"Khaira, awak sedar tak apa yang awak sedang buat ni?" Soalan yang sama masih meniti di bibir Fayyadh. Dia terduduk sambil mengurut pelipis. Siapa sangka ini yang akan dia dengari dari mulut gadis kesayangannya itu.
"Saya sedar dan masih waras lagi, Fayyadh. Saya harap sangat supaya awak faham saya. Saya rasa ini sahaja jalan terbaik untuk kita berdua. Lagipun awak sendiri pernah cakap yang awak tak nak kita bina kehidupan kerana terpaksa. Jadi saya tak nak terus menipu awak, Fayyadh. Maafkan saya... Saya memang tak boleh teruskan rancangan kita untuk hidup bersama." Lirih Khaira Eryna lalu menekur memandang tanah yang berumput.
"Tapi kenapa baru sekarang? Awak tahukan lagi seminggu je majlis kita. Apa yang saya nak beritahu family saya pasal hal ni? Tak boleh ke kalau kita teruskan dahulu pertunangan kita ni? Lagipun dah banyak kali awak minta tangguh, Khaira. At the end, awak minta batalkan pula. Awak tahu tak apa yang awak buat ni boleh memalukan keluarga kita berdua. Awak sanggup ke lukakan hati ibu awak? Dia nak sangat tengok kita bersatu, Khaira." Fayyadh mula mengambil langkah untuk memujuk. Sukar untuk dia menerima keinginan Khaira Eryna yang satu ini.
"Saya tahu. Saya dah habis fikir pasal semua tu. Tak apa kalau awak tak boleh nak beritahu hal ni kepada keluarga awak. Saya boleh je jumpa dia orang dan terangkan semuanya. Pasal ibu saya pula awak tak perlu risau. Saya yakin ibu akan faham." Kali ini Khaira Eryna tetap dengan keputusannya walaupun hatinya kadang-kadang berbolak-balik.
Fayyadh mengeluh kasar. Kelopak matanya dipejam buat seketika. Cuba menghadam perkara yang sedang berlaku saat ini. Selesai beberapa detik, matanya dibuka kembali. Lalu wajah mendung Khaira Eryna ditatap redup.
"Awak betul-betul dah nekad ke, Khaira?" Soal Fayyadh inginkan kepastian. Alangkah baiknya jika gadis itu menarik semula keputusannya walaupun Fayyadh sedar perkara itu tidak akan mungkin berlaku.
Perlahan-lahan Khaira Eryna angguk kepala.
"Tapi... Kenapa awak perlu sampai bawa diri jauh dari sini? Jauh daripada keluarga awak. Jauh daripada saya juga. Kenapa tiba-tiba? Kita masih boleh berkawankan? Atau awak takut family saya marahkan awak?" Duga Fayyadh.
Pantas Khaira Eryna menggeleng kepala.
"Tak. Bukan itu yang membuatkan saya ambil keputusan untuk pergi dari sini. Saya cuma perlukan masa untuk diri saya. Saya nak pulihkan semangat saya. Hati saya. Saya nak tenangkan diri saya. Saya dah cuba untuk terima awak dalam hidup saya. Saya cuba reda. Tapi semakin tiba masa, hati saya semakin menolak. Saya tak nak menyesal di kemudian hari. Sebab tu saya rasa ini yang terbaik. Saya harap sangat awak faham. Walaupun kita jauh, tapi kita masih boleh lagi berhubungkan? Sekarangkan zaman semakin moden. Jauh beribu batu pun akan terasa dekat juga." Khaira Eryna cuba mengukir senyuman. Terlalu banyak yang dia pendamkan. Perkara yang tidak mungkin dia akan kongsi bersama lelaki di hadapannya itu.
"Saya tahu saya tak boleh nak minta awak ubah keputusan yang awak buat. Saya harap keputusan awak ni akan menenangkan hati awak. Saya faham kalau sampai sekarang hati awak masih bukan untuk saya. Saya terima. Pasal keluarga saya, awak tak perlu risau. Saya yakin mereka faham. Saya akan buat mereka faham. Saya cuma harap awak akan sentiasa berhubung dengan saya. Tak kira apa pun yang berlaku, saya akan sentiasa ada untuk awak, Khaira. Awak boleh minta apa sahaja pertolongan daripada saya. Kita tetap akan jadi kawan dan awak sendiri tahu sampai bila-bila saya akan sayangkan awak." Fayyadh akhirnya mengalah. Dia rela melepaskan andai itu yang dapat membahagiakan Khaira Eryna. Dia pasrah.
"Terima kasih Fayyadh sebab faham saya dan terima keputusan saya. Sekali lagi saya minta maaf. Kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu. Saya doakan awak akan bertemu jodoh dengan perempuan yang lebih baik daripada saya. Saya doakan kebahagiaan awak, Fayyadh."
"Baiklah. Thanks, Khaira. Awak pun jaga diri. By the way, bila awak akan bertolak ke sana?"
"Dalam masa terdekat ni. Nanti bila saya nak bertolak saya akan inform awak. Fayyadh, terima kasih dan maaf untuk segala-galanya. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."
"Take care, Khaira. Waalaikumsalam." Fayyadh sekadar menyoroti langkah Khaira Eryna dengan ekor matanya hingga hilang dari pandangan. Sekali lagi dia mengeluh kasar. Sedih? Memang dia sedih. Manakan tidak, gadis yang diidamkannya selama ini akhirnya pergi meninggalkan dirinya. Namun dia perlu terima kerana dia bukan seorang lelaki yang memaksa mahupun pentingkan diri. Dia yakin pasti ada hikmah di sebalik yang berlaku ini.
"Apa? Putus? Kau biar betul Khaira? Kau dah hilang akal ke? Wei, majlis kau minggu depan je. Jangan buat gila boleh tak?" Bertalu-talu soalan diaju kepada Khaira Eryna. Khaira Eryna yang mendengar di talian sekadar memekakkan telinga.
"Ya, putus. Aku dah nekad, Min. Aku rasa ni je jalan yang terbaik. Aku tak nak terus memaksa diri. Aku tak nak tipu diri aku. Aku tak nak tipu Fayyadh."
Terdengar keluhan halus di hujung talian.
"Aku faham. Tapi kenapa baru sekarang? Kenapa bukan masa mula-mula ibu kau nak jodohkan kau dengan Fayyadh?" Tanya Jasmin lagi.
Khaira Eryna hanya diam. Dia berjeda seketika. Sedar tiada sebarang respon daripada kawan baiknya itu, Jasmin kembali menyambung bicara.
"Okaylah. Aku malas nak tanya lagi. Cuma aku nak tahu apa yang Fayyadh cakap bila kau minta putus."
"Dia okay. Dia setuju." Pendek tetapi padat. Hanya itu sahaja jawapan yang meniti di bibir Khaira Eryna.
"Takkan macam tu je?" Soal Jasmin tidak puas hati.
"Itu jelah. Habis tu... Takkan dia nak melutut merayu dekat aku pula." Khaira Eryna cuba berseloroh.
"Why not? Barulah ada drama sikit."Giliran Jasmin pula menambah rencah.
Akhirnya mereka berdua sama-sama ketawa.
"Khaira, kali ni aku serius. Ibu kau dah tahu ke pasal ni?" Tanya Jasmin setelah mereka berdua berjeda selepas ketawa sebentar tadi.
"Kalau pasal putus tu... Belum. Kalau pasal aku nak pergi luar negara tu pun belum juga."
Jasmin yang mendengar tercangah. Kepalanya digelengkan beberapa seakan tidak percaya dengan apa yang dia dengari.
"Kejap, aku salah dengar ke? Kau jangan nak melawak boleh tak, Khaira?"
"Aku serius. Ibu tak tahu lagi pasal ni." Balas Khaira Eryna.
"Habis tu bila kau nak beritahu? Kau nak tunggu keluarga Fayyadh datang rumah kau atau kau nak tunggu kau fly nanti baru kau nak ibu kau tahu? Khaira, ni perkara serius. Kau janganlah ambil mudah je. Nanti apa-apa berlaku ibu kau juga yang kena hadap tau. Bukan beramai-ramai. Tapi dia sorang-sorang je nanti. Kau tak kesian ke dengan ibu kau, Khaira?"
Khaira Eryna menghela nafas panjang.
"Aku nak beritahulah... Tapi tunggu masa yang sesuai."
"Masa yang sesuai? Bila? Khaira, please... Aku harap sangat kau beritahu ibu kau cepat. Kalau boleh hari ni juga. Malam ni juga. Dia patut tahu. Kau nak ke dia fikir kau cuba ketepikan dia? Walau apapun, dia tetap ibu kau. Kau kena dulukan dia." Jasmin cuba menasihati sahabatnya itu.
"Ala... Nanti aku beritahulah ibu. Kau jangan risau. Aku harap dia akan faham..."
"Faham? Beritahu? Aira ada sorok something ke daripada ibu?" Tiba-tiba terdengar suara Sofea yang muncul di hadapan pintu bilik Khaira Eryna. Khaira Eryna yang terkejut dengan kehadiran ibunya pantas terdiam.
"Aira? Ibu tanya ni?" Soal Sofea lagi tatkala melihat tiada sebarang respon daripada anaknya itu.
Khaira Eryna memusingkan tubuh lalu menoleh ke arah ibunya. Pantas talian bersama Jasmin dimatikan.
"Er... Ibu. Bila ibu balik? Aira tak perasan." Ujar Khaira Eryna dengan perasaan yang sedikit gugup.
"Ibu baru je balik. Kebetulan ibu nampak pintu bilik Aira tak tutup rapat. Itu yang ibu masuk nak tengok Aira. Tapi tak sangka pula ada benda lain yang ibu dengar. Sekarang ni ibu nak Aira jujur dengan ibu. Apa yang Aira sorokkan daripada ibu? Ibu nak tahu." Tegas nada Sofea mengeluarkan pertanyaannya. Dia tidak mahu Khaira Eryna terus-menerus berahsia dengannya.
Khaira Eryna tidak terus menjawab. Dia diam sambil menunduk bermain-main dengan jari-jemarinya. Akalnya sedang bekerja menyusun ayat yang sesuai untuk disampaikan kepada ibunya itu.
Sofea menarik nafas panjang saat melihat Khaira Eryna yang masih berdiam diri. Dia pantas mengatur langkah mendekati anaknya. Lalu punggung dilabuhkan di birai katil bersebelahan dengan Khaira Eryna. Bahu anaknya disentuh lembut sebelum hujung jari kirinya mengangkat dagu Khaira Eryna agar wajah anaknya itu dapat ditatap daripada terus menunduk.
"Ibu tahu ada perkara yang Aira sembunyikan daripada ibu. Sejak ibu buat keputusan untuk satukan Aira dan Fayyadh, ibu tengok Aira banyak berubah. Aira macam cuba jauhkan diri daripada ibu. Aira sibukkan diri. Aira tak nak berbual-bual dengan ibu macam dulu. Ibu perasan semua tu. Tapi setiap kali ibu tanya, Aira akan jawab Aira okay. Ibu tahu Aira tak okay. Kalau tidak, masakan Aira minta ibu tangguhkan majlis pertunangan Aira tu sampai dua kali. Tapi ibu tetap ikut permintaan Aira. Untuk kali ni, boleh Aira jujur dengan ibu? Apa yang Aira pendam dan sorokkan daripada ibu? Ibu nak tahu. Kalau Aira takut Aira akan kecilkan hati ibu atau lukakan hati ibu, Aira anggaplah yang sekarang ni depan Aira bukan ibu. Tapi kawan baik Aira. Boleh?" Sofea cuba memancing agar Khaira Eryna mahu meluahkan segala-galanya padanya malam ini. Dia perlu tahu agar hubungan mereka berdua dapat kembali akrab seperti dahulu.
Tanpa sedar, air mata Khaira Eryna mengalir laju di pipinya. Sofea cemas. Pantas tubuh kecil Khaira Eryna ditarik dalam pelukan bagi menenangkannya.
"Kenapa ni? Aira ada masalah ke? Cuba beritahu ibu. Ibu sentiasa ada untuk Aira, sayang. Ibu akan cuba faham anak ibu. Aira tenang... Lepas tu bila dah tenang, Aira cerita semuanya pada ibu, ya?" Pujuk Sofea sambil tangannya menggosok lembut bahu Khaira Eryna.
Setelah sedikit tenang, Khaira Eryna menjarakkan sedikit tubuhnya daripada Sofea. Air matanya diseka. Wajah Sofea ditatap redup. Lambat-lambat Khaira Eryna mula menceritakan segala-galanya kepada Sofea. Termasuklah tentang kisah hubungannya dengan Danish Xavier.
Sofea agak terkejut saat mendengar bicara Khaira Eryna. Dia langsung tidak menyangka hati anaknya terluka kerana tindakannya. Sofea menyesal. Namun terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sekarang ini Khaira Eryna yang menderita kerana ingin melihat dia bahagia. Sofea tergemap sendiri. Buntu untuk meluahkan kata-kata.
"Ibu, Aira minta maaf. Aira dah kecewakan ibu. Aira buat keputusan tanpa berbincang dengan ibu. Aira tak jujur dengan ibu. Tapi percayalah, Aira sayang sangat dengan ibu. Aira tak nak ibu sedih sebab Aira. Tapi Aira tak mampu nak terus menipu diri sendiri. Sebab tu Aira ambil keputusan untuk pergi ke luar negara buat sementara waktu. Please ibu...Izinkan Aira pergi. Aira rasa ini yang terbaik buat semua orang." Luah Khaira Eryna sambil menangis.
Sofea tersenyum kelat. Wajah anaknya disentuh lembut. Perlahan-lahan air matanya turut mengalir.
"Tak, anak ibu tak salah. Ibu yang salah. Sebab ibu Danish buat keputusan tinggalkan Aira. Sebab ibu hati Aira terluka. Sebab ibu juga anak ibu nak tinggalkan ibu. Aira, ibu minta maaf, nak. Ibu sayang Aira. Ibu tak marahkan Aira. Kalau Aira nak ibu boleh jumpa dengan Danish. Ibu minta dia balik semula dengan Aira."
"Jangan,bu. Dia dah bahagia sekarang. Aira tak nak jadi punca dia putus tunang. Lagipun majlis dia tak lama je lagi. Aira reda bu. Mungkin betul dia bukan jodoh Aira. Cuma Aira minta ibu restu Aira. Doakan Aira sentiasa selamat dan bahagia ya, bu."
Sofea mengangguk laju lalu tubuh Khaira Eryna kembali ditarik dalam pelukannya.
"Restu ibu sentiasa ada untuk Aira. Ibu sentiasa doakan anak ibu bahagia. Dah jangan sedih-sedih. Pasal keluarga Fayyadh nanti pandailah ibu settlekan. Yang penting anak ibu happy."
Pelukan dileraikan. Sofea menyeka air mata Khaira Eryna. Dahi Khaira Eryna dikucup seketika sebelum dia menjarakkan tubuhnya.
"Aira cadang nak pergi bila? Biar ibu uruskan semuanya. Lagipun ibu ada kenalan dekat sana. Jadi ibu tak adalah risau sangat dekat sini nanti. Yang penting Aira kena selalu contact ibu."
Khaira Eryna senyum segaris.
"Aira cadang nak bertolak sehari sebelum majlis Danish. Nanti ibu sampaikan salam Aira pada mommy dan daddy. Minta maaf sebab Aira tak dapat hadir majlis anak dia orang."
"Kenapa awal sangat? Tak nak tunggu majlis dia ke?"
Khaira Eryna pantas menggeleng kepala.
"Tak apa. Ibu faham. Ibu yakin mommy dan daddy Aira pun faham. Dah lewat ni. Aira tidur dulu. Esok kita uruskan pasal kolej Aira dan yang lain. Masa tak banyak lagi. Takut tak sempat."
"Baik ibu. Terima kasih ibu sebab faham. Aira sayang ibu."
"Ibu pun sayang sangat anak ibu ni. Selamat malam."
"Selamat malam, bu."
Sofea melangkah keluar dari bilik Khaira Eryna. Daun pintu ditutup rapat sebelum dia membawa diri ke arah bilik tidurnya.
Share this novel