Bab 52

Drama Series 48206

Loceng di pintu ditekan beberapa kali. Tidak lama kemudian daun pintu di hadapannya terbuka luas. Tiara mengorek senyuman manis saat matanya melihat wanita berusia lebih kurang separuh abad sedang berdiri di muka pintu.

"Ya, cik. Boleh saya bantu?" Soal wanita itu.

"Mak cik, Khaira ada dekat rumah? Saya nak jumpa dengan dia sekejap." Ujar Tiara dengan sopan.

"Cik Khaira ada dekat bilik. Kalau macam tu cik masuklah dulu. Nanti saya panggilkan Cik Khaira." Pelawa pembantu rumah Sofea yang bernama Mak Senah.

Mendengar pelawaan Mak Senah, Tiara pantas mengangguk kecil sebelum melangkah masuk ke dalam rumah agam itu. Tiara melabuhkan duduknya di sofa ruang tamu sementara menunggu Khaira Eryna. Sempat dia mengitari sekeliling ruangan rumah agam tersebut. Kelihatan cantik dan kemas. Tiara agak kagum dengan selera pemilik rumah agam itu. Barang-barang perhiasannya boleh dikatakan semuanya barangan yang bermutu tinggi dan gabungan perabot vintage serta warna-warna neutral membuatkan ia kelihatan klasik dan elegan. Suasana ruangan itu terasa nyaman dan selesa.

"Kak, siapa yang datang?" Tanya Sofea kepada Mak Senah yang kebetulan masuk ke ruangan dapur. Kelihatan Mak Senah sedang leka membancuh air.

"Eh, Dato'! Maaf, Kak Senah tak perasan Dato' tadi. Kawan Cik Khaira agaknya. Kak Senah pun tak pasti. Dia cuma cakap nak jumpa Cik Khaira." Balas Mak Senah sambil menyambung kerja-kerjanya.

"Ooh...Tak apalah, Kak Senah. Saya ke depan dulu. Kak Senah dah panggilkan Khaira ke?"

"Dah, Dato'." Balas Mak Senah sambil mengangguk kecil.

Mendengar balasan pembantu rumahnya, Sofea terus mengatur langkah ke ruang tamu. Kelihatan susuk tubuh seorang wanita muda sedang duduk di ruangan itu. Sofea mendekati wanita muda itu, lalu menyapanya.

"Maaf, boleh saya tahu cik ke yang nak berjumpa dengan anak saya tu?"

Tiara yang tersentak dengan sapaan tersebut pantas menoleh sebelum mengangkat punggung dari duduknya. Dia tersenyum nipis.

"Ya, saya. Saya Tiara. Tunang kepada Danish Xavier. Saya rasa Dato' kenal dengan nama tu?"

"Eh, tak perlulah nak berdato'-dato' dengan saya. Panggil je auntie. Kalau Danish, memang auntie kenal sangat. Abang angkat Khaira, anak auntie."

Sofea mempelawa Tiara duduk sementara menunggu Khaira Eryna. Tiara hanya menurut.

"Auntie nak keluar ke? Maaf kalau kedatangan saya mengganggu masa auntie." Ucap Tiara dengan perasaan bersalah saat melihat Sofea berpakaian koperat dan beg tangan di lengan wanita itu.

"Tak mengganggu pun. Auntie memang nak keluar sebab ada urusan sedikit hari ni. Khaira ada je dekat rumah. Itu pun Khaira dah turun. Kalau macam tu auntie gerak dulu. Selesakan diri, ya." Ujar Sofea sebelum bergerak keluar dari rumah agamnya. Sempat dia menitipkan beberapa pesanan kepada Khaira Eryna ketika dia berselisih dengan anaknya itu.

Khaira Eryna menyoroti langkah ibunya hingga hilang dari pandangan. Lalu kakinya diatur ke arah ruang tamu. Namun, langkahnya terus sahaja terhenti saat melihat gerangan yang sedang menantinya di ruangan itu. Tiara yang sedar akan kehadiran Khaira Eryna hanya mengorek senyuman manis.

"Hi, Khaira."

Khaira Eryna tidak terus membalas. Lidahnya seakan kelu untuk berbicara. Matanya sahaja yang merenung wajah Tiara tanpa lepas. Mungkin terkejut dengan kehadiran wanita itu di rumahnya.

"Cik Khaira, cik okay ke?" Tegur Mak Senah yang kebetulan lalu untuk menghantar air kepada Tiara. Pelik melihat anak majikannya tidak bergerak dari kedudukannya.

"Okay. Khaira okay. Er... Terima kasih Mak Senah untuk airnya." Balas Khaira Eryna. Perlahan-lahan dia kembali mengatur langkah mendekati Tiara selepas pembantu rumah ibunya sudah kembali ke dapur.

"Tiara? Awak buat apa dekat rumah saya ni? Kenapa awak nak jumpa saya?" Soal Khaira Eryna bertalu-talu. Hatinya mula rasa tidak enak. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh wanita itu. Jika tidak, mana mungkin wanita itu sampai sanggup datang ke rumah ini semata-mata ingin bertemu dengannya.

"Apa kata kalau kita bercakap dekat luar. I rasa dekat sana lebih selesa." Pinta Tiara dengan tangannya menunjuk ke arah kawasan kolam renang di tepi ruang tamu tersebut.

Khaira Eryna tidak menolak. Sebaliknya dia terus sahaja membawa langkah ke arah pintu gelangsar yang sememangnya sudah terbuka luas. Tiara yang melihat sekadar mengekori dari belakang.

"Just straight to the point. Saya tak rasa awak datang sini semata-mata nak ziarah saya. Lagipun kita berdua ni bukan ada sebarang pertalian. Kawan bukan sedara lagilah bukan." Khaira Eryna terus sahaja memulakan bicaranya. Dia tidak mahu berbunga-bunga kata mahupun bermadah. Tidak mahu membazirkan masa wanita itu mahupun masa diri sendiri.

"Well... Memandangkan you tak sabar sangat nak tahu tujuan I, so I tak payahlah nak berlakon macam kita ni kenalan rapatkan? I berterus-terang sahaja dengan you. I datang sini cuma nak ingatkan you beberapa perkara. I harap you hadam dan ingat dekat otak you tu sampai bila-bila." Tiara sudah menampakkan sisi sebenar dirinya. Hilang sudah sifat lemah-lembut dan sopan-santun yang ditunjukkan di hadapan Sofea dan Mak Senah sebentar tadi.

Khaira Eryna yang melihat tingkah sebenar Tiara, langsung tidak terkejut. Riak wajahnya bersahaja seakan tidak termakan dengan kata-kata Tiara.

"Awak cakap jelah apa yang awak nak cakap. Lepas tu awak boleh keluar dari rumah saya ni." Ujar Khaira Eryna tanpa sedikit pun menoleh ke arah Tiara di sisi.

Tiara senyum senget. Memandang Khaira Eryna dari atas hingga ke bawah. Di dalam hatinya masih tertanya-tanya akan keistimewaan gadis itu berbanding dirinya yang kelihatan lebih matang. Tidak seperti gadis hingusan di sebelahnya itu.

"You tahukan I dah nak kahwin dengan Danish?"

Khaira Eryna sekadar mengangguk kecil.

"Bagus! So I harap you tak cuba-cuba untuk buat majlis tu terbatal atau ganggu majlis kita orang. I nak ingatkan you yang Danish tu akan jadi hak mutlak I. Jangan pernah bermimpi untuk dapatkan dia atau buat dia jadi milik you. Jadi I harap sangat you takkan munculkan diri you depan Danish mahupun keluarga dia. Faham?"

Khaira Eryna terpempan. Pantas menoleh ke arah Tiara dengan pandangan yang tajam.

"Apa hak awak untuk halang saya jumpa dengan keluarga angkat saya? Awak tahu tak dia orang tu orang penting dalam hidup saya? Kalau awak takut sangat saya jumpa atau terserempak dengan bakal suami awak tu, apa kata awak ikat dia dan simpan dia dalam bilik. Awak ingat saya hadap sangat ke dengan dia? Kalau awak suruh saya jauhkan diri daripada Danish, saya boleh buat. Tetapi kalau awak suruh saya jauhkan diri daripada keluarga dia, maaf itu saya tak akan buat. Sekejap, kenapa awak rasa macam insecure dengan saya?"Duga Khaira Eryna. Keningnya sedikit berkerut.

"Mana ada I rasa macam tu. I cuma ambil langkah berjaga-jaga. Sebab zaman sekarang ni ramai je perempuan macam you ni caras hak perempuan lain. Lagi satu, I cuma nak pastikan majlis perkahwinan kami berjalan lancar. Itu sahaja." Jawab Tiara yang sedikit tergugat dengan kata-kata Khaira Eryna itu.

"Huh! Awak jangan risau. Saya bukan perempuan macam tu. Untuk pengatahuan awak, saya pun akan bertunang tak lama lagi. Jadi, tak ada apa yang perlu awak risaukan. Lagipun Danish tu cuma abang angkat saya je. Tak lebih daripada itu."

"Ya ke? You jangan ingat I tak tahu, Khaira. Danish dah beritahu I segala-galanya. So, you tak payah nak berlagak suci macam you tak ada hubungan istimewa dengan dia. I tahu, you pun masih sayangkan Danish, betulkan?"

Pantas Khaira Eryna menggeleng kepala. Menolak keras semua kenyataan Tiara.

"Mana ada! Saya tak tahu apa yang Danish beritahu awak. Tapi percayalah saya dan Danish tak ada sebarang hubungan. Awakkan dah nak kahwin dengan dia, jadi saya rasa baik awak tumpukan pada majlis kau orang berdua. Itu lebih baik."

"Memang itu lebih baik. Tapi I tetap nak pastikan yang you dan dia tak akan buat hubungan belakang I! I tahu I tak boleh nak paksa dia cintakan I macam mana dia cintakan you. Tapi sekurang-kurangnya kalau you tak munculkan diri you, I akan rasa lebih tenang dan Danish akan perlahan-lahan lupakan you. Macam nilah Khaira, I sanggup melutut depan you kalau itu yang boleh buat you tinggalkan Danish dan keluarga dia. You buatlah apa-apa pun asalkan jangan munculkan diri depan kita orang hinggalah majlis kami selesai. I terlalu sayangkan Danish. Tolong jangan rampas dia daripada I, Khaira." Nada Tiara terus sahaja mengendur. Penuh dengan pujukan dan rayuan. Tanpa sedar air matanya mengalir. Spontan Tiara melutut. Meminta agar Khaira Eryna melupakan Danish Xavier dan keluarga lelaki itu.

Melihat tingkah Tiara, Khaira Eryna dirundung rasa bersalah. Pantas sahaja dia jatuh simpati. Namun, di sebalik perasaan simpatinya, dia sedih dan sayu. Perlukah dia berkorban sampai begitu sekali? Semata-mata untuk kebahagiaan wanita di hadapannya itu.

"Bangun, Tiara! Bangun!" Arah Khaira Eryna sambil tangannya menarik kuat tubuh Tiara agar kembali berdiri.

"Kenapa awak sanggup melutut sebab lelaki? Awak tak ada maruah ke, Tiara?! " Lengking Khaira Eryna melontarkan amarahnya.

"Sebab I terlalu sayangkan dia! I sanggup buang ego I, maruah I, kalau itu yang perlu I buat untuk memastikan dia jadi milik I sepenuhnya. I tipu you, Khaira. Ya, I memang rasa tergugat bila I dapat tahu Danish cintakan you. I cemburu, sakit hati. Tapi I sanggup buat apa sahaja. Yang penting Danish jadi hak I. Tolong Khaira. I merayu sangat-sangat pada you. Lepaskan Danish untuk I. Please... " Tiara masih merayu. Air matanya berderaian laju membasahi pipi. Dia betul-betul terdesak. Takut andai Danish Xavier akan meninggalkannya di hari pernikahan mereka nanti.

"Saya janji. Saya tak akan munculkan diri sampailah majlis awak dan Danish selesai. Awak jangan risau Tiara. Saya akan pergi jauh dari sini. Saya tak akan ganggu keluarga baru awak. Tak perlulah awak nak melutut merayu dengan saya sampai macam ni sekali. Saya ni bukan sesiapa, Tiara. Awak baliklah. Percaya dengan janji saya." Ujar Khaira Eryna dengan penuh yakin dan tegas.

Serta-merta tangisan Tiara terhenti. Wajah Khaira Eryna ditatap dengan riak tidak percaya.

"Betul ke, Khaira? I tak salah dengarkan?" Bahu Khaira Eryna digoncang beberapa kali.

"Ya, saya janji. Dahlah. Saya rasa lebih baik awak balik tenangkan hati. Awak jangan risau pasal saya dan Danish. Saya yakin Danish tak akan tinggalkan awak. Kalau tidak, masakan dia bertunang dengan awakkan?"

Tiara tersenyum senang. Lega mendengar bicara Khaira Eryna. Pantas air matanya yang bersisa diseka. Dia kembali membetulkan bajunya.

"I percaya you, Khaira. Terima kasih. I pegang kata-kata you. Doakan I dan Danish."

Khaira Eryna cuba mengukir senyuman walaupun seakan pahit.

"Don't worry. Dalam masa terdekat ni saya akan pergi. Awak janganlah risau. Saya doakan majlis awak dan Danish berjalan dengan lancar. Saya doakan juga awak berdua bahagia."

"Thanks sekali lagi, Khaira. I terharu sangat. Kalau macam tu I balik dulu. Banyak lagi benda yang I nak siapkan. Bila I dah dengar semua ni dari mulut you, I rasa lega. Barulah I boleh tersenyum kalau macam ni. Okaylah. I minta diri dulu. Sampaikan salam I pada mother you. I tahu you mesti baik orangnya sama macam ibu you. Walaupun I tak kenal dia, tapi I yakin dia wanita yang baik. Bye, Khaira." Ucap Tiara. Tanpa menunggu lama dia terus melangkah keluar dari rumah agam itu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.

Melihat bayangan Tiara yang sudah menghilang, Khaira Eryna mengeluh berat. Tanpa ditahan, giliran air matanya pula yang mengalir laju. Khaira Eryna pantas duduk berteleku di tepi kolam renang. Menghemburkan tangisan semahu-mahunya. Kali ini dia bertekad. Dia perlu pergi jauh dari sini. Jauh meninggalkan orang-orang yang dia sayangi.

Telefon pintar dikeluarkan dari kocek seluar yang dipakai. Jari-jemari pantas menatal skrin telefon mencari nombor yang ingin dihubungi. Saat nombor yang dicari sudah ditemui, segera dia mendail nombor tersebut. Setelah beberapa deringan akhirnya panggilannya dijawab.

"Kita perlu berjumpa. Penting sangat. Saya tunggu awak dekat tempat biasa." Hanya itu yang mampu ditutur sambil menahan sendu. Lalu panggilan itu dimatikan. Khaira Eryna kembali merenung ke arah kolam renang di hadapannya. Kali ini, keputusannya muktamad. Tiada siapa yang boleh menghalangnya. Semoga apa sahaja keputusan yang diambil merupakan keputusan yang terbaik buat semua orang di sekelilingnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience