"Khaira..."
Langkah Khaira Eryna terhenti. Matanya terpasak pada tubuh lelaki yang sedang bersandar di badan kereta. Merenung ke arahnya sambil berpeluk tubuh. Khaira Eryna pantas melarikan pandangannya. Kaki diatur laju melintasi tubuh lelaki itu. Seakan tidak mahu tahu akan kewujudan lelaki itu di situ.
Sudah hampir sebulan Khaira Eryna menyambung pelajaran di salah sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Selama itu jugalah Khaira Eryna cuba mengelakkan diri daripada Danish Xavier. Hinggakan dia sanggup merayu kepada Camilla dan Noah supaya memberi keizinan untuk dia menyewa di luar. Ingin belajar hidup berdikari dan tidak mahu terlalu bergantung kepada Camilla dan Noah. Itu semua hanyalah alasan supaya dia dapat menjauhkan dirinya daripada Danish Xavier. Hatinya benar-benar terluka dengan kata-kata yang dihamburkan padanya dulu. Membuatkan Khaira Eryna bertekad untuk hidup sendiri.
Kalah dengan pujuk rayu Khaira Eryna, akhirnya Noah dan Camilla bersetuju dengan meletakkan satu syarat. Mahu tidak mahu Khaira Eryna terpaksa bersetuju dengan syarat ibu dan bapa angkatnya itu. Setiap hujung minggu dia wajib bermalam di villa Noah tanpa sebarang alasan. Kini, Khaira Eryna hidup bebas tanpa perlu berdepan dengan abang angkatnya yang seorang itu. Jika dia terpaksa pulang ke villa, dia akan cuba mengelak dari bertembung dengan Danish Xavier.
Namun, setelah sekian lama, wajah lelaki itu muncul kembali. Betul-betul berada di hadapannya. Di hadapan kolej. Setelah hampir sebulan Khaira Eryna merasa tenang tanpa kewujudan lelaki itu, kini hatinya kembali bergetar hebat. Cukup hanya sekali menancap wajah lelaki bermata hazel itu membuatkan dirinya tidak keruan.
Khaira Eryna mempercepatkan langkah. Dia mahu segera beredar dari situ. Untung sahaja rumah sewanya tidak terletak jauh dari kawasan kolej. Hanya memerlukan lima belas minit sahaja jika berjalan kaki. Panggilan rakan serumahnya juga tidak dihirau. Yang dia mahu hanya segera sampai ke rumah sewanya. Tidak sanggup bertatapan mata dengan Danish Xavier.
Kunci pagar dikeluarkan dari dalam beg. Sedang ligat tangan Khaira Eryna membuka ibu kunci pada pagar rumahnya, tiba-tiba ada tangan lain yang pantas menghalang. Gugusan kunci pada tangan Khaira Eryna dirampas sebelum dimasukkan ke dalam kocek seluar. Khaira Eryna menjerit kecil. Bulat matanya menancap seraut wajah yang berada di hadapannya itu. Khaira Eryna merengus kecil.
Laila dan Lisa, rakan serumah Khaira Eryna yang sedang berjalan menuju pulang ke rumah pantas melangkah laju mendekati sahabat mereka saat mendengar jeritan kecil Khaira Eryna. Melihat susuk tubuh lelaki yang sama berada di hadapan kolej sebentar tadi membuatkan mereka berdua tertanya-tanya.
"Khaira, kau kenapa? Okay tak?" Soal Lisa dengan nafas yang tersekat-sekat. Penat mengejari langkah Laila. Nafas dihela panjang.
"Okay." Balas Khaira Eryna pendek. Riak wajahnya masam mencuka.
"Siapa lelaki ni? Kau kenal ke Khaira? Bukan dia lelaki yang dekat depan kolej kita tadi?" Sela Laila pula. Matanya tidak lepas melirik pada lelaki dingin di hadapannya itu.
Khaira Eryna tidak membalas. Sebaliknya dia mengorak langkah rapat ke arah Danish Xavier. Sambil panggung kepala, matanya tepat menatap ke arah sepasang mata helang Danish Xavier. Lalu tapak tangannya dihulur ke arah Danush Xavier.
"Pulangkan kunci rumah saya." Suara Khaira Eryna sedikit tegas.
Namun, sedikit pun Danish Xavier tidak beriak. Wajahnya kekal dingin. Kedua-dua tangannya kekal berada di dalam kocek seluarnya. Melihat tingkah Danish Xavier itu membuatkan Khaira Eryna semakin geram. Kedua-dua tangannya digenggam menahan amarah.
"Awak nak apa? Tak pernah-pernah muncul, tiba-tiba ada dekat sini. Kenapa?"
Melihat kemarahan pada riak wajah sahabat baik mereka, Lisa dan Laila hanya mendiamkan diri. Tiada niat untuk mencelah. Mereka sekadar menjadi pemerhati yang setia. Silap hari bulan, mereka pula yang terkena tempias kemarahan Khaira Eryna itu.
Danish Xavier tersungging senyum. Matanya tidak lepas dari menatap wajah Khaira Eryna. Lebih-lebih lagi kulit wajah gadis itu yang sudah kelihatan merah menahan marah. Terasa senang saat melihat wajah cemberut Khaira Eryna.
"Ikut aku. Ada perkara aku nak bincang dengan kau." Ujar Danish Xavier senada.
"Tak nak! Buat apa saya nak ikut awak? Saya sibuk. Banyak assignment saya nak kena buat. Baik awak pulangkan kunci saya sekarang. Saya tak ada masa nak layan awak." Tolak Khaira Eryna.
"Kalau kau tak nak ikut aku, aku akan simpan kunci ni. Aku sanggup berdiri dekat sini sampai kau setuju."
"Eh, suka hati awak jekan! Ee...lantaklah! Awak simpanlah kunci tu. Kawan-kawan saya pun ada kunci rumah ni juga. Jadi saya tak heran!"
Khaira Eryna pantas memusing tubuh membelakangi Danish Xavier. Baru sahaja kakinya ingin melangkah ke arah Laila, tangannya pantas dilelar Danish Xavier. Spontan, tubuh Khaira Eryna kembali berpaling menghadap Danish Xavier. Danish Xavier merengkuh tubuh Khaira Eryna rapat dengannya. Dia menunduk sedikit mendekati wajah Khaira Eryna sebelum bibirnya dirapatkan ke arah telinga gadis itu.
"Aku bukan minta persetujuan kau untuk ikut aku. Tapi ini satu arahan daripada aku!" Bisik Danish Xavier keras.
Tanpa menunggu balasan daripada Khaira Eryna, pintu kereta dibuka. Pantas tubuh Khaira Eryna ditarik lalu dibawa masuk ke dalam perut keretanya. Melihat perlakuan Danish Xavier, Laila dan Lisa cuba mendekati Danish Xavier untuk menyelamatkan sahabat mereka. Namun, pandangan tajam Danish Xavier menghentikan langkah kaki mereka.
"Kalau kau orang nak selamat, jangan cuba masuk campur. Masuk dalam rumah sekarang atau...."
"Laila, Lisa, kau berdua jangan risau. Aku okay. Dia tak akan apa-apakan aku pun. Kejap lagi aku balik. Apa-apa aku roger kau orang, k?" Terang Khaira Eryna sebelum sempat Danish Xavier menghabiskan kata-katanya yang berbaur amaran itu.
"Kau sure ke Khaira? Aku tengok macam tak selamat je?" Soal Laila yang teragak-agak untuk melepaskan Khaira Eryna pergi. Sempat matanya mengerling ke arah Danish Xavier yang berada di sisi kereta.
Khaira Eryna menjatuhkan kepalanya sedikit. Bibirnya melakar senyuman palsu.
"Aku okay. Kau orang masuklah. Don't worry. Dia abang angkat aku."
Mendengar kata-kata Khaira Eryna itu, Laila dan Lisa saling berpandangan. Akhirnya mereka akur. Lalu Laila menapak ke arah pagar. Ibu kunci dibuka sebelum mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah. Melihat rakan-rakan Khaira Eryna sudah pun beredar, Danish Xavier pantas masuk ke tempat duduk pemandu sebelum keretanya dipandu keluar dari kawasan perumahan rumah sewa Khaira Eryna.
Khaira Eryna hanya diam membisu. Tiada niat untuk bersuara. Pandangannya dilontar keluar cermin tingkap kereta. Tiada hati untuk menatap figura di sebelahnya.
"Ehem!" Danish Xavier berdehem memecahkan kesunyian antara mereka. Cuba menarik perhatian Khaira Eryna di sebelah.
Namun, Khaira Eryna kekal dengan pendiriannya. Sedikit pun tidak menoleh pada Danish Xavier. Hatinya mendongkol geram. Mahu sahaja dihambur semua kemarahan yang terpendam di hatinya. Tetapi Khaira Eryna hanya mampu bersabar kerana dia bukan gadis seperti itu. Dia lebih selesa mendiamkan diri dan memendam rasa. Bila tiba masa yang sesuai dia akan meluahkan segalanya. Itu pun jika kesabarannya sudah hilang.
Danish Xavier memberhentikan kereta di bahu jalan. Lalu turun dari tempat duduk pemandu sebelum langkahnya diatur ke arah pintu tempat duduk Khaira Eryna. Pintu kereta dibuka luas. Meminta Khaira Eryna segera keluar dari perut kereta.
Khaira Eryna hanya membatukan diri. Sedikit pun dia tidak menghiraukan permintaan Danish Xavier. Tangannya melingkar memeluk tubuh. Pandangannya tepat menancap hadapan cermin kereta. Riak protes.
Tingkah Khaira Eryna itu benar-benar menguji kesabaran Danish Xavier. Bibir diketap rapat. Menahan amarah yang semakin memuncak. Niat untuk berdamai seakan menipis. Namun, dipaksa juga hati untuk terus bersabar. Tanpa menunggu lama, tangan Khaira Eryna diraih sebelum tubuh itu dibawa keluar dari keretanya.
"Lepaslah! Saya nak balik!" Ronta Khaira Eryna. Geram dengan sikap memaksa Danish Xavier.
Rontaan Khaira Eryna langsung tidak dipeduli. Untung sahaja tidak banyak kenderaan yang melalui kawasan tersebut. Membuatkan kawasan di situ ketika itu agak lengang. Sengaja Danish Xavier membawa Khaira Eryna ke kawasan itu. Tempat yang agak jauh dari orang ramai. Kawasan puncak bukit. Yang jauh dari kesibukan kota.
Pintu kereta dihempas kuat. Tanpa sebarang bicara, Danish Xavier merengkuh tubuh kecil Khaira Eryna dalam dakapannya. Khaira Eryna terpempan. Rontaannya terhenti. Terkaku dengan perlakuan Danish Xavier. Keadaan kembali tenang. Danish Xavier bergeming di tempat dia berdiri bersama Khaira Eryna yang masih berada dalam pelukannya. Merapatkan kepala Khaira Eryna ke dadanya.
Mulut terkunci. Lidah kelu untuk berkata. Saat itu hanya degupan jantung yang berdetak kuat hingga tertangkap di pendengaran Khaira Eryna. Perlahan-lahan tangan Khaira Eryna angkat menyentuh dada Danish Xavier yang berlapik kemeja. Merasai debaran di dada lelaki itu. Membuat Khaira Eryna terbuai seketika. Lupa sebentar akan sakit hatinya dan amarah pada lelaki itu.
"Kau masih marahkan aku?" Suara Danish Xavier lembut menyapa.
Khaira Eryna tersentak. Sedar dia masih berada dalam dakapan lelaki itu, pantas tubuh Danish Xavier ditolak kuat. Pelukan Danish Xavier terlerai. Khaira Eryna segera menjarakkan kedudukan. Menjeling tajam ke arah Danish Xavier dengan ekor matanya.
Kulum senyum, Danish Xavier kembali menghampiri Khaira Eryna. Selangkah Danish Xavier datang mendekat, selangkah juga Khaira Eryna bergerak ke belakang.
"Stop! Awak nak apa sebenarnya? Kenapa bawa saya datang ke sini?" Soal Khaira Eryna sambil matanya meliar memandang keadaan sekeliling.
"Aku nak bercakap kau tanpa ada sebarang gangguan. Aku rasa ini sahaja tempat yang paling sesuai untuk kita berbincang."
"Berbincang? Saya rasa tak ada apa yang perlu kita bincangkan. Lagipun kenapa tiba-tiba? Selama beberapa minggu ni kita buat haluan masing-masing, kenapa sekarang awak tiba-tiba muncul?"
Danish Xavier senyum sinis. Dia menyandarkan batang tubuhnya di badan kereta. Tangan dibawa memeluk tubuh. Pandangannya dilontarkan ke arah lereng bukit. Memerhati pemandangan seluruh kota dari arah puncak bukit. Di tempat dia berdiri.
"Aku cuma bagi kau ruang dan masa untuk kau tenangkan diri kau. Tapi sekarang ni aku rasa ruang yang aku bagi hampir sebulan tu dah cukup buat kau. Sebab tu aku ada dekat depan kau sekarang ni. We need to talk."
"Huh! Rasanya tak ada apa pun yang kita perlu bincangkan. Saya rasa saya tak ada masalah dengan awak."
"Are you sure?" Soal Danish Xavier dengan kening terangkat sebelah. Matanya kembali menatap ke arah Khaira Eryna.
Pantas Khaira Eryna melarikan pandangan matanya. Mengelak dari bertemu mata dengan Danish Xavier. Pertanyaan Danish Xavier dibiarkan sepi.
"Aku tahu kau terasa hati pasal apa yang aku cakap pada kau. Jujur aku tak berniat nak ungkit hal tu. Aku minta maaf. Tolong jangan jauhkan diri kau daripada aku lagi. Please....rumah tu sunyi tanpa kau." Luah Danish Xavier sedikit lembut. Nada memujuk.
"Sebab tu ke awak datang jumpa saya hari ni? Semata-mata nak minta maaf?" Soal Khaira Eryna sinis. Seakan tidak termakan dengan pujukan Danish Xavier.
"Tak. Bukan sebab tu je. Ada sebab lain juga."
Khaira Eryna berkerut kening.
"Sebab lain? Maksud awak?"
"Aku nak kau pindah semula ke rumah mommy dan daddy. Kau tahukan kalau kau jauh macam ni, aku atau Darwish tak dapat tengok-tengokkan kau?"
Khaira Eryna ketawa kecil.
"Selama hampir sebulan ni saya menetap dekat rumah sewa, saya selamat je. Hidup lagi. Sihat je. Lagipun mommy dan daddy dah beri izin saya tinggal dekat luar. Kalau mommy dan daddy faham kehendak saya, kenapa awak nak pertikaikan? Lagi satu, saya tak perlukan awak atau abang Darwish untuk jaga saya. Saya dah cukup dewasa. Saya boleh jaga diri saya sendiri."
"Tapi aku tak boleh. Aku tak boleh kau jauh dari pandangan aku. Aku janji aku akan hantar dan ambil kau ke kolej. Tapi tolong balik semula ke villa? Semua orang rindu kau."
Khaira Eryna mengeluh halus.
"Danish, tolong hormat keputusan saya. Salah ke saya nak hidup berdikari? Lagipun setiap hujung minggu saya balik ke sana macam yang saya janjikan. Kalau mommy dan daddy rindu saya, dia orang boleh je call saya. Dahlah, Danish. Hantar saya balik. Saya penat. Nak balik rehat."
Khaira Eryna menapak mendekati kereta. Dia sudah berura-ura untuk membuka pintu kereta. Namun dihalang oleh Danish Xavier.
"Aku tak habis cakap lagi, Khaira."
Khaira Eryna menoleh ke arah Danish Xavier.
"Saya rasa perbincangan kita dah tamat. Saya tetap dengan keputusan saya. Tolong jangan paksa saya kalau awak nak saya maafkan awak." Kali ini Khaira Eryna tegas dengan keputusannya.
Danish Xavier berjeda seketika. Nafasnya dihela panjang.
"Fine! Aku ikut sahaja keputusan kau." Danish Xavier akhirnya akur.
Khaira Eryna tarik nafas lega.
"Tapi bersyarat."
Kening Khaira Eryna bertaut.
"Kenapa nak bersyarat pula? Awak yang beria minta maaf tadikan?" Nada Khaira Eryna tidak puas hati.
"Betul. Tapi kau nak ke aku bawa kau balik terus ke villa dan kurung kau dekat sana? Kau tahukan aku boleh buat semua tu? Walaupun tanpa kemaafan dan keizinan daripada kau. So, pilihan di tangan kau."
Khaira Eryna merengus kecil. Akhirnya, dia juga yang terperangkap dengan helah yang dicipta oleh Danish Xavier. Ada sahaja akal lelaki itu untuk memerangkap Khaira Eryna.
"Awak nikan....huh! Okay, apa syaratnya?" Soal Khaira Eryna pasrah.
Danish Xavier sembunyi senyum. Dia boleh mengagak Khaira Eryna akan setuju.
"Aku nak kau bagi aku jadual kelas kau setiap hari. Inform aku setiap aktiviti kau setiap hari. Akhir sekali, aku akan datang dan jumpa kau bila-bila masa yang aku nak. So, kau tak boleh lari atau bagi alasan."
Tercangah Khaira Eryna mendengar syarat-syarat yang diberikan oleh Danish Xavier.
"Takkan saya kena update awak setiap hari?"
"Yup, setiap hari tanpa gagal. Kalau tak, lupakan je niat kau nak hidup menyewa dekat luar tu."
Sekali lagi Khaira Eryna mengeluh mendengar syarat-syarat lelaki itu.
"Okay, saya terima. Itu jekan syarat awak?"
Danish Xavier mengetuk-ngetuk bawah dagunya. Seakan sedang memikirkan sesuatu.
"Oops, ada lagi satu. Setiap kali kau nak balik villa, aku akan jemput kau. Macam hari ni. Sepatutnya hari ni kau balik ke villa, kan?"
Khaira Eryna berkerut kening.
"Hari ni...." Khaira Eryna tepuk dahi.
"Macam mana aku boleh lupa ni! Hari nikan hari Khamis. Esok tak ada kelas. Hari ni aku kena balik rumah mommy. Aduh!" Gumam Khaira Eryna dalam hati. Dia mengeluh kecil. Mengetap bibirnya rapat.
"So?"
Danish Xavier membantu Khaira Eryna membuka pintu kereta. Memberi isyarat kepada Khaira Eryna untuk masuk ke dalam perut kereta semula. Mahu tidak mahu, Khaira Eryna terpaksa akur. Dia kembali melangkah masuk ke dalam perut kereta dengan wajah cemberut. Melihat roman wajah gadis itu, Danish Xavier koyak senyum. Pintu kereta ditutup rapat. Giliran Danish Xavier pula masuk ke tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Lalu, kereta Danish Xavier mula bergerak membelah jalan menuju pulang ke villa Noah.
Share this novel