"Ada apa ni mommy? Tengah bincang pasal apa? Bunyi macam serius je." Sapa Danish Xavier yang kebetulan melewati ruang rehat di villa itu.
Mereka yang berada di situ serta-merta terdiam. Noah dan Camilla saling berpandangan sebelum sama-sama menoleh ke arah Khaira Eryna yang duduk bertentangan dengan mereka. Khaira Eryna pantas memberi isyarat kepada ibu dan bapa angkatnya agar tidak membuka mulut tentang perbincangan mereka itu. Namun belum sempat Camilla mencipta alasan, Darwish Xayden tanpa sengaja membuka cerita.
"Tak ada apalah bang. Saja berbual kosong. Kebetulan Khaira pula minta izin dengan mommy dan daddy nak pergi parti kawan kelas kita orang." Terang Darwish Xayden selamba. Sedikit pun tiada riak gentar di wajahnya.
Berbeza dengan Khaira Eryna yang sudah berkali-kali menelan air liur. Terasa kuat debaran di dada. Lebih-lebih lagi saat pandangannya bertembung dengan tatapan mata helang Danish Xavier.
"Parti? Sejak bila pula Khaira ni pandai nak pergi berparti? So, mommy dan daddy setuju ke?" Soal Danish Xavier dengan roman wajah yang dingin.
"Mommy dan daddy tak kisah. Lagi pun Damia nak buat parti tu untuk hari perpisahan dia orang. Jadi, apa salahnya? Lagipun kesian mommy tengok Khaira ni. Jarang keluar bersosial. Sekali-sekala tak salahkan?"
Danish Xavier mengeluh kasar. Rambutnya diraup ke belakang. Lalu batang tubuhnya disandarkan di dada sofa sebelum wajah diangkat merenung dalam ke arah Khaira Eryna.
"Tapi Danish tak setuju. Mommy dan daddy tahukan parti sosial macam tu tak bagus untuk Khaira? Lagi-lagi parti orang kaya macam keluarga Damia tu. Danish kenal keluarga dia. Parti liar tu dah jadi majlis wajib keluarga dia orang setiap tahun. Danish rasa, daddy pun tahu mengenai keluarga Damia. Keluarga ahli perniagaan yang terkenal. Siapa je yang tak kenal?"
"Maksud Danish, keluarga Dato Sri Albert tu ke?" Tanya Noah inginkan kepastian.
Pantas Danish Xavier angguk kepala.
"No wonderlah Danish tak setuju. Kalau pasal keluarga Dato Sri tu memang semua orang dah tahu. Tapi takkanlah dia orang nak buat majlis macam tu untuk kawan-kawan anak dia? Agak-agaklah Danish."
"Lebih baik kita mengelak dari terjerumuskan, daddy? Danish yakin Khaira tak selesa nanti."
"Tapi Khaira nak pergi. Bolehlah mommy. Masa tu jelah yang Khaira dapat jumpa kawan-kawan Khaira. Khaira nak juga enjoy dengan dia orang semua. Please mommy, daddy." Khaira Eryna pantas bangkit dari duduknya sebelum menapak mendekati Camilla dan Noah. Cuba memujuk agar ibu dan bapa angkatnya bersetuju dengan kemahuannya yang satu itu. Tanpa sedikit pun menghiraukan bantahan daripada Danish Xavier.
Melihat tingkah Khaira Eryna, Danish Xavier merengus marah.
"Khaira, kau tak kenal keluarga Damia tu macam mana. Ada sebab kenapa aku halang kau pergi majlis dia. Cuba kau dengar cakap aku untuk kali ni. Tak boleh ke?"
"Danish, saya minta izin dengan mommy dan daddy. Sikit pun saya tak tanya awak. Kalau mommy dan daddy dah bagi izin, kenapa awak pula yang keras nak menghalang?"
"Kau ni....memang sengaja nak uji kesabaran aku, kan?" Danish Xavier mula rasa tercabar.
Khaira Eryna dengan berani melawan tatapan mata helang Danish Xavier. Hilang sudah rasa gentarnya sebentar tadi. Yang tinggal hanya rasa geram dan sakit hati.
Melihat pertelingkahan yang sudah mula berlaku, Darwish Xayden pantas datang mencelah. Cuba menenangkan keadaan.
"Relax sis, bro. Hal kecil je ni. Janganlah sampai nak bertekak. Macam ni, apa kata mommy dan daddy bagi je Khaira ni pergi." Cadang Darwish Xayden.
Namun, Danish Xavier pantas menghalang.
"Darwish, kau buat apa ni? Ni bukan cara kau nak selesaikan masalah. Kau ni dah menambahkan lagi masalah."
"Nanti dulu. Aku belum habis cakap lagi. Bagi je Khaira ni pergi. Tapi dengan syarat aku akan ikut sekali. Darwish janji Darwish akan tengok-tengokkan Khaira. Abang, takkan kau tak percaya dekat aku? Lagipun Khaira ni dah dewasa. Sampai bila kau atau kita semua nak kongkong dia? Bagi dia peluang bergaul dengan kawan-kawan dia. Aku yakin dia boleh bezakan mana yang baik dan mana yang buruk." Darwish Xayden cuba meyakinkan Danish Xavier.
"Kalau Darwish dah cakap macam tu, mommy setuju. Mommy izinkan Khaira pergi. Betul juga apa yang adik kamu cakap tu. Mommy tahu Danish risaukan keselamatan Khaira, tapi dalam masa yang sama mommy tak nak Khaira rasa terkongkong. Bukannya selalu pun Khaira pergi berhibur dengan kawan-kawan dia. Apa salahnya kalau kita bagi dia peluang kali ni. Betul tak, B?"
Noah yang sejak tadi memerhati pertelingkahan anak-anaknya itu hanya mengangguk setuju. Dia cuba mengambil sudut yang positif. Tidak mahu dikatakan terlalu menyekat kebebasan anak angkatnya itu, maka dia juga terpaksa bersetuju dan menyokong kata-kata isterinya. Kini semua mata beralih ke arah Danish Xavier yang seakan membatukan diri.
"Fine! Kalau ada apa-apa yang berlaku jangan cakap Danish tak bagi amaran, okay? Ikutlah nak buat apa. Danish malas nak masuk campur. Danish nak naik bilik." Ujar Danish Xavier seakan terasa hati dengan keputusan keluarganya itu. Tanpa menunggu lama dia terus bangkit lalu beredar dari ruangan rehat tersebut.
Melihat tingkah anak sulungnya, Camilla mengeluh berat. Wajah Khaira Eryna ditatap dengan senyuman hambar.
"Tak apalah. Mommy dan daddy dah bagi izin. So, Khaira bolehlah pergi esok malam. Pasal abang Danish tu jangan risau. Dia marah sekejap je. Khaira jangan ambil hati."
"Betul tu. Nanti abang Darwish slow talk dengan dia. Khaira jangan fikirkan sangat."
Khaira Eryna hanya tersenyum nipis. Oleh sebab itulah dia tidak mahu Danish Xavier tahu. Kerana dia sudah mengagak Danish Xavier akan berkeras tidak membenarkan dia pergi ke parti Damia. Dalam masa yang sama dia tetap merasa gembira kerana Camilla dan Noah sudah memberi keizinan untuk dia pergi ke rumah rakan sekelasnya itu. Sedikit sebanyak hatinya terasa tenang.
"Thanks daddy, mommy. Kalau macm tu Khaira masuk tidur dulu. Abang Darwish terima kasih juga sebab setuju temankan Khaira pergi rumah Damia esok malam."
"Hal kecil je. Damia pun kawan abang juga. Khaira pergilah berehat. Good night sis."
"Okay, good night semua."
"Good night, sayang."
Usai meminta diri, Khaira Eryna terus mengatur langkah naik ke biliknya.
"Darwish tolong tengok-tengokkan Khaira. Sebenarnya mommy tak sedap hati sebenarnya nak bagi Khaira pergi ke parti tu. Tapi tengok dia macam terlalu mengharap sangat mommy jadi tak sampai hati nak tolak."
"Mommy jangan risau. Darwish akan jaga Khaira. Mm...kalau tak ada apa-apa lagi Darwish pun nak masuk tidur. Selamat malam mommy. Selamat malam daddy."
"Yalah. Lega mommy dengar. Selamat malam." Balas Camilla seraya menghela nafas lega.
Darwish Xayden menapak ke arah biliknya. Namun, langkah kakinya terhenti di hadapan bilik Danish Xavier saat melihat pintu bilik abangnya tidak tertutup rapat. Dia menjengah kepalanya melihat keadaan bilik Danish Xavier. Mencari kelibat abangnya di situ.
Kelihatan pintu gelangsar di bilik abangnya terbuka luas. Tirai yang menutupi pintu gelangsar turut beralun ditiup angin malam. Darwish Xayden menapak masuk ke dalam bilik abangnya. Mendekati Danish Xavier yang sedang berdiri di balkoni bilik. Bahu Danish Xavier disentuh lembut. Tersentak dengan sentuhan Darwish Xayden, Danish Xavier menoleh.
"Jauh termenung. Abang tengah fikir apa? Pasal Khaira ke?" Soal Darwish Xayden dengan senyuman nipis di bibir.
Danish Xavier memandang semula menghadap ke hadapan semula. Terdengar keluhan kecil meniti di bibir lelaki itu.
Darwish Xayden berdiri di sisi Danish Xavier sambil merenung ke dada langit yang hitam.
"Aku tahu kau risaukan dia. Tapi kau tak boleh nak kongkong dia. Biar dia rasa kesakitan tu macam mana baru dia akan belajar dari kesilapan sendiri. Itu pilihan dia, so kita kena hormat kehendak dia. Kita cuma boleh pantau dia. Selebihnya kita berserah kepada Allah. Minta Allah lindungi semua orang yang kita sayang. Insya-Allah semuanya akan selamat. So, don't worry about it."
"Aku tahu. Tapi hati aku rasa tak sedap bila dia cakap dia nak pergi ke parti tu. Kau tak kenal keluarga Damia tu macam mana. Hidup dia orang terlalu bebas. Aku takut Khaira tak boleh nak sesuaikan diri dekat sana nanti. Kau sendiri yang cakap Damia dengan geng dia tak sebulu dengan Khaira, kan? Kenapa pula tiba-tiba dia baik hati nak ajak Khaira ke sana? Kau tak rasa pelik ke?"
Darwish Xayden tersungging senyum. Bahu abangnya ditepuk beberapa kali.
"Relax. Aku akan jaga Khaira. Aku akan pastikan tak ada sesiapa yang sakiti dia. Tu janji aku. Lagipun aku kenalah jaga bakal kakak ipar aku tu baik-baik. Takkanlah aku nak biarkan Khaira macam tu je." Sempat Darwish Xayden mengenakan Danish Xavier.
"Banyaklah kau punya kakak ipar. Dah, jangan nak mengarut. Dah jauh malam ni. Baik kau masuk tidur. Esok malam aku nak kau pastikan Khaira sentiasa dalam pemerhatian kau. Jangan sesekali terlepas pandang. Apa-apa kau beritahu aku cepat. Aku bukannya apa, tak nak mommy dan daddy risaukan Khaira. Kau pun tahu macam mana daddy dan mommy sayangkan anak angkat dia orang tu."
"Aku tahulah. Kau jangan risau. Bang, kau pun kena rehat juga. Tak payah nak beratkan fikiran kau yang dah sedia berat tu. Insya-Allah tak ada apa-apa yang akan berlaku. Fikir positif. Mungkin Damia tu betul-betul nak berbaik dengan Khaira? Mana kita tahukan?"
Danish Xavier langsung tidak mengangguk. Menggeleng pula jauh sekali. Seakan tidak dapat menerima pandangan adiknya itu. Namun, jauh di sudut hatinya dia tetap merasa tidak tenang dengan keputusan ibu bapanya memberi izin kepada Khaira Eryna untuk pergi ke majlis rumah Damia. Dalam diam, dia seakan sedang merancang sesuatu.
"Aku yakin kau boleh jaga Khaira. Pergilah masuk tidur. Aku pun dah mengantuk ni."
Akur dengan arahan Danish Xavier, Darwish Xayden terus sahaja meminta diri keluar dari bilik abangnya. Pintu bilik Danish Xavier ditutup rapat. Lalu, dia terus berlalu masuk ke dalam bilik tidurnya meninggalkan Danish Xavier yang masih termenung sendiri di balkoni bilik.
Share this novel