Bab 14

Drama Series 24421

"Khaira!"

Khaira Eryna yang baru sahaja menapak keluar dari kereta menoleh ke arah suara yang menyeru namanya. Melihat susuk tubuh gadis yang berdiri di hadapan pangkin rumah membuatkan bibirnya menguntum senyuman lebar. Pantas kakinya diayun laju ke arah gadis itu.

"Jasmin!"

Tubir matanya terasa hangat saat melihat sahabat baiknya kini berada di hadapan mata. Lalu tubuh Jasmin didakap erat. Jasmin membalas pelukan Khaira Eryna. Melepaskan rindu setelah beberapa bulan tidak bersua. Mereka yang ada di situ sekadar memerhati.

Pelukan dileraikan tatkala menyedari perlakuan mereka diperhatikan. Air mata mereka seka sebelum beralih pandangan ke arah mereka yang berada di pangkin. Khaira Eryna pantas menyalami kekura tangan Zakri dan Atiqah tatkala melihat ibu bapa Jasmin turut berada di situ.

"Khaira apa khabar? Lama kita tak jumpakan? Semakin cantik auntie tengok Khaira sekarang ni. Dah jauh beza daripada Khaira yang dulu."

"Yalah mama...Khaira sekarang hidup dia lebih baik daripada yang dulu. Maknanya uncle Noah dan keluarga dia jaga kawan Min ni dengan baik. Betul tak, Khaira?"

Khaira Eryna mengangguk kecil sambil tersenyum nipis.

"Alhamdulillah...Khaira beruntung dapat keluarga angkat yang baik. Lega uncle dan auntie bila nampak Khaira cantik dan sihat macam ni. Kalau tidak, auntie kamu asyik fikir je pasal Khaira." Celah Zakri yang duduk di sisi Noah.

"Mm....mommy, daddy, uncle, auntie, boleh tak Khaira nak bawa Jasmin berbual sekejap dekat serambi rumah sebelum kita gerak balik?"

"Boleh, sayang. Pergilah. Nanti bila dah nak gerak, mommy panggil."

"Okay, mommy."

Tanpa menunggu lama, Khaira Eryna terus menarik tangan Jasmin mengekori langkahnya. Lupa seketika dua orang lelaki yang tidak lepas memandang mereka berdua sejak tadi.

"Bang, kau tengok Khaira tu. Dah jumpa bff, sampaikan kita ni langsung dia tak kenalkan. Cun juga kawan Khaira tu. Okay juga dapat berkenalan dengan...siapa nama kawan Khaira tu tadi?"

Danish Xavier sekadar mengangkat bahu tanda tidak tahu. Malah langsung tidak mahu ambil peduli tentang gadis tersebut. Kerana di matanya, hanya Khaira Eryna sahaja yang mampu menarik perhatiannya.

Darwish Xayden mengeluh kecil. Kalau pasal perempuan, abangnya ini memang langsung tidak hirau. Buang 'karen' sahaja kalau bercakap dengan abangnya itu.

"Ish, kau ni! Takkan kau tak dengar nama budak perempuan itu tadi? Tak boleh harap lah kau ni bang... Eh, bang."

Bahu Danish Xavier ditepuk. Cuba menarik perhatian Danish Xavier.

"Apa? Kau kalau bercakap boleh tak tangan tu duduk diam. Kau cakap je. Aku boleh dengar." Danish Xavier merengus kecil.

Pantas tangannya diturunkan dari bahu Danish Xavier.

"Kau rasakan okay tak kalau kau dengan Khaira, aku pula dengan kawan Khaira? Nampak sama cantik sama padan, kan?"

Danish Xavier langsung tidak beriak. Malah pertanyaan adiknya itu dibiarkan sepi tanpa jawapan. Dengan kedua tangannya masih di dalam kocek seluar, kakinya diatur mendekati ibu bapanya yang leka bersembang dengan kedua orang tua Jasmin. Melihat tingkah Danish Xavier itu, Darwish Xayden turut sama mengekori langkah abangnya.

"Eh, Khaira. Kalau aku nak tanya sikit, boleh?"

Khaira Eryna menoleh ke arah Jasmin yang mengambil tempat di sisinya.

"Tanyalah. Sebelum ni kau tak pernah minta izin pun nak cakap apa-apa dengan aku. Kali ni tiba-tiba je. Kau nak tanya pasal apa?"

Jasmin tersengih kecil. Rambutnya yang berterbangan dilurut lembut. Lalu diselitkan di belakang telinga.

"Er...aku ada perasan dua orang lelaki dekat pangkin tadi. Dia orang tu siapa? Hensem. Cuma yang seorang tu nampak macam dingin. Yang seorang tu okay. Senyum je. Aku suka."

"Apa? Kau suka dekat siapa? Kau baru je jumpa dah jatuh suka?" Entah mengapa terbit rasa cemburu andai Jasmin mengaku jika dia suka pada Danish Xavier. Dia cuba menidakkan perasaan yang hadir. Tetapi rasa cemburunya agak sukar dikawal.

"Tak adalah suka sangat. Aku cuma tertarik hati je. Yalah, dia orang tu semua ada rupa. Normallah perempuan macam aku ni boleh cair tengok muka dia orang. Tapi aku jujur, aku minat gila dengan yang suka senyum tu. Yang dingin tu memanglah hensem, tapi muka garang. Mm...siapa nama lelaki yang murah dengan senyuman tu? Kau tak kenalkan pun aku dengan dia."

"La...aku ingat kau dah kenal tadi. Yalah, bila aku sampai aku tengok kau dah dekat pangkin dengan dia orang semua. Sebab tu aku tak kenalkan."

"Mana ada. Kita orang pun baru je sampai. Itu pun uncle Noah yang call papa aku beritahu yang kau orang dekat sini. So, siapa lelaki tadi tu?"

"Ish, kau ni! Tak sabar betul. Pantang nampak lelaki hensem sikit. Mulalah menggeletis."

"Mana ada aku menggeletis. Yang menggeletis tu kawan lama kau si Edora tu. Bukannya aku. Tak apalah kalau kau tak nak kenalkan. Aku tahulah aku ni siapa..." Nada Jasmin seakan merajuk. Dia menarik muncung.

"Ala...la...la...merajuk pula dia. Aku bergurau jelah. Sejak bila kawan baik aku ni pandai sensitif? Bukan selalu kau kebal ke?"

"Sejak kawan aku dah tak ada dengan aku. Puas?" Jasmin masih dengan rajuknya.

Bahu Jasmin dipaut lembut sebelum kepalanya dibawa bersandar di bahu sahabatnya itu.

"Min...aku rindu tau dengan kau. Janganlah merajuk dengan aku. Kejap lagi aku dah nak balik. Tak tahu bila lagi kita akan jumpa." Nada Khaira Eryna berubah sayu.

Jasmin mengeluh kecil. Tubuh Khaira Eryna dipaut erat.

"Okay, aku dah tak merajuk lagi. Kau janganlah buat suara sedih kau tu. Nanti aku yang menangis."

"Yalah...tak maulah sedih-sedih. Kau nak tahu tak nama abang-abang angkat aku tu?"

Jasmin meleraikan pautan tangannya. Tubuhnya dipusing menghadap ke arah Khaira Eryna. Bersinar matanya menanti bicara Khaira Eryna.

"Abang angkat kau rupanya? Patutlah hensem. Darah kacukan. Cepatlah beritahu aku siapa nama dia orang?"

"Okay, yang kau kata murah dengan senyuman tu nama dia abang Darwish. Tapi dia tak adalah abang sangat pun. Umur dia sama dengan kita. Yang dingin beku tu abang Danish. Dia memang macam tu. Lagi-lagi dengan perempuan yang dia tak kenal. Dia lain sikit. So, dah puas?"

"Ooh.... Darwish...."

"Amboi...sebut nama abang Darwish nampak. Berkenan ke?"

"Berkenan tu tak adalah sangat pun. Suka tu adalah. Dia dah ada girlfriend? Tapi kenapa kau panggil dia 'abang'? Padahal umur dia sebaya dengan kita."

"Entah. Abang Darwish yang suruh aku panggil macam tu. Alasan dia sebab dia tua beberapa bulan daripada aku. So, aku ikut jelah. Eh, dahlah kau ni. Jom kita pergi dekat sana semula. Tapi sebelum tu, ambil ni."

Jasmin berkerut kening. Pandangannya jatuh pada tangan Khaira Eryna.

"Wah, handphone!"

Telefon pintar itu bertukar tangan. Jasmin membelek telefon pintar tersebut.

"Ini telefon keluaran terbaru. Mesti mahal harganya. Untunglah kau, Khaira. Tapi kenapa kau bagi aku?"

"Ala...orang hadiahkan. Aku ambil jelah. Aku nak suruh kau masukkan nombor telefon kau dengan papa dan mama kau sekali. Nombor telefon yang kau tulis dulu dah hilang. Alang-alang dah jumpa ni, aku mintalah."

"Boleh sangat. Kau tunggu kejap. Aku masukkan nombor telefon aku dengan parents aku sekali."

Jasmin mula menyimpan nombor telefonnya dan ibu bapanya di dalam telefon pintar Khaira Eryna.Lalu, nombor telefon Khaira Eryna pula diambil sebelum disimpan di telefonnya. Setelah selesai, telefon pintar itu dikembalikan pada Khaira Eryna semula.

"Jomlah. Nanti lama pula dia orang tunggu. Aku dengar kau tak balik KL. Kau nak pergi bercuti. Betul ke?"

Khaira Eryna hanya mengangguk kecil membalas pertanyaan sahabatnya. Mereka turun dari serambi rumah.Lalu berjalan beriringan menuju ke pangkin semula.

"Kami gerak dulu. Tolong tengok-tengokkan rumah arwah ni. kalau ada apa-apa beritahu saya." Ujar Noah kepada Zakri dan Atiqah.

"Insya-Allah. Hati-hati. Khaira, jaga diri. Nanti senang-senang baliklah ke sini. Rumah ni rumah Khaira. Kampung ni tetap kampung Khaira. Jangan lupakan kami di sini, ya?" Ujar Atiqah.

"Insya-Allah...Khaira takkan pernah lupa kampung Khaira. Tempat Khaira membesar. Terima kasih auntie, uncle sebab sudi jaga rumah ni. Hanya Allah sahaja dapat balas kebaikan uncle sekeluarga. Dari dulu uncle dan auntie selalu bantu Khaira dan arwah baba."

"Khaira, Kami ikhlas. Kami tak harapkan balasan pun. Cukup kalau Khaira sentiasa ingat kami di sini. Ada masa Khaira telefonlah Jasmin. Dia selalu tanya pasal Khaira."

"Baik, auntie. Lagipun Khaira dah ambil nombor telefon Jasmin. Nanti Khaira call. Khaira minta diri dulu."

Tangan Zakri dan Atiqah dicapai sebelum dikucup.

"Min, jaga diri. Nanti kau rajin-rajin call aku juga tau."

"Mestilah. Kata bff. Take care."

Tubuh Khaira Eryna didakap erat.

"Thanks, Min."

Khaira Eryna membalas pelukan Jasmin. Usai meleraikan pelukan, Khaira Eryna terus mengatur langkah masuk ke dalam perut kereta. Tidak lama kemudian, kereta Noah mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah Khaira Eryna. Khaira Eryna melambaikan tangannya sambil matanya tidak lepas menatap rumah usang peninggalan bapanya itu hingga hilang dari pandangan mata.

"Khaira, nanti ada masa kita datang lagi ya?" Pujuk Camilla di sisi Khaira Eryna.

Khaira Eryna senyum segaris.

"Terima kasih daddy, mommy sebab sudi bawa Khaira singgah rumah lama Khaira."

"Sama-sama sayang. Apa kata Khaira berehat. Mesti Khaira penat. Nanti dah sampai ke destinasi kita yang sebenar, mommy kejut."

"Baik, mommy."

Khaira Eryna hanya menurut. Mata yang terasa memberat akhirnya dipejam. Menghilangkan kantuk yang sudah mula menyinggah di pelupuk matanya.

Kereta Noah mula diparkir di hadapan halaman rumah. Rumah kayu yang kelihatan moden tersergam indah di hadapan mata. Siapa sangka rumah ibu kepada cik Moon secantik ini. Ini kali kedua mereka datang bercuti di kampung cik Moon. Kali ini bersama orang baru dalam keluarga mereka, Khaira Eryna.

"Mommy masuklah dulu. Biar Danish kejutkan Khaira." Ujar Danish Xavier saat semua orang sudah keluar dari perut kereta.

"Betul ni? Kalau macam tu cepat sikit. Hari dah malam ni.Mommy masuk dulu."

Danish Xavier hanya mengangguk tanda faham. Melihat ibunya sudah beredar masuk ke dalam rumah, Danish Xavier pantas bergerak ke arah tempat duduk belakang. Pintu kereta dibiarkan terbuka.

"Khaira...Khaira...Bangun. Kita dah sampai ni."

Daniah Xavier cuba mengejutkan Khaira Eryna dengan lembut. Namun, Khaira Eryna langsung tidak berkutik. Bahu Khaira Eryna digoyang lagi.

"Khaira! Bangun!" Nada Danish Xavier naik setakuk.

"Baba...lima minit..." Rengek Khaira Eryna.

Danish Xavier tersungging senyum saat melihat keletah Khaira Eryna itu. Kepalanya digeleng kecil. Tanpa sempat Danish Xavier mengalihkan tangannya pada bahu Khaira Eryna, pantas tangannya dipeluk oleh Khaira Eryna. Membuatkan tubuhnya tertarik rapat dengan gadis itu. Danish Xavier terpegun di tempat duduknya. Kini wajah Khaira Eryna begitu dekat dengannya. Air liurnya diteguk kesat.

"Ala bang...dia penat sangat tu. Kau angkat jelah dia masuk dalam rumah. Khaira tu bukan berat sangat pun." Sela Darwish Xayden yang kebetulan masuk ke dalam perut kereta untuk mengambil barangnya. Danish Xavier sedikit tersentak.

"Aku kena angkat dia? Kau biar betul. Kalau opah nampak nanti macam mana?" Soal Danish Xavier sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Cakap jelah Khaira ni pengsan tak sedarkan diri. Apa susah." Balas Darwish Xayden dengan riak selamba.

Bulat mata Danish Xavier memandang adiknya itu. Alasan yang tidak masuk akal!

"Ala...aku gurau jelah. Tak payah risau. Dia orang semua dekat dapur. Opah pun ada dekat dapur. Cepatlah! Aku jaga line."

Mendengar kata-kata adiknya, Danish Xavier hela nafas lega. Tanpa berlengah, tangan Khaira Eryna yang memautnya dialihkan perlahan-lahan. Setelah itu dia terus keluar dari perut kereta sebelum berjalan ke arah tempat duduk Khaira Eryna. Tubuhnya diturunkan sedikit sebelum menyauk tubuh Khaira Eryna dalam dukungannya. Mencempung tubuh Khaira Eryna masuk ke dalam rumah.

Dengan berhati-hati tubuh Khaira Eryna dibaringkan di atas katil yang telah disiapkan oleh cik Moon sebentar tadi. Nyaris-nyaris perlakuannya dilihat oleh ibu kepada cik Moon yang dipanggil opah itu. Untung sahaja Cik Moon lebih cepat bertindak menawarkan diri mengemas bilik tetamu untuk mereka. Usai memastikan Khaira Eryna selesa dengan kedudukan tidurnya, Danish Xavier pantas keluar dari bilik tersebut. Nafas dihela. Lega...

"Apa perasaan angkat bakal isteri?" Sindir Darwish Xayden yang setia menjadi peneman mereka. Yang sedang bersandar di sebalik dinding bilik. Kedua-dua keningnya dinaik-naikkan.

"Banyaklah kau punya bakal isteri. Jomlah masuk bilik. Aku nak bersihkan diri. Nak mandi. Dah berlengas." Ujar Danish Xavier. Kakinya terus melangkah ke arah biliknya tanpa sempat menunggu balasan daripada Darwish Xayden.

"Ala...malulah tu. Tapi dalam hati suka...Bang, tunggu aku!"

Tidak menunggu lama, Darwish Xayden pantas mengejari langkah abangnya masuk ke dalam bilik mereka.

Share this novel

Zai Zai
2024-07-26 13:47:28 

up lagi

Normala Normala
2024-07-23 15:36:28 

Tq update. Next plzzz..


NovelPlus Premium

The best ads free experience