaki terjengket-jengket menuruni anak tangga. Kepala menjengah keadaan. Takut andai terserempak dengan seseorang yang ingin dia jauhi buat masa ini. Sudah hampir seminggu kejadian hitam itu berlalu. Perlahan-lahan Khaira Eryna semakin pulih.

Tanpa sedar ada tangan yang menyentuh bahunya dari arah belakang. Terenjut bahu Khaira Eryna kerana terkejut dengan sentuhan itu. Khaira Eryna pantas menoleh. Dadanya diurut lembut. Menenangkan debaran di dada.

"Cik Moon, terkejut Khaira! Ingatkan siapalah tadi?" Keluh Khaira Eryna dengan nafas dihela lega.

Cik Moon ketawa kecil. Geli hati melihat perlakuan Khaira Eryna itu.

"Yang Khaira terintai-intai macam pencuri ni dah kenapa?"

Khaira Eryna tegak tubuh sambil tersengih kecil.

"Er...tak ada apa-apa. Khaira...Khaira haus. Nak pergi dapur minum air." Balas Khaira Eryna mencipta alasan.

"Haus je? Perut tu tak lapar ke? Khaira belum sarapan lagikan?"

Khaira Eryna angguk kepala. Perut yang sudah berkeroncong sejak tadi disentuh dengan telapak tangannya.

"Cik Moon masak apa? Khaira rasa lapar pula tiba-tiba..."

"Tahu pun lapar. Ingat puasa. Dari malam tadi Khaira tak turun makan. Asyik terperap dalam bilik. Bukan puan dan tuan je tau yang risau dengan Khaira ni, Cik Moon pun naik risau juga. Marilah Cik Moon teman Khaira makan. Cik Moon ada masak nasi lemak sambal udang."

"Wah, sedapnya! Sambal udang! Tertelan dah air liur Khaira dibuatnya." Khaira Eryna merasa teruja.

"Kalau macam tu, jomlah kita."

Pantas tangan Khaira Eryna ditarik turun dari anak tangga villa. Baru setapak Cik Moon melangkah, Khaira Eryna segera menghalang.

"Cik Moon, kejap!"

Cik Moon menoleh semula ke arah Khaira Eryna. Dia berkerut kening.

"Kenapa Khaira?" Soal Cik Moon yang merasa pelik dengan perlakuan gadis itu.

"Er...mommy dan daddy ada dekat rumah ke?"

"Ooh...buat terkejut Cik Moon je. Puan dan tuan tak ada. Dia orang dah keluar. Darwish dan Danish pun dah pergi pejabat."

Khaira Eryna terus menarik nafas lega.

"Kalau macam tu okaylah. Jom kita pergi dapur. Khaira dah lapar sangat ni."

Kini giliran Khaira Eryna pula yang menarik tangan Cik Moon menuju ke arah dapur. Khaira Eryna bernyanyi kecil. Melihat perlakuan Khaira Eryna, Cik Moon hanya mampu menggeleng kepala.

"Erkkk!!...Alhamdulillah...kenyang. Terima kasih Cik Moon sebab dah masak sedap-sedap macam ni."

Cik Moon yang sejak tadi menunggu Khaira Eryna makan di meja hanya tersenyum nipis.

"Sama-sama. Lepas ni jangan nak kurung diri dalam bilik tu. Nanti diri sendiri yang sakit. Tengok Khaira berselera makan lega hati Cik Moon ni. Cuma sekarang ni Cik Moon risaukan Danish." Keluh Cik Moon sambil membawa pinggan mangkuk ke arah singki.

Mendengar rintihan Cik Moon, Khaira Eryna pantas mengekori langkah Cik Moon ke arah dapur. Ingin mencari tahu perkara yang sudah menimpa abang angkatnya itu.

"Kenapa dengan Danish, Cik Moon?" Soal Khaira Eryna dengan riak risau.

Cik Moon mengeluh halus. Pili air di singki dibuka. Tangan ligat mencuci pinggan.

"Entahlah. Sejak Khaira jarang makan bersama dengan dia orang, Danish macam dah putus selera makan. Kalau makan pun tak banyak macam sebelum ni. Macam pagi tadi, dia langsung tak ambil sarapan macam selalu. Bila tanya dia kata tak ada selera."

Khaira Eryna yang berdiri di sisi Cik Moon hanya memasang telinga. Tiada langsung niat untuk mencelah. Walaupun hatinya mula tertanya-tanya keadaan lelaki itu.

"Khaira, Khaira ada bergaduh dengan Danish ke?" Soal Cik Moon. Pili air ditutup. Dia pantas memusingkan tubuh menghadap Khaira Eryna.

Khaira Eryna menggeleng laju.

"Mana ada! Kenapa Khaira nak bergaduh dengan dia pula?"

"Manalah Cik Moon tahu. Sebab tu Cik Moon tanya. Kalau bukan sebab bergaduh, kenapa sejak balik ke sini Khaira asyik nak mengelak daripada Danish?"

Roman wajah Khaira Eryna terus sahaja berubah.

"Er...ma...mana ada? Khaira rasa biasa je. Perasaan Cik Moon je tu." Khaira Eryna cuba mengelak untuk menjawab.

"Khaira, bukan Cik Moon seorang je yang perasan, semua orang dalam rumah ni pun perasan juga. Danish apatah lagi. Cuba Khaira jujur dengan Cik Moon. Khaira tahukan Khaira tak pandai berbohong? Cik Moon tahu Khaira ada sorokkan sesuatu daripada kami semua. Cuba Khaira jujur dengan Cik Moon."

Khaira Eryna menghela nafas berat. Kakinya dibawa ke arah kolam renang. Cik Moon turut sama mengekori Khaira Eryna dari arah belakang.

"Khaira tak tahu nak mulakan macam mana? Khaira...Khaira malulah Cik Moon. Malu sangat. Lagi-lagi dengan Danish. Khaira tak boleh nak berdepan dengan dia."

"Tapi kenapa?"

"Sebab peristiwa malam tu. Khaira dah boleh ingat. Walaupun bukan semuanya. Tetapi peristiwa dalam bilik sampailah badan Khaira basah disiram air, Khaira boleh ingat. Cik Moon saksi dan Cik Moon sendiri cakap keadaan Khaira pada malam teruk sangat."

Cik Moon agak terkejut dengan pengakuan Khaira Eryna.

"Macam mana Khaira boleh ingat semua tu? Mungkin Khaira bermimpi?"

Khaira Eryna geleng kepala.

"Tak, Khaira tak bermimpi. Khaira jumpa baju Danish yang dah koyak dalam bilik air. Khaira sentuh baju tu. Tiba-tiba bayangan tu semua muncul. Macam mana Khaira merayu, mengerang. Menyeru-nyeru nama Danish. Minta dia bersama dengan Khaira. Khaira hampir....entahlah, Khaira tak sanggup nak cerita itu semua. Khaira juga yang buat baju Danish koyak sampai macam tu. Khaira malu, Cik Moon. Khaira malu!" Khaira Eryna merintih hiba. Wajahnya ditekup dengan kedua-dua telapak tangannya. Tanpa sedar dia menangis.

"Khaira, Cik Moon faham perasaan Khaira. Tapi itu semua bukan salah Khaira. Khaira tak sedar pun apa yang Khaira buat masa tu. Cik Moon rasa Danish pun tak salahkan Khaira. Dia faham Khaira. Khaira janganlah macam ni. Kalau Khaira berterusan macam ni, Cik Moon takut puan dan tuan akan tahu apa yang berlaku pada Khaira. Khaira nak ke dia orang tahu?" Pujuk Cik Moon cuba menenangkan Khaira Eryna.

"Tak, Khaira tak nak mommy dan daddy tahu pasal ni." Khaira Eryna pantas menyeka air matanya.

"Kalau macam tu Khaira kena kuat. Buang semua tu jauh-jauh. Kalau boleh tak payah ingat langsung. Khaira perbaiki hubungan Khaira dengan Danish. Mesti Danish susah hati sebab tu dia tak ada selera makan. Cik Moon takut dia jatuh sakit. Khaira tak sayangkan Danish ke?"

Khaira Eryna angkat wajah. Menatap Cik Moon dengan riak terkejut.

"Sayang? Cik Moon cakap apa ni? Khaira mana ada perasaan pada dia."

"Itu kata mulut Khaira. Tapi hati Khaira? Cik Moon boleh nampak. Cik Moon rasa Danish pun sayangkan Khaira juga. Cuma dia ego."

"Ish, merepek jelah Cik Moon ni! Kalau dia sayang Khaira pun sebab dia rasa bertanggungjawab untuk jaga Khaira. Khaira bukan sesiapa untuk dia pun."

Cik Moon mengorek senyum nipis. Rambut panjang Khaira Eryna dielus lembut.

"Khaira pasti? Kalau tidak dia tak akan susah payah bawa Khaira lari malam tu. Macam nilah, apa kata Khaira tolong Cik Moon hantar makanan dekat pejabat tuan. Tadi puan pesan minta Cik Moon hantar makanan untuk Danish dan Darwish. Mungkin ini langkah pertama untuk Khaira perbaiki hubungan Khaira dengan Danish?"

Khaira Eryna berkira-kira untuk bersetuju. Namun, setelah didesak oleh Cik Moon, akhirnya dia angguk bersetuju.

"Yalah. Khaira pergi. Tapi Khaira nak naik apa?"

"Pasal tu Khaira tak perlu risau. Nanti Cik Moon uruskan. Yang penting sekarang Khaira naik atas bersiap. Biar Cik Moon bungkuskan makanan."

"Sekarang?" Soal Khaira Eryna dengan kening yang berkerut.

"Ya, sekarang. Takkan esok pula. Cepat. Nanti kelaparan pula Danish dan Darwish tu."

Akur dengan arahan Cik Moon, Khaira Eryna terus sahaja berlalu masuk ke dalam villa. Kakinya diatur naik ke biliknya.

Tubuh dan wajahnya ditilik seketika. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Khaira Eryna pantas mengatur langkah keluar dari bilik. Lalu menuruni anak tangga menuju ke arah dapur. Kelibat Cik Moon dicari.

"Dah siap?"

Khaira Eryna senyum sambil angguk kepala.

"Ni bekal untuk dia orang. Tu...driver dah tunggu Khaira dekat luar. Nanti dia bawa Khaira terus pergi pejabat tuan. Sampai dekat sana, Khaira terus naik tingkat dua puluh lapan. Nanti jumpa receptionist sebelum masuk jumpa Danish." Terang Cik Moon satu persatu. Memandangkan bangunan pejabat Noah itu besar, Cik Moon perlu memberi penerangan supaya Khaira Eryna tidak tersesat di sana nanti.

"Faham. Kalau macam tu Khaira pergi dulu. Takut lama pula driver tu tunggu."

"Yalah. Hati-hati. Kalau ada masalah, telefon Cik Moon cepat-cepat."

"Baik,boss." Balas Khaira Eryna sambil menabik hormat. Tak ubah seperti seorang tentera lagaknya.

"Ish, budak ni! Dah, pergi cepat. Nanti lambat pula sampai."

Mendengar arahan Cik Moon, Khaira Eryna terus berlalu keluar dari villa. Kelihatan sebuah kereta sudah menantinya di hadapan villa. Khaira Eryna pantas mendekati kereta itu. Lalu memboloskan diri ke dalam perut kereta. Tidak lama kemudian, kereta itu bergerak meninggalkan perkarangan Villa.

"Maaf, boleh tumpang tanya?" Soal Khaira Eryna kepada seorang wanita yang duduk di tempat penyambut tetamu di hadapan pintu utama pejabat.

Wanita yang sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya pantas mengangkat wajah. Senyuman kecil terukir di bibirnya.

"Ya, cik. Cik nak cari siapa?"

"Ooh...Mm...saya nak cari pejabat Encik Darwish. Dekat mana ya pejabat dia?"

"Encik Darwish? Sebelum tu boleh saya tahu cik ni siapa?"

"Saya adik angkat dia. Nak hantar makanan untuk dia."

"Ooh...sekejap saya call setiausaha dia dulu. Takut Encik Darwish tak ada dekat tempat dia."

Khaira Eryna hanya angguk kepala. Menanti balasan daripada setiausaha Darwish Xayden.

"Cik, cik dah boleh masuk. Bilik Encik Darwish dekat sebelah kiri."

Khaira Eryna pantas mengucapkan terima kasih kepada wanita itu sebelum melangkah masuk ke dalam pejabat tersebut. Dia terus menuju ke arah yang ditunjukkan oleh wanita tadi.

"Abang Darwish!"

Darwish Xayden pantas menoleh. Untung sahaja dia berada di luar biliknya. Senang untuk Khaira Eryna mencarinya di situ.

"Khaira. Abang Darwish tak sangka pula Khaira yang datang. Bukan Cik Moon ke yang sepatutnya hantar makanan ni?"

"Cik Moon ada kerja. Tak dapat nak hantar. Tak apalah. Lagipun Khaira free. Bosan juga duduk dekat rumah tak buat apa-apa." Balas Khaira Eryna bersahaja. Sempat dia menghadiahkan senyuman kepada setiausaha Darwish Xayden yang memerhati mereka tanpa lepas.

"Bagus juga. Sekurang-kurangnya adik abang ni tak adalah terperap je dalam bilik tu. Mm...mana satu bekal abang?"

"Nah! Yang ni bekal untuk abang Darwish. Mm....abang Darwish, boleh tak tolong bagi bekal ni pada Danish?" Soal Khaira Eryna sebelum menggigit kecil hujung bibirnya.

"Kenapa Khaira tak bagi sendiri? Kesian dekat abang Danish tu. Dia tak makan sejak pagi tadi. Abang tengok dia macam tak berapa sihat. Apa kata Khaira pergi jenguk dia sekejap. Sambil tu boleh hantar makanan ni pada dia." Darwish Xayden memberi cadangan.

"Tak sihat? Tapi dia tak sibuk ke? Takut juga kalau Khaira kacau masa kerja dia." Soal Khaira Eryna sedikit gugup.

"Tak ada apalah. Pasal Khaira, dia sanggup tangguhkan kerja dia. Dahlah, apa kata Khaira pergi terus jumpa dia. Bilik dia sebelah sana tu. Nanti Khaira jumpa je Kak Zila, secretary abang Danish. Jangan risau. Abang Danish okay."

Akur dengan permintaan abang angkatnya itu, lambat-lambat dia atur langkah ke arah bilik pejabat Danish Xavier. Meja Kak Zila dituju.

"Ya, cik. Nak jumpa Encik Danish ke?" Soal wanita yang bernama Zila itu.

"Yup. Boleh beritahu dia ada orang datang hantar makanan tak? Cakap dekat dia mommy yang pesan."

Akur dengan permintaan Khaira Eryna, Zila pantas menekan butang interkom untuk menghubungi Danish Xavier. Usai mendapat kebenaran daripada majikannya itu, Zila pantas membukakan pintu bilik pejabat buat Khaira Eryna. Lalu meninggalkan gadis itu di situ.

Danish Xavier langsung tidak sedar akan kehadiran Khaira Eryna di biliknya. Sangkaannya Cik Moon yang berada di situ. Oleh sebab itu, dia terus sahaja menyambung tugasnya tanpa sedikit pun menoleh ke arah pintu. Melihat kesibukan Danish Xavier, Khaira Eryna berjalan mendekati sofa yang terdapat di situ. Bekal makanan diletakkan di atas meja kopi. Tidak mahu menunggu lama, Khaira Eryna pantas bersuara.

"Ehem! Er...awak. Sorry kalau saya kacau masa awak. Makanan awak ni saya letak dekat meja ni. Jangan lupa makan."

Tanpa menunggu sebarang balasan, Khaira Eryna segera memusing tubuh. Ingin cepat berlalu keluar dari situ. Menyedari suara itu bukan daripada Cik Moon, pantas Danish Xavier angkat wajah. Terpegun apabila melihat Khaira Eryna berada di hadapan mata. Belum sempat Khaira Eryna memusing tombol pintu, suara Danish Xavier memberhentikan tingkahnya. Khaira Eryna menoleh ke arah Danish Xavier yang sedang berjalan ke arahnya.

"Kau nak pergi mana?" Soal Danish Xavier sambil menjungkit kening.

Khaira Eryna pantas menundukkan wajah.

"Nak balik. Saya tak nak ganggu awak. Saya tahu awak tengah sibuk."

Tanpa sebarang kata tangan Khaira Eryna dilelar sebelum ditarik menuju ke arah sofa. Khaira Eryna yang terkejut dengan perlakuan Danish Xavier sekadar mengekori tanpa bantahan.

"Teman aku makan." Arah Danish Xavier.

"Apa?"

Khaira Eryna yang sedikit blur terus mengangkat wajah.

"Aku cakap teman aku makan. Lagipun kau freekan? Kalau tidak, takkan kau boleh hantar makanan ni sampai ke sini?"

Tanpa sebarang balasan, Khaira Eryna hanya menurut. Dia kemudiannya terus membuka bekalan makanan yang berada di atas meja kopi buat Danish Xavier. Danish Xavier sekadar memerhati.

Usai Khaira Eryna selesai membuka bekalan makanan buat Danish Xavier, Danish Xavier terus sahaja mengambil suapan dengan penuh berselera. Khaira Eryna yang berada di situ hanya memerhati. Dia tersenyum senang melihat Danish Xavier menikmati makanan yang dibawanya.

"Kau malu dengan aku ke?" Soal Danish Xavier secara tiba-tiba. Memecahkan kesunyian antara mereka.

Serta-merta senyuman Khaira Eryna mati. Dia terpempan dengan soalan yang diajukan oleh Danish Xavier itu. Melihat Khaira Eryna tidak membalas, sekali lagi soalan yang sama Danish Xavier ajukan pada gadis di hadapannya.

"Kau malu dengan aku pasal kejadian malam tukan?"

Khaira Eryna menelan air liurnya. Mulutnya seakan terkunci. Lidahnya kelu untuk berbicara. Dia pantas menunduk sambil memejamkan matanya buat seketika.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience