Bab 48

Drama Series 43782

Taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan ditatap kosong. Nafas dihela panjang. Entah berapa kali kedengaran keluhan itu meniti di bibirnya. Perlahan-lahan pelupuk mata ditutup. Cuba mencari ketenangan yang kian hilang sejak dua minggu lalu.

"Ehem! Jauh termenung. Ingatkan saya ke?"

Mendengar sahaja suara parau di belakangnya, Khaira Eryna pantas membuka mata. Namun, sedikit pun dia tidak menoleh pada empunya suara. Hanya kekal bergeming di tempat duduknya dengan mata yang masih terpasak di hadapan taman.

Melihat tiada sebarang reaksi daripada si gadis, Fayyadh segera mengatur langkah mendekati Khaira Eryna. Lalu, punggung dilabuhkan di sisi gadis itu. Wajah ayu Khaira Eryna ditatap redup. Dia sedar. Riak wajah gadis itu tidak lagi seceria dulu. Kelihatan suram dan keruh. Sudah jarang dia melihat bibir merah gadis itu menguntum senyuman. Berbicara? Apatah lagi. Gadis itu lebih banyak menyepikan diri dan sering menjauhkan diri. Terlepas keluhan kecil di bibir Fayyadh.

"Khaira... Awak dah lain sekarang. Lebih-lebih lagi lepas auntie Sofea umumkan pasal pertunangan kita. Awak sebenarnya tak relakan bertunang dengan saya?" Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hati Fayyadh.

Khaira Eryna pantas menoleh ke arah Fayyadh. Melihat wajah lelaki itu dengan pandangan yang kosong. Hatinya tertanya-tanya, bagaimana dia harus berpura-pura untuk menyukai lelaki itu? Sedangkan tiada sekelumit pun perasaan sayang mahupun cinta di dalam hatinya buat lelaki yang bernama Fayyadh itu. Khaira Eryna kembali mengalihkan pandangannya. Tiada sebutir pun bicara yang keluar dari bibirnya. Sekali lagi Fayyadh mengeluh halus.

"Khaira, sampai bila awak nak diam macam ni? Kalau awak tak setuju awak beritahu saya. Saya akan pujuk mama dan auntie Sofea untuk batalkan pertunangan kita. Saya tak nak jalinkan hubungan dengan awak kerana terpaksa. Walaupun kita belum bertunang, tapi sekurang-kurangnya saya nak kita jujur antara satu sama lain. Macam mana kita nak hidup bersama kalau kita saling memendam rasa? Saya faham kalau awak sebenarnya tak ada apa-apa perasaan pada saya." Luah Fayyadh. Matanya masih menancap wajah bersih Khaira Eryna tanpa lepas. Mengharapkan ada balasan yang meniti di ulas bibir gadis itu.

Seminit, dua minit, tiga minit. Keadaan masih sama seperti tadi. Senyap tanpa suara. Seakan-akan kata-katanya tadi sudah terbang dibawa angin lalu. Sekali lagi Fayyadh beriak kecewa.

"Tak apalah. Mungkin awak perlukan masa untuk berfikir. Saya tak akan kacau awak buat sementara waktu ni. Saya tunggu jawapan daripada awak, Khaira. Apa sahaja keputusan yang awak buat, saya akan terima."

Fayyadh reda. Punggung diangkat dari duduknya. Kaki mula diatur melangkah meninggalkan Khaira Eryna. Setapak, dua tapak. Spontan langkah kakinya terhenti saat telinganya menangkap bicara Khaira Eryna. Fayyadh kembali menoleh ke arah Khaira Eryna semula. Bezanya kini dia berdiri betul-betul di belakang gadis itu.

"Tiada apa yang perlu kita bincangkan. Keputusan sudah dibuat. Jadi, sebagai anak kita perlu taat dengan ibu bapa kita. Apa sahaja keputusan mereka pasti akan jadi keputusan terbaik buat kitakan?"

Tidak diduga kata-kata itu terluah dari bibir seorang gadis seperti Khaira Eryna. Fayyadh tidak membalas. Kini, giliran dia pula menjadi seorang pendengar. Dia hanya membiarkan Khaira Eryna meluahkan segalanya.

"Saya tak nak jadi anak derhaka. Bertahun-tahun saya dan ibu terpisah. Takkan saya nak sia-siakan peluang yang Allah bagi ni macam tu sahaja? Semata-mata untuk kepuasan hati sendiri? Fayyadh, saya tak minta banyak pada awak. Cukup kalau awak boleh faham keadaan saya. Mungkin satu hari nanti hati saya akan terbuka untuk terima awak seikhlas hati saya. Jadi, awak jangan risau. Saya terima pertunangan kita ni. Cuma saya harap sangat yang awak takkan mendesak atau memaksa saya. Beri saya ruang dan masa untuk saya bersendirian. Boleh?" Pinta Khaira Eryna dengan suara mendatar.

"Boleh. Awak jangan risau. Saya tak akan paksa awak terima saya. Awak ambillah sebanyak mana masa yang awak mahu, Khaira. Saya sanggup menunggu. Saya yakin satu hari nanti hati awak akan terbuka untuk saya. Saya akan cuba buat awak terima saya. Tapi.. Betul ke yang awak memang boleh terima pertunangan kita ni? Awak tak menyesal ke terima saya dalam hidup awak, Khaira?" Duga Fayyadh inginkan kepastian.

Khaira Eryna tidak membalas. Sebaliknya dia hanya menjatuhkan kepala tanda dia setuju dengan kata-katanya. Melihat riaksi Khaira Eryna itu Fayyadh menarik nafas lega. Pantas bibirnya mengorek senyuman lebar.

"Terima kasih untuk jawapan yang awak berikan, Khaira. Saya hargai sangat-sangat. Ini pun dah cukup buat saya gembira. Kalau macam tu saya gerak dulu. Awak jaga diri. Kalau ada apa-apa, please call atau text saya. Saya nak awak tahu yang saya sentiasa ada untuk awak, Khaira." Ujar Fayyadh sambil menitipkan pesan.

"Terima kasih Fayyadh sebab faham. Hati-hati memandu."

"Awak pun Khaira, jaga diri. Assalamualaikum. Saya tunggu awak balik."

"Waalaikumsalam... Insya-Allah kita jumpa nanti."

Fayyadh kembali mengatur langkah menuju ke keretanya sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur memandangkan Khaira Eryna ingin bersendirian. Kebetulan, dia masih banyak urusan lain yang perlu diselesaikan sebelum majlis pertunangan mereka berlangsung.

Sedar Fayyadh sudah berlalu pergi, nafas dihela panjang. Khaira Eryna sendiri tidak pasti sama ada keputusan yang dia buat adalah keputusan yang terbaik atau sebaliknya. Kini, dia betul-betul berserah pada yang Maha Esa.

Pintu utama ditutup dengan berhati-hati. Tidak mahu mengejutkan penghuni yang ada di dalam rumah agam itu. Sempat matanya melirik ke arah jam di dinding. Samar-samar pandangannya memerhati jarum jam tersebut. Hampir pukul tiga pagi. Terbit keluhan halus di bibirnya. Niat di hati mahu segera masuk ke kamar untuk berehat melepaskan lelah setelah seharian menyibukkan diri. Namun, saat kaki mula melangkah ingin mendaki anak tangga, sinaran lampu terbias terang menerangi ruang tamu rumah. Danish Xavier menoleh ke arah sofa. Seakan ada bayang seseorang sedang duduk di situ.

"Kau rupanya. Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni. Kau tak masuk pejabat ke esok?" Soal Danish Xavier kepada adik kandungnya.

"Kau tanya aku? Habis tu waktu macam ni baru kau sampai rumah, apa ceritanya pula? Esok kau cuti ke?" Darwish Xayden tidak terus menjawab. Sebaliknya soalan dibalas dengan soalan.

"Aku banyak kerja tadi. Siapkan laporan untuk pembentangan mesyuarat esok." Balas Danish Xavier bersahaja.

Darwish Xayden pantas mengangkat punggungnya dari sofa. Lalu, kaki diatur melangkah ke arah abang kandungnya.

"Itu cuma alasan kau jekan, bang? Sampai bila kau nak hidup macam ni? Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang dah berlaku. Aku tahu semuanya. Aku nak minta maaf sebab aku dah salah sangka pada kau sebelum ni. Aku tuduh kau macam-macam. Walhal masa tu aku tak tahu pun apa yang terjadi sebenarnya. Aku tumpang simpati, bang."Luah Darwish Xayden dengan riak sedih.

Mendengar bicara Darwish Xayden, Danish Xavier melepaskan tawa. Ketawa yang dibuat-buat.

"Kau merapu apa pagi-pagi buta ni? Aku tak fahamlah. Daripada aku layan kau, baik aku naik bilik berehat. Dapat selelap pun jadilah. Aku nak hilangkan ngantuk. Nanti nak bangun awal." Danish Xavier cuba berdalih. Dia ingin menyambung langkah menaiki anak tangga semula. Namun, Darwish Xayden dengan pantas melelar lengan Danish Xavier, menghalang abangnya dari berlalu pergi.

"Aku tak habis cakap lagilah, bang. Takkan kau nak biarkan je semua ni macam tu sahaja? Kau tak nak ke pertahankan hubungan kau dengan Khaira? Bukan kau seorang je yang merana, Khaira pun sama. Kau tak kasihankan dia ke?"

Danish Xavier berpaling semula ke arah Darwish Xayden. Wajah adiknya itu ditatap tanpa sebarang riak.

"Kau nak aku buat apa? Bawa dia lari? Nikah dekat siam? Macam tu ke?"

Darwish Xayden pantas menggelengkan kepala.

"Bukan itu maksud aku. Kenapa kau tak berterus-terang je dekat auntie Sofea pasal hubungan kau dengan Khaira? Kenapa kau biarkan auntie Sofea jodohkan Khaira dengan Fayyadh? Kau tak sayangkan Khaira ke? Bukan Khaira tu cinta mati kau ke, bang?" Soal Darwish Xayden tidak puas hati.

"Apa kurangnya Fayyadh tu? Aku tengok dia serba-serbi ada. Malah, aku rasa dia lebih baik daripada aku. Jadi tak salah kalau auntie Sofea nak satukan anak dia dengan Fayyadh. Lagipun itu impian auntie Sofea. Dia nak yang terbaik untuk Khaira. Siapa aku untuk halang semua tu? Aku yakin Khaira akan bahagia dengan Fayyadh berbanding aku. Aku dah banyak menyakiti hati dia. Aku tak nak pentingkan diri, Darwish. Dahlah, kau tak akan faham. Aku naik bilik dulu." Danish Xavier ingin segera beredar. Dia tidak mahu lagi membahaskan perkara yang ingin dia lupakan. Hatinya masih terluka dan berdarah. Dia sendiri tidak pasti bila luka ini akan sembuh. Yang penting dia sudah melakukan hal yang sepatutnya dia lakukan.

Danish Xavier terus mendaki anak tangga ke tingkat atas. Panggilan Darwish Xayden langsung tidak dihiraukan. Saat kaki melangkah masuk ke dalam bilik, daun pintu terus ditutup dan dikunci. Tubuh segera dilayangkan di atas katil. Lantas, matanya dipejam rapat. Ketika itu, bayangan kejadian sebulan yang lalu kembali terlayar di ingatan.

Flashback...

"Hi, auntie. Maaf lambat. Jalan sesak sikit tadi. Dah lama ke auntie tunggu?" Termengah-mengah Danish Xavier mendapatkan Sofea yang sedang duduk di penjuru restoran.

"Tak apalah. Auntie pun baru je sampai. Duduklah. Kita ambil pesanan." Pelawa Sofea.

Danish Xavier hanya menurut. Dia melabuhkan duduk di tempat kosong yang berhadapan dengan Sofea sebelum tangan diangkat memanggil pelayan restoran.

Usai memesan makanan, Danish Xavier kembali memulakan bicara. Tidak senang hatinya sejak semalam tatkala mendapat panggilan daripada Sofea. Lebih-lebih lagi saat Sofea mengatakan ada perkara penting yang ingin dibincangkan mengenai Khaira Eryna. Sampaikan tidak lena tidurnya semalam.

"Auntie, ada perkara apa yang penting sangat auntie nak bincangkan tu? Auntie ada masalah dengan Khaira ke?" Tanya Danish Xavier inginkan kepastian. Seterusnya dapat menjawab persoalan yang bermain di fikirannya.

"Auntie dengan Khaira okay je. Alhamdulillah... Khaira dah dapat biasakan diri dengan auntie. Cuma... Auntie sebenarnya nak minta pandangan Danish pasal Fayyadh."

Mendengar nama Fayyadh meniti di bibir Sofea, spontan kening Danish Xavier bertaut. Hatinya kian tertanya-tanya. Pelbagai persoalan kembali bermain-main di benaknya.

"Kenapa dengan Fayyadh, auntie?"

"Tak ada apa-apa. Auntie cuma nak minta pendapat Danish tentang Fayyadh. Maksud auntie Fayyadh tu orangnya macam mana? Yalah, memandangkan sebelum ni pun Danish dan daddy Danish pernah bekerjasama dengan dia, mesti Danish lebih kenal dia daripada auntie."

Danish Xavier beriak tenang.

"Kalau pasal Fayyadh bagi Danish dia seorang lelaki yang berkarisma, bertanggungjawab dan pandai berdikari. Kalau bekerja dengan dia, Danish rasa selesa sebab dia seorang yang senang dibawa berbincang. Er... Kenapa auntie tiba-tiba tanya pasal Fayyadh? Auntie pun nak mulakan projek dengan company dia ke?"

Sofea menggelengkan kepala.

"Baguslah kalau Danish rasa dia macam tu. Maknanya auntie tak salah pilih."

"Pilih? Maksud auntie?" Tiba-tiba jantung Danish Xavier berdetak hebat.

"Ya, pilih. Auntie sebenarnya nak satukan Fayyadh dengan Aira. Lagipun auntie tengok dia orang berdua tu rapat. Fayyadh pun macam suka sangat dengan Aira. Lagipun mama Fayyadh tu kawan baik auntie masa dekat luar negara dulu. Jadi auntie ingat nak rapatkan lagi hubungan antara keluarga kami. Apa pendapat Danish?"

Danish Xavier terpempan. Lidahnya seakan kelu untuk berbicara. Bagai mimpi ngeri. Siapa sangka dugaan ini yang akan dia hadap. Terpaksa memilih antara cintanya pada Khaira Eryna atau kebahagiaan Khaira Eryna dan ibunya? Adakah ini masanya untuk dia berkorban? Dia sendiri tidak pasti dengan jawapan yang harus dia berikan kepada Sofea saat ini. Dia perlu betul-betul membuat keputusan. Tapi... Perlukah dia mementingkan diri? Sedangkan wanita di hadapannya ini penuh berharap. Seakan-akan sedang meminta dia untuk melepaskan Khaira Eryna. Danish Xavier kusut.

"Danish.. Danish.. Danish okay ke?"

Tersentak dengan panggilan Sofea, Danish Xavier kembali sedar. Dia tersenyum pahit.

"Ya, auntie. Maaf, Danish kurang dengar. Auntie tanya apa tadi?"

"Kamu fikir apa ni, Danish? Auntie tanya pendapat kamu kalau Aira bersatu dengan Fayyadh."

"Kenapa auntie nak tanya Danish? Auntiekan ibu Khaira. Bagi Danish semua keputusan yang auntie buat, bakal jadi keputusan yang terbaik buat dia. Mana ada ibu yang nak tengok anak dia tak bahagiakan? Jadi, bagi Danish pilihan auntie adalah pilihan yang terbaik. Fayyadh pun lelaki yang baik. Danish yakin dia boleh jaga dan bahagiakan Khaira." Hatinya bagai dirobek dengan pisau yang tajam. Pedih dan penuh luka. Setiap kata-katanya tadi benar-benar ibarat racun yang memakan diri.

"Alhamdulillah. Baguslah kalau Danish pun berfikiran yang sama dengan auntie. Lagipun Aira tu rapat sangat dengan Danish. Sebab tu auntie minta pendapat Danish. Mungkin Danish pun boleh yakinkan Aira pasal Fayyadh? Mesti Aira akan dengar kata-kata abang angkat dia ni. Auntie berharap sangat Danish dapat pujuk Aira untuk terima Fayyadh."

"Pasal tu auntie jangan risau. Khaira mesti setuju. Dia tak akan kecewakan auntie. Percaya cakap Danish. Er.. Auntie, sorry Danish sebenarnya ada hal lain. Lain kali kita bincang lagi. I need to go now." Danish Xavier mencipta alasan. Dia tidak sanggup menunggu lama. Dia perlu segera pergi dari situ. Perlu menenangkan hatinya.

"Tapi makanan tak sampai lagi."

"Tak apa. Nanti auntie bungkus bawa balik. Lagipun makanan yang Danish pesan tu makanan kesukaan Khaira juga. Sorry ye auntie. Danish terpaksa pergi."

"Ooh... Okay. Tak apa, auntie faham. Drive safe. Hati-hati ya. Thanks for today."

"Tak apa, auntie. Hal kecil je. Danish gerak dulu. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam.."

End Flashback...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience