Bab 44

Drama Series 43782

Mercedes-Benz A-Class berwarna merah berhenti betul-betul di hadapan pintu lobi bangunan XAY Holding yang berdiri megah di tengah kota raya. Beg kertas sederhana besar yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dicapai sebelum kaki melangkah keluar dari perut kereta.

Melihat sahaja susuk tubuh gadis itu tiba di pintu lobi, pengawal keselamatan yang menjaga lobi bangunan syarikat tersebut pantas berlari anak menghampiri si gadis. Tanpa membuang waktu kunci kereta bertukar tangan. Sempat si gadis menghadiahkan senyuman manis pada pengawal keselamatan tersebut sebagai tanda terima kasih.

Khaira Eryna melirik ke arah jam di pergelangan tangan. Melihat sahaja waktu hampir menginjak jam dua belas tengahari, kakinya diayun laju menuju ke pintu lif. Hujung jarinya pantas menekan butang nombor aras yang ingin dituju saat dia sudah berada di dalam perut lif. Lif mula bergerak ke atas. Namun, dadanya seakan berdebar hebat. Semakin hampir ke aras atas, semakin jantungnya berdegup laju. Khaira Eryna menyentuh lembut dadanya. Cuba menenangkan diri tanpa memikirkan perkara yang negatif. Semakin dia cuba bertenang, semakin erat pegangan tangannya pada beg kertas yang dibawa sejak tadi.

Pintu lif terbuka luas saat sampai ke aras dua puluh lapan. Tanpa berlengah, Khaira Eryna mengayun langkah keluar dari perut lif menuju ke arah pejabat COO syarikat tersebut.

"Assalamualaikum, Kak Zila." Sapa Khaira Eryna dengan ramah apabila melihat wanita bertudung itu leka menghadap skrin komputer ribanya.

Wanita yang disapa sebagai Kak Zila itu mengangkat wajah. Dengan senyuman terukir di bibir, salam Khaira Eryna dibalas.

"Cik Khaira rupanya. Cik nak jumpa Encik Danish ke?" Soal Kak Zila dengan ramah.

"A'ah. Nak hantar lunch untuk dia. Dia ada ke kak dekat dalam bilik tu?"

"Ada, tapi sekarang ni dia tengah ada client. Mungkin sekejap lagi dia orang selesailah tu. Apa kata Cik Khaira duduk dulu sementara tunggu dia orang selesai meeting."

"Akak ni tak habis-habis bercik-cik dengan Khaira. Kan Khaira dah beritahu, panggil nama je. Formal sangatlah kak. Okay, Khaira tunggu dekat sini jelah. Boleh? Ganggu akak buat kerja tak?" Tanya Khaira Eryna sebelum melabuhkan duduk di hadapan Kak Zila.

"Maaf, Khaira. Akak tak biasa. Takut nanti boss akak marah pula kalau akak panggil Khaira macam tu je. Khaira duduklah dekat mana Khaira suka. Akak okay je. Lagipun kerja akak tak banyak mana pun. Sementara nak tunggu boss tu selesai meeting, akak buatlah apa yang patut. Lepas tu baru akak pergi lunch." Balas Kak Zila panjang lebar.

"La... Kira akak tak lunch lagi ke?"

Kak Zila hanya menggeleng kecil. Melihat balasan wanita itu, Khaira Eryna pantas mengeluarkan sesuatu dari dalam beg kertas yang berada di atas meja. Lalu dihulur kepada Kak Zila.

"Nah, ni untuk akak!"

Kak Zila yang melihat huluran Khaira Eryna tidak terus menyambut. Malah dia menolak pemberian gadis itu dengan lembut. Bukan dia tidak sudi, tetapi rasa malu menerima pemberian daripada gadis tersebut.

"Eh, tak apa. Kejap lagi akak keluar makan dekat gerai bawah. Susahkan Khaira je. Mesti ni makanan Khairakan? Nanti Khairakan nak makan dengan boss akak. Tak apa, Khaira simpan untuk Khaira." Tolak Kak Zila.

"Tak apa. Khaira memang bawa lebih. In case abang Darwish ada. Tapi tadi masa Khaira on the way datang sini, Khaira dapat mesej mengatakan yang dia dah keluar. Ada temu janji dengan client dekat luar. Kira dah jadi rezeki akaklah. Ambil, Khaira ikhlas." Ujar Khaira Eryna sambil meletakkan bekas makanan itu di hadapan Kak Zila.

Mahu tidak mahu, Kak Zila menerima pemberian Khaira Eryna dengan rasa syukur. Jimat duit poketnya hari ini.

"Terima kasih, Khaira. Semoga Khaira dimurahkan rezeki." Ucap Kak Zila dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

"Er... Kak. Lambat lagi ke dia orang tu?" Soal Khaira Eryna.

"Rasanya dah lama mereka dekat dalam. Tak apa, biar akak interkom Encik Danish dulu. Akak beritahu Khaira ada dekat sini."

Namun, belum sempat hujung jari wanita itu menekan butang interkom, Khaira Eryna pantas melarang.

"Tak apa, kak. Khaira tunggu lagi sepuluh minit. Kalau tak selesai juga, Khaira akan terus masuk bilik dia. Lagipun dia tak tahu Khaira nak datang. Nama pun surprise kak. Kalau akak beritahu dia, dah tak surpriselah."

"Yalah. Ikut Khairalah. Lagipun kalau pasal Khaira, boss akak tu okay je. Silap-silap meeting yang tak habis tu terus dia tangguhkan." Ujar Kak Zila sambil ketawa kecil.

Mendengar balasan Kak Zila, Khaira Eryna turut ketawa sama.

"Dan, you ni kuat sangat bekerja. Apa kata kita pergi makan dulu. Lepas tu kita sambung balik perbincangan kita ni. Lagipun perut I ni dah lapar sangat." Pujuk Tiara dengan suara yang manja.

Mendengar rengekkan wanita di hadapannya, serta-merta jari-jemari Danish Xavier yang menari di papan kekunci terhenti. Sorotan matanya dibawa menatap ke arah Tiara.

" I tak lapar lagi. Kalau you lapar, you pergi makan dulu. Dekat bawah pun ada cafe. You boleh lunch dekat sana. Lagipun I banyak kerja lagi yang perlu disiapkan." Ujar Danish Xavier sebelum menyambung semula tugasnya.

Tiara merengus kecil. Batang belakang tubuhnya dihempas di dada kerusi. Kedua tangan dibawa memeluk tubuh. Menarik muncung tanda merajuk. Walhal dia tahu lelaki di hadapannya tidak langsung mengendahkannya.

"Tak apalah, I rela tunggu you daripada I terpaksa makan seorang diri dekat sana. You nikan dari dulu selalu layan I macam ni. Boleh tak sekali je you layan I dengan baik?" Tiara meluahkan rasa.

Seperti dalam jangkaan, Danish Xavier hanya duduk membeku tanpa sebarang riaksi. Fokus pada skrin komputer ribanya. Tiara mengeluh berat.

"Fine, ikut youlah, Dan. Bercakap dengan you ni umpama I bercakap dengan komputer riba you je. Tapi at least you minumlah dulu. Penat staff you buatkan kita air. Tapi you langsung tak sentuh."

Tanpa membuang waktu, Tiara mengambil mug di atas meja, lalu dibawa ke arah Danish Xavier. Danish Xavier masih tidak menoleh. Tiara meneruskan niatnya untuk menarik perhatian Danish Xavier. Mug disua kepada Danish Xavier saat dia sudah berdiri di sisi lelaki itu.

"Nah, you minum dulu! Dari tadi you buat kerja."

Danish Xavier menolak lembut mug yang berada di tangan Tiara.

"No, I tak nak. Kejap lagi I minum. I nak siapkan kerja I dulu. You letak je mug ni dekat atas meja. I boleh minum sendiri." Danish Xavier mula rasa rimas dengan tindak-tanduk Tiara. Riak mukanya dikekalkan beku dan dingin.

Tiara kecewa. Sekali lagi dia ditolak. Namun, baru sahaja dia ingin memusing tubuh, hujung kasut tumit tingginya terlanggar kaki kerusi Danish Xavier. Tiara mula hilang imbangan. Serta-merta mug yang berada di tangannya terlepas. Kedua tangannya cepat-cepat memaut meja sebelum tubuhnya jatuh seperti nangka busuk.

"Tiara!"

Tiara pantas menoleh ke arah Danish Xavier. Bulat matanya saat melihat kemeja putih Danish Xavier bertukar warna. Hujung bibirnya digigit.

"Mampus aku!" Jeritnya di dalam hati.

Tanpa menunggu lama, kotak tisu yang berada di atas meja dicapai. Dikeluarkan semua helaian tisu sebelum dia cepat-cepat membersihkan kotoran yang melekat di kemeja Danish Xavier.

"Sorry, Dan. I tak sengaja. I betul-betul tak sengaja." Lirih Tiara dengan air mata yang bergenang. Dia tahu Danish Xavier sedang menahan marah padanya.

Danish Xavier cuba menenangkan diri. Kemarahannya cuba dikawal.

"Next time you hati-hati. Sekarang you tengok apa dah jadi? Petang ni I ada meeting tau." Keluh Danish Xavier.

Tiara leka membersihkan kemeja Danish Xavier. Rasa bersalah pada Danish Xavier semakin menggunung.

"Tak apa. I keluar beli kemeja baru untuk you. You bukalah baju you ni. You bersihkan diri. Kejap lagi I balik bawa kemeja baru untuk you."

Tiara sudah berura-ura untuk keluar. Namun, Danish Xavier menghalang.

"It's okay, Tiara. I ada bawa kemeja lain. Nasib baik I memang ada standby baju dekat office I ni. You duduklah. I nak salin baju sekejap."

Tiara akur. Dia menjarakkan tubuh. Danish Xavier bangkit dari duduknya. Sempat hujung jarinya menekan butang interkom, memanggil kak Zila masuk ke dalam biliknya sambil tangan sebelahnya membuka butang kemeja satu persatu.

Khaira Eryna melirik jam di pergelangan tangan. Entah kali ke berapa? Dia tidak pasti. Akhirnya, dia mengangkat punggung sambil mencapai beg kertas di sebelahnya. Baru sahaja dia ingin melangkah, terdengar interkom kak Zila berbunyi. Dia menangguhkan niatnya untuk masuk ke dalam bilik Danish Xavier.

"Kak Zila, masuk bilik saya sekejap."

"Baik, Encik Danish."

Tanpa berlengah, kak Zila sudah siap ingin mengatur langkah ke arah bilik majikannya. Baru sahaja dia ingin melintasi meja kerjanya, tiba-tiba tangannya dilelar oleh Khaira Eryna. Langkah kak Zila terhenti.

"Tak apa, kak Zila. Biar Khaira yang masuk. Lagipun Khaira memang nak hantar lunch untuk dia." Ujar Khaira Eryna sambil mengangkat beg kertas di tangannya.

Kak Zila tepuk dahi.

"A'ahlah. Akak lupa. Tapi tak apa ke? Mana tahu boss akak tu ada perkara penting nak beritahu akak."

Khaira Eryna senyum nipis.

"Tak apa. Akak jangan risau. Kalau ada apa-apa yang penting, Khaira beritahu akak."

Kak Zila hanya menurut. Dia kembali ke tempat duduknya. Sementara Khaira Eryna sudah pun berlalu menuju ke arah bilik Danish Xavier.

Tanpa mengetuk pintu bilik, Khaira Eryna terus sahaja menerjah masuk. Namun, langkahnya serta-merta terhenti saat matanya menangkap sesuatu yang membuatkan dia terpasung di tempat dia berdiri.

"Danish, awak buat apa ni?!"

Danish Xavier yang sedang sibuk menyarung kemeja bersih ke tubuhnya serta-merta menghentikan perbuatannya saat mendengar suara dari arah muka pintu. Dia mengangkat wajah.

"Khaira?" Lancar sahaja nama itu meluncur di bibir.

Tiara yang sedang membantu Danish Xavier pantas menoleh ke muka pintu. Keningnya sedikit berkerut. Dia memandang Danish Xavier dan gadis itu silih-berganti.

"Dan, you kenal ke dengan perempuan ni? Kenapa dia tak ketuk pintu dulu sebelum masuk. Langsung tak ada adab." Ujar Tiara kurang senang dengan kedatangan gadis itu.

Danish Xavier tidak membalas. Dia segera membutangkan baju kemejanya sambil melangkah laju ke arah Khaira Eryna.

"Kau buat apa dekat sini? Kenapa tak call dulu sebelum datang?" Soal Danish Xavier.

"Kenapa? Salah ke saya datang nak makan lunch dengan awak? Sebelum ni okay je. Tak ada pun awak pertikaikan. Ke... Awak takut saya dapat tahu pasal awak dengan dia?" Duga Khaira Eryna.

Danish Xavier meraup kasar rambutnya.

"Kau dah salah faham. Apa yang kau nampak bukan macam apa yang kau fikirkan. Air kopi tertumpah atas kemeja aku tadi. Dia cuma tolong aku salin baju je. Kau janganlah fikir yang bukan-bukan. Lagipun dia tu..."

"Hi, I Tiara. Kawan lama Danish merangkap rakan usahasama dalam projek baru kami." Sela Tiara yang muncul tiba-tiba di sebelah Danish Xavier. Tangan disua ke arah Khaira Eryna.

Khaira Eryna memandang Danish Xavier yang hanya mendiamkan diri. Lalu, pandangannya dihala semula ke wajah wanita yang berada di hadapannya itu. Huluran tangan wanita itu disambut baik. Pantas salah faham yang berlaku tadi diabaikan. Dia harus percaya pada Danish Xavier. Dia yakin Danish Xavier bukan seorang lelaki yang curang.

"Hi, saya Khaira. Nice to meet you." Balas Khaira Eryna dengan melakar senyuman manis.

"By the way, Dan tak pernah pula cerita apa-apa pasal you. Kalau tak keberatan, boleh I tahu hubungan you all berdua? Sebab tadi nampak macam terkejut sangat bila you tengok I tolong pakaikan Danish baju. You berdua ni ada apa-apa hubungan ke?" Duga Tiara inginkan kepastian.

"Sebenarnya saya ni..."

Tidak sempat Khaira Eryna membalas, Danish Xavier terlebih dahulu memotong bicaranya.

"Khaira ni anak angkat my mommy and daddy."

"Ooh... I see. Maknanya dia ni adik angkat youlah."

Danish Xavier sekadar mengangguk kecil. Melihat tingkah Danish Xavier, riak wajah Khaira Eryna terus sahaja berubah. Dadanya dihimpit rasa kecewa. Langsung dia tidak menyangka Danish Xavier akan memperkenalkannya hanya sebagai adik angkat sahaja. Bukan sebagai 'kekasih'. Khaira Eryna cuba menahan rasa hibanya.

Tiara menilik Khaira Eryna dari atas hingga ke bawah. Lalu, matanya menangkap beg kertas yang berada di tangan gadis itu.

"Khaira, you bawa apa tu?"

Khaira Eryna yang baru tersedar dengan tujuan sebenar dia ke situ, pantas mengangkat beg kertas yang dipegang.

"Ini ada bekal. Saya bawa untuk Danish makan tengahari."

"La... Baiknya you ni. Macam tahu-tahu je kita orang tengah lapar. Kalau you tak keberatan, boleh I ambil ke bagi pihak Danish? Bukannya apa, Danish ni busy sangat sampai tak sempat nak keluar lunch. Alang-alang you dah bawa makanan untuk dia, boleh I tumpang sekali. Kan, Dan?"

"Yup. Lagipun perbincangan kita belum habis lagi. Thanks, Khaira for the food." Ucap Danish Xavier tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Tanpa menunggu balasan daripada Khaira Eryna, beg kertas ditangannya terus sahaja dirampas oleh Tiara. Dengan bernyanyi kecil, Tiara membawa beg kertas itu ke arah meja. Tanpa mempedulikan riaksi Khaira Eryna.

"Danish, kenapa awak..."

"Khaira, kau balik dulu. Aku banyak kerja. Maaf tak dapat nak spend time dengan kau. By the way, thanks sekali lagi. Nanti aku call kau. Hati-hati bila balik nanti." Potong Danish Xavier sebelum melangkah ke tempat kerjanya semula tanpa sedikit pun menoleh ke arah Khaira Eryna.

Khaira Eryna sedikit terkejut dengan perubahan Danish Xavier yang seakan tidak mengendahkannya. Dengan langkah yang berat dia terus sahaja keluar dari situ. Membawa hati yang lara.

Share this novel

Normala
2025-04-06 21:35:24 

Next plss..


NovelPlus Premium

The best ads free experience