Khaira Eryna hanya mampu mengetap bibir. Sekali-sekala matanya cuba mencuri pandang wajah lelaki yang duduk bertentangan dengannya. Melihat tatapan tajam mata lelaki itu, segera dia mengalihkan pandangan. Air liurnya diteguk beberapa kali menahan debaran di dada.
"Sorry auntie, Yad terpaksa jawab panggilan penting tadi."
Kedatangan Fayyadh secara tiba-tiba membuatkan semua mata yang berada di situ tetumpu ke arahnya. Sofea senyum segaris sambil mengangguk kepala tanda faham.
"Tak apa, Yad. Auntie faham. Yad dah hantar Aira balik dengan selamat pun, auntie dah bersyukur sangat. Terima kasih sebab sudi temankan anak auntie jalan-jalan hari ni." Ucap Sofea ikhlas.
Mendengar kata-kata Sofea sebentar tadi membuatkan Danish Xavier mengalihkan pandangannya ke arah Khaira Eryna. Semakin membuak-buak rasa marah dan cemburunya saat ini. Tidak hairanlah semua panggilan dan mesejnya tidak berjawab dari pagi. Separuh gila dia risaukan keadaan gadis itu. Rupa-rupanya gadis itu elok sahaja menghabiskan masa bersama lelaki lain.
Sedar akan dirinya menjadi perhatian Danish Xavier, Khaira Eryna sedikit pun tidak menoleh ke arah lelaki itu. Dia tahu lelaki itu pasti sedang menahan amarah terhadapnya. Pasti lelaki itu cemburu dengan apa yang didengarinya tadi. Seboleh-bolehnya Khaira Eryna mengawal riak wajahnya agak tampak bersahaja.
"Tak apa auntie. Yad berbesar hati dapat temankan Khaira hari ni. Er... Auntie, Khaira, Yad nak minta diri dulu. Sebab Yad ada kerja sikit lepas ni. Nanti kita jumpa lagi."
"La... Dah nak balik ke?" Soal Sofea seakan terkilan.
Fayyadh sekadar mengangguk kecil.
"Yalah. Hati-hati. Sebelum tu, auntie nak nak kenalkan Yad dengan keluarga angkat Aira. Kenalkan ni Encik Noah dan Puan Camilla. Ibu dan bapa angkat Aira."
Mendengar kata-kata Sofea, Fayyadh menoleh ke arah lelaki dan wanita yang dimaksudkan. Dia menghulurkan tangannya tanda salam perkenalan.
"Saya, Fayyadh. Salam perkenalan Encik Noah."
Noah menyambut huluran tangan jejaka itu dengan lapang dada. Wajah lelaki muda itu ditatap tanpa lepas.
"Tak perlulah berencik-encik dengan uncle. Panggil je uncle. Terlalu formal pula uncle rasa." Balas Noah mesra.
"Baik uncle. Puan..."
"Kalau uncle Noah kamu boleh panggil uncle, takkan auntie kamu nak panggil puan?" Celah Camilla pula.
Fayyadh ketawa kecil sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Maaf, auntie."
"Tak apa."
"Fayyadh." Panggil Noah.
"Ya, uncle."
"Uncle rasa kita macam pernah berjumpa sebelum ni. Maksud uncle... Uncle macam pernah lihat wajah kamu. Maaf kalau uncle tersalah orang."
Fayyadh angguk kepala.
"Betul, uncle. Memang kita pernah berjumpa. Waktu perjumpaan untuk projek baru di Shah Alam beberapa bulan lepas." Terang Fayyadh.
Noah pantas menoleh ke arah Danish Xavier di sisinya.
"Jadi, Fayyadh kenal jugalah dengan anak uncle ni, Danish? Rasanya masa tu dia ada bersama uncle juga."
Fayyadh angguk lagi seraya tersenyum. Spontan tangannya dihulur berjabat tangan dengan Danish Xavier. Danish Xavier bangkit, lalu menyambut huluran tangan Fayyadh. Wajahnya yang tadi ketat pantas berubah riak. Tidak mahu ada sesiapa yang sedar akan perasaannya saat ini.
"Tak sangka kita berjumpa dekat sini." Ujar Fayyadh ramah.
Danish Xavier sekadar senyum segaris membalas sapaan lelaki itu.
"Fayyadh, yang duduk sebelah Danish itu pula anak kedua uncle. Darwish, namanya. Sekarang ni dia yang bantu Danish uruskan syarikat uncle. So, kalau ada apa-apa perjumpaan lepas ni, Fayyadh akan selalulah bertemu dengan mereka berdua. Uncle ada bila perlu sahaja. "
Giliran Darwish Xayden pula berjabat tangan dengan Fayyadh.
"Faham, uncle. Untung uncle sebab anak-anak uncle semua sanggup sambung legasi uncle. Ada sesetengah orang tu tak berminat dengan bidang macam kita ni."
"Alhamdulillah. Sekarang ni waktu uncle untuk berehat. Dah bertahun-tahun kerja keras. Kali ni biarlah anak-anak uncle pula yang sambung untuk majukan syarikat tu."
Fayyadh angguk faham.
"Baiklah semua. Yad minta diri dulu. Gembira dapat berjumpa dan kenal dengan semua. Auntie, Yad gerak dulu. Khaira, nanti saya mesej awak. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam.." Jawab mereka serentak.
Melihat Fayyadh sudah beredar, Sofea, Noah dan Camilla kembali menyambung perbualan mereka. Manakala Khaira Eryna, Danish Xavier dan Darwish Xayden hanya diam sekadar menjadi pendengar.
Sedar akan ada ketegangan yang berlaku antara Khaira Eryna dan Danish Xavier, Darwish Xayden mengambil peluang untuk menenangkan keadaan. Dia pantas mencelah perbualan antara orang tuanya bersama Sofea.
"Mommy, daddy, Darwish rasa lapar pula. Darwish nak ambil makan sekejap dengan abang Danish. Mommy, daddy, auntie Sofea nak apa-apa ke? Darwish boleh tolong ambilkan."
"Makanan mommy dan daddy ni tak terusik lagi. Tak apa. Kalau kami nak apa-apa nanti kami ambil sendiri." Balas Camilla bagi pihak dia dan suaminya, Noah.
"Auntie pun tak nak. Auntie masih kenyang lagi." Tolak Sofea lembut.
"Okaylah kalau macam tu. Bang, jom teman aku ambil makanan. Kau cakap kau lapar tadikan?"
"Bila masa pula aku kata aku lapar?" Soal Danish Xavier separuh berbisik. Cukup hanya didengari oleh Darwish Xayden sahaja.
"Ada tadi. Kau yang tak ingat. Jomlah. Nanti habis pula makanan tu. Khaira, jom teman kami sekali."
Tanpa menunggu balasan daripada Khaira Eryna, Darwish Xayden pantas melelar tangan gadis itu agar mengikuti langkahnya. Khaira Eryna yang tidak sempat menolak, akhirnya akur dengan permintaan abang angkatnya itu.
Melihat tindakan Darwish Xayden, Danish Xavier pantas bangkit dari duduknya sebelum mengejari langkah adiknya dan Khaira Eryna. Sofea, Camilla dan Noah sekadar memerhati tingkah anak-anak mereka sebelum kembali menyambung perbualan.
"Abang Darwish nak makan apa sebenarnya? Dari tadi Khaira tengok abang terpusing-pusing tempat yang sama. Tapi abang langsung tak ambil apa-apa pun." Keluh Khaira Eryna dengan riak bosan. Dia hanya berdiri memerhati perlakuan abang angkatnya itu sambil memeluk tubuh. Mana tidaknya, sudah hampir sepuluh minit mereka berada di situ, namun tiada satu pun makanan yang dipilih oleh Darwish Xayden sejak tadi.
"Er... Abang pun tak tahu nak makan apa sebenarnya. Semua nampak sedap dekat mata abang ni. Apa kata Khaira yang pilihkan untuk abang. Insya-Allah semua pilihan Khaira abang akan makan."
"Betul ni? Jangan Khaira ambil nanti, abang tak makan pula."
"Ya, abang janji abang makan. Khaira ambil pinggan tu dulu. Abang tunggu Khaira."
Tidak betah terus berdiri berlama-lamaan di situ, akhirnya Khaira Eryna mengambil pinggan buat Darwish Xayden. Baru sahaja tangannya mahu menyenduk nasi, tiba-tiba ada tangan lain menyambar pinggan yang berada di atas tangannya. Khaira Eryna pantas menoleh.
"Danish, awak ni kenapa?" Nada Khaira Eryna sedikit meninggi.
Tanpa berkata apa-apa, pinggan kosong yang sudah berada di tangannya, Danish Xavier berikan kepada Darwish Xayden sebelum sebelah tangannya merenggut tangan Khaira Eryna mengekori langkahnya. Darwish Xayden yang melihat perlakuan abangnya itu hanya mampu menggelengkan kepala. Langsung tiada niat untuk masuk campur dalam urusan pasangan itu.
"Pandailah kau orang nak selesaikan masalah. Baik aku layan makanan lagi bagus daripada layan perangai orang bercinta ni. Buat pening kepala je." Bisik Darwish Xayden sendiri. Akhirnya, dia memilih salad buah-buahan untuk mengalas perut dan air jus oren buat membasahkan tekaknya. Selesai mengambil makanan dan minuman, dia kembali semula ke arah meja di mana ibu dan bapanya sedang menjamu selera.
"Ni je ke yang Darwish ambil? Kenyang ke?" Soal Sofea setelah melihat makanan di pinggan lelaki muda itu.
"Kenyang, auntie. Buat alas perut. Malam nantikan kita ada BBQ pula. Kalau kenyang sangat, takut tak termakan makanan malam nanti." Darwish Xayden mencipta alasan.
"Dia memang tak kuat makan, Sofea. Nak jaga badan kononnya." Sela Camilla pula.
"Pandai je mommy ni. Auntie jangan dengar cakap mommy ni. Dia memang suka buat andaian sendiri." Ujar Darwish Xayden.
"Darwish, mana abang kamu dan Khaira? Bukan dia orang dengan kamu ke tadi?" Noah pula mula bertanya.
Darwish Xayden yang baru mahu memulakan suapan, terhenti. Akalnya pantas bekerja mahu mencipta jawapan.
"Ada. Tapi tadi Khaira kata nak beli barang dekat kedai cendermata. Tu yang abang Danish pergi teman dia. Daddy macam tak kenal abang Danish tu. Dia kalau bab Khaira semuanya dia ikutkan. Dia orang berdua tukan memang rapat." Jelas Darwish Xayden dengan yakin. Riak wajahnya dikawal sehabis baik.
"Ooh... Kalau macam tu tak apalah.Bagus juga kalau Danish yang tengok-tengokkan Khaira." Balas Noah.
Mendengar jawapan dan riaksi mereka yang berada di situ, akhirnya Darwish Xayden menarik nafas lega. Untung sahaja orang tuanya mempercayai kata-katanya itu. Jika tidak, masak dia mahu mencipta alasan lain.
"Lepaslah!" Khaira Eryna meronta meminta Danish Xavier melepaskan pegangan tangannya.
Setelah memastikan mereka berada di tempat yang jauh daripada orang ramai, Danish Xavier pantas meleraikan pegangannya pada lengan Khaira Eryna.
Khaira Eryna mengaduh kesakitan. Tangannya yang sedikit merah, diurut lembut. Matanya menjeling tajam pada Danish Xavier. Hilang rasa gentar di hatinya.
"Seronok dapat keluar dengan budak Fayyadh tu?" Danish Xavier mula meluahkan rasa tidak puas hatinya.
"Seronok. Seronok.... Sangat! Puas? Itukan jawapan yang awak nak dengar?" Balas Khaira Eryna dengan perasaan geram. Saja dia mahu membakar hati dan perasaan lelaki yang berada di hadapannya itu.
"Seronok sangat sampai mesej dan call aku kau abaikan? Kau tahu tak jari aku ni tak berhenti dail nombor telefon kau. Tak berhenti hantar mesej dekat kau. Hati aku ni risau macam nak mati. Rupa-rupanya kau elok je keluar bergembira dengan lelaki lain. Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku atau kau memang saja nak cabar kesabaran aku?!" lengking Danish Xavier menghemburkan amarahnya.
Khaira Eryna menatap Danish Xavier dengan perasaan tidak percaya. Begitu sekali tuduhan lelaki itu terhadapnya. Siapa sangka kerana cemburu, tanpa sedar seseorang itu boleh menyakiti hati orang yang mereka sayang. Khaira Eryna menggagahkan diri untuk tidak menangis. Air matanya dikawal dari mengalir.
"Macam tu ke pandangan awak terhadap saya? Awak sebenarnya belum cukup kenal dengan saya, Danish. Awak ingat saya suka ke keluar berdua dengan lelaki lain? Awak ingat saya ni tak rindukan awak atau teringatkan awak ke kalau saya pergi ke mana-mana? Awak tahu tak perkara pertama yang ada dalam fikiran saya adalah awak. Waktu saya pergi tempat yang cantik tu, orang yang pertama saya bayangkan akan bersama saya di situ adalah awak. Awak lupa malam tadi kita bergayut sampai pukul berapa? Sampai saya tertidur. Bila bangun pagi saya tergesa-gesa keluar sampai lupa nak cas phone. At the end, ingatkan ibu nak keluar sama, rupa-rupanya bila dia dah jumpa kawan baik dia, dia tukar plan suruh saya keluar dengan Fayyadh berdua." Terang Khaira Eryna untuk meleraikan kekusutan antara mereka.
"Alasan. Kalau betul kau setia, kenapa kau tak tolak?"
"Saya dah cuba. Tapi ibu tetap memaksa. Kalau awak jadi saya, awak sanggup ke tolak permintaan mommy dan kawan baik mommy?"
Danish Xavier tidak membalas. Dia hanya terdiam seribu bahasa. Namun, api cemburu dan amarahnya masih tetap bersisa. Hatinya seakan menolak segala penjelasan yang diberikan oleh Khaira Eryna. Baginya itu semua hanyalah alasan untuk gadis itu melepaskan diri.
"Tapi aku tengok kau mesra je dengan dia. Macam tak ada tanda-tanda terpaksa pun."
Khaira Eryna mengeluh berat. Tidak tahu penjelasan yang bagaimana dia perlu berikan. Dia tidak mahu hubungan mereka terus tegang seperti sekarang. Dia tidak suka keadaan seperti ini. Sudahlah berhari-hari dia menahan rindu. Tiba-tiba bila berjumpa, perang dingin pula meletus.
"Saya dah jelaskan semuanya. Terserah sama ada awak nak percaya atau tidak. Saya tahu. Kalau saya dekat tempat awak pun saya akan cemburu dan marah. Tapi, boleh tak awak jangan bagi perasaan negatif tu kuasai hati dan pemikiran awak? Awak suka ke kita dingin macam ni? Kalau setakat nak bergaduh, baik awak tak payah susah-susah datang ke sini. Lebih baik kita tak payah jumpa. Kalau awak rasa saya ni memang bukan seorang yang tak setia macam yang awak fikirkan, terserah. Saya tak boleh nak paksa awak terima saya. Semuanya bergantung pada keputusan awak sendiri. Tak guna rasa sayang ni kalau kepercayaan tak ada dalam diri. Yang saya tahu, apa yang terjadi sekali pun hati saya tak pernah berubah untuk awak."
Usai meluahkan segala yang terbuku di hati, akhirnya Khaira Eryna mengalah lalu mengatur langkah laju meninggalkan Danish Xavier sendiri di situ. Hati Khaira Eryna benar-benar terluka. Dia reda andai sampai di situ sahaja hubungan mereka. Air matanya yang sejak tadi bertakung di tubir mata, mengalir laju membasahi pipi. Semakin diseka, semakin deras ia mengalir.
"Eh, Khaira. Nak pergi mana ni?" Sapa Darwish Xayden yang kebetulan baru sahaja keluar dari cafe untuk mencarinya.
"Khaira nak balik bilik. Nanti abang Darwish tolong beritahu ibu, mommy dan daddy ye. Khaira tak sedap badan. Khaira pergi dulu." Khaira Eryna memberi alasan.
"Sakit sampai menangis? Are you sure? Nak abang Darwish bawa pergi klinik tak?"
Khaira Eryna menggeleng laju. Tanpa sempat Darwish Xayden meneruskan bicara, Khaira Eryna terus sahaja meneruskan langkahnya menuju ke arah pintu lif yang kebetulan sedang terbuka. Langsung tidak menghiraukan panggilan Darwish Xayden yang menyeru namanya.
Share this novel
yes bila nk smbung cerita ni..dah lma tunggu...
Bila nak sambung lg ni..