"Kenapa kau diam?" Soal Danish Xavier dengan kening terjongket. Melihat wajah Khaira Eryna yang merah menahan malu membuatkan Danish Xavier menarik senyum.
"Tak penting pun untuk saya jawab." Balas Khaira Eryna dengan nada perlahan.
Mahu sahaja dia menyorok di bawah sofa. Rasa malunya bukan kepalang. Wajahnya terasa bahang. Entah mengapa dia rasa berpeluh. Walhal dia berada di dalam bilik yang berhawa dingin. Namun, langsung tidak rasa kesejukan.
"Tak penting untuk kau, tapi penting untuk aku. Sebab tu kau jauhkan diri kau daripada aku, kan?"
Khaira Eryna sudah rasa tidak keruan. Rasa serba tidak kena. Lebih-lebih lagi dia perasan mata Danish Xavier tidak lepas dari merenungnya. Khaira Eryna pantas memusing tubuh dari terus bertatapan dengan Danish Xavier.
"Er...awak makanlah. Saya nak balik. Kesian Cik Moon tinggal seorang dekat rumah. Nanti jangan lupa bawa balik bekas makanan tu. Saya minta diri dulu."
Tanpa berkalih, Khaira Eryna pantas bangkit dari duduknya. Namun belum sempat kakinya melangkah pergi, tangannya terlebih dulu dilelar oleh Danish Xavier. Khaira Eryna langsung tidak berpaling memandang ke arah Danish Xavier, malah dia hanya bergeming di tempat dia berdiri. Detak jantungnya semakin berdebar hebat.
"Kenapa cepat sangat kau nak balik? Cuba nak mengelak lagi?" Duga Danish Xavier.
Khaira Eryna langsung tidak membalas. Dia hanya membatukan diri. Melihat tingkah Khaira Eryna itu membuatkan Danish Xavier semakin terasa galak ingin mengusik. Lantas tangan Khaira Eryna ditarik lembut sebelum tubuh gadis itu dipusingkan menghadap ke arahnya. Terkejut dengan perlakuan Danish Xavier, Khaira Eryna terjerit kecil.
Kini jarak mereka lebih rapat berbanding tadi. Khaira Eryna tidak berani menatap wajah Danish Xavier. Dia masih kekal menunduk. Malah, cuba untuk melepaskan diri dari pegangan Danish Xavier.
"Awak, lepaslah! Tak manis kalau orang nampak."
"Aku takkan lepaskan kau selagi kau tak jujur dengan aku." Ujar Danish Xavier tegas.
"Fine! Memang saya sengaja mengelak daripada awak. Saya malu nak berdepan dengan awak. Kalau bukan sebab Cik Moon, saya tak akan berada dekat sini. Awak ingat saya ni tak ada maruah ke? Tak ada perasaan malu?"
Khaira Eryna dengan berani mengangkat wajah. Melawan tatapan mata Danish Xavier. Disebabkan Danish Xavier sedikit tinggi, terpaksalah Khaira Eryna mendongak sedikit untuk menatap wajah lelaki itu.
Terpempan dengan kata-kata Khaira Eryna, Danish Xavier menjarakkan sedikit tubuhnya. Pegangannya pada tangan Khaira Eryna dileraikan.
"Saya dah ingat apa yang berlaku. Tak semua. Tetapi bayangan awak dan saya dalam bilik....saya ingat." Nada Khaira Eryna sedikit kendur. Ada getaran dihujung bicaranya.
"Maknanya kau tahu apa yang berlaku pada kita?"
Khaira Eryna angguk kepala.
"Saya minta maaf. Saya tak patut buat awak macam tu. Tapi percayalah, saya bukan perempuan yang macam tu. Itu bukan diri saya!" Khaira Eryna merintih hiba. Pantas dia berpaling dari Danish Xavier. Air mata yang hampir mengalir segera diseka dengan hujung jarinya.
"Kau tak perlu minta maaf. Kau tak salah Khaira. Aku tak salahkan kau. Lagipun malam tu, kau tak sedar apa yang kau buat. Aku...aku yang sepatutnya minta maaf dengan kau sebab malam tu aku berkasar dengan kau. Aku terpaksa. Kalau aku tak halang kau, kau tahukan apa yang akan jadi pada kita berdua?"
Lambat-lambat Khaira Eryna angguk kepala.
"Aku nak kau lupakan semuanya. Buka buku baru. Anggaplah perkara tu tak pernah berlaku. Aku harap lepas ni kau akan lebih berhati-hati memilih kawan. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Aku takut waktu tu aku tak ada untuk kau."
Khaira Eryna menggali dalam nafasnya sebelum kembali berpaling memandang ke arah Danish Xavier.
"Awak janji awak tak akan cerita apa-apa pun pada daddy dan mommy pasal malam tu?"
"Aku janji. Tapi kau pun kena janji dengan aku juga."
Khaira Eryna berkerut kening.
"Janji? Janji apa?"
Danish Xavier kembali menapak rapat ke arah Khaira Eryna. Menatap redup ke dalam anak mata gadis itu. Bibirnya naik mengukir senyuman.
"Janji yang kau tak akan jauhkan diri kau daripada aku lagi. Boleh?"
Khaira Eryna pantas melarikan anak matanya. Lambat-lambat kepalanya diangguk.
"Tapi awak jangan nak ungkit lagi perkara tu." Giliran Khaira Eryna pula memberi amaran.
"Okay. Aku tak akan ungkit lagi. So, kita dah boleh tutup buku lama dan buka buku baru?"
"Yup. Tapi...."
Khaira Eryna ketap bibir.
"Tapi apa?" Tanya Danish Xavier sambil jungkit kening sebelah.
"Er...baju awak yang koyak tu saya kena ganti ke?"
Danish Xavier ketawa kecil.
"Mestilah."
"Ha!" Khaira Eryna membulatkan matanya.
"Tapi saya tak kerja lagi. Mana ada duit nak ganti. Awak tunggu saya dapat kerja dulu, boleh? Nanti saya belikan baju yang baru untuk awak. Mesti mahalkan harga baju tu. Habislah duit gaji pertama saya nanti..." Keluh Khaira Eryna dengan nada lemah.
Melihat riak wajah Khaira Eryna yang sedikit berubah itu membuatkan Danish Xavier menghemburkan ketawa. Kepalanya digeleng beberapa kali.
"Apa yang kelakar sangat ni? Saya ada buat lawak ke?" Soal Khaira Eryna polos. Pelik dengan perlakuan lelaki di hadapannya itu.
"Aku tak minta pun kau ganti baju aku tu."
"Habis tu, tadi awak yang cakap saya kena ganti balik baju awak tu. Tiba-tiba tak payah pula. Peliklah awak ni!" Khaira Eryna tarik muka masam.
"Aku tak cakap pun nak kau ganti pakai duit kau."
"Kalau tak pakai duit, takkan pakai air liur kot. Pakai daun? Agak-agaklah nak melawak pun. Tak ada orang shopping pakai daun Encik Danish. Kalau zaman kanak-kanak dulu bolehlah main beli barang pakai daun." Bebel Khaira Eryna.
Semakin terhibur Danish Xavier melihat gelagat gadis itu. Pantas tangannya diangkat sebelum hujung jari telunjuknya dilabuhkan di bibir Khaira Eryna. Spontan Khaira Eryna terus terdiam. Tidak berkelip matanya memandang Danish Xavier.
"Aku tak minta kau ganti balik baju tu. Cukup kalau kau teman aku pergi beli baju hujung minggu ni. So, macam mana? Setuju?"
"Teman shopping je?"
Danish Xavier angguk.
"Kalau macam tu...saya okay. Selamat duit gaji pertama saya nanti..." Ujar Khaira Eryna sambil tarik nafas lega.
Sekali lagi Danish Xavier menghemburkan tawanya. Khaira Eryna yang melihat turut sama ketawa kecil.
"Er...awak..."
"Yup, ada apa?" Soal Danish Xavier.
"Sekarang ni saya dah boleh balikkan?"
"Kenapa nak cepat sangat balik? Tak nak tunggu aku habis makan dulu?"
"Tak apalah. Awak makan jelah. Nanti bekas ni semua awak bawa balik. Pesan dekat abang Darwish juga. Lagipun saya nak tunggu grab car sampai kejap lagi."
"Kau datang naik grab ke tadi?"
Khaira Eryna hanya mengangguk kecil.
"Habis tu, sekarang ni kau dah book grab car tu ke untuk balik?"
"Belum. Kejap lagi saya buatlah."
"Kalau macam tu kau tunggu je aku makan."
"Ha?" Riak Khaira Eryna seakan terkejut.
"Kenapa nak terkejut pula? Aku suruh kau teman aku makan sampai habis je. Dah, sekarang kau duduk balik, tunggu aku siap makan."
"Tapi...."
"Khaira Eryna..."
"Okay..." Balas Khaira Eryna lemah.
Akur dengan arahan Danish Xavier, Khaira Eryna pantas melabuhkan duduknya di atas sofa semula. Danish Xavier pula kembali menyambung menikmati makanannya. Khaira Eryna sekadar memerhati dengan riak bosan.
"Khaira sayang, bangun." Ujar suatu suara. Walaupun garau tetapi lembut di pendengaran Khaira Eryna.
Serta-merta kelopak mata Khaira Eryna terbuka. Entah bila masanya dia terlelap, dia sendiri tidak sedar. Dia kembali menegakkan tubuh. Matanya digosok lembut menghilangkan pandangannya yang berbalam-balam. Kini dia dapat melihat dengan jelas. Danish Xavier sedang duduk bersilang kaki sambil menghirup secangkir air panas di tangannya. Khaira Eryna berkerut kening.
"Jap! Siapa yang kejut aku tadi? Takkanlah mamat ni? Ish, tak mungkin! Siap bersayang-sayang lagi. Mimpi je kot..." Bisik Khaira Eryna di dalam hati.
"Kau dah bangun? Lena betul kau tidur. Dah berapa malam kau tak tidur ni?"
Soalan Danish Xavier menyentak Khaira Eryna. Wajah Danish Xavier kembali ditatap tajam.
"Siapa kata saya tak tidur waktu malam? Saya tidur je. Lama ke saya dah tertidur dekat sini?"
"Lama jugalah. Sampai aku dah siapkan kerja. Siap dah minum petang lagi."
"Ha! Kenapa awak tak kejut saya? Habis tu, sekarang dah pukul berapa?"
Dengan tergopoh-gapah Khaira Eryna melirik jam di pergelangan tangannya. Kelopak matanya terbuka luas. Pantas dia bangkit dari duduk. Matanya mengitari sekeliling seakan mencari sesuatu.
"Kau cari apa?" Soal Danish Xavier dengan riak bersahaja. Masih santai menikmati minum petangnya.
"Cari bekas makanan tadi. Saya nak bawa balik semula."
"Tu...ada atas meja aku. Yang kau ni macam kucing hilang anak dah kenapa? Cuba bawa bertenang."
Khaira Eryna menoleh ke arah Danish Xavier. Dia mengeluh halus.
"Dah nak pukul lima petang. Saya nak balik. Mesti Cik Moon tunggu saya lama dekat rumah tu."
Danish Xavier meletakkan cawannya di atas meja, lalu bangkit dari duduknya. Tali leher dilonggarkan. Lengan kemejanya dilipat hingga ke siku. Khaira Eryna sekadar memerhati perlakuan lelaki itu.
"Kau jangan risau. Aku dah beritahu Cik Moon yang kau stay lama dekat office aku."
"Habis tu, Cik Moon cakap apa?"
"Kau nak dia jawab apa? Dia balas okay je."
"Okay je?" Tanya Khaira Eryna tidak percaya.
"Ya, okay sahaja. Dahlah, jom!"
"Nak pergi mana?" Soal Khaira Eryna polos.
"Kata tadi nak balik. Kenapa? Kau ada niat nak bermalam dekat pejabat aku ni ke?"
"Ish, memang taklah."
"Kalau macam tu, jomlah kita balik. Aku pun dah letih sangat ni. Nak balik rehat. Jangan lupa bekas makanan kau tu...Lambat aku tinggal."
Mendengar kata-kata Danish Xavier, Khaira Eryna sepantas kilat mencapai bekas makanan di atas meja kerja Danish Xavier sebelum mengatur langkah laju mengekori Danish Xavier dari belakang.
"Eh, Khaira! Tak balik lagi? Abang Darwish ingat Khaira dah balik tadi." Tegur Darwish Xayden yang kebetulan lalu di hadapan pejabat Danish Xavier yang turut sama mahu pulang ke rumah.
"Nak balik apanya kalau buat taik mata dekat bilik aku tadi." Ujar Danish Xavier sinis.
Khaira Eryna sekadar menjeling Danish Xavier dengan hujung matanya.
"Penat sangat ke, Khaira?" Soal Darwish Xayden.
"Penat sebab tunggu orang tu makan kot. Macam kura-kura." Perli Khaira Eryna.
"Kau samakan aku dengan kura-kura? Kau pernah nampak kura-kura makan macam mana ke?" Nada Danish Xavier tidak puas hati.
"Muka kacak macam ni dia boleh samakan dengan kura-kura? Masalah mata betul perempuan ni." Omel Danish Xavier di dalam hati.
"Tak pernah. Tapi...kura-kura je binatang yang selalu lambat."
"Kau nikan...."
Belum sempat Danish Xavier menghabiskan kata-katanya, Darwish Xayden pantas mencelah. Ingin menghentikan perbalahan antara abang dan adik angkatnya itu.
"Okay, stop! Apa kata kita balik dulu. Malulah kalau staff lain tengok. Lambat kita sampai, banyaklah yang kita kena bersoal jawab dengan mommy nanti. Lagi-lagi kalau pasal Khaira. Kau macam tak kenal mommy tu macam mana. Takut sangat kita bawa anak kesayangan dia ni pergi merayap tak tentu hala."
"Khaira setuju. Abang Darwish, dah alang-alang abang nak balik, Khaira naik kereta abang jelah. Boleh?"
Darwish Xayden hanya mengangguk sebelum pandangan matanya beralih pada Danish Xavier. Danish Xavier yang mendengar pula mula rasa tidak puas hati. Dia memberhentikan langkah. Menoleh ke arah Khaira Eryna di sisinya.
"Siapa kata kau boleh naik kereta Darwish?" Soal Danish Xavier yang mula mempersoalkan tindakan Khaira Eryna.
"Eh, tak apalah kalau Khaira nak balik naik kereta aku. Kita nak balik ikut jalan yang samakan?"
Khaira Eryna sudah mengangguk setuju dengan kata-kata Darwish Xayden yang seakan menyokongnya.
"Aku ada perkara nak bincang dengan dia. So, Khaira akan balik ikut aku." Bicara Danish Xavier tegas.
"Tapi...." Khaira Eryna mahu memintas. Menolak cadangan Danish Xavier.
"Tak apa Khaira. Khaira naik abang Danish. Mungkin memang betul ada perkara penting yang abang Danish nak bincang. Abang gerak dulu. Nanti kita jumpa dekat rumah. Abang, aku gerak dulu." Ujar Darwish Xayden yang seakan memahami niat sebenar abangnya. Cepat-cepat kakinya mengatur langkah menuju ke arah lif. Meninggalkan Khaira Eryna dan Danish Xavier di situ.
Melihat Darwish Xayden yang sudah berlalu pergi, Khaira Eryna mengeluh halus. Mukanya cemberut tanda tidak puas hati.
"Dah, jangan nak tarik muka. Sebelum aku cium kau dekat sini, baik kau gerak sekarang. Atau...."
Danish Xavier merapatkan wajahnya ke arah Khaira Eryna. Lalu membisikkan sesuatu di telinga gadis itu.
"Atau kau memang teringin nak rasa bibir aku?" Ucap Danish Xavier sambil mengorek senyuman sinis.
Pantas dada Danish Xavier ditolak kuat menjarakkan kedudukan mereka berdua. Mulutnya ditekup rapat dengan telapak tangan. Kepala digeleng laju. Tanpa menunggu lama, Khaira Eryna terus sahaja mengatur langkah keluar dari pintu utama sebelum menuju ke arah lif. Tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Melihat tingkah Khaira Eryna itu, Danish Xavier ketawa kecil. Lalu dia turut sama mengekori langkah gadis itu.
Share this novel