Bab 27

Drama Series 24421

Khaira Eryna menancap wajah seorang wanita pada sekeping gambar yang berada kemas di pegangan tangannya. Wajah yang tidak pernah dia kenal sejak dia dilahirkan. Seseorang yang amat dia rindukan. Selama ini dia tidak mampu membayangkan wajah ibu yang melahirkannya. Namun, setelah dia menjumpai gambar itu, dia tidak lagi tertanya-tanya tentang gambaran wajah ibunya. Setiap malam, gambar arwah ibu dan bapanya menjadi peneman sebelum dia melelapkan mata. Sedetik pun Khaira Eryna tidak pernah melupakan ibu dan bapa kandungnya. Walaupun mereka sudah tiada, doa Khaira Eryna tidak pernah putus untuk mereka.

Khaira Eryna mengalihkan pandangan matanya ke arah langit. Tanpa sedar keluhan kecil meniti di bibirnya. Entah mengapa, bayangan wanita yang dikenali sebagai Sofea itu sentiasa menerjah di fikiran. Khaira Eryna sendiri tertanya-tanya, mengapa dia merasakan dirinya terasa dekat bila bersama wanita itu? Dia merasa sangat selesa walhal mereka baru sahaja bertemu dan berkenalan. Tetapi perasaannya seperti mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

"Jauh kau termenung? Rindu dekat aku?" Sapa satu suara dari arah belakang.

Khaira Eryna kenal suara itu. Sedikit pun dia tidak berpaling memandang ke arah lelaki itu. Sebaliknya, dia terus merenung dada langit yang hitam. Gambar ibunya dirapatkan ke dada.

Melihat tiada balasan daripada Khaira Eryna, Danish Xavier yang baru sahaja pulang dari pejabat terus menapak mendekati gadis itu. Lalu punggungnya dilabuhkan di kerusi berhadapan dengan Khaira Eryna.

"Kau ada masalah ke?"

Khaira Eryna menggelengkan kepala. Masih membisu tanpa sebarang suara.

"Kau tak sihat ke? Tekak kau sakit?" Soal Danish Xavier lagi.

Khaira Eryna mengalih pandangannya. Kini matanya terpasak pada wajah lelaki di hadapannya. Keningnya sedikit berkerut. Sekali lagi kepalanya digeleng kecil.

"Habis tu kenapa kau tak jawab bila aku tanya? Dah jadi bisu pula ke?"

"Awak ni, bila saya bercakap awak kata saya banyak mulut. Asyik menjawab je. Bila saya diam, awak kata saya bisu pula. Tak boleh ke kalau sekali-sekala saya nak duduk diam?" Balas Khaira Eryna sedikit geram kerana terasa ketenangannya diganggu.

"Aku cuma risau je. Lepas je kita semua balik dari dinner rumah uncle Shakil hari tu, kau banyak diamkan diri. Banyak termenung. Kenapa? Apa yang kau fikir? Aku pernah cakap dekat kaukan, kalau kau ada apa-apa masalah kau kena beritahu aku atau kongsi cerita dengan aku. Aku tak nak kau pendam sorang-sorang."

"Awak jangan risau. Saya okay. Cuma tak rasa nak bercakap. Biasalah hormon perempuan ni tak tentu. Ada masa, perangai pun boleh berubah." Balas Khaira Eryna menyembunyikan perasaan sebenarnya.

Danish Xavier jeda. Dia yakin Khaira Eryna tidak jujur dengan perasaannya. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis itu. Danish Xavier yakin. Matanya beralih pada sekeping gambar yang berada dipelukan Khaira Eryna. Danish Xavier mula tertanya-tanya tentang gambar yang ada pada gadis itu. Dia ingin mencari tahu.

"Gambar apa tu? Boleh aku tengok? Gambar boyfriend kau ke? Atau crush kau?" Duga Danish Xavier.

"Gambar orang yang sangat penting dalam hidup saya. Yang saya sentiasa rindukan selama saya hidup."

"Kau tak nak share dengan aku? Aku nak juga tahu, siapa yang penting sangat pada kau tu?"

"Kenapa awak nak tahu?"

"Saja. Lagipun kau dah jadi orang yang terpenting dalam hidup aku. So, aku kenalah ambil tahu juga tentang orang-orang yang terpenting dan bermakna dalam hidup kau. Bagi aku tengok gambar tu." Pinta Danish Xavier yang seakan lebih kepada arahan bunyinya.

Lambat-lambat Khaira Eryna menghulurkan gambar ibunya pada Danish Xavier. Gambar itu sudah bertukar tangan. Gambar ibu Khaira Eryna ditatap seketika sebelum pandangannya beralih pada Khaira Eryna.

"Cantik. Tapi....rupa dia saling tak tumpah macam auntie Sofea. Siapa ni? Atau ini memang gambar auntie Sofea?" Soal Danish Xavier ingin tahu.

"Ibu saya." Balas Khaira Eryna pendek.

"Ibu kau? Maksud kau auntie Sofea tu ibu kau?" Soal Danish Xavier dengan riak terkejut.

Khaira Eryna menggeleng laju.

"Bukan. Ini bukan gambar auntie Sofea. Tapi gambar arwah ibu saya."

"Ooh...sorry. Tapi rupa mereka memang sama. Arwah ibu kau ada kembar ke?"

Khaira Eryna menjongket kedua-dua bahunya.

"Saya tak tahu. Tapi, baba tak pernah pula cerita apa-apa pasal keluarga arwah ibu. Terlalu banyak rahsia yang baba sembunyikan daripada saya. Awak rasa auntie Sofea tu ada kena-mengena dengan arwah ibu saya ke? Atau pun mungkin pelanduk dua serupa? Kebetulan wajah mereka sama."

Danish Xavier hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak pasti.

"Sebab ni ke yang buat kau selalu termenung? Kau fikirkan perkara ni?"

Lambat-lambat Khaira Eryna angguk kepala.

Terbit keluhan kecil di bibir lelaki itu.

"Kau nak aku tolong siasat pasal latar belakang auntie Sofea? Kalau kau nak, aku boleh upah orang untuk siasat."

"Tak perlu. Mungkin ini semua hanya kebetulan. Takkanlah orang ternama dan kaya macam auntie Sofea itu ada kena-mengena dengan saya? Macam tak masuk dek akal je." Khaira Eryna ketawa kecil. Lebih kepada ketawa yang dibuat-buat.

Gambar yang berada di tangan Danish Xavier dikembalikan semula pada Khaira Eryna. Khaira Eryna menyambut huluran Danish Xavier. Gambar itu ditatap seketika.

"Dahlah, kau jangan fikirkan sangat. Mungkin betul itu semua hanya kebetulan. Dah lewat ni. Baik kau masuk tidur. Lepas ni kalau ada apa-apa yang merunsingkan kau, tolong beritahu aku. Jangan buat semua orang risau."

Khaira Eryna mengangkat wajah.

"Awak pun risaukan saya?" Tebak Khaira Eryna.

Danish Xavier menggosok belakang lehernya. Tiada niat untuk membalas.

"Dahlah, jom masuk. Jangan nak duduk lama-lama dekat sini. Nanti demam pula. Lagipun angin malam tak bagus untuk kau."

Danish Xavier cuba mengelak dari membalas pertanyaan gadis itu. Dia bingkas bangun dari duduknya. Tangan Khaira Eryna dicapai sebelum ditarik lembut mengekori langkahnya masuk ke dalam villa.

Khaira Eryna kulum senyum saat melihat perubahan riak wajah Danish Xavier. Akur dengan arahan Danish Xavier, dia menuruti langkah kaki Danish Xavier hingga ke tingkat atas.

"Honey, you buat apa dekat sini?" Sapa Noah saat melihat Camilla sendirian di balkoni bilik.

Camilla menoleh ke arah Noah. Bibirnya mengorek senyuman nipis.

"I tengok-tengokkan Khaira tadi dari atas. I risau dia asyik termenung je."

Noah pantas mencari kelibat Khaira Eryna dari arah balkoni. Namun, tiada sebarang bayangan di taman mini tersebut.

"Tak ada orang pun?"

"Dia dah masuk. Danish pun ada sekali tadi."

"Ooh...You ni terlalu risau sangat. Insya-Allah, Khaira tak ada apa-apa. Biasalah kalau kadang-kadang dia nak bersendirian."

"Itu I tahu. Tapi I boleh rasa yang Khaira macam tengah fikirkan sesuatu. Macam ada sesuatu yang membebankan fikiran dia sekarang ni."

"Maksud you?" Soal Noah dengan kening diangkat sebelah.

"I rasa dia tengah fikirkan pasal Sofea?"

"Sofea?"

"Ya, adik Shakil."

"But why? Kenapa mesti Sofea?"

"Sebab dia Bunga Sofea?" Tebak Camilla.

Riak wajah Noah sedikit terkejut.

"Mana you tahu nama penuh Sofea, Bunga Sofea?"

"I agak je, B. Atau memang betul dia tu memang Bunga Sofea? Ibu kandung Khaira? Baik you jujur dengan I. You jangan nak sorokkan apa-apa daripada I." Camilla memberi amaran.

"I pun baru je tahu malam tu. Tapi I tak pasti sama ada betul atau tidak telahan I ni."

"Dari segi rupa, nama, semuanya sama. Hati I kuat mengatakan yang dia tu ibu kandung Khaira. B, kalau betul, you rasa dia akan ambil Khaira daripada kita ke?" Soal Camilla cemas.

"Honey, tenang. Kita ni hanya ibu bapa angkat Khaira. Kalau betul Sofea itu ibu kandung Khaira, kita tak ada hak untuk menghalang."

"Tapi dia yang buang Khaira dulu. You sendiri tahu pasal tu. You yang cerita semuanya pada I. I tak boleh nak terima, B. I dah sayangkan Khaira macam anak I sendiri. I tak sanggup berpisah dengan dia." Lirih Camilla. Langkahnya dibawa ke arah katil. Punggungnya dilabuhkan di birai katil.

Noah yang berada di balkoni turut sama mengekori langkah isterinya. Hati isterinya harus dipujuk.

"Honey, you tahukan apa yang sebenarnya telah terjadi? Bunga Sofea terpaksa tinggalkan suami dan anak dia. Dia tak ada pilihan."

"I tak kisah semua tu, B. Khaira anak I. Sampai bila-bila pun dia akan jadi anak perempuan I."

Tanpa sedar air mata Camilla gugur membasahi pipi. Pantas Noah menyeka air mata isterinya. Membawa tubuh Camilla dalam pelukannya.

"Ya, sampai bila-bila Khaira akan jadi anak perempuan kita. Tapi kita tak boleh sangkal hak ibu kandung dia. Kalau tiba saat dan ketikanya, kita kena reda lepaskan Khaira. I yakin Khaira tak akan lupakan kita. You sendiri kenal Khaira macam manakan?"

Lambat-lambat Camilla angguk kepala. Pelukan suaminya dileraikan.

"B, you tak rasa ke kita perlu terus-terang pasal Bunga Sofea pada Khaira? She needs to know her biological mother is still alive. Sampai bila kita nak biarkan dia fikir yang ibu dia tu dah mati?"

"Tapi kita tak pasti lagi sama ada Sofea itu betul ibu kandung Khaira atau pun tidak?"

"Ya, I tahu. But, at least kita dah beritahu kenyataan yang sebenar pada dia. I tak sanggup nak terus sembunyikan hal ni pada dia." Ujar Camilla dengan nada sayu.

Noah mengeluh berat. Pandangannya dibawa menghala ke arah luar pintu gelangsar.

"Tapi itu amanah arwah Hakim. Dia minta kita rahsiakan sampai ibu kandung Khaira sendiri muncul. I berpegang pada amanah, honey. You know me better, right?"

Camilla hanya mengangguk kecil mengiyakan kata-kata suaminya itu. Noah seorang yang berpegang teguh pada janji. Tak mungkin dia sanggup memungkiri amanah yang sudah diberikan padanya.

"I faham. So, apa yang you nak buat? You tak nak siasat pasal Sofea tu? At least kita boleh tahu tentang Sofea. Kalau betul dia ibu kandung Khaira, sekurang-kurangnya I boleh bersedia dari awal untuk terima hakikat yang Khaira akan tinggalkan kita." Camilla kembali sayu. Ada getaran di hujung bicaranya.

Noah senyum segaris. Kekura tangan isterinya disentuh lembut. Cuba menenangkan hati si isteri.

"I yakin you kuat. Camilla yang I kenal bukan seorang yang lemah. Sebab tu I jatuh cinta pada isteri I ni." Usik Naoh sambil mencuit puncak hidung si isteri.

Camilla ketawa kecil. Cuba membuang rasa sedih di hatinya. Nafasnya dihela panjang. Cuba beriak tenang. Dia yakin Khaira Eryna tidak akan melupakannya mahupun membuangnya dari hidup gadis itu. Sampai bila-bila Khaira Eryna akan menjadi anak perempuannya dan dia adalah mommy kepada gadis itu. Camilla tersenyum sendiri.

"Macam tulah isteri I. Nampak lebih cantik bila tersenyum. I tak nak you fikirkan sangat hal ni. I pun nak you buat yang sama pada Khaira. Tarik perhatian dia. I pun tak nak dia kusutkan fikiran dia pasal hal lama dia. You ajaklah dia spend time together. Habiskan masa yang you ada dengan dia. Hal yang lain biar I uruskan. Anything, I"ll let you know."

"Okay, B. Thanks for everything."

"It's okay, honey. You tidurlah. Rehatkan badan tu. I nak siapkan kerja I kejap."

"Banyak lagi ke, B? You janganlah kerja kuat sangat. Danish dan Darwishkan ada. Biarlah anak-anak you yang buat."

"I tahu. Tapi I kena beri tunjuk ajar juga pada dia orang. They are still learning, honey. I janji tak lama. Tinggal sikit je lagi. Lepas siap I terus tidur."

Camilla mengalah. Akur dengan kehendak sang suami, dia terus membaringkan tubuh di atas katil. Noah bangkit dari duduknya. Menapak ke arah pintu gelangsar. Lalu pintu gelangsar ditutup rapat dan dikunci sebelum tirai ditarik menutupi pintu gelangsar tersebut.

Melihat Camilla yang sudah berura-ura melelapkan mata, pantas Noah mengatur langkah ke arah pintu bilik. Lampu bilik dipadamkan sebelum dia berlalu keluar dari bilik tidurnya. Membiarkan isterinya beradu dengan tenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience