Bab 32

Drama Series 23172

Kereta BMW 8 Series Coupe berwarna biru memasuki halaman rumah Zakri dan Atiqah. Zakri dan Atiqah yang baru sahaja pulang dari pekan pantas menjengah ke luar rumah. Mereka saling berpandangan.

"Abang, siapa pula yang datang tu?"

Zakri angkat bahu.

"Entahlah sayang. Abang pun tak tahu. Tak pernah pula nampak kereta tu sebelum ni."

"Abang pergilah tengok. Biar sayang kemas barang-barang ni semua." ujar Atiqah sebelum mengambil bungkusan barangan di tangan suaminya.

Akur dengan permintaan si isteri, Zakri kembali mengorak langkah ke halaman rumahnya semula. Melihat gerangan yang bertamu ke rumahnya tika itu.

Usai memakir kereta, Danish Xavier atur langkah keluar dari perut kereta. Kaca mata hitam dibuka. Bibirnya pantas melengkung senyum saat matanya terpasak pada tubuh lelaki yang sedang berdiri memerhatinya sejak tadi. Danish Xavier menapak mendekati Zakri. Tangannya dihulur untuk berjabat tangan sambil bibir mengungkapkan salam.

Salam Danish Xavier dibalas. Huluran tangan Danish Xavier disambut mesra.

"Uncle Zakri, kan?" Sapa Danish Xavier dengan ramah.

Zakri berkerut kening. Perlahan-lahan kepalanya diangguk kecil. Namun, hatinya masih tertanya-tanya tentang gerangan yang berdiri di hadapannya itu.

"Maaf, anak ni siapa?" Soal Zakri tanpa mahu terus berteka-teki sendiri.

Danish Xavier senyum segaris. Seperti sangkaannya, Zakri tidak mengenalinya. Mungkin juga lelaki itu sudah lupa yang mereka pernah bertemu sebelum ini.

"Uncle ingat Noah?"

Pantas Zakri mengangguk.

"Kenal sangat. Ayah angkat kepada kawan baik anak uncle. Kejap! Uncle macam pernah tengok muka kamu sebelum ni. Tapi uncle tak pasti bila dan di mana?"

"Saya Danish. Anak kepada Noah dan Camilla. Kita pernah berjumpa sebelum ni dekat rumah lama Khaira."

Zakri jeda. Mula menggali ingatannya tentang jejaka yang berada di hadapannya itu. Selepas beberapa ketika, kepalanya diangguk.

"Ya, uncle dah ingat. Kamu ada datang masa Khaira balik sekejap tengok rumah lama dia."

"Betul uncle."

"Maaflah. Hari tu kita jumpa sekejap sangat. Tak sempat pun nak berkenalan. Tu yang uncle tak berapa ingat."

"Eh, tak apa uncle. Saya faham."

"Danish, jemputlah naik ke dalam rumah. Lagipun cuaca dekat luar ni panas. Kita berbual dekat dalam rumah, selesa sikit." Pelawa Zakri.

"Rasanya kita berbual dekat luar jelah, uncle. Lagipun saya singgah kejap je." Tolak Danish Xavier sopan.

"Sekejap ke lama ke, kamukan tetamu uncle. Tak sedap pula hati uncle kalau tetamu datang tak pelawa masuk dalam rumah. Kita minum petang dulu. Buat basah tekak. Sambil tu Danish boleh rehat. Mesti kamu penat. Dari Kuala Lumpur, kan?"

"Tak susahkan uncle ke?"

Bahu Danish Xavier ditepuk lembut.

"Mana ada susah pun. Lagipun auntie ada dekat dalam tu."

Akur dengan permintaan Zakri, Danish Xavier bersetuju. Mereka menyusun langkah beriringan masuk ke dalam rumah.

"Jemput minum. Siapa ni bang?" Pelawa Atiqah sambil menghidangkan minuman petang di atas meja kopi.

"Ni Danish. Anak Noah dan Camilla."

"La....maaflah. Auntie tak ingat. Hari tu Danish ada datangkan dekat rumah lama Khaira?"

Danish Xavier hanya senyum segaris. Kepalanya diangguk kecil.

"Tak apa auntie. Mm....auntie dan uncle berdua je ke? Anak auntie dan uncle mana?"

"Jasmin? Kalau Jasmin tu dia dah sambung belajar dekat terengganu. Tu yang kami tinggal berdua je sekarang. Danish pula datang sini sebab ada kerja ke?" Soal Zakri. Cawan di atas meja dicapai sebelum air kopi dicicip perlahan.

"Tak. Saya datang sini sebenarnya bukan sebab kerja tapi ada sebab lain."

Zakri dan Atiqah saling berpandangan. Seakan faham akan maksud yang ingin disampaikan oleh Danish Xavier.

"Danish datang ke sini sebab apa?" Soal Atiqah untuk memastikan telahannya tidak salah.

"Danish datang ke sini sebab nak cari seseorang."

"Maksud Danish, Khaira?" Tebak Atiqah.

Danish Xavier tidak terkejut. Tepat sangkaannya. Khaira Eryna memang ada di sini. Ke mana lagi gadis itu mahu melarikan diri jika bukan ke kampung halamannya? Perlahan-lahan Danish Xavier angguk kepala.

"Mana auntie tahu? Dia ada dekat sini ke? Kalau betul dia ada dekat sini, boleh tak izinkan saya berjumpa dengan dia. Saya merayu pada uncle dan auntie." Rayu Danish Xavier dengan riak bersungguh-sungguh.

Atiqah melirik ke arah Zakri. Melihat pandangan si isteri, pantas Zakri memberi isyarat pada Atiqah untuk berterus-terang. Memahami isyarat sang suami, Atiqah mengalih pandangannya kembali pada Danish Xavier. Keluhan halus meniti di bibirnya.

"Khaira memang ada dekat sini. Dia tinggal dan bermalam di rumah kami."

Danish Xavier menarik senyum lega. Nampaknya pencariannya sudah berakhir.

"Tapi Danish lewat sedikit. Khaira dah pergi sejak Subuh tadi. Auntie dan uncle dah cuba halang. Tapi dia tetap dengan keputusan dia. Dia kata dia tak nak susahkan auntie dan uncle."

Senyuman Danish Xavier mati. Jelas riak kecewa di wajahnya.

"Auntie dan uncle tahu ke dia pergi mana? Dia ada cakap apa-apa pada auntie dan uncle?"

Atiqah dan Zakri geleng kepala.

"Dia tak cakap dia nak ke mana. Tapi dia ada cakap sebelum dia pergi dia nak ke pusara arwah baba dia. Uncle nak tolong hantar. Tapi dia tolak. Danish, betul ke auntie dengar ibu kandung Khaira masih hidup?" Tanya Atiqah ingin tahu.

"Ya, auntie. Kami semua baru juga dapat tahu hal ni. Ibu kandung dia datang jumpa mommy. Waktu tulah Khaira terdengar semuanya. Tapi tak sempat nak jelaskan perkara sebenar, Khaira dah keluar larikan diri. Kami semua risau tentang dia. Lebih-lebih lagi, mommy."

"Entahlah, Danish. Salah uncle juga sebab tak terus hubungi Noah beritahu pasal Khaira ada dekat sini. Khaira bertegas tak nak sesiapa tahu yang dia ada balik ke sini. Kami terpaksa hormat permintaan dia." Luah Zakri.

"Tak apa. Saya faham. Tapi....uncle dan auntie boleh agak ke dia ke mana? Mungkin dia ada kawan-kawan lain selain Jasmin?"

Atiqah dan Zakri terdiam seketika. Seakan sedang berfikir.

"Rasanya tak ada. Setahu uncle Khaira tak ramai kawan. Masa sekolah dulu semua pelajar pinggirkan dia. Jasmin sahajalah kawan yang dia ada. Kalau kawan yang di luar pengetahuan kami, itu kami tak pasti."

Danish Xavier jatuhkan kepala tanda faham. Kini, fikirannya kembali buntu. Tidak tahu ke mana arah harus dituju? Ke mana lagi tempat pencariannya selepas ini?

"Danish dah cuba cari kawan-kawan dekat kolej? Tanya dengan kawan-kawan tempat dia belajar? Mungkin dia orang tahu tempat Khaira pergi kalau dia tengah stress atau ada masalah?"

"Dah. Saya dah cari dan tanyakan pada mereka semua. Saya dah pesan minta call saya kalau ada berita tentang Khaira. Lagipun mereka tak rapat sangat dengan Khaira. Yalah, Khaira baru sebulan belajar dekat situ."

"Ya tak ya juga. Tak apalah. Kita cuba ikhtiarkan cara nak cari tempat persembunyian Khaira. Sementara tu, Danish berehatlah dekat sini. Nanti uncle dan auntie cuba risik pasal Khaira dekat Jasmin. Mana tahu Jasmin tahu ke mana arah tuju Khaira?"

"Eh, tak apalah! Susahkan uncle dengan auntie je. Saya boleh je singgah masjid dekat kampung ni. Tumpang berteduh dan solat dekat sana." Danish Xavier menolak.

"Buat apalah susahkan diri. Dah alang-alang Danish datang rumah uncle, berehat jelah dekat sini. Lagipun rumah ni ada kami berdua je. Kalau Danish nak, bermalam je dekat sini. Jangan paksa badan tu. Kamu mesti letih. Kuala Lumpur tu bukan sebelah rumah uncle. Jauh tempatnya." Pujuk Zakri. Simpati melihat wajah lelah jejaka itu.

Akur dengan permintaan dan pujukan Zakri, akhirnya Danish Xavier bersetuju.

**********

"Ya Allah, Khaira! Kau suka buat kerja gilakan?!" Sapa Jasmin dengan perasaan geram. Bahu Khaira Eryna ditepuk kuat.

Khaira Eryna mengaduh sakit. Bahunya terasa pijar. Pantas tangannya diangkat mengusap bahu.

"Sakitlah!" Rintih Khaira Eryna.

"Itu makan dia. Kau sukakan buat orang risaukan kau. Dua hari lepas kau dekat Johor, dekat rumah parents aku. Tup...tup...hari ni muncul dekat sini. Macam nak terberhenti jantung aku masa dapat call daripada kau tadi." Luah Jasmin tidak puas hati.

Khaira Eryna langsung tidak beriak. Hanya tersengih menampakkan sebaris giginya. Mukanya langsung tidak ada riak bersalah. Malah, enak menyambung suapan keropok lekor goreng ke dalam mulut. Jasmin merengus geram.

"Tengok tu. Kita cakap dengan dia. Muka dia selamba je kunyah keropok lekor. Macam orang tak ada masalah."

Kunyahan Khaira Eryna terhenti. Keropok lekor yang berada di tangan diletakkan semula di dalam plastik. Seleranya tiba-tiba mati. Sedar akan ke terlanjuran kata-katanya, Jasmin segera mohon maaf.

"Khaira, sorry....aku tak bermaksud pun nak ungkit pasal masalah kau. Aku betul-betul minta maaf." Rayu Jasmin dengan riak bersalah.

"Tak apa. Betul apa yang kau cakap. Aku cuba nak buang masalah aku jauh-jauh. Sebab tu cuba tak nak fikir apa yang dah jadi."

Tangan Khaira Eryna diraih. Jasmin memandang redup wajah muram sahabat baiknya itu.

"Aku tak bermaksud pun nak kau ingat masalah kau tu semua. Aku cuma risaukan kau. Kalau ikutkan hati aku, dah lama aku balik rumah parents aku hari tu bila dapat tahu kau dekat sana."

"Min, aku minta maaf. Aku dah susahkan kau. Aku tak berniat pun nak ganggu masa kau. Tapi aku buntu nak pergi mana? Aku cuma ingat kau je. Sebab tu sekarang ni aku ada dekat sini. Sorry tau kalau aku kacau kau. Mesti kau tengah busy tadikan?"

"Tak apalah. Assignment aku tu tinggal sikit je. Kau jangan risaulah. Yang penting kau tu. Malam ni kau nak tidur dekat mana? Aku tak bolehlah nak tumpangkan kau. Kau tahukan aku stay dekat hostel?"

"Kau jangan risaulah pasal tu. Aku dah check-in resort dekat area sini. Nanti kalau kau free kau boleh jumpa aku dekat sini. Tapi kau kena call resort akulah. Handphone aku, aku dah off."

"Kenapa kau off? Kau tak nak orang cari kau, kan?"

Khaira Eryna angguk kepala.

"Aku perlukan masa. Kau takkan faham perasaan aku, Min. Aku marah. Aku kecewa. Aku sedih. Rasa tertipu."

Jasmin yang sudah tahu masalah sebenar sahabatnya itu hanya diam mendengar. Dia mahu memberi ruang kepada Khaira Eryna meluahkan apa sahaja yang gadis itu rasakan saat ini.

"Kau bayangkan, selepas sembilan belas tahun baru sekarang dia muncul dalam hidup aku. Mengaku yang dia ibu kandung aku. Kalau kau jadi aku, kau tak rasa tertipu ke? Kau tak rasa marah? Susah aku nak terima."

Khaira Eryna menggali nafasnya dalam sebelum kembali meneruskan kata-katanya.

"Patutlah muka dia, nama dia, seakan sama dengan arwah ibu aku. Aku ingat itu semua kebetulan. Tapi rupa-rupanya memang betul dia ibu aku. Ibu yang sanggup tinggalkan anak dia dan suami dia. Untuk apa? Mestilah untuk kesenangan dia. Dia takut hidup susah dengan baba. Mesti dia dah lukakan hati baba aku. Sebab tu baba terpaksa cipta kisah kematian ibu pada aku supaya aku takkan tanya lagi pasal ibu."

Tanpa sedar, air mata Khaira Eryna gugur satu persatu. Hatinya terasa sebak. Mahu sahaja dia meraung dan menjerit. Melepaskan segala yang dia pendam selama ini. Namun, dia masih waras. Takut dengan mata-mata yang memandang.

"Khaira, sabarlah. Aturan Allah adalah secantik-cantik aturan. Pasti ada hikmah dengan setiap yang berlaku. Bukan kau nak sangat ke jumpa ibu kau? Mungkin Allah dah kabulkan permintaan kau?" Pujuk Jasmin. Cuba menenangkan sahabatnya. Bahu Khaira Eryna diusap lembut.

"Mungkin....tapi aku betul-betul belum boleh terima. Bukan aku tak bersyukur. Mungkin Inilah nikmat yang Allah nak bagi pada aku. Lepas aku hilang kasih sayang baba, kini Allah gantikan dengan kasih sayang ibu aku. Tapi...entahlah. Hati aku berat nak terima kenyataan yang ibu aku masih hidup."

"Tak apalah kalau macam tu. Mungkin kau memang perlukan masa dan ruang. Kau ambillah masa untuk tenangkan diri kau. Apa-apa kau boleh je contact aku. Ingat, sampai bila-bila aku tetap ada untuk kau. Walaupun kita jauh beribu batu."

Khaira Eryna pantas menyeka air matanya. Nafasnya dihela panjang. Dia bangkit dari duduknya. Menepuk-nepuk seluarnya yang sedikit berpasir. Melihat tingkah Khaira Eryna, Jasmin turut sama mengangkat punggung. Jam di pergelangan tangan dikerling seketika.

"Khaira, dah lewat ni. Aku nak balik hostel. Nanti kalau ada apa-apa call aku. Sepantas kilat aku akan sampai."

"Ya je. Tak apalah. Aku okay. Aku ni dah besar. Boleh bawa diri sendiri. Kau jangan risau sangat. Tapi kalau kau free kau boleh datang dekat bilik aku. Ni nombor telefon resort tu. Aku dah siap tulis nombor bilik aku juga. Aku pun nak balik resort berehat."

Kad kecil yang dihulur oleh Khaira Eryna disambut. Melihat catatan pada kad kecil itu, Jasmin angguk kepala.

"Okay. Kau berehatlah. Jangan sesakkan kepala kau tu. Bagi masa pada diri kau. Esok bila aku nak datang, aku call kau. Hati-hati. Aku gerak dulu."

"Kau pun sama."

Khaira Eryna dan Jasmin mula beredar meninggalkan pantai. Mereka kemudiannya bergerak menuju ke haluan masing-masing. Khaira Eryna menuju pulang ke resort. Manakala Jasmin pula pulang ke hostel.

Baru sahaja punggung berlabuh di birai katil, telefon pintar Jasmin berbunyi. Lantas telefon pintarnya dicapai dari dalam beg. Tertera nama ibunya di skrin telefon. Tanpa menunggu lama, panggilan itu dijawab.

"Assalamualaikum mama."

"Waalaikumsalam. Min macam mana hari ni? Min tengah buat apa? Sibuk ke? Mama ganggu Min ke?" Soal Atiqah bertalu-talu.

"Eh, banyaknya soalan mama. Taklah. Min baru je masuk bilik. Tadi keluar kejap dengan kawan. Kenapa mama call Min? Ada apa-apa berlaku dekat rumah ke?"

Atiqah di hujung talian berjeda. Nafasnya dihela sebelum meneruskan bicara.

"Min, mama sebenarnya nak beritahu Min sesuatu."

Jasmin berkerut kening.

"Mama nak cakap pasal apa? Bunyi macam serius je."

"Mm...Khaira."

Mendengar nama Khaira Eryna, Jasmin teguk air liur kesat.

"Er...kenapa dengan Khaira, ma?" Soal Jasmin. Pura-pura tidak tahu.

"Dia dah keluar dari rumah ni. Mama nak beritahu Min pagi tadi. Tapi mama tak sampai hati. Takut Min susah hati. Mama sebenarnya risau fikirkan hal Khaira tu. Tak tahulah mana dia bermalam malam ni. Mama dah papa dah cuba pujuk dia supaya stay dekat rumah kita. Tapi dia tetap dengan keputusan dia."

Jasmin mengeluh halus.

"Mama jangan risaulah. Insya-Allah Khaira okay. Min yakin dia boleh jaga diri." Balas Jasmin senada.

Atiqah berkerut kening. Sangkaannya Jasmin akan terkejut dan beriak risau seperti selalu. Namun, telahannya salah. Jasmin seakan tenang mendengar berita yang dia sampaikan."

"Min macam tak risau je? Ke... Min tahu Khaira dekat mana sekarang ni?" Duga Atiqah.

Jasmin ketap bibir.

"Mm....mama....sebenarnya...."Jasmin berkira-kira untuk jujur. Namun, memikirkan kebimbangan ibu bapanya pada Khaira Eryna membuatkan Jasmin tidak sanggup berbohong.

"Khaira, maafkan aku..." Bisik Jasmin di dalam hati.

"Sebenarnya apa, Min?" Soal Atiqah resah.

"Sebenarnya....Khaira ada dekat sini."

"Apa?!" Atiqah menjerit kecil. Terpempan dengan bicara Jasmin. Matanya pantas mengerling Zakri dan Danish Xavier yang duduk tidak jauh darinya. Yang turut sama terkejut mendengar jeritannya sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience