Bab 33

Drama Series 28132

Khaira Eryna memperkemaskan selendang yang menutupi sebahagian rambutnya. Sesekali matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Menanti kedatangan Jasmin yang sudah berjanji untuk membawanya bersiar-siar di sekitar Terengganu memandangkan hari ini hari cuti bagi negeri tersebut. Tidak lama kemudian, terdengar ketukan pintu dari luar bilik. Sempat Khaira Eryna menilik penampilannya di hadapan cermin sebelum menapak ke arah pintu.

Tanpa sebarang keraguan, tombol pintu dipulas. Di kala Khaira Eryna mengangkat wajah, matanya terus sahaja terbuntang luas saat melihat figura yang berada di hadapannya bukanlah susuk tubuh sahabat baiknya Jasmin, sebaliknya susuk tubuh seorang lelaki yang ingin dia elak daripada bertemu mata iaitu Danish Xavier. Lantas tangannya laju sahaja ingin menutup kembali daun pintu bilik. Malangnya Danish Xavier lebih cepat bertindak dengan menahan pintu itu dari ditutup. Sedaya-upaya Khaira Eryna menolak daun pintu itu dari terbuka. Namun, tenaga perempuan seperti Khaira Eryna tidaklah setanding dengan tenaga lelaki seperti Danish Xavier. Dengan sekali tolakkan, daun pintu bilik tersebut kembali terbuka luas.

Khaira Eryna merengus geram. Kakinya dihentak kuat. Tanpa sebarang bicara, dia mengorak langkah ke arah ruangan biliknya semula. Melihat perlakuan Khaira Eryna itu, Danish Xavier kulum senyum. Kepalanya digeleng beberapa kali.

"Er...abang Danish, Khaira okay ke?" Bisik Jasmin yang berdiri tidak jauh dari Danish Xavier. Dia mula dirundung rasa bersalah kerana membawa Danish Xavier bertemu dengan Khaira Eryna. Itu pun setelah didesak oleh Danish Xavier beberapa kali.

"Dia okay. Kau tak perlu risau. Aku nak bercakap dengan Khaira sekejap. Kau tolong jaga line. Takut nanti tak pasal-pasal kawan baik kau terpaksa kahwin free hari ni dengan aku." Arah Danish Xavier dengan muka ketat.

Jasmin tidak membalas. Sebaliknya kepalanya diangguk menerima arahan daripada lelaki itu. Akur dengan permintaan Danish Xavier, Jasmin berdiri di hadapan pintu bilik Khaira Eryna sambil matanya meliar melihat sekeliling kawasan. Lagaknya tak ubah seperti seorang bodyguard sedang menjaga kawasan dari diceroboh oleh musuh.

Danish Xavier pantas mengorak langkah masuk ke dalam bilik. Dia menapak mendekati Khaira Eryna yang sedang berdiri berpeluk tubuh merenung ke luar jendela.

"Tak ada tempat yang lagi jauh kau nak lari? Dah puas main lari-lari? Puas buat semua orang risau pasal kau? Kau memang suka lari dari masalahkan?" Sapa Danish Xavier sinis.

Khaira Eryna menoleh ke arah Danish Xavier dengan pandangan tajam. Berdesing telinganya dilontarkan dengan soalan-soalan yang sinis daripada Danish Xavier.

"Ada saya suruh awak datang cari saya? Tak adakan? Masalah tu masalah saya. Jadi, suka hati sayalah nak lari ke...nak berjalan ke....even saya nak merangkak sekali pun, tak ada kena-mengena dengan awak!"

Danish Xavier merengus kecil. Kini, giliran dia pula menatap tajam wajah Khaira Eryna. Tak ubah seperti harimau ingin menerkam mangsanya. Tidak mahu terus bertentang mata dengan Danish Xavier, Khaira Eryna pantas mengalihkan pandangan.

"Huh, dasar pengecut!"

Membulat mata Khaira Eryna mendengar ayat yang meniti di bibir lelaki itu. Jari-jemarinya dikepal kuat.

"Awak cakap saya apa? Pengecut? Saya bukan pengecutlah!" Nada Khaira Eryna sudah naik seoktaf.

Jasmin yang mendengar suara Khaira Eryna sudah menjengah kepala ke dalam bilik. Takut ada pergaduhan yang akan berlaku. Angin monsun sahabat baiknya itu kadang-kadang tidak boleh dijangka. Boleh meletup bila-bila masa sahaja seperti bomb jangka.

"Kalau kau bukan pengecut, kau takkan lari macam ni? Kau takkan biar daddy dan mommy risau pasal kau. Tapi apa yang kau dah buat? Kau buat semua orang susah hati. Kau buat kepala aku ni macam nak pecah fikirkan kau. Risaukan kau!"

"Awak nak sangat saya mengaku ke? Fine, memang saya pengecut. Pengecut sebab tak boleh nak terima kenyataan ibu yang selama ini saya ingat dah mati, rupa-rupanya masih hidup! Saya pengecut sebab tak boleh terima yang saya dah ditipu selama bertahan-tahun. Bukan setahun. Bukan lima tahun. Tapi sembilan belas tahun, Danish! Sembilan belas tahun! Sekarang awak dah puas? Dah dengar pengakuan sayakan? So, tunggu apa lagi? Awak boleh balik. Saya tak nak jumpa atau tengok muka awak lagi. Anggap je Khaira Eryna yang awak kenal sebelum ni dah mati!" Luah Khaira Eryna. Tanpa sedar air matanya gugur buat sekian kalinya.

Danish Xavier terkedu. Langsung tidak menyangka Khaira Eryna akan menengking dia seperti itu. Menghalaunya dari situ. Nampaknya Khaira Eryna sudah menunjukkan sisinya yang lain. Danish Xavier mula sedar, Khaira Eryna bukan lagi gadis yang lemah seperti yang dia kenal. Nampaknya, hati gadis itu benar-benar sudah terluka.

Danish Xavier sedikit pun tidak berganjak. Dia tetap dengan pendiriannya. Walau apapun cara, dia akan membawa Khaira Eryna pulang. Sama seperti janjinya pada Camilla. Hati Khaira Eryna harus dipujuk. Dia tidak boleh berkasar. Dia harus memikirkan cara terbaik untuk mengambil hati gadis itu. Setelah melihat kesedihan dan kelukaan Khaira Eryna, kali ini dia memasang tekad, dia bukan sahaja ingin memujuk hati Khaira Eryna, tetapi juga ingin mengunci hati gadis itu buat dirinya. Dia akan melindungi gadis itu daripada terus terluka dan dilukai.

"Kenapa awak masih dekat sini? Awak nak saya maki awak pula ke? Awak jangan ingat saya tak berani nak maki orang. Kalau awak rasa tak nak dengar kata-kata kesat daripada saya, lebih baik awak keluar dari sini! Keluar! Keluar saya kata!" Lengking suara Khaira Eryna menghalau Danish Xavier.

Namun, Danish Xavier langsung tidak terkesan dengan kata-kata Khaira Eryna. Kata-kata Khaira Eryna itu hanya dianggap seperti angin lalu. Wajahnya langsung tidak beriak. Dia rela jika Khaira Eryna ingin melontarkan kata-kata kesat padanya daripada dia harus pulang dengan tangan kosong.

"Aku tak akan berganjak dari sini. Sama ada kau suka atau tidak, aku nak kau ikut aku balik KL." Ujar Danish Xavier senada.

"Saya tak nak! Baik, kalau awak tak nak keluar, biar saya yang keluar!"

Tanpa menunggu lama, Khaira Eryna pantas mengatur langkah laju keluar dari bilik tersebut. Tanpa sedikit pun menyapa Jasmin yang berada di hadapan biliknya. Melihat perlakuan Khaira Eryna itu, Jasmin ingin mengejar. Namun, Danish Xavier terlebih dahulu menghalang.

"Khaira!" Jerit Jasmin memanggil sahabatnya.

Tetapi sedikit pun Khaira Eryna tidak berpaling.

"Tak apa, biar aku yang kejar dia. Kau tolong jaga bilik dia sekejap. Kejap lagi aku bawa dia balik bilik."

"Tapi Khaira tengah marah sangat tu. Apa kata biar saya yang cuba pujuk dia?" Cadang Jasmin. Tidak mahu keadaan semakin memburuk. Takut andai Khaira Eryna melarikan diri sekali lagi.

"Kau jangan risau. Aku boleh handle. Sedangkan kucing liar dalam hutan aku boleh jinakkan. Inikan pula kawan kau tu. Kau tunggu je dalam bilik. Aku nak pergi pujuk dia. Jangan lupa kunci pintu." Arah Danish Xavier.

Jasmin beriak kecewa. Akur dengan arahan Danish Xavier, dia susun langkah masuk ke dalam bilik Khaira Eryna. Sementara Danish Xavier sudah menapak laju mengejari jejak langkah Khaira Eryna ke arah pantai.

Laju sahaja Danish Xavier mengayun langkah saat matanya tertancap pada susuk tubuh yang dicari. Mengejari Khaira Eryna hingga ke gigi air. Lengan Khaira Eryna direnggut kuat dari arah belakang hingga membuatkan tubuh Khaira Eryna berpusing menghadap ke arah Danish Xavier.

"Lepaslah! Lepaskan saya! Apa masalah awak ni?!" Bentak Khaira Eryna.

"No, I won't. Aku tak akan biarkan kau lari lagi. Not this time!"

"Apa hak awak nak halang saya? Saya dah cakap saya tak nak jumpa awak lagi! Apa yang awak tak faham?!" Lengking suara Khaira Eryna menghamburkan amarah. Langsung tidak peduli dengan pandangan helang Danish Xavier.

Khaira Eryna terus meronta-ronta sambil meminta Danish Xavier melepaskannya. Namun, sedikit pun Danish Xavier tidak menghiraukan rontaan Khaira Eryna. Malah mata-mata yang sedang memandang juga tidak dia peduli. Pantas kedua-dua tangan Danish Xavier naik memegang bahu Khaira Eryna. Menahan gadis itu dari terus meronta.

"Cukup Khaira! Cukup!!" Herdik Danish Xavier.

Khaira Eryna tersentak. Spontan rontaan Khaira Eryna juga terhenti. Cuma dadanya masih turun naik menahan amarah. Matanya tajam menikam ke wajah Danish Xavier.

"Sama ada kau rela atau tidak, aku tetap akan bawa kau balik KL! Itu janji aku! Sekali aku dah berjanji, aku tak akan sesekali mungkiri janji aku. Kau faham?!"

Mendengar herdikan dari Danish Xavier, Khaira Eryna hanya diam. Laju dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Danish Xavier memejam kelopak matanya buat seketika. Nafas digali dalam. Cuba menenangkan diri dari terus melepaskan amarahnya.

Usai rasa sedikit tenang, Danish Xavier kembali bersuara.

"Boleh tak kali ni kau dengar apa yang aku nak cakap? Kali ni je. Lepas tu, terpulang pada kau sama ada nak terima atau tidak, nak percaya atau tidak." Kini, intonasi Danish Xavier sedikit lembut berbanding tadi.

Khaira Eryna mengeluh berat. Pandangannya diliarkan ke arah laut.

"Apa maksud awak, Danish? Apa yang awak nak ceritakan? Awak pun nak jadi macam arwah baba dan ibu? Cerita apa yang awak nak reka untuk saya percayakan awak?" Soal Khaira Eryna sinis. Dia ketawa palsu.

"Aku tak pernah tipu kau, Khaira. Kali ni pun sama. Aku tak akan tipu kau. Bukan maksud aku untuk membela auntie Sofea, tetapi kau perlu tahu kebenarannya, Khaira." Danish Xavier cuba memujuk.

"Kebenaran? Kebenaran apa? Kebenaran yang dia terpaksa tinggalkan saya dan arwah baba sebabkan duit? Tak sanggup hidup susah dengan arwah baba? Macam tu?" Tebak Khaira Eryna. Dia ketawa sinis.

"Kau cakap apa ni? Sanggup kau tuduh auntie Sofea macam tu? Mana Khaira Eryna yang dulu? Yang sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Yang pandai menjaga hati orang lain. Yang tahu menghormati perasaan orang lain. Mana Khaira aku yang dulu?"

"Khaira tu dah mati. Khaira yang ada di depan awak sekarang ni bukan lagi Khaira yang lemah. Tetapi Khaira yang lebih kuat. Dan tak akan mudah terpedaya dengan permainan orang. Sebab hati ni...dah cukup terluka." Ada getar di hujung bicara Khaira Eryna. Air matanya kembali gugur. Matanya dipejam menahan sebak. Tidak peduli dengan pandangan Danish Xavier padanya.

"Khaira..."

Danish Xavier meraih kedua-dua tangan Khaira Eryna dalam genggamannya. Perlahan-lahan kelopak mata Khaira Eryna terbuka. Menoleh ke arah Danish Xavier.

"Aku tak akan biarkan kau terluka lagi. Itu janji aku. Cuma satu perkara yang aku nak minta pada kau..."

Khaira Eryna yang tidak memahami akan maksud kata-kata Danish Xavier hanya mampu berkerut kening.

"Percaya pada aku." Ucap Danish Xavier dengan pandangan yang redup.

"A...apa yang a...awak cuba sampaikan ni? Saya betul-betul tak faham."

Danish Xavier senyum segaris. Sebelah tangannya naik memegang wajah Khaira Eryna sebelum ibu jarinya menyeka lembut air mata gadis itu.

Khaira Eryna tergamam. Terkedu dengan perlakuan Danish Xavier. Serta-merta jantungnya berubah irama. Hilang terus rasa amarah di hatinya. Air liur diteguk kesat.

"Sebelum aku cerita perkara yang sebenar pada kau, ada sesuatu yang kau perlu tahu."

"Ta..tahu? Ten..tentang apa?" Soal Khaira Eryna sedikit gagap. Terasa gugup berhadapan dengan Danish Xavier saat ini. Namun, riak wajahnya cuba dikawal.

"Aku nak buat satu pengakuan. Aku tak minta kau terima dan aku tak paksa untuk kau terima. Tapi sekurang-kurangnya hati aku akan rasa lega. So....."

Danish Xavier menghela nafasnya dalam. Tangannya kembali menggenggam kedua-dua tangan Khaira Eryna sambil menenangkan gelora di hatinya.

Khaira Eryna yang melihat tingkah Danish Xavier semakin tertanya-tanya tentang apa yang ingin disampaikan oleh lelaki itu. Dia tidak langsung menolak saat tangannya berada dalam genggaman Danish Xavier. Sebaliknya hanya membiarkan sahaja perlakuan Danish Xavier padanya. Entah mengapa dia turut sama rasa berdebar.

"Aku hilang arah bila kau hilang. Aku hilang fokus. Siang malam aku risau pasal kau. Aku tak boleh nak tidur lena. Tak ada selera makan. Dah lama aku tak rasa semua ni..."

Danish Xavier diam seketika. Seakan mencari nafas. Khaira Eryna masih setia mendengar. Menanti biacara Danish Xavier seterusnya.

"Aku mengaku mungkin aku lelaki yang bodoh. Sebab aku selalu menepis perasaan yang datang. Terutama bila aku sedang berdepan dengan kau. Jantung aku akan berdebar-debar. Aku akan cemburu bila nampak kau dengan lelaki lain. Aku suka cari pasal dengan kau. Tapi bukan niat aku nak sakiti kau. Tapi sebaliknya....aku nak tarik perhatian kau. Aku nak kau tahu aku sentiasa ada untuk kau. Khaira...jujur aku cakap yang aku dah lama sukakan kau. Aku terlalu sayangkan kau. Aku nak kau jadi peneman aku sampai bila-bila."

Khaira Eryna terpempan. Lidahnya kelu. Siapa sangka lelaki yang selalu menyakiti hatinya itu mempunyai perasaan padanya. Khaira Eryna binggung untuk membalas. Tidak pasti mahu bersorak gembira, atau menangis. Kerana akhirnya dia tahu lelaki yang berada di hadapannya ini juga mencintainya sama seperti dirinya juga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience