Bab 43

Drama Series 43782

"Bang, apa kes ni?" Serbu Darwish Xayden saat melihat kelibat abangnya berada di lobi hotel.

Dengan riak selamba, Danish Xavier berlalu tanpa sebarang kata. Seakan pertanyaan adiknya tidak penting untuk dijawab.

Darwish Xayden merengus geram. Langkahnya laju menyaingi langkah abangnya. Lantas menghalang perjalanan Danish Xavier. Kedua tangannya diangkat memberi isyarat supaya abangnya berhenti.

"Kau nak apa ni? Tepilah, aku nak masuk cafe!" Laju sahaja tangan Darwish Xayden ditepis oleh Danish Xavier. Dia mahu menyambung langkah. Namun, dengan pantas ditahan oleh adiknya. Danish Xavier menaikkan sebelah keningnya.

"Kau tak jawab lagi soalan aku, bang. We need to talk. Kau tak boleh biarkan masalah kau macam tu je." Jelas Darwish Xayden tidak puas hati.

"Masalah? Aku rasa aku tak ada masalah. Lebih-lebih lagi dengan kau. Rasanya tak ada apa yang perlu kita bincangkan." Bidas Danish Xavier.

"Memang kau tak ada masalah dengan aku. Tapi dengan Khaira. Kau ingat aku tak tahu ke yang kau berdua ni sebenarnya ada hubungan." Duga Darwish Xayden. Ingin melihat riaksi abangnya ketika itu.

Malangnya, riak wajah Danish Xavier tetap sama. Beku dan dingin. Sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata Darwish Xayden sebentar tadi.

"Kau merapu apa ni? Khaira dengan aku memanglah ada hubungan. Hubungan yang sama macam kau dan dia."

"Bukan itu maksud aku. Kau sebenarnya tahu apa maksud akukan? Kau sahaja pura-pura tak faham. Okaylah. Kalau kau tak nak mengaku, aku tak kisah. Tapi kalau betul kau dengan Khaira tak ada hubungan istimewa, kenapa Khaira tiba-tiba menangis macam tu? Kau dah buat apa pada dia, bang?"

"Aku tak tahu. Mungkin dia letih sangat atau dia tak sihat. Yang kau nak tuduh aku kenapa?"

"Sebab dia jadi macam tu lepas kau bawa dia pergi. Kau cakap apa pada dia sampai dia menangis teruk macam tu? Ke kau nak aku beritahu mommy, daddy dan auntie Sofea pasal perkara ni?" Ugut Darwish Xayden.

"Sejak bila kau pandai mengadu domba ni?"

Darwish Xayden mengeluh halus.

"Aku bukan nak sibuk pasal kau orang berdua. Tapi aku tak nak tengok kau kecewa macam dulu. Kau nak ke pisang berbuah dua kali? Khaira tu bukan macam dia, bang. Khaira tu setia. Aku yakin dia sayang kau sepenuh hati. Aku boleh nampak kekecewaan dan kesedihan dalam anak mata dia. Kau jangan biarkan kemarahan kau kuasai diri kau, bang. Kau juga yang akan menyesal nanti."

"Dahlah, kau jangan nak mengarut. Apa yang berlaku tak ada kaitan dengan masa lalu aku."

"Kau masih nak menidakkan hubungan kau orang? Kau mungkin boleh sembunyikan daripada orang lain. Tapi bukan dengan adik kandung kau. Aku tahu semuanya walaupun kau berdua cuba rahsiakan daripada aku, bang. Bukan maksud aku nak campur tangan, tapi aku sayangkan Khaira macam adik aku. Aku tak sanggup tengok dia bersedih macam tu. Kau pujuklah dia. Jangan biarkan hubungan kau orang terus rosak sebab orang lain. Kepercayaan tu penting, bang. Ingat tu." Luah Darwish Xayden. Bahu Danish Xavier ditepuk lembut sebelum dia berlalu masuk ke dalam cafe.

Danish Xavier terpasung di hadapan cafe. Kata-kata adiknya itu sedikit sebanyak membuatkan dia menyedari sesuatu. Tanpa berlengah dia memusingkan tubuh sebelum membawa langkah ke arah lif.

Penat menekan loceng, tangan diangkat mengetuk pintu. Bertalu-talu ketukan di pintu namun gerangan yang dinanti masih tidak menampakkan diri. Danish Xavier menghempas nafas berat. Telefon pintar dikeluarkan dari kocek seluar sebelum jari-jemarinya ligat menekan nombor telefon seseorang. Malangnya, panggilannya langsung tidak berjawab. Danish Xavier semakin gusar. Fikirannya mula mencipta bayangan yang bukan-bukan. Tanpa berlengah, pintu bilik kembali diketuk kuat sambil mulutnya tidak berhenti-henti menyeru nama kekasih hatinya.

"Khaira! Khaira! Please open the door! I'm sorry." Kuat lontaran suara Danish Xavier memanggil Khaira Eryna hinggakan tidak peduli akan penghuni-penghuni lain yang lalu-lalang di situ.

"Sayang... I'm really sorry. Aku tak sepatutnya tuduh kau macam tu. Bukalah pintu ni. Kita perlu berbincang." Rayu Danish Xavier.

Tangan Danish Xavier masih tidak berhenti mengetuk. Seminit, dua minit, masih tiada sebarang balasan. Akhirnya, Danish Xavier mengalah. Dia mula menjarakkan diri dari permukaan pintu. Memusingkan tubuh sebelum berura-ura untuk berlalu pergi. Namun, baru setapak dia melangkah, terdengar bunyi daun pintu dibuka dari dalam. Cepat-cepat Danish Xavier menoleh. Melihat sahaja wajah si jantung hati, Danish Xavier menghela nafas lega. Dia kembali menapak ke arah pintu, mendapatkan Khaira Eryna yang sedang memerhatinya di situ.

"Danish? Awak buat apa dekat sini?" Soal Khaira Eryna dengan kening yang berkerut. Wajahnya kelihatan sedikit pucat dan matanya juga kelihatan sembab. Mungkin kerana terlalu banyak menangis.

"Khaira, are you okay? Kenapa aku call, mesej, panggil kau dari tadi kau tak jawab? Aku tahu aku salah. Aku minta maaf. Tapi tolong jangan buat macam tadi. Aku risau sangat." Ujar Danish Xavier bertalu-talu. Riak risau dan panik jelas kelihatan di raut wajahnya.

"Saya terlelap. Mungkin saya banyak menangis tadi sampai tak sedar yang saya dah tertidur. Sorry, kalau saya dah buat awak risau." Lirih Khaira Eryna.

"No, no, no. Bukan salah kau. Aku yang salah. Aku minta maaf. Lupakan semua yang aku cakap tadi. Aku tahu aku tak sepatutnya tuduh kau macam tu. Sepatutnya aku lebih percaya kau dan bukan menuduh kau ada affair dengan lelaki lain. Khaira, aku betul-betul minta maaf. Please... Jangan tinggalkan aku." Rayu Danish Xavier sambil memegang kedua-dua bahu Khaira Eryna.

Khaira Eryna yang terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut Danish Xavier seakan terkedu. Dia hanya mampu menganggukkan kepalanya tanpa sebarang bicara. Melihat balasan gadis itu, Danish Xavier menarik nafas lega. Tangannya yang memegang bahu Khaira Eryna perlahan-lahan turun memaut jari-jemari gadis itu. Menatap wajah Khaira Eryna tanpa lepas.

"Betul ke kau dah maafkan aku?"

Khaira Eryna dengan senyuman nipis hanya mengangguk kecil. Tidak mahu membiarkan masalah mereka terus berpanjangan.

"Baguslah! Alhamdulillah... Thanks, sayang. Aku janji aku tak akan ulangi kesalahan aku lagi. Aku janji." Ujar Danish Xavier sambil mengangkat sebelah tangannya seakan sedang berikrar.

"So, awak dah tak marahkan sayalah?"

"Akukan dah minta maaf pada kau tadi. Maknanya aku dah tak marah. Aku tahu aku terlalu ikutkan perasaan dan terlalu cemburu buta sampai aku tak nampak kesetiaan kau pada aku. Sepatutnya aku lebih percayakan kau."

"Tak apalah kalau awak sedar silap awak. Saya pun nak minta maaf dengan semua salah faham yang berlaku. Saya akan cuba jauhkan diri daripada Fayyadh selepas ni. Saya tak naklah disebabkan orang lain kita berdua bergaduh. Danish, saya sayang awak."

"Aku pun sama. Kau jangan risau. Aku akan cuba faham situasi kau. Aku tahu kau tersepit. Jadi aku tak nak paksa kau buat apa yang kau tak suka. Lagipun budak Fayyadh tu cuma kenalan biasa je. Dia tak boleh nak tandingi aku." Ujar Danish Xavier dengan yakin.

Khaira Eryna mencapai tangan Danish Xavier sambil menatap redup ke dalam anak mata lelaki itu.

"Betul, memang tak ada lelaki lain yang dapat tandingi awak. Sebab hati saya dah pun jadi milik awak. Jadi, tolong jaga hati saya yang mudah rapuh ni. Saya tak sanggup nak berpisah dengan awak. Jangan tinggalkan saya, Danish. Boleh awak janji dengan saya?"

Tanpa sebarang bicara, kedua-dua tangan Danish Xavier menyentuh wajah Khaira Eryna yang kelihatan sedikit pucat. Menatap setiap inci di wajah gadis pujaannya itu.

"Aku janji. Sekarang ni, aku nak kau masuk dalam berehat. Malam nanti aku jemput kau."

Serta-merta Khaira Eryna mengerutkan wajah.

"Kita nak ke mana?"

"Kau lupa ke, family kita ada buat BBQ malam ni?"

"Ooh... Lupa pula. Tapi saya nak cakap apa dengan ibu kalau ibu ajak saya keluar sekali dengan dia?" Soal Khaira Eryna polos.

"La... Itu pun nak aku ajar juga ke sayang?"

"Otak saya ni jadi beku tiba-tiba. Sel-sel tak dapat nak berhubung lepas banyak menangis tadi. Awak beritahu jelah alasan apa yang saya nak bagi nanti."

Danish Xavier melepaskan ketawa kecil. Geli hati dengan alasan si gadis.

"Kau cakap je kau sakit perut ke. Minta ibu pergi dulu. Nanti kau mesej aku bila ibu dah keluar. Boleh?"

Khaira Eryna hanya menganggukkan kepala. Setelah itu, Danish Xavier segera meminta diri untuk pulang ke biliknya. Namun, saat dia memusing tubuh, tangan Khaira Eryna pantas melelar lengannya. Danish Xavier kembali menoleh ke arah gadis itu.

"Er.... Sampai bila kita nak sorok-sorok macam ni? Awak tak rasa ke kita perlu berterus-terang dengan keluarga kita pasal hubungan kita? Saya takut kalau ada apa-apa berlaku nanti. Awak tahukan saya tak boleh hilang awak." Lirih Khaira Eryna sedikit sebak.

Danish Xavier melepaskan keluhan halus. Lalu kembali menghadap Khaira Eryna.

"Aku dah janjikan takkan sesekali tinggalkan kau. Jadi, kau kena percaya aku. Bagi aku masa. Bila aku dah pastikan masa yang sesuai tu dah tiba, aku sendiri akan jumpa ibu kau dan berterus-terang dengan dia pasal kita. Buat masa ni aku nak kau jangan fikirkan sangat pasal ni. Just nikmati masa bahagia kita. Aku sayangkan kau, Khaira. Aku pun tak boleh hidup tanpa kau. Dah, pergi masuk. Aku kena balik bilik. Takut kejap lagi ibu kau balik, dia nampak kita pula nanti. Aku pergi dulu. Jumpa malam ni."

"Okay. Nanti dah sampai bilik jangan lupa mesej saya."

"I will, sayang. See you tonight." Ucap Danish Xavier sebelum kembali semula melangkah pergi meninggalkan perkarangan bilik Khaira Eryna.

Melihat bayangan Danish Xavier sudah menghilang, Khaira Eryna pantas menutup daun pintu. Dengan hati yang berbunga, dia melangkah menuju ke bilik mandi. Harap selepas ini tiada lagi perang dingin antara dia dan Danish Xavier.

Selesai memakai pakaian, Khaira Eryna duduk di hadapan cermin. Sikat diambil merapikan rambut. Saat leka menguruskan rambutnya, kedengaran loceng pintu berbunyi.

"Siapa pula yang datang? Takkan Danish lagi? Kalau ibu, takkanlah pula. Ibukan ada access kad." Soal Khaira Eryna sendiri.

Tidak mahu terus berteka-teki, Khaira Eryna pantas melangkah laju menuju ke arah pintu. Daun pintu dibuka. Saat itu kelihatan seorang lelaki yang tidak kenali berada di hadapannya bersama jambangan bunga di tangan. Khaira Eryna semakin pelik.

"Ya, boleh saya bantu?" Tanya Khaira Eryna.

"Cik Khaira ke?"

"Ya, saya. Ada apa, ya?"

"Ni ada penghantaran bunga untuk cik. Minta cik sign di sini." Ujar lelaki itu.

Khaira Eryna hanya menurut. Dia menyambut jambangan bunga yang dihulurkan padanya. Jambangan bunga mawar itu ditilik seketika.

"Boleh saya tahu, siapa pengirimnya?"

"Maaf cik. Saya tak tahu. Saya hanya ditugaskan untuk menghantar sahaja. Kalau tiada apa-apa lagi, saya gerak dulu."

Khaira Eryna hanya mengangguk kecil. Baru sahaja dia mahu melihat isi kandungan kad yang tertera di jambangan bunga itu, kedengaran suara ibunya menyapa. Pantas kad yang dipegangnya cepat-cepat disorokkan di dalam kocek seluar.

"Eh, ibu. Cepatnya balik? Mommy dan daddy pun dah balik bilik ke?" Soal Khaira Eryna menutup rasa canggung yang hadir.

"Cepat? Ibu rasa dah lama sangat ibu duduk dekat cafe tu. Lagipun ibu nak berehat sekejap. Malam nantikan kita ada BBQ pula. Cantik bunga. Siapa yang bagi?" Tanya Sofea saat melihat jambangan bunga di tangan anak perempuannya.

"Er... Tak pasti pula. Kad pun tak ada. Mungkin peminat misteri kot, ibu." Tebak Khaira Eryna.

"Baru beberapa hari kita dekat sini, dah ada peminat misteri? Boleh tahan juga anak ibu ni. Tapi peliklah." Sofea seakan mengesyaki sesuatu.

Jantung Khaira Eryna mula dihempas debaran. Riak wajah ibunya membuatkan dia rasa tidak senang hati.

"Apa yang pelik, ibu."

"Peliklah, macam mana peminat misteri tu boleh tahu hotel kita? Yang bertambah pelik, sampai nombor bilik pun dia tahu."

"Er... Biasalah ibu. Dah namanya peminat misteri. Semua pasal Aira mesti dia akan tahu. Tak kisahlah. Ibu tak payah fikir sangat pasal peminat misteri tu. Apa kata ibu mandi dan berehat. Ibukan letih seharian berada dekat luar. Nanti malam takut ibu cepat mengantuk pula." Khaira Eryna pantas menukar topik perbualan kerana sejujurnya, dia sendiri tidak pasti siapa penghantar jambangan bunga itu.

Mendengar kata-kata Khaira Eryna, Sofea akur. Dia melangkah masuk ke dalam bilik sebelum mencapai tuala dan bergerak ke bilik mandi. Melihat bayangan ibunya sudah menghilang di dalam bilik mandi, Khaira Eryna pantas menutup pintu dan berjalan ke arah katil. Punggung dilabuhkan di birai katil. Tanpa berlengah, kad kecil yang berada di kocek seluar dikeluarkan.

Membaca coretan di kad kecil itu membuatkan hati Khaira Eryna semakin berbunga riang. Siapa sangka lelaki yang disangka beku dan dingin itu mempunyai sisi yang romantis. Kad itu ditutup, lalu dibawa ke bibirnya. Dia mengucup kad kecil itu buat seketika sebelum menyimpannya di dalam beg tangan. Khaira Eryna melayangkan tubuh di atas katil. Nampaknya hari ini bukanlah hari dukanya. Sebaliknya hari yang amat gembira buat dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience