Bab 39

Drama Series 28234

Kaki melangkah laju menuruni anak tangga saat matanya terpasak pada sebuah kereta jenis BMW 8 Series Coupe yang berwarna biru. Kereta yang tidak asing bagi Khaira Eryna. Dengan senyuman manis terukir di bibir, Khaira Eryna menapak mendekati si jejaka yang sedang elok menantinya di sisi kereta. Kaca mata hitam dibuka saat bidadari hatinya sudah berada di hadapan mata.

"Lambat hari ni?"

"Sorry... Tadi saya pergi hantar assignment dekat bilik pensyarah. Tu yang lambat keluar. Tapi kenapa awak pula yang sampai awal hari ni? Selalunya saya yang kena tunggu awak." Balas Khaira Eryna dengan tatapan mata yang redup.

"Kebetulan aku ada jumpa client area sini, tu yang sampai awal. So, kita dah boleh gerak ke?"

"Boleh. Tapi hari ni kita nak ke mana? Awak tak sibuk ke?"

"Kita balik rumah mommy.Lagipun aku memang free hari ni. Mommy dah rindu sangat dengan anak angkat dia ni. Yalah, sejak kau pindah rumah auntie Sofea, kau belum pernah jenguk mommy lagikan?" Soal Danish Xavier seraya membuka pintu kereta buat Khaira Eryna.

Khaira Eryna mengangguk kecil. Terbit riak bersalah di wajahnya. Setelah hubungan dia dan ibu kandungnya membaik, Khaira Eryna mengambil keputusan untuk berpindah ke villa Sofea. Itu pun setelah mendapat pujukan daripada ibu dan bapa angkatnya.

"Saya minta maaf. Saya tak sempat nak singgah. Selalu kalau awak ambil saya pun awak akan hantar saya balik rumah ibu terus. Awak kata tak sempat nak bawa saya pergi mana-mana. Jadi saya tak sempat nak jenguk ibu. Bila saya nak naik grab car, awak pula tak bagi. Nak suruh driver ibu yang hantar dan ambil balik kolej pun awak tak benarkan. Tapi saya tak pernah miss telefon mommy tau. Saya selalu je contact mommy tanya khabar." Jelas Khaira Eryna seraya memboloskan diri ke dalam perut kereta.

Danish Xavier senyum segaris.

"Ya, aku tahu. Mommy ada beritahu aku. Jomlah kita gerak. Kita buat kejutan untuk mommy."

Khaira Eryna angguk setuju. Pintu kereta ditutup. Lalu Danish Xavier menapak ke arah tempat duduk pemandu. Danish Xavier mula memandu keretanya meninggalkan perkarangan kolej sebelum keretanya meluncur laju ke arah jalan raya menuju ke villa Noah.

"Assalamualaikum, mommy." Sapa Khaira Eryna saat matanya tertancap pada susuk tubuh ibu angkatnya di ruang rehat.

Camilla yang sedang asyik menonton televisyen pantas menoleh saat namanya diseru. Senyuman lebar terukir di bibirnya apabila melihat Khaira Eryna sedang berlari anak mendekatinya. Camilla segera bangkit dari duduknya. Saat gadis itu sudah berada di hadapan mata, pantas tubuh kecil itu didakap erat dalam pelukannya. Melepaskan rindu yang menggunung.

"Rindunya mommy dengan anak mommy ni. Makin cantik pula mommy tengok Khaira sekarang." Puji Camilla usai meleraikan pelukan.

"Ish, mommy ni! Baru berapa minggu je kita tak jumpa. Khaira masih sama macam dulu. Tak ada yang berubah. Cuma bezanya Khaira tak dapat nak jumpa mommy hari-hari macam dulu." Luah Khaira Eryna dengan nada sebak.

"Janganlah sedih. Khaira pindah tak jauh mana pun. Kalau Khaira tak sempat jumpa mommy, mommy boleh je pergi villa ibu Khaira jumpa Khaira dekat sana. Cuma buat masa ni mommy tak nak ganggu Khaira dengan ibu Khaira. Mommy nak bagi ruang dan peluang untuk Khaira rapatkan hubungan Khaira dengan ibu Khaira. So, dah beberapa minggu Khaira dekat sana, semuanya okay? Life Khaira macam mana?" Tanya Camilla sambil melelar tangan Khaira Eryna ke arah sofa. Punggung mereka labuhkan di permukaan sofa.

Melihat Khaira Eryna sedang sibuk berbual dengan Camilla, Danish Xavier pantas menapak ke arah anak tangga untuk naik ke tingkat atas. Ingin membersihkan diri sementara memberi ruang kepada buah hatinya menghabiskan masa bersama ibunya.

"Life Khaira macam biasa. Pergi kolej, balik kolej. Makan, mandi, tidur. Itu je. Tak ada yang berubah. Bezanya Khaira tinggal dengan ibu dan bukan dengan mommy dan daddy."

"Takkan tu je? Khaira tak ada spend time dengan ibu Khaira ke waktu hujung minggu?"

Khaira Eryna geleng kepala.

"Lepas je Khaira pindah dekat sana, ibu selalu busy. Tapi dia ada cakap yang dia terpaksa selesaikan kerja-kerja dia sebelum dia ambil cuti panjang nanti."

"Cuti panjang? Maksud Khaira?" Sela Camilla ingin tahu.

"Ibu kata dia nak ambil cuti panjang sebab nak spend time dengan Khaira. Dia nak bawa Khaira pergi bercuti. Mommy...."

"Ya, Khaira. Ada apa?"

"Boleh tak kalau mommy, daddy, abang Darwish and abang Danish ikut Khaira bercuti dengan ibu nanti? Kalau ramai barulah seronok nak bercuti."

Camilla geleng kepala.

"Mana boleh macam tu, Khaira. Ibu Khaira mesti nak habiskan masa dengan Khaira berdua. Dah bertahun-tahun dia tunggu saat ni. Khaira ambillah peluang yang ada ni untuk eratkan lagi hubungan Khaira dengan dia. Kalau kami semua ada sekali, mestilah kami akan ganggu masa Khaira dengan ibu Khaira." Tolak Camilla dengan lembut.

"Tapi....Khaira nak habiskan masa dengan mommy sekeluarga juga. Tak seronoklah kalau Khaira dengan ibu je." Luah Khaira Eryna dengan wajah yang mencuka. Sedikit kecewa saat mendapat penolakan daripada ibu angkatnya itu.

Camilla senyum nipis. Bahu Khaira Eryna dipaut lembut. Spontan, Khaira Eryna melentokkan kepalanya di bahu Camilla sambil jari-jemarinya dibawa menggenggam sebelah tangan Camilla.

"Kalau dengan kami, bila-bila Khaira ada masa terluang boleh je datang sini spend time dekat villa ni. Pintu rumah mommy dan daddy sentiasa terbuka luas buat Khaira. Mommy dah pernah cakap dulukan?"

"Tapi tetap tak sama, mommy." Rajuk Khaira Eryna.

Camilla menggeleng kecil. Belakang tubuh Khaira Eryna diusap lembut.

"Macam nilah, mommy janji lepas Khaira habis bercuti dengan ibu Khaira, turn mommy dan daddy pula bawa Khaira bercuti. Macam mana?" Usul Camilla ingin memujuk si gadis.

Serta-merta riak wajah Khaira Eryna berubah ceria. Bersinar matanya menatap wajah Camilla.

"Betul ni, mommy? Mommy janji tau."

"Ya, mommy janji. Nanti mommy beritahu pada ibu Khaira."

"Kalau macam tu Khaira setuju."

"Amboi, rancaknya berborak! Khaira ni, senyum dah sampai ke telinga." Sapa Danish Xavier yang baru sahaja turun dari biliknya.

"Tak ada apalah, Danish. Borak kosong je. Hal orang perempuan. Betul tak Khaira?" Lengan Khaira Eryna disenggol manja.

"Betul." Balas Khaira Eryna bersahaja.

"Danish dah bersiap segak-segak macam ni nak ke mana?" Tanya Camilla saat matanya melirik pada penampilan anak lelakinya itu.

"Tak ada pergi mana pun, mommy. Cuma nak bawa anak kesayangan mommy ni keluar. Nanti panjang pula muncung dia kalau merajuk. Sebelum dia tarik muncung, baik Danish bawa dia keluar pergi makan."

Mendengar kata-kata berbaur sindiran itu, pantas satu cubitan kecil hinggap di pinggang Danish Xavier. Danish Xavier mengaduh kesakitan. Pinggangnya digosok lembut.

"Sakitlah, Khaira! Sejak bila kau pandai ketam orang ni?"

"Sejak mulut awak tu tak ada insurans. Bila masa pula saya tarik muncung merajuk dengan awak? Lagi satu, saya tak ada minta awak bawa saya pergi makan pun."

"Yalah tu... Kalau macam tu kita tak payah pergi mana-manalah lepas nikan?" Usik Danish Xavier.

Serta-merta Khaira Eryna menjeling tajam. Laju sahaja tangannya menepuk lengan sasa Danish Xavier. Geram mendengar usikan lelaki itu. Melihat keletah kedua-dua mereka, Camilla pecah ketawa.

"Dah-dahlah tu usik Khaira, Danish. Betul-betul dia merajuk nanti baru tahu. Mati akal Danish nak pujuk dia."

"Ala.. Mommy. Danish bergurau je. Asyik serius je, bosan pula nanti."

"Jadi kamu berdua nak pergi makan dekat luarlah ni? Baru mommy ingat nak masak makanan fovourite Khaira tadi."

"Tak naklah susahkan mommy. Mungkin lain kali Khaira makan dekat sini. Cik Moon mana, mommy? Tak nampak pun dia dari tadi." Soal Khaira Eryna sambil kepala menjengah ke arah ruang makan. Mencari kelibat pembantu rumah villa itu. Rindu ingin mengusik wanita itu.

"Cik Moon cuti. Balik kampung."

"Kenapa, mommy? Opah tak sihat ke?"

"Taklah. Saja je Cik Moon ambil cuti nak teman opah dekat kampung tu."

"Rindu pula dengan opah. Dah lama tak jenguk dia. Nanti ada masa kita jenguk opah, nak tak mommy?" Cadang Khaira Eryna.

"Mommy boleh je. Tapi Khaira kena minta izin daripada ibu Khaira. Khaira jangan lupa sekarang Khaira dah ada ibu." Camilla sekadar mengingatkan.

Khaira Eryna angguk kepala.

"Ya, Khaira tahu. Nanti kita ajak ibu sekali. Mesti opah seronok kalau nampak kita balik jumpa diakan?"

Khaira Eryna tarik senyum. Terbayang wajah Mak Esah yang dipanggil opah di ruang mata. Terkenang suasana kampung yang mendamaikan. Hatinya dihambat rindu.

"Yalah, nanti kita ramai-ramai pergi bercuti dekat sana. Khaira dengan Danish kata nak keluar pergi makankan tadi? Pergilah. Nanti lambat balik risau pula ibu Khaira."

"Mommy tak nak ikut kita orang ke? Kesian mommy tinggal sorang-sorang dekat rumah." Pelawa Khaira Eryna.

"Tak naklah mommy. Mommy nak berehat dekat rumah. Lagipun kejap lagi daddy balik tak ada orang pula dekat rumah. Kamu berdua pergilah."

"Betul ni? Mommy okay kalau tinggal sendiri?" Soal Khaira Eryna lagi. Bimbang ingin meninggalkan ibu angkatnya sendirian.

Camilla angguk kepala.

"Mommy okay. Jangan risau. Danish jaga Khaira."

"Baik, mommy. Saya yang mengikut perintah." Balas Danish Xavier sambil menunduk sedikit seakan seorang hulubalang memberi hormat pada sang raja.

Melihat tingkah Danish Xavier, Khaira Eryna ketawa kecil. Camilla pula hanya mampu menggelengkan kepala.

*******

Danish Xavier memberhentikan keretanya saat sampai di perkarangan sebuah tasik. Usai makan tengahari dan membeli sedikit barang keperluan Khaira Eryna, dia terus memilih untuk meluangkan masa bersama gadis itu di situ. Tempat yang paling sesuai menenangkan fikiran dan bersantai. Danish Xavier pantas keluar dari perut kereta. Khaira Eryna yang melihat tingkah Danish Xavier segera menuruti langkah lelaki itu. Mereka berjalan beriringan mendekati tasik sebelum melabuhkan duduk di atas rumput. Kini pandangan mereka dihiasi dengan pemandangan tasik yang menghijau dan dikelilingi dengan pokok-pokok. Cuaca kelihatan redup ketika mereka bersantai di situ.

Khaira Eryna memejamkan matanya seketika. Menikmati angin petang yang menyegarkan. Usai beberapa ketika, dia kembali membuka kelopak matanya. Pandangannya kini beralih pada lelaki yang sedang duduk di sisinya.

Sedar seperti seseorang sedang memerhatikannya, Danish Xavier menoleh ke arah Khaira Eryna. Kedua keningnya dinaikkan. Pelik melihat tatapan mata Khaira Eryna yang tidak lepas dari memandangnya.

"Kenapa kau tenung aku macam tu? Ada apa-apa yang pelik ke dekat muka aku ni?" Soal Danish Xavier sambil tangannya naik meraba wajah.

Khaira Eryna pantas menggeleng laju. Dia kembali menoleh ke arah tasik.

"Ada apa-apa yang mengganggu fikiran kau ke? Kalau kau ada masalah. Kau boleh je beritahu aku."

"Tak ada apa-apa. Saya tak ada masalah pun. Cuma ada sesuatu yang saya nak kepastian daripada awak."

Danish Xavier sudah berkerut kening.

"Kepastian? Maksud kau?"

Khaira Eryna kembali menoleh pada Danish Xavier.

"Betul ke awak cinta dan sayangkan saya?"

Mendengar pertanyaan Khaira Eryna itu, Danish Xavier melepaskan keluhan kecil.

"Kau tak percaya aku ke? Tak cukup ke semua yang aku dah buat untuk kau selama ni?" Duga Danish Xavier.

"Tak. Bukan itu maksud saya. Cuma sampai sekarang saya tertanya-tanya, sampai bila kita nak sorokkan pasal hubungan kita pada keluarga kita? Sekarang ni hubungan saya dah ibu dah baik. Saya pun dah tinggal dengan ibu. Jadi, saya rasa kita dah tak ada sebarang halangan lagi untuk jujur dengan keluarga kita pasal hubungan kita ni." Luah Khaira Eryna.

"Khaira, aku faham apa yang kau nak sampaikan. Aku betul-betul ikhlas dengan hubungan kita. Tapi bagi aku sedikit je masa lagi. Lepas aku settlekan beberapa hal, aku janji aku sendiri akan berterus-terang dengan dia orang semua. Waktu tu aku akan terus melamar kau untuk jadi milik aku."

Mata Khaira Eryna bersinar-sinar.

"Betul ni? Awak dah janji."

"Ya, aku janji. Buat masa ni kau fokus pada study kau. Yang lain biar aku uruskan."

"Danish..."

"Yup."

"Awak janji awak akan pertahankan hubungan kita walau apapun yang berlaku?"

Danish Xavier senyum segaris. Spontan sebelah tangannya diangkat seakan berikrar.

"Aku janji. Walau apapun terjadi aku tak akan tinggalkan kau. Aku juga akan pertahankan hubungan kita. Kau tu dah ibarat separuh daripada nyawa aku, Khaira. Aku pun tak sanggup nak kehilangan kau."

Khaira Eryna melepaskan nafas lega. Wajahnya yang sedikit keruh kembali ceria. Bibirnya menguntum senyuman manis tanda dia berada di fasa bahagia. Moga impiannya untuk bersama dengan lelaki di sisinya ini akan tercapai satu hari nanti. Kerana Danish Xavier merupakan cinta pertamanya. Semoga cinta dia pada lelaki itu juga akan menjadi cinta terakhir buatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience